PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w18 Disember ms. 10-14
  • Menghormati Aturan Tuhan bagi Perkahwinan

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Menghormati Aturan Tuhan bagi Perkahwinan
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2018
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • PERUBAHAN SEMENTARA DALAM PERKAHWINAN
  • SATU-SATUNYA SEBAB UNTUK BERCERAI
  • MENGHORMATI PERKAHWINAN BIARPUN SEMASA TIMBULNYA MASALAH
  • Pertanyaan Pembaca
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2022
  • Jika Rumah Tangga Hampir Runtuh
    Rahsia Kebahagiaan Keluarga
  • Perkahwinan—Asal Usul dan Tujuannya
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2016
  • Selepas Hari Perkahwinan
    Bernaunglah Di Bawah Kasih Tuhan
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2018
w18 Disember ms. 10-14
Yesus mengajar sekumpulan orang yang mengelilinginya

Menghormati Aturan Tuhan bagi Perkahwinan

“Mereka yang telah disatukan oleh Tuhan tidak boleh dipisahkan oleh manusia.”​—MRK. 10:9.

LAGU: 131, 132

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Apakah pandangan Yehuwa dan Yesus terhadap perkahwinan?

  • Menurut Bible, apakah satu-satunya sebab yang dibenarkan untuk bercerai? Namun, mengapakah sesetengah orang memilih untuk tidak bercerai?

  • Apakah nasihat yang harus dipertimbangkan oleh orang yang merancang untuk berpisah?

1, 2. Ibrani 13:4 harus mendorong kita untuk melakukan apa?

ADAKAH anda suka menghormati Yehuwa? Sudah tentu! Dia layak dihormati, dan Dia berjanji untuk menghormati anda juga. (1 Sam. 2:30; Ams. 3:9; Why. 4:11) Tuhan juga ingin anda menghormati orang lain, seperti pegawai kerajaan. (Rm. 12:10; 13:7) Namun, terdapat suatu perkara yang khasnya perlu dihormati, iaitu perkahwinan.

2 Rasul Paulus menulis, “Hendaklah perkahwinan dihormati oleh semua orang, dan katil perkahwinan haruslah tidak tercemar.” (Ibr. 13:4) Kata-kata itu bukanlah hasil pemerhatiannya, tetapi merupakan gesaan kepada setiap orang Kristian untuk menghargai perkahwinan. Adakah itu pandangan anda terhadap perkahwinan, khususnya perkahwinan anda jika anda sudah memiliki pasangan hidup?

3. Apakah nasihat penting yang diberi Yesus tentang perkahwinan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

3 Jika anda menghormati perkahwinan, anda sedang mencontohi Yesus. Semasa orang Farisi bertanya tentang perceraian, Yesus memetik kata-kata Tuhan tentang perkahwinan pertama, “Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya, lalu mereka berdua akan menjadi satu.” Yesus menambah, “Mereka yang telah disatukan oleh Tuhan tidak boleh dipisahkan oleh manusia.”​—Baca Markus 10:2-12; Kej. 2:24.

4. Apakah piawaian yang ditetapkan oleh Yehuwa bagi perkahwinan?

4 Yesus setuju bahawa perkahwinan diasaskan oleh Tuhan dan merupakan ikatan yang kekal. Semasa di Eden, Tuhan tidak memberitahu Adam dan Hawa bahawa mereka boleh bercerai. Sebaliknya, piawaian yang ditetapkan-Nya bagi perkahwinan ialah: Seorang lelaki hanya akan memiliki seorang isteri, dan “mereka berdua” akan menjadi satu untuk selama-lamanya.

PERUBAHAN SEMENTARA DALAM PERKAHWINAN

5. Bagaimanakah kematian mengubah ikatan perkahwinan?

5 Seperti yang anda tahu, dosa Adam menyebabkan perubahan. Salah satu perubahan itu yang mempengaruhi perkahwinan ialah kematian. Rasul Paulus menjelaskan kepada orang Kristian bahawa kematian akan mengakhiri perkahwinan, dan bahawa pasangan yang masih hidup boleh berkahwin semula.​—Rm. 7:1-3.

6. Bagaimanakah Hukum Musa mencerminkan pandangan Tuhan terhadap perkahwinan?

6 Hukum yang diberikan Tuhan kepada bangsa Israel menyentuh hal perkahwinan, termasuk amalan poligami yang telah wujud sebelum Hukum diberikan. Meskipun lelaki Israel dibenarkan untuk memiliki lebih daripada seorang isteri, amalan itu dikawal supaya tidak disalahgunakan. Contohnya, jika seorang lelaki Israel mengahwini seorang hamba dan kemudiannya mengambil isteri kedua, dia mesti terus menjaga makanan dan pakaian isteri pertamanya dan terus melakukan kewajipannya sebagai suami. Tuhan menghendakinya untuk menjaga dan melindungi isteri itu. (Kel. 21:9, 10) Walaupun kita tidak tertakluk kepada Hukum, aturan ini menunjukkan bahawa Yehuwa menghargai perkahwinan. Tidakkah hal itu mendorong kita agar menghormati perkahwinan?

7, 8. (a) Menurut Ulangan 24:1, apakah yang dinyatakan Hukum tentang perceraian? (b) Apakah pandangan Yehuwa terhadap perceraian?

7 Adakah perceraian dibenarkan di sisi Hukum? Perkahwinan amat berharga bagi Tuhan, namun Dia memberikan kelonggaran kepada orang Israel. (Baca Ulangan 24:1.) Jika seorang lelaki Israel “mendapati bahawa isterinya telah melakukan sesuatu yang tidak senonoh,” dia boleh menceraikan isterinya. Hukum tidak menjelaskan maksud hal “yang tidak senonoh.” Namun, hal itu pasti perkara yang serius dan memalukan, bukan kesalahan kecil. (Ul. 23:14) Sedihnya, orang Yahudi pada zaman Yesus menceraikan isteri “atas sebarang alasan.” (Mat. 19:3) Kita tidak ingin dijangkiti sikap mereka.

8 Pada zaman Nabi Maleakhi, ramai lelaki menggunakan cara licik untuk menceraikan ‘wanita yang dikahwini pada masa muda,’ barangkali untuk mengahwini gadis kafir. Melalui Maleakhi, Tuhan menyatakan, “Aku membenci perceraian.” (Mal. 2:14-16) Pandangan Tuhan terhadap perkahwinan tidak berubah sejak dahulu lagi: “[Seorang lelaki akan] tinggal bersama isterinya, lalu mereka berdua akan menjadi satu.” (Kej. 2:24) Yesus menjunjung pandangan itu dengan berkata, “Mereka yang telah disatukan oleh Tuhan tidak boleh dipisahkan oleh manusia.”​—Mat. 19:6.

Reaksi Tuhan terhadap Perbuatan Zina Orang Israel

Orang Israel dan Yehuda tidak setia kepada Yehuwa. Mereka bersekutu dengan bangsa kafir dan mengikut agama palsu. Tuhan mengutuk mereka kerana “melakukan perzinaan dengan batu dan pokok.” (Yer. 2:13, 20; 3:1-3, 9; bandingkan Yehezkiel 16:28; Yakobus 4:4.) Oleh sebab mereka enggan bertaubat dan terus berkelakuan seperti “seorang isteri yang melacurkan diri,” