PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • lfs rencana 20
  • Bersyukur Saya Memilih Kerjaya yang Betul

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Bersyukur Saya Memilih Kerjaya yang Betul
  • Kisah Hidup Saksi-Saksi Yehuwa
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • Mengejar Matlamat Kami
  • Tugasan yang Mencabar
  • Papua New Guinea—Tempat yang Penuh dengan Kejutan
  • Terus Sibuk Berkhidmat di Australia
  • Yehuwa Mengajar Saya Melakukan Kehendak-Nya
    Menara Pengawal—2012
  • “Saya Tidak Pernah Keseorangan”
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Cara Menyesuaikan Diri dengan Tugasan Baharu
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2019
Kisah Hidup Saksi-Saksi Yehuwa
lfs rencana 20
Warren dan Leann Reynolds.

WARREN REYNOLDS | KISAH HIDUP

Bersyukur Saya Memilih Kerjaya yang Betul

Di sebuah tempat yang terpencil di barat laut Australia, saya duduk berhampiran unggun api bersama beberapa orang saudara saudari. Kami kongsi cerita tentang bagaimana Yehuwa telah memberkati kami. Sudah banyak kali saya menikmati suasana sebegini, tetapi di negara yang berbeza dan bersama orang yang menuturkan bahasa yang berlainan. Di sebalik unggun api, saya nampak senyuman lebar isteri saya yang tercinta. Kami telah menikmati banyak perjalanan yang menarik bersama-sama dalam khidmat kepada Yehuwa. Kami telah menjelajah ke banyak tempat yang saya tidak pernah bayangkan saya akan pergi. Sebenarnya, semasa muda saya berpeluang memilih kerjaya yang sangat berbeza. Biar saya ceritakan.

Saya membesar di kawasan terpencil di Australia. Mak dan ayah serta ibu bapa mereka mempelajari kebenaran pada tahun 1950-an. Saya mula menginjil semasa berumur 6 tahun dan dibaptis pada usia 13 tahun. Semasa cuti sekolah, saya sering menjadi perintis sokongan. Saya mengasihi Yehuwa dan mahu berkhidmat kepada-Nya selama-lamanya.

Bersama dengan ibu bapa saya dan empat orang adik lelaki

Semasa saya berumur 15 tahun, jurulatih di sekolah mendapati bahawa saya berbakat dalam bidang sukan. Oleh itu, wakil daripada pasukan liga ragbi menawarkan biasiswa sukan kepada saya. Saya tertarik dengan tawaran untuk menjadi selebriti sukan, tetapi saya tahu saya sudah membaktikan diri kepada Yehuwa. Ayah menggalakkan saya untuk merenungkan ikrar saya kepada Yehuwa sebelum membuat keputusan. Selepas berbuat demikian, saya sedar bahawa saya tidak dapat menjadi ahli sukan dan mengejar hal-hal rohani pada masa yang sama. Jadi saya menolak tawaran mereka. Beberapa bulan kemudian, Australian Institute of Sport di Canberra menawarkan satu lagi biasiswa. Mereka merancang untuk melatih saya menjadi pelari maraton, dan saya berpeluang mewakili Australia semasa Sukan Komanwel atau Olimpik. Sekali lagi, saya teringat janji saya kepada Yehuwa dan menolak tawaran itu.

Sudah lama saya bercita-cita untuk merintis, dan itulah yang saya lakukan tidak lama selepas tamat sekolah. Namun keluarga saya menghadapi masalah kewangan. Jadi saya berhenti merintis dan bekerja sepenuh masa sebagai pemandu di ladang. Pada masa itu, saya berumur lewat belasan tahun dan tinggal seorang diri. Saya masih sembah Yehuwa tetapi tidak dengan sepenuh hati. Saya rasa tawar hati dan hubungan saya dengan Yehuwa semakin lemah. Saya bersahabat dengan orang yang kaki botol dan hidup tidak bermoral dan saya rasa ingin mengikut jejak mereka. Saya mula mengetepikan Yehuwa dan mengejar keseronokan diri.

Saya sedar saya perlu mengubah keutamaan saya. Jadi saya berpindah ke pekan lain supaya dapat menjauhkan diri daripada kawan-kawan buruk itu. Apabila hubungan saya dengan Yehuwa semakin akrab, saya merancang untuk merintis semula. Kemudian, saya bertemu dengan Leann McSharry, seorang perintis yang pemalu dari luar bandar, lalu kami berdua menjadi sahabat. Kami bercerita tentang matlamat kami, termasuk keinginan untuk menjadi mubaligh. Kami berkahwin pada tahun 1993 dan ingin Yehuwa membimbing kehidupan kami.

Mengejar Matlamat Kami

Pada tahun yang sama, saya mula merintis bersama Leann. Kami bertekad untuk hidup sederhana dan tidak berhutang. Jadi kami beli rumah bergerak yang lama (karavan) untuk dijadikan tempat tinggal. Selama enam tahun, kami pindah ke mana-mana sahaja yang organisasi Yehuwa cadangkan dan kami juga melakukan pelbagai jenis kerja untuk menyara diri. Kami menginjil dengan sidang-sidang yang kecil di kawasan terpencil di Queensland yang luas, rata, dan kering. Sering kali, kami tinggal di dalam karavan yang diparkir di tempat yang sunyi, dan mengadakan perjumpaan di hutan atau di balai raya tempatan. Kami sangat gembira, tapi kami masih tertanya-tanya, “Dapatkah kami melakukan lebih banyak untuk Yehuwa?” Tidak lama kemudian, kami mendapat jawapannya.

Mengadakan perjumpaan di hutan semasa perjalanan ke kawasan terpencil di Australia untuk menginjil

Kami dijemput untuk jadi mubaligh di negara lain. Namun kami rasa gementar dan tidak layak kerana kami tidak pernah dilatih di Sekolah Gilead. Kami sangat suka menginjil, tapi selama ini kami tidak ada begitu banyak pelajar Bible. Jadi kami rasa kami bukan guru Bible yang mahir.

Kami meluahkan kerisauan kami kepada Saudara Max Lloyd, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan.a Seperti seorang bapa yang penyayang, dia berkata bahawa jika kami biarkan Yehuwa untuk menggunakan kami walaupun kami rasa tidak layak, Yehuwa akan memberi kami apa saja yang diperlukan untuk berjaya dalam tugasan yang diberikan-Nya. Galakan Saudara Max telah membantu kami untuk terima tugasan kami di Sri Lanka dengan gembira.

Tugasan yang Mencabar

Pada 1999, kami tiba di Colombo, ibu negara Sri Lanka. Kehidupan di sini sangat berbeza dengan kehidupan kampung kami di Australia. Di sini ada perang saudara, kemiskinan, penduduk yang terlalu padat, banyak pengemis, dan bahasanya sangat rumit. Tapi ada juga intan permata di Sri Lanka, iaitu saudara saudari kita dan juga banyak orang yang rendah hati yang belum lagi mengenali Yehuwa.

Kami ditugaskan ke Kandy, sebuah bandar yang berada di atas dataran tinggi yang cantik dan dikelilingi dengan ladang teh dan hutan hujan. Bandar ini sangat terkenal kerana ada banyak tokong Buddha. Kebanyakan orang tempatan tidak pernah dengar bahawa ada Pencipta yang pengasih. Sidang kami terdiri daripada saudara saudari yang menuturkan bahasa Sinhala dan Tamil. Jadi perjumpaan kami diadakan dalam dua bahasa ini. Belajar bahasa Sinhala sangat susah. Kami sering buat silap dan buat saudara saudari dan pelajar Bible ketawa! Tapi mereka sangat menghargai usaha kami.

Semasa memberikan ceramah di Sri Lanka, dua orang saudara membantu menterjemahkannya ke dalam bahasa Sinhala dan Tamil

Namun, bahasa bukanlah cabaran yang terbesar bagi kami. Buat kali pertama dalam hidup kami, kami berdepan dengan penentang yang ganas. Pernah sekali semasa di sebuah kampung, kami dikepung oleh sekumpulan perusuh. Ada yang membakar bahan bacaan kami, manakala yang lain pula menendang dan memukul saya dan seorang lagi saudara. Waktu itu, kami berdoa kepada Yehuwa untuk bantu kami tetap tenang dan mengingati kami jika kami mati. Syukurlah, kumpulan perusuh itu beredar. Kami menggigil ketakutan semasa meninggalkan kampung itu. Tetapi kami bersyukur kerana Yehuwa melindungi kami.

Lama-kelamaan, kami anggap Sri Lanka sebagai rumah sendiri. Biarpun negara ini berpecah belah kerana perang, kami sangat gembira melihat bagaimana Yehuwa membimbing orang yang tulus hati untuk menyertai umat-Nya yang bersatu padu. Kami ada banyak kenangan yang manis di sini. Sedihnya, hanya dua tahun selepas kami tiba di Sri Lanka, pihak berkuasa tunduk kepada tekanan pemimpin agama dan mengusir kebanyakan mubaligh.

Beberapa minggu berikutnya, kami berasa runsing dan tidak tahu kami akan ke mana. Kemudian, kami menerima tugasan baharu daripada Badan Pimpinan. Kami pergi ke Port Moresby, ibu negara Papua New Guinea, pada September 2001.

Papua New Guinea—Tempat yang Penuh dengan Kejutan

Papua New Guinea ialah negara yang paling dekat dengan Australia, tetapi kehidupan dan budaya di situ sangat berbeza. Sekali lagi, kami perlu belajar untuk membiasakan diri. Walaupun terdapat lebih daripada 800 bahasa yang dituturkan di negara itu, kami telah mempelajari bahasa Tok Pisin, iaitu bahasa yang paling banyak digunakan.

Selepas tiga tahun berkhidmat di pekan Popondetta, kami ditugaskan untuk membuat kerja litar. Kami tidak pernah bayangkan Yehuwa akan beri kami tugas sebegini. Sejak dahulu, saya sangat kagum dengan penyelia lawatan kerana mereka matang, mahir mengajar, dan memberikan bimbingan yang baik. Jadi saya rasa saya tidak layak menjadi penyelia litar. Selama ini, matlamat saya hanyalah untuk menjadi mubaligh, dan kerja litar tidak pernah terlintas dalam fikiran saya. Sampai hari ini, saya masih tidak dapat percaya Yehuwa telah memberi saya penghormatan besar ini.

Warren mengendalikan perjumpaan untuk kumpulan terpencil di Papua New Guinea.

Melawat kumpulan terpencil di Wilayah Sepik Barat, Papua New Guinea

Warren menggunakan lampu minyak tanah pada waktu malam semasa menulis laporan.

Selepas melawat kumpulan terpencil di Papua New Guinea, saya menulis laporan untuk dikirim ke pejabat cawangan

Semasa melawat pekan-pekan, kami biasanya mempunyai bekalan elektrik dan air serta bilik dengan katil. Tetapi semasa melawat kawasan terpencil, kami biasanya tidur dalam pondok kecil dan menyalakan api di luar untuk memasak. Kami juga perlu mandi di sungai, tetapi jika ada buaya, kami akan guna baldi untuk mengambil air dan mandi di pondok.

Tugasan ini sangat memerlukan stamina. Kami tidak pernah melakukan tugasan seperti ini, tetapi kami yakin jika kami ‘pergi dengan segenap kekuatan kami,’ Yehuwa akan membantu kami berjaya. (Hakim-Hakim 6:14) Banyak sidang dan kumpulan yang perlu kami lawat terletak di kawasan hutan tebal, paya laut, atau pergunungan. Untuk berjumpa dengan saudara saudari, kami menggunakan kereta pacuan empat roda, bot, kapal terbang, dan sering kali kami hanya berjalan kaki.b

Leann meniti batang kayu untuk menyeberangi sungai.

Leann tidak takut menghadapi cabaran dalam kerja penyebaran

Pernah sekali, untuk melawat sebuah sidang yang terletak berhampiran sempadan Indonesia, kami perlu memandu lebih daripada 350 kilometer, dan kebanyakan masanya di atas jalan yang tidak berturap. Dalam perjalanan itu, lebih daripada 200 kali kami menyeberangi sungai yang tidak mempunyai jambatan. Selama bertahun-tahun dalam kerja litar, kami menghabiskan banyak masa untuk mengorek dan menolak kenderaan kami yang tersangkut dalam lumpur. Tetapi setiap kali pun, kami disambut oleh saudara saudari dengan senyuman lebar dan banyak makanan.

Kolaj: 1. Tiga orang saudara membantu menolak trak saudara dan saudari Reynolds yang tersangkut dalam lumpur. 2. Kemudian, Leann dan mereka berdiri di sebelah trak itu. Pakaian mereka penuh dengan lumpur.

Memandu di Papua New Guinea sangat mencabar!

Semasa kami melawat kawasan pergunungan, kami menaiki kapal terbang yang kecil. Biasanya juruterbang perlu mencari kawasan yang tidak berawan supaya dia dapat melihat di mana letaknya landasan kapal terbang. Kemudian, dia akan terbang rendah atas landasan kapal terbang untuk memastikan tiada budak-budak atau haiwan di situ. Selepas itu, kami akan bersedia untuk mendarat di atas landasan yang berlumpur dan tidak rata, yang terletak di atas gunung yang tingginya lebih daripada 2,100 meter. Kadang-kadang, satu-satunya cara untuk meninggalkan kampung terpencil sebegini adalah dengan berlepas dari landasan kapal terbang yang berakhir pada tebing gunung.c

Kadangkala kami perlu berjalan di jalan gunung yang curam atau melintasi kawasan paya laut yang panas dan lembap sambil membawa beg yang diisi dengan bahan bacaan dan barang keperluan asas. Perjalanan ini tidak senang, tetapi oleh sebab kami berjalan bersama saudara saudari, kami ada banyak peluang untuk saling menggalakkan dan ketawa bersama-sama.

Warren memandu bot yang penuh dengan penyiar.

Untuk pergi ke kawasan penyebaran, kami menyusuri Sungai Keram di Papua New Guinea

Kami mempunyai perasaan yang sama dengan Rasul Paulus yang tercatat di 1 Tesalonika 2:8: “Oleh sebab kami begitu mengasihi kamu, . . . kami juga bertekad untuk menyerahkan jiwa kami kerana kami sangat menyayangi kamu.” Kami juga mendapati bahawa saudara saudari sudi menggadaikan nyawa mereka untuk melindungi kami. Pernah sekali di sebuah kampung, seorang lelaki yang berparang ingin menyerang Leann. Saya berada di kawasan yang lain, jadi saya tidak sempat melindungi Leann. Tetapi seorang saudara segera berdiri di antara Leann dan lelaki itu. Syukurlah orang lain membantu menahan lelaki yang mengamuk itu, dan saudara tersebut hanya mengalami kecederaan ringan. Walaupun kami berdepan dengan penjenayah yang bersenjata dan keganasan yang semakin meningkat, Yehuwa membantu kami setiap hari supaya kami dapat menjaga saudara saudari secara rohani.

Namun, tidak senang untuk menjaga kesihatan kami kerana kemudahan perubatan di Papua New Guinea terhad. Pada tahun 2010, Leann hampir mati kerana jangkitan bakteria. Jadi kami kembali ke Australia untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Dengan bantuan Yehuwa, kami dapat tetap tenang. Akhirnya para doktor menemui antibiotik yang berkesan. Salah seorang doktor kata, “Selama ini kamu kerja untuk Tuhan. Sekarang Dia sedang menjaga kamu.” Berbulan-bulan kemudian, kami kembali ke Papua New Guinea.

Peta Australia dan negara-negara jiran, termasuk Sri Lanka, Indonesia, Papua New Guinea, dan Timor-Leste. Wilayah Utara, Australia Barat, Queensland, dan New South Wales ditandakan pada peta Australia.

Terus Sibuk Berkhidmat di Australia

Selama setahun, kami perlu sering kembali ke Australia untuk mendapatkan rawatan susulan. Akhirnya, pada tahun 2012, kami disuruh untuk terus tinggal di sana untuk menjaga kesihatan kami. Selepas tinggal di luar negara untuk masa yang lama, cabaran kami yang paling besar bukanlah masalah kesihatan, tetapi untuk membiasakan diri secara mental dan emosi. Kami sangat sedih untuk meninggalkan tugasan dan keluarga rohani kami di Papua New Guinea. Kami juga rasa kami telah gagal dan tidak lagi berguna di mata Yehuwa. Tambahan lagi, setelah sekian lama merantau, kami rasa susah untuk anggap Australia sebagai rumah sendiri. Pada masa sebegini, kami sangat perlu sokongan saudara saudari.

Selepas Leann sembuh, kami berkhidmat sebagai perintis khas di Wollongong, bahagian selatan Sydney, New South Wales. Kira-kira setahun kemudian, kami gembira kerana dijemput ke Sekolah Bible untuk Pasangan Kristian (sekarang dipanggil Sekolah Latihan Penginjil). Kemudian, cawangan Australasia menugaskan kami untuk melakukan kerja litar. Selama beberapa tahun, kami melawat sidang dan kumpulan di bandar yang sibuk, pekan yang terpencil di kawasan gurun, dan kampung nelayan. Sekarang, kawasan yang kami lawat merangkumi barat laut Australia yang kering dan seluruh Timor-Leste.

Warren dan Leann menginjil kepada seorang lelaki di pantai.

Menginjil di Timor-Leste

Saya bersyukur kerana Yehuwa mengurniai saya seorang isteri yang berfikiran rohani dan sentiasa menyokong saya. Leann tidak pernah menolak apa-apa tugasan, bahkan tugasan yang mencabar. Apabila orang tanya bagaimana dia menghadapi cabaran, dia kata, “Saya beritahu Yehuwa segala-galanya.” Selepas berdoa, dia akan membaca Bible dan membiarkan Yehuwa untuk mengajarnya apa yang sepatutnya difikirkan, dirasai, atau dilakukannya.

Saya tidak pernah menyesali keputusan saya untuk hidup mengikut bimbingan Yehuwa dan bukannya menceburi dunia sukan. Saya telah belajar jika kita terima sahaja tugasan yang Yehuwa berikan, Dia dapat melatih kita untuk melaksanakan apa sahaja kehendak-Nya. Saya juga belajar setiap kali saya berdepan dengan cabaran atau perlu membuat keputusan, saya perlu berdoa terlebih dahulu untuk minta kebijaksanaan dan kuasa suci Tuhan. Bapa Yehuwa yang pengasih telah memberi kami kehidupan yang memuaskan, dan kami tidak sabar-sabar untuk melihat bagaimana Dia akan menggunakan “bekas tanah liat” seperti kami pada masa depan.—2 Korintus 4:7.

a Kisah hidup Max Lloyd terdapat dalam Menara Pengawal terbitan 15 Julai 2012, muka surat 17-21.

b Lihat Buku Tahunan Saksi-Saksi Yehuwa 2011 dalam bahasa Indonesia, muka surat 129-134, tentang pengalaman kami semasa menaiki bot untuk membuat kerja litar.

c Lihat rencana “Terumbu Karang di Tengah Awan” dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 1 Mac 2010, muka surat 16-17.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi