KAUM MUDA BERTANYA
Mengapakah Saya Selalu Tersalah Cakap?
“Kadangkala saya boleh mengawal lidah saya, tetapi ada masanya saya bercakap tanpa berfikir!”—James.
“Apabila saya cemas saya bercakap tanpa berfikir, dan apabila saya relaks saya tidak berhenti bercakap. Jadi saya selalu salah cakap.”—Marie.
Bible menyatakan, “Lidah bagaikan api” dan “Betapa kecilnya api yang diperlukan untuk membakar hutan yang luas!” (Yakobus 3:5, 6) Adakah kata-kata kamu sering menimbulkan masalah? Jika ya, rencana ini dapat membantu kamu.
Mengapakah saya selalu tersalah cakap?
Ketidaksempurnaan. Bible menyatakan, “Kita semua sering berbuat silap. Jika seseorang tidak pernah berbuat silap dalam pertuturannya, dia ialah orang sempurna.” (Yakobus 3:2) Kelemahan manusia menyebabkan kita sering berbuat silap dan juga mengatakan hal yang salah apabila kita bercakap.
“Memandangkan otak dan lidah saya tidak sempurna, saya menipu diri sendiri jika saya mengatakan saya dapat mengawalnya dengan baik.”—Anna.
Bercakap banyak. Bible menyatakan, “Orang yang bercakap banyak pasti akan berdosa.” (Amsal 10:19) Biasanya, orang yang bercakap banyak dan kurang mendengar sering mengatakan sesuatu yang salah lalu menyinggung perasaan orang lain.
“Orang yang bercakap banyak tidak semestinya orang bijak. Yesus ialah manusia yang paling bijak, tetapi ada masanya dia berdiam diri.”—Julia.
Sindiran. Bible menyatakan, “Kata-kata yang melulu ibarat tikaman pedang.” (Amsal 12:18) Satu contoh bercakap tanpa berfikir ialah sindiran, iaitu kata-kata yang menyakitkan dan merendah-rendahkan orang lain. Orang yang berbuat demikian mungkin berkata, “Saya bergurau sahaja!” Tetapi perbuatan memalukan orang lain sepatutnya tidak dijadikan bahan ketawa. Bible memberitahu kita untuk membuang “kata-kata hinaan, dan segala kejahatan.”—Efesus 4:31.
“Saya suka dan pandai berjenaka, tetapi jenaka ini boleh menjadi sindiran. Akibatnya, saya selalu menimbulkan masalah.”—Oksana.
Sepertimana ubat gigi yang dipicit keluar tidak dapat disimpan balik, kata-kata yang sudah diucapkan juga tidak dapat ditarik kembali
Mengekang lidah
Belajar untuk mengawal lidah bukanlah mudah, tetapi prinsip Bible dapat membantu. Sebagai contoh, perhatikanlah prinsip-prinsip di bawah.
“Ucapkanlah hal itu dalam hatimu sambil berdiam diri.”—Mazmur 4:4.
Kadangkala jawapan yang terbaik adalah tetap berdiam diri. Seorang gadis yang bernama Laura berkata, “Kita mungkin mempunyai perasaan yang berbeza semasa tengah marah atau apabila kemarahan itu reda. Saya gembira kerana tidak bercakap sesuka hati sewaktu saya marah.” Dengan berdiam diri, kita dapat mengelakkan daripada mengucapkan kata-kata yang salah.
“Bukankah telinga yang menguji kata-kata, sebagaimana lidah mengecap makanan?”—Ayub 12:11.
Kamu dapat mengelakkan banyak masalah jika kamu menguji apa yang ingin kamu katakan terlebih dahulu. Soalan-soalan berikut boleh membantu kamu:
Adakah hal itu benar, membina, dan penting?—Roma 14:19.
Apakah reaksi saya jika seseorang berkata demikian kepada saya?—Matius 7:12.
Adakah saya menghormati pandangan orang lain?—Roma 12:10.
Adakah ini waktu yang sesuai untuk mengatakannya?—Pengkhutbah 3:7.
“Dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri kamu sendiri.”—Filipi 2:3.
Nasihat seperti ini dapat membantu kamu memupuk pandangan yang betul terhadap orang lain dan juga membantu kamu mengekang lidah. Sekiranya kamu sudah terlepas kata yang menyakiti hati, tunjukkanlah kerendahan hati dengan memohon maaf secepat mungkin. (Matius 5:23, 24) Bertekadlah untuk mengekang lidah kamu dengan lebih baik.