Sepucuk Surat daripada Badan Pimpinan
Saudara Saudari yang Dikasihi,
Dengan rendah hati, Nabi Yesaya mengakui bahawa segala kejayaan dan kemakmuran yang dinikmati Kerajaan Yehuda merupakan hasil daripada berkat Yehuwa. Di Yesaya 26:12, dia berkata, ‘Ya Yehuwa, segala yang kami capai itu adalah hasil perbuatan-Mu bagi kami.’ Apabila kita memikirkan segala pencapaian kita pada tahun aktiviti penyebaran yang lalu, kita juga mengakui bahawa Yehuwa sedang melakukan “perkara-perkara besar, yang belum pernah dilakukan!” (Kel. 34:10) Mari kita fikirkan beberapa berkat yang dikurniakan oleh Tuhan.
Laman web rasmi kita, jw.org, telah digunakan secara meluas sekali. Laman itu kini terdapat dalam lebih daripada 600 bahasa, dan pengguna dapat membaca dan memuat turun bahan bacaan dalam lebih daripada 750 bahasa. Adakah laman kita alat yang berkesan untuk menyampaikan kebenaran kepada orang yang berhati jujur? Sepasang suami isteri berasa sangat kecewa apabila memerhatikan sifat bermuka dua dalam agama. Tetapi semasa mencari bimbingan rohani, mereka menjumpai laman kita, dan sering mengunjunginya untuk membaca rencana dan menonton video kita. Mereka bahkan memuat turun buku kecil Mengkaji Ayat-Ayat Suci Setiap Hari dan membacanya bersama dengan dua orang anak remaja mereka. Semasa Saksi-Saksi Yehuwa mengetuk pintu rumah mereka, itulah yang sedang dilakukan mereka. Saksi-Saksi mendapat tahu bahawa keluarga itu telah membuat banyak perubahan setelah mengunjungi laman web kita. Bahkan sebelum mereka bertemu dengan Saksi-Saksi, mereka sudah menghilangkan tatu, mengeluarkan perhiasan tindik badan, membuang patung berhala, berhenti menyambut perayaan duniawi, dan tidak lagi menonton wayang yang tidak sihat! Semasa surat ini ditulis, suami isteri itu dan salah seorang anak mereka sudah menjadi penyiar. Suami isteri itu juga bercadang untuk dibaptis tidak lama lagi.
Kami telah menerima banyak ucapan penghargaan untuk program bulanan Siaran JW. Setakat ini, program tersebut disediakan dalam lebih daripada 70 bahasa, dan akan disediakan dalam lebih banyak bahasa lagi. Banyak keluarga menontonnya semasa malam Penyembahan Keluarga. Seorang saudara berkata, “Organisasi Yehuwa sangat besar sekarang, tetapi kami berasa sangat dekat dengan ibu pejabat!”
Konvensyen merupakan acara yang istimewa bagi umat Yehuwa, termasuk konvensyen yang diadakan pada tahun aktiviti penyebaran 2015. Program konvensyen itu mengandungi 42 buah video dan gambar, dan enam selingan muzik yang dimainkan sebelum permulaan setiap sesi. Seorang saudara yang berpengalaman berkata, “Nampaknya hadirin tidak mahu meninggalkan tempat duduk semasa program berlangsung, kerana mereka tidak ingin ketinggalan apa-apa.” Mengenai konvensyen tahun lalu, seorang mubaligh berkata, “Video-video itu menjadikan kebenaran dan Kerajaan Tuhan lebih nyata untuk saya.”
Yehuwa juga mengurniai kita beberapa lagu baharu sepanjang tahun yang lalu. Sepasang suami isteri menulis, “Lagu-lagu baharu itu seperti pelukan daripada Yehuwa. Lagu-lagu itu menjadi sinar cahaya semasa kami melalui detik-detik gelap kehidupan.” Semasa menghadiri konvensyen, kita diingatkan bagaimana kerja keras orkestra dan kumpulan penyanyi Watchtower membawa manfaat kepada kita dan membawa lebih banyak pujian untuk Yehuwa!
Adakah sidang anda menggunakan rak mudah alih semasa kesaksian awam? Kaedah kesaksian itu memang berfaedah! Sesetengah orang yang tinggal dalam bangunan bertingkat atau kawasan yang mempunyai kawalan keselamatan, telah mendengar kebenaran buat kali pertama. Banyak orang, termasuk Saksi yang tidak aktif, telah dibantu menerusi kaedah ini. Pada bulan Januari 2015, seorang lelaki di Korea Selatan datang ke rak kita dan menjelaskan bahawa belakangan ini, dia memikirkan hal-hal rohani dengan serius. Dia mula belajar Bible, dan pada bulan Februari, dia menghadiri perjumpaan buat kali pertama. Pada bulan Mac, dia berhenti merokok. Pada bulan April dia melawat pejabat cawangan di Korea Selatan, dan kini dia membuat kemajuan rohani yang pesat. Kami sering menerima laporan sebegini di ibu pejabat sedunia.
Kami berdoa agar maklumat yang disampaikan di konvensyen akan mendorong ramai orang yang pernah menyembah Yehuwa dengan aktif agar kembali ke pangkuan-Nya sebelum terlambat. Semasa mereka kembali, kami menggalakkan anda untuk meniru Yehuwa, dan menyambut mereka dengan mesra.—Yeh. 34:16.
Tidak dapat dinafikan bahawa Yehuwa telah memberkati umat-Nya sepanjang tahun aktiviti penyebaran yang lalu. Apakah berkat yang menantikan kita tahun ini? Sementara kita tunggu dan lihat, ingatlah bahawa Badan Pimpinan sangat mengasihi anda, dan kami selalu berdoa untuk anda.
Semoga anda sejahtera selalu.
Saudara-saudara anda,
Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa