PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w21 Mac ms. 14-19
  • Cara Mendapat Kekuatan semasa Membaca Bible

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Cara Mendapat Kekuatan semasa Membaca Bible
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • APAKAH YANG DAPAT ANDA PELAJARI DARIPADA RAJA DAUD?
  • APAKAH YANG DAPAT ANDA PELAJARI DARIPADA PAULUS?
  • BELAJAR DARIPADA WATAK-WATAK BIBLE LAIN
  • “Apabila Aku Lemah, Aku Menjadi Kuat”
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020
  • “Ajarlah Aku Melakukan Kehendak-Mu”
    Menara Pengawal—2012
  • Para Saudara Muda—Buktikanlah bahawa Anda Dapat Diharapkan!
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
  • Terus Merenungkan Hal-Hal Rohani
    Menara Pengawal—2015
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
w21 Mac ms. 14-19

RENCANA PEMBELAJARAN 11

Cara Mendapat Kekuatan semasa Membaca Bible

“Tuhan . . . memberi kamu ketabahan.”​—RM. 15:5.

LAGU 94 Bersyukur atas Kurniaan Firman Tuhan

PENGENALANa

1. Apakah sesetengah cubaan yang dihadapi umat Yehuwa?

ADAKAH anda sedang menghadapi cubaan yang besar? Mungkin anda disakiti oleh seseorang di sidang. (Yak. 3:2) Atau anda mungkin diejek oleh rakan sekerja atau rakan sekolah kerana menyembah Yehuwa. (1 Ptr. 4:3, 4) Atau ahli keluarga anda mungkin mencuba menghalang anda daripada menghadiri perjumpaan atau mengongsi kepercayaan anda. (Mat. 10:35, 36) Semasa ditimpa cubaan yang sangat berat, anda mungkin berasa ingin berputus asa. Namun, yakinlah bahawa tidak kira apa cabaran anda, Yehuwa akan memberi anda kebijaksanaan untuk menanganinya dan kekuatan untuk terus bertabah.

Apakah yang dapat kita lakukan jika kita ingin mencari nasihat untuk menangani cabaran?

  1. Seorang saudari berdoa sebelum membaca Bible.

    1. BERDOA

    Sebelum membaca Bible, mintalah bantuan Yehuwa supaya anda dapat meraih manfaat daripada pembacaan Bible anda (Lihat perenggan 3)

  2. Saudari yang sama membayangkan keadaan Rasul Paulus yang perlu menulis surat semasa dirantai di dalam penjara.

    2. BAYANGKAN

    Bayangkan diri anda sebagai watak Bible dalam kisah yang sedang anda baca (Lihat perenggan 4)

  3. Saudari itu merenungkan apa yang telah dibacanya sambil mengkaji buku ‘Memberikan Kesaksian.’

    3. RENUNGKAN

    Fikirkan secara mendalam tentang apa yang telah anda baca dan apa kaitannya dengan anda (Lihat perenggan 5)

  4. Saudari itu duduk di atas bangku di taman dan memberikan kesaksian kepada seorang wanita yang duduk di sebelahnya.

    4. TERAPKAN

    Terapkan apa yang telah anda pelajari supaya anda dapat membuat keputusan yang lebih baik, berasa lebih tenang, dan memupuk iman yang lebih kuat (Lihat perenggan 6)

2. Menurut Roma 15:4, apakah hasilnya jika kita membaca Firman Tuhan?

2 Yehuwa memastikan agar Firman-Nya mengandungi catatan yang terperinci tentang bagaimana manusia yang tidak sempurna menghadapi cubaan yang berat. Mengapakah Yehuwa berbuat demikian? Untuk mengajar kita. Itulah yang dinyatakan oleh Rasul Paulus di Roma 15:4. (Baca.) Jika kita membaca catatan Bible sebegini, kita akan mendapat harapan dan kelegaan. Namun sekadar membaca Bible tidak mencukupi. Untuk meraih manfaat yang sepenuhnya, kita mesti membiarkan ayat-ayat Bible mengubah fikiran kita dan menyentuh hati kita. Sebagai contoh, apakah yang dapat kita lakukan jika kita ingin mencari nasihat untuk mengatasi masalah? Kita dapat menggunakan empat langkah berikut: (1) Berdoa, (2) Bayangkan, (3) Renungkan, dan (4) Terapkan. Sekarang, mari kita meneliti empat langkah tersebut.b Kemudian, kita akan menggunakan empat langkah ini untuk mengkaji peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Raja Daud dan Rasul Paulus.

Seorang saudari berdoa sebelum membaca Bible.

1. BERDOA

Sebelum membaca Bible, mintalah bantuan Yehuwa supaya anda dapat meraih manfaat daripada pembacaan Bible anda (Lihat perenggan 3)

3. Sebelum membaca Bible, apakah yang patut anda lakukan, dan mengapa?

3 (1) Berdoa. Sebelum membaca Bible, mintalah bantuan Yehuwa supaya anda dapat meraih manfaat daripada pembacaan Bible anda. Misalnya, jika anda memerlukan nasihat untuk menangani masalah, mintalah bantuan Yehuwa supaya anda dapat menjumpai prinsip Bible yang sesuai.​—Flp. 4:6, 7; Yak. 1:5.

Saudari yang sama membayangkan keadaan Rasul Paulus yang perlu menulis surat semasa dirantai di dalam penjara.

2. BAYANGKAN

Bayangkan diri anda sebagai watak Bible dalam kisah yang sedang anda baca (Lihat perenggan 4)

4. Apakah yang dapat anda lakukan supaya kisah Bible yang anda baca menjadi hidup?

4 (2) Bayangkan. Yehuwa telah mengurniai kita daya imaginasi. Jadi, semasa membaca suatu kisah Bible, cubalah bayangkan keadaannya dan bayangkan diri anda sebagai watak Bible yang sedang anda baca. Cubalah lihat apa yang dilihatnya dan selamilah perasaannya. Dengan itu, kisah Bible yang anda baca akan menjadi hidup.

Saudari itu merenungkan apa yang telah dibacanya sambil mengkaji buku ‘Memberikan Kesaksian.’

3. RENUNGKAN

Fikirkan secara mendalam tentang apa yang telah anda baca dan apa kaitannya dengan anda (Lihat perenggan 5)

5. Apakah itu perenungan, dan bagaimanakah anda dapat membuat perenungan?

5 (3) Renungkan. Membuat perenungan bererti berfikir secara mendalam tentang apa yang telah anda baca dan kaitannya dengan anda. Perenungan dapat membantu anda lebih memahami apa yang dibaca, dan membantu anda mengaitkan apa yang baru anda pelajari dengan apa yang sudah anda tahu. Membaca Bible tanpa membuat perenungan adalah seperti meletakkan setiap ramuan yang diperlukan untuk suatu lauk di atas meja, tetapi tidak melakukan apa-apa selepas itu. Perenungan adalah seperti menggabungkan semua ramuan itu di dalam kuali untuk menghasilkan masakan yang enak. Untuk membuat perenungan, anda boleh memikirkan soalan seperti: “Bagaimanakah watak utama dalam kisah ini mengatasi masalahnya? Bagaimanakah Yehuwa membantunya? Bagaimanakah pengajaran daripada kisah ini dapat membantu saya menghadapi cubaan dengan tabah?”

Saudari itu duduk di atas bangku di taman dan memberikan kesaksian kepada seorang wanita yang duduk di sebelahnya.

4. TERAPKAN

Terapkan apa yang telah anda pelajari supaya anda dapat membuat keputusan yang lebih baik, berasa lebih tenang, dan memupuk iman yang lebih kuat (Lihat perenggan 6)

6. Mengapakah kita mesti menerapkan apa yang telah kita pelajari?

6 (4) Terapkan. Yesus berkata bahawa jika kita tidak menerapkan apa yang kita pelajari, kita seperti seorang yang membina rumahnya di atas pasir. Orang itu memang bekerja keras untuk membina rumahnya, tetapi usahanya sia-sia sahaja kerana rumahnya akan roboh apabila banjir dan ribut melanda. (Mat. 7:24-27) Begitu juga, jika kita berdoa, membayangkan kisah Bible yang dibaca, dan membuat perenungan, tetapi tidak menerapkan apa yang kita pelajari, usaha kita sia-sia sahaja. Mengapa? Iman kita tidak akan cukup kuat untuk bertahan semasa kita ditimpa cubaan atau penganiayaan. Namun, jika kita mengkaji Bible dan menerapkan apa yang kita pelajari, kita akan dapat membuat keputusan yang lebih baik, berasa lebih tenang, dan memupuk iman yang lebih kuat. (Yes. 48:17, 18) Sekarang, mari kita menggunakan empat langkah yang disebutkan untuk mengkaji satu peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Raja Daud.

APAKAH YANG DAPAT ANDA PELAJARI DARIPADA RAJA DAUD?

7. Apakah kisah Bible yang akan kita bincangkan?

7 Adakah seorang sahabat atau ahli keluarga telah melukai perasaan anda? Jika ya, cubalah mengkaji apa yang dilakukan oleh Raja Daud sewaktu anaknya Absalom mengkhianatinya dan cuba merampas takhtanya.​—2 Sam. 15:5-14, 31; 18:6-14.

8. Bagaimanakah anda dapat meminta bantuan Yehuwa?

8 (1) Berdoa. Sebelum membaca kisah itu, beritahulah Yehuwa secara spesifik bagaimana cara anda dilayan telah melukai perasaan anda. (Mzm. 6:6-9) Kemudian, mintalah Yehuwa untuk membantu anda mencari prinsip Bible yang dapat membimbing anda untuk menangani cabaran anda.

9. Apakah yang berlaku antara Daud dengan Absalom?

9 (2) Bayangkan. Fikirkan apa yang terjadi antara Daud dengan anaknya Absalom, dan bayangkan bagaimana peristiwa-peristiwa itu mempengaruhi Daud. Selama bertahun-tahun, Absalom berkomplot untuk mengambil hati rakyat. (2 Sam. 15:7) Apabila Absalom berasa bahawa dia sudah mendapat sokongan rakyat, dia mengutus pengintip ke seluruh negeri Israel untuk menyuruh mereka bersedia menerimanya sebagai raja. Dia juga berjaya memujuk Ahitofel, seorang sahabat rapat dan penasihat Daud, untuk menyokong pemberontakannya. Kemudian, Absalom mengisytiharkan bahawa dia sudah menjadi raja, dan dia cuba menangkap dan membunuh Daud, yang mungkin sakit tenat ketika itu. (Mzm. 41:1-9) Semasa Daud mendapat tahu tentang rancangan Absalom, dia terpaksa melarikan diri dari Yerusalem. Akhirnya, dalam pertembungan antara tentera Absalom dengan tentera Daud, tentera Absalom telah dikalahkan dan Absalom telah dibunuh.

10. Bagaimanakah peristiwa yang berlaku kepada Daud mungkin mempengaruhinya?

10 Seterusnya, bayangkanlah perasaan Daud. Absalom ialah anak kesayangannya, dan Ahitofel ialah sahabatnya yang dipercayai. Namun, mereka berdua mengkhianati Daud, melukai perasaannya, dan bahkan cuba membunuhnya. Hal-hal ini mungkin membuat Daud tidak lagi mempercayai sahabatnya yang lain dan berfikir bahawa mereka mungkin sudah berpihak kepada Absalom. Daud juga mungkin memutuskan untuk meninggalkan Yerusalem seorang diri kerana hanya berfikir tentang kepentingan dirinya sendiri. Atau dia mungkin berasa begitu tawar hati sehingga berputus asa. Namun Daud tidak berbuat demikian. Sebaliknya, dia berjaya mengatasi cubaan yang berat ini. Bagaimanakah dia dapat melakukannya?

11. Apakah reaksi Daud semasa ditimpa masalah?

11 (3) Renungkan. Apakah yang dapat anda pelajari daripada kisah ini? Jawablah soalan berikut: Bagaimanakah Daud mengatasi masalahnya? Daud tetap bertenang dan tidak membuat keputusan secara terburu-buru. Dia juga tidak menjadi begitu takut sehingga tidak berani mengambil tindakan. Sebaliknya, dia berdoa memohon bantuan Yehuwa, meminta pertolongan daripada sahabatnya, dan bertindak tanpa berlengah-lengah setelah membuat keputusan. Walaupun Daud sangat sakit hati, dia tidak membiarkan hatinya dipenuhi rasa benci dan curiga. Sebaliknya, dia tetap berharap kepada Yehuwa dan tetap mempercayai sahabat-sahabatnya.

12. Bagaimanakah Yehuwa membantu Daud?

12 Bagaimanakah Yehuwa membantu Daud? Jika anda membuat penyelidikan, anda akan belajar bahawa Yehuwa telah memberi Daud kekuatan untuk bertabah. (Mzm. 3:1-8; penerangan) Yehuwa juga memberkati keputusan Daud dan menyokong sahabat-sahabat Daud yang berjuang untuk melindungi raja mereka.

13. Bagaimanakah anda dapat meniru teladan Daud jika orang lain membuat anda berasa sangat sakit hati? (Matius 18:15-17)

13 (4) Terapkan. Tanyalah diri: “Bagaimanakah saya dapat mengikut teladan Daud?” Semasa menghadapi masalah, anda perlu bertindak tanpa berlengah-lengah. Bergantung pada situasi anda, anda boleh mengikut langkah-langkah yang disebut oleh Yesus di Matius bab 18 atau menerapkan prinsip yang terkandung dalam nasihat itu. (Baca Matius 18:15-17.) Namun, janganlah membuat keputusan secara terburu-buru atau bertindak mengikut emosi semata-mata. Sebaliknya, berdoalah supaya Yehuwa memberi anda hati yang tenang dan kebijaksanaan yang diperlukan untuk menangani masalah itu. Pada masa yang sama, janganlah berfikir bahawa semua rakan seiman anda tidak dapat dipercayai. Sebaliknya, terimalah bantuan yang diberikan oleh mereka. (Ams. 17:17) Yang terpenting, ikutlah nasihat yang diberikan oleh Yehuwa menerusi Firman-Nya.​—Ams. 3:5, 6.

APAKAH YANG DAPAT ANDA PELAJARI DARIPADA PAULUS?

14. Bilakah kata-kata di 2 Timotius 1:12-16; 4:6-11, 17-22 dapat menggalakkan anda?

14 Adakah anda ditentang oleh ahli keluarga? Adakah kegiatan umat Yehuwa di negara anda dikenakan banyak sekatan atau bahkan diharamkan? Jika ya, bacalah 2 Timotius 1:12-16 dan 4:6-11, 17-22.c Ayat-ayat ini yang ditulis oleh Paulus semasa di dalam penjara dapat menggalakkan anda.

15. Apakah yang dapat anda minta daripada Yehuwa?

15 (1) Berdoa. Sebelum membaca ayat-ayat itu, beritahulah Yehuwa secara spesifik tentang masalah anda dan perasaan anda. Kemudian, mintalah bantuan Yehuwa supaya anda dapat mengenal pasti prinsip-prinsip daripada kisah Paulus yang dapat membantu anda.

16. Apakah situasi yang dihadapi oleh Paulus?

16 (2) Bayangkan. Bayangkan diri anda dalam situasi Paulus. Dia dibelenggu dengan rantai besi dan dipenjarakan di Roma. Sebelum ini dia pernah dipenjarakan, tetapi kali ini dia tahu bahawa dia akan dihukum mati. Selain itu, beberapa orang rakannya telah meninggalkannya, dan dia letih lesu secara fizikal.​—2 Tim. 1:15.

17. Bagaimanakah situasi Paulus mungkin mempengaruhinya?

17 Situasi Paulus mungkin membuatnya berfokus kepada masa lampau. Dia mungkin berfikir bahawa jika dia tidak menginjil dengan begitu bersemangat, dia tidak akan meringkuk di dalam penjara. Dia juga mungkin berasa marah dengan rakan-rakannya dari daerah Asia yang meninggalkannya, atau dia mungkin tidak lagi mempercayai sahabat-sahabatnya yang lain. Namun, Paulus tidak berbuat demikian. Apakah yang membantunya tetap yakin dan tidak hilang harapan?

18. Apakah yang dilakukan oleh Paulus semasa menghadapi cubaan yang berat?

18 (3) Renungkan. Jawablah soalan yang berikut: Bagaimanakah Paulus mengatasi cabarannya? Biarpun semasa diancam maut, Paulus tetap bertumpu kepada isu yang terpenting, iaitu memuliakan Yehuwa. Dia juga terus memikirkan bagaimana dia dapat menggalakkan orang lain. Selain itu, dia bergantung pada Yehuwa dengan sering berdoa. (2 Tim. 1:3) Biarpun Paulus ditinggalkan oleh sesetengah rakannya, dia tidak terlalu bertumpu kepada hal itu. Sebaliknya, dia meluahkan penghargaannya kepada sahabat-sahabatnya yang setia, yang membantunya dalam pelbagai cara. Tambahan lagi, Paulus tidak berhenti mengkaji Firman Tuhan. (2 Tim. 3:16, 17; 4:13) Yang terpenting, dia yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa dan Yesus mengasihinya, tetap berada di sisinya, dan pasti memberinya ganjaran atas kesetiaannya.

19. Bagaimanakah Yehuwa membantu Paulus?

19 Awal-awal lagi, Yehuwa telah memberitahu Paulus bahawa dia akan dianiaya kerana kepercayaannya. (Kis. 21:11-13) Namun, Yehuwa juga membantu Paulus untuk mengharungi cabaran itu dengan tabah. Bagaimana? Yehuwa telah menjawab doa Paulus dan sering memberinya kekuatan yang diperlukan. (2 Tim. 4:17) Yehuwa juga meyakinkan Paulus bahawa segala usahanya tidak sia-sia dan bahawa Paulus pasti akan menerima ganjaran yang dinanti-nantikannya. Selain itu, Yehuwa menggerakkan sahabat-sahabat Paulus yang setia untuk memberinya bantuan yang diperlukan.

20. Bagaimanakah anda dapat memiliki keyakinan seperti Paulus yang tercatat di Roma 8:38, 39?

20 (4) Terapkan. Tanyalah diri, “Bagaimanakah saya dapat meniru teladan Paulus?” Seperti Paulus, kita harus bersedia untuk dianiaya demi kepercayaan kita. (Mrk. 10:29, 30) Jika kita ingin tetap setia di bawah cubaan, kita perlu bergantung pada Yehuwa menerusi doa dan memupuk tabiat pembelajaran yang baik. Kita juga mesti sentiasa ingat bahawa hal yang terpenting bagi kita adalah untuk memuliakan Yehuwa. Jika kita melakukan hal-hal ini, kita dapat memiliki keyakinan seperti Paulus bahawa Yehuwa akan sentiasa di sisi kita dan tiada apa-apa pun yang dapat memisahkan kita daripada kasih-Nya.​—Baca Roma 8:38, 39; Ibr. 13:5, 6.

BELAJAR DARIPADA WATAK-WATAK BIBLE LAIN

21. Apakah yang membantu Aya dan Hector untuk mengatasi cabaran mereka?

21 Tidak kira apa situasi kita, kita dapat meraih kekuatan daripada watak-watak Bible. Contohnya, Aya, seorang perintis di Jepun, berkata bahawa kisah Yunus telah membantu dia untuk tidak lagi berasa takut semasa menjalankan kesaksian awam. Fikirkan lagi contoh Hector, seorang pemuda di Indonesia. Walaupun ibu bapanya tidak menyembah Yehuwa, teladan Rut telah mendorongnya untuk belajar tentang Yehuwa dan menyembah-Nya.

22. Bagaimanakah anda dapat meraih manfaat yang sepenuhnya semasa menonton drama Bible atau membaca siri rencana “Tirulah Iman Mereka”?

22 Bagaimanakah kita dapat meraih lebih banyak manfaat daripada kisah watak-watak Bible? Organisasi kita telah menyediakan banyak video, pembacaan Bible yang dramatik, dan siri rencana “Tirulah Iman Mereka,” untuk membantu kita lebih menghayati kisah-kisah Bible.d Sebelum anda menonton, mendengar, atau membaca suatu kisah Bible, mintalah Yehuwa untuk membantu anda mengenal pasti isi-isi yang dapat anda terapkan. Kemudian, bayangkan diri anda sebagai watak utama dalam kisah tersebut. Renungkan apa yang dilakukan oleh watak Bible itu dan bagaimana Yehuwa membantunya mengatasi masalah. Selepas itu, terapkan apa yang anda pelajari dalam kehidupan anda. Pada masa yang sama, jangan lupa untuk mengucapkan syukur atas bantuan yang diberikan oleh Yehuwa. Akhir sekali, tunjukkanlah bahawa anda menghargai bantuan Yehuwa dengan mencari peluang untuk menggalakkan dan menyokong orang lain.

23. Apakah janji Yehuwa yang tercatat di Yesaya 41:10, 13?

23 Kehidupan dalam dunia Syaitan memang mencabar, dan ada kalanya kita mungkin berasa bahawa kita hampir lemas dalam masalah kita. (2 Tim. 3:1) Namun, kita tidak perlu berasa risau atau takut kerana Yehuwa mengetahui apa yang sedang kita lalui, dan Dia pasti membantu kita. Dia telah berjanji bahawa jika kita jatuh, Dia pasti akan menghulurkan tangan kanan-Nya yang kuat dan memegang kita dengan erat. (Baca Yesaya 41:10, 13.) Ya, dengan adanya kekuatan daripada Firman-Nya, kita akan dapat mengatasi apa jua cabaran.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Apakah empat langkah yang dapat kita lakukan untuk meraih manfaat daripada kisah Bible?

  • Apakah yang telah anda pelajari daripada kisah Raja Daud dan Rasul Paulus?

  • Watak Bible manakah yang ingin anda kaji dengan lebih teliti?

LAGU 96 Kitab Tuhan yang Tak Ternilai

a Terdapat banyak kisah dalam Bible yang membuktikan bahawa Yehuwa sangat mengasihi hamba-hamba-Nya dan akan membantu mereka menghadapi apa jua cubaan. Rencana ini akan membincangkan bagaimana anda dapat mengkaji kisah Bible supaya anda dapat meraih lebih banyak manfaat.

b Selain langkah-langkah yang dicadangkan dalam rencana ini, anda juga dapat menemui cadangan lain untuk mengkaji Bible dalam Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa. Lihat subjek “Bible” dan cari tajuk kecil “Membaca dan Memahami Bible.”

c Jangan membaca ayat-ayat ini semasa pembelajaran Menara Pengawal.

d Lihat “Tirulah Iman Mereka​—Lelaki dan Wanita dalam Bible” di jw.org/ms. (Lihat AJARAN BIBLE > IMAN KEPADA TUHAN.)

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi