PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w21 Februari ms. 20-24
  • Yehuwa Telah ‘Meluruskan Jalan Hidupku’

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Yehuwa Telah ‘Meluruskan Jalan Hidupku’
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • IBU BAPA SAYA MEMBANTU SAYA MENEMUI JALAN HIDUP YANG BENAR
  • MEMILIH UNTUK PERCAYA KEPADA YEHUWA
  • TIDAK DIKECEWAKAN KERANA PERCAYA KEPADA YEHUWA
  • PERUBAHAN DALAM TUGASAN
  • MELAWAT KE MERATA TEMPAT
  • MENGHADAPI PERUBAHAN
  • Khidmat Sepenuh Masa​—Berkat yang Diraih
    Menara Pengawal—2014
  • Berpegang pada Jubah Seorang Yahudi Selama Tujuh Puluh Tahun
    Menara Pengawal—2012
  • Saya Mahu Berkhidmat kepada Yehuwa dengan Sepenuh Hati
    Kisah Hidup Saksi-Saksi Yehuwa
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
w21 Februari ms. 20-24
Stephen Hardy.

KISAH HIDUP

Yehuwa Telah ‘Meluruskan Jalan Hidupku’

DICERITAKAN OLEH STEPHEN HARDY

SEORANG saudara muda pernah menanya saya, “Apakah ayat kegemaran saudara?” Saya segera menjawab, “Amsal 3, ayat 5 dan 6, yang berbunyi: ‘Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu, dan janganlah bergantung pada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan Dia dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan meluruskan jalan hidupmu.’” Sesungguhnya, Yehuwa telah meluruskan jalan hidup saya. Bagaimana?

IBU BAPA SAYA MEMBANTU SAYA MENEMUI JALAN HIDUP YANG BENAR

Ibu bapa saya mempelajari kebenaran sekitar tahun 1920 sebelum mereka berkahwin. Saya lahir pada tahun 1939. Semasa kecil, keluarga saya tinggal di England. Saya menghadiri perjumpaan bersama ibu bapa saya dan menyertai Sekolah Penyebaran Teokratik. Sampai hari ini, saya masih ingat bagaimana saya perlu berdiri di atas sebuah kotak supaya cukup tinggi untuk memberikan ceramah saya yang pertama. Masa itu, saya berumur enam tahun, dan sangat gementar semasa melihat semua orang dewasa dalam hadirin.

Stephen Hardy semasa kecil. Dia menginjil bersama ibu bapanya dan saudara saudari lain. Mereka memegang poster tentang tajuk ceramah umum bagi perhimpunan.

Membuat kesaksian di tempat awam bersama ibu bapa saya

Bapa saya menaip penyampaian yang ringkas pada sekeping kad supaya saya dapat menggunakannya semasa menginjil. Saya berumur lapan tahun semasa berpeluang mengunjungi sebuah rumah seorang diri. Penghuni rumah itu membaca kad saya dan segera menerima buku “Let God Be True”! Saya begitu teruja sehingga berlari untuk memberitahu bapa saya tentang hal itu. Kerja penyebaran dan perjumpaan telah memberi saya sukacita dan menguatkan keinginan saya untuk berkhidmat sepenuh masa kepada Yehuwa.

Saya semakin mencintai kebenaran Bible setelah bapa saya membantu saya melanggan majalah Menara Pengawal. Saya membaca setiap terbitan dengan teliti sebaik sahaja majalah itu tiba di rumah kami. Saya semakin percaya kepada Yehuwa dan akhirnya membaktikan diri kepada-Nya.

Keluarga kami telah menghadiri “Perhimpunan Pertambahan Teokratik” di New York pada tahun 1950. Pada hari Khamis, 3 Ogos, tema untuk hari itu ialah “Hari Mubaligh.” Saudara Carey Barber, yang kemudiannya menjadi ahli Badan Pimpinan, telah menyampaikan ceramah pembaptisan. Selepas dia menanya para calon pembaptisan dua soalan pada penghujung ceramahnya, saya berdiri dan berkata, “Ya!” Ketika itu saya berumur 11 tahun, tetapi saya sedar bahawa saya telah mengambil satu langkah yang penting. Namun, saya takut masuk ke dalam kolam kerana saya belum tahu berenang. Jadi, bapa saudara saya menemani saya ke kolam dan meyakinkan saya bahawa semuanya akan OK. Semasa saya dibaptis, seorang saudara mengangkat saya dan menghulurkan saya kepada seorang saudara lain. Setelah saya dibaptis, seorang lagi saudara mengeluarkan saya dari kolam. Semuanya berlaku dengan begitu cepat sehingga kaki saya tidak pernah menyentuh dasar kolam. Sejak hari yang bersejarah itu, Yehuwa terus meluruskan jalan hidup saya.

MEMILIH UNTUK PERCAYA KEPADA YEHUWA

Saya ingin merintis selepas tamat sekolah, tetapi guru-guru saya menggalakkan saya untuk mengejar pendidikan tinggi. Jadi, saya tunduk kepada tekanan mereka dan pergi ke universiti. Namun tidak lama kemudian, saya sedar bahawa saya tidak dapat berpegang teguh pada kebenaran dan berfokus kepada pengajian saya pada masa yang sama. Jadi, saya memutuskan untuk menghentikan kursus saya. Saya telah berdoa kepada Yehuwa tentang hal itu dan menulis sepucuk surat untuk menjelaskan kepada guru-guru saya sebabnya saya tidak akan melanjutkan pengajian saya. Pada akhir tahun pertama, saya keluar dari universiti dan segera mula merintis, kerana yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa akan membimbing saya.

Pada Julai 1957, saya mula merintis di pekan Wellingborough. Saya menanya para saudara di Bethel London jika terdapat seorang saudara yang berpengalaman yang dapat menjadi teman saya. Saya diperkenalkan kepada Saudara Bert Vaisey, seorang perintis yang bersemangat. Dia telah mengajar saya banyak perkara dan membantu saya supaya mempunyai jadual yang baik untuk kerja penyebaran. Sidang kami di situ terdiri daripada enam orang saudari yang lanjut usia, Saudara Vaisey, dan saya. Dengan membuat persiapan bagi perjumpaan dan mengambil bahagian semasa perjumpaan, saya berpeluang menguatkan keyakinan saya terhadap Yehuwa dan meluahkan kepercayaan saya melalui komen.

Kemudian, saya dipenjarakan untuk suatu ketika kerana enggan menyertai khidmat tentera. Selepas dibebaskan, saya mengenali Barbara, seorang perintis khas. Kami berkahwin pada tahun 1959 dan sudi berkhidmat di mana sahaja kami ditugaskan. Tugasan kami yang pertama adalah di Lancashire, di barat laut England. Kemudian pada Januari 1961, saya dijemput untuk menghadiri Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik, yang diadakan di Bethel London selama sebulan. Pada penghujung sekolah itu, saya menerima tugasan yang tidak dijangka, iaitu kerja lawatan. Jadi, selama dua minggu saya dilatih oleh seorang penyelia litar yang berpengalaman di kota Birmingham, dan Barbara dibenarkan untuk dilatih bersama saya. Selepas itu, kami memulakan kerja lawatan di Lancashire dan Cheshire.

TIDAK DIKECEWAKAN KERANA PERCAYA KEPADA YEHUWA

Semasa bercuti pada Ogos 1962, kami menerima sepucuk surat daripada pejabat cawangan. Dalam surat itu, terdapat borang untuk Sekolah Gilead, yang merangkumi kursus Bible selama 10 bulan! Selepas berdoa tentang hal itu, saya dan Barbara mengisi borang itu, dan menghantarnya kembali kepada pejabat cawangan. Lima bulan kemudian, kami pergi ke Brooklyn, New York, untuk menghadiri Sekolah Gilead, kelas yang ke-38.

Di Sekolah Gilead, kami mempelajari banyak hal tentang Firman Tuhan, organisasi-Nya, dan saudara saudari di serata bumi. Pada masa itu, kami masing-masing berumur 24 tahun dan 23 tahun, dan kami juga mempelajari banyak hal daripada rakan sekelas yang lain. Saya diberikan tugasan untuk bekerja setiap hari bersama Saudara Fred Rusk, salah seorang pengajar Sekolah Gilead. Daripada Saudara Fred, saya telah mempelajari pentingnya untuk sentiasa memberikan nasihat yang berdasarkan sepenuhnya pada Bible. Kami juga menikmati ceramah daripada saudara-saudara yang berpengalaman seperti Nathan Knorr, Frederick Franz, dan Karl Klein. Selain itu, kami sangat menghargai kerendahan hati Saudara A. H. Macmillan. Dalam ceramahnya, dia menjelaskan bagaimana Yehuwa terus membimbing umat-Nya semasa organisasi-Nya menghadapi cabaran dari tahun 1914 hingga 1919.

PERUBAHAN DALAM TUGASAN

Menjelang penghujung kursus kami, Saudara Knorr memberitahu saya dan Barbara bahawa kami akan ditugaskan ke Burundi di Afrika. Kami segera pergi ke perpustakaan Bethel dan mencari buku tahunan untuk mengetahui bilangan penyiar di Burundi pada masa itu. Tetapi kami langsung tidak menjumpai laporan tentang negara itu! Ya, kami akan pergi ke kawasan yang tidak pernah dikunjungi oleh Saksi. Kami sangat gementar, tetapi doa telah membantu menenangkan fikiran kami.

