PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w21 Oktober ms. 29-31
  • 1921—Seratus Tahun Yang Lalu

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • 1921—Seratus Tahun Yang Lalu
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • PENGINJIL YANG BERANI
  • PEMBELAJARAN KELUARGA DAN PEMBELAJARAN PERIBADI
  • BUKU BAHARU!
  • TERDAPAT BANYAK KERJA LAGI!
  • Diberkati kerana Mengikut Arahan Yehuwa
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2017
  • 1922—Seratus Tahun yang Lalu
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2022
  • 1923​—Seratus Tahun yang Lalu
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2023
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
w21 Oktober ms. 29-31

1921 Seratus Tahun yang Lalu

“APAKAH kerja yang menantikan kita untuk tahun ini?” Itulah soalan dalam majalah Watch Tower terbitan 1 Januari 1921, yang ditujukan kepada para Pelajar Bible. Untuk menjawab soalan itu, majalah tersebut memetik kata-kata di Yesaya 61:1, 2 yang menyebut tentang tanggungjawab mereka untuk menginjil. Ayat itu berbunyi, “Yehuwalah yang mengurapi aku untuk mengisytiharkan berita baik kepada orang yang rendah hati . . . untuk mengisytiharkan tahun rahmat-Nya, untuk mengumumkan hari pembalasan yang ditetapkan oleh Tuhan kita.”

PENGINJIL YANG BERANI

Para Pelajar Bible perlu berani untuk menginjil. Mereka bukan sahaja perlu mengisytiharkan “berita baik” kepada orang yang rendah hati, tetapi juga mengumumkan “hari pembalasan” kepada orang jahat.

Saudara J. H. Hoskin, yang tinggal di Kanada, telah memberikan kesaksian dengan berani meskipun ditentang. Pada awal tahun 1921, dia berjumpa dengan seorang paderi Methodist. Saudara Hoskin memulakan perbualannya dengan berkata, “Marilah kita menikmati perbincangan tentang Bible. Biarpun kita tidak dapat capai persefahaman dalam sesetengah hal, harap kita boleh mengakhiri perbualan dengan tenang dan berpisah sebagai kawan.” Tetapi hasratnya tidak kesampaian. Mengenang kembali apa yang berlaku, Saudara Hoskin berkata, “Kami baru bercakap untuk beberapa minit, dan paderi itu menumbuk pintunya dengan begitu kuat sehingga saya fikir cermin pintu itu akan pecah.”

Paderi itu berteriak, “Kenapa kamu tidak pergi bercakap kepada orang yang belum menjadi Kristian?” Saudara Hoskin tidak berkata apa-apa, tetapi sambil beredar, dia berfikir dalam hatinya, “Saya rasa saya sudah pun bercakap dengan orang yang bukan Kristian!”

Semasa paderi itu memberikan ceramah di gereja pada keesokan harinya, dia terus memburuk-burukkan Saudara Hoskin. Saudara Hoskin berkata, “Dia menyuruh ahli gerejanya untuk berhati-hati dengan saya kerana saya ialah penipu besar di pekan yang patut ditembak mati.” Tetapi Saudara Hoskin tidak takut. Dia terus menginjil dan mendapat hasil yang baik. Dia berkata, “Saya sangat menikmati kerja penyebaran di situ. Ada orang bahkan beritahu saya, ‘Saya tahu kamu buat kerja Tuhan!’ Mereka juga menawarkan untuk beri saya barang-barang keperluan.”

PEMBELAJARAN KELUARGA DAN PEMBELAJARAN PERIBADI

Untuk membantu orang yang berminat membuat kemajuan, para Pelajar Bible menyediakan bahagian pembelajaran Bible dalam majalah The Golden Age.a Sebagai contoh, bahagian Pembelajaran Bible untuk Remaja mengandungi soalan-soalan untuk anak-anak. Ibu bapa akan menanyakan soalan-soalan itu dan membantu anak mereka mencari jawapannya dalam Bible. Sesetengah soalan itu adalah tentang ajaran yang asas, seperti “Ada berapa banyak buku kecil dalam Bible?” Terdapat juga soalan yang bertujuan membantu orang muda untuk menjadi penginjil yang berani, seperti “Adakah setiap orang Kristian sejati akan dianiaya?”

