1924—Seratus Tahun yang Lalu
BULLETINa terbitan Januari 1924 menyatakan, “Pada awal tahun, setiap hamba Tuhan yang sudah dibaptis patut . . . mencari peluang untuk meluaskan khidmat mereka.” Sepanjang tahun itu, para Pelajar Bible telah menerapkan nasihat ini dalam dua cara: Mereka menggunakan kaedah baharu untuk menyebarkan berita baik dan mereka menginjil dengan berani.
MENGGUNAKAN RADIO UNTUK MENGINJIL
Selama lebih daripada setahun, saudara-saudara di Bethel telah mencurahkan usaha untuk membina stesen radio WBBR di Staten Island, Bandar Raya New York. Mereka membersihkan sebidang tanah lalu membina sebuah rumah yang besar untuk para pekerja dan satu lagi bangunan untuk studio dan peralatan. Apabila kerja itu selesai, para saudara mula mencari peralatan untuk memulakan siaran. Namun mereka harus mengatasi beberapa halangan terlebih dahulu.
Antena utama stesen radio itu susah dipasang. Mereka perlu menggantungkan antena yang panjangnya 91 meter secara melintang di antara dua batang tiang kayu yang tingginya 61 meter. Cubaan pertama mereka gagal. Tetapi dengan bantuan Yehuwa, mereka akhirnya berjaya. Calvin Prosser, yang menyertai projek itu, berkata, “Jika cubaan pertama kami berjaya, kami akan berkata dengan bangga, ‘Tengoklah hasil kerja kami!’” Namun mereka sedar bahawa mereka berjaya kerana adanya sokongan Yehuwa. Biarpun begitu, masalah mereka belum selesai.
Memasang salah satu tiang antena WBBR
Pada masa itu, teknologi radio masih baharu, dan tidak banyak syarikat yang menghasilkan peralatan radio. Jadi saudara-saudara membeli sebuah pemancar terpakai 500 watt yang dibina oleh seorang penduduk tempatan. Daripada membeli mikrofon, mereka menggunakan mikrofon daripada telefon. Pada suatu malam bulan Februari, mereka ingin mencuba peralatan mereka. Jadi mereka menyanyikan lagu rohani dan menyiarkannya. Ernest Lowe mengongsi pengalamannya yang agak lucu. Dia berkata bahawa semasa mereka bernyanyi, Hakim Rutherfordb menelefon mereka. Dia telah mendengar nyanyian mereka di radio di Brooklyn, yang terletak kira-kira 25 km dari stesen mereka.
Saudara Rutherford kata, “Bisinglah, macam bunyi kucing mengiau!” Saudara-saudara itu berasa malu dan menghentikan siaran, tetapi kini mereka tahu stesen radio mereka berfungsi.
Pada 24 Februari 1924, iaitu semasa siaran rasmi yang pertama, Saudara Rutherford memberikan ceramah pentahbisan. Dia menyatakan bahawa tujuan stesen radio ini adalah untuk menyokong “kepentingan Kerajaan Mesias” dan “membantu orang daripada semua latar untuk memahami Bible dan sedar bahawa kita hidup pada masa yang genting.”
Kiri: Saudara Rutherford di studio yang pertama di WBBR
Kanan: Alat yang digunakan untuk menyiarkan program
Siaran pertama itu berjalan dengan lancar. Untuk 33 tahun yang berikutnya, WBBR digunakan untuk menyiarkan program Saksi-Saksi Yehuwa.
MENDEDAHKAN PEMIMPIN AGAMA DENGAN BERANI
Pada Julai 1924, para Pelajar Bible dari serata dunia berkumpul untuk menghadiri konvensyen di Columbus, Ohio. Ceramah disampaikan dalam bahasa Arab, Greek, Hungary, Inggeris, Itali, Jerman, Lithuania, Perancis, Poland, Rusia, Ukraine, dan bahasa-bahasa yang digunakan di Skandinavia. Sebahagian daripada program konvensyen disiarkan melalui radio, dan saudara-saudara meminta Ohio State Journal, sebuah akhbar tempatan, untuk menyiarkan rencana tentang konvensyen itu setiap hari.
Konvensyen tahun 1924 di Columbus, Ohio
Pada hari Khamis, 24 Julai, lebih daripada 5,000 orang hadirin keluar menginjil. Mereka mengedarkan kira-kira 30,000 naskhah buku dan memulakan ribuan pembelajaran Bible. The Watch Tower memanggil hari itu sebagai “acara konvensyen yang paling menggembirakan.”
Satu lagi peristiwa penting berlaku pada hari Jumaat, 25 Julai. Saudara Rutherford membacakan sebuah dokumen yang mendedahkan perbuatan pemimpin agama. Dokumen itu ditulis seperti dokumen perundangan dan menyatakan bahawa para pemimpin politik, agama, dan perniagaan, bersalah kerana “menghalang orang daripada belajar tentang Kerajaan Tuhan yang akan membawa berkat kepada manusia.” Dokumen itu juga menyatakan bahawa semua pemimpin ini “menyokong Liga Bangsa-Bangsa dan menganggapnya sebagai ‘wakil Kerajaan Tuhan di bumi.’” Para Pelajar Bible perlu sangat berani untuk menyebarkan mesej ini.
The Watch Tower merumuskan kesan konvensyen itu ke atas para hadirin: “Para penyembah Tuhan yang berkumpul di Konvensyen Columbus berasa iman mereka dikuatkan. . . . Mereka menjadi lebih berani dan tidak takut akan serangan musuh.” Leo Claus, yang menghadiri konvensyen itu, berkata, “Selepas konvensyen, kami sangat gembira dan tidak sabar-sabar untuk mengedarkan dokumen itu.”
Risalah Ecclesiastics Indicted
Pada bulan Oktober, para Pelajar Bible mula mengedarkan jutaan risalah Ecclesiastics Indicted, iaitu dokumen yang dibaca oleh Saudara Rutherford semasa konvensyen bulan Julai. Di Cleveland, sebuah pekan kecil di Oklahoma, Frank Johnson dan beberapa orang penyiar diberi kawasan penyebaran masing-masing, dan mereka berjanji untuk bertemu pada masa tertentu. Saudara Johnson selesai meliputi kawasannya 20 minit lebih awal, tetapi dia tidak boleh menunggu di tempat yang terbuka, kerana orang di pekan itu tidak suka dengan kerja menginjil mereka. Maka Saudara Johnson membuat keputusan untuk bersembunyi di dalam gereja yang berdekatan. Memandangkan gereja itu tiada orang, dia meninggalkan risalah Ecclesiastics Indicted dalam Bible paderi dan di setiap tempat duduk. Kemudian dia segera meninggalkan gereja itu. Oleh sebab dia masih ada masa, dia melakukan hal yang sama di dua gereja yang lain.
Selepas itu, Frank bergegas ke tempat dia akan bertemu dengan penyiar lain. Sambil menunggu, dia bersembunyi di belakang stesen minyak dan berjaga-jaga. Penduduk pekan memandu berdekatan stesen minyak, tetapi mereka tidak melihatnya. Selepas mereka beredar, rakan-rakan Frank datang dalam kereta untuk mengambilnya.
Salah seorang rakan Frank berkata, “Semasa kami sedang beredar, kami lalu di tiga gereja itu. Di depan setiap gereja terdapat kira-kira 50 orang. Ada yang sedang membaca risalah itu, dan ada yang menunjukkannya kepada paderi. Syukurlah kami beredar sebelum masalah timbul! Kami bersyukur kepada Yehuwa kerana melindungi kami dan memberi kami kebijaksanaan agar tidak ditangkap oleh musuh-musuh Kerajaan Tuhan.”
PELAJAR BIBLE YANG LAIN JUGA MENGINJIL DENGAN BERANI
Józef Krett
Pelajar Bible di negara lain juga menginjil dengan berani. Contohnya, di utara Perancis, Saudara Józef Krett menginjil kepada pekerja lombong berbangsa Poland. Dia merancang untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Tidak Lama Lagi, Orang Mati Akan Dibangkitkan” di pekan itu. Semasa jemputan diedarkan, paderi tempatan menyuruh orang di gerejanya untuk tidak hadir. Tetapi mereka tidak mendengarkan amarannya. Hasilnya lebih daripada 5,000 orang, termasuk paderi itu, telah menghadiri ceramah Saudara Krett! Saudara Krett menjemput paderi itu untuk mempertahankan ajaran gereja, tetapi paderi itu menolak. Selepas ceramahnya, Saudara Krett mengedarkan semua bahan bacaan yang dibawanya kerana mereka mendahagakan kebenaran.—Amo. 8:11.
Claude Brown
Di Afrika, Claude Brown pergi ke Gold Coast, yang kini dikenali sebagai Ghana, untuk menginjil. Ceramahnya dan bahan bacaan yang diedarkannya telah membantu menyebarkan kebenaran dengan cepat. John Blankson, yang mengambil kursus farmasi, menghadiri salah satu ceramah Saudara Brown. Dia serta-merta sedar bahawa itulah kebenaran. Mengenang kembali masa itu, John berkata, “Kebenaran buat saya sangat gembira, dan saya mengongsikannya di sekolah farmasi saya.”
John Blankson
Suatu hari, John pergi ke gereja Anglikan untuk menanya paderi tentang ajaran Tritunggal, kerana dia tahu ajaran itu tidak berdasarkan Bible. Paderi di situ menghalaunya dan berteriak, “Kamu bukan orang Kristian, kamu pengikut Iblis. Berambus!”
Selepas pulang ke rumahnya, John menulis sepucuk surat kepada paderi itu dan menjemputnya untuk mempertahankan ajaran Tritunggal di depan orang ramai. Tidak lama kemudian, dia dipanggil oleh ketua pensyarah ke pejabatnya. John ditanya sama ada dia betul-betul telah menulis kepada paderi itu.
“Ya tuan,” jawab John.
Pensyarah itu menyuruh John menulis surat kepada paderi itu untuk meminta maaf. Maka John menulis:
“Tuan, pensyarah saya suruh saya minta maaf, dan saya akan minta maaf jika tuan mengaku bahawa tuan mengajarkan ajaran palsu.”
Pensyarah itu terkejut lalu bertanya, “Blankson, itukah yang kamu mahu tulis?”
“Ya tuan. Itu saja yang saya dapat tulis.”
“Kamu akan dibuang sekolah. Berani kamu menentang paderi yang disokong oleh kerajaan!”
“Tapi tuan, . . . semasa di kelas, kalau ada hal yang kami tidak faham, kami boleh tanya kan?”
“Pastilah boleh.”
“Jadi tuan, itulah yang berlaku. Paderi itu mengajar kami Bible, dan saya tanya dia soalan. Kalau dia tidak dapat jawab, mengapakah saya harus meminta maaf kepadanya?”
Blankson tidak dibuang sekolah, dan dia juga tidak perlu meminta maaf kepada paderi itu.
MENANTIKAN MASA DEPAN
Mengenai aktiviti umat Tuhan pada tahun 1924, The Watch Tower menyatakan, “Kita setuju dengan kata-kata Daud ini: ‘Engkau memberi aku kekuatan untuk bertempur.’ (Mazmur 18:39) Tahun ini sangat menggalakkan kerana kita telah melihat bagaimana Yehuwa membantu . . . hamba-Nya yang setia . . . untuk memberikan kesaksian dengan sukacita.”
Pada hujung tahun yang sama, para saudara merancang untuk membina sebuah lagi stesen radio. Stesen baharu ini terletak berdekatan Chicago dan dipanggil WORD, yang bermaksud “firman,” kerana tujuannya adalah untuk menyiarkan Firman Tuhan. Dengan adanya pemancar berkuasa 5,000 watt, stesen WORD akan menyiarkan berita tentang Kerajaan Tuhan ke tempat yang lebih jauh lagi, sampai ke Kanada di utara.
Pada tahun 1925, Yehuwa membantu para saudara untuk memahami Wahyu bab 12 dengan lebih jelas lagi. Pemahaman baharu ini telah membuat sesetengah orang meninggalkan kebenaran. Namun ramai lagi yang gembira kerana dapat memahami apa yang berlaku di syurga dan bagaimana hal itu mempengaruhi umat Tuhan di bumi.
a Kini Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita—Lembaran Kerja.
b J. F. Rutherford, yang mengambil pimpinan dalam kalangan Pelajar Bible pada masa itu, dikenali sebagai Hakim Rutherford. Sebelum berkhidmat di Bethel, dia ada kalanya berkhidmat sebagai hakim di Missouri.