Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
7-13 NOVEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 RAJA-RAJA 5-6
“Yang Menyertai Kita Lebih Banyak daripada yang Menyertai Mereka”
it-1 674
Elisa
Israel Diselamatkan daripada Serangan Siria. Semasa pemerintahan Raja Yehoram dari Israel, Siria merancang serangan hendap terhadap mereka. Elisa telah mendedahkan rancangan mereka kepada Raja Yehoram lalu menggagalkan setiap rancangan perang Ben-hadad II. Pada mulanya, Ben-hadad sangka ada pengkhianat dalam pasukannya. Tetapi apabila dia sedar siapa yang menyebabkan kegagalannya, dia terus menghantar pasukan askar ke Dotan dan mengepungnya dengan kuda dan kereta kuda. Dia ingin menangkap Elisa. Pada masa itu, pembantu Elisa sangat takut. Jadi Elisa berdoa agar Tuhan membuka mata pembantunya “dan dia nampak kawasan pergunungan itu penuh dengan kuda-kuda berapi dan kereta kuda berapi di sekeliling Elisa.” Tetapi apabila askar Siria ingin menyerang, Elisa berdoa untuk mukjizat yang berbeza. Dia merayu kepada Yehuwa, “Butakanlah mata mereka.” Kemudian, Elisa berkata kepada askar Siria, “Ikutlah aku.” Memandangkan dia tidak perlu memegang tangan mereka dan membimbing mereka, hal ini bererti mereka bukannya buta secara jasmani. Sebenarnya, mereka buta dari segi keupayaan mental mereka. Mereka tiba-tiba tidak dapat mengenali wajah Elisa dan mereka tidak tahu ke mana Elisa sedang membawa mereka.—2Ra 6:8-19.
it-1 484
Kebutaan
Nampaknya askar Siria bukannya betul-betul menjadi buta. Hal ini kerana Elisa tidak perlu memegang tangan mereka dan membimbing mereka. Bible cuma kata Elisa memberitahu mereka, “Ini bukan jalannya, dan ini bukan kota yang kamu cari.” Dalam bukunya, Principles of Psychology (1981, Jil. 1, ms. 59), William James berkata, “Salah satu kesan sampingan gangguan kortikal ialah kebutaan mental. Hal ini bermaksud walaupun seseorang dapat melihat sesuatu, dia tidak dapat memahami apa yang dilihat kerana saraf optiknya terganggu. Dari segi psikologi, ini bermaksud orang itu tidak dapat mentafsirkan apa yang dilihatnya.” Nampaknya dalam kisah Elisa, inilah yang dialami oleh askar Siria, dan Yehuwa telah menghilangkan kesannya apabila pasukan itu tiba di Samaria. (2Ra 6:18-20) Besar kemungkinan, kebutaan mental seperti ini juga menimpa lelaki-lelaki di Sodom. Bible tidak kata bahawa mereka langsung tidak dapat melihat. Sebaliknya, mereka berusaha mencari pintu rumah Lot.—Kej 19:11.
Permata Rohani
w05 1/8 9 ¶2
Sorotan daripada Buku Dua Raja-Raja
5:15, 16—Mengapakah Elisa tidak menerima hadiah Naaman? Elisa tahu bahawa kuasa untuk melakukan mukjizat itu sebenarnya datang daripada Yehuwa dan bukan dirinya sendiri. Elisa langsung tidak terfikir untuk menggunakan kuasa yang diberikan Tuhan untuk mencari keuntungan. Sama juga dengan umat Yehuwa hari ini, mereka tidak mencari keuntungan semasa melakukan khidmat kepada Yehuwa. Sebaliknya mereka mengikut nasihat Yesus, “Kamu menerima secara percuma, jadi berilah dengan percuma.”—Matius 10:8.
14-20 NOVEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 RAJA-RAJA 7-8
“Yehuwa Melakukan Hal yang Di Luar Jangkaan”
it-1 675
Elisa
Tidak lama kemudian, Ben-hadad II mengumpulkan seluruh pasukan tenteranya lalu pergi mengepung Samaria. Pengepungan itu telah menyebabkan kebuluran yang teruk. Raja menerima laporan bahawa terdapat seorang wanita memakan anaknya sendiri. Raja Yehoram, anak Ahab “si pembunuh itu,” bersumpah untuk membunuh Elisa. Namun hal itu tidak berlaku. Semasa Yehoram dan pegawainya tiba di rumah Elisa, Yehoram menyatakan bahawa dia tidak lagi mengharapkan bantuan daripada Yehuwa. Elisa meyakinkan raja bahawa makanan akan berlimpah-limpah pada keesokan hari. Pegawai raja memperolok-olok firman Yehuwa lalu Elisa berkata kepadanya, “Kamu akan menyaksikan hal itu dengan matamu sendiri, tetapi kamu tidak akan makan makanan itu.” Yehuwa telah menyebabkan orang Siria mendengar bunyi yang kuat, seolah-olah satu pasukan tentera yang besar telah datang untuk menyerang mereka. Akibatnya, tentera Siria melarikan diri dan meninggalkan perkhemahan mereka yang penuh dengan makanan. Semasa raja mengetahui hal itu, dia melantik pegawai tentera yang dipercayainya untuk bertugas di pintu gerbang kota Samaria. Tetapi pegawai itu telah dipijak-pijak sampai mati oleh orang ramai yang berlari keluar untuk menjarah perkhemahan orang Siria. Sememangnya, pegawai itu telah melihat makanan tetapi tidak dapat memakannya.—2Ra 6:24–7:20.
Permata Rohani
it-2 320, 337
Pelita
Raja-Raja daripada Keturunan Daud. Tuhan Yehuwa melantik Raja Daud sebagai raja Israel. Di bawah bimbingan Yehuwa, Raja Daud merupakan pemimpin yang bijaksana, maka dia digelar sebagai “pelita orang Israel.” (2Sa 21:17) Yehuwa membuat perjanjian dengan Daud dan menyatakan, “Takhtamu akan kukuh buat selama-lamanya.” (2Sa 7:11-16) Oleh itu, garis keturunan Daud melalui anaknya Salomo, juga akan menjadi “pelita” orang Israel.—1Ra 11:36; 15:4; 2Ra 8:19; 2Ta 21:7; nota kaki.
Semasa Raja Zedekia diturunkan dari takhtanya dan dibawa sebagai tawanan ke Babilon untuk mati di sana, nampaknya “pelita” itu padam. Tetapi Yehuwa tidak melupakan perjanjian-Nya dengan Daud. Pemerintahan daripada keturunan Daud hanya tergendala buat sementara waktu “sehingga orang yang berhak memilikinya muncul.” (Yeh 21:27) Yesus Kristus, Mesias yang dijanjikan yang berasal daripada “keturunan Daud,” akan mewarisi takhta Daud buat selamanya. Oleh itu, “pelita” Daud tidak akan lenyap kerana Yesus akan menjadi pemerintah buat selama-lamanya.—Mt 1:1; Lu 1:32.
28 NOVEMBER–4 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 RAJA-RAJA 11-12
Permata Rohani
it-2 1180
Yehoas
Selagi Imam Agung Yehoyada masih hidup, dia dapat menjadi seperti bapa dan penasihat kepada Yehoas, dan Yehoas dapat memerintah dengan berjaya. Raja Yehoas berkahwin semasa berumur 21 tahun. Dia mengahwini dua isteri dan salah seorangnya bernama Yehoadan. Yehoas juga mendapat anak-anak lelaki dan perempuan. Dengan itu, garis keturunan Daud tidak akan lenyap dan Mesias yang dijanjikan akan datang melaluinya.—2Ra 12:1-3; 2Ta 24:1-3; 25:1.
5-11 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 RAJA-RAJA 13-15
“Diberkati kerana Berusaha dengan Bersungguh-Sungguh”
w10 15/4 26 ¶11
Adakah Anda Mengikut Kristus dengan Bersungguh-Sungguh?
11 Untuk menggambarkan betapa pentingnya untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan bersemangat, perhatikan satu peristiwa dalam kehidupan Raja Yehoas dari Israel. Oleh sebab Yehoas risau akan serangan orang Siria terhadap Israel, dia pun pergi melawat Elisa. Dia memberitahu Elisa keadaannya sambil menangis. Elisa menyuruh Yehoas untuk membuka tingkap dan melepaskan anak panah ke arah Siria, dan hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa akan beri kemenangan kepada orang Israel. Semasa mengetahui hal ini, raja sepatutnya rasa lebih bersemangat. Kemudian Elisa menyuruh Yehoas untuk memukul tanah dengan beberapa anak panah. Yehoas memukul tanah sebanyak tiga kali lalu berhenti. Apabila Elisa melihat hal ini, dia berasa sangat marah kerana jika Yehoas memukul tanah sebanyak lima atau enam kali, Yehoas pasti dapat “mengalahkan orang Siria dan menghapuskan mereka sama sekali.” Oleh sebab Yehoas tidak melakukannya dengan bersungguh-sungguh, dia tidak akan berjaya dengan sepenuhnya. Sebaliknya, dia hanya dapat mengalahkan orang Siria sebanyak tiga kali. (2 Raja-Raja 13:14-19) Apakah pengajarannya bagi kita? Yehuwa akan memberkati kita dengan melimpah jika kita melakukan kerja-Nya dengan sepenuh hati dan bersungguh-sungguh.
“Dia Memberikan Ganjaran kepada Orang yang Mencari-Nya dengan Bersungguh-Sungguh”
Yehuwa akan memberikan ganjaran kepada siapa? Paulus berkata, “Orang yang mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh.” Menurut sebuah buku rujukan Bible, kata Yunani yang diterjemahkan sebagai “mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh” tidak bererti mencari Tuhan secara harfiah, tetapi bererti mendekati Tuhan melalui ibadat. Buku rujukan yang lain menjelaskan bahawa kata kerja Yunani itu juga menunjukkan bahawa kegigihan dan usaha yang besar diperlukan. Ya, Yehuwa akan memberikan ganjaran kepada orang yang menyembah-Nya dengan sepenuh hati, iman yang kuat, kasih yang tulus, dan semangat yang membara.—Matius 22:37.
Bagaimanakah Yehuwa akan memberikan ganjaran kepada penyembah-Nya yang setia? Dia telah menjanjikan masa depan yang cerah, iaitu kehidupan abadi di bumi Firdaus. Janji ini menyingkapkan kemurahan hati dan kasih-Nya. (Wahyu 21:3, 4) Bahkan sekarang mereka yang mencari Yehuwa dengan bersungguh-sungguh dapat merasai berkat-Nya yang melimpah. Mereka dapat menikmati kehidupan yang puas dan bahagia dengan adanya bantuan kuasa suci Tuhan dan nasihat yang bijak daripada Bible.—Mazmur 144:15; Matius 5:3.
Permata Rohani
w05 1/8 11 ¶3
Sorotan daripada Buku Dua Raja-Raja
13:20, 21—Adakah mukjizat ini bermaksud bahawa kita boleh memuja suatu objek atau menganggapnya suci? Tidak, kerana Bible tidak sebut bahawa tulang-tulang Elisa telah disembah. Kuasa Tuhanlah yang menyebabkan mukjizat ini berlaku. Begitu juga dengan semua mukjizat yang Elisa lakukan semasa dia masih hidup.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
km 8/03 1
Kerja yang Menyegarkan Kita dan Orang Lain
1 Mesej Bible dapat menyegarkan semua orang yang menerima dan menerapkannya dalam kehidupan mereka. (Mzm. 19:7, 8) Nasihat Bible dapat membantu seseorang untuk membebaskan diri daripada ajaran agama palsu, menghentikan tabiat buruk, dan memberikan harapan sejati bagi masa depan. Namun, bukan sahaja orang yang menerima berita baik yang meraih manfaat, tetapi mereka yang mengongsi kebenaran Bible dengan orang lain juga mendapat kesegaran.—Ams. 11:25.
2 Mendapat Kesegaran daripada Kerja Penyebaran: Yesus kata bahawa mereka yang memikul kuknya akan terlibat dalam kerja menginjil dan menjadikan orang muridnya. Apabila mereka berbuat demikian, “jiwa [mereka] akan pulih segar.” (Mat. 11:29) Yesus sendiri mendapat kesegaran semasa melakukan kerja ini. Dia menyamakan kerja ini seperti makanan baginya. (Yoh. 4:34) Apabila Yesus mengutus 70 orang muridnya untuk menginjil, mereka bersukacita kerana mereka sendiri melihat Yehuwa sedang menyertai mereka.—Luk. 10:17.
3 Hari ini, ramai orang Kristian dikuatkan dan disegarkan semasa melakukan kerja menginjil. Seorang saudari berkata, “Kerja penyebaran memberi saya kesegaran, kerana hidup saya menjadi lebih bermakna dan mempunyai hala tuju. Apabila saya bertumpu kepada kerja Yehuwa, saya tidak terlalu risau dengan masalah peribadi dan tekanan hidup. Seorang lagi penginjil yang bersemangat berkata, ‘Melalui kerja penyebaran, Yehuwa menjadi nyata bagi saya setiap hari. Saya benar-benar menikmati kedamaian dan kebahagiaan yang sejati. Tiada kerja lain yang dapat memberikan kepuasan yang sama.’ Sememangnya, kita amat berbesar hati untuk menjadi “rakan sekerja Tuhan”!—1 Kor. 3:9.
4 Kuk Yesus Tidak Membebankan: Walaupun kita digesa untuk ‘berusaha sedaya upaya’ dalam khidmat kita, Yesus tidak memaksa kita untuk melakukan sesuatu yang melebihi kemampuan kita. (Luk. 13:24) Sebenarnya, Yesus menjemput kita untuk ‘memikul kuknya’ bersama-samanya. (Mat. 11:29) Kadangkala, kita mungkin menghadapi cabaran dan khidmat kita mungkin terbatas. Namun, jika kita melakukan khidmat kita dengan sepenuh jiwa, hal itu menyenangkan hati Tuhan.—Mrk. 14:6-8; Kol. 3:23.
5 Ya, kita sangat disegarkan dan digalakkan untuk tahu bahawa Tuhan menghargai apa sahaja yang kita lakukan demi nama-Nya! (Ibr. 6:10) Semoga kita terus berusaha untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada Yehuwa.
12-18 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 RAJA-RAJA 16-17
“Kesabaran Yehuwa Ada Hadnya”
it-2 886
Salmaneser
Menguasai Israel. Semasa pemerintahan Raja Hoshea dari Israel (sekitar 758-740 SM), Raja Salmaneser V telah menyerang Palestin. Akibatnya, Hoshea terpaksa tunduk kepada Salmaneser dan membayar ufti tahunan kepadanya. (2Ra 17:1-3) Tetapi kemudiannya, Hoshea enggan membayar ufti tersebut. Sebaliknya, dia mula berkomplot dengan Raja So dari Mesir. Oleh sebab itu, Salmaneser telah memenjarakan Hoshea dan kemudian mengepung Samaria selama tiga tahun. Akhirnya kota itu ditawan oleh Assyria dan orang Israel menjadi tawanan mereka.—2Ra 17:4-6; 18:9-12; bandingkan Ho 7:11; Yeh 23:4-10.
it-2 987
Ditakluk
Mengapakah kerajaan Israel di utara (yang terdiri daripada 10 suku) dan kerajaan Yehuda di selatan (yang terdiri daripada 2 suku) ditakluk? Hal ini kerana mereka telah meninggalkan ibadat sejati dan menyembah tuhan-tuhan palsu. (Ul 28:15, 62-68; 2Ra 17:7-18; 21:10-15) Walaupun Yehuwa berkali-kali memberikan amaran kepada mereka melalui nabi-Nya, mereka enggan mendengarkan-Nya. (2Ra 17:13) Sejak raja pertama kerajaan Israel di utara, iaitu Yerobeam, mengasaskan ibadat palsu, tiada seorang raja selepas dia pun yang berusaha melenyapkan ibadat palsu dengan sepenuhnya. Kerajaan Yehuda di selatan pula langsung tidak mengendahkan amaran Yehuwa. Mereka juga tidak berubah meskipun melihat kerajaan Israel di utara ditawan. (Yer 3:6-10) Akibatnya, penduduk kedua-dua kerajaan ini telah ditakluki oleh beberapa empayar yang kuat dan menjadi tawanan mereka.
Permata Rohani
it-2 716
Orang Samaria
Istilah “orang Samaria” muncul pertama kali dalam Bible selepas kerajaan Samaria yang terdiri daripada 10 suku ditawan pada 740 SM. Istilah itu merujuk kepada penduduk di kawasan itu sebelum mereka ditakluk. Istilah “orang Samaria” juga membezakan mereka daripada bangsa-bangsa lain yang juga menjadi tawanan Empayar Assyria. (2Ra 17:29) Nampaknya, orang Assyria tidak membawa semua tawanan Israel kerana 2 Tawarikh 34:6-9 (bandingkan 2Ra 23:19, 20) menyiratkan bahawa semasa pemerintahan Raja Yosia, masih terdapat orang Israel di sana. Lama-kelamaan, istilah “orang Samaria” merujuk kepada keturunan orang yang tetap berada di Samaria serta keturunan mereka yang dijadikan tawanan Assyria. Ada antara mereka yang merupakan keturunan daripada perkahwinan campur. Pada kemudian hari, istilah ini jarang digunakan untuk merujuk kepada bangsa atau negara seseorang, tetapi biasanya merujuk kepada mereka yang menganggotai kumpulan agama di sekitar kawasan Sikhem dan Samaria kuno. Kumpulan agama ini mempunyai kepercayaan tertentu yang sangat berbeza daripada kepercayaan agama Yahudi.—Yoh 4:9.
19-25 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 RAJA-RAJA 18-19
“Cara Para Penentang Melemahkan Kita”
w05 1/8 11 ¶5
Sorotan daripada Buku Dua Raja-Raja
18:19-21, 25—Adakah Raja Hizkia bersepakat dengan raja Mesir? Tidak. Ketua pengurus minuman [atau, Rabshakeh] telah melemparkan tuduhan palsu terhadap Hizkia. Rabshakeh juga menyatakan bahawa dia telah mendapat “izin daripada Yehuwa” untuk menyerang Yerusalem. Namun, kedua-dua pernyataan itu tidak benar. Raja Hizkia tetap setia dan bergantung sepenuhnya pada Yehuwa.
w10 15/7 13 ¶3
“Janganlah Takut. Aku Akan Menolongmu”
Ketua pengurus minuman [atau, Rabshakeh] menggunakan kata-kata licik untuk membuat orang Israel ragu-ragu. Dia kata, “Bukankah Hizkia yang telah memusnahkan tempat-tempat pemujaan dan mazbah [Yehuwa]? . . . Yehuwa sendiri yang berfirman kepada beta, ‘Seranglah dan musnahkanlah negeri ini.’” (2 Raj. 18:22, 25) Ya, Rabshakeh ingin buat orang Israel fikir bahawa Yehuwa murka terhadap mereka dan tidak akan membantu mereka. Tetapi itu tidak benar. Yehuwa sangat senang hati dengan Hizkia dan orang Yahudi lain yang telah kembali kepada ibadat sejati.—2 Raj. 18:3-7.
yb74 177 ¶1
Bahagian 2—Jerman
Pegawai SS (unit khas yang dibentuk oleh Hitler), menggunakan pelbagai muslihat untuk membuat seorang Saksi menyangkal imannya. Tetapi setelah mereka berjaya berbuat demikian, mereka tidak akan melepaskan orang itu. Sebaliknya, orang itu terus diganggu dan dihina oleh pegawai SS. Karl Kirscht menyatakan, “Para pegawai di kem konsentrasi menggunakan muslihat dan dusta-dusta untuk menyebabkan Saksi-Saksi Yehuwa menyangkal kepercayaan mereka. Ada juga yang didesak berkali-kali untuk menandatangani dokumen untuk menolak kepercayaannya sebagai seorang Saksi. Sedihnya, beberapa orang telah menandatanganinya. Walaupun mereka berbuat demikian, kebanyakan daripada mereka masih perlu menunggu lebih daripada setahun sebelum dibebaskan. Sepanjang masa itu, pegawai SS akan menghina mereka di hadapan orang lain dan memanggil mereka pengecut serta orang yang bermuka dua. Sebelum meninggalkan kem itu, mereka juga disuruh untuk berjalan di hadapan semua Saksi-Saksi yang lain.”
Permata Rohani
it-1 191
Arkeologi
Sebagai contoh, catatan Bible kata bahawa Raja Sanherib dari Assyria telah dibunuh oleh dua anaknya, Adramelekh dan Sarezer. Kemudian, Esar-hadon menggantikannya sebagai raja. (2Ra 19:36, 37) Hal ini bercanggahan dengan catatan sejarah orang Babilon (Tawarikh Babilon) yang menyatakan bahawa Sanherib telah dibunuh pada 20 bulan Tebet oleh salah seorang anaknya yang ingin merampas takhtanya. Selain itu, Berossus, seorang imam Babilon pada abad ketiga SM, dan Raja Nabonidus yang memerintah pada abad keenam SM, juga mencatatkan hal yang sama. Tetapi, penemuan Prisma Esar-hadon membuktikan kebenaran Bible. Catatan pada prisma itu yang mengandungi kata-kata Esar-hadon jelas menyatakan bahawa kedua-dua saudaranya (bentuk jamak) telah memberontak dan membunuh bapa mereka lalu melarikan diri. Mengenai hal ini, Philip Biberfeld kata dalam Universal Jewish History (1948, Jil. I, muka surat 27), “Tawarikh Babilon, Nabonid, dan Berossus mencatatkan hal yang salah. Hanya Bible mengandungi maklumat yang benar. Catatan Esarhadon membuktikan hal itu. Sememangnya, catatan Bible mengenai sejarah Babilon dan Assyria jauh lebih tepat daripada catatan orang Babilon. Kita perlu sedar akan hal ini semasa mengkaji sumber-sumber lain dari zaman itu yang nampaknya bercanggahan dengan catatan Bible.”
26 DISEMBER–1 JANUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 RAJA-RAJA 20-21
“Doa Kita Menggerakkan Yehuwa untuk Bertindak”
ip-1 394 ¶23
Seorang Raja Diberkati kerana Imannya
23 Raja Hizkia sakit tenat semasa Sanherib menyerang Yehuda buat kali pertama. Nabi Yesaya memberitahu Hizkia, yang berumur 39 tahun, bahawa dia akan mati. (Yesaya 38:1) Berita itu membuat Hizkia hancur hati. Dia sangat risau akan kesihatannya dan masa depan umat Tuhan. Sekiranya Hizkia meninggal, siapakah yang akan melawan orang Assyria yang menyerang Yerusalem dan Yehuda? Selain itu, Hizkia juga tidak mempunyai anak untuk mewarisi takhtanya. Maka, Hizkia berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk merayu bantuan Yehuwa.—Yesaya 38:2, 3.
g01 22/7 13 ¶4
Bagaimanakah Doa Dapat Membantu Saya?
Pada zaman Bible, Yehuwa menjawab doa sesetengah hamba-Nya dengan melakukan mukjizat untuk mereka. Contohnya, semasa Raja Hizkia sakit tenat, dia merayu kepada Tuhan untuk menyembuhkannya. Maka Yehuwa berfirman, “Aku telah mendengar doamu dan nampak air matamu. Aku akan menyembuhkan engkau.” (2 Raja-Raja 20:1-6) Bible juga mengandungi catatan lain yang menunjukkan bagaimana Tuhan membantu umat-Nya yang setia.—1 Samuel 1:1-20; Daniel 10:2-12; Kisah 4:24-31; 10:1-7.
Permata Rohani
it-2 414
Tali Unting
Alat ini digunakan untuk membina sebuah bangunan yang kukuh atau untuk menentukan sama ada bangunan itu patut dikekalkan atau dirobohkan. Yehuwa berkata, “Tali pengukur yang telah Aku gunakan pada Samaria, dan tali unting yang telah Aku gunakan pada keluarga Ahab, akan Aku gunakan pada Yerusalem.” Secara kiasan, Tuhan telah mengukur Samaria yang jahat dan rumah tangga Raja Ahab, dan mendapati bahawa mereka tidak mencapai standard-Nya. Akibatnya, mereka telah dimusnahkan. Bukan itu sahaja, Yerusalem dan pemimpinnya juga dihakimi dan dimusnahkan. Peristiwa ini telah berlaku pada 607 SM. (2Ra 21:10-13; 10:11) Namun sebelum itu, amaran tentang penghakiman Tuhan telah diberikan kepada mereka melalui Yesaya. Yehuwa berfirman, “Keadilan akan Kujadikan tali pengukur, dan kejujuran akan Kujadikan tali unting.” Ya, mereka yang didapati tidak mencapai standard Tuhan yang adil dan benar akan dimusnahkan. Sebaliknya, mereka yang benar-benar berhati jujur akan dipelihara.—Yes 28:14-19.