RENCANA PEMBELAJARAN 10
Kasih dan Kesyukuran kepada Yehuwa Akan Mendorong Anda agar Dibaptis
“Apakah yang menghalang aku daripada dibaptis?”—KIS. 8:36.
LAGU 37 Sembah Yehuwa dengan Segenap Jiwa
PENGENALANa
1-2. Seperti yang dinyatakan di Kisah 8:27-31, 35-38, apakah yang mendorong pegawai Etiopia itu untuk dibaptis?
INGINKAH anda dibaptis dan menjadi murid Kristus? Ramai orang terdorong untuk membuat keputusan ini kerana mereka mengasihi Yehuwa dan bersyukur kepada-Nya. Perhatikan contoh seorang pegawai yang berkhidmat kepada ratu negeri Etiopia.
2 Pegawai Etiopia itu segera bertindak setelah mengetahui apa yang dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci. (Baca Kisah 8:27-31, 35-38.) Dia terdorong untuk dibaptis kerana menghargai Firman Tuhan. Bagaimanakah kita tahu? Semasa dia duduk di dalam kereta kudanya, dia sedang membaca kitab Nabi Yesaya. Kemudian, selepas Filipus bercakap kepadanya, dia juga memupuk penghargaan untuk apa yang dilakukan Yesus baginya. Kita juga tahu bahawa sebelum Filipus berjumpa dengannya, pegawai tersebut sudah pun mengasihi Yehuwa. Apakah buktinya? Pegawai itu baru sahaja beribadat kepada Yehuwa di Yerusalem dan dalam perjalanan pulang. Dia telah meninggalkan agama yang dianutinya sejak kecil dan menyertai satu-satunya bangsa yang membaktikan diri kepada Tuhan yang benar. Kasihnya kepada Yehuwa telah mendorongnya agar dibaptis dan menjadi murid Kristus.—Mat. 28:19.
3. Apakah yang mungkin menghalang seseorang daripada dibaptis? (Lihat kotak “Bagaimanakah Keadaan Hati Anda?”)
3 Apabila kasih untuk Yehuwa bertumbuh dalam hati anda, anda akan didorong untuk dibaptis. Tetapi hati anda juga mungkin menghalang anda daripada dibaptis. Mengapa? Fikirkan contoh-contoh ini: Anda mungkin sangat menyayangi sahabat dan ahli keluarga yang tidak seiman, dan anda risau mereka akan membenci anda jika anda dibaptis. (Mat. 10:37) Hati anda mungkin masih tertarik dengan tabiat yang dibenci Tuhan, dan anda rasa susah untuk membuang tabiat itu. (Mzm. 97:10) Atau anda mungkin berasa susah untuk berhenti menyambut perayaan yang tidak disukai Yehuwa, kerana sejak kecil lagi, perayaan sedemikian sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan anda dan membawa banyak kenangan manis. (1 Kor. 10:20, 21) Jadi, anda perlu menanya diri, “Apakah atau siapakah yang paling penting di hati saya?”
KASIH YANG TERPENTING
4. Apakah sebab utama yang dapat mendorong anda untuk dibaptis?
4 Ada banyak hal baik yang mungkin anda kasihi dan hargai. Contohnya, sebelum belajar Bible dengan Saksi, anda mungkin sudah sangat menghargai Firman Tuhan dan mengasihi Yesus. Kini, setelah mengenali Saksi, anda mungkin suka bergaul dengan mereka. Tetapi hal-hal itu tidak semestinya mendorong anda untuk membaktikan diri dan dibaptis. Sebab utama yang dapat mendorong anda untuk dibaptis ialah kasih kepada Yehuwa. Jika anda mengasihi Yehuwa lebih daripada segala-galanya, tiada apa-apa atau sesiapa pun yang dapat menghalang anda daripada menyembah-Nya. Kasih anda kepada Yehuwa akan mendorong anda untuk dibaptis dan membantu anda agar tetap setia kepada-Nya selepas itu.
5. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
5 Yesus berkata bahawa kita mesti mengasihi Yehuwa dengan segenap hati, segenap jiwa, segenap akal, dan segenap kekuatan. (Mrk. 12:30) Bagaimanakah kita dapat melakukannya? Apabila kita merenungkan betapa besarnya kasih Yehuwa terhadap kita, kita akan terdorong untuk mengasihi-Nya. (1 Yoh. 4:19) Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana anda dapat memupuk kasih kepada Yehuwa dan didorong untuk dibaptis.b
6. Menurut Roma 1:20, apakah salah satu cara untuk belajar tentang Yehuwa?
6 Belajar tentang Yehuwa menerusi ciptaan-Nya. (Baca Roma 1:20; Why. 4:11) Renungkan bagaimana reka cipta tumbuhan, binatang, dan tubuh anda membuktikan kebijaksanaan Yehuwa. (Mzm. 139:14) Fikirkan betapa berkuasanya matahari kita, dan ingatlah bahawa matahari hanyalah salah satu daripada berbilion-bilion bintang yang diciptakan oleh Yehuwa.c (Yes. 40:26) Semasa memikirkan ciptaan Yehuwa, anda akan semakin menghormati-Nya. Namun, sekadar tahu bahawa Yehuwa itu bijak dan berkuasa tidak mencukupi untuk menjalin persahabatan yang erat dengan-Nya. Untuk menguatkan kasih anda terhadap Yehuwa, anda perlu mengenali-Nya dengan lebih mendalam.
7. Untuk mengasihi Yehuwa secara mendalam, anda perlu yakin akan hal apa?
7 Anda perlu yakin bahawa Yehuwa amat mengasihi anda. Adakah anda berasa susah untuk percaya bahawa Pencipta langit dan bumi menyedari kewujudan anda dan mengambil berat tentang anda? Jika ya, ingatlah bahawa Yehuwa “sebenarnya tidak jauh daripada kita masing-masing.” (Kis. 17:26-28) Yehuwa “menyelidiki hati semua orang,” dan seperti yang dikatakan Daud kepada Salomo, Yehuwa berjanji bahawa jika kita mencari Dia, Dia akan membiarkan kita menemui-Nya. (1 Taw. 28:9) Hakikat bahawa anda sedang mempelajari Bible membuktikan bahawa Yehuwa telah ‘memimpin anda kepada-Nya.’ (Yer. 31:3) Semakin besar penghargaan anda untuk segala yang dilakukan Yehuwa bagi anda, semakin dalam kasih anda terhadap-Nya.
8. Bagaimanakah anda menunjukkan bahawa anda menghargai kasih Yehuwa?
8 Salah satu cara untuk menunjukkan bahawa anda menghargai kasih Yehuwa adalah dengan berdoa. Apabila anda memberitahu Tuhan kekhuatiran anda dan mengucapkan syukur atas segala bantuan-Nya, kasih anda terhadap-Nya akan bertumbuh. Kemudian, apabila anda melihat Yehuwa menjawab doa anda, hubungan anda dengan-Nya pun akan semakin akrab. (Mzm. 116:1) Anda akan yakin bahawa Yehuwa benar-benar memahami anda. Namun, untuk menghampiri Yehuwa, anda perlu memahami fikiran-Nya dan kehendak-Nya bagi anda. Untuk berbuat demikian, anda mesti mengkaji Bible.
Cara terbaik untuk menghampiri Tuhan dan mengetahui kehendak-Nya adalah dengan mempelajari Bible (Lihat perenggan 9)d
9. Bagaimanakah anda dapat menunjukkan bahawa anda menghargai Bible?
9 Belajar untuk menghargai Firman Tuhan, iaitu Bible. Hanya melalui Bible anda dapat mengetahui kebenaran tentang Yehuwa dan tujuan-Nya bagi anda. Anda menunjukkan bahawa anda menghargai Bible dengan membacanya setiap hari, membuat persiapan sebelum guru Bible anda belajar dengan anda, dan dengan menerapkan apa yang dipelajari. (Mzm. 119:97, 99; Yoh. 17:17) Adakah anda mempunyai jadual untuk membaca Bible setiap hari? Adakah anda mengikut jadual itu?
10. Apakah salah satu ciri istimewa Bible?
10 Salah satu ciri istimewa Bible ialah laporan daripada orang yang melihat perbuatan Yesus dengan mata sendiri. Bible sahaja yang mengandungi catatan yang tepat tentang apa yang dilakukan oleh Yesus untuk anda. Setelah mengetahui kata-kata dan perbuatan Yesus, anda akan didorong untuk menjadi sahabatnya.
11. Bagaimanakah kasih anda terhadap Yehuwa dapat bertumbuh?
11 Belajar untuk mengasihi Yesus. Jika anda mengasihi Yesus, kasih anda terhadap Yehuwa akan bertumbuh. Mengapa? Kerana Yesus mencerminkan sifat-sifat Bapanya dengan sempurna. (Yoh. 14:9) Apabila anda semakin mengenali Yesus, anda akan semakin mengenali Yehuwa dan memahami fikiran-Nya. Fikirkan bagaimana Yesus berbelas kasihan terhadap orang yang dipandang rendah, seperti mereka yang miskin, sakit, dan lemah. Fikirkan juga nasihat yang diberikan Yesus dan bagaimana kehidupan anda bertambah baik setelah mendengarkan nasihatnya.—Mat. 5:1-11; 7:24-27.
12. Apabila anda semakin mengenali Yesus, anda akan didorong untuk melakukan apa?
12 Kasih anda terhadap Yesus akan bertambah apabila anda merenungkan pengorbanan yang dibuatnya agar dosa kita diampunkan. (Mat. 20:28) Apabila anda sedar bahawa Yesus sudi mati demi anda, hal itu akan menggerakkan anda untuk bertaubat dan meminta pengampunan daripada Yehuwa. (Kis. 3:19, 20; 1 Yoh. 1:9) Apabila anda mengasihi Yesus dan Yehuwa, anda juga akan suka bergaul dengan orang yang mengasihi mereka.
13. Apakah yang diberikan Yehuwa kepada anda?
13 Belajar untuk mengasihi keluarga Yehuwa. Ahli keluarga dan kawan yang tidak seiman mungkin tidak faham sebabnya anda ingin membaktikan diri kepada Yehuwa. Mereka bahkan mungkin menentang anda. Namun, Yehuwa akan memberi anda sebuah keluarga rohani. Jika anda tetap akrab dengan keluarga rohani itu, anda akan mempunyai saudara saudari yang sentiasa mengasihi dan menyokong anda. (Mrk. 10:29, 30; Ibr. 10:24, 25) Suatu hari nanti, ahli keluarga anda mungkin menyembah Yehuwa bersama-sama anda dan hidup menurut prinsip-Nya.—1 Ptr. 2:12.
14. Seperti yang dinyatakan di 1 Yohanes 5:3, apakah yang anda perhatikan tentang prinsip Yehuwa?
14 Belajar untuk menghargai dan mematuhi prinsip Yehuwa. Sebelum mengenali Yehuwa, anda mungkin mempunyai pegangan hidup sendiri, tetapi kini anda sedar bahawa prinsip Yehuwa jauh lebih unggul. (Mzm. 1:1-3; baca 1 Yohanes 5:3.) Sebagai contoh, setelah menerapkan nasihat Bible untuk suami, isteri, ibu bapa, dan anak, adakah keluarga anda menjadi lebih bahagia? (Ef. 5:22–6:4) Apabila anda mengikut nasihat Yehuwa untuk memilih sahabat dengan bijak, adakah anda lebih bahagia dan menjadi orang yang lebih baik? (Ams. 13:20; 1 Kor. 15:33) Kemungkinan besar anda akan menjawab “ya.”
15. Apakah yang dapat anda lakukan jika anda tidak pasti cara untuk menerapkan prinsip Bible?
15 Ada kalanya, anda mungkin tidak pasti cara untuk menerapkan prinsip Bible. Maka, Yehuwa menggunakan organisasi-Nya untuk menyediakan bahan-bahan yang dapat membantu anda memahami Bible dan membezakan apa yang betul daripada apa yang salah. (Ibr. 5:13, 14) Semasa anda membaca dan mengkaji bahan-bahan itu, anda akan mendapati bahawa maklumatnya sangat berguna dan berkait rapat dengan kehidupan anda. Hal itu akan membuat anda ingin menyertai organisasi Yehuwa.
16. Bagaimanakah Yehuwa mengaturkan umat-Nya?
16 Belajar untuk mengasihi dan menyokong organisasi Yehuwa. Yehuwa telah mengumpulkan umat-Nya ke dalam sidang-sidang, dan Anak-Nya Yesus merupakan kepala sidang. (Ef. 1:22; 5:23) Yesus telah melantik beberapa orang saudara yang terurap untuk mengambil pimpinan dan mengaturkan kerja yang diperintahkan olehnya. Yesus memanggil mereka sebagai “hamba yang setia dan bijaksana,” dan mereka memandang serius tanggungjawab untuk menyediakan makanan rohani dan melindungi hubungan anda dengan Yehuwa. (Mat. 24:45-47) Salah satu cara hamba yang setia itu menjaga anda adalah dengan memastikan bahawa saudara yang layak dilantik sebagai penatua. (Yes. 32:1, 2; Ibr. 13:17; 1 Ptr. 5:2, 3) Sebagai gembala, para penatua rela melakukan segala yang terdaya untuk melegakan hati anda dan membantu anda lebih menghampiri Yehuwa. Yang terpenting, mereka ingin membantu anda mengajar orang lain tentang Yehuwa.—Ef. 4:11-13.
17. Menurut Roma 10:10, 13, 14, mengapakah kita ingin memberitahu orang lain tentang Yehuwa?
17 Bantu orang lain mengasihi Yehuwa. Yesus menyuruh para pengikutnya mengajar orang lain tentang Yehuwa. (Mat. 28:19, 20) Anda boleh melakukan kerja ini sekadar untuk menunaikan tanggungjawab. Tetapi apabila anda semakin mengasihi Yehuwa, anda akan berasa seperti Rasul Petrus dan Rasul Yohanes yang berkata, “Kami tidak dapat berhenti bercakap tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.” (Kis. 4:20) Apabila anda membantu orang lain mengasihi Yehuwa, anda akan berasa sangat gembira. Bayangkan perasaan Filipus semasa dia membantu pegawai Etiopia itu mengenali kebenaran dan dibaptis! Apabila anda mengikut teladan Filipus dan mematuhi perintah Yesus untuk menginjil, hal itu membuktikan bahawa anda ingin menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. (Baca Roma 10:10, 13, 14.) Ketika itu, anda juga mungkin bertanya, “Apakah yang menghalang aku daripada dibaptis?”—Kis. 8:36.
18. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?
18 Keputusan untuk dibaptis merupakan keputusan yang terpenting dalam hidup. Maka, anda perlu berfikir masak-masak sebelum mengambil langkah ini. Apakah yang perlu anda tahu tentang pembaptisan? Apakah yang perlu anda lakukan sebelum dan selepas dibaptis? Soalan-soalan itu akan dijawab dalam rencana seterusnya.
LAGU 2 Yehuwalah Nama-Mu
a Sesetengah orang mengasihi Yehuwa, tetapi mereka tidak pasti jika mereka sudah bersedia untuk dibaptis sebagai Saksi-Nya atau tidak. Jika itulah perasaan anda, rencana ini akan membantu anda mengulang kaji beberapa hal yang dapat dilakukan supaya anda bersedia untuk dibaptis.
b Setiap orang berbeza, maka sesetengah orang mungkin menerapkan cadangan-cadangan berikut dalam urutan yang berbeza.
c Untuk lebih banyak contoh, lihat brosur Adakah Kehidupan Diciptakan? dan siri rencana Siapakah Perekanya? di jw.org/ms.
d KETERANGAN GAMBAR: Semasa membeli-belah, seorang saudari memberikan risalah kepada seorang wanita muda.