Untuk Pelajar Bible yang lebih matang secara rohani pula, bahagian pembelajaran Advanced Studies in the Divine Plan of the Ages mengandungi soalan-soalan mendalam yang berdasarkan jilid pertama buku Studies in the Scriptures. Beribu-ribu orang pembaca telah meraih manfaat daripada dua bahagian ini, tetapi The Golden Age terbitan 21 Disember 1921 mengumumkan bahawa kedua-dua bahagian ini akan dihentikan. Mengapa?

BUKU BAHARU!

[Gambar pada muka surat 30]

Buku The Harp of God

Kad kecil untuk “The Harp Bible Study Course”

Kad-kad yang mengandungi soalan

Saudara-saudara yang mengambil pimpinan sedar bahawa pelajar Bible baharu perlu mempelajari kebenaran yang asas dengan cara yang teratur. Maka, buku The Harp of God telah dikeluarkan pada November 1921. Orang yang menerima buku ini juga menyertai kursus pembelajaran yang dipanggil “The Harp Bible Study Course.” Menerusi kursus ini, pelajar Bible dapat belajar sendiri tentang “rancangan Tuhan untuk memberi manusia kehidupan kekal.” Bagaimanakah mereka belajar?

Semasa seseorang menerima buku The Harp of God, dia akan diberi sekeping kad kecil yang menyatakan bahagian-bahagian dalam buku itu yang perlu dibacanya. Pada minggu seterusnya, dia akan menerima sekeping kad lagi. Kad itu mengandungi soalan-soalan tentang bahagian yang sudah dibacanya, dan menyatakan bahagian-bahagian yang perlu dibacanya untuk minggu yang akan datang.

Untuk 12 minggu berturut-turut, seorang pelajar Bible akan menerima kad baharu setiap minggu. Kad itu dikirim oleh sidang, dan biasanya dilakukan oleh saudara saudari yang lanjut usia atau yang tidak dapat menginjil dari rumah ke rumah. Anna K. Gardner, dari Millvale, Pennsylvania, A.S., berkata, “Semasa buku The Harp of God dikeluarkan, Thayle, iaitu kakak saya yang tidak dapat berjalan, mempunyai banyak peluang untuk menyertai kerja penyebaran. Setiap minggu, dia akan hantar kad-kad soalan kepada pelajar Bible.” Apabila seorang pelajar Bible tamat kursus itu, seseorang dari sidang akan mengunjunginya untuk membantunya belajar lebih banyak tentang Bible.

Thayle Gardner di kerusi rodanya

TERDAPAT BANYAK KERJA LAGI!

Pada akhir tahun 1921, Saudara J. F. Rutherford mengirim sepucuk surat kepada semua sidang. Dia menulis, “Sepanjang musim tuaian, kesaksian yang diberikan demi Kerajaan Tuhan pada tahun ini jauh lebih meluas dan berkesan berbanding tahun-tahun sebelumnya.” Kemudian dia menambah, “Masih terdapat banyak kerja lagi. Maka galakkanlah orang lain untuk ikut serta dalam kerja ini.” Para Pelajar Bible telah menyahut seruannya. Pada tahun 1922, mereka terus menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan dengan berani dan bersungguh-sungguh.

Sahabat yang Berani

Para Pelajar Bible menunjukkan kasih sejati dengan membantu satu sama lain. Mereka sesungguhnya sahabat yang berani, “yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.” Perhatikan pengalaman berikut.​—Ams. 17:17.

Pada hari Selasa, 31 Mei 1921, seorang lelaki berkulit hitam di bandar Tulsa telah dipenjarakan dan dituduh menyerang seorang wanita berkulit putih. Selepas kejadian itu, kira-kira 1,000 orang lelaki berkulit putih telah melawan sekumpulan kecil lelaki berkulit hitam. Dalam masa yang singkat, rusuhan itu merebak ke kawasan Greenwood, yang kebanyakan penduduknya berkulit hitam. Lebih daripada 1,400 buah rumah dan kedai telah dirompak dan dibakar. Menurut laporan, 36 orang telah terkorban, tetapi angka yang sebenar mungkin mencecah kira-kira 300 orang. Rusuhan ini kemudiannya dikenali sebagai Rusuhan Kaum Tulsa.