Kami perlu membiasakan diri dengan cuaca dan budaya di Burundi. Kami juga perlu mempelajari bahasa Perancis dan mencari tempat tinggal yang sesuai. Dua hari selepas kami tiba, Harry Arnott, salah seorang rakan sekelas Gilead kami, melawat kami dalam perjalanannya pulang ke Zambia. Dia telah membantu kami mencari sebuah apartmen untuk dijadikan rumah mubaligh. Tidak lama kemudian, kami ditentang oleh pihak berkuasa tempatan yang tidak mengenali Saksi-Saksi Yehuwa. Sedihnya, apabila kami mula menikmati tugasan kami, pihak berkuasa memberitahu kami bahawa kami tidak dibenarkan terus tinggal di Burundi tanpa permit kerja. Jadi, kami terpaksa berpindah ke negara lain, iaitu ke Uganda.

Kami berasa risau kerana kami akan pergi ke Uganda tanpa visa, tetapi kami percaya Yehuwa akan membantu kami. Seorang saudara dari Kanada, yang telah berpindah untuk berkhidmat di Uganda, telah menjelaskan situasi kami kepada seorang pegawai imigresen. Jadi, kami diberi masa beberapa bulan untuk memohon permit supaya dapat terus tinggal di Uganda. Hal itu meyakinkan kami bahawa Yehuwa sedang membantu kami.

Keadaan di Uganda sangat berbeza daripada keadaan di Burundi. Kerja penyebaran sudah mula dilakukan di situ walaupun hanya terdapat 28 orang Saksi di seluruh negara. Semasa menginjil, kami menemui banyak orang yang tahu berbahasa Inggeris. Tetapi tidak lama kemudian, kami sedar bahawa kami perlu mempelajari sekurang-kurangnya satu bahasa peribumi supaya dapat membantu orang yang berminat membuat kemajuan. Kebanyakan orang di Kampala, iaitu kawasan penyebaran kami, menuturkan bahasa Luganda, jadi kami memutuskan untuk mempelajari bahasa itu. Kami memerlukan masa bertahun-tahun untuk menguasai bahasa itu, tetapi usaha kami sangat berbaloi! Kami lebih memahami keperluan rohani pelajar Bible kami. Hasilnya, mereka lebih sudi meluahkan isi hati mereka dan memberitahu kami perasaan mereka tentang apa yang dipelajari mereka.

MELAWAT KE MERATA TEMPAT

Kolaj: 1. Peta Afrika yang menunjukkan beberapa tempat Stephen Hardy pernah berkhidmat. 2. Stephen duduk di atas kerusi lipat di luar vannya. 3. Barbara, iaitu isteri pertama Stephen, mencuci sayur dalam besen plastik.

Semasa kami melawat pelbagai tempat di Uganda

Kami amat bersukacita kerana dapat menemui orang yang rendah hati, yang mendahagakan kebenaran. Sukacita kami telah berlipat ganda semasa kami ditugaskan untuk melakukan kerja lawatan. Di bawah arahan pejabat cawangan Kenya, kami telah melawat ke seluruh Uganda untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang paling memerlukan perintis khas. Dalam perjalanan kami, kami sering disambut dengan mesra oleh orang yang tidak pernah berjumpa dengan Saksi. Mereka mengalu-alukan kami dan bahkan memasak untuk kami.

Kemudian, kami ditugaskan untuk melawat tempat-tempat lain. Dari Kampala, saya telah menaiki kereta api selama dua hari ke Mombasa. Dari pelabuhan di Mombasa, saya menaiki kapal ke Seychelles yang terletak di Lautan Hindi. Dari tahun 1965 hingga 1972, saya dan Barbara melawat Seychelles secara tetap. Pada mulanya, hanya ada dua orang penyiar di situ. Tetapi, bilangan penyiar di pulau itu semakin bertambah sehingga terbentuk sebuah kumpulan dan akhirnya sebuah sidang. Saya juga berpeluang melawat saudara saudari di Eritrea, Etiopia, dan Sudan.

Keadaan politik di Uganda berubah setelah kumpulan tentera merampas kuasa kerajaan, dan hal ini telah menyebabkan kehidupan di Uganda menjadi sangat susah. Pada masa itu, saya telah melihat betapa bijaknya mematuhi arahan Bible untuk ‘memberikan milik Kaisar kepada Kaisar.’ (Mrk. 12:17) Pernah sekali, semua orang asing yang tinggal di Uganda dikehendaki mendaftar di balai polis yang terdekat dengan rumah mereka. Kami segera mematuhi arahan itu. Beberapa hari kemudian, semasa saya dan seorang mubaligh lain memandu di Kampala, polis rahsia telah menahan kami. Jantung kami berdegup kencang ketika itu! Mereka menuduh kami ialah pengintip dan membawa kami ke ibu pejabat polis. Di situ, kami cuba menjelaskan bahawa kami ialah mubaligh yang mencintai kedamaian, dan kami sudah mendaftar di balai polis yang terdekat. Namun, mereka tidak mempercayai kami. Jadi, kami diiringi pegawai yang bersenjata ke balai polis yang paling dekat dengan rumah mubaligh. Di situ, seorang pegawai mengenali kami dan tahu bahawa kami sudah mendaftar, jadi dia mengarahkan agar kami dibebaskan. Alangkah leganya hati kami!

Pada masa itu, terdapat banyak sekatan jalan raya. Kami berasa sangat risau, terutamanya semasa berurusan dengan askar yang sudah mabuk. Namun, setiap kali kami berdepan dengan situasi sebegini, kami berasa lebih tenang setelah berdoa dan kami dibenarkan untuk meneruskan perjalanan kami. Sedihnya, pada tahun 1973, semua mubaligh diarahkan untuk meninggalkan Uganda.

Stephen menggunakan mesin cetak.

Membuat salinan Kerja Teokratik Kita, Abidjan, pejabat cawangan Côte d’Ivoire

Selepas itu, kami ditugaskan ke Côte d’Ivoire di Afrika Barat. Kami perlu membiasakan diri dengan budaya baharu, tinggal bersama mubaligh dari negara lain, dan bercakap dalam bahasa Perancis. Namun, kami diyakinkan bahawa inilah bimbingan Yehuwa, kerana ramai orang yang berhati jujur telah menyambut berita baik dalam masa yang singkat. Kami sendiri telah melihat bagaimana Yehuwa meluruskan jalan hidup orang yang percaya kepada-Nya.

Namun, tiba-tiba Barbara didapati menghidap kanser. Walaupun kami kembali ke Eropah berkali-kali untuk mendapatkan rawatan, pada tahun 1983, kami sedar bahawa kami tidak dapat terus berkhidmat di Afrika lagi. Kami berdua berasa sangat kecewa!

MENGHADAPI PERUBAHAN

Selepas kami kembali ke Bethel London, keadaan Barbara menjadi semakin tenat, dan akhirnya dia meninggal. Keluarga Bethel telah memberi saya sokongan yang besar pada masa itu. Sepasang suami isteri telah membantu saya menghadapi kehilangan Barbara dan terus percaya kepada Yehuwa. Kemudian, saya mengenali Ann, seorang pekhidmat ulang-alik Bethel. Dia pernah berkhidmat sebagai perintis khas dan sangat mengasihi Yehuwa. Selepas kami berkahwin pada tahun 1989, kami terus berkhidmat di Bethel.

Stephen dan Ann Hardy.

Bersama Ann di depan bangunan baharu Bethel Britain

Dari tahun 1995 hingga 2018, saya berpeluang berkhidmat sebagai wakil ibu pejabat, yang dahulunya dikenali sebagai penyelia zon. Saya telah melawat hampir 60 buah negara, dan dalam setiap lawatan, saya dapat melihat bagaimana Yehuwa memberkati umat-Nya dalam pelbagai situasi.

Pada tahun 2017, saya ditugaskan untuk melawat Afrika. Saya sangat gembira kerana dapat membawa Ann ke Burundi, yang kini mempunyai lebih daripada 15,500 orang penyiar. Di lorong tempat saya pernah menginjil pada tahun 1964, kini terdapat bangunan Bethel yang indah. Kami berdua sangat kagum dengan perkembangan rohani di Burundi!

Saya sangat gembira semasa menerima senarai negara-negara yang perlu saya lawat pada tahun 2018. Salah sebuah negara pada senarai itu ialah Côte d’Ivoire. Semasa kami tiba di Abidjan, iaitu kota terbesar negara itu, saya berasa seperti pulang ke kampung saya sendiri. Semasa kami tinggal di Bethel, saya melihat panduan telefon untuk mengetahui siapa yang tinggal di bilik sebelah. Saya ternampak sebuah nama yang saya kenali, iaitu Sossou. Saya ingat bahawa saudara itu ialah penyelia bandar semasa saya di Abidjan dahulu. Tetapi saya tersilap. Rupa-rupanya Sossou ini ialah anak lelakinya.

Yehuwa memang menepati janji-Nya. Setelah mengharungi cubaan demi cubaan, saya lebih yakin bahawa jika kita percaya kepada Yehuwa, Dia pasti meluruskan jalan hidup kita. Kami bertekad untuk terus menyembah Yehuwa dan mengikut jalan yang menuju kehidupan kekal di dunia baharu.​—Ams. 4:18.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi