Memupuk Tabiat Menepati Masa
1. Apakah teladan yang Yehuwa tetapkan mengenai menepati masa?
1 Yehuwa selalu menepati masa. Contohnya, Dia memberikan bantuan “pada masa kita memerlukan pertolongan.” (Ibr. 4:16) Dia juga menyediakan makanan rohani “pada waktu yang ditentukan.” (Mat. 24:45) Oleh itu, kita dapat yakin bahawa hari kemurkaan-Nya “tidak akan ditangguhkan.” (Hab. 2:3) Kita sememangnya mendapat manfaat kerana Yehuwa menepati masa! (Mzm. 70:6) Namun, kesibukan hidup dan ketidaksempurnaan menyebabkan kita susah untuk menepati masa. Mengapakah kita perlu memupuk tabiat menepati masa?
2. Mengapakah menepati masa memuliakan Yehuwa?
2 Pada hari-hari terakhir, banyak orang meremehkan tentang menepati masa kerana sikap pentingkan diri dan tiada kawalan diri. (2 Tim. 3:1-3) Jadi, kita memuliakan Yehuwa apabila orang lain memerhatikan bahawa kita menepati masa kerja, temu janji, dan perjumpaan. (1 Ptr. 2:12) Adakah kita menepati masa kerja sekular, tetapi selalu lewat bagi aktiviti teokratik? Menepati masa bagi perjumpaan Kristian, termasuk ikut serta dalam lagu pembuka dan doa dapat menunjukkan keinginan untuk meniru Bapa kita yang di syurga.—1 Kor. 14:33, 40.
3. Mengapakah menepati masa menunjukkan bahawa kita bertimbang rasa kepada orang lain?
3 Menepati masa juga menunjukkan bahawa kita bertimbang rasa kepada orang lain. (Flp. 2:3, 4) Contohnya, kita dapat elakkan daripada mengganggu rakan seiman yang lain jika kita menepati masa perjumpaan Kristian, termasuklah perjumpaan aktiviti penyebaran. Sebaliknya, jika kita memiliki tabiat tidak menepati masa, orang akan berpandangan bahawa kita menganggap masa kita lebih berharga daripada masa mereka. Menepati masa menunjukkan bahawa kita memiliki sifat yang dihargai oleh orang, iaitu tekun dan dapat dipercayai.
4. Bagaimanakah kita dapat membuat perubahan jika kita selalu lewat?
4 Adakah anda selalu lewat? Jika ya, apakah sebabnya? Buatlah jadual realistik yang membolehkan anda melaksanakan tugas tepat pada masanya. (Pkh. 3:1; Flp. 1:10) Mintalah bantuan Yehuwa. (1 Yoh. 5:14) Menepati masa adalah satu cara untuk menunjukkan penghargaan terhadap dua perintah terbesar, iaitu mengasihi Tuhan dan mengasihi orang lain.—Mat. 22:37-39.