Yehuwa Tahu Cara untuk Menyelamatkan Umat-Nya
“Tuhan tahu akan cara menyelamatkan orang salih daripada cubaan.”—2 PTR. 2:9.
MENGAPAKAH KITA YAKIN BAHAWA YEHUWA:
Boleh memutuskan bila sesuatu peristiwa akan berlaku supaya tujuan-Nya tercapai?
Akan menggunakan kuasa-Nya untuk menyelamatkan umat-Nya?
Tahu benar bagaimana peristiwa-peristiwa akan terjadi semasa kesengsaraan besar?
1. Apakah keadaan bumi semasa kesengsaraan besar berlaku?
TUHAN akan menghukum dunia Syaitan dengan tiba-tiba. (1 Tes. 5:2, 3) Semasa kesengsaraan besar, seluruh bumi akan porak-peranda. (Zef. 1:14-17) Kesusahan dan kekurangan akan menjadi lumrah hidup. Kesengsaraan pada masa itu akan “jauh lebih dahsyat daripada yang pernah berlaku sejak dunia diciptakan sehingga sekarang.”—Baca Matius 24:21, 22.
2, 3. (a) Apakah yang akan dihadapi umat Tuhan semasa kesengsaraan besar? (b) Apakah yang boleh membantu kita menghadapi kesengsaraan besar dengan yakin?
2 Semasa kesengsaraan besar mencapai kemuncaknya, umat Tuhan akan menjadi sasaran serangan ‘Gog, penguasa utama di tanah Magog.’ Pada masa itu pasukan tentera “yang besar dan kuat” akan menyerang umat Tuhan “seperti badai melanda bumi.” (Yeh. 38:2, 14-16) Tiada orang yang akan menolong umat Yehuwa. Hanya Tuhan yang dapat menyelamatkan mereka. Apakah reaksi mereka ketika diancam maut?
3 Sebagai hamba Yehuwa, adakah anda yakin bahawa Yehuwa mampu dan pasti menyelamatkan umat-Nya semasa kesengsaraan besar? Rasul Petrus menulis, “Tuhan tahu akan cara menyelamatkan orang salih daripada cubaan. Tuhan juga tahu akan cara menahan orang jahat supaya dihukum pada Hari Pengadilan.” (2 Ptr. 2:9, ABB) Apabila kita merenungkan bagaimana Yehuwa menyelamatkan umat-Nya pada masa lampau, keyakinan kita terhadap-Nya akan bertambah kukuh. Tiga contoh berikut akan meyakinkan kita bahawa Yehuwa boleh menyelamatkan umat-Nya.
DISELAMATKAN SEMASA BANJIR BESAR
4. Apakah yang perlu dilakukan sebelum Banjir tiba?
4 Fikirkan apa yang berlaku semasa Banjir pada zaman Nuh. Banyak hal yang perlu dilakukan sebelum Banjir tiba. Projek pembinaan bahtera yang besar perlu disiapkan dan binatang-binatang perlu dibawa masuk sebelum banjir. Buku Kejadian menunjukkan bahawa Yehuwa tidak menunggu sehingga bahtera siap dibina sebelum memutuskan masa untuk mendatangkan Banjir. Dia tidak khuatir pembinaan itu akan tergendala. Sebaliknya, jauh sebelum Tuhan menyuruh Nuh membina bahtera, Dia telah menetapkan waktu kedatangan Banjir. Bagaimanakah kita tahu akan hal ini?
5. Apakah yang dikatakan oleh Yehuwa di Kejadian 6:3? Bilakah Tuhan membuat penyataan ini?
5 Menurut Kejadian 6:3 (NW), Yehuwa telah mengeluarkan satu perintah di syurga: “Kemudian Yehuwa berfirman, ‘Aku tidak akan bersabar dengan manusia buat selama-lamanya kerana mereka makhluk fana. Maka, masa mereka tinggal seratus dua puluh tahun.’” Kata-kata ini tidak merujuk kepada jangka hayat manusia, tetapi merujuk kepada masa Dia akan membersihkan bumi yang penuh dengan kejahatan.a Memandangkan Banjir telah bermula pada tahun 2370 SM, kita menyimpulkan bahawa Tuhan membuat penyataan ini pada tahun 2490 SM. Nuh berusia 480 tahun pada masa itu. (Kej. 7:6) Kira-kira 20 tahun kemudian, pada tahun 2470 SM, Nuh telah mendapat anaknya yang pertama. (Kej. 5:32) Banjir akan tiba dalam masa kira-kira seratus tahun lagi, tetapi Yehuwa masih belum memberitahu Nuh apa yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan manusia. Tuhan akan menunggu sampai bila?
6. Bilakah Yehuwa menyuruh Nuh membina bahtera?
6 Nampaknya Yehuwa telah menunggu berpuluh-puluh tahun sebelum memberitahu Nuh apa yang akan dilakukan-Nya. Mengapakah kita membuat kesimpulan ini? Catatan Bible menunjukkan bahawa anak-anak Nuh sudah besar dan berkahwin semasa Tuhan menyuruhnya membina bahtera. Yehuwa berfirman, “Aku hendak membuat perjanjian dengan engkau. Masuklah ke dalam bahtera itu bersama-sama isterimu, anak-anakmu serta isteri-isteri mereka.” (Kej. 6:9-18, ABB) Kemungkinan besar, Nuh telah disuruh untuk membina bahtera 40 atau 50 tahun sebelum Banjir.
7. (a) Apakah yang membuktikan bahawa Nuh dan keluarganya beriman? (b) Bilakah Tuhan memberitahu Nuh dengan tepat waktu Banjir akan bermula?
7 Semasa Nuh dan keluarganya membina bahtera, mereka pasti tertanya-tanya bagaimana Tuhan akan melaksanakan tujuan-Nya dan bila Banjir akan bermula. Meskipun mereka tidak tahu jawapannya, mereka masih membina bahtera. Bible menyatakan, ‘Nuh melakukan segala sesuatu yang diperintahkan Tuhan.’ (Kej. 6:22, ABB) Tujuh hari sebelum Banjir bermula, Yehuwa akhirnya memberitahu Nuh dengan tepat bila Banjir akan berlaku. Nuh hanya sempat membawa semua binatang ke dalam bahtera. Semuanya telah siap sedia, dan air hujan turun “ketika Nuh berumur enam ratus tahun, pada hari ketujuh belas, bulan kedua.”—Kej. 7:1-5, 11.
8. Bagaimanakah catatan tentang Banjir meyakinkan kita bahawa Yehuwa tahu masanya untuk menyelamatkan umat-Nya?
8 Catatan tentang Banjir menunjukkan bahawa Yehuwa ialah Penyelamat yang menepati masa. Seraya akhir sistem dunia ini semakin dekat, kita boleh yakin bahawa segala kehendak-Nya akan dilaksanakan tepat pada “hari atau waktunya.”—Mat. 24:36; baca Habakuk 2:3.
DISELAMATKAN DI LAUT MERAH
9, 10. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan umat-Nya untuk mengumpan tentera Mesir?
9 Setakat ini, kita telah belajar bahawa Yehuwa boleh memutuskan bila sesuatu peristiwa akan berlaku supaya tujuan-Nya tercapai. Contoh yang kedua akan menunjukkan satu lagi sebab kita boleh percaya pada Yehuwa: Dia akan menggunakan kuasa-Nya yang tidak terhingga untuk memastikan kehendak-Nya tercapai. Memandangkan Yehuwa mampu menyelamatkan umat-Nya pada bila-bila masa, ada kalanya Dia menggunakan hamba-hamba-Nya untuk mengumpan musuh. Itulah yang berlaku semasa Tuhan membebaskan orang Israel dari Mesir.
10 Orang Israel yang meninggalkan Mesir berjumlah kira-kira tiga juta orang. Yehuwa menyuruh Musa memimpin orang Israel di padang gurun sehingga Firaun menyangka mereka sesat. (Baca Keluaran 14:1-4.) Firaun telah diumpan. Dia dan tenteranya telah mengejar orang Israel. Orang Israel kelihatan kebuntuan jalan kerana mereka terperangkap di Laut Merah. (Kel. 14:5-10) Sebenarnya, mereka tidak berada dalam bahaya. Mengapa? Kerana Yehuwa akan bertindak tidak lama lagi.
11, 12. (a) Bagaimanakah Yehuwa bertindak demi umat-Nya? (b) Apakah kesudahannya? Apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa?
11 “Tiang awan” yang memimpin orang Israel telah bergerak ke belakang dan menyekat kemaraan tentera Firaun. Awan itu mendatangkan kegelapan bagi orang Mesir tetapi memberikan cahaya kepada orang Israel pada waktu malam. (Baca Keluaran 14:19, 20.) Yehuwa kemudiannya menyebabkan angin timur bertiup dengan kencang “sepanjang malam dan mengubah laut menjadi tanah yang kering.” Setelah sekian lama, akhirnya “orang Israel melintasi laut.” Berbanding tentera dan kereta kuda Firaun, orang Israel bergerak dengan perlahan sekali. Namun tentera Mesir tidak berpeluang mengejar mereka, kerana Yehuwa sedang berperang demi Israel. Yehuwa telah ‘mengacau-bilaukan tentera Mesir. Dia menyebabkan roda-roda kereta kuda mereka tersekat sehingga susah bergerak.’—Kel. 14:21-25.
12 Sebaik sahaja semua orang Israel menyeberangi laut, Yehuwa menyuruh Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke atas laut, maka air akan kembali lalu menimpa orang Mesir dan kereta kuda serta pemandu kereta kuda mereka.” Askar Mesir cuba melarikan diri dari laut, ‘tetapi Yehuwa menenggelamkan mereka.’ Akhirnya, “tiada seorang pun tentera Mesir yang terselamat.” (Kel. 14:26-28) Yehuwa telah membuktikan kebolehan-Nya untuk menyelamatkan umat-Nya dalam apa jua situasi.
DISELAMATKAN SEMASA KEMUSNAHAN YERUSALEM
13. Apakah arahan yang diberikan Yesus? Apakah soalan yang mungkin timbul bagi para pengikutnya?
13 Contoh ketiga yang akan kita bincangkan adalah semasa Yerusalem diserang oleh tentera Roma pada abad pertama. Contoh ini menegaskan bahawa Yehuwa tahu benar bagaimana hal-hal yang terjadi akan menggenapi tujuan-Nya. Melalui Yesus, Yehuwa telah memberitahu orang Kristian di Yerusalem dan Yudea cara menyelamatkan diri sebelum kemusnahan Yerusalem pada tahun 70 M. Yesus berkata, “Kamu akan melihat ‘Bencana yang Dahsyat’ yang dikatakan oleh Nabi Daniel, di tempat yang suci itu. . . . Lalu mereka yang di Yudea mesti lari ke pergunungan.” (Mat. 24:15, 16, ABB) Tetapi bagaimanakah para pengikut Yesus dapat tahu bila nubuat ini digenapi?
14. Apakah peristiwa yang membantu orang Kristian memahami kata-kata Yesus?
14 Makna kata-kata Yesus menjadi jelas bertahun-tahun kemudian. Pada tahun 66 M, tentera Roma di bawah pimpinan Cestius Gallus telah datang ke Yerusalem untuk melenyapkan sekumpulan pemberontak Yahudi yang digelar Zealots. Apabila pemberontak Yahudi berlindung di Rumah Tuhan, askar Roma mula merobohkan tembok Rumah Tuhan. Orang Kristian yang peka dapat memahami maksud peristiwa ini: Tentera Roma yang membawa panji-panji kafir (“Bencana yang Dahsyat”) sehingga ke tembok Rumah Tuhan di Yerusalem (“tempat yang suci”). Itulah masanya untuk “lari ke pergunungan.” Memandangkan kota itu sudah dikepung, bagaimanakah mereka boleh melarikan diri? Perkembangan seterusnya memang di luar jangkaan.
15, 16. (a) Apakah arahan yang diberikan oleh Yesus, dan mengapakah penting bagi pengikutnya untuk mengikut arahannya? (b) Apakah yang akan menentukan hidup mati kita?
15 Cestius Gallus dan tenteranya telah berundur dari Yerusalem tanpa sebab. Kumpulan Zealots mula mengejar mereka. Tiba-tiba, pengikut Yesus berpeluang melarikan diri. Yesus telah menyuruh mereka untuk meninggalkan harta benda dan bertolak dengan segera. (Baca Matius 24:17, 18.) Perlukah mereka tergesa-gesa? Ya. Dalam masa beberapa hari sahaja, Zealots telah pulang lalu memaksa penduduk Yerusalem dan Yudea untuk menyertai pemberontakan mereka. Perebutan kuasa dalam kalangan puak-puak Yahudi menyebabkan keadaan di situ kian meruncing dan semakin susah bagi sesiapa untuk meninggalkan Yerusalem. Apabila tentera Roma kembali pada tahun 70 M, orang di situ tidak dapat melarikan diri. (Luk. 19:43) Sesiapa yang masih dalam kota terperangkap! Orang Kristian yang mendengar kata-kata Yesus dan berlari ke pergunungan telah selamat. Ya, Yehuwa tahu cara untuk menyelamatkan umat-Nya. Apakah pengajarannya bagi kita?
16 Sepanjang kesengsaraan besar, orang Kristian perlu mematuhi arahan daripada organisasi Tuhan dan Firman-Nya. Misalnya, arahan Yesus untuk “lari ke pergunungan” akan digenapi pada zaman moden ini. Bagaimana? Kita belum tahu.b Namun, Yehuwa pasti akan menjelaskan maksud arahan itu pada masa yang sesuai. Oleh sebab ketaatan akan menentukan hidup mati kita, tanyalah diri sendiri: “Apakah reaksi saya ketika Yehuwa memberikan arahan kepada umat-Nya hari ini? Adakah saya cepat mentaati-Nya atau suka berlengah-lengah?”—Yak. 3:17.
BERSIAP SEDIA UNTUK MASA DEPAN
17. Sehubungan serangan ke atas umat Tuhan, apakah yang ditunjukkan menerusi nubuat Habakuk?
17 Pada awal rencana, kita membincangkan serangan Gog. Dalam nubuat yang berkaitan, Habakuk berkata, “Aku mendengar semuanya itu dan aku gementar; bibirku bergetar kerana aku ketakutan. Tubuhku lemah tidak bermaya, kakiku tersandung ketika berjalan. Dengan tenang aku akan menanti waktunya Engkau menghukum orang yang menyerang kita.” (Hab. 3:16, ABB) Setakat mendengar tentang serangan yang akan menimpa umat Tuhan sudah menyebabkan perut Habakuk memulas, bibirnya bergetar, dan tubuhnya menjadi lemah. Namun, dia sanggup menunggu hari besar Yehuwa dengan tenang. Kita juga mungkin berasa takut apabila konco-konco Gog membadai kita. Namun seperti Habakuk, kita boleh yakin bahawa Yehuwa pasti menyelamatkan umat-Nya.—Hab. 3:18, 19.
18. (a) Mengapakah kita tidak perlu takut akan serangan pada masa hadapan? (b) Apakah yang akan kita bincang dalam rencana yang berikutnya?
18 Tiga contoh tadi membuktikan bahawa Yehuwa tahu cara menyelamatkan umat-Nya. Dia tidak mungkin gagal; kemenangan sudah dalam tangan-Nya. Untuk meraikan kemenangan yang gemilang itu, kita mesti tetap setia sampai akhir. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita berbuat demikian? Rencana berikut akan membincangkannya.
[Nota kaki]
a Lihat The Watchtower, 15 Disember 2010, muka 30-31.
b Lihat The Watchtower, 1 Mei 1999, muka 19.
[Gambar pada muka surat 24]
Dapatkah tentera Firaun mengancam orang Israel?