PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • ijwbq rencana 66
  • Adakah Neraka Wujud? Apakah Itu Neraka Menurut Bible?

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Adakah Neraka Wujud? Apakah Itu Neraka Menurut Bible?
  • Jawapan kepada Soalan Bible
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • Jawapan Bible
  • Adakah neraka sebuah tempat seksaan yang kekal?
  • Apakah maksud cerita ibarat Yesus tentang lelaki kaya dan Lazarus?
  • Adakah neraka bererti orang mati sedar bahawa dia tiada lagi hubungan dengan Tuhan?
  • Pernahkah sesiapa dibebaskan dari neraka?
  • Siapakah yang Pergi ke Neraka?
    Jawapan kepada Soalan Bible
Jawapan kepada Soalan Bible
ijwbq rencana 66
Gambar menunjukkan orang diseksa dalam api neraka.

Adakah Neraka Wujud? Apakah Itu Neraka Menurut Bible?

Jawapan Bible

Sesetengah terjemahan Bible, seperti Alkitab Versi Borneo, menggunakan perkataan “neraka” dalam beberapa ayat. (Mazmur 55:15; Matius 5:30) Seperti gambar yang ditunjukkan dalam rencana ini, ramai orang percaya bahawa neraka ialah sebuah tempat berapi yang kekal di mana orang jahat dihukum. Namun, adakah itu yang diajarkan Bible?

Dalam rencana ini

  • Adakah neraka sebuah tempat seksaan yang kekal?

  • Apakah maksud cerita ibarat Yesus tentang lelaki kaya dan Lazarus?

  • Adakah neraka bererti orang mati sedar bahawa dia tiada lagi hubungan dengan Tuhan?

  • Pernahkah sesiapa dibebaskan dari neraka?

  • Ayat-ayat Bible tentang neraka, atau Kuburan

  • Perkataan Bible dalam bahasa asal

  • Sejarah ajaran api neraka

Adakah neraka sebuah tempat seksaan yang kekal?

Tidak. Kata-kata asal yang diterjemahkan sebagai “neraka” dalam sesetengah terjemahan Bible lama ialah “Sheol” (bahasa Ibrani) dan “Hades” (bahasa Yunani). Kedua-dua perkataan ini merujuk kepada “Kuburan,” iaitu perkuburan umum umat manusia. Bible menunjukkan bahawa orang yang berada di “Kuburan” tidak hidup atau wujud lagi.

  • Orang mati tidak sedar akan apa-apa, jadi mereka tidak rasa sakit. “Tidak ada pekerjaan, pertimbangan, kebijaksanaan, atau pengetahuan, di neraka.” (Pengkhutbah 9:10, Douay-Rheims Version) Tiada bunyi jeritan atau kesakitan di neraka. Sebaliknya, Bible berkata, “Biarlah orang jahat dimalukan, dan biarlah mereka membisu di kuburan [neraka, Douay-Rheims].”—Mazmur 31:17; King James Version (30:18, Douay-Rheims); Mazmur 115:17.

  • Tuhan telah menetapkan kematian, bukannya seksaan di api neraka, sebagai hukuman dosa. Tuhan telah memberitahu manusia pertama, iaitu Adam, bahawa hukuman bagi orang yang melanggar perintah Tuhan ialah kematian. (Kejadian 2:17) Tuhan tidak menyebut tentang seksaan kekal di neraka. Kemudian, setelah Adam berdosa, Tuhan memberitahunya hukuman ini: “Engkau ini tanah, dan engkau akan kembali ke tanah.” (Kejadian 3:19) Maksudnya, Adam tidak akan wujud lagi. Jika Tuhan benar-benar ingin menghukum Adam di api neraka, sudah pasti Dia akan menyebut tentangnya. Tuhan tidak mengubah hukuman-Nya bagi orang yang melanggar perintah-Nya. Lama selepas Adam berdosa, Tuhan telah mengilhami seorang penulis Bible untuk menyatakan, “Upah dosa ialah kematian.” (Roma 6:23) Hukuman selanjutnya tidak diperlukan, kerana “apabila seseorang mati, hutang dosanya sudah dilangsaikan.”—Roma 6:7.

  • Seksaan kekal merupakan hal yang menjijikkan bagi Tuhan. (Yeremia 32:35) Perbuatan menyeksa orang bertentangan dengan ajaran Bible bahawa “Tuhan itu kasih.” (1 Yohanes 4:8) Dia mahu kita menyembah-Nya kerana kita mengasihi Dia, bukannya kerana kita takut akan seksaan kekal.—Matius 22:36-38.

  • Orang baik pergi ke neraka. Terjemahan Bible yang menggunakan perkataan “neraka” menunjukkan bahawa lelaki setia, seperti Yakub dan Ayub, sedar bahawa mereka akan pergi ke neraka. (Kejadian 37:35; Ayub 14:13) Bahkan Yesus juga dikatakan berada di neraka selepas dia mati sehingga dia dibangkitkan. (Kisah 2:31, 32) Maka, jelaslah bahawa penggunaan perkataan “neraka” dalam terjemahan Bible tersebut merujuk kepada Kuburan.a

Apakah maksud cerita ibarat Yesus tentang lelaki kaya dan Lazarus?

Cerita ibarat ini diceritakan oleh Yesus dan tercatat di Lukas 16:19-31. Cerita ibarat ialah perumpamaan yang mengajar kita kebenaran rohani dan moral. Cerita ibarat tentang lelaki kaya dan Lazarus bukanlah sebuah kisah benar. (Matius 13:34) Untuk ketahui lebih lanjut tentang cerita ibarat ini, lihatlah rencana “Siapakah Lelaki Kaya dan Lazarus?”

Adakah neraka bererti orang mati sedar bahawa dia tiada lagi hubungan dengan Tuhan?

Tidak. Ajaran bahawa orang mati sedar bahawa dia tidak lagi mempunyai hubungan dengan Tuhan adalah bercanggahan dengan Bible. Bible dengan jelas mengajarkan bahawa orang mati tidak sedar akan apa-apa pun.—Mazmur 146:3, 4; Pengkhutbah 9:5.

Pernahkah sesiapa dibebaskan dari neraka?

Ya, pernah. Bible mengandungi kisah terperinci tentang sembilan orang yang pernah berada di Kuburan (diterjemahkan sebagai “neraka” dalam sesetengah Bible) lalu dibangkitkan dan hidup semula.b Jika mereka sedar ketika berada di neraka, sudah pasti mereka dapat menceritakan pengalaman mereka di sana. Namun, tiada seorang pun antara mereka yang menyatakan bahawa mereka diseksa atau mengalami apa-apa pun di sana. Mengapa? Kerana mereka berada dalam keadaan yang tidak sedar, bagaikan “tidur” nyenyak, seperti yang diajarkan Bible secara konsisten.—Yohanes 11:11-14; 1 Korintus 15:3-6.

a Lihatlah kotak “Perkataan Bible dalam bahasa asal.”

b Lihatlah 1 Raja-Raja 17:17-24; 2 Raja-Raja 4:32-37; 13:20, 21; Matius 28:5, 6; Lukas 7:11-17; 8:40-56; Yohanes 11:38-44; Kisah 9:36-42; 20:7-12.

Ayat-ayat Bible tentang neraka, atau Kuburan

Ayub 14:13: “Alangkah baiknya jika Engkau menyembunyikan aku di dalam Kuburan! [“neraka,” Douay-Rheims Version] . . . dan tentukanlah waktu untuk mengingat aku kembali.”

Maksud: Lelaki setia yang bernama Ayub tahu bahawa neraka (Kuburan) dapat mengakhiri penderitaannya dan bahawa Tuhan dapat menghidupkannya semula dari sana.

Mazmur 145:20: “Yehuwa melindungi semua orang yang mengasihi-Nya, tetapi Dia akan membinasakan semua orang yang jahat.”

Maksud: Tuhan akan membinasakan atau melenyapkan orang jahat selama-lamanya. Dia tidak akan membiarkan mereka terus hidup di neraka dan menyeksa mereka.

Pengkhutbah 9:10: “Di Kuburan [“neraka,” Douay-Rheims Version], iaitu tempat yang akan kamu pergi, tidak ada pekerjaan, rancangan, pengetahuan, atau kebijaksanaan.”

Maksud: Orang yang berada dalam Kuburan, atau neraka, tidak sedar dan tidak dapat menderita. Tambahan lagi, kata-kata penulis Bible ini ditujukan bukan hanya kepada orang jahat, tetapi juga orang baik.

Kisah 2:31: “Dia telah melihat terdahulu hal ini, maka dia bercakap tentang kebangkitan Kristus, bahawa jiwanya tidak akan ditinggalkan di neraka.”—King James Version.

Maksud: Yesus Kristus telah pergi ke neraka (Kuburan) apabila dia mati.

Roma 6:23: “Upah dosa ialah kematian.”

Maksud: Hukuman penuh bagi dosa ialah kematian, bukannya seksaan di neraka.

Wahyu 20:13: “Maut dan neraka menyerahkan orang mati yang di dalamnya.”—King James Version.

Maksud: Mereka yang berada di neraka ialah orang mati. Mereka akan dihidupkan kembali melalui pembangkitan.

Wahyu 20:14: “Maut dan neraka dicampakkan ke dalam tasik api.”—King James Version.

Maksud: Setelah pembangkitan dilakukan, neraka (Kuburan) akan menjadi kosong dan dibinasakan selama-lamanya, seolah-olah dengan api. Kemudian, kematian akibat dosa Adam akan tiada lagi.​—Roma 5:12.

Perkataan Bible dalam bahasa asal

Seperti dalam senarai berikut, sesetengah penterjemah Bible telah menterjemahkan perkataan Bible dalam bahasa asal yang berlainan maksud, sebagai “neraka,” dan hal ini telah menyebabkan kekeliruan kepada pembaca. Dalam sesetengah ayat Bible, nampaknya mereka ingin para pembaca percaya bahawa orang jahat akan diseksa buat selama-lamanya dan bukannya dibinasakan.

  • Sheol (Ibrani שְׁאוֹל), Hades (Yunani ᾅδης)

    Maksud: Perkuburan umum umat manusia.—Mazmur 16:10; Kisah 2:31

    Diterjemahkan sebagai: Dunia orang mati (Alkitab Berita Baik); alam maut (Alkitab Versi Borneo); kuburan, neraka, lubang (King James Version)

  • Gehena (Yunani γέεννα)

    Maksud: Pembinasaan kekal.—Matius 5:30

    Diterjemahkan sebagai: Neraka (Alkitab Berita Baik, Alkitab Versi Borneo)

  • Tartarus (Yunani ταρταρόω)

    Maksud: Keadaan yang paling hina yang dialami oleh malaikat-malaikat jahat.—2 Petrus 2:4

    Diterjemahkan sebagai: Neraka (Alkitab Berita Baik, Alkitab Versi Borneo)

  • Apoleia (Yunani ἀπώλεια)

    Maksud: Kebinasaan.—Matius 7:13

    Diterjemahkan sebagai: Kebinasaan (Alkitab Versi Borneo); neraka (Alkitab Berita Baik)

Sejarah ajaran api neraka

Berasal daripada kepercayaan kafir: Orang Mesir kuno percaya akan api neraka. Book Ȧm-Ṭuat (Amduat), iaitu sebuah catatan tentang acara pengebumian, yang dikatakan berasal dari abad ke-16 SM oleh para sejarawan, menyebut tentang “orang yang akan dibuang ke dalam lubang api; dan . . . tidak dapat melepaskan diri daripada api yang bernyala.”—The Egyptian Heaven and Hell.

Tidak diajarkan oleh orang Kristian abad pertama: “Dalam P[erjanjian] B[aharu], tiada bukti bahawa ajaran api neraka adalah sebahagian daripada ajaran yang disebarkan oleh [orang Kristian abad pertama].”—A Dictionary of Christian Theology.

Mula dipengaruhi falsafah Yunani: “Bermula pada pertengahan abad kedua M, orang Kristian yang mempelajari falsafah Yunani mula menggabungkan agama dengan falsafah yang dipelajari mereka . . . Falsafah yang paling disukai mereka ialah falsafah Plato.” (Encyclopædia Britannica) Falsafah itu merangkumi kepercayaan bahawa seseorang akan diseksa dalam api selepas kematiannya. “Antara semua ahli falsafah Yunani klasik, Plato merupakan ahli falsafah yang paling banyak mempengaruhi pandangan orang tentang Neraka.”—Histoire des enfers (Sejarah Neraka).

Ajaran api neraka digunakan sebagai alasan untuk menyeksa orang: Pada zaman Pasitan Sepanyol, orang yang menentang ajaran gereja akan diikat pada tiang dan dibakar sampai mati. Menurut buku The Spanish Inquisition, yang ditulis oleh Jean Plaidy, adalah dipercayai bahawa mereka yang dibakar akan teringat tentang api neraka yang kekal lalu bertaubat sebelum mati. Ratu Mary I dari England juga membakar kira-kira 300 orang yang beragama Protestan pada tiang. Dia dikatakan percaya bahawa “orang yang menentang ajaran gereja akan dibakar selama-lamanya di neraka. Maka, memang sesuai untuk meniru hukuman Tuhan dengan membakar mereka semasa di bumi.”—Universal History, ditulis oleh Alexander Tytler.

Perubahan pada zaman moden: Sesetengah aliran agama telah mengurangkan penekanan terhadap ajaran neraka. Nampaknya hal ini kerana mereka ingin menyenangkan penganut mereka dan bukannya kerana ingin menolak ajaran palsu. (2 Timotius 4:3) Menurut Profesor Jackson W. Carroll, “Orang mahukan Tuhan yang lemah lembut dan senang didekati . . . Orang pada hari ini tidak suka bercakap tentang dosa dan perasaan bersalah.”

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi