PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w25 Jun ms. 14-19
  • Akuilah bahawa Kita Tidak Mengetahui Segala-Galanya

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Akuilah bahawa Kita Tidak Mengetahui Segala-Galanya
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • KITA TIDAK TAHU BILA AKHIR AKAN TIBA
  • KITA TIDAK TAHU CARA YEHUWA BERTINDAK
  • KITA TIDAK TAHU APA YANG AKAN BERLAKU PADA HARI ESOK
  • KITA TIDAK TAHU SEDALAM MANA YEHUWA MENGENALI KITA
  • Bergantung pada Yehuwa semasa Membuat Keputusan
    Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita—Lembaran Kerja—2023
  • Ingatlah bahawa Yehuwa Ialah “Tuhan yang Hidup”
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Apakah yang Kita Tahu tentang Penghakiman Yehuwa pada Masa Depan?
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Belajar daripada Kata-Kata Terakhir Lelaki yang Setia
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
w25 Jun ms. 14-19

RENCANA PEMBELAJARAN 26

LAGU 123 Tunduk kepada Aturan Teokratik dengan Setia

Akuilah bahawa Kita Tidak Mengetahui Segala-Galanya

“Kita tidak dapat memahami segala-galanya tentang Dia Yang Maha Kuasa.”​—AYB. 37:23.

FOKUS

Walaupun kita tidak tahu segala-gala yang bakal berlaku, kita dapat menghadapi cabaran dengan tabah jika kita percaya kepada Yehuwa dan berfokus kepada apa yang kita tahu.

1. Apakah kebolehan yang telah Yehuwa kurniakan kepada kita, dan mengapa?

YEHUWA telah menciptakan kita dalam cara yang menakjubkan. Kita dapat berfikir, belajar hal yang baharu, dan menerapkan apa yang kita belajar. Mengapakah Dia mengurniakan kebolehan sebegini kepada kita? Dia mahu kita ‘memperoleh pengetahuan tentang-Nya’ dan ‘menyembah-Nya dengan menggunakan daya pemikiran kita.’​—Ams. 2:​1-5; Rm. 12:1.

2. (a) Kita harus sedar akan apa? (Ayub 37:​23, 24) (Lihat juga gambar.) (b) Apakah manfaatnya jika kita mengaku bahawa kita tidak tahu segala-galanya?

2 Yehuwa memang memberi kita kebolehan untuk menimba pengetahuan, tetapi kita harus sedar ada banyak hal yang kita tidak tahu. (Baca Ayub 37:​23, 24.) Fikirkan contoh Ayub. Semasa Yehuwa menanyanya banyak soalan, barulah dia sedar bahawa pengetahuannya sangat terbatas. Pengalaman itu telah membantunya bersikap rendah hati dan membetulkan fikirannya. (Ayb. 42:​3-6) Seperti Ayub, jika kita mengaku bahawa kita tidak tahu segala-galanya, kita akan dibantu untuk bersikap rendah hati dan yakin bahawa Yehuwa pasti sentiasa memberitahu kita apa yang kita perlukan untuk membuat keputusan yang bijak.​—Ams. 2:6.

Cahaya bersinar dari awan ke arah Ayub semasa Yehuwa bercakap kepadanya. Tidak jauh dari situ, tiga sahabat palsu Ayub dan Elihu melihat apa yang berlaku.

Kita meraih manfaat jika kita meniru sikap Ayub dan mengakui bahawa ada sesetengah hal yang kita tidak tahu (Lihat perenggan 2)


3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini? Dalam rencana ini, kita akan membincangkan hal-hal yang kita tidak tahu, cabaran yang mungkin timbul, dan manfaatnya tidak mengetahui sesetengah hal. Selepas membincangkan poin-poin ini, kita akan lebih yakin kepada Yehuwa, iaitu “Dia Yang Maha Mengetahui.”​—Ayb. 37:16.

KITA TIDAK TAHU BILA AKHIR AKAN TIBA

4. Menurut Matius 24:​36, apakah yang kita tidak tahu?

4 Baca Matius 24:36. Kita tidak tahu bila akhir dunia jahat ini akan tiba. Semasa Yesus di bumi, dia juga tidak tahu “hari atau waktunya.”a Selepas dibangkitkan, dia memberitahu para rasul bahawa Yehuwa sahajalah “yang berhak menentukan masa dan waktunya.” (Kis. 1:​6, 7) Sebagai Penjaga Masa Yang Agung, Yehuwa telah menetapkan waktunya untuk membinasakan dunia jahat ini, tetapi kita tidak tahu masanya secara tepat.

5. Apakah cabaran yang mungkin timbul kerana kita tidak tahu bila akhir akan datang?

5 Memandangkan kita tidak tahu berapa lama kita harus tunggu sebelum akhir datang, kita mungkin hilang sabar atau menjadi tawar hati, terutamanya jika kita sudah lama menunggu kedatangan hari Yehuwa. Atau kita mungkin rasa susah untuk bertabah semasa dihina oleh ahli keluarga atau orang lain. (2 Ptr. 3:​3, 4) Kita mungkin fikir bahawa jika kita tahu secara tepat bila hari Yehuwa akan datang, kita akan berasa lebih senang untuk bersabar dan bertabah.

6. Apakah manfaatnya tidak mengetahui bila akhir akan datang?

6 Oleh sebab Yehuwa tidak memberitahu kita secara tepat bila akhir akan datang, kita berpeluang untuk membuktikan bahawa kita menyembah-Nya kerana kita mengasihi dan mempercayai-Nya. Kita mahu setia kepada Yehuwa buat selama-lamanya, bukan hanya untuk suatu jangka masa. Jadi daripada asyik berfikir bila “hari Yehuwa” akan datang, kita akan merenungkan berkat-berkat yang menantikan kita. Dengan berbuat demikian, kita akan semakin mengasihi Yehuwa dan semakin berusaha untuk menyenangkan hati-Nya.​—2 Ptr. 3:​11, 12.

7. Apakah yang kita tahu?

7 Adalah penting bagi kita untuk berfikir tentang apa yang kita tahu. Dalam Bible, Yehuwa sudah memberitahu kita nubuat yang membuktikan bahawa hari-hari terakhir bermula pada tahun 1914. Dia juga memberitahu kita banyak perincian tentang keadaan dunia selepas tahun itu. Hasilnya, kita yakin bahawa “hari besar Yehuwa sudah dekat.” (Zef. 1:14) Kita juga tahu kerja apa yang Yehuwa mahu kita lakukan, iaitu mengkhabarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan” kepada seramai orang yang mungkin. (Mat. 24:14) Berita baik ini sedang dikhabarkan di sekitar 240 kawasan dan negara dalam lebih daripada 1,000 bahasa. Sememangnya, kita tidak perlu tahu “hari atau waktunya” untuk menjalankan kerja ini dengan semangat yang membara.

KITA TIDAK TAHU CARA YEHUWA BERTINDAK

8. Apakah maksud kita tidak selalunya “mengetahui perbuatan Tuhan yang benar”? (Pengkhutbah 11:5)

8 Untuk melaksanakan kehendak-Nya, Yehuwa mungkin menyebabkan atau mengizinkan sesuatu berlaku. Namun, Bible menyatakan bahawa kita tidak selalunya “mengetahui perbuatan Tuhan yang benar.” (Baca Pengkhutbah 11:5.) Fikirkan contoh ini: Sehingga sekarang, para saintis belum memahami dengan sepenuhnya bagaimana bayi membesar dalam rahim ibu. Begitu juga, kita tidak selalunya memahami mengapa Yehuwa mengizinkan sesuatu berlaku atau bagaimana Dia akan membantu kita secara khusus.​—Mzm. 37:5.

9. Oleh sebab kita tidak mengetahui bagaimana Yehuwa akan bertindak, apakah cabaran yang mungkin timbul?

9 Oleh sebab kita tidak tahu bagaimana Yehuwa akan bertindak untuk membantu kita, kita mungkin teragak-agak untuk membuat keputusan tertentu. Contohnya, kita mungkin mahu membuat lebih banyak bagi Yehuwa, tetapi kita takut untuk menyederhanakan hidup atau berpindah ke tempat yang memerlukan lebih banyak penyiar. Satu lagi cabaran yang mungkin timbul ialah kita rasa kita hilang perkenan Yehuwa semasa berdepan dengan halangan. Contohnya, kita telah berusaha sedaya upaya untuk meluaskan khidmat kita, tetapi matlamat rohani kita masih tidak tercapai. Atau kita telah bekerja keras dalam kerja penyebaran tetapi tidak mendapat pelajar Bible, ataupun kita melakukan projek untuk organisasi Yehuwa tetapi menghadapi banyak halangan. Situasi sebegini mungkin membuat kita fikir bahawa Yehuwa tidak membantu kita.

10. Apakah manfaat yang kita raih kerana tidak tahu secara khusus bagaimana Yehuwa akan bertindak?

10 Oleh sebab kita tidak tahu secara khusus bagaimana Yehuwa akan bertindak, kita dibantu untuk memupuk sifat-sifat yang penting seperti kerendahan hati. Kita mengaku bahawa fikiran dan jalan Yehuwa lebih tinggi daripada kita. (Yes. 55:​8, 9) Kita juga belajar untuk bergantung sepenuhnya pada Yehuwa dan yakin Dia tahu cara yang terbaik untuk bertindak. Jika kita mendapat hasil yang baik dalam kerja penyebaran atau projek untuk organisasi, kita menghalakan pujian kepada Yehuwa. (Mzm. 127:1; 1 Kor. 3:7) Tetapi jika hasilnya kurang memuaskan, kita tetap tenang kerana kita yakin Yehuwa mengetahui segala-galanya. (Yes. 26:3) Kita akan melakukan apa yang kita mampu dan menyerahkan yang selebihnya kepada Yehuwa. Kita yakin Dia akan terus membimbing kita, biarpun cara Dia bertindak tidak luar biasa seperti yang berlaku pada zaman Bible.​—Kis. 16:​6-10.

11. Apakah yang kita tahu?

11 Kita tahu bahawa Yehuwa sentiasa pengasih, adil, dan bijaksana. Kita juga tahu Dia sangat menghargai apa yang kita lakukan untuk-Nya dan rakan seiman. Selain itu, kita tahu bahawa Yehuwa sentiasa memberikan ganjaran kepada penyembah-Nya yang setia.​—Ibr. 11:6.

KITA TIDAK TAHU APA YANG AKAN BERLAKU PADA HARI ESOK

12. Menurut Yakobus 4:​13, 14, apakah yang kita tidak tahu?

12 Baca Yakobus 4:​13, 14. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi dengan hidup kita esok. Disebabkan “waktu dan kejadian yang tidak terduga,” kita tidak tahu jika rancangan kita akan berjaya atau jika kita masih hidup pada hari esok untuk melaksanakan rancangan kita.​—Pkh. 9:11.

13. Apakah cabaran yang mungkin timbul kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok?

13 Oleh sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok, kita mungkin berasa susah untuk bertabah. Mengapa? Kita mungkin terlalu risau tentang masa depan sehingga hilang sukacita. Tragedi atau cabaran yang tidak diduga mungkin membuat kita berasa susah hati, dan harapan yang tidak tercapai mungkin membuat kita menjadi tawar hati.​—Ams. 13:12.

14. Apakah yang perlu kita lakukan untuk menikmati kebahagiaan sejati? (Lihat juga gambar.)

14 Apabila kita menghadapi kesusahan dengan tabah, kita membuktikan bahawa kita menyembah Yehuwa bukan kerana ingin hidup senang, tetapi kerana kita mengasihi-Nya. Daripada kisah Bible, kita belajar bahawa Yehuwa tidak semestinya melindungi kita daripada semua masalah, dan Dia tidak mentakdirkan apa yang berlaku dalam hidup kita. Yehuwa tahu bahawa untuk menikmati kebahagiaan yang sejati, kita tidak perlu mengetahui segala-gala yang akan berlaku. Sebaliknya, kita perlu mencari bimbingan-Nya dan mentaati-Nya. (Yer. 10:23) Apabila kita bergantung pada Yehuwa semasa membuat keputusan, kita seolah-olah sedang berkata, “Jika Yehuwa mengizinkan, [kita] akan hidup dan melakukan hal ini atau hal itu.”​—Yak. 4:15.

Kolaj: 1. Seorang bapa dan anak lelakinya menyediakan beg kecemasan. Mereka memasukkan Bible dan barang keperluan ke dalam beg itu. 2. Bapa, ibu, dan anak tersebut berlindung di khemah semasa hujan turun. Mereka menggunakan barang keperluan dalam beg kecemasan mereka.

Kita dilindungi apabila kita mencari bimbingan Yehuwa dan mentaati-Nya (Lihat perenggan 14-15)b


15. Apakah yang kita tahu tentang masa depan?

15 Kita tahu bahawa Yehuwa telah menjanjikan kehidupan kekal kepada kita. Tidak kira harapan kita adalah untuk hidup kekal di syurga atau di bumi, kita tahu Dia tidak mungkin berdusta, dan tiada apa-apa yang dapat menghalang-Nya daripada menunaikan janji-janji-Nya. (Tit. 1:2) Kita tahu kebanyakan nubuat Bible telah menjadi kenyataan, jadi kita yakin nubuat Bible tentang masa depan pun pasti berlaku. Bible kata hanya Yehuwa yang dapat “bernubuat tentang hal yang akan berlaku” dan “menyatakan perkara yang belum terjadi.” (Yes. 46:10) Selain itu, kita tahu bahawa tiada apa-apa yang dapat menghalang Yehuwa daripada mengasihi kita. (Rm. 8:​35-39) Dia akan memberi kita kebijaksanaan, kelegaan, dan kuasa yang diperlukan untuk menghadapi apa-apa sahaja dengan tabah. Kita juga yakin Yehuwa pasti membantu dan memberkati kita.​—Yer. 17:​7, 8.

KITA TIDAK TAHU SEDALAM MANA YEHUWA MENGENALI KITA

16. Menurut Mazmur 139:​1-6, apakah yang Yehuwa tahu tentang kita?

16 Baca Mazmur 139:​1-6. Sebagai Pencipta, Yehuwa tahu segala-galanya tentang kita. Dia tahu mengapa kita mempunyai fikiran atau perasaan tertentu. Dia juga memahami apa yang kita katakan dan mengapa kita mengatakannya. Selain itu, Dia mengetahui segala perbuatan kita dan sebab kita melakukannya. Daud menggambarkan Yehuwa seperti penjaga yang mengelilinginya dari segala penjuru untuk melindunginya. Hal itu menunjukkan bahawa Yehuwa sentiasa bersedia dan mampu menolong kita. Bayangkan, walaupun Yehuwa ialah Pencipta langit dan bumi dan merupakan Pemerintah Tertinggi di alam semesta, Dia begitu mengambil berat terhadap kita! Anda pasti setuju dengan kata-kata Daud: “Pengetahuan-Mu tentang diriku terlalu menakjubkan bagiku, [dan] tidak terjangkau oleh akal fikiranku.”​—Mzm. 139:​6, nota kaki.

17. Mengapakah sesetengah orang berasa susah untuk percaya bahawa Yehuwa sangat mengenali mereka?

17 Disebabkan latar belakang, budaya, atau agama mereka yang dahulu, sesetengah orang berasa susah untuk percaya bahawa Yehuwa sangat mengenali mereka. Selain itu, ada yang berfikir bahawa dosa lampau mereka terlalu serius sehingga Yehuwa tidak mungkin mahu mengenali atau menghampiri mereka. Sebenarnya Daud pun pernah berasa begitu. (Mzm. 38:​18, 21) Ada pula yang cuba mengubah gaya hidup yang tidak bermoral agar dapat menyenangkan hati Yehuwa. Namun, perubahan ini sangat susah bagi mereka. Jadi mereka mungkin tertanya-tanya, “Jika Tuhan betul-betul mengenali saya, mengapakah Dia tidak menerima saya seadanya?”

18. Apakah manfaatnya jika kita mengaku bahawa Yehuwa mengenali kita lebih baik daripada kita mengenali diri sendiri? (Lihat juga gambar.)

18 Kita perlu mengaku bahawa Yehuwa mengenali kita lebih baik daripada kita mengenali diri sendiri. Dia mengetahui kesilapan kita, tetapi Dia juga memahami apa yang menyebabkan kita berdosa. Dia tahu potensi kita yang mungkin kita sendiri tidak sedari, dan Dia tahu kita mampu berubah. Dia mengasihi kita dan mahu membantu kita berjaya. (Rm. 7:15) Apakah manfaatnya jika kita menyedari hakikat ini? Kita dapat bersukacita kerana kita akan lebih yakin bahawa kita mampu menyembah Yehuwa dengan setia.

Kolaj: 1. Seorang saudara yang tawar hati memandang ke luar tingkap pada hari hujan yang gelap. 2. Di Firdaus, saudara itu hiking bersama kawan-kawannya sambil menikmati pemandangan yang indah.

Kehidupan kita sekarang tidak menentu, tetapi Yehuwa membantu kita bertabah dengan meyakinkan kita tentang kehidupan yang bahagia di dunia baharu (Lihat perenggan 18-19)c


19. Apakah yang kita tahu tentang Yehuwa?

19 Kita tahu kasih ialah sifat utama Yehuwa. (1 Yoh. 4:8) Kita tahu bahawa apabila Yehuwa menyuruh atau melarang kita melakukan sesuatu, hal itu adalah kerana Dia mengasihi kita dan mahukan yang terbaik bagi kita. Kita juga tahu bahawa Yehuwa mahu kita hidup selama-lamanya kerana Dia telah mengutus Anak-Nya ke bumi untuk mati bagi kita. Korban tebusan Yesus meyakinkan kita bahawa kita dapat menyenangkan hati Yehuwa biarpun kita tidak sempurna. (Rm. 7:​24, 25) Selain itu, kita tahu “Tuhan lebih besar daripada hati kita dan mengetahui segala sesuatu.” (1 Yoh. 3:​19, 20) Dia mengetahui segala sesuatu tentang kita dan yakin bahawa kita dapat melakukan kehendak-Nya.

20. Apakah yang dapat membantu kita agar tidak terlalu khuatir?

20 Walaupun ada sesetengah hal yang kita tidak tahu, Yehuwa sudah memberitahu kita semua maklumat yang perlu kita tahu. Apabila kita mengakui hal itu dengan rendah hati, kita tidak akan terlalu khuatir dan dapat berfokus kepada apa yang lebih penting. Dengan berbuat demikian, kita menunjukkan bahawa kita yakin sepenuhnya kepada Yehuwa, iaitu “Dia Yang Maha Mengetahui.” (Ayb. 36:4) Kita yakin pada masa depan, Yehuwa akan terus mengajar kita hal-hal yang baharu, dan kita akan terus belajar tentang-Nya buat selama-lamanya.​—Pkh. 3:11.

APAKAH MANFAATNYA JIKA KITA MENGAKU BAHAWA KITA TIDAK TAHU . . .

  • bila akhir akan tiba?

  • apa yang akan berlaku hari esok?

  • sedalam mana Yehuwa mengenali kita?

LAGU 104 Kurniaan Kuasa Suci Tuhan

a Yesus akan mengetuai para malaikat untuk membinasakan dunia jahat Syaitan. Maka, kita boleh menyimpulkan bahawa sekarang dia sudah tahu bila perang Armagedon akan bermula dan bila dia akan “menakluki musuhnya dan mengalahkan mereka.”—Why. 6:2; 19:​11-16.

b KETERANGAN GAMBAR: Seorang bapa dan anak lelakinya menyediakan beg kecemasan supaya keluarga mereka bersedia menghadapi kejadian yang tidak terduga.

c KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara yang dibebani masalah merenungkan sukacita yang menantikannya di dunia baharu.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi