Apakah Itu Babilon Besar?
Jawapan Bible
Buku Wahyu menyebut tentang “seorang wanita” yang merupakan “pelacur besar.” Namanya ialah “Babilon Besar” dan merupakan “suatu misteri.” (Wahyu 17:1, 3, 5) Wanita itu melambangkan semua agama palsu di dunia yang “menggantikan kebenaran Tuhan dengan dusta.”a (Roma 1:25) Walaupun agama-agama itu berbeza, semua agama itu menyebabkan orang menyimpang daripada menyembah satu-satunya Tuhan yang benar, iaitu Yehuwa.—Ulangan 4:35.
Cara untuk mengenal pasti Babilon Besar
Babilon Besar bukan wanita sebenar. Buku Wahyu menyampaikan perkhabaran Tuhan “dalam bentuk lambang.” (Wahyu 1:1) Maka kita boleh menyimpulkan bahawa Babilon Besar bukan wanita yang sebenar, tetapi melambangkan sesuatu. Tambahan lagi, dia “duduk di atas air yang banyak,” yang “melambangkan kaum, orang ramai, bangsa, dan bahasa.” (Wahyu 17:1, 15) Wanita yang harfiah tidak dapat berbuat demikian.
Babilon Besar ialah sebuah organisasi antarabangsa. Babilon Besar dikenali sebagai “kota besar yang berkuasa atas raja-raja di bumi.” (Wahyu 17:18) Maka, Babilon Besar mempunyai pengaruh yang kuat di seluruh dunia.
Babilon Besar ialah sebuah organisasi agama, dan bukannya organisasi politik atau perdagangan. Babilon kuno merupakan sebuah kota yang terkenal dengan penggunaan ‘jampi’ dan “ilmu sihir.” (Yesaya 47:1, 12, 13; Yeremia 50:1, 2, 38) Penduduk kota itu kuat beragama, tetapi mereka mengikut agama palsu yang bertentangan dengan Tuhan yang benar, iaitu Yehuwa. (Kejadian 10:8, 9; 11:2-4, 8) Para pemerintah Babilon yang sombong menganggap diri lebih tinggi daripada Yehuwa dan ibadat-Nya. (Yesaya 14:4, 13, 14; Daniel 5:2-4, 23) Begitu juga, Babilon Besar terkenal dengan ‘amalan-amalan sihirnya.’ Hal ini membuktikan bahawa Babilon Besar ialah sebuah organisasi agama.—Wahyu 18:23.
Babilon Besar bukan sebuah organisasi politik kerana “raja-raja di bumi” menangis apabila melihat kemusnahannya. (Wahyu 17:1, 2; 18:9) Babilon Besar juga bukan sebuah organisasi perdagangan kerana Bible menyatakan bahawa Babilon Besar berbeza daripada “para saudagar di bumi.”—Wahyu 18:11, 15.
Photograph taken by courtesy of the British Museum
Batu berukir menunjukkan Raja Nabonidus dari Babilon dan lambang tuhan tritunggal Sin, Ishtar, dan Shamash
Gelaran Babilon Besar amat sesuai untuk melambangkan agama palsu. Agama palsu mengajar pengikutnya untuk menyembah tuhan-tuhan lain, dan bukannya menyembah Tuhan yang benar, iaitu Yehuwa. Bible menggambarkan perbuatan ini sebagai “berlaku curang” terhadap Yehuwa. (Imamat 20:6; Keluaran 34:15, 16) Sehingga hari ini, banyak agama palsu menyebarkan ajaran yang berasal daripada Babilon kuno, termasuk ajaran tritunggal, ajaran bahawa orang mati mempunyai roh, dan penggunaan patung berhala dalam penyembahan. Agama palsu juga tidak setia kepada Tuhan kerana mengajar orang untuk mencintai dunia. Maka Bible menggambarkan agama palsu sebagai “penzina.”—Yakobus 4:4, nota kaki.
Agama palsu kelihatan makmur dan mewah. Hal ini sesuai dengan gambaran Bible tentang Babilon Besar yang “berpakaian ungu dan merah marak, dan memakai perhiasan emas, batu permata, dan mutiara.” (Wahyu 17:4) Babilon Besar ialah sumber “hal-hal yang menjijikkan di bumi,” iaitu ajaran dan tindakan yang menghina Tuhan. (Wahyu 17:5) Babilon Besar disokong oleh pengikut daripada pelbagai “kaum, orang ramai, bangsa, dan bahasa.”—Wahyu 17:15.
Babilon Besar bertanggungjawab atas kematian “semua orang yang telah dibunuh di bumi.” (Wahyu 18:24) Sepanjang sejarah manusia, agama palsu bukan sahaja menyebabkan peperangan tetapi juga mengapi-apikan kegiatan pengganas. Mereka juga gagal mengajar kebenaran tentang Yehuwa, Tuhan yang pengasih. (1 Yohanes 4:8) Perbuatan mereka telah menyumbang kepada banyak pertumpahan darah.
Apakah pandangan Tuhan terhadap Babilon Besar?
Di mata Tuhan, dosa Babilon Besar “sudah bertimbun-timbun sampai ke syurga.” (Wahyu 18:4, 5) Agama palsu melayan penganutnya dengan buruk, malah menyebarkan dusta tentang Tuhan. Itulah sebabnya Tuhan marah dengan agama palsu.
Apakah yang akan berlaku kepada Babilon Besar?
Bible menyatakan bahawa “Tuhan telah menjatuhkan hukuman” ke atas Babilon Besar. (Wahyu 18:20) Dengan menggunakan bahasa kiasan, Bible menggambarkan bagaimana Tuhan akan mengakhiri semua agama palsu. (Wahyu 18:8) Dia akan menggerakkan seekor binatang buas yang berwarna merah marak—iaitu sebuah pertubuhan politik yang berkuasa—untuk menyerang dan membinasakan agama palsu. (Wahyu 17:16, 17) “Kota Babilon yang besar akan dicampakkan dengan begitu cepat dan tidak akan dijumpai lagi.” (Wahyu 18:21) Itulah sebabnya orang yang ingin menyenangkan hati Tuhan mesti ‘keluar daripada kalangan’ agama palsu dan tidak mempunyai apa-apa kaitan dengannya.—2 Korintus 6:14-17.
a Lihat rencana “Bagaimanakah Saya Dapat Mencari Agama yang Benar?”