Kunjungan Majalah—Berguna untuk Memulakan Pembelajaran Bible
1. Mengapakah organisasi Yehuwa telah lama menggalakkan para penyiar mengadakan kunjungan majalah?
1 Ramai orang tidak berminat belajar Bible, tetapi mereka suka membaca majalah kita. Itulah sebabnya selama ini, organisasi Yehuwa menggalakkan para penyiar mengadakan kunjungan majalah. Seraya orang membaca majalah kita secara tetap, mereka akan memupuk keinginan untuk makanan rohani. (1 Ptr. 2:2) Lambat laun, mereka akan tersentuh oleh sesuatu yang dibaca dan akan didorong untuk belajar Bible.
2. Bagaimanakah kita boleh memupuk minat seseorang dalam kunjungan majalah kita?
2 ”Menyiram” Benih Kebenaran: Janganlah sekadar meninggalkan majalah. Cuba mulakan perbualan dan kenalilah penghuni rumah dengan lebih baik. Cara ini akan membantu anda memahami keadaan, minat, dan kepercayaannya agar anda dapat bercakap dengan pengertian. (Ams. 16:23) Buatlah persediaan untuk setiap kunjungan. Jika boleh, nyatakan dengan ringkas satu isi dan ayat Bible dalam majalah itu. Dengan demikian, anda sedang menyiram benih kebenaran dalam hatinya. (1 Kor. 3:6) Catatkan tarikh setiap kunjungan, bahan bacaan yang ditinggalkan, serta topik dan ayat Bible yang dibincangkan.
3. Berapa kerapkah kita harus mengunjungi mereka yang tersenarai dalam kunjungan majalah?
3 Kembali—Berapa Kerap? Anda patut kembali sekali setiap bulan untuk memberikan majalah terkini kepada mereka yang tersenarai dalam kunjungan majalah anda. Namun, bergantung pada keadaan anda dan minat seseorang, anda boleh mengunjunginya dengan lebih kerap. Contohnya, anda boleh kembali satu atau dua minggu selepas meninggalkan majalah, dan kata, “Saya datang kerana ingin tunjukkan sesuatu daripada majalah yang saya tinggalkan.” Cara ini akan membangkitkan minat seseorang untuk baca rencana tertentu. Jika dia sudah baca, tanya pandangannya dan bincangkan rencana itu secara ringkas. Jika orang itu suka baca bahan bacaan kita, anda boleh kembali dan memberi risalah, brosur, atau buku yang ditawarkan pada bulan itu.
4. Apakah caranya untuk mengetahui sama ada orang dalam senarai kunjungan majalah kita berminat untuk belajar Bible?
4 Janganlah tunggu sehingga penghuni rumah meminta anda untuk mengadakan pembelajaran Bible. Ambillah inisiatif. Walaupun sebelum ini dia tidak menerima pembelajaran Bible, anda boleh guna bahagian “Jawapan Bible” daripada majalah umum untuk melihat sama ada dia berminat mengadakan perbincangan dengan anda. Pembelajaran Bible boleh diadakan di depan pintu. Jika anda tidak dapat mengadakan pembelajaran Bible, terus pupuk minatnya dengan memberikan majalah kita.