PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w23 Oktober ms. 6-11
  • Adakah Anda “Sedia Mematuhi” Arahan?

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Adakah Anda “Sedia Mematuhi” Arahan?
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2023
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • PATUHILAH IBU BAPA ANDA
  • PATUHILAH “PIHAK BERKUASA”
  • PATUHILAH ARAHAN ORGANISASI YEHUWA
  • Yesus Selalu Taat
    Ajarlah Anak Anda
  • Dengar, Patuh, dan Diberkati
    Nyanyilah kepada Yehuwa
  • Dengar, Patuh, dan Diberkati
    Nyanyi dengan Gembira kepada Yehuwa
  • Kasih Tuhan Kekal Selama-lamanya
    Bernaunglah Di Bawah Kasih Tuhan
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2023
w23 Oktober ms. 6-11

RENCANA PEMBELAJARAN 42

Adakah Anda “Sedia Mematuhi” Arahan?

“Kebijaksanaan yang datang dari syurga . . . sedia mematuhi.”​—YAK. 3:17.

LAGU 101 Kita Bersatu, Sehati Sejiwa

PENGENALANa

1. Mengapakah kita berasa susah untuk mematuhi arahan?

PERNAHKAH anda berasa susah untuk mematuhi arahan? Raja Daud pernah berasa begitu, maka dia berdoa kepada Tuhan, “Bangkitkanlah keinginan dalam diriku untuk mentaati-Mu dengan rela.” (Mzm. 51:12) Biarpun Daud mengasihi Yehuwa, ada kalanya dia masih berasa susah untuk menunjukkan kepatuhan. Kita pun begitu. Mengapa? Pertama, kita mewarisi kecenderungan untuk melawan arahan. Kedua, Syaitan asyik cuba membuat kita memberontak terhadap Yehuwa, seperti yang dilakukannya. (2 Kor. 11:3) Ketiga, kita dikelilingi banyak orang yang dikuasai oleh kecenderungan mental dunia ini yang suka memberontak. (Ef. 2:2) Jadi, kita bukan sahaja perlu melawan kecenderungan yang salah dalam diri kita, tetapi juga perlu melawan pengaruh daripada Syaitan dan dunia jahat ini. Itulah sebabnya kita perlu berusaha keras agar dapat mematuhi Yehuwa dan orang yang diberi kekuasaan oleh-Nya.

2. Apakah maksud “sedia mematuhi”? (Yakobus 3:17)

2 Baca Yakobus 3:17. Di bawah ilham Tuhan, Yakobus berkata bahawa orang yang bijak akan “sedia mematuhi.” Dalam kata lain, kita harus sudi mematuhi orang yang diberi kekuasaan oleh Yehuwa. Sudah tentu, Yehuwa tidak ingin kita mematuhi orang yang menyuruh kita melanggar perintah-Nya.​—Kis. 4:18-20.

3. Mengapakah Yehuwa mahu kita mematuhi orang yang diberi kekuasaan?

3 Kita mungkin berasa lebih mudah untuk mematuhi Yehuwa daripada mematuhi manusia kerana arahan Yehuwa selalu sempurna. (Mzm. 19:7) Meskipun semua manusia tidak sempurna, Yehuwa masih memberi ibu bapa, pegawai kerajaan, dan para penatua kekuasaan dalam hal-hal tertentu. (Ams. 6:20; 1 Tes. 5:12; 1 Ptr. 2:13, 14) Jika kita mematuhi mereka, kita sedang mematuhi Yehuwa. Sekarang, mari kita membincangkan bagaimana kita dapat mematuhi orang yang diberi kekuasaan oleh Yehuwa, biarpun semasa kita berasa bahawa arahan mereka susah untuk difahami atau dipatuhi.

PATUHILAH IBU BAPA ANDA

4. Mengapakah banyak anak muda tidak mematuhi ibu bapa mereka?

4 Yehuwa memberitahu kita, “Selaras dengan kehendak Tuan, patuhilah ibu bapa kamu kerana hal ini benar di mata-Nya.” (Ef. 6:1) Namun, kebanyakan anak-anak berasa susah untuk mengikut kata-kata Yehuwa ini. Mengapa? Anak-anak muda kita dikelilingi oleh rakan sebaya yang “tidak mematuhi ibu bapa.” (2 Tim. 3:1, 2) Sesetengah anak berfikir bahawa ibu bapa mereka cakap tak serupa bikin. Yang lain pula berasa bahawa nasihat ibu bapa mereka sudah ketinggalan zaman, tidak praktikal, atau terlalu mengongkong. Anak-anak muda, adakah anda juga berasa begitu? Apakah yang dapat membantu anda mematuhi ibu bapa?

5. Menurut Lukas 2:46-52, bagaimanakah Yesus memberikan teladan yang terbaik dalam soal mematuhi ibu bapa?

5 Anda dapat belajar untuk mematuhi ibu bapa melalui teladan yang terbaik, iaitu Yesus. (1 Ptr. 2:21-24) Yesus sempurna, sedangkan ibu bapanya tidak. Namun begitu, Yesus menghormati mereka bahkan semasa mereka berbuat silap dan salah faham terhadapnya. (Kel. 20:12) Sebagai contoh, fikirkan apa yang berlaku semasa Yesus berumur 12 tahun. (Baca Lukas 2:46-52.) Setelah membawanya ke Yerusalem untuk menyambut perayaan, Yusuf dan Maria bertolak untuk pulang tanpa menyedari bahawa Yesus tidak ada bersama mereka. Sebenarnya, merekalah yang bertanggungjawab untuk memastikan semua anak mereka ada bersama mereka. Namun, apabila mereka akhirnya menjumpai Yesus, Maria menyalahkan Yesus kerana tidak bertolak bersama mereka. Yesus boleh berkata bahawa merekalah yang melalaikan tanggungjawab mereka, tetapi dia tidak berbuat demikian. Sebaliknya, dia menjawab dengan hormat. Walaupun Yusuf dan Maria “tidak memahami kata-katanya,” Yesus “terus taat kepada mereka.”

6-7. Apakah yang dapat membantu anak muda untuk mematuhi ibu bapa mereka?

6 Anak-anak muda, adakah anda berasa susah untuk mematuhi ibu bapa anda semasa mereka berbuat silap atau salah faham terhadap anda? Apakah yang dapat membantu anda mematuhi mereka? Pertama, fikirkan perasaan Yehuwa. Bible kata bahawa apabila anda mematuhi ibu bapa anda, “hal ini menyenangkan hati Tuan kita.” (Kol. 3:20) Yehuwa tahu bahawa ada kalanya ibu bapa anda tidak memahami perasaan anda atau membuat peraturan yang kurang sesuai. Namun, apabila anda memilih untuk terus mematuhi mereka, hal itu pasti menggembirakan hati Yehuwa.

7 Kedua, fikirkan perasaan ibu bapa anda. Apabila anda mematuhi mereka, anda akan membuat ibu bapa anda gembira dan lebih mempercayai anda. (Ams. 23:22-25) Selain itu, hubungan anda dengan ibu bapa anda akan semakin rapat. Alexandre, seorang saudara dari Belgium, berkata, “Apabila saya semakin kerap mematuhi ibu bapa saya, hubungan kami semakin rapat, dan kami semakin bahagia.”b Ketiga, fikirkan manfaat yang akan anda raih pada kemudian hari jika anda patuh. Paulo, yang tinggal di Brazil, berkata, “Oleh sebab saya sudah belajar untuk mematuhi ibu bapa, hal ini telah membantu saya untuk mematuhi Yehuwa dan orang lain yang diberi kekuasaan.” Bible juga memberi kita satu lagi sebab yang baik untuk mematuhi ibu bapa, iaitu “supaya [kita] hidup sejahtera dan berumur panjang di bumi.”​—Ef. 6:2, 3.

8. Mengapakah banyak anak muda memilih untuk mematuhi ibu bapa mereka?

8 Banyak anak muda telah meraih manfaat apabila mereka mematuhi ibu bapa mereka. Luiza, yang juga dari Brazil, pada mulanya tidak faham mengapa dia tidak dibenarkan memiliki telefon bimbit buat suatu jangka masa. Dia berfikir, “Orang muda yang sebaya dengan saya boleh, tapi mengapa saya tidak boleh?” Baginya, peraturan ibu bapa adalah seperti tali yang menyekat kebebasannya. Tetapi pada kemudian hari, dia sedar bahawa peraturan itu sebenarnya melindunginya. Dia berkata, “Sekarang saya menganggap peraturan ibu bapa saya seperti tali pinggang keledar yang dapat menyelamatkan nyawa saya.” Elizabeth, seorang saudari muda dari Amerika Syarikat, ada kalanya masih berasa susah untuk mematuhi ibu bapanya. Dia menjelaskan, “Jika saya tidak faham kenapa ibu bapa saya membuat suatu peraturan, saya akan fikirkan bagaimana peraturan yang mereka buat dulu telah melindungi saya.” Monica, yang tinggal di Armenia, berkata bahawa apabila dia mematuhi ibu bapanya, dia selalu berasa lebih gembira berbanding masanya dia mengingkari mereka.

PATUHILAH “PIHAK BERKUASA”

9. Apakah pandangan ramai orang terhadap undang-undang?

9 Banyak orang sedar bahawa kita memerlukan pihak kerajaan dan harus mematuhi sesetengah undang-undang yang telah dibuat oleh “pihak berkuasa.” (Rm. 13:1) Namun mereka juga mungkin keberatan untuk mematuhi peraturan yang mereka rasa tidak adil atau menyusahkan. Fikirkan contoh pembayaran cukai. Di sebuah negara Eropah, satu perempat daripada orang yang ditinjau percaya bahawa mereka tidak perlu membayar cukai jika mereka berasa kadar cukai tidak adil. Maka tidak hairanlah rakyat di negara itu hanya membayar dua pertiga daripada kadar cukai yang dikenakan.

Maria duduk di atas keldai dan Yusuf memimpin mereka masuk ke dalam kota Betlehem. Kolaj: 1. Seorang saudara melihat kelajuannya semasa dia nampak tanda had kelajuan jalan raya. 2. Seorang saudara mengisi borang cukai pendapatan. 3. Seorang saudari memakai pelitup muka dan mengekalkan jarak fizikal semasa bercakap dengan doktor di hospital.

Apakah yang kita belajar daripada kepatuhan Yusuf dan Maria? (Lihat perenggan 10-12)c

10. Walaupun kita tidak menyukai sesetengah undang-undang, mengapakah kita masih mematuhinya?

10 Bible menyatakan bahawa kerajaan manusia menyebabkan penderitaan, dikawal oleh Syaitan, dan akan dibinasakan tidak lama lagi. (Mzm. 110:5, 6; Pkh. 8:9; Luk. 4:5, 6) Namun, Bible juga menyatakan bahawa “sesiapa yang menentang pihak berkuasa menentang aturan Tuhan.” Buat masa ini, Yehuwa mengizinkan kerajaan manusia wujud untuk menjaga ketertiban, dan Dia mahu kita mematuhi mereka. Oleh itu, kita mesti ‘memberikan kepada pihak berkuasa apa yang berhak diterima oleh mereka,’ termasuk cukai, penghormatan, dan kepatuhan. (Rm. 13:1-7) Kita mungkin berasa bahawa undang-undang tertentu menyusahkan, merugikan, atau tidak adil. Namun kita patuh kepada Yehuwa, dan Yehuwa mahu kita mematuhi pihak berkuasa selagi mereka tidak menyuruh kita melanggar perintah-Nya.​—Kis. 5:29.

11-12. Menurut Lukas 2:1-6, apakah yang dilakukan oleh Yusuf dan Maria semasa pihak berkuasa mengeluarkan perintah yang menyusahkan? Apakah hasilnya? (Lihat juga gambar.)

11 Perhatikan bagaimana Yusuf dan Maria sedia mematuhi pihak berkuasa biarpun semasa diberi perintah yang menyusahkan. (Baca Lukas 2:1-6.) Apabila Maria sudah mengandung hampir sembilan bulan, Agustus, maharaja Empayar Roma, memerintahkan agar semua rakyatnya dibanci. Untuk mematuhi perintah itu, Yusuf dan Maria perlu membuat perjalanan kira-kira 150 kilometer melalui kawasan yang berbukit ke Betlehem. Perjalanan itu pasti tidak mudah, terutamanya bagi Maria. Yusuf juga mungkin risau tentang keselamatan Maria dan anak dalam rahimnya, yang merupakan Mesias yang dijanjikan. Selain itu, mereka mungkin risau jika Maria tiba-tiba hendak bersalin semasa dalam perjalanan. Adakah Yusuf dan Maria akan menggunakan hal-hal ini sebagai alasan untuk tidak mematuhi perintah tersebut?

12 Walaupun Yusuf dan Maria mungkin risau tentang hal-hal ini, mereka tetap mematuhi perintah raja. Hasilnya, Yehuwa memberkati kepatuhan mereka. Maria sampai ke Betlehem dan melahirkan anaknya dengan selamat. Oleh sebab mereka patuh, mereka telah membantu untuk memenuhi nubuat Bible!​—Mi. 5:2.

13. Bagaimanakah kepatuhan kita membawa manfaat kepada saudara saudari lain?

13 Apabila kita mematuhi pihak berkuasa, kita dan orang lain akan meraih manfaat. Bagaimana? Oleh sebab kita tidak melanggar undang-undang, kita tidak akan dihukum. (Rm. 13:4) Selain itu, sikap kita akan mempengaruhi pandangan pihak berkuasa terhadap Saksi-Saksi Yehuwa. Contohnya, puluhan tahun lalu di Nigeria, askar-askar memasuki Dewan Perjumpaan semasa perjumpaan sedang berlangsung. Mereka ingin mencari orang yang terlibat dalam tunjuk perasaan kerana membantah sistem cukai. Tetapi ketua mereka berkata, “Saksi-Saksi Yehuwa selalu membayar cukai.” Jadi ingatlah, setiap kali anda mematuhi undang-undang, anda dapat mengharumkan nama umat Yehuwa, dan reputasi baik ini mungkin akan melindungi rakan seiman anda suatu hari nanti.​—Mat. 5:16.

14. Apakah yang telah membantu seorang saudari untuk “sedia mematuhi” pihak berkuasa?

14 Namun, kita mungkin masih berasa susah untuk mematuhi pihak berkuasa. Joanna, seorang saudari di Amerika Syarikat berkata, “Sangat susah bagi saya untuk mematuhi pihak kerajaan kerana mereka pernah melayan sesetengah ahli keluarga saya dengan tidak adil.” Tetapi Joanna berusaha keras untuk mengubah pemikirannya. Bagaimana? Pertama, dia tidak lagi membaca maklumat di media sosial yang membuatnya marah terhadap pihak berkuasa. (Ams. 20:3) Kedua, dia berdoa meminta Yehuwa untuk membantunya percaya kepada-Nya, dan bukannya berharap kerajaan manusia akan berubah. (Mzm. 9:9, 10) Ketiga, dia membaca rencana dalam bahan bacaan kita tentang keneutralan. (Yoh. 17:16) Joanna berkata bahawa kini dia berasa “sangat tenang dan puas” kerana mematuhi dan menghormati pihak berkuasa.

PATUHILAH ARAHAN ORGANISASI YEHUWA

15. Mengapakah kita mungkin berasa susah untuk mematuhi arahan yang diberikan oleh organisasi Yehuwa?

15 Yehuwa menyuruh kita untuk ‘mematuhi mereka yang mengambil pimpinan’ dalam sidang. (Ibr. 13:17) Pemimpin kita, Yesus, adalah sempurna, tetapi orang yang dilantiknya untuk mengambil pimpinan pula tidak. Jadi, kita mungkin berasa susah untuk mematuhi mereka, terutamanya apabila mereka menyuruh kita melakukan sesuatu yang kita tidak suka. Fikirkan contoh Petrus. Semasa satu malaikat menyuruhnya memakan binatang yang dianggap najis dalam Hukum Musa, Petrus enggan mematuhinya, bukan sekali, tetapi tiga kali! (Kis. 10:9-16) Mengapa? Bagi Petrus, arahan itu tidak masuk akal, dan sangat berbeza daripada apa yang dilakukannya sejak dahulu. Jika mematuhi arahan daripada malaikat yang sempurna pun sudah mencabar, apatah lagi mematuhi arahan daripada manusia yang tidak sempurna!

16. Biarpun Rasul Paulus mungkin rasa arahan yang diberikan tidak munasabah, apakah yang dilakukannya? (Kisah 21:23, 24, 26)

16 Rasul Paulus “sedia mematuhi” arahan yang mungkin dianggapnya tidak munasabah. Orang Kristian yang berbangsa Yahudi mendengar khabar angin bahawa Paulus mengajar orang untuk “meninggalkan Hukum Musa” dan tidak mematuhinya. (Kis. 21:21) Para penatua di Yerusalem mengarahkan Paulus untuk membawa empat orang lelaki ke Rumah Tuhan lalu menjalankan upacara penyucian bersama mereka. Mereka mahu Paulus berbuat demikian untuk menunjukkan kepada orang bahawa dia tetap hidup selaras dengan Hukum Musa. Namun, Paulus tahu bahawa orang Kristian tidak perlu mematuhi Hukum Musa lagi, dan dia tidak melakukan apa-apa yang salah. Biarpun begitu, Paulus tetap mematuhi arahan yang diberikan. Bible kata, “Pada hari berikutnya, Paulus membawa empat orang itu dan menjalankan upacara penyucian bersama mereka.” (Baca Kisah 21:23, 24, 26.) Sememangnya, kepatuhan Paulus telah menguatkan perpaduan di sidang.​—Rm. 14:19, 21.

17. Apakah yang anda belajar daripada pengalaman Stephanie?

17 Seorang saudari yang bernama Stephanie pernah berasa susah untuk mematuhi arahan pejabat cawangan. Dia dan suaminya berkhidmat dengan gembira dalam kumpulan bahasa asing. Tetapi pejabat cawangan telah menutup kumpulan itu dan menugaskan mereka kembali ke sidang bahasa ibunda mereka. Stephanie mengaku, “Saya sangat kecewa dan saya rasa sidang bahasa ibunda saya tiada keperluan.” Walaupun begitu, Stephanie memilih untuk mengikut arahan daripada pejabat cawangan. Dia berkata, “Kemudian, barulah saya faham bahawa arahan itu memang bijak. Kami dapat menjadi ibu bapa rohani bagi beberapa saudara saudari yang ahli keluarga mereka bukan dalam kebenaran. Saya juga belajar Bible dengan seorang saudari yang baru menjadi aktif semula, dan kini, saya ada lebih banyak masa untuk pembelajaran peribadi.” Stephanie menambah, “Hati nurani saya bersih kerana saya sudah berusaha untuk mematuhi arahan.”

18. Apakah manfaatnya jika kita mematuhi arahan?

18 Kita dapat belajar untuk mematuhi arahan. Bible menyatakan bahawa Yesus “mempelajari kepatuhan melalui penderitaan yang dialaminya.” (Ibr. 5:8) Seperti Yesus, kita juga mempelajari kepatuhan semasa menghadapi situasi yang mencabar. Contohnya, tidak lama selepas pandemik COVID-19 bermula, kita diberi arahan supaya tidak lagi berhimpun di Dewan Perjumpaan dan menginjil dari rumah ke rumah. Adakah anda berasa susah untuk mematuhi arahan itu? Meskipun begitu, anda tetap patuh. Hasilnya, anda dilindungi, anda menyumbang kepada perpaduan dalam sidang, dan anda menggembirakan Yehuwa. Setelah mengharungi cabaran ini, kita sudah lebih bersedia untuk mematuhi apa-apa arahan yang diberikan semasa kesengsaraan besar kelak. Ingatlah, kepatuhan kita akan menentukan hidup mati kita!​—Ayb. 36:11.

19. Mengapakah anda ingin sentiasa sedia mematuhi arahan?

19 Kita sudah belajar bahawa kepatuhan kita membawa berkat yang tidak terhingga. Namun, sebab utama kita mematuhi Yehuwa adalah kerana kita mengasihi-Nya dan ingin menyenangkan hati-Nya. (1 Yoh. 5:3) Kita tidak mungkin dapat membalas segala kebaikan Yehuwa terhadap kita, tetapi kita dapat mematuhi-Nya dan orang yang dilantik-Nya untuk mengambil pimpinan. (Mzm. 116:12) Jika kita patuh, kita menunjukkan bahawa kita bijak, dan orang yang bijak dapat menggembirakan hati Yehuwa.​—Ams. 27:11.

APAKAH YANG AKAN MENDORONG KITA UNTUK MEMATUHI . . .

  • ibu bapa semasa kita muda?

  • “pihak berkuasa”?

  • arahan daripada organisasi Yehuwa?

LAGU 89 Dengar, Patuh, dan Diberkati

a Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita semua ada kalanya berasa susah untuk mematuhi arahan, biarpun arahan itu diberikan oleh orang yang berhak berbuat demikian. Rencana ini akan membincangkan manfaat yang akan kita raih jika kita mematuhi ibu bapa, “pihak berkuasa,” dan mereka yang mengambil pimpinan dalam sidang Kristian.

b Jika anda rasa peraturan ibu bapa anda susah dipatuhi dan ingin membincangkan hal itu bersama mereka, lihatlah cadangan-cadangan dalam rencana “Bagaimanakah Saya Dapat Bercakap kepada Ibu Bapa Saya tentang Peraturan Mereka?” di jw.org.

c KETERANGAN GAMBAR: Yusuf dan Maria mematuhi perintah Kaisar untuk mendaftarkan diri di Betlehem. Dewasa ini, orang Kristian mematuhi undang-undang jalan raya, membayar cukai, dan mengikut garis panduan kesihatan yang ditetapkan oleh “pihak berkuasa.”

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi