PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w25 April ms. 26-31
  • Para Saudara Muda​—Tirulah Teladan Markus dan Timotius

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Para Saudara Muda​—Tirulah Teladan Markus dan Timotius
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • RELA BERKHIDMAT SEPERTI MARKUS
  • TUNJUKKAN KEPRIHATINAN SEPERTI TIMOTIUS
  • BELAJAR DARIPADA NASIHAT PAULUS
  • BERKHIDMAT KEPADA ORANG LAIN MEMBAWA BERKAT
  • “Menguatkan Sidang-Sidang”
    ‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
  • Bergantung pada Yehuwa semasa Membuat Keputusan
    Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita—Lembaran Kerja—2023
  • Para Saudara​—Adakah Anda Berusaha untuk Menjadi Pembantu Sidang?
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Ingatlah bahawa Yehuwa Ialah “Tuhan yang Hidup”
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
w25 April ms. 26-31

RENCANA PEMBELAJARAN 18

LAGU 65 Maralah ke Depan!

Para Saudara Muda​—Tirulah Teladan Markus dan Timotius

“Bawalah Markus bersama kamu kerana dia banyak membantu aku dalam tugasku.”​—2 TIM. 4:11.

FOKUS

Bagaimana para saudara muda dapat meniru sifat-sifat Markus dan Timotius supaya mereka dapat melakukan lebih banyak untuk Yehuwa dan saudara saudari di sidang.

1-2. Apakah yang mungkin menghalang Markus dan Timotius daripada meluaskan khidmat mereka?

PARA saudara muda, adakah anda ingin meluaskan khidmat anda untuk Yehuwa dan sidang? Sudah pasti itu hasrat anda! Kita sangat gembira kerana ada begitu banyak saudara muda yang sudi berkhidmat kepada orang lain! (Mzm. 110:3) Namun, anda mungkin teragak-agak untuk bertindak atas beberapa sebab. Contohnya, anda mungkin risau kerana ada banyak hal yang anda tidak tahu, seperti jenis tugasan yang akan anda terima atau ke mana anda akan ditugaskan. Atau anda mungkin berasa kurang yakin kerana anda tidak cukup pengalaman. Jika anda berasa begitu, anda tidak keseorangan.

2 Markus dan Timotius pernah menghadapi cabaran yang serupa. Namun, mereka tidak mengizinkan hal itu menghalang mereka daripada berkhidmat kepada orang lain. Barangkali, Markus tinggal bersama ibunya di rumah yang selesa semasa dia dijemput untuk mengikut Rasul Paulus dan Barnabas dalam perjalanan mereka yang pertama sebagai mubaligh. (Kis. 12:​12, 13, 25) Markus telah meninggalkan persekitaran yang selesa untuk meluaskan khidmatnya. Mula-mula, dia mengikut Paulus dan Barnabas ke Antiokhia. Kemudian dari situ, dia mengikut mereka ke banyak tempat yang jauh. (Kis. 13:​1-5) Kemungkinan besar, Timotius juga tinggal bersama ibu bapanya semasa Paulus mengajaknya untuk menginjil bersama-sama. Sebenarnya, Timotius boleh menolak jemputan Paulus kerana berasa dirinya masih muda dan tidak berpengalaman. (Bandingkan 1 Korintus 16:​10, 11 dan 1 Timotius 4:12.) Tetapi dia tidak berbuat demikian. Sebaliknya, dia sudi mengikut Paulus dan telah menerima banyak berkat.​—Kis. 16:​3-5.

3. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa Paulus sangat menghargai Markus dan Timotius? (2 Timotius 4:​6, 9, 11) (Lihat juga gambar.) (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Markus dan Timotius telah belajar cara untuk memikul banyak tugas dalam sidang semasa muda. Bagaimanakah kita tahu bahawa Paulus sangat menghargai mereka berdua? Apabila dia tahu dia akan mati tidak lama lagi, dia mahu mereka berada di sisinya. (Baca 2 Timotius 4:​6, 9, 11.) Mengapakah Paulus begitu mengasihi mereka berdua? Bagaimanakah para saudara muda dapat meniru sikap Markus dan Timotius? Bagaimanakah mereka dapat meraih manfaat daripada nasihat Paulus kepada Markus dan Timotius?

Kolaj: 1. Markus menyediakan makanan dan minuman untuk Paulus dan Barnabas. 2. Timotius membacakan sepucuk surat kepada sekumpulan penatua.

Paulus mengasihi Markus dan Timotius kerana mereka memikul banyak tanggungjawab dalam sidang biarpun masih muda (Lihat perenggan 3)b


RELA BERKHIDMAT SEPERTI MARKUS

4-5. Bagaimanakah Markus menunjukkan bahawa dia rela berkhidmat?

4 Menurut satu rujukan, sikap rela berkhidmat bermaksud membantu orang dengan “bersungguh-sungguh dan terus berbuat demikian biarpun susah.” Fikirkan teladan Markus. Semasa Paulus hendak memulakan perjalanannya yang kedua sebagai mubaligh, dia enggan membawa Markus bersamanya. Markus pasti berasa sedih dan kecewa ketika itu. (Kis. 15:​37, 38) Namun, dia tidak membiarkan hal itu menghalangnya daripada berkhidmat kepada saudara saudarinya.

5 Sebaliknya, Markus berkhidmat di tempat lain bersama sepupunya Barnabas. Kira-kira 11 tahun kemudian, semasa Paulus dipenjarakan di Roma buat kali pertama, Markus telah datang untuk membantunya. (Flm. 23, 24) Paulus begitu menghargai bantuan Markus sehingga menggambarkannya sebagai “sumber kelegaan hati yang besar.”​—Kol. 4:​10, 11.

6. Apakah manfaat yang diraih oleh Markus kerana bergaul dengan orang Kristian yang matang? (Lihat nota kaki.)

6 Markus meraih banyak manfaat kerana bergaul dengan orang Kristian yang matang. Selepas melawat Paulus di Roma, Markus menyertai Rasul Petrus di Babilon. Mereka menjadi sangat rapat dan Petrus bahkan memanggil Markus “anakku.” (1 Ptr. 5:13) Semasa mereka bekerja bersama-sama, barangkali Petrus telah menceritakan butiran yang menarik tentang kehidupan dan kerja penyebaran Yesus di bumi. Pada kemudian hari, maklumat itu telah dicatatkan oleh Markus dan menjadi sebahagian daripada Bible.a

7. Bagaimanakah Seung-Woo meniru teladan Markus? (Lihat juga gambar.)

7 Markus terus berkhidmat kepada Yehuwa dan bergaul rapat dengan rakan seiman yang matang. Bagaimanakah anda dapat meniru teladannya? Jika anda tidak diberikan tugas yang anda ingini, bersabarlah dan carilah peluang lain untuk berkhidmat kepada Yehuwa dan sidang. Fikirkan contoh seorang penatua yang bernama Seung-Woo. Semasa dia muda, dia sering membandingkan dirinya dengan saudara muda yang lain. Apabila mereka diberi tanggungjawab dalam sidang lebih awal daripadanya, Seung-Woo berasa bahawa dia diabaikan. Jadi dia memberitahu saudara-saudara yang matang tentang perasaannya. Seorang penatua mencadangkan agar dia melakukan apa yang dia mampu untuk membantu orang lain biarpun usahanya tidak dilihat orang. Oleh itu, Seung-Woo menawarkan diri untuk membantu mereka yang lanjut usia dan mereka yang memerlukan pengangkutan untuk menghadiri perjumpaan. Dia berkata, “Saya telah belajar maksudnya melakukan lebih banyak untuk orang lain. Apabila saya membantu orang lain, saya rasa sangat gembira.”

Seorang saudara tua menumpang kereta seorang saudara muda untuk pergi ke Dewan Perjumpaan.

Apakah manfaat yang diraih oleh saudara muda apabila mereka sering bergaul dengan saudara yang matang? (Lihat perenggan 7)


TUNJUKKAN KEPRIHATINAN SEPERTI TIMOTIUS

8. Mengapakah Paulus memilih Timotius untuk menemaninya? (Filipi 2:​19-22)

8 Paulus memerlukan rakan-rakan yang berani untuk menemaninya semasa dia kembali ke kota di mana dia pernah dianiaya. Mula-mula, dia memilih Silas, seorang saudara Kristian yang berpengalaman. (Kis. 15:​22, 40) Kemudian, Paulus juga memilih Timotius untuk menyertainya. Mengapa? Timotius mempunyai reputasi yang baik. (Kis. 16:​1, 2) Dia juga sangat prihatin terhadap orang lain.​—Baca Filipi 2:​19-22.

9. Bagaimanakah Timotius menunjukkan bahawa dia benar-benar mengambil berat terhadap saudara saudari?

9 Sejak Timotius mula bekerja dengan Paulus, dia menunjukkan bahawa dia sudi mengutamakan kepentingan orang lain. Itulah sebabnya Paulus meminta Timotius untuk tinggal di Berea dan menggalakkan saudara saudari yang baharu. (Kis. 17:​13, 14) Pada masa itu, Timotius pasti belajar daripada teladan Silas, yang juga berada di Berea. Kemudian, Paulus mengutus Timotius ke Tesalonika seorang diri untuk menggalakkan saudara saudari di sana. (1 Tes. 3:2) Selama kira-kira 15 tahun, Timotius belajar untuk ‘menangis bersama orang yang menangis’ dan menunjukkan empati kepada saudara saudari yang menderita. (Rm. 12:15; 2 Tim. 1:4) Bagaimanakah para pemuda hari ini dapat meniru teladan Timotius?

10. Bagaimanakah Woo Jae belajar untuk lebih mengambil berat terhadap orang lain?

10 Perhatikan bagaimana Woo Jae belajar untuk lebih mengambil berat terhadap orang lain. Semasa Woo Jae lebih muda, dia berasa susah untuk berbual lama dengan rakan seiman yang lebih tua. Jadi, dia hanya bersalam dengan mereka di Dewan Perjumpaan dan terus beredar. Seorang penatua mencadangkan agar Woo Jae memulakan perbualan dengan memberitahu saudara saudari apa yang dia hargai tentang mereka. Penatua itu juga menggalakkannya untuk memikirkan apa yang mungkin menarik minat saudara saudari. Woo Jae telah mengikut nasihat penatua tersebut, dan kini dia juga seorang penatua. Dia berkata, “Sekarang, saya rasa lebih mudah untuk menikmati perbualan yang mendalam dengan orang daripada pelbagai umur. Saya bersyukur kerana saya lebih mengenali situasi saudara saudari dan dapat membantu mereka dengan lebih baik.”

11. Bagaimanakah para saudara muda dapat belajar untuk lebih mengambil berat terhadap orang lain di sidang? (Lihat juga gambar.)

11 Para saudara muda, anda juga dapat belajar untuk lebih prihatin terhadap orang lain. Semasa di perjumpaan, bercakaplah kepada semua orang dalam sidang, tidak kira umur atau latar belakang mereka. Tanyalah tentang situasi mereka dan dengarlah dengan teliti. Lambat laun, anda akan tahu bagaimana anda dapat membantu mereka. Contohnya, anda mungkin mendapati bahawa sepasang suami isteri yang tua tidak tahu menggunakan aplikasi JW Library®. Atau anda mungkin mendapati bahawa mereka ingin keluar menginjil, tetapi tiada orang menemani mereka. Maka, cubalah membantu mereka menggunakan alat elektronik atau bawalah mereka menginjil bersama-sama. Dengan mengambil inisiatif untuk membantu orang lain, anda akan menetapkan teladan yang baik bagi semua orang.

Seorang saudara muda dan seorang saudara tua menginjil bersama-sama dari rumah ke rumah. Saudara yang tua itu bercakap dengan penghuni rumah sementara saudara muda itu memegang tablet dan menunjukkan video.

Para saudara muda dapat membantu sidang dalam banyak cara yang praktikal (Lihat perenggan 11)


BELAJAR DARIPADA NASIHAT PAULUS

12. Bagaimanakah saudara muda dapat meraih manfaat daripada nasihat Paulus kepada Timotius?

12 Nasihat Paulus yang praktikal telah membantu Timotius berjaya dalam hidup dan khidmatnya kepada Yehuwa. (1 Tim. 1:18; 2 Tim. 4:5) Saudara muda juga meraih manfaat daripada nasihat Paulus. Bagaimana? Bacalah dua pucuk surat yang ditulis oleh Paulus kepada Timotius seolah-olah Paulus menulisnya untuk anda. Kemudian, kenal pasti nasihat yang dapat anda terapkan dalam kehidupan anda. Perhatikan beberapa contoh.

13. Bagaimanakah kita dapat mengabdikan diri kepada Tuhan?

13 “Latihlah dirimu dan bermatlamatlah untuk mengabdikan diri kepada Tuhan.” (1 Tim. 4:7b) Orang yang “mengabdikan diri kepada Tuhan” akan setia kepada Yehuwa dan ingin melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. Kita harus belajar untuk mengabdikan diri kepada Tuhan kerana kita tidak memiliki sifat ini secara semula jadi. Perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “latihlah dirimu” digunakan untuk menggambarkan para atlet yang berlatih dengan tekun agar dapat bersiap sedia untuk suatu pertandingan. Sepertimana mereka perlukan disiplin diri untuk berbuat demikian, kita juga perlukan disiplin diri untuk memupuk tabiat-tabiat yang akan membantu kita mendekati Yehuwa.

14. Apakah sepatutnya matlamat kita semasa membaca Bible? Berikan contoh.

14 Semasa memupuk tabiat membaca Bible, ingatlah bahawa matlamat anda adalah untuk semakin menghampiri Yehuwa. Sebagai contoh, apakah yang dapat anda renungkan semasa membaca tentang perbualan Yesus dengan seorang pemimpin muda? (Mrk. 10:​17-22) Dia percaya bahawa Yesus ialah Mesias, tetapi tidak sanggup menjadi pengikut Yesus kerana imannya tidak cukup kuat. Biarpun begitu, Bible kata Yesus “memandang lelaki itu dengan penuh kasih.” Tidakkah anda tersentuh dengan cara Yesus bercakap dengan lelaki muda itu? Yesus ingin dia membuat keputusan yang bijak, dan sikap Yesus juga mencerminkan kasih Yehuwa terhadap lelaki itu. (Yoh. 14:9) Selepas membaca kisah itu, fikirkanlah situasi anda dan tanyalah diri, “Bagaimanakah saya dapat lebih menghampiri Yehuwa dan melakukan lebih banyak untuk orang lain?”

15. Mengapakah saudara muda harus menjadi teladan yang baik? Berikan contoh. (1 Timotius 4:​12, 13)

15 “Menjadi contoh kepada orang yang setia.” (Baca 1 Timotius 4:​12, 13.) Paulus menggesa Timotius untuk bukan sahaja memupuk kemahiran seperti membaca dan mengajar, tetapi juga sifat-sifat seperti kasih, iman, dan kemurnian. Mengapa? Kerana perbuatan lebih penting daripada kata-kata. Katakan anda ditugaskan untuk memberikan ceramah tentang cara untuk menginjil dengan lebih bersemangat. Jika anda sudah memberikan yang terbaik dalam kerja penyebaran, anda akan berasa lebih yakin untuk menyampaikan tugasan itu. Ya, apabila anda cakap serupa bikin, kata-kata anda akan jadi lebih berkesan.​—1 Tim. 3:13.

16. (a) Orang muda Kristian dapat menjadi teladan dalam lima aspek apa? (b) Bagaimanakah saudara muda dapat jadi teladan dari segi ‘percakapan’?

16 Seperti yang tercatat di 1 Timotius 4:​12, Paulus menyatakan lima aspek seorang saudara muda dapat menjadi teladan bagi sidang. Semasa projek pembelajaran peribadi, cubalah merenungkan setiap aspek itu. Katakan anda ingin menjadi teladan dari segi ‘percakapan.’ Maka fikirkanlah bagaimana anda dapat menguatkan orang lain menerusi kata-kata anda. Sebagai contoh, jika anda masih tinggal bersama ibu bapa, cubalah mengungkapkan penghargaan anda kepada mereka dengan lebih kerap. Semasa perjumpaan, berilah komen dalam kata-kata sendiri. Selepas perjumpaan, beritahulah saudara saudari apa yang anda suka tentang tugasan mereka. Apabila anda berusaha menjadi teladan dari segi percakapan, itulah tandanya anda sedang membuat kemajuan rohani.​—1 Tim. 4:15.

17. Apakah yang dapat membantu saudara muda untuk mencapai matlamat rohani? (2 Timotius 2:22)

17 “Jauhkanlah diri daripada nafsu orang muda. Sebaliknya berusahalah dengan bersungguh-sungguh untuk memupuk kebaikan.” (Baca 2 Timotius 2:22.) Paulus menasihati Timotius untuk melawan nafsu yang dapat membuatnya tersimpang daripada matlamat rohani dan merosakkan hubungannya dengan Yehuwa. Barangkali, anda juga tahu bahawa terdapat sesetengah aktiviti yang tidak salah tetapi memakan banyak masa sehingga anda mengabaikan hal-hal rohani. Contohnya, fikirkan jumlah masa yang anda habiskan untuk bersukan, melayari Internet, atau bermain video game. Dapatkah anda menggunakan sebahagian daripada masa itu untuk aktiviti rohani, seperti menyelenggarakan Dewan Perjumpaan atau menyertai kesaksian awam? Dengan menyertai aktiviti sebegini, anda berpeluang mengenali sahabat yang akan membantu anda untuk menetapkan dan mencapai matlamat rohani.

BERKHIDMAT KEPADA ORANG LAIN MEMBAWA BERKAT

18. Apakah berkat yang dinikmati oleh Markus dan Timotius?

18 Markus dan Timotius membuat banyak pengorbanan untuk berkhidmat kepada orang lain. Hasilnya, mereka menikmati banyak berkat dan hidup bahagia. (Kis. 20:35) Markus berpeluang melawat banyak tempat dan digunakan oleh Yehuwa untuk menulis sebuah buku dalam Bible tentang kehidupan dan kerja penyebaran Yesus di bumi. Timotius pula dapat membantu Paulus untuk menubuhkan sidang-sidang dan menguatkan saudara saudarinya. Sudah pasti, Yehuwa senang hati dengan pengorbanan yang dibuat oleh Markus dan Timotius.

19. Mengapakah saudara muda patut mendengarkan nasihat Paulus kepada Timotius? Apakah hasilnya jika mereka berbuat demikian?

19 Surat Paulus kepada Timotius menunjukkan bahawa Paulus sangat mengasihi Timotius. Ingatlah, surat Paulus diilhami oleh Yehuwa, maka jelaslah bahawa Yehuwa juga sangat mengasihi saudara muda dan mahu mereka berjaya. Oleh itu, saudara muda sekalian, patuhilah nasihat Paulus dan pupuklah keinginan untuk melakukan lebih banyak bagi orang lain. Dengan itu, anda akan menikmati hidup yang bermakna sekarang dan akan “berpegang teguh pada kehidupan yang sejati.”​—1 Tim. 6:​18, 19.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Apakah yang anda belajar daripada teladan Markus?

  • Bagaimanakah anda dapat meniru teladan Timotius semasa melayan orang lain?

  • Apakah nasihat Paulus yang dapat membantu saudara muda untuk membuat kemajuan rohani?

LAGU 80 ‘Rasakanlah Betapa Baiknya Yehuwa’

a Petrus ialah seorang yang dapat meluahkan emosinya dengan mudah. Jadi dia dapat menggambarkan perasaan dan reaksi Yesus dengan baik. Barangkali itulah sebabnya catatan Markus sering menggambarkan emosi dan tindakan Yesus.​—Mrk. 3:5; 7:34; 8:12.

b KETERANGAN GAMBAR: Markus banyak membantu Paulus dan Barnabas dalam perjalanan mereka sebagai mubaligh. Timotius pula sudi mengunjungi sidang untuk menguatkan dan menggalakkan rakan seimannya.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi