-
Mengapa Baca Bible?Menara Pengawal (Umum)—2017 | No. 1
-
-
TOPIK UTAMA | APAKAH MANFAAT MEMBACA BIBLE?
Mengapa Baca Bible?
“Saya fikir Bible susah untuk difahami.”—Jovy
“Saya merasakan bahawa membaca Bible membosankan.”—Queennie
“Apabila saya melihat betapa tebalnya Bible, keinginan saya untuk membacanya sudah hilang.”—Ezekiel
Adakah anda ingin membaca Bible tetapi berasa teragak-agak kerana mempunyai perasaan seperti yang dikatakan di atas? Bagi kebanyakan orang, membaca Bible merupakan hal yang sukar. Tetapi, bagaimana jika Bible dapat membantu anda memiliki hidup yang lebih gembira dan puas? Bagaimana jika terdapat cara untuk menjadikan pembacaan Bible lebih menarik? Sudikah anda mengetahui bagaimana Bible boleh membawa manfaat kepada anda?
Perhatikan beberapa komen daripada mereka yang telah meraih manfaat apabila mula membaca Bible.
Ezekiel yang berusia awal 20-an berkata, “Dahulu, saya seperti pemandu kereta yang tiada arah tuju. Namun setelah membaca Bible, kehidupan saya lebih bermakna. Bible mengandungi nasihat praktikal yang boleh diterapkan setiap hari.”
Frieda yang juga berusia awal 20-an menjelaskan, “Saya seorang yang panas baran. Tetapi menerusi pembacaan Bible, saya belajar mengawal diri. Oleh itu, orang lain lebih senang bergaul dengan saya. Sekarang, saya mempunyai lebih banyak kawan.”
Seorang wanita yang bernama Eunice berusia 50-an berkata, “Bible membantu saya untuk menjadi orang yang lebih baik dan mengubah tabiat buruk saya.”
Seperti mereka, membaca Bible dapat membantu anda untuk lebih menikmati kehidupan. (Yesaya 48:17, 18) Bible dapat membantu anda (1) membuat keputusan baik, (2) mencari sahabat sejati, (3) menangani tekanan, dan (4) mempelajari kebenaran tentang Tuhan. Nasihat dalam Bible berasal daripada Tuhan. Maka anda tentu akan mendapat manfaat jika mengikut nasihat itu. Tuhan tidak pernah memberikan nasihat buruk.
Yang paling penting adalah untuk memulakan pembacaan Bible. Apakah cadangan praktikal untuk menjadikan pembacaan Bible lebih senang dan dinikmati?
-
-
Memulakan Pembacaan BibleMenara Pengawal (Umum)—2017 | No. 1
-
-
TOPIK UTAMA | APAKAH MANFAAT MEMBACA BIBLE?
Memulakan Pembacaan Bible
Bagaimanakah anda dapat menikmati dan meraih manfaat daripada pembacaan Bible? Mari kita lihat lima cadangan.
Pilih persekitaran yang sesuai. Cubalah cari tempat yang senyap. Kurangkan gangguan supaya anda dapat menumpukan perhatian kepada apa yang dibaca. Tempat yang mempunyai pencahayaan yang baik dan udara segar dapat membantu.
Memiliki pemikiran yang betul. Memandangkan Bible adalah daripada Bapa di syurga, anda akan mendapat manfaat jika anda mempunyai sifat seperti seorang budak kecil yang ingin belajar daripada ibu bapanya. Jika anda memiliki fikiran negatif tentang Bible, cubalah ketepikan fikiran itu supaya dapat belajar daripada Tuhan.—Mazmur 25:4.
Berdoa sebelum membaca. Bible mengandungi pemikiran Tuhan. Maka, kita memerlukan bantuan-Nya. Tuhan berjanji untuk “memberikan daya aktif-Nya kepada mereka yang meminta daripada-Nya.” (Lukas 11:13) Daya aktif boleh membantu anda untuk memahami pemikiran Tuhan. Lama-kelamaan, anda akan mengerti “kebijaksanaan Tuhan yang sangat dalam.”—1 Korintus 2:10.
Berusaha untuk memahami. Jangan sekadar membaca sahaja. Fikirlah apa yang dibaca. Tanyalah soalan seperti: “Apakah sifat-sifat watak Bible ini? Bagaimanakah saya boleh terapkan apa yang dibaca?”
Tetapkan matlamat. Untuk mendapat manfaat daripada pembacaan Bible, berusahalah untuk mempelajari sesuatu yang dapat membuat kehidupan anda lebih bermakna. Anda boleh menetapkan matlamat seperti: “Saya ingin mempelajari lebih banyak tentang Tuhan.” “Saya ingin menjadi insan yang lebih baik.” Atau, “Saya ingin menjadi suami atau isteri yang lebih baik.” Kemudian, bacalah bahagian Bible yang dapat membantu anda mencapai matlamat itu.a
Lima cadangan ini akan membantu anda memulakan pembacaan Bible. Rencana seterusnya mempunyai beberapa cadangan untuk membuat pembacaan anda lebih menarik.
a Jika anda tidak pasti bahagian mana dalam Bible yang sesuai bagi anda, tanyalah Saksi-Saksi Yehuwa yang sudi membantu anda.
-
-
Membuat Pembacaan Bible Lebih MenarikMenara Pengawal (Umum)—2017 | No. 1
-
-
TOPIK UTAMA | APAKAH MANFAAT MEMBACA BIBLE?
Membuat Pembacaan Bible Lebih Menarik
Adakah pembacaan Bible anda membosankan atau menyegarkan? Hal ini bergantung pada cara anda membaca. Mari kita lihat bagaimana anda boleh menikmati pembacaan Bible.
Pilih terjemahan yang boleh dipercayai dan mudah difahami. Jika anda membaca terjemahan Bible yang menggunakan perkataan yang susah atau kuno, anda mungkin tidak akan menikmatinya. Maka, pilihlah Bible yang menggunakan bahasa yang mudah difahami dan menyentuh hati anda. Pada masa yang sama, Bible itu harus diterjemahkan dengan tepat.a
Gunakan teknologi moden. Hari ini, Bible bukan sahaja didapati dalam bentuk cetakan tetapi juga dalam bentuk elektronik. Sesetengah Bible boleh dibaca dalam talian atau dimuat turun ke dalam komputer, tablet, dan telefon bimbit. Sesetengah Bible elektronik membolehkan anda mencari ayat Bible berdasarkan topik, atau membandingkan beberapa jenis terjemahan Bible. Jika anda lebih suka mendengar daripada membaca, Bible juga boleh didapati dalam bentuk rakaman. Ramai orang mendengar pembacaan Bible semasa menggunakan pengangkutan awam, membuat kerja rumah, atau melakukan aktiviti lain. Cubalah kaedah yang sesuai dengan keadaan anda.
Gunakan alat penyelidikan Bible. Alat penyelidikan Bible boleh membantu anda mendapat lebih banyak manfaat daripada pembacaan Bible. Terdapat peta yang dapat membantu anda mencari lokasi peristiwa Bible tertentu dan membayangkan kisah Bible itu. Rencana yang terdapat dalam majalah ini atau dalam laman web jw.org dapat membantu anda menerokai maksud kandungan Bible.
Mempelbagaikan cara pembacaan anda. Jika anda berasa susah untuk membaca Bible dari mula hingga akhir, cuba mulakan pembacaan daripada bahagian Bible yang menarik minat anda. Jika anda ingin mengenali watak Bible tertentu, anda boleh membaca petikan mengenai watak itu seperti yang dicadangkan dalam kotak “Menerokai Bible menerusi Watak-Wataknya.” Anda juga boleh membaca Bible mengikut topik atau urutan peristiwa. Cubalah salah satu cadangan ini.
a Ramai mendapati bahawa Bible Terjemahan Dunia Baru adalah tepat, boleh dipercayai, dan mudah dibaca. Bible ini diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa dalam lebih daripada 130 bahasa. Anda boleh muat turun Bible ini menerusi laman web jw.org atau dengan menggunakan aplikasi JW Library. Anda juga boleh muat turun Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baru dalam bahasa Melayu. Jika anda inginkan salinan Bible bercetak, Saksi-Saksi Yehuwa boleh menghantarnya ke rumah anda.
-
-
Bagaimanakah Bible Meningkatkan Mutu Hidup Anda?Menara Pengawal (Umum)—2017 | No. 1
-
-
TOPIK UTAMA | APAKAH MANFAAT MEMBACA BIBLE?
Bagaimanakah Bible Meningkatkan Mutu Hidup Anda?
Bible bukanlah buku yang biasa. Bible mengandungi nasihat daripada Pencipta kita. (2 Timotius 3:16) Mesej dalam Bible boleh mempengaruhi kehidupan kita. Bible berkata, ‘Firman Tuhan itu hidup dan berkuasa.’ (Ibrani 4:12) Bible mempunyai kuasa untuk meningkatkan mutu hidup anda dalam dua cara. Pertama, nasihat Bible membolehkan anda menikmati kehidupan yang lebih baik. Kedua, Bible membantu anda mengenal Tuhan dan janji-janji-Nya.—1 Timotius 4:8; Yakobus 4:8.
Meningkatkan mutu kehidupan. Bible boleh mengandungi nasihat praktikal bagi hal-hal peribadi yang berikut.
Hubungan dengan orang lain.—Efesus 4:31, 32; 5:22, 25, 28, 33.
Kesihatan emosi dan fizikal.—Mazmur 37:8; Amsal 17:22.
Nilai-nilai moral.—1 Korintus 6:9, 10.
Hal kewangan.—Amsal 10:4; 28:19; Efesus 4:28.a
Sepasang suami isteri di Asia sangat menghargai nasihat Bible. Seperti pasangan lain yang baru berkahwin, mereka berasa susah menyesuaikan diri dengan keperibadian satu sama lain serta berkomunikasi secara terbuka. Tetapi, mereka mula menerapkan nasihat Bible. Apakah hasilnya? Suami itu, Vicent berkata, “Nasihat Bible membantu saya mengatasi cabaran perkahwinan dengan menunjukkan kasih. Mengikut nasihat Bible membantu kami menikmati kehidupan yang bahagia.” Isterinya, Annalou berkata, “Contoh-contoh dalam Bible membantu kami. Saya sekarang berasa gembira dan puas hati dengan perkahwinan dan matlamat hidup kami.”
Mengenal Tuhan. Vicent juga berkata, “Dengan membaca Bible, saya berasa lebih dekat kepada Yehuwa.” Kata-kata Vicent menunjukkan sesuatu yang sangat penting. Bible dapat membantu kita mengenal Tuhan. Dengan demikian, kita bukan sahaja mendapat manfaat daripada nasihat-Nya tetapi juga mengenal-Nya seperti seorang sahabat. Tuhan memberitahu kita tentang masa depan yang cerah apabila kita menikmati “kehidupan yang sejati” buat selama-lamanya. (1 Timotius 6:19) Tiada buku lain yang mengandungi maklumat seperti ini.
Jika anda memulakan pembacaan Bible dan terus melakukannya, mutu kehidupan anda akan meningkat dan anda akan mengenal Tuhan. Namun semasa membaca Bible, anda mungkin mempunyai banyak soalan. Ingatlah contoh seorang pegawai tinggi Etiopia yang hidup 2,000 tahun yang lalu. Dia mempunyai banyak soalan mengenai Bible. Apabila ditanya jika dia memahami apa yang dibaca, dia menjawab, “Bagaimana mungkin aku memahaminya jika tiada orang yang mengajar aku?”b Kemudian dia menerima bantuan daripada seorang guru Bible, iaitu Filipus yang juga merupakan murid Yesus. (Kisah 8:30, 31, 34) Begitu juga, jika anda ingin mengetahui lebih banyak tentang Bible, isilah borang di laman web www.pr2711.com/ms atau tulis surat kepada alamat yang tertera dalam majalah ini. Anda juga boleh menghubungi Saksi-Saksi Yehuwa atau mengunjungi Dewan Perjumpaan di tempat anda. Tidakkah anda ingin meningkatkan mutu kehidupan dengan membaca Bible?
Jika anda memikirkan sama ada Bible boleh dipercayai, sila tonton video singkat Mengapakah Kita Yakin bahawa Kandungan Bible Memang Benar? Video ini boleh didapati dengan mengunjungi jw.org/ms dan klik pada BAHAN BACAAN > VIDEO > BIBLE
a Untuk maklumat lanjut mengenai nasihat praktikal daripada Bible, sila klik bahagian BAHAN BACAAN di laman web jw.org/ms.
b Lihat juga rencana “Adakah Hanya Sekadar Salah Faham yang Kecil?” dalam majalah ini.
-