Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
6-12 SEPTEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ULANGAN 33-34
“Jadikanlah Yehuwa ‘Tempat Perlindunganmu’”
it-2 1270
Yesyurun
Gelaran kehormat bagi Israel. Dalam Septuagint Yunani, “Yesyurun” diterjemahkan sebagai “yang dikasihi.” Gelaran “Yesyurun” sepatutnya mengingatkan orang Israel bahawa mereka ialah umat pilihan Yehuwa. Maka mereka wajib berbuat benar dan tetap bersih secara moral. (Ul 33:5, 26; Yes 44:2) Ulangan 32:15 menggunakan gelaran Yesyurun untuk menyindir orang Israel kerana mereka berdegil, meninggalkan Pencipta mereka, dan menghina Penyelamat mereka.
13-19 SEPTEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOSUA 1-2
Permata Rohani
w04 1/12 9 per. 1
Sorotan daripada Buku Yosua
2:4, 5—Mengapakah Rahab mengelirukan utusan raja yang sedang mencari pengintip-pengintip Israel? Rahab mempertaruhkan nyawanya untuk melindungi pengintip-pengintip itu kerana dia beriman kepada Yehuwa. Dia tidak perlu memberitahu utusan raja di mana pengintip-pengintip itu kerana mereka ingin membahayakan umat Yehuwa. (Matius 7:6; 21:23-27; Yohanes 7:3-10) Oleh itu, Rahab “diterima sebagai orang yang berbuat benar kerana perbuatannya.”—Yakobus 2:24-26.
20-26 SEPTEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOSUA 3-5
“Yehuwa Memberkati Kita apabila Kita Bertindak dengan Iman”
it-2 1299
Sungai Yordan
Biasanya bahagian Sungai Yordan yang terletak di selatan Tasik Galilea mempunyai kedalaman sekitar 1 hingga 3 m dan sekitar 27 hingga 30 m lebar. Tetapi pada musim bunga, paras air Sungai Yordan akan naik dan membanjiri kawasan tebing sungai. (Yos 3:15) Maka tidak selamat bagi bangsa Israel yang terdiri daripada lelaki, wanita, dan kanak-kanak untuk menyeberangi sungai itu, lebih-lebih lagi di kawasan berdekatan Yerikho. Air sungai itu sangat deras sehingga baru-baru ini, ada orang dihanyutkan arus semasa berenang di situ. Namun Yehuwa menyebabkan benteng terbentuk di hulu Sungai Yordan secara mukjizat. Oleh itu, orang Israel dapat menyeberangi sungai itu di atas tanah yang kering. (Yos 3:14-17) Berabad-abad kemudian, mukjizat yang serupa berlaku sekali untuk Elia yang ditemani Elisa, dan sekali untuk Elisa.—2Ra 2:7, 8, 13, 14.
Permata Rohani
w04 1/12 9 per. 2
Sorotan daripada Buku Yosua
5:14, 15—Siapakah “ketua tentera Yehuwa”? Semasa Yosua mula menakluki Tanah yang Dijanjikan, ketua tentera Yehuwa datang untuk menguatkannya. Ketua tentera ini ialah “Firman” yang merujuk kepada Yesus sebelum dia turun ke bumi. (Yohanes 1:1; Daniel 10:13) Hari ini, kita dikuatkan kerana Yesus Kristus tetap bersama umat Tuhan seraya kita terlibat dalam peperangan rohani.
27 SEPTEMBER–3 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOSUA 6-7
“Palingkanlah Pandangan daripada Perkara yang Sia-Sia”
w97 15/8 28 per. 2
Mengapakah Kita Perlu Melaporkan Salah Laku yang Serius?
Kita sedang memelihara kebersihan sidang apabila kita melaporkan salah laku yang serius. Yehuwa ialah Tuhan yang suci. Maka Dia menghendaki semua penyembah-Nya untuk tetap bersih dari segi rohani dan moral. Firman-Nya menasihati kita, “Sebagai anak-anak yang patuh, jangan lagi dibentuk oleh keinginan kamu yang dahulu, semasa kamu tidak mempunyai pengetahuan tentang Tuhan. Tuhan Yang Suci telah memanggil kamu. Maka, hendaklah kamu menjadi suci seperti Dia dalam segala tingkah laku kamu. Hal ini demikian kerana ada tertulis, ‘Kamu mesti suci, kerana Aku suci.’” (1 Petrus 1:14-16) Jika seseorang yang mengamalkan perbuatan yang najis atau melakukan salah laku yang serius tidak dibetulkan atau tidak disingkirkan daripada sidang, dia akan mencemari sidang dan membuat sidang kehilangan perkenan Tuhan.—Bandingkan Yosua, bab 7.
w10 15/4 21 per. 8
Palingkanlah Pandanganmu daripada Perkara yang Sia-Sia!
8 Orang Kristian yang sejati juga boleh terpengaruh dengan keinginan yang berdosa dan keinginan mata. Oleh itu, Firman Tuhan menggalakkan kita untuk mengawal keinginan dan pandangan kita. (1 Kor. 9:25, 27; baca 1 Yohanes 2:15-17.) Ayub seorang lelaki yang benar dan dia sedar akan kaitan antara melihat sesuatu dengan menginginkan sesuatu. Dia berkata, “Aku sudah membuat perjanjian dengan mataku. Maka bagaimana mungkin aku memandang gadis muda dengan berahi?” (Ayb. 31:1) Ayub bukan sekadar enggan melakukan perbuatan yang tidak bermoral, dia bahkan tidak membenarkan dirinya untuk berfikir tentang hal-hal yang tidak senonoh. Yesus menekankan pentingnya menyingkirkan fikiran yang tidak bermoral. Dia berkata, “Sesiapa yang terus memandang seorang wanita dengan perasaan berahi sudah berzina dengannya dalam hati.”—Mat. 5:28.
4-10 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOSUA 8-9
“Pengajaran daripada Kisah Orang Gibeon”
it-2 802-803
Gibeon
Perjanjian dengan Yosua. Pada zaman Yosua, kota Gibeon diduduki oleh orang Hewi, iaitu salah satu daripada tujuh bangsa Kanaan yang harus dimusnahkan. (Ul 7:1, 2; Yos 9:3-7) Orang Gibeon juga dipanggil orang Amori kerana perkataan “Amori” ada kalanya digunakan untuk merujuk kepada semua orang Kanaan. (2Sa 21:2; bandingkan Kej 10:15-18; 15:16.) Tidak seperti orang Kanaan yang lain, orang Gibeon sedar bahawa meskipun mereka mempunyai tentera dan kota yang kuat, mereka tidak dapat melawan orang Israel yang disokong oleh Yehuwa. Maka selepas pembinasaan kota Yerikho dan Ai, orang Gibeon yang juga mewakili tiga kota Hewi lain, iaitu Kefira, Beerot, dan Kiryat-yearim telah datang kepada Yosua di Gilgal untuk membuat perjanjian damai. (Yos 9:17) Orang Gibeon itu memakai kasut lama yang bertampal dan pakaian yang koyak-rabak, dan membawa kirbat kulit usang yang bertampal dan karung usang yang berisi roti yang kering dan hancur. Mereka berbuat demikian untuk memberi tanggapan bahawa mereka dari tempat yang jauh dan bukannya sebahagian daripada bangsa-bangsa yang harus dibinasakan oleh orang Israel. Mereka berkata bahawa mereka mendengar bagaimana Yehuwa telah mengalahkan orang Mesir dan raja-raja Amori, iaitu Raja Sihon dan Raja Og. Tetapi mereka telah bertindak dengan bijak dengan tidak menyebut tentang apa yang berlaku di kota Yerikho dan Ai kerana kononnya mereka datang dari “negeri yang sangat jauh” dan berita itu belum sampai di sana. Pemimpin orang Israel telah memeriksa bukti yang ditunjukkan oleh orang Gibeon lalu membuat perjanjian agar tidak membunuh mereka.—Yos 9:3-15.
w04 15/10 18 per. 14
“Jelajahilah Seluruh Tanah Ini”
14 Orang Gibeon berkata, “Hamba semua datang dari negeri yang sangat jauh kerana nama Yehuwa, Tuhanmu, yang tersebar luas.” (Yosua 9:3-9) Pakaian dan makanan mereka menunjukkan bahawa mereka dari tempat yang jauh. Tetapi sebenarnya kota Gibeon terletak hanya kira-kira 30 kilometer dari Gilgal. Yosua dan pemimpin lain mempercayai mereka, lalu membuat perjanjian damai dengan orang Gibeon agar tidak membunuh mereka dan orang dari kota-kota yang berdekatan mereka. Adakah orang Gibeon hanya ingin menyelamatkan nyawa mereka? Tidak. Sebenarnya mereka ingin mendapat perkenan Tuhan orang Israel. Yehuwa bersetuju untuk memberi orang Gibeon tugas mengumpulkan kayu dan menimba air untuk umat Israel dan untuk mazbah Yehuwa. (Yosua 9:11-27) Orang Gibeon terus menunjukkan kerendahan hati dengan melakukan tugas yang diberikan Yehuwa. Barangkali mereka tergolong antara orang Netinim yang kembali dari Babilon dan berkhidmat di Rumah Tuhan yang dibina semula. (Ezra 2:1, 2, 43-54, nota kaki; 8:20) Kita boleh meneladani mereka dengan terus mempunyai hubungan yang damai dengan Tuhan dan sudi menerima tugas yang dipandang rendah.
Permata Rohani
it-1 769
Hukuman Gantung
Dalam hukum Yehuwa kepada orang Israel, sesetengah penjenayah harus digantung pada tiang selepas mereka dihukum mati. Hal ini kerana mereka “dikutuk oleh Tuhan” dan diletakkan di tempat awam supaya dijadikan amaran kepada orang ramai. Mayat orang mati yang digantungkan itu harus diturunkan sebelum waktu malam dan dikebumikan pada hari itu juga. Jika orang Israel gagal berbuat demikian, mereka sedang mencemari tanah yang diberikan oleh Yehuwa kepada mereka. (Ul 21:22, 23) Orang Israel mengikut hukum ini meskipun orang yang digantung itu bukan orang Israel.—Yos 8:29; 10:26, 27.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
it-2 481
Perjanjian
Perjanjian-Perjanjian yang Lain. (a) Yosua dan pemimpin orang Israel telah membuat perjanjian dengan orang Gibeon agar tidak membunuh mereka. Orang Gibeon ialah salah satu daripada bangsa Kanaan yang dikutuk oleh Tuhan. Tetapi perjanjian Yosua dengan mereka tidak boleh dibatalkan lalu mereka dibenarkan hidup. Oleh sebab mereka sebahagian daripada bangsa Kanaan yang dikutuk, mereka perlu mengumpulkan kayu dan menimba air untuk orang Israel. (Yos 9:15, 16, 23-27)
11-17 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOSUA 10-11
“Yehuwa Berjuang demi Umat Israel”
it-1 49
Adoni-zedek
Raja di kota Yerusalem pada waktu orang Israel menakluki Tanah yang Dijanjikan. Adoni-zedek telah berpakat dengan raja-raja lain di sebelah barat Sungai Yordan untuk menentang Yosua dan orang Israel. (Yos 9:1-3) Tetapi penduduk Hewi di kota Gibeon telah membuat perjanjian damai dengan Yosua. Untuk menghalang orang daripada berpihak kepada Yosua, Adoni-zedek berpakat dengan empat orang raja Amori untuk mengepung dan menyerang kota Gibeon. Tetapi dengan bantuan Yehuwa, Yosua berjaya menyelamatkan orang Gibeon dan mengalahkan lima orang raja itu. Oleh itu, mereka melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah gua di Makeda. Di hadapan angkatan tentera Israel, Yosua telah membunuh Adoni-zedek dan empat orang raja itu lalu menggantungkan mayat mereka pada tiang. Akhirnya, mayat-mayat raja itu dibuang ke dalam gua tempat mereka bersembunyi dahulu.—Yos 10:1-27.
it-1 975
Hujan Batu
Digunakan oleh Yehuwa. Hujan batu ialah salah satu kuasa alam yang digunakan oleh Yehuwa untuk melaksanakan perintah-Nya dan menunjukkan kuasa-Nya yang menakjubkan. (Mz 148:1, 8; Yes 30:30) Kali pertama Yehuwa menggunakan hujan batu adalah semasa tulah yang ketujuh di Mesir kuno. Hujan batu itu telah memusnahkan tanaman, menumbangkan pokok, membunuh manusia dan ternakan di ladang. Tetapi, tempat tinggal orang Israel di kawasan Gosyen tidak ditimpa hujan batu. (Kel 9:18-26; Mz 78:47, 48; 105:32, 33) Setelah orang Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan, Yehuwa telah menurunkan hujan batu dari langit untuk memusnahkan orang Amori. Pada waktu itu, lima orang raja Amori telah berpakat untuk menyerang orang Gibeon. Oleh itu, Yosua telah memimpin angkatan tentera Israel untuk menyelamatkan orang Gibeon dengan bantuan Yehuwa. Hasilnya pada hari itu, lebih banyak orang yang terbunuh disebabkan hujan batu daripada dibunuh oleh orang Israel dengan pedang.—Yos 10:3-7, 11.
w04 1/12 11 per. 1
Sorotan daripada Buku Yosua
10:13—Bagaimanakah peristiwa ini berlaku? Yehuwa ialah Pencipta langit dan bumi. Jadi, ‘adakah apa-apa yang mustahil bagi-Nya?’ (Kejadian 18:14) Jika Dia mahu, Yehuwa dapat mengawal pergerakan bumi supaya matahari dan bulan seakan-akan berhenti bergerak dari pandangan seseorang yang berada di bumi. Yehuwa juga boleh membiarkan bumi dan bulan terus bergerak, tetapi membiaskan cahaya matahari dan bulan agar bumi tetap diterangi. Tidak kira apa pun yang dilakukan oleh Yehuwa, peristiwa sedemikian tidak pernah berlaku “baik sebelum mahupun selepas hari itu.”—Yosua 10:14.
Permata Rohani
w09 15/3 32 per. 5
Pertanyaan Pembaca
Biarpun Bible menyebut tentang beberapa buah buku atau kitab yang boleh digunakan sebagai rujukan, hal ini tidak bererti bahawa buku-buku itu diilhami oleh Tuhan. Sebenarnya Tuhan Yehuwa telah pun memastikan bahawa buku-buku yang mengandungi Firman-Nya akan “kekal buat selama-lamanya.” (Yes. 40:8) Ya, apa yang tertulis di dalam 66 buah buku kecil Bible telah dipilih oleh Yehuwa dan mengandungi apa yang kita perlukan untuk “menjadi cekap dan dilengkapi dengan sepenuhnya untuk melakukan setiap perbuatan yang baik.”—2 Ti 3:16, 17.
18-24 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOSUA 12-14
“Mentaati Yehuwa dengan Sepenuh Hati”
w04 1/12 12 per. 2
Sorotan daripada Buku Yosua
14:10-13. Walaupun berumur 85 tahun, Kaleb meminta tugasan untuk menakluki kawasan Hebron. Tugasan ini mencabar kerana kawasan itu diduduki oleh orang Enak yang berbadan besar. Dengan bantuan Yehuwa, pahlawan yang berpengalaman ini berjaya, dan Hebron dijadikan sebuah kota perlindungan. (Yos 15:13-19; 21:11-13) Contoh Kaleb menggalakkan kita agar tidak menolak tugasan teokratik yang mencabar.
w06 1/10 18-19 per. 11
Berani kerana Iman dan Rasa Takut kepada Yehuwa
11 Iman yang sejati boleh dikuatkan. Iman kita bertambah kuat apabila kita hidup selaras dengan ajaran Tuhan, merasakan berkat daripada-Nya, melihat bagaimana doa kita dijawab, dan bagaimana Tuhan membimbing kita dalam pelbagai aspek hidup kita. (Mazmur 34:8; 1 Yohanes 5:14, 15) Pastinya iman Yosua dan Kaleb dikuatkan seraya mereka merasakan kebaikan Yehuwa. (Yosua 23:14) Fikirkan hal-hal berikut: Seperti yang dijanjikan Yehuwa, mereka selamat mengharungi perjalanan 40 tahun merentasi padang belantara. (Bilangan 14:27-30; 32:11, 12) Mereka diberi tugasan yang penting semasa orang Israel menakluki tanah Kanaan. Akhirnya, mereka menikmati usia tua dan kesihatan yang baik serta menerima warisan mereka. Sememangnya orang yang menyembah Yehuwa dengan iman dan keberanian diberkati oleh-Nya!—Yosua 14:6, 9-14; 19:49, 50; 24:29.
Permata Rohani
it-1 776
Gebal
Pada zaman Yosua, Yehuwa memberi orang Israel senarai tanah yang belum ditakluki oleh mereka, dan “tanah orang Gebal” ada dalam senarai itu. (Yos 13:1-5) Ada pengkritik Bible yang mengatakan bahawa catatan ini tidak selaras dengan apa yang berlaku kerana kota Gebal terletak jauh di utara kawasan orang Israel (kira-kira 100 kilometer utara dari Dan) dan nampaknya tidak pernah ditakluki oleh orang Israel. Menurut sesetengah cendekiawan, teks Ibrani asal ayat ini sudah rosak dan ayat ini sepatutnya berbunyi “kawasan bersebelahan Lebanon” atau “sejauh sempadan orang Gebal.” Tetapi Yehuwa berjanji bahawa orang Israel akan menakluki kawasan yang tercatat di Yosua 13:2-7 sekiranya mereka memenuhi syarat yang tertentu. Maka orang Israel tidak dapat menakluki tanah orang Gebal mungkin kerana mereka tidak taat kepada Yehuwa.—Bandingkan Yos 23:12, 13.
25-31 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOSUA 15-17
“Lindungilah Warisan yang Dikurniakan oleh Yehuwa kepada Anda”
it-1 896
Hebron
Dalam kempen orang Israel untuk menakluki selatan tanah Kanaan, mereka telah menawan kota Hebron dan membunuh semua penduduknya, termasuk raja Hebron (yang nampaknya merupakan keturunan Hoham). (Yos 10:36, 37) Meskipun tentera Israel di bawah pimpinan Yosua telah mengalahkan orang Kanaan, mereka tidak segera menempatkan pasukan tentera untuk mempertahankan kawasan yang telah mereka takluki. Oleh itu, semasa orang Israel berperang di tempat yang lain, orang Enak telah menduduki semula kota Hebron. Maka pada kemudian hari, Kaleb (ataupun Kaleb dan orang Yehuda yang berada di bawah pimpinannya) harus merampas semula kota Hebron daripada orang Enak. (Yos 11:21-23; 14:12-15; 15:13, 14; Hak 1:10) Pada mulanya, kota Hebron telah diberikan kepada Kaleb. Tetapi pada kemudian hari, kota ini dijadikan sebuah kota perlindungan dan kota imam. Biarpun begitu, “kawasan tanah lapang di Hebron dan perkampungannya” telah diberikan kepada Kaleb sebagai warisannya.—Yos 14:13, 14; 20:7; 21:9-13.
it-1 1250-1251
Buruh Paksa
Pada zaman Bible, tawanan perang biasanya dipaksa untuk bekerja sebagai hamba. (Ul 20:11; Yos 16:10; 17:13; Es 10:1; Yes 31:8; Rat 1:1) Orang Israel pernah bekerja sebagai hamba di Mesir. Mereka ditindas oleh pengawas abdi dan dipaksa untuk membina kota Pitom dan Raamses, iaitu tempat Firaun menyimpan perbekalannya. (Kel 1:11-14) Setelah mereka menduduki Tanah yang Dijanjikan, Yehuwa telah menyuruh mereka untuk mengusir dan membunuh semua penduduk Kanaan, tetapi orang Israel tidak berbuat demikian. Sebaliknya, mereka memaksa orang Kanaan menjadi hamba mereka. Akibatnya, orang Kanaan menggoda mereka untuk menyembah tuhan-tuhan palsu. (Yos 16:10; Hak 1:28; 2:3, 11, 12) Raja Salomo juga terus mewajibkan keturunan orang Kanaan, iaitu orang Amori, Het, Feris, Hewi, dan Yebus untuk bekerja sebagai buruh paksa.—1Ra 9:20, 21.
it-1 1143
Kanaan
Meskipun tidak semua orang Kanaan dibunuh atau diusir, kita masih boleh mengatakan Yehuwa memberi mereka semua tanah ‘yang telah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang mereka. Yehuwa juga memberi mereka kedamaian. Tiada satu pun janji-Nya yang gagal ditunaikan; semuanya menjadi kenyataan.’ (Yos 21:43-45) Semua musuh orang Israel tidak lagi berani mengancam mereka. Yehuwa pernah berfirman bahawa Dia akan mengusir orang Kanaan “sedikit demi sedikit” supaya tanah itu tidak terbiar dan binatang buas bertambah banyak sehingga membahayakan nyawa orang Israel. (Kel 23:29, 30; Ul 7:22) Pada kemudian hari, orang Israel tidak dapat menakluki sesetengah kawasan. Hal ini bukan kerana senjata perang orang Kanaan adalah lebih baik, dan juga bukan kerana Yehuwa tidak mampu mengotakan janji-Nya. (Yos 17:16-18; Hak 4:13) Menurut catatan Bible, orang Israel kalah kerana mereka tidak setia kepada Tuhan.—Bil 14:44, 45; Yos 7:1-12.