“Hidup Damai dengan Semua Orang”
1. Apakah prinsip Bible yang patut kita terapkan semasa berjumpa dengan penghuni rumah yang marah?
1 Umat Yehuwa suka kedamaian, dan kita menyebarkan berita kedamaian. (Yes. 52:7) Tetapi ada masanya, penghuni rumah marah dan tidak menyenangi kedatangan kita. Bagaimanakah kita dapat menjaga kedamaian jika hal ini terjadi?—Rm. 12:18.
2. Mengapakah kita perlu memahami reaksi penghuni rumah?
2 Cuba Memahami Penghuni Rumah: Sesetengah penghuni rumah marah kerana tidak menyukai kerja menginjil kita, tetapi ada juga yang tidak senang hati atas sebab-sebab lain. Barangkali kita mengunjunginya pada masa yang tidak sesuai, atau dia susah hati kerana masalah peribadi. Biarpun berita baik yang kita sampaikan membuatnya marah, kita patut ingat bahawa dia mungkin bersikap sedemikian kerana terpedaya. (2 Kor. 4:4) Jika kita cuba memahami reaksinya, kita dapat bertenang dan tidak tersinggung.—Ams. 19:11.
3. Bagaimanakah kita menunjukkan hormat kepada penghuni rumah?
3 Tunjukkan Hormat: Ramai penghuni rumah berpegang teguh pada kepercayaan mereka. (2 Kor. 10:4) Mereka berhak menerima atau menolak berita baik. Jangan sekali-kali mempersendakan kepercayaan mereka atau meninggikan diri kerana kita mempunyai lebih banyak pengetahuan Bible. Jika kita diminta untuk beredar, buatlah demikian dengan penuh hormat.
4. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita berbudi bahasa?
4 Berbudi Bahasa: Meskipun penghuni rumah memaki kita, kita patut menjawabnya dengan lembut dan sopan. (Kol. 4:6; 1 Ptr. 2:23) Jangan bertikam lidah, sebaliknya cubalah cari titik persamaan. Mungkin kita boleh memintanya menjelaskan mengapa dia menentang kerja kita. Tetapi ada masanya adalah baik untuk menamatkan perbualan supaya kita tidak memburukkan lagi keadaan.—Ams. 9:7; 17:14.
5. Apakah manfaatnya jika kita berusaha berdamai semasa menginjil?
5 Jika kita berusaha berdamai, kita dapat meninggalkan kesan positif ke atas penghuni rumah, dan dia mungkin sudi mendengar mesej kita pada lain hari. (Rm. 12:20, 21) Biarpun dia kuat menentang sekarang, dia mungkin menjadi saudara atau saudari kita pada kemudian hari. (Gal. 1:13, 14) Tidak kira dia menerima kebenaran atau tidak, kita sedang memuliakan Yehuwa dan mengindahkan ajaran Bible jika kita mengawal diri dan berusaha hidup damai.—2 Kor. 6:3.