Saudara Richard J. Hill, seorang Pelajar Bible berkulit hitam yang tinggal di Greenwood, menceritakan apa yang berlaku: “Pada malam rusuhan, kami mengadakan perjumpaan seperti biasa. Selepas perjumpaan, kami mendengar bunyi tembakan dari pusat bandar sehingga lewat malam.” Pada pagi Rabu, 1 Jun, keadaan menjadi lebih teruk. Saudara Hill berkata, “Ada orang beritahu kami bahawa jika kami ingin dilindungi, kami harus segera pergi ke Dewan Konvensyen Tulsa.” Jadi, Saudara Hill, isterinya, dan lima orang anak mereka melarikan diri ke situ. Terdapat kira-kira 3,000 orang lelaki dan wanita berkulit hitam yang berlindung di Dewan Konvensyen Tulsa. Dewan itu dijaga oleh pasukan tentera, yang dihantar oleh pihak kerajaan untuk mengawal keadaan di Tulsa.

Sekitar masa itu, Saudara Arthur Claus yang berkulit putih, telah membuat satu keputusan yang berani. Dia berkata, “Apabila saya dengar bahawa kumpulan perusuh pergi ke merata kawasan Greenwood untuk mencuri barang dan membakar rumah orang, saya memutuskan untuk melihat keadaan Saudara Hill, kawan baik saya.”

Arthur Claus menggunakan buku The Harp of God untuk mengadakan kelas pembelajaran bersama 14 kanak-kanak

Setibanya di rumah Saudara Hill, Arthur terserempak dengan jiran Saudara Hill yang berkulit putih. Jiran itu, yang juga merupakan kawan Saudara Hill, menyangka bahawa Arthur juga terlibat dalam rusuhan itu. Sambil memegang senapang, dia menjerit, “Kamu buat apa di sini?”

Mengenang kembali apa yang berlaku, Arthur berkata, “Kalau dia tidak puas hati dengan jawapan saya, dia mungkin menembak saya. Jadi saya beritahunya bahawa saya ialah kawan Saudara Hill dan saya pernah datang ke rumahnya banyak kali.” Arthur dan jiran itu telah melindungi rumah Saudara Hill daripada dipecah masuk.

Tidak lama kemudian, Arthur mendapat tahu bahawa Saudara Hill dan keluarganya berada di Dewan Konvensyen Tulsa. Arthur juga diberitahu bahawa jika orang berkulit hitam di situ ingin pulang, mereka mesti mendapatkan surat perintah yang ditandatangani oleh pegawai yang bertugas, iaitu Jeneral Barrett. Arthur berkata, “Memang sangat susah untuk berjumpa dengan jeneral itu. Apabila saya menemuinya, saya memberitahunya rancangan saya. Dia bertanya, ‘Adakah kamu akan melindungi keluarga ini dan jaga keperluan mereka?’ Dengan gembira, saya menjawab, ‘Sudah tentu.’”

Setelah mendapat surat perintah, Arthur bergegas ke Dewan Konvensyen Tulsa. Semasa seorang pegawai di situ nampak suratnya, dia berkata, “Surat ini ditandatangani oleh jeneral sendiri! Kamu tahukah kamulah orang pertama yang dibenarkan membawa keluar orang dari sini?” Selepas menjumpai Saudara Hill dan keluarganya, Arthur membawa mereka bertujuh pulang ke rumah mereka dengan menggunakan keretanya.

“Dalam kalangan umat Tuhan, semua orang dilayan dengan sama rata”

Arthur memastikan bahawa Saudara Hill dan keluarganya selamat. Kasih dan keberanian yang ditunjukkannya telah membawa kesan baik kepada orang lain. Arthur berkata, “Selepas peristiwa itu, jiran yang membantu menjaga rumah Saudara Hill lebih menghormati Pelajar Bible. Sebilangan orang juga berminat untuk mempelajari kebenaran kerana mereka dapat lihat bahawa dalam kalangan umat Tuhan, semua orang dilayan dengan sama rata dan tiada sempadan kaum yang memisahkan mereka.”

a Nama majalah The Golden Age ditukar kepada Consolation pada tahun 1937 dan Awake! (Sedarlah!) pada tahun 1946.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi