PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w21 April ms. 26-29
  • “Kini, Saya Sangat Menyukai Kerja Penyebaran!”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • “Kini, Saya Sangat Menyukai Kerja Penyebaran!”
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • SAYA KEHILANGAN SUKACITA
  • PENGAJARAN PENTING YANG TIDAK DIJANGKAKAN
  • MEMARAKKAN SEMULA KASIH SAYA TERHADAP KERJA PENYEBARAN
  • RAKAN PERINTIS SEUMUR HIDUP
  • MERAIH LEBIH BANYAK BERKAT
  • INILAH HIDUP YANG TERBAIK
  • “Rasakan” Kebaikan Yehuwa—Bagaimana?
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
w21 April ms. 26-29
Vanessa Vicini.

KISAH HIDUP

“Kini, Saya Sangat Menyukai Kerja Penyebaran!”

DICERITAKAN OLEH VANESSA VICINI

SAYA membesar di Balclutha, sebuah bandar di Pulau Selatan New Zealand. Semasa saya masih kecil, saya berasa dekat dengan Yehuwa dan sangat menyukai kebenaran. Saya sangat suka pergi ke perjumpaan, dan saya berasa selamat dan gembira di sidang. Walaupun saya agak pemalu, saya menikmati kerja penyebaran setiap minggu, dan saya tidak takut untuk menginjil kepada rakan sekolah dan orang lain. Saya sangat bangga menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Jadi, semasa saya berumur 11 tahun, saya membaktikan diri kepada Tuhan.

SAYA KEHILANGAN SUKACITA

Sedihnya, semasa saya meningkat remaja, saya tidak lagi akrab dengan Yehuwa. Rakan sekolah saya nampaknya sangat bebas, tetapi saya berasa terkongkong kerana perlu mematuhi peraturan ibu bapa dan juga piawaian Kristian. Saya juga berasa bahawa hal-hal rohani sangat membebankan. Walaupun saya tidak pernah menafikan kewujudan Yehuwa, tetapi saya beransur-ansur menjauhi-Nya.

Namun, saya masih meluangkan sedikit masa untuk menginjil supaya dapat mengelak daripada menjadi tidak aktif. Meskipun begitu, saya tidak membuat persiapan sebelum keluar menginjil. Jadi saya berasa susah untuk memulakan atau meneruskan perbualan. Akibatnya, pandangan saya terhadap kerja penyebaran menjadi semakin buruk kerana saya tidak meraih hasil yang baik dan tidak menikmati kerja itu. Saya sering bertanya, “Bagaimanakah orang dapat melakukan kerja ini setiap minggu dan setiap bulan?”

Semasa saya berumur 17 tahun, saya sangat mendahagakan kebebasan. Jadi, saya meninggalkan rumah dan berpindah ke Australia. Ibu bapa saya sangat risau dan sedih apabila saya meninggalkan mereka. Tetapi mereka sangka saya akan meneruskan rutin rohani saya.

Semasa di Australia, kerohanian saya semakin merosot. Saya sering tidak menghadiri perjumpaan, dan saya suka bergaul dengan orang muda yang akan menghadiri perjumpaan pada suatu malam dan pergi minum dan menari di kelab malam pada malam yang seterusnya. Kehidupan saya pada masa itu separuh dalam kebenaran dan separuh di dunia. Tetapi saya tidak berasa selesa dengan kedua-duanya.

PENGAJARAN PENTING YANG TIDAK DIJANGKAKAN

Kira-kira dua tahun kemudian, saya mengenali seorang saudari yang membuat saya memikirkan hala tuju kehidupan saya. Pada masa itu, saya tinggal bersama dengan empat orang saudari bujang dan kami telah menjemput penyelia litar dan isterinya, Tamara, untuk tinggal bersama kami selama seminggu. Semasa suaminya sibuk mengurus hal-hal sidang, Tamara akan meluangkan masa bersama kami. Dia senang diajak bercerita dan dia akan gelak ketawa bersama kami. Saya sangat menyukainya. Saya tidak sangka saya akan rasa begitu seronok semasa bergaul dengan seseorang yang begitu matang secara rohani.

Tamara seorang yang sangat bersemangat. Saya dapat merasai dia sangat mencintai kebenaran dan kerja penyebaran. Dia juga sangat gembira memberikan yang terbaik kepada Yehuwa, tetapi saya pula tidak gembira kerana hanya melakukan sedikit untuk Yehuwa. Tanpa disedarinya, sikapnya yang positif dan kegembiraannya mempengaruhi kehidupan saya. Teladan Tamara mengingatkan saya tentang satu kebenaran Bible, iaitu Yehuwa mahu kita berkhidmat kepada-Nya “dengan gembira” dan “dengan seruan sukacita.”​—Mzm. 100:2.

MEMARAKKAN SEMULA KASIH SAYA TERHADAP KERJA PENYEBARAN

Saya ingin merasai sukacita yang dinikmati Tamara. Namun untuk berbuat demikian, saya perlu membuat perubahan yang besar secara beransur-ansur. Mula-mulanya, saya membuat persiapan sebelum keluar menginjil, dan saya menjadi perintis sokongan dari masa ke masa. Hal ini telah membantu saya untuk berasa lebih yakin dan tidak begitu gementar. Apabila saya semakin kerap menggunakan Bible sewaktu menginjil, saya berasa benar-benar puas. Tidak lama kemudian, saya menjadi perintis sokongan setiap bulan.

Saya mula memilih kawan dari pelbagai peringkat umur yang kuat secara rohani dan gembira berkhidmat kepada Yehuwa. Teladan mereka membantu saya menilai semula keutamaan saya dan memupuk rutin rohani yang baik. Saya juga semakin menikmati kerja penyebaran dan mula berkhidmat sebagai perintis biasa. Setelah sekian lama, saya berasa selesa dan gembira lagi berada dalam sidang.

RAKAN PERINTIS SEUMUR HIDUP

Setahun kemudian, saya berjumpa dengan Alex. Dia seorang yang baik hati, yang benar-benar mengasihi Yehuwa dan kerja penyebaran. Pada masa itu, dia seorang pembantu sidang dan sudah merintis selama enam tahun. Alex juga telah berkhidmat selama beberapa bulan di Malawi. Di situ, dia berpeluang bergaul dengan para mubaligh yang telah menjadi teladan baik baginya dan menggalakkannya untuk terus mengutamakan Kerajaan Tuhan.

Pada tahun 2003, saya dan Alex telah berkahwin, dan kami terus berkhidmat sepenuh masa sejak itu. Kami telah mempelajari banyak pengajaran yang penting dan Yehuwa telah memberkati kami dalam pelbagai cara.

MERAIH LEBIH BANYAK BERKAT

Vanessa menginjil bersama seorang saudari muda tempatan.

Menginjil di Gleno, Timor-Leste

Pada tahun 2009, kami dijemput untuk menjadi mubaligh di Timor-Leste, sebuah negara kecil yang berdekatan Indonesia. Perasaan kami bercampur baur. Ada rasa terkejut, teruja, dan risau. Lima bulan kemudian, kami tiba di ibu kota Timor-Leste, iaitu Dili.

Kami perlu membuat perubahan yang besar untuk membiasakan diri dengan budaya, bahasa, makanan, dan tempat tinggal yang baharu. Dalam kerja penyebaran, kami selalu berjumpa dengan orang yang miskin, kurang berpendidikan, dan mereka yang ditindas. Kami juga melihat ramai orang yang menderita secara fizikal dan emosi akibat peperangan dan keganasan.a

Kerja penyebaran di Timor-Leste sangat menakjubkan. Sebagai contoh, saya berjumpa dengan Maria,b seorang gadis yang berumur 13 tahun. Dia sangat sedih kerana ibunya telah meninggal beberapa tahun yang lalu dan dia jarang berjumpa dengan bapanya. Seperti banyak anak muda, Maria tidak mempunyai hala tuju dalam hidup. Pernah sekali, dia menangis sambil mencurahkan isi hatinya kepada saya, tetapi saya tidak tahu apa yang dikatakannya kerana saya belum fasih menuturkan bahasanya. Jadi, saya berdoa untuk meminta bantuan Yehuwa supaya saya dapat menggalakkannya. Kemudian, saya membacakan ayat-ayat Bible yang menggalakkan kepadanya. Dalam beberapa tahun seterusnya, saya telah melihat bagaimana kebenaran telah mengubah sikap, penampilan, dan kehidupan Maria. Dia telah dibaptis dan mempunyai pelajar Bible sendiri. Kini, Maria memiliki keluarga rohani yang besar dan berasa dikasihi.

Yehuwa memberkati kerja penyebaran di Timor-Leste. Walaupun kebanyakan penyiar dibaptis tidak sampai 10 tahun, ramai antara mereka berkhidmat sebagai perintis, pembantu sidang, atau penatua. Ada juga yang berkhidmat di pejabat penterjemahan dan membantu menghasilkan makanan rohani dalam bahasa tempatan. Saya sangat gembira semasa mendengar mereka bernyanyi di perjumpaan, melihat senyuman mereka, dan menyaksikan kemajuan rohani mereka.

Vanessa, Alex, dan tiga orang saudara tempatan menaiki motosikal untuk mengedarkan surat jemputan Peringatan.

Bersama Alex sebelum bertolak ke kawasan yang tidak dijaga oleh mana-mana sidang untuk mengedarkan surat jemputan Peringatan

INILAH HIDUP YANG TERBAIK

Kehidupan kami di Timor-Leste sangat berbeza dengan kehidupan kami di Australia, tetapi bagi saya, inilah hidup yang terbaik. Kadang-kadang, kami perlu berhimpit di dalam sebuah bas yang kecil bersama dengan penumpang yang membawa ikan kering dan sayur-sayuran dari pasar. Pada hari lain, kami perlu membuat pembelajaran Bible di dalam sebuah rumah kecil yang panas dan lembap. Rumah itu berlantaikan tanah, dan semasa kami membincangkan Bible, terdapat ayam-ayam yang berkeliaran di sekeliling kami. Walaupun kami menghadapi cabaran-cabaran seperti itu, saya selalu berfikir, “Seronoknya hidup ini!”

Vanessa, Alex, dan orang lain menaiki bas kecil yang penuh dengan orang. Alex dan dua orang saudara lain berdiri di bahagian pintu bas yang terbuka.

Dalam perjalanan ke kawasan penyebaran

Mengenang kembali kehidupan saya, saya sangat bersyukur kerana ibu bapa saya berusaha untuk mendidik saya mengikut cara Yehuwa dan menyokong saya bahkan semasa kerohanian saya lemah. Amsal 22:6 terbukti benar dalam kehidupan saya. Mak dan ayah sangat bangga dengan Alex dan saya kerana kami sudi berkhidmat untuk Yehuwa. Sejak tahun 2016, kami membuat kerja lawatan di kawasan yang dijaga oleh pejabat cawangan Australasia.

Menunjukkan video Johan dan Sofia kepada kanak-kanak

Memang susah untuk membayangkan bahawa dahulunya saya menganggap kerja penyebaran membebankan. Kini, saya sangat menyukai kerja penyebaran! Saya telah belajar bahawa tidak kira senang atau susah hidup kita, kita hanya akan meraih kebahagiaan yang sejati jika kita menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Sejak berkhidmat kepada Yehuwa bersama Alex 18 tahun yang lalu, saya berasa sangat gembira. Kini saya lebih memahami kata-kata Daud kepada Yehuwa, “Semua orang yang berlindung kepada-Mu akan bersukacita; mereka akan bersorak-sorai dengan gembira; mereka yang mengasihi nama-Mu akan berbahagia.”​—Mzm. 5:11.

Vanessa dan Alex mengadakan pembelajaran Bible dengan seorang ibu dan anaknya di luar rumah.

Gembira betul kerana dapat belajar Bible dengan orang yang rendah hati!

a Bermula pada tahun 1975, peperangan telah berlaku di Timor-Leste selama lebih daripada 20 tahun kerana penduduknya ingin menuntut kemerdekaan.

b Nama telah diubah.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi