PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w23 Oktober ms. 12-17
  • “Dia Akan Menguatkan Kamu”—Bagaimana?

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • “Dia Akan Menguatkan Kamu”—Bagaimana?
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2023
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • MENDAPAT KEKUATAN MENERUSI DOA DAN PEMBELAJARAN
  • MENDAPAT KEKUATAN DARIPADA RAKAN SEIMAN
  • MENDAPAT KEKUATAN DARIPADA HARAPAN MASA DEPAN
  • Dia Belajar daripada Kesilapannya
    Tirulah Iman Mereka
  • Dia Belajar untuk Berbelas Kasihan
    Tirulah Iman Mereka
  • Yunus dan Ikan Besar
    Buku Cerita Bible Saya
  • Rangka Yunus
    Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2023
w23 Oktober ms. 12-17

RENCANA PEMBELAJARAN 43

“Dia Akan Menguatkan Kamu”​—Bagaimana?

“[Yehuwa] akan meneguhkan kamu, Dia akan menguatkan kamu, dan Dia akan mengukuhkan kamu.”​—1 PTR. 5:10.

LAGU 38 Dia Akan Menguatkanmu

PENGENALANa

1. Bagaimanakah Tuhan menguatkan penyembah-Nya pada masa kuno?

FIRMAN TUHAN sering menggambarkan orang yang setia sebagai orang yang kuat. Namun ada kalanya, mereka juga berasa lemah. Contohnya, Raja Daud pernah rasa bahawa dia “kuat seperti gunung,” tetapi pada masa yang lain dia “menjadi takut.” (Mzm. 30:7) Simson juga menjadi sangat kuat semasa dia dibimbing oleh kuasa suci Tuhan. Namun dia sedar bahawa tanpa bantuan Yehuwa, ‘kekuatannya akan hilang dan dia akan menjadi lemah seperti orang lain.’ (Hak. 14:5, 6; 16:17) Lelaki-lelaki setia ini dapat menjadi kuat hanya dengan bantuan Yehuwa.

2. Mengapakah Rasul Paulus berkata bahawa semasa dia lemah, dia menjadi kuat? (2 Korintus 12:9, 10)

2 Rasul Paulus mengakui bahawa dia juga memerlukan kuasa daripada Yehuwa. (Baca 2 Korintus 12:9, 10.) Seperti kebanyakan daripada kita, Paulus ada masalah kesihatan. (Gal. 4:13, 14) Selain itu, dia perlu bergelut untuk melakukan apa yang betul. (Rm. 7:18, 19) Kadangkala dia juga berasa risau dan takut. (2 Kor. 1:8, 9) Namun, apabila Paulus lemah, dia menjadi kuat kerana dia menerima kuasa daripada Yehuwa.

3. Apakah soalan-soalan yang akan kita jawab dalam rencana ini?

3 Yehuwa juga berjanji untuk menguatkan kita. (1 Ptr. 5:10) Tetapi untuk menerima kuasa-Nya, kita mesti melakukan sesuatu. Fikirkan contoh ini: Enjin dapat menggerakkan sebuah kereta, tetapi pemandu kereta itu harus menekan minyak, barulah kereta itu dapat bergerak. Begitu juga, Yehuwa dapat memberi kita kekuatan untuk bertindak, tetapi kita perlu melakukan sesuatu agar menerima kekuatan daripada-Nya. Apakah bantuan yang disediakan Yehuwa untuk menguatkan kita? Apakah yang perlu kita lakukan agar menerima kekuatan daripada-Nya? Untuk mengetahui jawapannya, kita akan mengkaji bagaimana Yehuwa telah menguatkan tiga orang watak Bible, iaitu Nabi Yunus, Maria ibu Yesus, dan Rasul Paulus. Kita juga akan membincangkan bagaimana Yehuwa terus menguatkan hamba-hamba-Nya pada zaman sekarang.

MENDAPAT KEKUATAN MENERUSI DOA DAN PEMBELAJARAN

4. Bagaimanakah anda dapat menerima kekuatan daripada Yehuwa?

4 Satu cara kita dapat menerima kekuatan daripada Yehuwa adalah dengan berdoa kepada-Nya. Melalui doa, kita akan menerima “kuasa luar biasa.” (2 Kor. 4:7) Kita juga dikuatkan semasa kita membaca dan merenungkan Firman Tuhan, kerana mesej dalam Bible “hidup [dan] berkuasa.” (Ibr. 4:12; Mzm. 86:11) Apabila anda berdoa kepada Yehuwa dan membaca Firman-Nya, anda akan dikuatkan supaya anda dapat bertabah, tetap bersukacita, dan melaksanakan tugasan yang mencabar. Perhatikan bagaimana Yehuwa menguatkan Nabi Yunus.

5. Mengapakah Nabi Yunus memerlukan kekuatan?

5 Semasa Yehuwa memberi Yunus tugasan yang mencabar, dia telah menaiki sebuah kapal untuk melarikan diri. Akibatnya, semasa ribut yang dahsyat melanda, dia hampir kehilangan nyawa, dan dia juga membahayakan nyawa anak-anak kapal yang lain. Selepas Yunus dicampakkan ke dalam laut, seekor ikan yang besar telah menelannya, dan dia berada dalam perut ikan itu yang sangat gelap. Apakah perasaan Yunus pada masa itu? Adakah dia rasa dia akan mati di situ? Adakah dia berfikir bahawa Yehuwa telah mengabaikannya? Yunus pasti berasa sangat takut dan memerlukan kekuatan daripada Tuhan.

Kolaj: 1. Yunus berdoa dengan bersungguh-sungguh di dalam perut ikan. 2. Seorang saudara berdoa dengan bersungguh-sungguh di dalam bilik tidurnya. Di sebelahnya terdapat Bible, telefon pintar, dan earphone.

Seperti Nabi Yunus, bagaimanakah kita dapat memperoleh kekuatan daripada Yehuwa? (Lihat perenggan 6-9)

6. Berdasarkan Yunus 2:1, 2, 7, apakah yang telah menguatkan Yunus semasa dia berada dalam perut ikan?

6 Apakah yang dilakukan oleh Yunus semasa berseorangan di dalam perut ikan? Dia berdoa kepada Tuhan. (Baca Yunus 2:1, 2, 7.) Walaupun dia telah mengingkari Yehuwa, Yunus tetap yakin bahawa Yehuwa akan mendengar doanya jika dia bertaubat dan bersikap rendah hati. Yunus juga merenungkan Ayat-Ayat Suci. Dalam doanya yang tercatat di Yunus bab 2, kita melihat bahawa dia memetik banyak perkataan dan frasa yang digunakan di buku Mazmur. (Sebagai contoh, bandingkan Yunus 2:2, 5 dengan Mazmur 69:1; 86:7.) Maka jelaslah bahawa dia sangat mengenali ayat-ayat itu dan merenungkannya semasa menghadapi kesusahan. Oleh itu, dia berasa yakin bahawa Yehuwa akan membantunya. Selepas Yunus kembali ke darat, dia bersedia untuk menerima dan melaksanakan tugasan yang diberikan oleh Tuhan.​—Yun. 2:10–3:4.

7-8. Bagaimanakah seorang saudara di Taiwan menerima kekuatan semasa menghadapi cabaran?

7 Teladan Yunus dapat membantu kita semasa kita menghadapi pelbagai cabaran. Contohnya, Zhiming,b seorang saudara di Taiwan, mempunyai masalah kesihatan yang serius. Selain itu, dia menghadapi tentangan daripada ahli keluarganya kerana imannya kepada Yehuwa. Dia mendapat kekuatan daripada Yehuwa melalui doa dan pembelajaran peribadi. Zhiming berkata, “Kadangkala semasa masalah timbul, saya begitu risau sehingga tidak dapat bertenang dan tidak dapat melakukan pembelajaran peribadi.” Tetapi dia tidak berputus asa. Dia menambah, “Mula-mula, saya akan berdoa kepada Yehuwa. Kemudian, saya akan memakai earphone dan mendengar lagu rohani. Ada kalanya saya bahkan akan ikut bernyanyi dalam suara perlahan sehingga saya berasa tenang. Selepas itu, barulah saya akan mula melakukan pembelajaran.”

8 Pembelajaran peribadi juga membantu Zhiming dalam cara yang tidak dijangkakannya. Sebagai contoh, selepas dia menjalani pembedahan yang besar, seorang jururawat memberitahu Zhiming bahawa jumlah sel darah merahnya rendah, dan dia memerlukan transfusi darah. Malam sebelum pembedahannya, Zhiming membaca tentang pengalaman seorang saudari yang telah menjalani pembedahan yang sama. Jumlah sel darah merah saudari itu lebih rendah daripada Zhiming, tetapi saudari itu tidak menerima transfusi darah dan telah sembuh. Pengalaman saudari itu telah menguatkan Zhiming untuk tetap setia.

9. Jika anda berasa lemah semasa menghadapi cabaran, apakah yang dapat anda lakukan? (Lihat juga gambar.)

9 Semasa menghadapi cabaran, adakah anda begitu risau sehingga susah untuk berdoa? Atau adakah anda berasa sangat penat sehingga tidak dapat melakukan pembelajaran? Ingatlah bahawa Yehuwa memahami situasi anda dengan sempurna. Jadi walaupun doa anda ringkas, yakinlah bahawa Yehuwa akan memberi anda apa yang anda perlukan. (Ef. 3:20) Jika keadaan fizikal atau emosi anda membuat anda berasa susah untuk membaca atau melakukan pembelajaran, cubalah mendengar rakaman audio Bible atau rakaman bahan bacaan lain. Anda juga boleh mendengar lagu rohani atau menonton video di jw.org. Dengan berdoa kepada Yehuwa dan menggunakan bahan yang disediakan oleh-Nya, anda sedang menjemput Yehuwa untuk menguatkan anda.

MENDAPAT KEKUATAN DARIPADA RAKAN SEIMAN

10. Bagaimanakah rakan seiman kita dapat menguatkan kita?

10 Yehuwa dapat menggunakan saudara saudari lain untuk menguatkan kita. Mereka dapat menjadi “sumber kelegaan hati yang besar” semasa kita menghadapi cubaan atau berasa susah untuk melaksanakan tugasan kita. (Kol. 4:10, 11) Kita paling memerlukan kawan “pada masa kesusahan.” (Ams. 17:17) Apabila kita berasa lemah, rakan seiman kita dapat membantu kita secara fizikal, emosi, dan rohani. Perhatikan bagaimana Maria, iaitu ibu Yesus, menerima kekuatan daripada orang lain.

11. Mengapakah Maria memerlukan kekuatan?

11 Maria mendapat tugasan yang penting daripada malaikat Gabriel. Pada masa itu, dia berasa sangat risau. Mengapa? Dia belum berkahwin dan masih dara, tetapi dia akan menjadi hamil. Dia juga tiada pengalaman membesarkan anak, tetapi dia perlu menjaga anak yang akan menjadi Mesias yang dijanjikan. Selain itu, dia risau bagaimana mahu menjelaskan kepada tunangnya Yusuf, bahawa dia mengandung biarpun dia tidak pernah bersetubuh. Sememangnya, Maria memerlukan kekuatan daripada Tuhan!​—Luk. 1:26-33.

12. Menurut Lukas 1:39-45, bagaimanakah Maria mendapat kekuatan yang diperlukan?

12 Bagaimanakah Maria mendapat kekuatan yang diperlukan untuk melaksanakan tugasannya yang mencabar? Dia meminta bantuan orang lain. Contohnya, dia meminta Gabriel untuk memberinya maklumat yang lebih terperinci tentang tugasannya. (Luk. 1:34) Tidak lama selepas itu, dia membuat perjalanan ke “kawasan pergunungan” di Yehuda untuk melawat Elisabet. Perjalanan itu memang berbaloi. Elisabet telah memuji Maria dan dia diilhami oleh Yehuwa untuk mengongsi satu nubuat yang menggalakkan tentang anak Maria yang belum lahir. (Baca Lukas 1:39-45.) Maria begitu digalakkan sehingga berkata bahawa Yehuwa telah “bertindak dengan tangan-Nya yang perkasa.” (Luk. 1:46-51) Melalui Gabriel dan Elisabet, Yehuwa telah menguatkan Maria.

13. Bagaimanakah seorang saudari di Bolivia mendapat kekuatan kerana sudi meminta bantuan rakan seiman?

13 Seperti Maria, anda juga boleh mendapat kekuatan daripada rakan seiman. Dasuri, seorang saudari di Bolivia, memerlukan kekuatan untuk menghadapi cabaran yang besar. Bapanya sakit tenat dan perlu diwadkan di hospital. Biarpun Dasuri rela memikul tanggungjawab untuk menjaga bapanya, hal itu agak mencabar. (1 Tim. 5:4) Dia berkata, “Banyak kali saya rasa seperti ingin berputus asa.” Adakah dia meminta bantuan orang lain? Pada mulanya, tidak. Dia berkata, “Saya tidak mahu menyusahkan saudara saudari. Saya berfikir, ‘Yehuwalah yang akan membantu saya.’ Tetapi saya mula sedar bahawa dengan cuba menyelesaikan masalah seorang diri, saya sedang mengasingkan diri daripada mereka.” (Ams. 18:1) Dasuri membuat keputusan untuk menulis kepada beberapa orang sahabatnya untuk menjelaskan situasinya. Dia berkata, “Kata-kata tidak dapat mengungkapkan betapa besarnya kekuatan yang saya dapat daripada mereka. Mereka membawa makanan ke hospital dan mengongsi ayat-ayat Bible yang menggalakkan. Saya sangat terharu kerana diingatkan bahawa saya tidak keseorangan. Kita semua merupakan sebahagian daripada keluarga Yehuwa yang besar dan keluarga ini sentiasa bersedia untuk membantu kita, menangis bersama kita, dan berjuang bersama kita.”

14. Mengapakah anda patut menerima bantuan daripada para penatua?

14 Satu lagi cara Yehuwa menguatkan kita adalah melalui para penatua. Mereka merupakan pemberian daripada Yehuwa untuk menguatkan dan menyegarkan kita. (Yes. 32:1, 2) Jadi apabila anda berasa risau, luahkanlah perasaan anda kepada mereka. Apabila para penatua menawarkan bantuan, janganlah teragak-agak untuk menerimanya. Melalui para penatua, Yehuwa dapat menguatkan anda.

MENDAPAT KEKUATAN DARIPADA HARAPAN MASA DEPAN

15. Apakah harapan yang dihargai oleh semua orang Kristian?

15 Harapan Bible dapat menguatkan kita. (Rm. 4:3, 18-20) Sebagai orang Kristian, kita ada harapan untuk hidup selama-lamanya, sama ada di bumi firdaus atau di syurga. Harapan Bible dapat menguatkan kita untuk menghadapi cubaan dengan tabah, menyebarkan berita baik, atau melakukan tugasan lain di sidang. (1 Tes. 1:3) Harapan itu juga telah menguatkan Rasul Paulus.

16. Mengapakah Paulus memerlukan kekuatan?

16 Mengapakah Paulus memerlukan kekuatan? Dalam suratnya kepada orang Kristian di Korintus, dia berkata bahawa dia adalah seperti bekas tanah liat yang senang pecah. Dia juga berkata bahawa dia “diasak,” “kebingungan,” “dianiaya,” dan “dihempas ke tanah.” Bahkan nyawanya terancam. (2 Kor. 4:8-10) Paulus menulis kata-kata itu semasa perjalanannya yang ketiga sebagai mubaligh. Pada masa itu, dia mungkin tidak tahu bahawa dia bakal menghadapi lebih banyak cabaran, seperti diserang kumpulan perusuh, ditangkap, mengalami nahas kapal laut, dan dipenjarakan.

17. Menurut 2 Korintus 4:16-18, apakah yang menguatkan Paulus untuk menghadapi cabaran dengan tabah?

17 Paulus mendapat kekuatan dengan bertumpu pada harapannya. (Baca 2 Korintus 4:16-18.) Dia memberitahu orang Kristian di Korintus bahawa biarpun tubuhnya “semakin lemah,” hal itu tidak membuatnya berasa tawar hati. Paulus bertumpu pada harapannya untuk hidup selama-lamanya di syurga. Dia berkata bahawa harapan itu merupakan “kemuliaan yang sangat unggul, [dan] besar.” Paulus merenungkan harapan itu dan hasilnya, dia berasa bahawa dia “dibaharui setiap hari.” Sudah pasti dia sanggup menghadapi apa-apa cabaran untuk mendapat berkat itu.

18. Bagaimanakah harapan Bible menguatkan Tihomir dan keluarganya?

18 Tihomir, seorang saudara di Bulgaria, mendapat kekuatan daripada harapan Bible. Beberapa tahun lalu, adik lelakinya yang bernama Zdravko telah meninggal akibat kemalangan. Buat suatu jangka masa selepas kematian adiknya, Tihomir perlu bergelut dengan perasaan sedih yang amat besar. Oleh itu, dia dan keluarganya meluangkan masa untuk membayangkan keadaannya apabila Zdravko dibangkitkan. Dia menjelaskan, “Contohnya, kami membincangkan di mana kami akan berjumpa dengan Zdravko, apa makanan yang akan kami sediakan untuknya, siapa yang akan kami jemput ke parti pertama selepas dia dibangkitkan, dan apa yang akan kami beritahunya tentang hari-hari terakhir.” Dengan bertumpu pada harapan Bible, Tihomir dan keluarganya dikuatkan. Dia dapat bertabah dan terus menantikan masanya Yehuwa akan membangkitkan adiknya.

Seorang saudari pekak memainkan video muzik “Di Dunia yang Baru” dalam bahasa isyarat. Dia merenungkan keadaan hidup di dunia baharu. Dia membayangkan dirinya sedang memainkan cello bersama orang lain.

Adakah anda membayangkan diri anda di dunia baharu? (Lihat perenggan 19)c

19. Apakah yang dapat anda lakukan untuk menguatkan harapan anda? (Lihat juga gambar.)

19 Bagaimanakah anda dapat menguatkan harapan anda? Contohnya, jika anda ada harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi Firdaus, bacalah gambaran Bible tentang Firdaus dan renungkannya. (Yes. 25:8; 32:16-18) Bayangkan diri anda di dunia baharu dan keadaannya di sana. Apakah yang anda lihat? Apakah yang anda dengar? Apakah perasaan anda? Untuk menghidupkan lagi harapan anda, lihatlah gambar Firdaus dalam bahan bacaan kita atau tonton video muzik seperti Di Dunia yang Baru, Tidak Lama Tiba, atau Bayangkan Masanya. Jika anda memastikan harapan anda kuat, anda akan ingat bahawa masalah anda “hanyalah sementara dan tidak seberapa berat.” (2 Kor. 4:17) Melalui harapan ini, Yehuwa akan menguatkan anda.

20. Biarpun kita berasa lemah, bagaimanakah kita dapat memperoleh kekuatan?

20 Biarpun kita berasa lemah, ‘Yehuwa akan memberi kita kekuatan.’ (Mzm. 108:13) Yehuwa sudah menyediakan apa yang kita perlukan untuk menerima kekuatan daripada-Nya. Jadi apabila anda memerlukan bantuan untuk melakukan tugasan, menghadapi cubaan dengan tabah, atau mengekalkan sukacita, berdoalah kepada Yehuwa dengan bersungguh-sungguh dan carilah bimbingan-Nya melalui pembelajaran peribadi. Terimalah galakan daripada rakan seiman. Pastikanlah harapan anda tetap membara. Dengan demikian, ‘kuasa Tuhan yang mulia akan memberi anda segala kekuatan yang diperlukan, agar anda tabah menempuh segala sesuatu dengan sabar dan sukacita.’​—Kol. 1:11.

BAGAIMANAKAH ANDA BOLEH MENDAPAT KEKUATAN . . .

  • daripada doa dan pembelajaran?

  • daripada rakan seiman?

  • daripada harapan masa depan?

LAGU 33 Serahkan Bebanmu kepada Yehuwa

a Rencana ini akan membantu orang yang berasa bahawa cubaan mereka terlalu berat atau tugasan mereka terlalu mencabar. Kita akan belajar bagaimana Yehuwa dapat menguatkan kita dan apa yang perlu kita lakukan untuk menerima bantuan-Nya.

b Sesetengah nama telah diubah.

c KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari yang pekak merenungkan janji Bible dan memainkan video muzik untuk menghidupkan imaginasinya tentang dunia baharu.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi