PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w25 Julai ms. 26-30
  • “Hanya Yehuwa yang Dapat Memberi Kami Kemenangan”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • “Hanya Yehuwa yang Dapat Memberi Kami Kemenangan”
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • DIBESARKAN OLEH IBU BAPA YANG BERSEMANGAT
  • BERKHIDMAT DI IBU PEJABAT SEDUNIA
  • BERKHIDMAT DI BAHAGIAN PERUNDANGAN
  • MEMPEROLEH HAK YANG SAH UNTUK MENYEBARKAN BERITA BAIK
  • TERIMA KASIH, YEHUWA!
  • Memperjuangkan Kebebasan Beragama
    Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
  • Kesetiaan yang Tidak Berbelah Bahagi
    Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
  • Memperjuangkan Hak Kita di Mahkamah
    Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
  • Mempertahankan Kebebasan Beragama dalam Komuniti Orang Asli
    Bagaimana Sumbangan Anda Digunakan
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
w25 Julai ms. 26-30
Philip Brumley.

KISAH HIDUP

“Hanya Yehuwa yang Dapat Memberi Kami Kemenangan”

DICERITAKAN OLEH PHILIP BRUMLEY

PADA 28 Januari 2010, saya berada di Strasbourg, Perancis. Hari itu sangat sejuk dan tempat itu sangat cantik. Tetapi saya bukan pergi ke sana untuk melancong. Saya salah seorang wakil perundangan yang pergi ke sana untuk mempertahankan hak Saksi-Saksi Yehuwa di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR). Isu yang timbul adalah sama ada kerajaan Perancis patut menuntut saudara-saudara kita membayar cukai yang sangat banyak, iaitu kira-kira 64 juta euro ($89,000,000 A.S.). Selain itu, nama Yehuwa, reputasi umat-Nya, dan kebebasan kita untuk beribadat kepada-Nya juga terlibat. Apa yang berlaku semasa perbicaraan itu meyakinkan saya bahawa “hanya Yehuwa yang dapat memberi kami kemenangan.” (1 Sam. 17:47) Biar saya ceritakan.

Masalah ini mula berlaku pada hujung 1990-an. Pada masa itu, kerajaan Perancis telah mengenakan cukai ke atas sumbangan yang diterima oleh pejabat cawangan Perancis antara 1993 dan 1996. Sedihnya, kami tidak dapat perbicaraan yang adil daripada mahkamah-mahkamah di Perancis. Setelah kami kalah di mahkamah rayuan, kerajaan telah merampas empat juta setengah euro ($6,300,000 A.S.) daripada akaun bank pejabat cawangan. Maka, kami membawa kes ini ke mahkamah ECHR. Sebelum ECHR mendengar kes kami, mereka ingin kami berjumpa dengan peguam kerajaan Perancis dan seorang wakil ECHR. Tujuan pertemuan ini adalah untuk melihat sama ada kedua-dua pihak dapat mencapai persetujuan sebelum kes ini dibicarakan.

Kami berfikir bahawa wakil ECHR akan menyuruh kami membayar sebahagian daripada duit yang dituntut oleh kerajaan Perancis. Tetapi kami sedar bahawa membayar satu euro pun akan melanggar prinsip Bible kerana saudara saudari telah menyumbangkan duit untuk menyokong Kerajaan Tuhan dan bukannya kerajaan Perancis. (Mat. 22:21) Biarpun begitu, kami tetap menghadiri pertemuan itu untuk menghormati syarat mahkamah ECHR.

Wakil perundangan di depan bangunan mahkamah ECHR, 2010

Wakil ECHR ialah seorang pegawai wanita dan kami berjumpa dengannya di sebuah bilik persidangan. Dengan serta-merta, wakil itu berkata bahawa Saksi-Saksi Yehuwa perlu membayar sebahagian daripada cukai yang dituntut oleh kerajaan Perancis. Tiba-tiba, kuasa suci Yehuwa menggerakkan kami untuk bertanya, “Adakah puan sedar bahawa pihak kerajaan telah pun merampas lebih daripada empat juta setengah euro daripada akaun bank kami?”

Raut wajah wakil itu terus berubah. Dia sangat marah kerana kerajaan Perancis telah melakukan hal itu. Dia memarahi mereka dan mengakhiri pertemuan itu dengan serta-merta. Saya tidak sangka pertemuan itu akan berjalan dengan begitu lancar dan saya sedar Yehuwalah yang telah membantu kami. Kami beredar dari sana dengan sangat gembira.

Pada 30 Jun 2011, ECHR telah membuat keputusan sebulat suara untuk menyokong organisasi kita. Kerajaan Perancis diarahkan untuk membatalkan cukai yang dikenakan dan memulangkan wang yang dirampas berserta dengan bunganya. Keputusan yang bersejarah ini telah melindungi ibadat sejati di Perancis sehingga hari ini. Sepertimana sebiji batu telah menewaskan Goliat, begitu juga satu soalan yang tidak kami rancang telah membantu kami berjaya. Jelaslah, “hanya Yehuwa yang dapat memberi kami kemenangan.”—1 Sam. 17:​45-47.

Kemenangan ini bukanlah satu-satunya kemenangan yang kita raih. Setakat ini, kita telah menang 1,225 kes di mahkamah tertinggi di 70 negara dan mahkamah antarabangsa biarpun ditentang oleh pihak berkuasa dan pemimpin agama. Semua kemenangan ini melindungi hak asasi kita, seperti kebebasan beragama, untuk menjalankan kerja penyebaran, untuk tidak menyertai upacara patriotik, dan untuk menolak transfusi darah.

Saya sedang berkhidmat di Ibu Pejabat Sedunia Saksi-Saksi Yehuwa di New York, A.S. Jadi, mengapakah saya terlibat dalam kes-kes mahkamah di Eropah?

DIBESARKAN OLEH IBU BAPA YANG BERSEMANGAT

Ibu bapa saya, George dan Lucille, merupakan lulusan kelas Gilead yang ke-12. Mereka berkhidmat di Etiopia (Habsyah) semasa saya lahir pada tahun 1956. Mereka menamakan saya Philip sempena Filipus, iaitu seorang penginjil pada abad pertama. (Kis. 21:8) Pada tahun seterusnya, kerajaan telah mengharamkan kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa. Walaupun saya masih sangat kecil, saya ingat keluarga saya menjalankan kegiatan rohani secara rahsia dan saya rasa hal ini sangat menyeronokkan. Sedih sekali, pihak berkuasa memaksa kami untuk meninggalkan Etiopia pada tahun 1960.

Nathan H. Knorr (paling kiri) melawat keluarga saya di Addis Ababa, Etiopia, 1959

Biarpun keluarga kami berpindah ke Wichita, Kansas, A.S., ibu bapa saya tetap mempunyai semangat yang membara untuk kerja penyebaran. Kakak saya bernama Judy, dan adik lelaki saya bernama Leslie, dan mereka berdua juga lahir di Etiopia. Ibu bapa saya mengajar kami bertiga untuk mengasihi Yehuwa dan berkhidmat kepada-Nya dengan sepenuh hati. Saya dibaptis pada umur 13 tahun. Tiga tahun kemudian, keluarga kami berpindah ke Arequipa, Peru, untuk berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan.

Pada tahun 1974, semasa saya berumur 18 tahun, cawangan Peru menugaskan saya dan empat orang saudara lain untuk berkhidmat sebagai perintis khas. Kami menginjil di kawasan terpencil di Pergunungan Andes, ini termasuk menginjil kepada orang Quechua dan Aymara. Kenderaan yang kami guna juga merupakan tempat tinggal kami. Kami memanggilnya Bahtera kerana rupa kenderaan kami seperti bahtera Nuh. Banyak orang di sana telah menjadi penyembah Yehuwa. Sampai hari ini, saya mempunyai kenangan manis kerana dapat menggunakan Bible untuk mengajar orang di sana bahawa tidak lama lagi, Yehuwa akan melenyapkan kemiskinan, penyakit, dan kematian.​—Why. 21:​3, 4.

Kenderaan kami sedang meredah air yang dalam. Kenderaan ini juga merupakan tempat tinggal kami.

Kenderaan kami yang dipanggil “Bahtera,” 1974

BERKHIDMAT DI IBU PEJABAT SEDUNIA

Pada tahun 1977, Saudara Albert Schroeder, iaitu salah seorang ahli Badan Pimpinan telah melawat Peru. Dia menggalakkan saya untuk mohon bagi khidmat Bethel di ibu pejabat sedunia. Jadi saya menghantar permohonan saya dan pada 17 Jun 1977, saya mula berkhidmat di Bethel Brooklyn. Selama empat tahun berikutnya, saya bekerja di bahagian Pembersihan dan Penyelenggaraan.

Hari perkahwinan kami, 1979

Pada Jun 1978, saya berjumpa dengan Elizabeth Avallone di konvensyen antarabangsa di New Orleans, Louisiana. Seperti saya, dia juga dibesarkan dalam kebenaran. Elizabeth telah berkhidmat sebagai perintis biasa selama empat tahun, dan dia mahu terus berkhidmat sepenuh masa kepada Yehuwa. Tidak lama kemudian, kami jatuh cinta dan berkahwin pada 20 Oktober 1979. Selepas itu, kami berkhidmat di Bethel bersama-sama.

Sidang pertama kami ialah sidang Brooklyn Spanish, dan saudara saudari di sana sangat penyayang. Kemudian, kami juga menyertai tiga sidang lain yang menggalakkan kami dan yang menyokong khidmat Bethel kami. Kami juga menghargai sokongan daripada kawan dan keluarga yang membantu kami menjaga ibu bapa yang lanjut usia.

Philip bersama ahli keluarga Bethel semasa perjumpaan.

Beberapa saudara saudari dari Bethel yang ditugaskan ke Sidang Brooklyn Spanish, 1986

BERKHIDMAT DI BAHAGIAN PERUNDANGAN

Pada Januari 1982, saya ditugaskan untuk berkhidmat di Bahagian Perundangan. Tiga tahun kemudian, saya diminta untuk menyertai universiti agar dapat menjadi seorang peguam. Dalam kelas, kami telah membincangkan banyak kes penting yang dimenangi oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Kes-kes ini telah memastikan hak asasi dan kebebasan rakyat Amerika Syarikat dan negara lain terjamin.

Pada tahun 1986, semasa saya berumur 30 tahun, saya dilantik sebagai penyelia Bahagian Perundangan. Saya rasa gembira, tapi pada masa yang sama, saya juga risau kerana saya masih muda dan ini tugasan yang mencabar.

Saya menjadi peguam pada tahun 1988, tetapi saya tidak sedar pendidikan tinggi telah menjejaskan kerohanian saya. Pendidikan tinggi boleh membuat seseorang mempunyai cita-cita tinggi dan menjadi sombong. Saya bersyukur isteri saya telah membantu saya untuk menyedari hal ini dan bertumpu semula kepada hal-hal rohani. Mujurlah hubungan saya dengan Yehuwa pulih secara beransur-ansur. Daripada pengalaman saya, saya belajar bahawa hal yang paling penting bukanlah pengetahuan, tetapi hubungan yang baik dengan Yehuwa dan kasih yang mendalam untuk-Nya dan umat-Nya.

MEMPEROLEH HAK YANG SAH UNTUK MENYEBARKAN BERITA BAIK

Selepas tamat universiti, saya mula bertumpu kepada perundangan di Bethel dan mempertahankan hak para Saksi untuk menginjil. Kerja saya sangat menarik, tapi juga mencabar kerana terdapat perubahan pesat yang berlaku dalam organisasi kita. Contohnya, dulu orang yang berminat harus menyumbangkan jumlah wang tertentu untuk menerima bahan bacaan. Tapi pada tahun 1990, Badan Pimpinan telah meminta bantuan daripada Bahagian Perundangan agar memberikan cadangan tentang cara menghentikan aturan ini. Perubahan ini telah memudahkan kerja di Bethel dan semasa menginjil. Selain itu, hal ini telah membantu kita mengelakkan masalah dalam soal cukai. Ada yang berfikir bahawa perubahan ini akan membuat kita tidak cukup duit untuk mencetak bahan bacaan. Namun, hal itu tidak berlaku. Sebaliknya sejak tahun 1990, bilangan penyembah Yehuwa telah meningkat lebih daripada dua kali ganda. Hari ini, semua orang dapat menerima bahan terbitan Bible secara percuma. Saya belajar bahawa perubahan yang besar dalam organisasi kita dapat berjaya hanya kerana bantuan daripada Yehuwa dan arahan daripada hamba yang setia.​—Kel. 15:2; Mat. 24:45.

Kita tidak selalunya menang dalam mahkamah semata-mata kerana kita mempunyai peguam yang baik. Sering kali apa yang menggerakkan hati pihak berkuasa ialah kelakuan baik umat Yehuwa. Saya nampak hal ini dengan mata sendiri pada tahun 1998. Pada masa itu, tiga orang ahli Badan Pimpinan dan isteri mereka telah menghadiri konvensyen di Cuba. Oleh sebab mereka bersikap baik hati dan menunjukkan hormat, kelakuan mereka telah meninggalkan kesan yang lebih besar kepada pihak berkuasa daripada apa-apa yang telah kami katakan semasa mesyuarat kami dengan mereka tentang keneutralan kami.

Namun kadang-kadang, sesetengah hal hanya dapat diselesaikan dengan membawa kes itu ke mahkamah. Hal ini selaras dengan kata-kata Bible bahawa kita “berusaha untuk memperoleh hak yang sah di sisi undang-undang untuk menyebarkan berita baik.” (Flp. 1:7) Contohnya selama bertahun-tahun, pihak berkuasa di Eropah dan Korea Selatan tidak membenarkan orang untuk menolak khidmat tentera. Akibatnya, kira-kira 18,000 saudara di Eropah dan lebih daripada 19,000 saudara di Korea Selatan dipenjarakan kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.

Akhirnya pada 7 Julai 2011, mahkamah ECHR telah membuat keputusan bersejarah dalam kes Bayatyan lwn. Armenia yang menyatakan bahawa pihak berkuasa wajib menyediakan khidmat awam alternatif di Eropah. Pada 28 Jun 2018, Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan juga mengeluarkan keputusan yang serupa. Andai kata terdapat beberapa orang saudara muda pun yang tidak bersikap neutral, barangkali kita tidak dapat meraih kemenangan dalam kedua-dua kes ini.

Bahagian Perundangan di ibu pejabat sedunia dan cawangan lain di serata dunia sedang bekerja keras untuk mempertahankan hak kita untuk beribadat. Kami berasa bangga untuk mempertahankan saudara saudari yang menghadapi tentangan daripada pihak berkuasa. Tidak kira kami menang atau kalah di mahkamah, kami dapat memberikan kesaksian yang baik kepada orang lain. (Mat. 10:18) Contohnya, para hakim, wakil kerajaan, pihak media, dan orang awam akan membaca ayat-ayat Bible yang dipetik dalam dokumen bertulis dan hujah yang dikemukakan. Orang yang berhati jujur akan belajar siapa sebenarnya Saksi-Saksi Yehuwa dan bahawa kepercayaan kita adalah berdasarkan Bible. Ada antara mereka yang bahkan telah menjadi rakan seiman.

TERIMA KASIH, YEHUWA!

Selama lebih daripada 40 tahun, saya dapat bekerjasama dengan pejabat cawangan di serata dunia dan menangani kes di mahkamah tinggi dan di hadapan pihak berkuasa. Saya mengasihi rakan sekerja dalam Bahagian Perundangan di ibu pejabat sedunia dan di cawangan lain. Saya rasa hidup saya sangat bermakna dan Yehuwa telah memberkati saya dengan berlimpah.

Philip dan Elizabeth Brumley.

Sepanjang 45 tahun yang lepas, Elizabeth telah menyokong saya dengan setia, tidak kira pada masa yang senang atau susah. Saya sangat tersentuh dia berbuat demikian walaupun dia mempunyai masalah kesihatan yang menyebabkan badannya lemah.

Daripada pengalaman hidup kami, kami telah belajar kami tidak meraih kemenangan atas kekuatan dan kebolehan sendiri. Kami setuju dengan kata-kata Daud, “Ya Yehuwa, Engkaulah kekuatan bagi umat-Mu.” (Mzm. 28:8) Sememangnya, “hanya Yehuwa yang dapat memberi kami kemenangan.”

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi