Penyelesaian bagi Segala Ketidakadilan
Diceritakan oleh Ursula Menne
Sejak dulu lagi, saya mahu memperjuangkan keadilan. Malangnya, hal ini menyebabkan saya dipenjarakan oleh kerajaan Komunis Jerman Timur. Yang menariknya, di situlah saya telah belajar tentang penyelesaian kepada semua ketidakadilan di dunia ini. Dengarlah kisah hidup saya.
SAYA lahir pada tahun 1922 di sebuah pekan Jerman yang dipanggil Halle. Pekan ini mempunyai sejarah yang menjangkau lebih daripada 1,200 tahun dan terletak sekitar 200 kilometer dari Berlin. Agama Protestan telah bertapak di sini sejak dulu lagi. Adik saya, Käthe, lahir pada 1923. Bapa saya berkhidmat dalam angkatan tentera dan ibu pula ialah penyanyi teater.
Seperti bapa, saya juga mempunyai keinginan yang kuat untuk menegakkan keadilan. Selepas bapa meninggalkan khidmat tentera, dia membeli sebuah kedai. Tetapi kebanyakan pelanggannya ialah orang miskin. Oleh sebab bapa saya berbelas kasihan, dia mengizinkan mereka berhutang. Sedihnya, perbuatan mulianya itu mengakibatkan dia menjadi muflis. Pengalaman bapa patut membuat saya sedar bahawa sekadar berbuat baik tidak dapat menyelesaikan hal yang tidak adil. Namun, azam saya untuk menegakkan keadilan tidak dapat dipadamkan.
Saya mewarisi bakat seni daripada ibu saya. Ibu memperkenalkan dunia muzik, tarian, dan lagu kepada saya dan Käthe. Kami mempunyai zaman kanak-kanak yang indah. Tetapi semuanya berakhir pada tahun 1939.
Keadaan Berubah Sama Sekali
Selepas tamat pendidikan asas, saya menghadiri sekolah balet dan belajar Ausdruckstanz, iaitu sejenis tarian yang memerlukan penari meluahkan perasaan melalui pergerakannya. Guru saya ialah Mary Wigman, salah seorang pengasas tarian ini. Saya juga belajar melukis. Kehidupan saya pada masa itu sangat bahagia dan saya dapat belajar banyak hal yang baharu. Tetapi tiba-tiba, Perang Dunia Kedua tercetus pada tahun 1939. Kemudian pada 1941, bapa saya meninggal akibat tuberkulosis (tibi).
Semasa perang itu bermula, saya hanya berumur 17 tahun. Perang itu sangat mengerikan dan seluruh dunia huru-hara. Saya nampak dengan mata sendiri bagaimana banyak rakyat biasa terikut-ikut dengan kekejaman dan kegilaan Nazi. Kematian, kemusnahan, dan kesengsaraan menjadi lumrah hidup. Rumah kami rosak teruk akibat serangan bom dan beberapa ahli keluarga kami terkorban semasa perang.
Apabila perang berakhir pada 1945, saya, ibu, dan Käthe masih berada di Halle. Pada masa itu, saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak kecil. Namun perkahwinan saya tidak bahagia, jadi saya dan suami pun berpisah. Untuk menyara diri dan anak perempuan saya, saya bekerja sebagai penari dan pelukis.
Selepas perang, Jerman dibahagikan kepada empat bahagian, dan kawasan kami dikuasai oleh Kesatuan Soviet. Maka kami terpaksa membiasakan diri dengan kehidupan di bawah kuasa Komunis. Pada 1949, kawasan kami yang dulu dipanggil Jerman Timur mula dikenali sebagai Republik Demokratik Jerman (GDR).
Kehidupan Di Bawah Kuasa Komunis
Pada masa itu, ibu jatuh sakit dan saya harus menjaganya. Jadi saya bekerja di pejabat kerajaan. Pada masa yang sama juga, saya mula berkenalan dengan sekumpulan pelajar yang giat memperjuangkan hak orang yang ditindas. Pernah sekali, seorang kawan saya tidak dibenarkan masuk universiti kerana bapanya pernah menganggotai parti Nazi. Saya sangat rapat dengan dia dan kami selalu meluangkan masa bersama. Saya fikir, “Kenapa dia harus dilayan dengan tidak adil disebabkan perbuatan bapanya?” Lama-kelamaan, saya mula terlibat dalam tunjuk perasaan dan pernah melekat risalah di tangga sebuah mahkamah.
Sebagai setiausaha kepada jawatankuasa kerajaan, saya perlu mengurus kerja seperti menaip surat. Apabila saya melihat kandungan sesetengah surat yang harus saya taip, perasaan tidak puas hati saya menjadi makin kuat. Ada satu lagi kejadian yang buat saya marah. Jawatankuasa serantau merancang untuk menghantar bahan Komunis kepada seorang lelaki tua di Jerman Barat supaya orang fikir dia ialah penyokong Komunis. Saya tidak sampai hati buat begitu, jadi saya menyembunyikan bungkusan itu di pejabat. Akhirnya, bungkusan itu tidak dikirim.
“Orang yang Paling Teruk” Memberi Saya Harapan
Pada Jun 1951, dua lelaki datang ke pejabat saya dan kata, “Kamu ditahan.” Kemudian mereka bawa saya ke sebuah penjara yang dipanggil Roter Ochse. Setahun selepas itu, saya didakwa atas kesalahan memberontak terhadap kerajaan. Nampaknya, salah seorang pelajar telah memberitahu polis rahsia bahawa saya pernah mengedarkan risalah dan terlibat dalam tunjuk perasaan. Perbicaraan kes saya sangat tidak adil kerana pembelaan saya langsung tidak didengar. Akibatnya, saya dijatuhkan hukuman penjara enam tahun. Pada masa itu, saya jatuh sakit dan dipindahkan ke hospital penjara. Di sana, terdapat 40 wanita yang lain. Setelah melihat semua orang yang merana ini, saya mula panik. Saya lari ke pintu dan memukulnya dengan sekuat tenaga.
“Apa kamu mahu?” tanya pengawal.
“Saya mahu keluar dari sini,” saya jerit. “Saya tidak kisah kalau kamu pindahkan saya ke sel pengasingan, asalkan bukan di sini!” Tetapi, pengawal itu tidak menghiraukan saya. Tidak lama kemudian, saya sedar salah seorang wanita di sana nampak sangat tenang. Jadi saya pun duduk di sebelahnya.
“Betul, kamu mahu duduk dekat saya? Kamu mesti hati-hati,” kata wanita itu. Saya tidak faham kenapa dia kata begitu. Wanita itu menyambung, “Semua orang di sini fikir sayalah orang yang paling teruk kerana saya Saksi-Saksi Yehuwa.”
Pada masa itu, saya tidak tahu Saksi-Saksi Yehuwa dianggap sebagai musuh Komunis. Setahu saya, mereka pernah melawat bapa saya semasa saya masih kecil. Saya ingat bapa pernah kata, “Pelajar Bible (nama lama Saksi-Saksi Yehuwa) memang betul!”
Saya begitu lega dan mula menangis kerana dapat kenal wanita ini. Saya merayu kepadanya, “Beritahulah saya tentang Yehuwa.” Sejak itu, saya dan Berta Brüggemeier selalu meluangkan masa bersama dan bincang tentang Bible. Saya belajar bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang benar, dan Dia pengasih, adil, dan suka kedamaian. Saya juga belajar bahawa Dia akan melenyapkan segala kejahatan dan hal kejam yang dilakukan oleh manusia. Mazmur 37:10, 11 kata, ‘Tidak lama lagi, orang jahat akan dibinasakan. Orang yang rendah hati akan memiliki bumi, dan mereka akan menikmati kebahagiaan dan kedamaian yang berlimpah-limpah.’
Saya Dibebaskan dan Melarikan Diri ke Jerman Barat
Setelah dipenjarakan selama lima tahun lebih, saya dibebaskan pada tahun 1956. Lima hari kemudian, saya melarikan diri ke Jerman Barat bersama dua orang anak saya, Hannelore dan Sabine. Setelah itu, saya bercerai dengan suami saya dan berjumpa lagi dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Selepas belajar Bible, saya sedar saya perlu buat perubahan dalam hidup agar dapat menyenangkan hati Yehuwa. Akhirnya, saya dibaptis pada tahun 1958.
Kemudian, saya berkahwin dengan seorang Saksi yang bernama Klaus Menne. Kami mempunyai perkahwinan yang bahagia dan ada dua orang anak, iaitu Benjamin dan Tabia. Sedihnya, Klaus meninggal 20 tahun yang lalu akibat kemalangan. Walaupun saya hidup sebagai seorang balu, saya mendapat kelegaan daripada harapan pembangkitan. Tuhan berjanji bahawa orang mati akan hidup semula di bumi Firdaus. (Lukas 23:43; Kisah 24:15) Saya juga sangat bersyukur kerana keempat-empat orang anak saya menyembah Yehuwa.
Melalui pembelajaran Bible, saya yakin hanya Yehuwa dapat membawa keadilan sejati. Hanya Dialah yang mengetahui situasi kita yang sepenuhnya, latar belakang kita, dan hal-hal lain yang berlaku kepada kita. Kebenaran ini memberi saya ketenangan hati dan minda, terutamanya semasa saya melihat atau mengalami ketidakadilan. Pengkhutbah 5:8 kata, “Janganlah hairan jika kamu nampak seorang pegawai tinggi menindas orang miskin dan tidak menegakkan keadilan dan kebenaran di wilayahmu. Pegawai tinggi itu diperhatikan oleh pegawai yang lebih tinggi, dan mereka diperhatikan oleh orang yang lebih tinggi lagi.” Sebenarnya, Pencipta kita mempunyai kedudukan yang tertinggi dan Ibrani 4:13 kata, “Tidak ada satu ciptaan pun yang tersembunyi daripada pandangan Tuhan. Segala sesuatu jelas kelihatan dan terdedah di mata-Nya, dan kita mesti memberikan pertanggungjawaban kepada-Nya.”
Mengenang Hidup Saya selama 90 Tahun
Kadangkala orang tanya saya apa perasaan saya hidup di bawah pemerintahan Nazi dan Komunis. Sebenarnya hidup saya pada masa itu memang susah. Semua kerajaan manusia, termasuk kedua-dua kerajaan itu, membuktikan bahawa manusia tidak dapat memerintah dengan baik. Bible memberitahu kita, “Manusia menguasai manusia sehingga mereka menderita.”—Pengkhutbah 8:9.
Semasa saya muda dan naif, saya fikir manusia dapat membawa keadilan. Sekarang, saya yakin bahawa hanya Pencipta kita yang dapat membawa keadilan sejati. Dia akan membasmi semua kejahatan dan menyerahkan pemerintahan bumi kepada Anak-Nya Yesus yang selalu mengutamakan kepentingan orang lain. Mengenai Yesus, Bible kata, “Engkau mencintai keadilan dan membenci kejahatan.” (Ibrani 1:9) Saya sangat gembira kerana Tuhan telah memimpin saya kepada raja yang adil ini, dan saya menantikan masanya saya dapat hidup selama-lamanya di bawah pemerintahannya.
[Gambar]
Bersama anak saya Hannelore dan Sabine selepas kami tiba di Jerman Barat
[Gambar]
Hari ini bersama anak saya, Benjamin, dan isterinya, Sandra