PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w20 Mac ms. 18-23
  • Bilakah Waktu yang Sesuai untuk Bercakap?

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Bilakah Waktu yang Sesuai untuk Bercakap?
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • BILAKAH KITA HARUS BERCAKAP?
  • BILAKAH KITA HARUS BERDIAM DIRI?
  • APAKAH PERASAAN YEHUWA TENTANG KATA-KATA KITA?
  • Dia Bertindak dengan Bijak
    Tirulah Iman Mereka
  • Abigail dan Daud
    Buku Cerita Bible Saya
  • “Aku Bersyukur kerana Kebijaksanaanmu”
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2017
  • Anda Dapat Mempercayai Saudara Saudari Anda
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2022
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020
w20 Mac ms. 18-23

RENCANA PEMBELAJARAN 12

Bilakah Waktu yang Sesuai untuk Bercakap?

“Ada waktu untuk berdiam, dan ada waktu untuk bercakap.”​—PKH. 3:7.

LAGU 124 Selalu Setia

PENGENALANa

1. Apakah yang kita pelajari daripada Pengkhutbah 3:7?

ADA ANTARA kita yang sangat suka bercakap, yang lain pula pendiam. Seperti yang dinyatakan dalam ayat tema rencana ini, ada waktu untuk berdiam, dan ada waktu untuk bercakap. (Baca Pengkhutbah 3:7.) Kita mungkin berharap agar saudara saudari yang berat mulut akan lebih banyak bercakap, dan rakan seiman yang mulut murai kurang bercakap.

2. Siapakah yang berhak menentukan bila dan bagaimana kita harus bercakap?

2 Kebolehan untuk bercakap merupakan kurniaan Yehuwa. (Kel. 4:10, 11; Why. 4:11) Melalui Firman-Nya, Dia mengajar kita cara yang betul untuk menggunakan kurniaan tersebut. Rencana ini mengandungi contoh-contoh Bible yang akan membantu kita mengetahui waktu untuk bercakap dan waktu untuk berdiam diri. Kita juga akan belajar perasaan Yehuwa tentang kata-kata kita terhadap orang lain. Mula-mula, mari kita bincangkan waktu kita harus bercakap.

BILAKAH KITA HARUS BERCAKAP?

3. Menurut Roma 10:14, bilakah kita harus bercakap tentang Yehuwa dan Kerajaan-Nya?

3 Kita harus sentiasa bersedia bercakap tentang Yehuwa dan Kerajaan-Nya. (Mat. 24:14; baca Roma 10:14.) Dengan berbuat demikian, kita sedang meniru Yesus. Salah satu sebab penting Yesus datang ke bumi adalah untuk memberitahu orang kebenaran tentang Bapanya. (Yoh. 18:37) Namun, cara kita bercakap juga penting. Semasa memberitahu orang lain tentang Yehuwa, kita mesti melakukannya dengan “lemah lembut dan hormat yang mendalam,” dan kita harus mengambil kira perasaan dan kepercayaan mereka. (1 Ptr. 3:15) Dengan itu, kita dapat mengajar mereka dan bahkan mungkin mencapai hati mereka.

WAKTU UNTUK BERCAKAP

  • Semasa bercakap tentang Yehuwa, lakukannya “dengan lemah lembut” dan tunjukkan “hormat yang mendalam” terhadap kepercayaan orang lain (perenggan 3)

  • Semasa kita nampak orang lain bakal melakukan kesilapan besar

  • Semasa memberikan teguran, penatua bersikap sabar dan berusaha menggunakan cara yang paling berkesan

Dua orang saudari berada di kedai pakaian. Salah seorang saudari memberitahu saudari yang sedang memegang skirt bahawa skirt itu mungkin terlalu pendek dan tidak sesuai untuk orang Kristian.

(Lihat perenggan 8)b

Seorang penatua, yang sedang memegang Bible, memberikan nasihat tentang kebersihan kepada seorang saudara muda. Tempat tinggal saudara muda itu tidak dijaga dengan baik.

(Lihat perenggan 4, 9)c

4. Seperti yang dinyatakan di Amsal 9:9, bagaimanakah kata-kata penatua dapat membantu orang lain?

4 Penatua tidak patut teragak-agak untuk bercakap jika mereka mendapati bahawa seorang saudara atau saudari perlu dinasihati. Sudah tentu, mereka akan memilih waktu yang sesuai untuk menasihati orang itu supaya dia tidak berasa malu. Jadi, mereka akan menasihatinya secara peribadi. Mereka juga akan memastikan agar cara mereka bercakap tidak menjatuhkan maruahnya. Namun, mereka akan berterus terang dan mengongsi prinsip Bible yang dapat membantunya untuk bertindak dengan bijak. (Baca Amsal 9:9.) Mengapakah kita mesti berani untuk bercakap apabila perlu? Mari kita fikirkan dua contoh dalam Bible. Contoh pertama adalah tentang seorang lelaki yang perlu menegur anak-anaknya, dan contoh kedua adalah tentang seorang wanita yang perlu menasihati seorang lelaki yang akan menjadi raja.

5. Apakah yang gagal dilakukan oleh Imam Agung Eli?

5 Imam Agung Eli mempunyai dua orang anak lelaki yang amat disayanginya. Tetapi dua orang anaknya itu tidak menghormati Yehuwa. Mereka berkhidmat sebagai imam di khemah suci, tetapi mereka menyalahgunakan kuasa, langsung tidak menghormati korban yang dipersembahkan kepada Yehuwa, dan berbuat cabul tanpa rasa malu. (1 Sam. 2:12-17, 22) Menurut Hukum Musa, anak-anak Eli patut dihukum mati, tetapi Eli hanya menegur mereka dengan lembut dan membiarkan mereka terus berkhidmat di khemah suci. (Ul. 21:18-21) Apakah pandangan Yehuwa terhadap perbuatan Eli? Yehuwa berfirman kepadanya, “Mengapakah engkau lebih menghormati anak-anakmu daripada-Ku?” Kemudian Yehuwa menyatakan bahawa dua orang anak Eli akan mati.​—1 Sam. 2:29, 34.

6. Apakah yang kita pelajari daripada Eli?

6 Apakah yang kita pelajari daripada Eli? Jika kita mendapat tahu bahawa seorang kawan atau saudara-mara telah melanggar hukum Tuhan, kita mesti bercakap kepadanya dan mengingatkannya tentang prinsip Yehuwa. Selepas itu, kita perlu memastikan agar dia mendapatkan bantuan daripada mereka yang dilantik oleh Yehuwa. (Yak. 5:14) Janganlah menjadi seperti Eli, yang lebih menghormati manusia daripada menghormati Yehuwa. Kita memang perlu berani untuk bercakap kepada seseorang yang perlu dibetulkan, tetapi usaha kita amat berbaloi. Sekarang, mari kita lihat bagaimana Abigail, seorang wanita Israel, menunjukkan sikap yang berbeza daripada Eli.

Abigail berlutut seraya dia bercakap kepada Daud.

Abigail merupakan teladan yang baik kerana memilih waktu yang sesuai untuk bercakap (Lihat perenggan 7-8)d

7. Mengapakah Abigail bercakap kepada Daud?

7 Abigail merupakan isteri kepada Nabal, seorang lelaki yang kaya-raya. Semasa Daud dan anak-anak buahnya melarikan diri daripada Raja Saul, mereka membantu para gembala Nabal dan melindungi biri-biri Nabal daripada serangan perompak. Adakah Nabal menghargai bantuan mereka? Tidak. Semasa Daud meminta Nabal memberikan sedikit makanan dan air kepada anak-anak buahnya, Nabal naik marah dan memaki mereka. (1 Sam. 25:5-8, 10-12, 14) Akibatnya, Daud ingin membunuh semua lelaki dalam rumah tangga Nabal. (1 Sam. 25:13, 22) Bagaimanakah malapetaka itu dapat dielakkan? Abigail sedar bahawa itulah masanya dia harus bercakap kepada Daud. Maka dengan berani, dia pergi berjumpa dengan 400 orang lelaki bersenjata yang sedang marah dan kelaparan itu.

8. Apakah yang kita pelajari daripada contoh Abigail?

8 Kata-kata Abigail kepada Daud menunjukkan bahawa dia berani dan bersikap hormat, dan Abigail berjaya meyakinkan Daud untuk mengubah fikirannya. Biarpun Abigail bukan punca masalah itu, dia meminta maaf kepada Daud. Abigail juga menyebut tentang sifat-sifat baik Daud dan bergantung pada bantuan Yehuwa. (1 Sam. 25:24, 26, 28, 33, 34) Seperti Abigail, kita harus berani bercakap jika kita nampak orang lain bakal melakukan kesilapan besar. (Mzm. 141:5) Semasa memberikan nasihat, kita mesti berani. Namun pada masa yang sama, kita mesti menunjukkan kasih dan hormat. Dengan itu, kita membuktikan bahawa kita ialah sahabat yang sejati.​—Ams. 27:17.

9-10. Apakah yang harus diingati para penatua semasa memberikan teguran?

9 Para penatua khususnya harus berani bercakap kepada ahli sidang yang tersilap langkah. (Gal. 6:1) Penatua sedar bahawa mereka sendiri pun tidak sempurna dan ada kalanya perlu ditegur. Namun, mereka tidak membiarkan hal itu menghalang mereka daripada memberikan disiplin apabila perlu. (2 Tim. 4:2; Tit. 1:9) Semasa menasihati seseorang, mereka akan bersikap sabar dan berusaha menggunakan cara yang paling berkesan untuk memberikan teguran. Mereka berbuat demikian kerana mengasihi rakan seiman. (Ams. 13:24) Namun, hal yang terpenting bagi penatua adalah untuk menjunjung prinsip Yehuwa dan melindungi sidang, kerana mereka ingin memuliakan Yehuwa.​—Kis. 20:28.

10 Setakat ini, kita telah membincangkan bila masanya kita harus bercakap. Sekarang, mari kita bincangkan bila masanya kita harus berdiam diri.

BILAKAH KITA HARUS BERDIAM DIRI?

11. Apakah perumpamaan yang digunakan oleh Yakobus, dan apakah kaitannya dengan kata-kata kita?

11 Memang tidak mudah untuk mengawal lidah kita. Yakobus telah menggunakan satu perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan cabarannya. Dia berkata, “Jika seseorang tidak pernah berbuat silap dalam pertuturannya, dia ialah orang sempurna yang dapat mengekang seluruh tubuhnya.” (Yak. 3:2, 3) Kekang dipasang pada kepala dan mulut kuda. Dengan menarik kekang, penunggang dapat mengawal kuda atau menyuruhnya berhenti. Tetapi jika penunggang tidak memegang kekang dengan baik, kuda mungkin hilang kawalan lalu membahayakan dirinya dan penunggang. Begitu juga, lidah yang tidak terkawal akan menyebabkan banyak masalah. Mari kita lihat bila masanya kita perlu mengawal lidah kita dan berdiam diri.

WAKTU UNTUK BERDIAM DIRI

  • Semasa tergoda untuk menceritakan bagaimana kerja kita dilakukan di negara yang mengharamkan ibadat kita

  • Semasa kita mengetahui maklumat sulit tentang sidang

Di Dewan Perjumpaan, penyiar tempatan mengerumuni satu pasangan yang datang melawat dan menanya mereka banyak soalan.

(Lihat perenggan 12)e

Seorang penatua bercakap dalam telefon; dia menutup pintu di belakangnya supaya isterinya tidak mendengar perbualannya.

(Lihat perenggan 13-14)f

12. Bilakah kita harus mengawal lidah dan berdiam diri?

12 Apakah reaksi anda apabila seorang saudara atau saudari mempunyai maklumat yang tidak boleh dikongsi? Contohnya, jika anda berjumpa dengan seseorang dari negara yang mengharamkan kerja kita, adakah anda teringin menanya dia bagaimana kerja kita dilakukan di negara tersebut? Sudah tentu anda tidak berniat jahat. Kita mengasihi rakan seiman kita dan mengambil berat terhadap mereka, dan kita juga ingin menyebut tentang cabaran mereka semasa kita berdoa. Namun, ingatlah bahawa inilah masanya kita perlu mengawal lidah dan berdiam diri. Jika kita asyik mendesak seseorang untuk mengongsi maklumat yang sulit, hal ini menunjukkan bahawa kita tidak mengasihi orang itu dan saudara saudari yang mempercayakan maklumat itu kepadanya. Kita pasti tidak ingin membahayakan atau menambahkan kesusahan saudara saudari di negara yang mengharamkan kerja kita. Pada masa yang sama, saudara saudari di negara sebegini juga tidak patut membocorkan maklumat tentang bagaimana Saksi-Saksi di situ menginjil atau melakukan kegiatan Kristian mereka.

13. Menurut Amsal 11:13, apakah yang mesti dilakukan penatua? Mengapa?

13 Para penatua khususnya perlu mengikut prinsip di Amsal 11:13 dan pandai menyimpan rahsia. (Baca.) Hal itu tidak mudah, terutamanya jika seorang penatua sudah berkahwin. Untuk memelihara hubungan yang rapat, suami isteri perlu sering berkomunikasi dan mengongsi fikiran, perasaan, dan kekhuatiran yang terpendam. Tetapi seorang penatua sedar bahawa perkara sulit saudara saudari di sidang mesti dirahsiakan. Jika dia “membongkar rahsia” mereka, nama baiknya akan rosak, dan mereka akan berasa susah untuk mempercayainya lagi. Saudara terlantik dalam sidang tidak boleh “mempunyai lidah bercabang,” atau menipu. (1 Tim. 3:8, nota kaki) Maksudnya, setelah berjanji untuk menyimpan rahsia, mereka tidak boleh bergosip tentangnya. Seorang penatua yang mengasihi isterinya tidak akan membebani isterinya dengan maklumat yang tidak perlu diketahuinya.

14. Bagaimanakah isteri seorang penatua dapat membantu menjaga nama baik suaminya?

14 Seorang isteri dapat membantu menjaga nama baik suaminya dengan tidak asyik bertanya tentang maklumat yang sulit. Isteri yang berbuat demikian bukan sahaja menyokong suaminya, tetapi juga menghormati orang yang memberitahu suaminya hal peribadi mereka. Yang terpenting, isteri sebegini akan menggembirakan Yehuwa, kerana dia menyumbang kepada keamanan dan perpaduan sidang.​—Rm. 14:19.

APAKAH PERASAAN YEHUWA TENTANG KATA-KATA KITA?

15. Apakah perasaan Yehuwa terhadap tiga orang sahabat Ayub? Mengapa?

15 Buku Ayub mengandungi banyak pengajaran tentang bila dan bagaimana kita harus bercakap. Setelah Ayub ditimpa malapetaka secara bertubi-tubi, empat orang lelaki datang untuk melegakannya dan menasihatinya. Mereka berempat berdiam diri untuk masa yang sangat lama. Tetapi apabila Elifas, Bildad, dan Zofar membuka mulut, jelaslah bahawa mereka tidak menggunakan masa itu untuk berfikir tentang bagaimana mereka dapat membantu Ayub. Sebaliknya, mereka hanya berfikir untuk menghakimi Ayub dan membuktikan bahawa dia telah berbuat salah. Sesetengah hal yang disebutkan mereka memang benar, tetapi kebanyakan kata-kata mereka tentang Ayub dan Yehuwa tidak benar, dan menunjukkan bahawa mereka tidak berbelas kasihan. (Ayb. 32:1-3) Apakah perasaan Yehuwa terhadap tiga orang sahabat Ayub? Dia sangat murka atas kebodohan mereka, dan Dia menyuruh mereka meminta Ayub untuk berdoa bagi mereka.​—Ayb. 42:7-9.

16. Apakah yang kita pelajari daripada teladan buruk Elifas, Bildad, dan Zofar?

16 Apakah yang kita pelajari daripada teladan buruk Elifas, Bildad, dan Zofar? Pertama, janganlah menghakimi rakan seiman kita. (Mat. 7:1-5) Sebaliknya, dengarlah luahan mereka dengan teliti sebelum kita bercakap. Dengan itu, barulah kita dapat memahami keadaan mereka. (1 Ptr. 3:8) Kedua, semasa bercakap, pastikan kata-kata kita benar dan tidak menghiris hati orang lain. (Ef. 4:25) Ketiga, Yehuwa memperhatikan apa yang kita katakan kepada satu sama lain.

17. Apakah yang kita pelajari daripada contoh Elihu?

17 Orang keempat yang melawat Ayub ialah Elihu, seorang sanak saudara Abraham. Dia memasang telinga semasa Ayub dan tiga sahabatnya yang lain bercakap. Dia pasti telah mendengar dengan teliti, kerana meskipun nasihatnya terus terang, kata-katanya juga mencerminkan belas kasihannya terhadap Ayub. (Ayb. 33:1, 6, 17) Bagi Elihu, hal yang terpenting adalah untuk memuliakan Yehuwa, bukan diri sendiri atau orang lain. (Ayb. 32:21, 22; 37:23, 24) Contoh Elihu mengajar kita bahawa ada waktunya kita harus berdiam diri dan memasang telinga. (Yak. 1:19) Kita juga belajar bahawa semasa memberikan nasihat, tumpuan utama kita adalah untuk memuliakan Yehuwa, bukan diri sendiri.

18. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai kebolehan untuk bercakap?

18 Tuhan telah menyuruh Raja Salomo untuk menulis, “Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya bagaikan buah epal emas di dalam pinggan perak.” (Ams. 25:11) Jika kita mendengar dengan teliti dan berfikir sebelum bercakap, kata-kata kita pun akan menjadi seperti epal emas yang indah dan bernilai. Dengan itu, tidak kira kata-kata kita banyak ataupun sedikit, kita dapat menguatkan orang lain, dan Yehuwa akan bangga dengan kita. (Ams. 23:15; Ef. 4:29) Apabila kita mengikut nasihat Bible tentang bila dan bagaimana kita harus bercakap, kita menunjukkan kepada Tuhan bahawa kita menghargai kebolehan untuk bercakap!

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Bilakah kita harus bercakap?

  • Bilakah kita harus berdiam diri?

  • Apakah yang anda pelajari daripada watak-watak Bible yang disebutkan dalam rencana ini?

LAGU 82 “Biarlah Cahaya Kamu Bersinar”

a Prinsip Bible dapat membantu kita mengetahui waktu untuk bercakap dan waktu untuk berdiam diri. Apabila kita mengetahui dan menerapkan prinsip Bible, tutur kata kita dapat menyenangkan hati Yehuwa.

b KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari memberikan nasihat yang diperlukan.

c KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara memberikan cadangan tentang kebersihan.

d KETERANGAN GAMBAR: Pada masa yang sesuai, Abigail telah bercakap kepada Daud dan meraih hasil yang baik.

e KETERANGAN GAMBAR: Sepasang suami isteri tidak mendedahkan butiran tentang kegiatan saudara saudari di negara yang mengharamkan kerja kita.

f KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara memastikan agar isterinya tidak terdengar perbualannya tentang perkara sulit sidang.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi