Kotak Pertanyaan
◼ Apakah prinsip Bible yang boleh diterapkan mengenai penggunaan telefon bimbit semasa menghadiri perjumpaan Kristian dan menginjil?
‘Setiap Perkara Berlaku pada Waktunya yang Tertentu.’ (Pkh. 3:17): Telefon bimbit membolehkan kita menghantar mesej dan berbual dengan orang lain pada bila-bila masa. Tetapi, ada masanya orang Kristian tidak patut membiarkan telefon bimbit mengganggu tumpuan mereka, seperti semasa perjumpaan. Perjumpaan kita adalah masa untuk menyembah Yehuwa, menerima ajaran rohani, dan saling menggalakkan. (Ul. 31:12; Mzm. 22:23; Rm. 1:11, 12) Bolehkah kita mematikan telefon semasa tiba di perjumpaan dan membaca mesej selepas meninggalkan Dewan Perjumpaan? Jika kita perlu menerima panggilan kecemasan, tolong pastikan bahawa telefon kita tidak mengganggu orang lain.
“Semua Itu Aku Lakukan untuk Berita Baik.” (1 Kor. 9:23): Adakala, kita perlu menggunakan telefon bimbit semasa menginjil. Contohnya, saudara yang mengambil pimpinan menelefon penyiar yang menginjil di bahagian lain kawasan penyebaran untuk memastikan keselamatan mereka. Kadangkala, penyiar menelefon orang yang berminat atau pelajar Bible sebelum membuat kunjungan, terutamanya jika orang tersebut tinggal di tempat yang jauh. Pastikan telefon kita tidak mengganggu perbualan kita dengan penghuni rumah. (2 Kor. 6:3) Semasa menunggu penyiar yang lain, janganlah menelefon atau menghantar mesej kepada kawan, tetapi cubalah bertumpu pada kerja menginjil dan teman penyebaran kita.
Jagalah Kepentingan Orang Lain. (1 Kor. 10:24; Flp. 2:4): Janganlah berfikir bahawa kita tidak perlu menepati masa untuk perjumpaan sebelum kerja penyebaran kerana kita boleh menelefon atau menghantar mesej kepada penyiar lain untuk mengetahui aturan penyebaran. Jika kita lewat, kumpulan penyebaran perlu diaturkan semula. Sudah tentu, ada masanya kita terlewat kerana perkara yang tidak diduga terjadi. Tetapi, jika kita berusaha menepati masa, kita sedang menjaga kepentingan Yehuwa, saudara yang mengambil pimpinan, dan penyiar lain.