Alat Bantu Mengajar
1. Apakah persamaan antara seorang penyiar dan seorang tukang?
1 Seorang tukang menggunakan pelbagai jenis peralatan. Sesetengah alat digunakan untuk kerja tertentu, manakala peralatan asas yang lain digunakan dengan lebih kerap. Tukang yang mahir selalu membawa peralatan asas bersamanya dan dia mahir menggunakannya. Bible menggalakkan setiap orang Kristian untuk terus berusaha dan menjadi mahir dalam aktiviti penyebaran. (2 Tim. 2:15) Alat yang paling penting bagi kita adalah Firman Tuhan. Inilah alat utama untuk menjadikan orang pengikut Kristus. (Mat. 28:19, 20) Maka, kita harus berusaha untuk menjadi mahir “menjelaskan firman yang benar dengan baik.” Namun, kita juga memiliki peralatan lain yang digunakan dengan kerap dan kita harus belajar menggunakannya untuk mengajar orang kebenaran dengan mahir.—Ams. 22:29.
2. Apakah peralatan asas mengajar yang kita miliki?
2 Peralatan Asas Untuk Mengajar: Apakah peralatan lain yang kita harus gunakan selain daripada Bible? Alat asas yang kita miliki untuk mengajar kebenaran Bible ialah buku Ajaran Bible. Selepas mempelajari buku ini, kita boleh gunakan buku Kasih Tuhan untuk membantu pelajar menerapkan prinsip-prinsip Bible dalam kehidupan mereka. Oleh itu, kita harus mahir menggunakan dua buku ini. Brosur-brosur tertentu juga perlu disertakan dalam peralatan kita. Brosur Berita Baik juga merupakan salah satu alat asas untuk memulakan pembelajaran Bible. Jika terdapat orang di kawasan kita yang tidak mahir membaca atau kita tiada bahan bacaan dalam bahasa mereka, kita boleh guna brosur Dengarlah Cakap Tuhan atau Dengarlah Cakap Tuhan dan Hidup Selama-lamanya untuk membantu mereka. Peralatan asas untuk membantu pelajar mengenali organisasi kita ialah brosur Kehendak Yehuwa. Kita juga harus mempelajari cara menggunakan video Mengapa Belajar Bible? dan Apakah yang Berlaku di Dewan Perjumpaan? kerana video-video ini dapat membantu kita menjadikan orang pengikut Kristus.
3. Bagaimanakah kita akan dibantu menerusi terbitan Kerja Teokratik Kita pada masa yang akan datang?
3 Pada masa yang akan datang, terbitan Kerja Teokratik Kita akan membantu kita menjadi mahir dalam menggunakan bahan bacaan asas yang kita miliki. Seraya kita berusaha menjadi mahir dalam menggunakan peralatan ini, kita sedang menerapkan nasihat Bible iaitu, “Teruslah memberikan perhatian kepada dirimu sendiri dan kepada ajaranmu. Lakukanlah hal-hal ini dengan tekun, kerana dengan berbuat demikian, kamu akan menyelamatkan dirimu sendiri dan mereka yang mendengarkan kamu.”—1 Tim. 4:16.