RENCANA PEMBELAJARAN 18
Galakkan Satu Sama Lain semasa di Perjumpaan
“Marilah kita memperhatikan satu sama lain supaya kita dapat saling memberikan dorongan.”—IBR. 10:24, 25.
LAGU 88 Ajarlah Aku Jalan-Mu
PENGENALANa
1. Mengapakah kita memberikan komen semasa di perjumpaan?
MENGAPAKAH kita menghadiri perjumpaan? Tujuan yang utama adalah untuk memuji Yehuwa. (Mzm. 26:12; 111:1) Kita juga menghadiri perjumpaan agar kita dapat menggalakkan satu sama lain pada masa yang mencabar ini. (1 Tes. 5:11) Sebenarnya, apabila kita mengangkat tangan untuk memberikan komen, kita sedang memuji Yehuwa dan saling menggalakkan.
2. Bilakah kita berpeluang untuk memberikan komen?
2 Setiap minggu, kita berpeluang untuk memberikan komen di perjumpaan. Contohnya, semasa perjumpaan hujung minggu, kita dapat memberikan komen semasa Pembelajaran Menara Pengawal. Semasa perjumpaan pertengahan minggu, kita dapat memberikan komen untuk bahagian Permata Rohani, Pembelajaran Bible Sidang, dan bahagian perbincangan yang lain.
3. Apakah cabaran yang mungkin kita hadapi, dan bagaimanakah nasihat di Ibrani 10:24, 25 dapat membantu kita?
3 Kita semua ingin memuji Yehuwa dan menggalakkan rakan seiman menerusi komen kita. Tetapi kita mungkin menghadapi cabaran semasa berbuat demikian. Kita mungkin sangat gementar untuk memberikan komen, atau kita mungkin sangat suka memberikan komen, tetapi jarang dipanggil. Bagaimanakah kita dapat menangani cabaran-cabaran ini? Jawapannya terdapat dalam surat yang ditulis oleh Rasul Paulus kepada orang Kristian berbangsa Ibrani. Setelah menulis tentang pentingnya untuk menghadiri perjumpaan, dia mengingatkan kita bahawa kita patut “saling memberikan dorongan.” (Baca Ibrani 10:24, 25.) Apabila kita ingat bahawa komen kita yang ringkas pun dapat menggalakkan saudara saudari lain, kita akan lebih sudi memberikan komen. Jika kita jarang diberikan peluang untuk memberikan komen pula, kita dapat berasa gembira kerana orang lain di sidang berpeluang untuk memberikan komen.—1 Ptr. 3:8.
4. Apakah tiga isi yang akan dibincangkan dalam rencana ini?
4 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat saling menggalakkan jika sidang kita kecil. Kemudian, kita akan melihat cara untuk saling menggalakkan jika sidang kita besar. Akhir sekali, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat memastikan kandungan komen kita menggalakkan orang lain.
GALAKKAN SATU SAMA LAIN DI SIDANG YANG KECIL
5. Bagaimanakah kita dapat menggalakkan satu sama lain jika sidang kita kecil?
5 Dalam sidang atau kumpulan yang kecil, orang yang dapat memberikan komen tidak banyak. Kadangkala, saudara yang mengendalikan perbincangan perlu menunggu agak lama sebelum ada orang yang mengangkat tangan. Jika demikian, perjumpaan itu mungkin membosankan dan tidak menggalakkan. Apakah yang dapat anda lakukan? Berusahalah untuk sering mengangkat tangan dan memberikan komen. Dengan berbuat demikian, anda mungkin menggalakkan orang lain untuk memberikan komen dengan lebih kerap.
6-7. Bagaimanakah kita dapat mengurangkan rasa gementar semasa memberikan komen?
6 Adakah anda ingin menggalakkan saudara saudari anda, tetapi berasa sangat gementar semasa memberikan komen? Ramai orang berasa begitu. Apakah yang dapat membantu anda mengurangkan rasa gementar semasa memberikan komen?
7 Anda dapat mengkaji cadangan-cadangan yang terdapat dalam majalah Menara Pengawal.b Sebagai contoh, buatlah persiapan yang baik. (Ams. 21:5) Apabila anda lebih memahami bahan yang akan dibincangkan, anda akan berasa lebih selesa dan yakin untuk memberikan komen. Selain itu, pastikan komen anda singkat. (Ams. 15:23; 17:27) Jika komen anda singkat, anda tidak perlu begitu risau tentang apa yang hendak anda katakan. Komen singkat yang terdiri daripada satu atau dua ayat, juga lebih mudah difahami oleh saudara saudari berbanding komen panjang yang mempunyai banyak poin. Tambahan lagi, jika anda memberikan komen singkat dengan menggunakan kata-kata sendiri, anda menunjukkan bahawa anda telah membuat persiapan yang rapi dan benar-benar memahami bahan yang dibincangkan.
8. Apakah perasaan Yehuwa jika kita berusaha sedaya upaya untuk memberikan komen?
8 Bagaimana pula jika anda telah mengikut cadangan-cadangan yang diberikan tetapi masih hanya dapat memberikan satu atau dua komen? Yakinlah jika anda sudah berusaha sedaya upaya, Yehuwa menghargai usaha anda. (Luk. 21:1-4) Memberi Yehuwa yang terbaik tidak bermaksud anda harus melakukan apa yang tidak anda mampu. (Flp. 4:5) Maka tentukan apa yang dapat anda lakukan, tetapkan matlamat, dan berdoalah untuk hati yang tenang. Bagi sesetengah orang, mereka boleh bermatlamat untuk memberikan satu komen yang ringkas pada mulanya.
GALAKKAN SATU SAMA LAIN DI SIDANG YANG BESAR
9. Apakah cabaran yang mungkin timbul di sidang yang besar?
9 Jika sidang anda ada banyak penyiar, cabaran yang lain mungkin timbul. Semasa perbincangan, mungkin ada begitu banyak saudara saudari yang mengangkat tangan sehingga anda jarang berpeluang untuk memberikan komen. Sebagai contoh, Saudari Danielle suka memberikan komen.c Baginya, memberikan komen ialah sebahagian daripada ibadatnya, cara untuk menggalakkan orang lain, dan cara untuk menanamkan kebenaran Bible dalam hatinya. Tetapi apabila dia berpindah ke sidang yang besar, dia jarang mendapat peluang untuk memberikan komen. Kadangkala sepanjang perjumpaan, dia tidak dipanggil sekali pun. Dia berkata, “Apabila saya terlepas peluang untuk memberikan komen, saya rasa geram dan kecewa. Apabila hal ini berlaku berulang kali, kadangkala saya mula fikir saudara yang mengendalikan perbincangan sengaja tidak mahu memanggil saya.”
10. Bagaimanakah kita dapat meningkatkan peluang untuk memberikan komen?
10 Pernahkah anda rasa seperti Danielle? Jika ya, anda mungkin terasa ingin putus asa dan tidak mahu memberikan komen lagi. Tetapi janganlah berhenti mencuba. Apakah yang dapat anda lakukan? Cubalah menyediakan beberapa komen bagi setiap perjumpaan. Dengan itu, jika anda tidak dipilih untuk memberikan komen pada permulaan perbincangan, anda masih berpeluang untuk dipilih nanti. Semasa membuat persiapan bagi Pembelajaran Menara Pengawal, fikirkan kaitan antara setiap perenggan dengan tema rencana. Jika anda berbuat demikian, anda mungkin dapat mengongsi sesuatu yang bermakna sepanjang perbincangan. Selain itu, anda dapat menyediakan komen bagi perenggan yang menyentuh kebenaran Bible yang lebih mendalam dan susah dijelaskan. (1 Kor. 2:10) Mengapa? Kerana banyak orang mungkin tidak bersedia memberikan komen untuk perenggan sebegini. Bagaimana pula jika anda telah menerapkan semua cadangan ini dan masih tidak berpeluang memberikan komen untuk beberapa perjumpaan? Sebelum perjumpaan yang berikutnya, carilah saudara yang akan mengendalikan perbincangan nanti dan beritahunya soalan mana yang ingin anda jawab.
11. Filipi 2:4 menggalakkan kita untuk melakukan apa?
11 Baca Filipi 2:4. Rasul Paulus menggalakkan orang Kristian untuk menjaga kepentingan orang lain. Bagaimanakah kita dapat menerapkan nasihat itu semasa di perjumpaan? Kita harus ingat bahawa seperti kita, orang lain pun mahu memberikan komen.
Anda tidak akan asyik bercakap semasa berbual dengan orang lain. Jadi, berilah orang lain peluang untuk memberikan komen semasa di perjumpaan (Lihat perenggan 12)
12. Apakah satu cara yang baik untuk menggalakkan orang lain di perjumpaan? (Lihat juga gambar.)
12 Fikirkan contoh ini: Anda dan sekumpulan kawan sedang berbual-bual. Adakah anda akan asyik bercakap sehingga mereka tidak berpeluang untuk bercakap? Sudah pasti tidak! Anda juga mahu mendengar pendapat mereka. Begitu juga, semasa di perjumpaan, kita mahu seramai orang yang mungkin untuk memberikan komen. Sebenarnya, salah satu cara yang terbaik untuk menggalakkan saudara saudari adalah dengan memberi mereka peluang untuk memberikan komen. (1 Kor. 10:24) Mari kita lihat bagaimana kita dapat berbuat demikian.
13. Apakah yang dapat kita lakukan supaya lebih banyak orang berpeluang untuk memberikan komen?
13 Pertama, pastikan komen kita singkat. Dengan itu, orang lain ada lebih banyak masa untuk memberikan komen. Para penatua dan penyiar yang berpengalaman patut menetapkan teladan dalam hal ini. Kedua, biarpun komen anda singkat, elakkan daripada mengongsi terlalu banyak poin. Jika komen anda merangkumi semua isi dalam perenggan, orang lain akan berasa susah untuk memberikan komen tambahan. Sebagai contoh, terdapat dua poin dalam perenggan ini, iaitu pastikan komen kita singkat, dan elakkan daripada mengongsi terlalu banyak poin. Jika anda ialah orang pertama yang dipanggil untuk menjawab perenggan ini, sebutlah salah satu poin sahaja.
Bilakah kita mungkin memilih untuk tidak mengangkat tangan? (Lihat perenggan 14)f
14. Apakah yang dapat membantu kita menentukan seberapa kerap kita harus mengangkat tangan? (Lihat juga gambar.)
14 Gunakan daya pertimbangan yang baik semasa menentukan seberapa kerap kita ingin mengangkat tangan. Jika kita terlalu kerap mengangkat tangan, saudara yang mengendalikan perbincangan mungkin berasa bahawa dia harus selalu menjemput kita untuk memberikan komen, sedangkan ada orang lain yang belum berpeluang berbuat demikian. Akibatnya, orang lain mungkin berasa tawar hati dan tidak lagi mengangkat tangan.—Pkh. 3:7.
15. (a) Apakah sepatutnya reaksi kita jika kita tidak dipanggil untuk memberikan komen? (b) Apakah tip-tip yang berguna bagi saudara yang mengendalikan bahagian perbincangan? (Lihat kotak “Jika Anda Mengendalikan Bahagian Soal Jawab.”)
15 Jika banyak penyiar mengangkat tangan semasa perbincangan, kita mungkin tidak dapat memberikan komen dengan sekerap yang diingini. Kadangkala, kita mungkin langsung tidak dipanggil. Kita mungkin rasa kecewa, tetapi janganlah kecil hati.—Pkh. 7:9.
16. Bagaimanakah kita dapat menggalakkan orang yang memberikan komen?
16 Jika anda tidak dapat memberikan komen dengan sekerap yang diingini, dengarlah dengan teliti semasa orang lain memberikan komen. Selepas perjumpaan, pujilah mereka atas komen mereka. Biarpun anda tidak dapat memberikan komen, pujian anda juga dapat menggalakkan saudara saudari anda. (Ams. 10:21) Ya, memberikan pujian ialah satu lagi cara untuk menggalakkan satu sama lain.
CARA LAIN UNTUK SALING MENGGALAKKAN
17. (a) Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak mereka menyediakan komen yang sesuai? (b) Menurut video, apakah empat langkah untuk menyediakan komen? (Lihat nota kaki.)
17 Apakah cara lain kita dapat saling menggalakkan di perjumpaan? Jika anda ialah ibu atau bapa, bantulah anak anda untuk menyediakan komen yang sesuai dengan umur mereka. (Mat. 21:16) Ada kalanya, bahan untuk perbincangan mungkin menyentuh topik yang serius, seperti masalah perkahwinan atau isu moral. Namun dalam bahan sebegitu pun, biasanya ada satu atau dua perenggan yang sesuai untuk kanak-kanak memberikan komen. Selain itu, jelaskan kepada anak anda bahawa mereka tidak semestinya dipanggil setiap kali mereka angkat tangan. Dengan demikian, mereka tidak akan terlalu kecewa semasa orang lain dipilih.—1 Tim. 6:18.d
18. Bagaimanakah kita dapat mengelak daripada menghalakan perhatian kepada diri sendiri semasa memberikan komen? (Amsal 27:2)
18 Kita semua dapat menyediakan komen yang memuliakan Yehuwa dan menggalakkan rakan seiman. (Ams. 25:11) Kadangkala, kita mungkin mengongsi pengalaman peribadi secara ringkas, tetapi kita tidak mahu bercakap terlalu banyak tentang diri sendiri. (Baca Amsal 27:2; 2 Kor. 10:18) Sebaliknya, kita mahu bertumpu kepada Yehuwa, Firman-Nya, dan umat-Nya. (Why. 4:11) Sudah tentu, jika soalan dalam perenggan menjemput kita untuk memberikan pandangan kita, kita patut berbuat demikian. Sebagai contoh, lihat soalan “b” bagi perenggan yang berikutnya.
19. (a) Apakah hasilnya jika kita mengutamakan kepentingan saudara saudari yang menghadiri perjumpaan? (Roma 1:11, 12) (b) Mengapakah anda suka memberikan komen di perjumpaan?
19 Kita memang tidak diberi banyak peraturan tentang cara memberikan komen, tetapi kita semua ingin berusaha untuk memastikan komen kita dapat menggalakkan orang lain. Untuk berbuat demikian, kita mungkin perlu lebih kerap mengangkat tangan. Atau kita mungkin perlu berpuas hati dengan peluang yang kita terima untuk memberikan komen, dan tumpang gembira untuk saudara saudari yang dipanggil untuk memberikan komen. Apabila kita mengutamakan kepentingan saudara saudari yang menghadiri perjumpaan, semua orang akan dapat saling menggalakkan.—Baca Roma 1:11, 12.
LAGU 93 Berkatilah Perjumpaan Kami
a Kita menggalakkan satu sama lain dengan memberikan komen semasa di perjumpaan. Namun, sesetengah orang berasa gementar untuk memberikan komen. Yang lain pula suka memberikan komen tetapi tidak dapat melakukannya dengan sekerap yang diingini. Tidak kira apa situasi kita, bagaimanakah kita dapat memperhatikan satu sama lain supaya semua orang digalakkan? Bagaimanakah kita dapat memberikan komen yang mendorong saudara saudari kita untuk memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik? Rencana ini akan menjelaskan caranya.
b Untuk cadangan tambahan, lihat majalah Menara Pengawal terbitan Januari 2019, ms. 8-13, dan Menara Pengawal dalam bahasa Indonesia, terbitan 1 September 2003, ms. 19-22.
c Sesetengah nama telah diubah.
d Tonton video Jadilah Sahabat Yehuwa—Sediakan Komen di jw.org.
f KETERANGAN GAMBAR: Dalam sebuah sidang yang besar, seorang saudara yang sudah memberikan komen memberi orang lain peluang untuk memberikan komen.