-
Harapan—Bermanfaat atau Tidak?Sedarlah!—2004 | April 22
-
-
Harapan—Bermanfaat atau Tidak?
DANIEL yang berumur 10 tahun telah menghidap kanser selama satu tahun. Doktor-doktornya kata Daniel tiada harapan untuk sembuh tetapi Daniel tidak berputus asa. Dia yakin bahawa dia akan sembuh, menjadi dewasa, dan mencapai cita-citanya untuk mencari penawar bagi penyakitnya. Daniel juga tidak sabar-sabar untuk jumpa seorang pakar. Daniel percaya bahawa pakar itu dapat mengubatinya. Tetapi pada hari pakar itu sepatutnya datang melawat Daniel, cuaca sangat buruk. Jadi pakar itu terpaksa membatalkan lawatannya. Pada saat itu juga, Daniel patah semangat kerana harapannya tidak kesampaian. Sedihnya, dia meninggal beberapa hari kemudian.
Seorang ahli perubatan menggunakan contoh Daniel untuk melihat kaitan antara harapan dengan kesihatan dan jangka hayat seseorang. Kita mungkin pernah mendengar kisah tentang seorang yang tua dan nazak tetapi dia bertahan sehingga peristiwa tertentu, seperti ulang tahun atau menantikan kedatangan orang tersayang. Sebaik sahaja peristiwa itu berlalu, dia akhirnya meninggal. Adakah harapan betul-betul berkuasa dan dapat mempengaruhi hidup seseorang?
Ramai penyelidik setuju bahawa sikap positif dan harapan dapat membawa kesan yang baik terhadap kesihatan seseorang. Namun ada pula yang tidak setuju dengan hal tersebut. Mereka berkata bahawa pemikiran seseorang tidak mempengaruhi kesihatan fizikalnya.
Pandangan sebegini bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak ribuan tahun dahulu, sesetengah orang juga tidak percaya bahawa harapan penting. Sebagai contoh, seorang ahli falsafah iaitu Aristotle berkata, “Harapan hanyalah mimpi kosong.” Benjamin Franklin, seorang ahli politik yang terkenal pula menyatakan, “Orang yang bergantung pada harapan akhirnya akan putus harapan.”
Jadi, apakah kebenaran tentang harapan? Adakah harapan sekadar omong-omong kosong yang direka untuk mendapatkan kelegaan? Atau adakah harapan benar-benar berkuasa dan mampu mengubah hidup seseorang? Adakah kita mempunyai sebab yang kukuh untuk percaya bahawa harapan dapat membawa manfaat yang berkekalan?
-
-
Mengapa Kita Perlu Harapan?Sedarlah!—2004 | April 22
-
-
Mengapa Kita Perlu Harapan?
MARI kita fikir balik tentang kisah Daniel. Andai kata Daniel tidak putus harapan, adakah dia akan terus hidup sampai sekarang? Mungkinkah penyakitnya sembuh? Sebenarnya, kita sedar bahawa sekadar mempunyai harapan tidak dapat mengubati semua penyakit. Bahkan orang yang percaya bahawa harapan dapat membantu tidak akan membuat kesimpulan itu. Jadi kita harus mempunyai pandangan yang seimbang.
Dalam sebuah temu ramah dengan Berita CBS, Dr. Nathan Cherney mengingatkan kita agar tidak berfikir bahawa harapan dapat membawa mukjizat. Dia kata, “Sesetengah isteri yang mempunyai tumor dimarahi oleh suami mereka. Suami mereka tuduh mereka tidak berfikiran positif dan tidak cukup membuat meditasi. Itulah sebabnya tumor itu menjadi semakin teruk.” Dr. Cherney menyambung, “Sesetengah orang berfikir bahawa sekadar mempunyai harapan dapat mengubati penyakit. Tapi hal ini tidak benar sama sekali.”
Sebenarnya, orang yang sakit tenat memang sedang menderita dengan teruk. Jika kita buat mereka rasa bersalah, hal itu hanya membuat mereka lebih sengsara. Jadi dapatkah harapan membantu orang yang menderita?
Tentu sekali! Dr. Cherney merupakan pakar dalam rawatan paliatif. Rawatan ini ialah kaedah yang digunakan untuk melegakan dan mengurangkan rasa tidak selesa bagi orang yang sakit tenat, dan bukannya untuk merawat atau menyembuhkannya. Doktor dalam rawatan paliatif percaya bahawa sikap positif dapat membawa banyak manfaat. Mari kita lihat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa harapan memang dapat membantu.
Harapan Sangat Penting
“Harapan ialah terapi yang sangat berkesan,” kata Dr. W. Gifford-Jones. Dia memeriksa hasil kajian tentang kebaikan sokongan emosi yang diberikan kepada orang yang sakit tenat. Dia mendapati bahawa pesakit yang menerima sokongan emosi lebih positif dan tidak cepat putus harapan. Satu kajian yang dilakukan pada tahun 1989 juga menunjukkan bahawa pesakit yang menerima sokongan emosi dapat hidup lebih lama. Walaupun kajian baru-baru ini tidak dapat membuktikannya, kajian lain telah menunjukkan bahawa sokongan emosi mengurangkan kesakitan dan rasa murung bagi orang yang sakit tenat.
Perhatikan satu lagi kajian yang menunjukkan kaitan penyakit jantung dengan sikap seseorang. Dalam kajian ini, lebih daripada 1,300 lelaki telah dinilai untuk melihat sama ada mereka mempunyai pandangan yang positif atau negatif tentang kehidupan. Dalam kajian susulan yang dilakukan 10 tahun kemudian, lebih daripada 12 peratus lelaki itu didapati menghidap penyakit jantung. Hampir dua pertiga daripada mereka bersikap negatif. Laura Kubzansky, pembantu profesor di Harvard School of Public Health menyatakan, “Sebelum ini, tiada bukti yang kukuh yang menunjukkan bahawa jika anda bersikap positif, hal itu baik untuk kesihatan anda. Tapi kajian ini jelas membuktikan bahawa pemikiran seseorang ada kaitan langsung dengan kesihatan jantungnya.”
Satu kajian dilakukan terhadap sekumpulan orang sebelum menjalani pembedahan. Mereka diminta untuk menilai keadaan kesihatan mereka. Kumpulan yang didapati bersikap positif mempunyai hasil yang lebih baik selepas pembedahan. Selain itu, satu lagi kajian dibuat untuk melihat kesan sikap negatif atau positif terhadap orang tua dan umur yang panjang. Semasa kajian itu, sekumpulan orang tua ditunjukkan mesej-mesej ringkas yang mengaitkan usia tua dengan kebijaksanaan dan kematangan. Hasilnya, mereka berjalan dengan lebih bertenaga dan bersemangat, seolah-olah telah melakukan program senaman selama 12 minggu.
Mengapakah harapan dan sikap yang positif baik untuk kesihatan? Ahli sains dan doktor tidak dapat menjawab soalan ini kerana mereka tidak memahami otak dan tubuh manusia dengan sepenuhnya. Tetapi, seorang profesor otak menyimpulkan bahawa “kita dapat kesihatan yang baik apabila kita gembira dan ada harapan dalam hidup. Ini buat kita rasa bagus dan kurang stres.”
Sesetengah doktor, ahli psikologi, dan ahli sains mungkin rasa kagum dengan maklumat ini. Tetapi, hampir 3,000 tahun yang lalu, Raja Salomo menulis, “Hati yang gembira bagaikan ubat yang mujarab, tetapi hati yang hancur mematahkan semangat.” (Amsal 17:22) Perhatikan bahawa ayat ini sangat seimbang. Bible tidak kata bahawa hati yang gembira dapat menyembuhkan segala jenis penyakit, tetapi merupakan ubat yang berkesan.
Bayangkan jika doktor dapat memberikan harapan dalam bentuk ubat, sudah tentu mereka akan melakukannya! Namun, harapan bukan sekadar baik untuk kesihatan kita.
Kaitan Sikap Positif, Sikap Negatif, dan Hidup Anda
Para penyelidik mendapati bahawa orang yang positif mendapat hasil yang lebih baik di sekolah, tempat kerja, dan dalam bidang sukan. Sebagai contoh, kajian dilakukan terhadap satu pasukan lumba lari. Mula-mula, pelatih menilai setiap ahli berdasarkan kemahiran mereka dari segi sukan. Pada masa yang sama, setiap wanita itu disuruh untuk menilai diri dan apa yang mereka harap untuk capai. Hasil kajian menunjukkan bahawa kumpulan wanita yang mendapat penilaian yang bagus daripada pelatih tidak semestinya mencapai prestasi yang terbaik. Sebaliknya, mereka yang mempunyai pandangan yang positif terhadap diri telah mendapat pencapaian yang lebih baik.
Banyak kajian juga dilakukan tentang pengaruh sikap yang negatif. Sekitar 1960-an, para penyelidik telah membuat beberapa eksperimen untuk mengkaji kelakuan binatang. Hasil kajian itu menunjukkan bahawa bahkan binatang yang kuat mula percaya bahawa mereka lemah dan tidak berdaya apabila diletakkan dalam keadaan tertentu. Gejala ini, yang digelar sebagai “ketidakupayaan yang dipelajari,” juga dapat berlaku kepada manusia. Contohnya, sekumpulan orang didedahkan kepada bunyi yang bising. Kemudian, mereka diberitahu bahawa jika mereka menekan beberapa butang, bunyi itu akan berhenti. Apabila mereka ikut arahan itu, mereka dapat menghentikan bunyi itu.
Kumpulan yang kedua juga diberitahu hal yang sama. Tetapi bezanya kali ini, butang-butang itu tidak berfungsi. Selepas seketika waktu, ramai antara mereka mula putus asa. Dalam ujian susulan yang dibuat, mereka langsung tidak mahu melakukan apa-apa. Mereka fikir bahawa tindakan mereka tidak akan berhasil. Walaupun begitu, terdapat beberapa orang yang bersikap positif dalam kumpulan itu enggan putus harapan.
Dr. Martin Seligman, yang membantu mencipta eksperimen-eksperimen itu, telah meluangkan banyak masa untuk mengkaji kesan sikap yang positif dan negatif. Dia mendapati bahawa sikap negatif atau senang putus asa dapat menjejaskan kehidupan seseorang dan bahkan membuatnya rasa susah untuk menjalankan aktiviti seharian. Selepas membuat kajian selama 25 tahun, dia menyimpulkan, “Jika kita cenderung berfikiran negatif, menganggap semua masalah ialah akibat kesilapan kita, dan bahawa tiada apa-apa yang dapat dilakukan untuk mengatasinya, keadaan kita akan menjadi lebih teruk daripada seseorang yang berfikiran positif.”
Sekali lagi, orang mungkin rasa penemuan ini ialah sesuatu yang baharu. Tetapi sejak dulu lagi, Bible berkata, “Jika kamu tawar hati pada masa kesusahan, kekuatanmu akan berkurang.” (Amsal 24:10) Bible menjelaskan bahawa perasaan negatif dan kekecewaan dapat melemahkan kita. Jadi, apakah yang dapat anda lakukan untuk melawan perasaan negatif dan menjadi lebih positif?
[Gambar pada muka surat 4, 5]
Harapan membawa banyak manfaat
-
-
Anda Dapat Melawan Sikap NegatifSedarlah!—2004 | April 22
-
-
Anda Dapat Melawan Sikap Negatif
BAGAIMANAKAH anda menghadapi situasi yang mengecewakan dalam hidup? Banyak pakar percaya bahawa cara anda menanganinya menunjukkan sama ada anda seorang yang bersikap positif atau negatif. Kita semua menghadapi banyak masalah. Ada antara kita yang dapat mengharunginya dengan tabah, tetapi ada pula yang cepat putus asa apabila masalah melanda. Mengapa?
Fikirkanlah contoh ini. Bayangkan anda pergi temu duga untuk cari kerja, tetapi anda gagal mendapat kerja itu. Adakah anda akan mula menyalahkan diri dan membiarkan peristiwa ini mempengaruhi pandangan anda terhadap diri sendiri? Mungkin anda fikir, “Tiada orang akan ambil saya sebagai pekerja.” Atau lebih teruk lagi, adakah anda akan membiarkan satu peristiwa ini menjejaskan seluruh kehidupan anda? Adakah anda akan fikir, “Saya sangat tidak berguna, dan apa-apa saya buat, saya pasti akan gagal.” Inilah yang sering bermain dalam fikiran seseorang yang berpandangan negatif.
Cara Melawan Fikiran Negatif
Mula-mula, anda perlu fikir sama ada anda cenderung untuk bersikap negatif. Kemudian, barulah anda dapat melawannya. Bagaimana? Anda boleh memikirkan beberapa kemungkinan yang menyebabkan keadaan itu terjadi. Fikirlah kembali tentang contoh temu duga tadi. Adakah anda ditolak kerana anda langsung tiada kemahiran? Atau adakah majikan itu sedang mencari pekerja dengan kelayakan yang lain?
Selepas memikirkan alasan-alasan yang munasabah, anda dapat menangkis pemikiran negatif yang keterlaluan itu. Fikirkanlah juga tentang aspek-aspek kehidupan yang lain. Contohnya, adakah anda mempunyai hubungan baik dengan keluarga dan sahabat, atau pernah mencapai matlamat rohani tertentu? Hal-hal ini menunjukkan bahawa anda pun ada kekuatan tertentu. Kadangkala, kita mungkin fikir semua yang kita lakukan tidak akan berjaya. Tetapi pandangan sebegitu tidaklah realistik. Contohnya, bagaimana mungkin anda tahu bahawa anda langsung tidak akan mendapat kerja untuk seumur hidup? Selain cara-cara ini, ada lagi hal lain yang dapat anda lakukan.
Fikiran Positif dan Mempunyai Matlamat
Sesetengah pakar menyatakan bahawa harapan ialah keyakinan bahawa kita akan mencapai matlamat dalam hidup kita. Sebenarnya, seperti yang kita akan belajar dalam rencana seterusnya, perkataan “harapan” membawa maksud yang lebih luas daripada itu. Tetapi penjelasan ini juga dapat bantu kita lihat bahawa matlamat hidup dapat menyumbang kepada sikap yang positif.
Adakah anda mempunyai matlamat dalam hidup? Jika tidak, berusahalah untuk menetapkan matlamat yang kecil. Dengan demikian, anda akan memupuk keyakinan apabila anda berjaya mencapainya. Sesetengah orang berasa susah untuk menetapkan matlamat dalam hidup kerana mereka terlalu sibuk. Lama sebelum ini, Bible sudah menasihati kita untuk “mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.” (Filipi 1:10) Jadi, kita harus menetapkan keutamaan hidup yang betul.
Selepas itu, kita boleh buat matlamat dalam beberapa aspek kehidupan kita. Contohnya, dalam keluarga, hal rohani, ataupun kerja. Ingatlah, jangan buat terlalu banyak matlamat atau tetapkan matlamat yang terlalu susah untuk dicapai. Jika demikian, anda mungkin cepat putus asa. Sebaliknya, buatlah beberapa matlamat jangka pendek yang kecil.
Selepas menetapkan matlamat, kita perlu ada tekad, keinginan, dan usaha supaya dapat mencapainya. Bak kata pepatah, “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Jika anda menghadapi kesusahan untuk mencapai matlamat anda, jangan pandang cabaran itu sebagai jalan mati. Sebaliknya, fikirkanlah manfaat yang dapat anda raih jika anda terus bertekad untuk mencapainya.
C. R. Snyder, seorang pengarang yang telah membuat banyak kajian tentang harapan, memberikan nasihat ini. Dia berkata bahawa adalah penting untuk mencari beberapa jalan untuk mencapai satu matlamat. Jadi, jika satu cara tidak membawa hasil, kita boleh mencuba cara-cara yang lain.
Snyder juga berkata bahawa kadangkala kita perlu menukar matlamat kita. Jika satu matlamat tidak kesampaian, mungkin kita perlu mengubah haluan kita. Jika kita berkeras, hal itu akan buat kita kecil hati dan putus asa. Sebaliknya, jika kita berusaha untuk mencapai matlamat lain yang lebih munasabah, hal itu dapat membangkitkan semangat dan harapan kita.
Bible juga mengandungi satu contoh yang menegaskan hal ini. Semasa Raja Daud ingin membina Rumah Tuhan, Yehuwa berkata bahawa bukan dia yang akan melakukannya. Sebaliknya, anaknya Salomo yang akan membina Rumah Tuhan. Adakah Daud merajuk dan berkeras ingin melakukannya? Tidak. Dia mengubah matlamatnya dan berusaha sedaya upaya untuk mengumpulkan bahan-bahan dan wang yang diperlukan oleh anaknya untuk melaksanakan projek itu.—1 Raja-Raja 8:17-19; 1 Tawarikh 29:3-7.
Sememangnya, kita dapat mengukuhkan harapan dalam hidup kita dengan memiliki pandangan yang positif dan menetapkan matlamat. Tetapi masih ada banyak hal yang berlaku di sekeliling kita yang di luar kawalan kita. Misalnya kemiskinan, peperangan, jenayah, penyakit, dan kematian dapat menggugat harapan kita. Jadi, bagaimanakah kita dapat terus memiliki harapan biarpun keadaan dunia sangat teruk?
[Gambar pada muka surat 7]
Jika anda tidak diterima untuk pekerjaan tertentu, adakah anda terus membuat kesimpulan bahawa anda tidak akan mendapat kerja untuk seumur hidup?
[Gambar pada muka surat 8]
Raja Daud rela mengubah matlamatnya
-
-
Di Manakah Anda Dapat Menemui Harapan Sejati?Sedarlah!—2004 | April 22
-
-
Di Manakah Anda Dapat Menemui Harapan Sejati?
BAYANGKAN jam tangan anda telah rosak. Jadi anda pun mencari seseorang yang dapat membaikinya, tetapi terdapat begitu banyak kedai yang menawarkan perkhidmatan itu. Mana satukah yang harus anda pilih? Ketika itu, anda mendapat tahu jiran anda merupakan pereka jam itu. Yang lebih menggembirakan lagi, dia sudi membaiki jam anda dengan percuma! Pilihan anda sekarang sangat jelas, bukan?
Sekarang, fikirkan tentang keupayaan manusia untuk menaruh harapan pada sesuatu. Banyak orang hari ini hilang harapan kerana keadaan dunia sangat teruk. Siapakah yang dapat membantu anda memiliki harapan? Ramai orang menawarkan bantuan dan nasihat, tetapi nasihat-nasihat itu mungkin bercanggah dan mengelirukan. Jadi, bukankah lebih baik untuk mencari Pencipta kita yang telah menyemat kebolehan ini dalam hati kita? Bible kata bahawa Tuhan “sebenarnya tidak jauh daripada kita masing-masing” dan Dia sangat rela membantu kita.—Kisah 17:27; 1 Petrus 5:7.
Harapan—Maksud yang Sebenar
Perkataan harapan membawa maksud yang lebih luas dan bukannya seperti apa yang dikatakan sesetengah doktor, ahli sains, dan ahli psikologi. Dalam bahasa asal Bible, “harapan” bermaksud menantikan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan menginginkan sesuatu yang baik. “Harapan” merangkumi dua hal ini: (1) Keinginan akan sesuatu yang baik, dan (2) asas yang kukuh untuk percaya bahawa hal itu akan menjadi kenyataan.
Nampaknya, harapan dan iman (atau kepercayaan) ada persamaannya. Kedua-duanya mesti berasaskan bukti yang kukuh. (Ibrani 11:1) Tetapi, apakah perbezaan antara harapan dengan iman?—1 Korintus 13:13.
Mari lihat contoh ini: Anda telah minta bantuan daripada seorang kawan rapat anda. Anda berharap dia akan bantu anda. Sebenarnya, anda juga percaya bahawa dia akan berbuat demikian kerana dia seorang yang baik dan murah hati. Jadi, walaupun harapan dan kepercayaan berbeza, kedua-duanya saling berkaitan. Persoalannya ialah, mengapakah anda dapat berharap kepada Tuhan?
Asas Harapan yang Kukuh
Yehuwalah sumber harapan yang sejati. Sejak dahulu lagi, Yehuwa dipanggil “harapan Israel.” (Yeremia 14:8) Umat Israel memang dapat percaya harapan daripada Tuhan. Mengapa? Kerana selama ratusan tahun, Dia tidak pernah memungkiri janji-Nya. Yosua kata kepada orang Israel, ‘Kamu semua memang tahu bahawa tiada satu pun antara semua perkara baik yang dijanjikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu, kepada kamu telah gagal ditunaikan.’—Yosua 23:14.
Walaupun ribuan tahun telah berlalu, Yehuwa tetap boleh dipercayai. Daripada sejarah, kita lihat banyak janji dan nubuat dalam Bible telah menjadi kenyataan. Memandangkan janji Yehuwa pasti ditunaikan, ada kalanya penulis Bible mencatatkan janji-Nya seolah-olah hal itu sudah berlaku.
Sememangnya, Bible ialah sebuah buku yang memberi harapan. Apabila kita mengkaji cara Tuhan memperlakukan umat-Nya, kita akan sedar bahawa Yehuwa memang dapat dipercayai. Hasilnya, harapan kita akan menjadi semakin kukuh. Rasul Paulus menulis, “Segala yang tertulis sejak dahulu lagi ditulis untuk mengajar kita, supaya kita memiliki harapan kerana Ayat-Ayat Suci melegakan hati kita dan membantu kita bertabah hati.”—Roma 15:4.
Apakah Harapan yang Tuhan Janjikan?
Setiap orang mempunyai satu musuh yang tidak dapat dikalahkan, iaitu maut. Apabila kita atau orang yang tersayang berdepan dengan ancaman maut, itulah masanya kita sangat memerlukan harapan. Memandangkan tiada orang dapat melepaskan diri daripada kematian, Bible menyebutnya sebagai “musuh terakhir” kita.—1 Korintus 15:26.
Bagaimanakah harapan dapat membantu kita semasa berdepan dengan kematian? Bible menjanjikan bahawa musuh terakhir itu “akan dilenyapkan.” Dapatkah Yehuwa menewaskan maut? Sudah tentu! Bagaimana? Dengan membangkitkan orang yang sudah mati. Terdapat sembilan contoh pembangkitan yang dicatatkan dalam Bible.
Salah satu contoh yang menakjubkan adalah semasa Yehuwa memberi Yesus kuasa untuk membangkitkan Lazarus. Walaupun Lazarus telah mati selama empat hari, Yesus telah membangkitkannya di hadapan ramai orang.—Yohanes 11:38-48, 53; 12:9, 10.
Anda mungkin tertanya-tanya, “Apa gunanya orang dibangkitkan? Akhirnya mereka mati juga.” Walaupun itu benar, Yehuwa memastikan kisah pembangkitan dicatatkan dalam Bible untuk meneguhkan harapan kita. Kisah-kisah ini ialah bukti bahawa harapan pembangkitan bukanlah janji kosong.
Yesus kata, “Akulah pembangkitan dan kehidupan.” (Yohanes 11:25) Dia akan diberi kuasa daripada Yehuwa untuk membangkitkan orang di seluruh dunia. Bible kata, “Masanya akan tiba apabila semua orang di dalam makam peringatan akan mendengar suara [Kristus] lalu keluar.” (Yohanes 5:28, 29) Ya, semua orang yang tidur dalam kematian ada harapan untuk dibangkitkan di bumi firdaus.
Apakah keadaan pada masa itu? Nabi Yesaya menulis, “Umat-Mu yang sudah mati akan hidup semula! Mayat mereka akan bangkit semula. Semua yang sudah dimasukkan ke dalam kubur, akan bangun dan bernyanyi dengan sukacita. Seperti embun yang berkilau-kilau menyegarkan bumi, demikian juga Tuhan akan menghidupkan mereka yang sudah lama mati.”—Yesaya 26:19, Alkitab Berita Baik.
Tidakkah kata-kata itu melegakan anda? Orang kesayangan kita yang sudah meninggal sedang menantikan masanya untuk dibangkitkan. Buat masa sekarang, mereka berada di tempat yang paling selamat, iaitu dalam ingatan Tuhan Yang Maha Kuasa. (Lukas 20:37, 38) Sepertimana bayi yang baru lahir disambut dengan penuh kasih dan sukacita, orang tersayang kita yang dihidupkan semula juga akan disambut dengan tangisan kegembiraan.
Apakah Manfaat Harapan bagi Anda?
Rasul Paulus menyatakan bahawa harapan adalah seperti topi besi. (1 Tesalonika 5:8) Ini ialah bahagian yang penting dalam seluruh perlengkapan perang rohani. Apakah maksudnya? Pada zaman dulu, askar akan memakai topi besi untuk melindungi kepalanya semasa berperang. Begitu juga, harapan adalah seperti topi besi rohani yang dapat melindungi fikiran kita. Semasa ditimpa masalah, kita tidak akan cepat tawar hati dan hilang semangat. Sebaliknya, kita akan tetap bertenang dan berharap pada janji Tuhan.
Paulus juga menggambarkan harapan sebagai “sauh bagi jiwa kita.” (Ibrani 6:19) Paulus tahu betapa pentingnya sauh bagi kapal. Hal ini kerana dia sendiri pernah mengalami nahas kapal laut beberapa kali. Bagaimanakah sauh dapat membantu kapal? Semasa badai melanda, pelaut akan menurunkan sauh ke dasar laut agar kapal tidak hanyut dibawa arus.
Janji-janji Tuhan ialah harapan yang “teguh dan pasti.” Jika kita terus berpegang padanya, kita dapat mengharungi ribut badai hidup. Yehuwa berjanji bahawa tidak lama lagi, kita tidak akan mengalami perang, jenayah, kesedihan, dan kematian. (Lihat kotak pada muka surat 10.) Harapan daripada Tuhan juga membantu kita untuk mengelakkan perbuatan tidak bermoral yang berleluasa hari ini. Sebaliknya, kita akan hidup mengikut haluan Tuhan.
Yehuwa menawarkan harapan ini kepada anda juga. Dia mahu anda menikmati masa depan yang indah itu. Bible kata, Tuhan mahu “segala macam orang diselamatkan.” Namun, apakah yang harus kita lakukan? Kita mesti “memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.” (1 Timotius 2:4) Maka, berusahalah untuk menimba pengetahuan tentang kebenaran Bible dan belajarlah tentang harapan Tuhan yang menakjubkan.
Dengan adanya harapan ini, Tuhan akan memberi anda kekuatan untuk mencapai matlamat hidup yang selaras dengan haluan-Nya. (2 Korintus 4:7; Filipi 4:13) Jadi janganlah putus asa. Harapan yang sejati memang wujud dan dapat menjadi milik anda!
[Kotak/Gambar pada muka surat 10]
Sebab-Sebab untuk Memiliki Harapan
Ayat-ayat Bible ini dapat mengukuhkan harapan anda:
◼ Tuhan menjanjikan masa depan yang gembira.
Bible berkata bahawa bumi akan menjadi sebuah tempat yang cantik. Manusia akan bersatu padu dan hidup gembira.—Mazmur 37:11, 29; Yesaya 25:8; Wahyu 21:3, 4.
◼ Tuhan tidak dapat bercakap bohong.
Perbuatan membohong atau memperdaya orang lain sangat dibenci Tuhan. Tuhan Yehuwa suci dan tidak dapat berdusta.—Amsal 6:16-19; Yesaya 6:2, 3; Titus 1:2; Ibrani 6:18.
◼ Kuasa Tuhan tiada batasnya.
Yehuwalah satu-satunya Tuhan yang maha kuasa. Tiada apa-apa yang dapat menghalang janji-Nya daripada ditunaikan.—Keluaran 15:11; Yesaya 40:25, 26.
◼ Tuhan mahu anda hidup selama-lamanya.
—Yohanes 3:16; 1 Timotius 2:3, 4.
◼ Tuhan tidak putus harapan terhadap kita.
Yehuwa melihat sifat baik dan usaha kita. Dia tidak bertumpu kepada kelemahan atau kesalahan kita. (Mazmur 103:12-14; 130:3; Ibrani 6:10) Dia berharap agar kita buat apa yang benar dan Dia senang hati jika kita berbuat demikian.—Amsal 27:11.
◼ Tuhan akan membantu anda melakukan hal-hal yang selaras dengan kehendak-Nya.
Orang yang setia kepada Tuhan tidak akan hilang harapan. Tuhan sentiasa memberi kita kuasa suci-Nya, iaitu kuasa yang paling hebat di seluruh alam semesta.—Filipi 4:13.
◼ Tuhan tidak akan mengecewakan kita.
Tuhan boleh dipercayai dan Dia tidak akan menghampakan anda.—Mazmur 25:3.
[Gambar pada muka surat 12]
Sepertimana topi besi melindungi kepala, harapan melindungi fikiran
[Gambar pada muka surat 12]
Harapan yang teguh bagaikan sauh
[Sumber]
Courtesy René Seindal/Su concessione del Museo Archeologico Regionale A. Salinas di Palermo
-