Cara Menggunakan Rakaman Audio
1. Selain bahan bacaan yang bertulis, apakah bahan lain yang disediakan?
1 Ramai gemar membaca kebenaran Bible yang tepat dan menyenangkan hati di jw.org. (Pkh. 12:10) Namun, sudahkah anda menggunakan rakaman audio? Kita dapat mendengar banyak maklumat daripada rakaman audio di laman web kita. Apakah manfaat rakaman audio bagi kita?
2. Bagaimanakah kita boleh menggunakan rakaman audio untuk pembelajaran peribadi atau keluarga?
2 Bagi Pembelajaran Peribadi atau Keluarga: Kita boleh mendengar rakaman Bible, majalah, atau bahan bacaan lain semasa dalam perjalanan, atau semasa melakukan aktiviti seharian. Dengan demikian, kita menggunakan masa dengan sebaik-baiknya. (Ef. 5:15, 16) Semasa penyembahan keluarga, kita juga boleh mendengar rakaman audio dan mengikuti pembacaan itu dalam salinan yang bercetak. Semasa pembelajaran peribadi, rakaman audio boleh membantu kita meningkatkan mutu pembacaan atau mempelajari bahasa yang baru.
3. Di kawasan penyebaran kita, siapakah yang boleh meraih manfaat daripada rakaman audio?
3 Bagi Kerja Penyebaran: Di kawasan penyebaran, orang yang tiada masa untuk membaca mungkin sudi mendengar rakaman audio. Ada kalanya, kita berjumpa dengan orang yang berbahasa asing. Mereka mungkin lebih sudi mendengar jika berita baik disampaikan “dalam bahasa ibunda” mereka. (Kis. 2:6-8) Di sesetengah tempat, orang gemar mengajar secara lisan. Misalnya, orang Hmong mengajar generasi muda tentang sejarah mereka secara lisan dan mereka dapat mengingati maklumat dengan baik. Di Afrika, ramai gemar belajar melalui cerita.
4. Apakah soalan yang boleh kita fikirkan mengenai orang di kawasan penyebaran kita?
4 Di kawasan penyebaran anda, adakah lebih bermanfaat untuk memainkan rakaman audio dalam bahasa ibunda penghuni rumah? Adakah kita tahu sesiapa yang akan mendapat manfaat daripada rakaman audio kita? Jika ya, bolehkah kita menghantar rakaman audio kepadanya melalui e-mel? Bolehkah kita memuat turun rakaman bahan bacaan ke dalam CD dan memberikannya berserta salinan yang bercetak kepada orang yang berminat? Setiap buku, brosur, majalah, atau risalah dalam bentuk elektronik yang diberikan boleh dikira dalam laporan aktiviti penyebaran. Rakaman audio disediakan untuk pembelajaran peribadi kita dan untuk menanam benih kebenaran.—1 Kor. 3:6.