Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
4-10 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KEJADIAN 36-37
“Yusuf Menjadi Mangsa Kecemburuan”
(Kejadian 37:3, 4) Israel lebih menyayangi Yusuf daripada anak-anaknya yang lain, kerana Yusuf dilahirkan ketika dia sudah tua. Dia mengambil sehelai jubah yang istimewa lalu memberikannya kepada Yusuf. 4 Ketika abang-abang Yusuf nampak bahawa bapa mereka lebih menyayangi Yusuf daripada mereka semua, mereka mula membencinya dan tidak mahu bercakap baik-baik dengannya.
“Dengarlah Mimpiku”
Bible menyatakan, “Ketika abang-abang Yusuf nampak bahawa bapa mereka lebih menyayangi Yusuf daripada mereka semua, mereka mula membencinya dan tidak mahu bercakap baik-baik dengannya.” (Kejadian 37:4) Abang-abang Yusuf mungkin ada sebab untuk berasa cemburu, tetapi mereka tidak patut membiarkan perasaan itu berakar dalam hati mereka. (Amsal 14:30; 27:4) Pernahkah anda berasa iri hati apabila orang lain mendapat perhatian atau penghormatan yang anda inginkan? Ingatlah akan contoh abang-abang Yusuf. Oleh sebab mereka cemburu, mereka telah melakukan perkara-perkara yang dikesali mereka. Hal ini mengingatkan kita bahawa tindakan yang lebih bijak adalah untuk ‘bersukacita bersama orang yang bersukacita.’—Roma 12:15.
Yusuf pasti dapat merasai kebencian abang-abangnya. Jadi, adakah dia menyembunyikan jubahnya daripada abang-abangnya? Dia mungkin ingin berbuat demikian. Tetapi, ingatlah bahawa Yakub memberi Yusuf jubah itu sebagai tanda kasihnya. Yusuf tidak ingin membuat bapanya kecewa, jadi dia terus memakai jubah itu. Apakah yang dapat kita pelajari daripada tindakan Yusuf? Bapa kita di syurga tidak berat sebelah, tetapi kadangkala Dia akan memberikan peluang atau berkat istimewa kepada hamba-Nya. Selain itu, Tuhan menyuruh hamba-hamba-Nya agar tidak mengikut haluan dunia yang jahat dan tidak bermoral. Seperti jubah istimewa Yusuf, kelakuan orang Kristian sejati membezakan mereka daripada orang di sekeliling mereka. Hal ini mungkin menyebabkan orang lain membenci dan cemburu terhadap mereka. (1 Petrus 4:4) Oleh itu, patutkah orang Kristian menyembunyikan identiti mereka sebagai hamba Tuhan? Sepertimana Yusuf tidak menyembunyikan jubahnya, orang Kristian juga tidak patut menyembunyikan identiti mereka.—Lukas 11:33.
(Kejadian 37:5-9) Pernah sekali, Yusuf bermimpi lalu menceritakan mimpinya kepada abang-abangnya. Hal itu membuat mereka bertambah benci terhadap dia. 6 Yusuf berkata kepada mereka, “Dengarlah mimpiku. 7 Aku nampak kita sedang mengikat gandum di tengah ladang. Kemudian, berkas gandumku berdiri tegak, dan berkas-berkas gandum kamu mengelilingi berkas gandumku lalu sujud kepada berkas gandumku.” 8 Abang-abangnya berkata, “Adakah kamu akan menjadi raja dan berkuasa atas kami?” Oleh itu, mereka semakin membenci Yusuf kerana mimpi dan kata-katanya. 9 Kemudian dia bermimpi lagi lalu dia menceritakan mimpinya kepada abang-abangnya, “Aku bermimpi lagi. Kali ini matahari, bulan, dan 11 bintang bersujud kepadaku.”
(Kejadian 37:11) Abang-abangnya berasa iri hati terhadapnya, tetapi bapanya tetap memikirkan kata-katanya.
“Dengarlah Mimpiku”
Kedua-dua mimpi itu ialah nubuat daripada Tuhan Yehuwa, dan Tuhan ingin Yusuf memberitahu orang lain tentang tafsiran mimpi itu. Pada kemudian hari, para nabi juga menyampaikan mesej dan penghakiman Tuhan kepada umat-Nya yang tidak setia.
Yusuf berkata kepada abang-abangnya, “Dengarlah mimpiku.” Mereka memahami maksud mimpi itu, tetapi mereka amat tidak gembira. Mereka berkata, “Adakah kamu akan menjadi raja dan berkuasa atas kami?” Kemudian Bible menyatakan, “Oleh itu, mereka semakin membenci Yusuf kerana mimpi dan kata-katanya.” Apabila Yusuf menceritakan mimpi yang kedua kepada bapanya Yakub dan abang-abangnya, mereka juga tidak menyukainya. Yakub menegur Yusuf, “Apakah maksud mimpi kamu itu? Adakah aku, ibumu, dan adik-beradikmu akan datang dan sujud kepadamu?” Biarpun begitu, Yakub terus merenungkan erti mimpi itu. Dia mungkin tertanya-tanya sama ada Yehuwa berfirman melalui Yusuf.—Kejadian 37:6, 8, 10, 11.
Yusuf telah dianiaya kerana dia menyampaikan mesej yang tidak disukai ramai. Hamba-hamba Yehuwa yang lain juga mengalami hal yang sama. Salah seorang daripada mereka ialah Yesus. Yesus berkata kepada pengikutnya, “Jika mereka telah menganiaya aku, mereka akan menganiaya kamu juga.” (Yohanes 15:20) Tidak kira tua atau muda, semua orang Kristian dapat meniru teladan Yusuf dan menunjukkan iman dan keberanian.
Mencari Permata Rohani
(Kejadian 36:1) Inilah senarai keturunan Esau, yang juga disebut Edom.
it-1 624
Edom
[Merah]
Edom ialah nama atau panggilan lain bagi Esau, iaitu kembar Yakub. (Kej 36:1) Dia mendapat nama ini kerana dia telah menjual haknya sebagai anak sulung untuk mendapatkan semangkuk bubur kacang merah. (Kej 25:30-34) Lagipun, tubuh Esau berwarna kemerah-merahan sewaktu dia dilahirkan (Kej 25:25), dan tempat yang didiami oleh dia dan keturunannya juga mempunyai tanah yang berwarna merah.
(Kejadian 37:29-32) Apabila Ruben kembali ke lubang itu dan tidak menjumpai Yusuf di situ, dia mengoyakkan pakaiannya kerana sedih. 30 Ruben balik kepada adik-adiknya dan berkata, “Anak itu sudah hilang! Apakah yang harus aku lakukan sekarang” 31 Maka mereka menyembelih seekor kambing jantan dan mencelup jubah Yusuf ke dalam darah kambing itu. 32 Selepas itu, mereka mengirimkan jubah yang istimewa itu kepada bapa mereka dan berkata, “Kami jumpa jubah ini. Tolonglah periksa sama ada jubah ini milik anak ayah atau tidak.”
it-2 1052-1053
Hak Penjagaan
Apabila seorang gembala atau penjaga kawanan berkata bahawa dia akan menjaga atau mengawal sebuah kawanan, dia sedang menyatakan bahawa dia bertanggungjawab atas kawanan itu secara sah. Dia memberikan jaminan kepada pemilik kawanan bahawa kawanan itu akan mendapat makanan yang mencukupi dan dilindungi daripada pencuri. Jika dia gagal menjalankan tanggungjawab itu, dia harus membayar pampasan. Tetapi menurut hukum, dia tidak perlu bertanggungjawab atas situasi yang berlaku di luar kawalannya, seperti serangan binatang liar. Namun, dia harus menunjukkan bukti, seperti bangkai binatang, agar dapat dibebaskan daripada tanggungjawabnya. Setelah pemilik kawanan memeriksa bukti tersebut, dia harus menyatakan bahawa penjaga itu tidak bersalah.
Prinsip yang sama diterapkan atas hak menjaga harta benda, termasuk ahli keluarga. Contohnya, menurut hukum, anak lelaki yang sulung dianggap sebagai penjaga sah adik-adiknya. Hal ini membantu kita memahami catatan di Kejadian 37:18-30, yang menyatakan reaksi Ruben apabila dia mengetahui bahawa adik-adiknya berkomplot untuk membunuh Yusuf. ‘Dia berkata, “Janganlah kita membunuhnya, janganlah kita menumpahkan darahnya, dan janganlah mencederakannya.” Ruben berkata begitu kerana dia merancang untuk menyelamatkan Yusuf dan menghantarnya pulang kepada bapanya.’ Apabila Ruben mendapat tahu bahawa Yusuf sudah tiada, dia menjadi sangat risau sehingga “dia mengoyakkan pakaiannya kerana sedih.” Dia berkata, “Anak itu sudah hilang! Apakah yang harus aku lakukan sekarang?” Dia tahu bahawa dia bertanggungjawab atas apa yang berlaku kepada Yusuf. Jadi mereka membuat bukti palsu yang menunjukkan bahawa Yusuf seolah-olah telah dibunuh binatang liar. Mereka mencelup jubah Yusuf ke dalam darah kambing dan memberikannya kepada Yakub sebagai bukti. Selaku ketua keluarga dan hakim, Yakub melihat bukti itu dan menyimpulkan bahawa Yusuf telah dibunuh oleh binatang liar. Maka, Ruben tidak bersalah atas kematian Yusuf.—Kej 37:31-33.
Kehidupan Kristian Kita
g17.5 6
Cara Menjaga Keselamatan Semasa Bencana Melanda
APAKAH YANG PERLU ANDA SEDIAKAN?
Organisasi pengurusan bencana menggalakkan orang untuk menyimpan bekalan kecemasan dan memeriksanya setiap tahun. Bekalan yang diperlukan bergantung pada lokasi dan keadaan anda. Maka tanyalah organisasi pengurusan bencana di kawasan anda untuk menentukan bekalan yang perlu disediakan.
Biasanya anda disarankan untuk menyimpan sekurang-kurangnya 11 liter air minum bagi setiap orang dan makanan yang secukupnya untuk tiga hari. Makanan itu haruslah tidak mudah rosak dan sedia dimakan.
Sesetengah keluarga juga menyediakan beg kecemasan dengan barangan berikut:
• Selimut, satu set pakaian, dan kasut yang tahan lasak
• Lampu suluh, radio (yang menggunakan bateri atau windup), dan bateri tambahan
• Kit kecemasan dan wisel untuk meminta bantuan
• Sudu, garpu, pembuka tin, pisau lipat serbaguna, dan mancis kalis air
• Topeng habuk, pita kalis air, dan helaian plastik untuk membina khemah
• Berus gigi, sabun, tuala, dan tisu
• Barang penjagaan anak, orang tua, atau orang kurang upaya
• Bekas kalis air yang mengandungi ubat-ubatan, salinan preskripsi ubat, dan dokumen-dokumen penting yang lain
• Senarai nombor telefon yang boleh dihubungi semasa kecemasan, senarai tempat berkumpul, dan peta tempatan
• Kad kredit dan wang tunai
• Set tambahan kunci rumah dan kunci kereta
• Kertas, pensel, buku, dan alat permainan untuk kanak-kanak
• Bible
Bukan semua barang dalam senarai ini sesuai dengan lokasi dan kawasan anda. Anda mungkin perlu menyediakan barang-barang lain.
11-17 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KEJADIAN 38-39
“Yehuwa Tidak Pernah Meninggalkan Yusuf”
(Kejadian 39:1) Yusuf dibawa oleh orang Ismael ke Mesir, lalu dijual kepada seorang lelaki Mesir yang bernama Potifar. Dia ialah seorang pegawai Firaun yang merupakan ketua pengawal istana.
“Bagaimana Mungkin Aku Melakukan Perbuatan Sejahat Ini?”
“Yusuf dibawa oleh orang Ismael ke Mesir, lalu dijual kepada seorang lelaki Mesir yang bernama Potifar. Dia ialah seorang pegawai Firaun yang merupakan ketua pengawal istana.” (Kejadian 39:1) Dengan menggunakan beberapa kata sahaja, Bible membantu kita untuk membayangkan hinaan yang dialami oleh pemuda ini. Dia telah dijual beli seperti barangan! Bayangkanlah Yusuf mengikut tuannya seraya mereka menyusuri jalan-jalan kota dan melalui pasar yang sesak dengan orang. Setelah beberapa waktu, Yusuf sampai di rumah baharunya.
Rumah ini jauh berbeza daripada rumah yang didiami keluarga Yusuf. Sejak kecil lagi, Yusuf sering berpindah-randah dengan keluarganya. Mereka tinggal di dalam khemah dan menggembala biri-biri. Tetapi orang kaya di Mesir seperti Potifar tinggal di dalam rumah mewah yang berwarna terang. Ahli arkeologi menyatakan bahawa orang Mesir kuno suka tinggal dalam rumah yang mempunyai taman bunga yang dikelilingi tembok. Di dalam taman bunga itu, terdapat pokok-pokok yang rendang dan kolam air yang ditanam dengan papirus, teratai, dan tumbuhan air yang lain. Ada rumah yang dikelilingi taman bunga dan dilengkapi beranda untuk menikmati angin yang bertiup, jendela yang tinggi untuk peredaran udara, dan banyak bilik, termasuk sebuah bilik makan yang besar dan tempat tinggal bagi pekerja.
(Kejadian 39:12-14) Isteri Potifar menarik baju Yusuf dan berkata, “Tidurlah dengan aku!” Yusuf melarikan diri ke luar, tetapi bajunya tertinggal di tangan wanita itu. 13 Sebaik sahaja wanita itu nampak bahawa Yusuf telah melarikan diri dan bajunya tertinggal, 14 dia mula berteriak kepada hamba-hambanya, “Lihat! Orang Ibrani yang dibawa oleh suami aku menghina kita. Dia datang kepada aku untuk merogol aku, tetapi aku menjerit dengan sekuat hati.
(Kejadian 39:20) Dia menangkap Yusuf dan memasukkannya ke dalam penjara. Penjara itu merupakan tempat raja mengurung tahanan, dan di situlah Yusuf ditahan.
“Bagaimana Mungkin Aku Melakukan Perbuatan Sejahat Ini?”
Kita hanya tahu sedikit sebanyak tentang penjara pada zaman Mesir kuno. Ahli arkeologi telah menemui reruntuhan beberapa buah penjara dan mendapati bahawa tempat-tempat itu adalah seperti sebuah kubu besar yang mempunyai bilik-bilik kurungan bawah tanah. Sewaktu Yusuf menggambarkan keadaannya dalam penjara, dia menggunakan perkataan Ibrani yang menggambarkan sebuah tempat yang gelap dan tiada harapan. (Kejadian 40:15) Dalam buku Mazmur, kita mendapati bahawa Yusuf telah diseksa semasa di dalam penjara. Ayat itu menyatakan, “Kakinya diikat dengan rantai, dan lehernya dibelenggu dengan rantai besi.” (Mazmur 105:17, 18) Kadangkala orang Mesir akan menarik tangan banduan ke belakang dan mengikatnya di bahagian siku. Mereka juga mungkin memasang gelang besi pada leher banduan. Walaupun Yusuf tidak bersalah, dia terpaksa menanggung penderitaan ini.
Yusuf bukan hanya dipenjarakan selama dua atau tiga hari. Bible menyatakan bahawa dia telah dipenjarakan selama bertahun-tahun. Dia tidak tahu bila dia akan dibebaskan. Hari demi hari berlalu, musim bersilih ganti, tetapi keadaan Yusuf masih tidak berubah. Biarpun begitu, Yusuf tidak hilang harapan. Mengapa?
Bible memberitahu kita sebabnya: “Yehuwa terus menyertai Yusuf dan menunjukkan kasih setia kepadanya.” (Kejadian 39:21) Tiada apa-apa pun, baik tembok penjara, mahupun rantai besi atau bilik kurungan bawah tanah, yang dapat memisahkan hamba Tuhan daripada kasih setia Yehuwa. (Roma 8:38, 39) Kita dapat membayangkan bagaimana Yusuf mencurahkan isi hatinya kepada Bapanya di syurga melalui doa, dan Tuhan mengurniakan kelegaan hati dan ketenangan jiwa kepadanya. (2 Korintus 1:3, 4; Filipi 4:6, 7) Selain itu, bagaimanakah Yehuwa membantu Yusuf? Bible menyatakan bahawa Yehuwa terus memberkati Yusuf sehingga dia “disenangi oleh ketua penjara.”
(Kejadian 39:21-23) Tetapi Yehuwa terus menyertai Yusuf dan menunjukkan kasih setia kepadanya sehingga dia disenangi oleh ketua penjara. 22 Ketua penjara itu menugaskan Yusuf untuk mengurus semua tahanan di dalam penjara itu. Yusuf bertanggungjawab atas segala pekerjaan yang dilakukan oleh mereka di dalam penjara. 23 Ketua penjara itu langsung tidak risau tentang hal-hal yang dipercayakan kepada Yusuf, kerana Yehuwa menyertai Yusuf dan Yehuwa membuat Yusuf berjaya dalam segala pekerjaannya.
“Bagaimana Mungkin Aku Melakukan Perbuatan Sejahat Ini?”
Bible memberitahu kita sebabnya: “Yehuwa terus menyertai Yusuf dan menunjukkan kasih setia kepadanya.” (Kejadian 39:21) Tiada apa-apa pun, baik tembok penjara, mahupun rantai besi atau bilik kurungan bawah tanah, yang dapat memisahkan hamba Tuhan daripada kasih setia Yehuwa. (Roma 8:38, 39) Kita dapat membayangkan bagaimana Yusuf mencurahkan isi hatinya kepada Bapanya di syurga melalui doa, dan Tuhan mengurniakan kelegaan hati dan ketenangan jiwa kepadanya. (2 Korintus 1:3, 4; Filipi 4:6, 7) Selain itu, bagaimanakah Yehuwa membantu Yusuf? Bible menyatakan bahawa Yehuwa terus memberkati Yusuf sehingga dia “disenangi oleh ketua penjara.”
Mencari Permata Rohani
(Kejadian 38:9, 10) Tetapi Onan tahu bahawa keturunan itu tidak akan menjadi keturunannya. Oleh itu, apabila dia bersetubuh dengan balu abangnya, dia membiarkan air maninya meleleh ke tanah supaya abangnya tidak mempunyai keturunan. 10 Tetapi apa yang dilakukan oleh Onan jahat di mata Yehuwa, maka Dia membunuhnya.
it-2 250-251
Onan
[Daripada kata dasar yang bererti “kekuatan untuk menghasilkan keturunan”].
Anak lelaki Yehuda yang kedua yang dilahirkan oleh anak perempuan Sua, seorang Kanaan. (Kej 38:2-4; 1Ta 2:3) Abang Onan, Er, telah dibunuh oleh Yehuwa sebelum dia sempat mempunyai anak. Maka Yehuda menyuruh Onan untuk mengahwini balu Er, Tamar, dan melahirkan keturunan bagi Er. Jika Tamar melahirkan anak lelaki, anak itu akan menjadi pewaris Er, dan bukannya pewaris Onan. Tetapi, jika Er tidak mempunyai pewaris, Onan akan mendapat harta warisan untuk anak sulung. Apabila Onan bersetubuh dengan Tamar, “dia membiarkan air maninya meleleh ke tanah.” Hal ini tidak bererti bahawa Onan sedang melancap kerana Bible menyatakan “apabila dia bersetubuh dengan balu abangnya, dia membiarkan air maninya meleleh ke tanah.” Nampaknya, Onan sengaja berbuat demikian supaya air maninya tidak memasuki alat kelamin Tamar. Maka, Tuhan membunuh Onan, bukan kerana dia melancap, tetapi kerana dia tamak, tidak mematuhi ayahnya, dan melanggar aturan perkahwinan yang ditetapkan oleh Tuhan. Onan juga tidak sempat mempunyai anak kerana dia dibunuh oleh Yehuwa.—Kej 38:6-10; 46:12; Bil 26:19.
(Kejadian 38:15-18) Ketika Yehuda nampak Tamar, dia sangka wanita itu seorang pelacur kerana mukanya ditutup. 16 Lalu Yehuda menghampirinya di pinggir jalan dan berkata, “Izinkan aku menidurimu.” Dia tidak tahu wanita itu ialah menantunya. Tamar menjawab, “Apa yang akan tuan berikan kepadaku untuk tidur dengan aku?” 17 Lalu Yehuda berkata, “Aku akan menghantar seekor anak kambing daripada kawananku.” Tetapi Tamar bertanya, “Apa yang akan tuan berikan sebagai jaminan sebelum tuan menghantar kambing itu kepadaku?” 18 Yehuda menjawab, “Apa yang kamu mahu sebagai jaminan?” Tamar berkata, “Cincin mohor tuan dan talinya serta tongkat yang ada di tangan tuan.” Maka Yehuda memberikan benda-benda itu kepadanya. Kemudian mereka bersetubuh dan Tamar pun hamil.
w04 15/1 30 per. 4-5
Pertanyaan Pembaca
Yehuda berbuat salah kerana dia tidak mengahwinkan Tamar dengan anaknya Selah seperti yang telah dijanjikannya. Dia juga bersetubuh dengan seorang wanita yang disangkanya pelacur kuil. Perbuatannya bertentangan dengan kehendak Tuhan kerana seorang lelaki hanya boleh bersetubuh dengan isterinya. (Kejadian 2:24) Tetapi Yehuda sebenarnya tidak bersetubuh dengan seorang pelacur. Tanpa disedarinya, dia telah mengambil alih kewajipan anaknya Selah, iaitu untuk mengahwini balu Er dan melahirkan seorang pewaris yang sah.
Tamar tidak melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Anak lelaki kembar yang dilahirkannya tidak dianggap sebagai anak luar nikah. Perez, iaitu anak Tamar, telah dipuji para pemimpin di Betlehem. Sewaktu Boaz menjalankan kewajipannya dengan mengahwini balu saudaranya, iaitu seorang wanita Moab yang bernama Rut, para pemimpin itu berkata kepada Boaz, “Semoga Yehuwa mengurniakan keturunan kepadamu melalui wanita ini dan menjadikan keluargamu seperti keluarga Perez, iaitu anak Tamar dan Yehuda.” (Rut 4:12) Perez juga disenaraikan sebagai nenek moyang Yesus Kristus.—Matius 1:1-3; Lukas 3:23-33.
18-24 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KEJADIAN 40-41
“Yehuwa Menyelamatkan Yusuf”
(Kejadian 41:9-13) Ketika itu, ketua pengurus minuman berkata kepada Firaun, “Pada hari ini, hamba ingin mengakui kesalahan hamba. 10 Dahulu tuanku Firaun marah kepada hamba dan ketua pengurus roti. Oleh itu, tuanku memasukkan hamba berdua ke dalam penjara di rumah ketua pengawal istana. 11 Pada suatu malam, hamba berdua bermimpi, dan mimpi hamba berdua mempunyai erti tersendiri. 12 Bersama hamba berdua terdapat seorang pemuda Ibrani yang merupakan hamba kepada ketua pengawal istana. Setelah hamba berdua menceritakan mimpi masing-masing, dia menjelaskan erti mimpi-mimpi itu. 13 Apa yang dijelaskan olehnya benar-benar berlaku. Jawatan hamba dikembalikan, tetapi pengurus roti digantungkan pada tiang.”
“Hanya Tuhan yang Membolehkan Orang Mentafsirkan Mimpi”
Pengurus minuman itu mungkin telah melupakan Yusuf, tetapi Yehuwa tidak. Pada waktu malam, Tuhan memberikan dua mimpi yang aneh kepada Firaun. Dalam mimpi pertama, Firaun nampak tujuh ekor lembu yang gemuk dan sihat keluar dari Sungai Nil, diikuti dengan tujuh ekor lembu yang kurus dan buruk rupanya. Lembu-lembu yang kurus itu memakan lembu-lembu yang gemuk itu. Kemudian dalam mimpi kedua, Firaun nampak tujuh bulir gandum yang sihat dan berisi tumbuh pada satu tangkai, lalu tumbuh pula tujuh bulir gandum yang kurus dan layu. Bulir-bulir gandum yang kurus itu menelan bulir-bulir gandum yang sihat dan berisi itu. Keesokan paginya, Firaun terjaga daripada mimpi-mimpi itu dan berasa gelisah. Maka dia memanggil semua imam di Mesir yang mengamalkan ilmu sihir dan juga semua orang yang berilmu untuk menjelaskan erti mimpi-mimpi itu kepadanya. Tetapi mereka semua gagal. (Kejadian 41:1-8) Adakah mereka bingung atau mempunyai pendapat yang berbeza-beza tentang mimpi itu? Kita tidak tahu. Tetapi yang pastinya, Firaun kecewa dengan mereka dan sangat ingin memahami erti mimpi-mimpinya.
Akhirnya pengurus minuman itu ingat akan Yusuf! Dia rasa bersalah maka dia memberitahu Firaun tentang pemuda itu yang telah mentafsir mimpinya dan mimpi pengurus roti dengan tepat sewaktu mereka dipenjarakan dua tahun lalu. Dengan segera, Firaun mengutus orang untuk memanggil Yusuf dari penjara.—Kejadian 41:9-13.
(Kejadian 41:16) Yusuf menjawab, “Tuanku, bukan hamba melainkan Tuhan yang dapat memberikan tafsiran yang baik bagi tuanku.”
(Kejadian 41:29-32) “Selama tujuh tahun, seluruh negeri Mesir akan melimpah-limpah dengan makanan. 30 Selepas itu, kebuluran akan berlaku selama tujuh tahun, dan negeri Mesir akan menjadi tandus. Masa kelimpahan makanan itu akan dilupakan sama sekali. 31 Kebuluran yang akan melanda itu sangat dahsyat, sehingga tiada seorang pun yang akan ingat bahawa pernah ada kelimpahan makanan di negeri ini. 32 Tuanku bermimpi dua kali kerana Tuhan yang benar sudah menentukan bahawa hal ini pasti berlaku, dan Dia akan melaksanakannya dengan segera.
“Hanya Tuhan yang Membolehkan Orang Mentafsirkan Mimpi”
Yehuwa suka orang yang rendah hati dan setia kepada-Nya. Maka tidak hairanlah Dia memberikan kebolehan mentafsir mimpi kepada Yusuf, dan bukannya kepada imam dan orang yang berilmu. Yusuf memberitahu Firaun bahawa kedua-dua mimpinya mempunyai erti yang sama. Tujuh ekor lembu yang gemuk dan tujuh bulir gandum yang sihat melambangkan bahawa Mesir akan melimpah-limpah dengan makanan selama tujuh tahun. Tujuh ekor lembu yang kurus dan tujuh bulir gandum yang tidak berisi pula melambangkan bahawa Mesir akan mengalami kebuluran yang dahsyat selama tujuh tahun yang berikutnya sehingga seluruh negeri itu akan menjadi tandus. Dengan memberi Firaun dua mimpi yang mempunyai erti yang sama, Tuhan menegaskan bahawa hal itu “pasti berlaku.”—Kejadian 41:25-32.
(Kejadian 41:38-40) Maka Firaun berkata kepada pegawai-pegawainya, “Dapatkah kita mencari orang lain yang memiliki kuasa suci Tuhan seperti dia?” 39 Maka Firaun berkata kepada Yusuf, “Memandangkan Tuhan telah membolehkan kamu mengetahui semua hal ini, tiada orang yang lebih berpengertian dan lebih bijaksana daripada kamu. 40 Oleh itu, kamulah yang akan diberi kuasa atas rumah beta, dan semua rakyat beta akan mematuhi segala perintahmu. Betalah satu-satunya orang yang lebih berkuasa daripada kamu kerana betalah raja.”
“Hanya Tuhan yang Membolehkan Orang Mentafsirkan Mimpi”
Firaun menunaikan janjinya. Dia segera mengenakan pakaian linen yang bermutu tinggi pada Yusuf. Dia juga memberi Yusuf rantai emas, cincin mohor, kereta kuda diraja, dan kuasa untuk melaksanakan rancangannya di seluruh negeri Mesir. (Kejadian 41:42-44) Dalam masa sehari sahaja, Yusuf telah berpindah dari penjara ke istana dan menjadi orang kedua yang berkuasa selepas Firaun. Bukankah hal ini membuktikan bahawa Yehuwa telah memberkati iman Yusuf? Selama bertahun-tahun, Yusuf dilayan secara tidak adil. Tetapi Yehuwa nampak semua penderitaan Yusuf, dan Dia telah membetulkan keadaan pada waktu yang tepat dan dalam cara yang terbaik. Yehuwa bukan sahaja menyelamatkan Yusuf, Dia malah memastikan bahawa bangsa Israel terpelihara. Kita akan membincangkan hal ini dalam rencana yang akan datang.
Mencari Permata Rohani
(Kejadian 41:33) “Sekarang, hendaklah tuanku mencari seorang lelaki yang berpengertian dan bijaksana, dan berilah dia kuasa untuk mengurus seluruh negeri Mesir.
w09 15/11 28 per. 14
Tunjukkanlah Kelakuan yang Baik sebagai Hamba Tuhan
14 Pada zaman Bible, ibu bapa yang menyembah Tuhan memastikan agar anak-anak mereka mempelajari budi bahasa yang baik di rumah. Pertimbangkan ayat di Kejadian 22:7 yang mengisahkan bagaimana Abraham dan Ishak bercakap kepada satu sama lain dengan sopan. Ibu bapa Yusuf juga telah melatihnya dengan baik. Sewaktu dia dipenjarakan, dia melayan banduan lain dengan sopan. (Kej. 40:8, 14) Kata-katanya kepada Firaun menunjukkan bahawa dia tahu cara untuk bercakap kepada orang yang berkedudukan tinggi.—Kej. 41:16, 33, 34.
25-31 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KEJADIAN 42-43
“Yusuf Dapat Mengawal Diri dengan Baik”
(Kejadian 42:5-7) Maka, anak-anak lelaki Israel pergi ke Mesir bersama dengan orang lain untuk membeli makanan, kerana negeri Kanaan juga dilanda kebuluran. 6 Yusuf berkuasa atas negeri Mesir, dan dialah yang menjual biji-bijian kepada semua orang di bumi. Maka abang-abang Yusuf datang dan sujud di hadapannya. 7 Sebaik sahaja Yusuf nampak abang-abangnya, dia mengenal mereka, tetapi dia berkelakuan seperti orang asing di hadapan mereka. Dengan kasar, dia bertanya kepada mereka, “Kamu dari mana?” Mereka menjawab, “Kami dari negeri Kanaan. Kami datang untuk membeli makanan.”
“Adakah Aku Ini Tuhan yang Dapat Menghakimi Kamu?”
Apakah reaksi Yusuf? Dia terus dapat mengenal abang-abangnya. Apabila mereka bersujud kepadanya, dia “serta-merta teringat akan mimpi-mimpinya tentang mereka.” Pada zaman remajanya, Yehuwa telah memberikan mimpi kepadanya. Mimpi itu mengandungi nubuat bahawa abang-abangnya akan bersujud kepadanya. Kini mimpinya itu menjadi kenyataan! (Kejadian 37:2, 5-9; 42:7, 9) Apakah yang Yusuf akan lakukan? Adakah dia akan memeluk mereka atau membalas dendam?
“Adakah Aku Ini Tuhan yang Dapat Menghakimi Kamu?”
Barangkali anda tidak mengalami situasi seperti ini dalam kehidupan anda. Biarpun begitu, kebanyakan keluarga hari ini berpecah belah dan sering bertengkar. Jika hal ini berlaku dalam keluarga kita, kita mungkin akan bertindak sesuka hati tanpa berfikir panjang. Namun, kita patut meniru teladan Yusuf dan cuba menyelesaikan masalah itu mengikut cara yang disenangi Tuhan. (Amsal 14:12) Kita memang perlu menjaga hubungan yang baik dengan ahli keluarga, tetapi ingatlah bahawa hubungan kita dengan Yehuwa dan Yesus adalah jauh lebih penting.—Matius 10:37.
(Kejadian 42:14-17) Namun Yusuf berkata kepada mereka, “Memang benar kataku. Kamu ini pengintip! 15 Aku mahu menguji kamu. Aku bersumpah demi nama Firaun bahawa kamu tidak akan meninggalkan tempat ini kecuali adik kamu yang bongsu itu datang ke sini. 16 Seorang daripada kamu harus pulang untuk membawanya ke mari. Sementara itu, kamu yang lain akan ditahan sampai kata-kata kamu itu terbukti benar. Jika tidak, demi nama Firaun, memang benar bahawa kamu ini pengintip!” 17 Kemudian, Yusuf memasukkan mereka ke dalam penjara selama tiga hari.
“Adakah Aku Ini Tuhan yang Dapat Menghakimi Kamu?”
Yusuf menguji abang-abangnya beberapa kali untuk mengetahui isi hati mereka. Mula-mula, dia bercakap kepada mereka dengan kasar. Melalui seorang jurubahasa, dia menuduh bahawa mereka ialah pengintip. Untuk membela diri, mereka memberitahu Yusuf tentang keluarga mereka dan berkata bahawa adik mereka ada di rumah. Hal itu membuat Yusuf sangat gembira, tetapi dia cuba menyembunyikan perasaannya. Kemudian, dia berkata, “Aku mahu menguji kamu,” dan memberitahu mereka bahawa dia mesti berjumpa dengan adik mereka. Akhirnya, dia mengizinkan mereka untuk pulang dan membawa adik mereka itu ke Mesir. Tetapi, salah seorang daripada mereka harus ditahan di Mesir sehingga yang lain kembali.—Kejadian 42:9-20.
(Kejadian 42:21, 22) Kemudian mereka berkata kepada satu sama lain, “Kita dihukum kerana kesalahan kita terhadap adik kita. Sewaktu dia menderita, dia merayu agar kita berbelas kasihan terhadapnya, tetapi kita tidak mempedulikannya. Itulah sebabnya kita mengalami penderitaan ini.” 22 Ruben berkata, “Bukankah aku telah berkata, ‘Jangan cederakan anak itu’? Tetapi kamu tidak mahu dengar. Sekarang kita harus bertanggungjawab kerana kita telah menumpahkan darahnya.”
it-2 1334 per. 1
Yusuf
Setelah melihat apa yang terjadi, abang-abang Yusuf mula sedar bahawa Tuhan sedang menghukum mereka kerana mereka telah menjual Yusuf sebagai hamba bertahun-tahun yang lalu. Mereka mula bercakap tentang kesalahan mereka di hadapan Yusuf. Pada waktu itu, mereka masih tidak sedar bahawa dia ialah Yusuf. Setelah terdengar perbualan mereka, Yusuf menyedari bahawa mereka sudah bertaubat. Maka dia begitu tersentuh sehingga dia meninggalkan mereka dan mula menangis. Kemudian, dia kembali dan menahan Simeon sehingga mereka kembali ke Mesir bersama adik bongsu mereka.—Kej 42:21-24.
Mencari Permata Rohani
(Kejadian 42:22) Ruben berkata, “Bukankah aku telah berkata, ‘Jangan cederakan anak itu’? Tetapi kamu tidak mahu dengar. Sekarang kita harus bertanggungjawab kerana kita telah menumpahkan darahnya.”
(Kejadian 42:37) Ruben berkata kepada bapanya, “Ayah boleh membunuh kedua-dua orang anak lelaki saya jika saya tidak membawa Benyamin pulang. Serahkanlah dia ke bawah jagaan saya, dan saya akan membawanya kembali kepada ayah.”
it-2 675
Ruben
Kita dapat melihat sifat-sifat baik Ruben apabila dia memujuk adik-adiknya agar mencampakkan Yusuf ke dalam sebuah lubang dan bukannya membunuhnya, kerana dia ingin kembali untuk menyelamatkan Yusuf. (Kej 37:18-30) Lebih daripada 20 tahun kemudian, adik-adiknya berkata bahawa tuduhan yang dibuat atas mereka di Mesir ialah pembalasan kepada layanan buruk mereka terhadap Yusuf. Pada waktu itu, Ruben mengingatkan mereka bahawa dia tidak terlibat dalam rancangan jahat mereka. (Kej 42:9-14, 21, 22) Kemudian, apabila Yakub tidak membenarkan Benyamin untuk mengikut abang-abangnya ke Mesir, Ruben memberikan jaminan kepada Yakub dan berkata, “Ayah boleh membunuh kedua-dua orang anak lelaki saya jika saya tidak membawa Benyamin pulang.”—Kej 42:37.
(Kejadian 43:32) Makanan dihidangkan kepada Yusuf di sebuah meja tersendiri, dan adik-beradiknya makan di meja yang lain. Orang Mesir yang ada di situ makan di meja yang lain lagi, kerana mereka benci apabila orang Ibrani makan bersama mereka.
w04 15/1 29 per. 1
Sorotan daripada Buku Kejadian—II
43:32—Mengapakah orang Mesir tidak mahu makan bersama orang Ibrani? Barangkali alasan utamanya adalah kerana mereka berlainan agama dan mempunyai sifat perkauman. Orang Mesir juga membenci orang yang bekerja sebagai gembala. (Kejadian 46:34) Mengapa? Mungkin kerana gembala ialah golongan terendah di Mesir. Selain itu, memandangkan Mesir tidak mempunyai banyak tanah yang sesuai untuk bercucuk tanam, orang Mesir memandang hina orang yang mencari padang rumput bagi ternakan mereka.