RENCANA PEMBELAJARAN 46
Yehuwa Menjamin Bumi Akan Menjadi Firdaus
“Sesiapa di bumi yang memohon berkat bagi dirinya sendiri akan menerima berkat daripada Aku, Tuhan kebenaran.”—YES. 65:16.
LAGU 3 Engkaulah Sumber Kekuatan, Harapan, dan Keyakinan
PENGENALANa
1. Apakah maksud kata-kata Yesaya kepada orang Israel?
NABI YESAYA menyatakan bahawa Yehuwa ialah “Tuhan kebenaran.” Perkataan yang diterjemahkan sebagai “kebenaran” secara harfiah bermaksud “amin.” (Yes. 65:16) “Amin” bermaksud “semoga begitu,” atau “pasti.” Semasa perkataan “amin” digunakan sehubungan dengan Yehuwa atau Yesus, hal ini merupakan suatu jaminan bahawa sesuatu adalah benar. Oleh itu, kata-kata Yesaya kepada orang Israel bermaksud: Segala sesuatu yang dinubuatkan oleh Yehuwa sentiasa boleh dipercayai. Lagipun, Yehuwa telah membuktikan hal itu dengan menunaikan setiap janji-Nya.
2. Mengapakah kita dapat mempercayai janji Yehuwa tentang masa depan, dan apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?
2 Dapatkah kita memiliki keyakinan yang sama terhadap janji Yehuwa tentang masa depan? Sudah tentu. Hampir 800 tahun selepas zaman Yesaya, Rasul Paulus menyatakan bahawa “tidak mungkin Tuhan akan berdusta.” (Ibr. 6:18) Sepertimana mata air yang sama tidak dapat menghasilkan air tawar dan air masin, begitu juga Yehuwa, iaitu Sumber kebenaran, tidak dapat berbohong. Oleh itu, kita dapat mempercayai sepenuhnya segala yang dikatakan oleh Yehuwa, termasuk semua janji-Nya tentang masa depan kita. Dalam rencana ini, kita akan mengkaji dua soalan berikut: Apakah yang dijanjikan oleh Yehuwa tentang masa depan kita? Bagaimanakah Dia meyakinkan kita bahawa janji-Nya akan menjadi kenyataan?
APA YANG DIJANJIKAN YEHUWA?
3. (a) Apakah janji Yehuwa yang sangat bermakna bagi semua hamba-Nya? (Wahyu 21:3, 4) (b) Apakah reaksi sesetengah orang semasa kita mengongsi janji ini dengan mereka?
3 Yehuwa berjanji bahawa “kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi.” (Baca Wahyu 21:3, 4.) Janji ini sangat bermakna bagi semua hamba Tuhan di seluas dunia. Banyak antara kita pernah mengongsi ayat yang menggalakkan ini semasa menginjil. Apakah reaksi sesetengah orang? Mereka mungkin suka mendengar janji ini, namun berasa susah untuk mempercayainya.
4. (a) Apakah yang Yehuwa tahu? (b) Selain memberi kita janji, apa lagi yang dilakukan oleh Yehuwa?
4 Semasa Yehuwa mengilhami Yohanes untuk menulis janji tentang Firdaus, Dia tahu bahawa hari ini, kita akan mengongsi janji ini dengan orang lain. Namun Yehuwa juga tahu bahawa banyak orang akan berasa susah untuk mempercayai janji tentang “hal-hal yang baharu” ini. (Yes. 42:9; 60:2; 2 Kor. 4:3, 4) Jadi, bagaimanakah kita dapat meyakinkan orang lain dan diri sendiri bahawa janji di Wahyu 21:3, 4 akan menjadi kenyataan? Selain memberi kita janji yang menakjubkan ini, Yehuwa juga memberi kita jaminan untuk membantu kita yakin sepenuhnya terhadap janji-Nya. Apakah jaminan yang diberikan oleh Yehuwa?
JAMINAN YEHUWA
5. Ayat Bible manakah yang dapat membantu kita yakin sepenuhnya terhadap janji Yehuwa tentang Firdaus? Apakah yang dinyatakan dalam ayat itu?
5 Di dua ayat yang berikutnya, iaitu di Wahyu 21:5, 6a, Yehuwa memberitahu kita sebabnya kita boleh yakin sepenuhnya terhadap janji-Nya tentang Firdaus. Ayat itu menyatakan, “Dia yang duduk di atas takhta berfirman, ‘Lihatlah! Aku sedang menjadikan semuanya baharu.’ Dia berfirman lagi, ‘Tuliskanlah hal ini, kerana kata-kata ini benar dan dapat dipercayai.’ Kemudian Dia berfirman kepadaku, ‘Hal-hal itu sudah terlaksana! Aku ialah Alfa dan Omega, yang mula dan yang akhir.’”
6. Bagaimanakah jaminan di Wahyu 21:5, 6 menguatkan keyakinan kita terhadap janji Tuhan?
6 Bagaimanakah ayat Bible ini menguatkan keyakinan kita terhadap janji Tuhan? Sebuah buku rujukan Bible menyatakan, “Halnya seolah-olah Yehuwa sendiri menandatangani suatu jaminan, atau surat hak milik, untuk berkat-berkat masa depan bagi manusia yang setia.”b Janji Tuhan tentang masa depan tercatat di Wahyu 21:3, 4. Tetapi kemudian di ayat 5 dan 6, kita nampak “tandatangan” Yehuwa yang merupakan jaminan bahawa janji-Nya dapat dipercayai dengan sepenuhnya. Sekarang, mari kita kaji jaminan Yehuwa ini dengan lebih terperinci.
7. Siapakah yang mengucapkan kata-kata pada awal ayat 5, dan mengapakah hal ini istimewa?
7 Jaminan Tuhan bermula dengan kata-kata berikut: “Dia yang duduk di atas takhta berfirman.” (Why. 21:5a) Kata-kata ini diucapkan oleh Yehuwa. Hal ini istimewa kerana hanya tiga kali Yehuwa sendiri bercakap dalam penglihatan di buku Wahyu. Memandangkan yang memberikan jaminan ini bukanlah malaikat yang berkuasa, atau Yesus yang sudah dibangkitkan, tetapi Yehuwa sendiri, hal ini membuktikan bahawa kita dapat mempercayai apa yang dikatakan oleh Yehuwa selepas itu. Mengapa? Kerana Yehuwa “tidak dapat berdusta.” (Tit. 1:2) Jadi, kata-kata yang tercatat di Wahyu 21:5, 6 benar-benar dapat dipercayai.
“LIHATLAH! AKU SEDANG MENJADIKAN SEMUANYA BAHARU”
8. Apakah yang dikatakan Yehuwa untuk menunjukkan bahawa janji-Nya pasti ditunaikan? (Yesaya 46:10)
8 Sekarang, mari kita perhatikan perkataan “Lihatlah!” (Why. 21:5) Istilah Yunani yang diterjemahkan sebagai “lihatlah!” digunakan berulang kali dalam buku Wahyu. Sebuah buku rujukan menyatakan bahawa perkataan ini digunakan untuk “menarik perhatian pembaca kepada kata-kata yang berikutnya.” Apakah yang dikatakan oleh Yehuwa seterusnya untuk menunjukkan bahawa janji-Nya pasti ditunaikan? Tuhan menyatakan, “Aku sedang menjadikan semuanya baharu.” Biarpun Yehuwa akan menjadikan semuanya baharu pada masa depan, Dia begitu yakin janji-Nya akan ditunaikan sehingga Dia menggunakan perkataan “sedang” untuk menunjukkan bahawa apa yang dijanjikan-Nya seolah-olah sedang berlaku.—Baca Yesaya 46:10.
9. (a) Frasa “menjadikan semuanya baharu” merujuk kepada dua hal apa? (b) Apakah yang akan berlaku kepada “langit” dan “bumi” lama?
9 Mari kita perhatikan frasa yang berikutnya di Wahyu 21:5: “Menjadikan semuanya baharu.” Dalam bab ini, frasa tersebut merujuk kepada dua hal yang akan dilakukan oleh Yehuwa, iaitu menggantikan dan memulihkan. Pertama, apakah yang akan digantikan oleh Yehuwa? Wahyu 21:1 menyatakan, “Langit lama dan bumi lama telah lenyap.” “Langit lama” merujuk kepada kuasa politik yang dikawal oleh Syaitan dan konco-konconya. (Mat. 4:8, 9; 1 Yoh. 5:19) Dalam Bible, perkataan “bumi” boleh merujuk kepada penduduknya. (1 Taw. 16:31; Mzm. 96:1) Jadi, “bumi lama” merujuk kepada masyarakat manusia yang jahat hari ini. Yehuwa tidak akan sekadar mengubahsuai, atau membaiki, “langit” dan “bumi” lama. Sebaliknya, Dia akan melenyapkan dan menggantikannya dengan “langit baharu dan bumi baharu,” yang merujuk kepada kerajaan dan masyarakat manusia yang baharu.
10. Apakah yang akan dipulihkan oleh Yehuwa?
10 Kedua, apakah yang akan dipulihkan oleh Yehuwa? (Why. 21:5) Yehuwa akan memulihkan bumi dan mengubahnya menjadi sebuah taman yang cantik, seperti yang dinubuatkan oleh Yesaya. Yehuwa juga akan memulihkan manusia dan membantu kita mencapai kesempurnaan. Bayangkan keadaan kita masing-masing pada masa itu! Orang yang tempang, buta, dan pekak akan disembuhkan, dan bahkan orang yang mati akan hidup semula.—Yes. 25:8; 35:1-7.
“KATA-KATA INI BENAR DAN DAPAT DIPERCAYAI. . . . HAL-HAL ITU SUDAH TERLAKSANA!”
11. Apakah perintah Yehuwa kepada Yohanes? Apakah sebabnya?
11 Apa lagi yang dikatakan oleh Tuhan untuk membantu kita lebih yakin kepada-Nya? Dia memberitahu Yohanes, “Tuliskanlah hal ini, kerana kata-kata ini benar dan dapat dipercayai.” (Why. 21:5) Yehuwa bukan sahaja memberi Yohanes perintah untuk menulis kata-kata-Nya, tetapi Dia juga memberitahu Yohanes sebabnya, iaitu “kata-kata ini benar dan dapat dipercayai.” Hal ini bermaksud kata-kata Tuhan pasti berlaku. Kita pasti bersyukur Yohanes mematuhi perintah Tuhan dan menulis kata-kata-Nya. Hasilnya, kita dapat baca tentang janji Tuhan mengenai Firdaus dan merenungkan berkat menakjubkan yang menantikan kita.
12. Mengapakah Yehuwa berkata bahawa “hal-hal itu sudah terlaksana”?
12 Apakah yang dikatakan oleh Tuhan seterusnya? Dia berkata, “Hal-hal itu sudah terlaksana!” (Why. 21:6) Sekarang, Tuhan bercakap seolah-olah semua janji-Nya tentang Firdaus sudah menjadi kenyataan. Mengapa? Kerana tiada apa-apa yang dapat menghalang Yehuwa daripada melaksanakan tujuan-Nya. Yehuwa juga memberi kita satu lagi sebab yang meyakinkan kita bahawa janji-Nya pasti menjadi kenyataan. Apakah sebab itu?
“AKU IALAH ALFA DAN OMEGA”
13. Mengapakah Yehuwa berkata, “Aku ialah Alfa dan Omega”?
13 Seperti yang disebut tadi, dalam penglihatan Yohanes, hanya tiga kali Yehuwa sendiri bercakap kepadanya. (Why. 1:8; 21:5, 6; 22:13) Setiap kali, Yehuwa akan berkata, “Aku ialah Alfa dan Omega.” Alfa ialah huruf, atau abjad pertama dalam bahasa Yunani, manakala omega pula ialah abjad terakhir. Dengan menggambarkan diri-Nya sebagai “Alfa dan Omega,” Yehuwa menunjukkan bahawa apabila Dia mula melakukan sesuatu, Dia pasti berjaya menyelesaikannya.
Apabila Yehuwa memulakan sesuatu, Dia pasti menyelesaikannya (Lihat perenggan 14, 17)
14. (a) Berikan satu contoh yang menunjukkan bila Yehuwa seolah-olah mengucapkan abjad “Alfa” dan bila Dia akan mengucapkan abjad “Omega.” (b) Apakah jaminan yang terdapat di Kejadian 2:1-3?
14 Selepas Yehuwa menciptakan Adam dan Hawa, Dia memberitahu kita tujuan asal-Nya bagi manusia dan bumi. Bible menyatakan, “Tuhan memberkati mereka dan berfirman kepada mereka, ‘Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak. Penuhilah bumi, dan hendaklah kamu menguasainya.’” (Kej. 1:28) Pada masa itu, Yehuwa seolah-olah telah mengucapkan abjad “Alfa.” Dia memberitahu manusia tujuan-Nya dengan jelas, iaitu Dia mahu bumi dipenuhi dengan keturunan Adam dan Hawa yang sempurna dan taat, dan mereka akan mengubah seluruh bumi menjadi sebuah Firdaus. Apabila hal itu berlaku, Yehuwa seolah-olah akan mengucapkan abjad “Omega.” Setelah menciptakan “segala sesuatu di langit dan di bumi,” Yehuwa melakukan sesuatu untuk menjamin bahawa tujuan-Nya pasti tercapai. Perhatikan apa yang tercatat di Kejadian 2:1-3. (Baca.) Selepas enam hari penciptaan, Yehuwa menyatakan bahawa hari ketujuh ialah hari yang suci. Apakah maksudnya? Dia mengekhaskan hari itu untuk melaksanakan tujuan-Nya. Dengan berbuat demikian, Yehuwa menjamin bahawa tidak kira apa yang berlaku, tujuan-Nya bagi manusia dan bumi pasti tercapai pada akhir tempoh masa itu.
15. Mengapakah Syaitan nampaknya berjaya menghalang tujuan asal Tuhan bagi manusia dan bumi?
15 Selepas Adam dan Hawa memberontak, mereka telah mewariskan dosa dan kematian kepada keturunan mereka. (Rm. 5:12) Apabila hal itu berlaku, nampaknya seperti Syaitan berjaya menghalang tujuan asal Tuhan bagi manusia dan bumi, dan Yehuwa tidak dapat berkata, “Omega.” Syaitan mungkin berfikir bahawa Yehuwa tidak ada banyak pilihan. Satu pilihan adalah untuk memusnahkan Adam dan Hawa dan mencipta semula pasangan baharu yang sempurna. Namun jika Tuhan berbuat demikian, Syaitan akan menuduh bahawa Tuhan ialah pendusta. Mengapa? Kerana seperti yang tercatat di Kejadian 1:28, Yehuwa sudah memberitahu Adam dan Hawa bahawa keturunan mereka akan memenuhi bumi.
16. Apa lagi yang mungkin difikirkan oleh Syaitan?
16 Syaitan juga mungkin berfikir bahawa biarpun Tuhan mengizinkan Adam dan Hawa beranak cucu, tiada seorang pun daripada keturunan mereka yang dapat menjadi sempurna. (Pkh. 7:20; Rm. 3:23) Jika hal itu berlaku, Syaitan pasti dapat menuduh bahawa tujuan Tuhan sudah gagal. Mengapa? Kerana tujuan asal Tuhan adalah untuk memenuhi bumi dengan keturunan Adam dan Hawa yang sempurna dan taat.
17. Bagaimanakah Yehuwa menyelesaikan pemberontakan Syaitan dan pasangan manusia yang pertama? Apakah yang akan berlaku pada akhir Pemerintahan Seribu Tahun Kristus? (Lihat juga gambar.)
17 Cara Yehuwa menyelesaikan pemberontakan Syaitan dan pasangan manusia yang pertama pasti membuat Syaitan terbungkam. (Mzm. 92:5) Yehuwa mengizinkan Adam dan Hawa untuk mempunyai anak cucu. Tetapi untuk memastikan tujuan asal-Nya tercapai, Yehuwa menyediakan satu ‘keturunan’ yang dapat menyelamatkan semua keturunan Adam dan Hawa yang taat. Dengan demikian, Yehuwa menunjukkan bahawa tiada apa-apa yang dapat menghalang-Nya daripada melaksanakan tujuan-Nya. (Kej. 3:15; 22:18) Aturan Yehuwa untuk menyediakan korban tebusan pasti tidak terlintas di fikiran Syaitan. Mengapa? Kerana aturan itu berdasarkan kasih yang tidak mementingkan diri. (Mat. 20:28; Yoh. 3:16) Syaitan tidak mempunyai kasih dan dia mementingkan diri. Jadi apakah yang akan berlaku selepas korban tebusan disediakan? Pada akhir Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, keturunan Adam dan Hawa yang sempurna dan taat akan memenuhi bumi Firdaus, tepat seperti tujuan asal Tuhan. Pada masa itu, Yehuwa akan seolah-olah berkata, “Omega.”
BAGAIMANA KITA DAPAT MENGUATKAN KEYAKINAN TERHADAP JANJI TENTANG FIRDAUS
18. Apakah tiga sebab yang diberikan oleh Tuhan untuk mempercayai janji-Nya? (Lihat juga kotak “Tiga Sebab untuk Mempercayai Janji Yehuwa.”)
18 Bagaimanakah kita dapat meyakinkan orang lain bahawa bumi akan menjadi sebuah Firdaus? Dalam rencana ini, kita sudah belajar tiga sebab. Pertama, Yehuwa sendiri yang membuat janji ini. Buku Wahyu menyatakan, “Dia yang duduk di atas takhta berfirman, ‘Lihatlah! Aku sedang menjadikan semuanya baharu.’” Yehuwa memiliki kebijaksanaan, kuasa, dan keinginan untuk menunaikan janji-Nya. Kedua, Yehuwa begitu yakin janji-Nya pasti ditunaikan sehingga Dia berkata bahawa hal itu sudah berlaku. Yehuwa berkata, “Kata-kata ini benar dan dapat dipercayai. . . . Hal-hal itu sudah terlaksana!” Ketiga, apabila Yehuwa memulakan sesuatu, tiada apa-apa yang dapat menghalang-Nya daripada mencapai tujuan-Nya. Itulah sebabnya Yehuwa berkata, “Aku ialah Alfa dan Omega.” Ya, Yehuwa akan membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta.
19. Jika orang tidak mempercayai janji tentang Firdaus, apakah yang dapat anda lakukan?
19 Ingatlah, setiap kali anda mengongsi jaminan Tuhan dengan orang semasa menginjil, anda sedang menguatkan keyakinan sendiri terhadap janji Yehuwa. Jika orang tidak mempercayai janji tentang Firdaus yang digambarkan di Wahyu 21:4, anda dapat membaca dan menjelaskan ayat 5 dan 6 kepada mereka. Dengan demikian, anda dapat menunjukkan bahawa Tuhan seolah-olah telah menurunkan tandatangan pada janji-Nya dan menjamin bahawa janji-Nya pasti ditunaikan.—Yes. 65:16.
LAGU 145 Firdaus yang Dijanjikan Tuhan
a Dalam rencana ini, kita akan membincangkan jaminan, atau bukti, yang menunjukkan bahawa janji Yehuwa tentang Firdaus pasti akan menjadi kenyataan. Setiap kali kita mengongsi jaminan ini dengan orang lain, kepercayaan kita terhadap janji Yehuwa akan semakin kukuh.