KAUM MUDA BERTANYA
Bagaimanakah jika Saya Mengalami Masalah Kesihatan? (Bahagian 1)
Adakah kamu mempunyai rakan sebaya yang menghidap penyakit yang serius? Adakah kamu menghidap penyakit atau mengalami kecacatan fizikal, sehingga tidak dapat menikmati aktiviti yang dilakukan oleh mereka yang sebaya dengan kamu?
Jika ya, tidaklah salah untuk berasa tawar hati dari masa ke masa. Tetapi Bible ada menyebutkan dua perkara yang dapat memberi kamu kelegaan.
Pencipta kamu, Tuhan Yehuwa, memahami situasi kamu. Bukan itu sahaja, “Dia mengambil berat tentang kamu.”—1 Petrus 5:7.
Tuhan Yehuwa akan menyembuhkan semua jenis penyakit! Kamu dapat membaca tentang hal ini dalam Bible di Yesaya 33:24 dan Wahyu 21:1-4.
Ramai kaum muda mengalami masalah kesihatan yang mencabar mendapati bahawa iman terhadap Tuhan dan janji-janji-Nya telah menguatkan mereka. Perhatikan empat contoh berikut.
YEIMY
Semasa berumur 11 tahun, saya harus menggunakan kerusi roda ke mana sahaja saya pergi. Perkara mudah seperti mengangkat barang yang ringan pun saya tidak dapat melakukan dengan baik.
Saya disahkan menghidap penyakit distrofi otot pada usia lima tahun. Otot saya semakin merosot sehingga saya tidak mampu membuat banyak perkara. Ada kalanya, saya berasa tawar hati kerana tidak dapat melakukan perkara yang biasa dilakukan oleh kaum muda seperti saya. Namun, ibu bapa saya dan mereka yang di sidang memberi saya sokongan dari segi fizikal, emosi, dan rohani. Saya juga berkhidmat sebagai penginjil sepenuh masa. Rakan seiman Kristian sering menemani saya semasa saya mengadakan pembelajaran Bible dengan orang yang berminat.
Yesus kata setiap hari mempunyai kekhuatirannya sendiri. (Matius 6:34) Jadi saya berusaha untuk menghadapi kekhuatiran sehari demi sehari dan menetapkan matlamat yang realistik agar saya dapat mencapainya. Saya menanti-nantikan masanya untuk berada di dunia baharu Tuhan, di sana saya akan bebas daripada penyakit dan menikmati “kehidupan yang sejati.”—1 Timotius 6:19.
Cuba renungkan: Yeimy mendapati bahawa menetapkan “matlamat yang realistik” telah membantunya. Apakah matlamat realistik kamu?—1 Korintus 9:26.
MATTEO
Semasa berumur enam tahun, saya mula berasa sakit belakang. Pada mulanya, doktor kata masalah itu disebabkan saya sedang membesar. Tetapi setahun kemudian, mereka mendapati bahawa terdapat ketumbuhan pada tulang belakang saya.
Saya telah menjalani pembedahan, tetapi doktor pakar bedah hanya dapat mengeluarkan 40 peratus tumor itu. Kemudian dalam masa dua bulan sahaja, tumor itu kembali ke saiz asalnya! Sejak itu, saya menjalani banyak pemeriksaan, rawatan, dan mengalami banyak kekecewaan.
Ada kalanya, saya perlu menahan kesakitan yang seperti tikaman pisau pada seluruh badan saya, terutamanya di belakang badan dan dada saya. Biarpun begitu, saya berusaha untuk tidak terlalu memikirkan kesakitan itu. Saya mengingatkan diri bahawa orang lain pun mengalami banyak kesusahan, tetapi mereka tetap bersikap positif. Perkara yang paling membantu saya mengekalkan sikap positif ialah keyakinan saya terhadap janji Tuhan Yehuwa untuk menghapuskan segala penderitaan.—Wahyu 21:4.
Cuba renungkan: Seperti Matteo, dengan memikirkan janji Tuhan untuk mengakhiri penderitaan, bagaimanakah kamu dibantu untuk bertabah?—Yesaya 65:17.
BRUNA
Saya tidak kelihatan seperti orang yang menghidap penyakit, jadi sesetengah orang berfikir bahawa saya pemalas. Tetapi sebenarnya, saya berasa sangat susah untuk melakukan apa-apa sahaja, seperti kerja rumah, belajar, bahkan bangun dari katil.
Semasa berusia 16 tahun, saya disahkan menghidap sklerosis berbilang. Penyakit ini beransur-ansur merebak dan dapat melemahkan badan saya, sehingga mengehadkan keupayaan saya untuk buat kerja, termasuk melakukan pelbagai jenis aktiviti Kristian seperti yang saya inginkan. Saya berulang kali membaca ayat di 1 Petrus 5:7, yang berkata, “Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.” Saya mendapat kekuatan kerana mengetahui bahawa Yehuwa mengambil berat terhadap kita secara individu. Ayat itu terus menguatkan saya sehingga hari ini.
Cuba renungkan: Apakah manfaatnya jika kamu melemparkan segala kekhuatiran kamu kepada Yehuwa, seperti yang dilakukan oleh Bruna?—Mazmur 55:22.
ANDRÉ
Ramai orang melayan saya seperti budak yang berumur 10 tahun. Saya tidak menyalahkan mereka kerana saya memang kelihatan seperti 10 tahun.
Pada usia dua tahun, saya disahkan menghidap sejenis kanser yang jarang berlaku. Penyakit itu mula merebak di saraf tunjang dan belakangan merebak ke otak saya. Para doktor dapat mengawal keadaan penyakit saya, tetapi rawatan yang dijalankan telah mempengaruhi tumbesaran saya. Sekarang, ketinggian saya hanya 1.37 meter. Apabila saya beritahu orang bahawa saya berumur 18 tahun, mereka berfikir saya sedang berbohong!
Saudara saudari di sidang Kristian memperlakukan saya dengan hormat. Mereka tidak mengusik saya seperti yang dilakukan oleh rakan sekolah saya. Saya berusaha mengekalkan sikap positif tentang keadaan saya. Sebenarnya, saya telah menikmati perkara terbaik yang dinikmati oleh seseorang, iaitu mengenali Yehuwa! Tidak kira apa pun yang berlaku, saya yakin Yehuwa akan tetap menjaga saya. Tuhan Yehuwa telah menjanjikan dunia baharu yang menakjubkan. Dengan memikirkan janji ini, saya dapat mengekalkan sikap positif.—Yesaya 33:24.
Cuba renungkan: Mengapakah André berkata bahawa mengenali Yehuwa merupakan “perkara terbaik yang dinikmati oleh seseorang”?—Yohanes 17:3.