PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w21 Julai ms. 26-29
  • Hidup Bahagia kerana Berkhidmat kepada Yehuwa

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Hidup Bahagia kerana Berkhidmat kepada Yehuwa
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
  • Tajuk Kecil
  • PERGI KE AFRIKA SELATAN!
  • BERKAHWIN DAN DIBERI TUGASAN BAHARU
  • KEMBALI KE BETHEL
  • KEMBALI KE KILANG PERCETAKAN
  • TUGASAN BAHARU LAGI!
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
w21 Julai ms. 26-29
John dan Laura Kikot.

KISAH HIDUP

Hidup Bahagia kerana Berkhidmat kepada Yehuwa

DICERITAKAN OLEH JOHN KIKOT

SAYA mula bekerja di Bethel Kanada pada tahun 1958, semasa saya berumur 18 tahun. Tugas pertama saya adalah untuk menyapu lantai bangunan percetakan. Saya menikmati kehidupan saya pada masa itu. Tidak lama kemudian, saya ditugaskan untuk mengendalikan mesin yang memotong bahagian tepi majalah yang baru dicetak. Saya sangat gembira berada di Bethel!

Tahun berikutnya, terdapat pengumuman di Bethel bahawa sukarelawan diperlukan di pejabat cawangan Afrika Selatan kerana mesin cetak yang baharu akan dipasang di sana. Saya telah menawarkan diri, dan saya sangat gembira kerana dipilih. Selain saya, terdapat tiga orang ahli Bethel Kanada yang dipilih, iaitu Dennis Leech, Bill McLellan, dan Ken Nordin. Kami diberitahu bahawa kami akan berada di Afrika Selatan untuk masa yang lama!

Saya menelefon ibu saya dan berkata, “Mak, saya mahu memberitahu mak sesuatu: Saya akan pergi ke Afrika Selatan!” Ibu saya seorang yang pendiam, tetapi dia memiliki iman yang kuat dan hubungan yang erat dengan Yehuwa. Dia tidak bercakap banyak tentang keputusan saya, tetapi saya tahu dia menyokong apa yang saya lakukan. Dia dan bapa saya tidak pernah membantah keputusan saya walaupun mereka berasa sedih kerana saya akan hidup berjauhan dengan mereka.

PERGI KE AFRIKA SELATAN!

[Gambar pada muka surat 28]

Semasa menaiki keretapi dari Cape Town ke Johannesburg bersama dengan Dennis Leech, Ken Nordin, dan Bill McLellan pada tahun 1959

Enam puluh tahun selepas kami meninggalkan Kanada, kami berempat bertemu semula di pejabat cawangan Afrika Selatan pada tahun 2019

Sebelum pergi ke Afrika Selatan, kami berempat dilatih selama tiga bulan di Bethel Brooklyn untuk mengendalikan mesin penyusun huruf yang khas. Selepas itu, kami menaiki kapal kargo ke Cape Town, Afrika Selatan. Masa itu, saya baru berumur 20 tahun. Dari Cape Town, kami menaiki kereta api ke Johannesburg. Kami bertolak pada lewat petang, dan pada waktu subuh kami sampai di perhentian yang pertama, iaitu sebuah pekan kecil di Karoo yang merupakan kawasan separuh gurun. Kawasan itu panas dan berhabuk. Kami berempat menjenguk keluar dari tingkap dan tertanya-tanya bagaimana kehidupan di kawasan ini. Kami juga sedikit risau tentang tugasan yang menantikan kami. Beberapa tahun kemudian, semasa kami melawat kawasan ini lagi, kami mendapati tempat ini sebenarnya ada pekan-pekan yang menarik dan aman.

Selama beberapa tahun, tugasan saya adalah untuk mengendalikan mesin linotaip. Saya menggunakan mesin itu untuk mengatur huruf bagi mesin yang akan mencetak majalah Menara Pengawal dan Sedarlah! Kami mencetak majalah itu dalam banyak bahasa Afrika, bukan sahaja untuk Afrika Selatan, tetapi juga untuk banyak negara Afrika yang lain. Semasa melihat mesin cetak yang baharu itu digunakan dengan sepenuhnya, kami sangat gembira dan berasa bahawa perjalanan kami dari Kanada ke sini tidak sia-sia.

Kemudian, saya berkhidmat dalam bahagian yang mengaturkan kerja terjemahan, percetakan, dan penghantaran bahan bacaan. Hidup saya sibuk tetapi sangat bermakna.

BERKAHWIN DAN DIBERI TUGASAN BAHARU

Saya dan Laura berkhidmat sebagai perintis khas pada tahun 1968

Pada tahun 1968, saya mengahwini Laura Bowen. Dia seorang perintis yang tinggal berdekatan Bethel, dan dia juga berkhidmat sebagai jurutaip untuk Bahagian Penterjemahan. Pada masa itu, orang yang baru berkahwin perlu meninggalkan Bethel, jadi kami ditugaskan sebagai perintis khas. Saya berasa sedikit risau kerana selama 10 tahun di Bethel, makanan dan tempat tinggal saya selalu dijaga. Jadi, bagaimanakah kami dapat menampung kehidupan kami dengan menggunakan elaun kecil yang diberikan kepada perintis khas? Kami masing-masing diberi 25 rand (nilainya kira-kira RM 140 ketika itu) setiap bulan jika kami memenuhi jumlah jam, kunjungan kembali, dan bahan bacaan yang ditetapkan. Kami perlu menggunakan wang itu untuk membayar sewa, makanan, pengangkutan, kos perubatan, dan perbelanjaan yang lain.

Tugasan kami terletak berdekatan Durban, sebuah bandar yang berhampiran dengan Lautan Hindi. Di situ terdapat banyak orang India. Kebanyakan daripada nenek moyang mereka telah dibawa dari India ke Afrika Selatan untuk bekerja di ladang tebu sekitar tahun 1875. Walaupun pekerjaan mereka sudah berubah, budaya dan masakan mereka, seperti kari, masih tidak berubah. Selain itu, mereka dapat bercakap bahasa Inggeris, jadi kami dapat menginjil kepada mereka dengan mudah.

Perintis khas perlu menginjil sebanyak 150 jam setiap bulan. Jadi pada hari pertama kami menginjil, saya dan Laura merancang untuk menginjil selama enam jam. Cuaca hari itu sangat panas dan lembap. Kami tiada kunjungan kembali dan pembelajaran Bible. Jadi selama enam jam, kami hanya menginjil dari rumah ke rumah. Selepas mula menginjil untuk suatu ketika, saya melihat jam saya dan menyedari bahawa kami hanya menginjil selama 40 minit. Jadi saya tertanya-tanya, “Dapatkah kami melakukan tugasan ini?”

Namun tidak lama kemudian, kami dapat mengatur kegiatan kami dengan lebih baik. Setiap hari, kami menyediakan sandwic dan membawa sup atau kopi dalam termos. Semasa kami perlu berehat, kami akan meletakkan kereta Volkswagen kami di bawah pokok. Ada kalanya, kami dikelilingi banyak kanak-kanak India yang comel. Mereka suka melihat kami kerana rupa kami berbeza daripada mereka. Dalam masa beberapa hari, kami sedar bahawa dua atau tiga jam pertama biasanya lebih mencabar. Tetapi selepas itu masa akan berlalu dengan cepat.

Alangkah gembiranya kami kerana dapat mengajarkan kebenaran Bible kepada orang di Durban! Kami mendapati bahawa orang India di sana bersikap hormat, murah hati, baik hati, dan mengasihi Tuhan. Banyak orang yang beragama Hindu telah menerima berita baik. Mereka suka belajar tentang Yehuwa, Yesus, Bible, dunia baharu yang aman, dan harapan bagi orang mati. Setahun kemudian, kami memiliki 20 pembelajaran Bible. Setiap hari, kami menikmati makanan tengah hari dengan sebuah keluarga yang belajar Bible dengan kami. Kami berasa sangat gembira.

Tidak lama kemudian, kami menerima tugasan yang baharu, iaitu kerja litar di sepanjang persisiran Lautan Hindi. Setiap minggu kami melawat sidang-sidang, menginjil bersama para penyiar, dan menggalakkan mereka. Memandangkan kami tinggal bersama saudara saudari yang berbeza, kami berasa seperti keluarga mereka, dan kami suka meluangkan masa bersama anak-anak dan haiwan peliharaan mereka. Setelah menikmati tugasan kami selama dua tahun, tiba-tiba kami mendapat panggilan telefon daripada pejabat cawangan. Saudara di situ berkata, “Kami mahu jemput kamu kembali ke Bethel.” Saya menjawab, “Sebenarnya, kami sangat gembira dengan tugasan kami di sini.” Namun, kami sudi berkhidmat di mana sahaja kami ditugaskan.

KEMBALI KE BETHEL

Tugasan saya di Bethel adalah di Bahagian Kerja Penyebaran. Saya berpeluang bekerja bersama dengan ramai saudara yang matang dan berpengalaman. Pada masa itu, selepas penyelia litar melawat sebuah sidang, dia akan menghantar laporan kepada pejabat cawangan. Selepas itu, Bahagian Kerja Penyebaran akan menghantar sepucuk surat kepada sidang berdasarkan laporan penyelia litar untuk memberikan galakan dan arahan yang diperlukan. Oleh itu, para setiausaha mempunyai banyak kerja. Mereka perlu menterjemahkan laporan penyelia litar daripada bahasa Xhosa, Zulu, dan bahasa lain, kepada bahasa Inggeris. Selepas itu, mereka perlu menterjemahkan surat pejabat cawangan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa-bahasa Afrika. Saya sangat menghargai kerja keras mereka yang membantu saya memahami kesusahan saudara saudari Afrika yang berkulit hitam.

Pada masa itu, Afrika Selatan diperintah mengikut sistem aparteid. Di bawah sistem itu, setiap kawasan boleh didiami oleh satu kaum sahaja. Oleh itu, orang daripada pelbagai kaum jarang dapat bergaul. Saudara saudari Afrika kita yang berkulit hitam hanya bercakap dalam bahasa mereka sendiri, menginjil dalam bahasa mereka sendiri, dan menghadiri perjumpaan dalam bahasa mereka sendiri.

Sebelum ini, saya selalu ditugaskan ke sidang bahasa Inggeris, jadi saya tidak mengenali banyak orang Afrika yang berkulit hitam. Namun sekarang, saya berpeluang mengenali mereka, budaya mereka, dan adat mereka. Saya telah belajar tentang cabaran yang dihadapi oleh saudara saudari kita dalam hal tradisi dan kepercayaan agama tempatan. Sebagai contoh, saudara saudari kita yang berani perlu menghadapi tentangan yang kuat daripada ahli keluarga dan penduduk kampung yang lain kerana enggan menyertai amalan spiritisme atau mengikut tradisi yang melanggar prinsip Bible. Di kawasan yang terpencil pula, ramai orang hidup miskin dan tidak menerima banyak pendidikan sekolah. Meskipun begitu, mereka menghormati Bible.

Saya juga berpeluang untuk membantu dalam kes perundangan yang melibatkan kebebasan beribadat dan keneutralan. Iman saya dikuatkan semasa melihat kesetiaan dan keberanian anak-anak Saksi yang dibuang sekolah kerana enggan mengambil bahagian dalam doa dan lagu keagamaan.

Terdapat cabaran lain yang dihadapi oleh saudara saudari di Swaziland (kini Eswatini), iaitu sebuah negara kecil di Afrika. Semasa Raja Sobhuza II mangkat, semua rakyat dikehendaki menjalani upacara perkabungan. Kaum lelaki dikehendaki membotakkan kepala, manakala kaum wanita perlu memotong pendek rambut mereka. Ramai saudara saudari kita dianiaya kerana enggan menyertai upacara ini yang berkaitan dengan penyembahan nenek moyang. Kesetiaan mereka telah menyentuh hati kami. Iman kami juga diteguhkan semasa melihat ketaatan, kesetiaan, dan kesabaran saudara saudari di Afrika.

KEMBALI KE KILANG PERCETAKAN

Pada tahun 1981, saya ditugaskan untuk membantu menggunakan komputer dalam proses pencetakan. Oleh itu, saya kembali ke kilang percetakan. Masa itu memang mendebarkan kerana industri percetakan sedang berubah. Seorang jurujual telah memberi pejabat cawangan sebuah mesin penyusun huruf untuk dicuba dengan percuma. Setelah mencubanya, kami menggantikan sembilan mesin linotaip dengan lima mesin baharu itu. Kami juga memasang sebuah mesin cetak yang baharu. Hasilnya, bahan bacaan yang dicetak semakin bertambah!

Dengan adanya komputer, terciptalah kaedah penyusunan huruf yang baharu iaitu MEPS, Sistem Penerbitan Elektronik Berbilang Bahasa. Sesungguhnya, teknologi telah berkembang dengan pesat sejak kami berempat datang ke Afrika Selatan! (Yes. 60:17) Pada masa itu, kami berempat sudah berkahwin dengan perintis-perintis yang berfikiran rohani. Bill dan saya masih berkhidmat di Bethel, manakala Ken dan Dennis sudah mempunyai anak dan tinggal berdekatan Bethel.

Kerja di pejabat cawangan semakin bertambah. Bahan bacaan kita diterjemahkan dan dicetak dalam semakin banyak bahasa dan diedarkan kepada pejabat cawangan lain. Maka, bangunan-bangunan Bethel yang baharu diperlukan. Bethel yang baharu telah dibina di bahagian barat Johannesburg dan ditahbiskan pada tahun 1987. Saya sangat berbesar hati kerana dapat terlibat dalam perkembangan ini dan berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan Afrika Selatan selama bertahun-tahun.

TUGASAN BAHARU LAGI!

Pada tahun 2001, saya dijemput untuk berkhidmat dalam Jawatankuasa Cawangan Amerika Syarikat yang baru dibentuk. Walaupun kami sedih untuk meninggalkan tugasan dan sahabat kami di Afrika Selatan, kami berasa teruja untuk memulakan kehidupan baharu kami sebagai ahli keluarga Bethel Amerika Syarikat.

Namun, kami risau tentang ibu Laura yang sudah lanjut usia, kerana kami tidak dapat menjaganya jika kami berpindah ke New York. Tetapi tiga orang adik perempuan Laura sudi menjaga keperluan fizikal, emosi, dan kewangan ibu mereka. Mereka berkata, “Kami tidak dapat berkhidmat sepenuh masa. Tapi jika kami tolong menjaga keperluan Mak, kamu dapat terus berkhidmat sepenuh masa.” Kami sangat bersyukur atas bantuan mereka.

Ibu saya pula telah meninggal tidak lama selepas kami tiba di New York. Sebelum itu, dia sudah menjadi seorang balu dan tinggal bersama abang saya dan isterinya di Toronto, Kanada, untuk lebih daripada 20 tahun. Kami sangat menghargai kasih dan jagaan yang diberikan oleh mereka kepadanya sehingga dia meninggal. Kami amat bersyukur kerana memiliki ahli keluarga yang rela membuat penyesuaian dalam kehidupan mereka supaya dapat menjaga ibu bapa yang sudah lanjut usia kerana tugas ini ada kalanya memang mencabar!

Tugas saya yang pertama di Amerika Syarikat adalah di Bahagian Percetakan. Ketika itu, proses pencetakan sudah menjadi lebih canggih dan mudah. Baru-baru ini, saya ditugaskan ke Bahagian Pembelian. Saya sangat berbesar hati kerana selama 20 tahun yang lalu, saya dapat berkhidmat di pejabat cawangan yang besar ini. Kini terdapat kira-kira 5,000 ahli Bethel dan 2,000 pekhidmat ulang-alik di sini!

Enam puluh tahun yang lalu, saya tidak menyangka bahawa saya akan berkhidmat di pejabat cawangan Amerika Syarikat. Sepanjang masa ini, Laura telah menyokong saya dengan sepenuhnya. Kami sangat gembira kerana diberikan pelbagai tugasan dan dapat bekerja bersama dengan banyak saudara saudari yang dikasihi, termasuk saudara saudari di banyak pejabat cawangan yang telah kami lawat. Sekarang, saya sudah berumur lebih daripada 80 tahun, jadi kerja saya telah dikurangkan kerana terdapat banyak saudara yang lebih muda, yang sudah dilatih untuk memikul pelbagai tanggungjawab dalam organisasi.

Pemazmur menulis, “Berbahagialah bangsa yang mengakui Yehuwa sebagai Tuhan mereka!” (Mzm. 33:12) Sungguh benar kata-kata ini! Saya sangat bersyukur kerana dapat menyembah Yehuwa bersama umat-Nya yang bahagia.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi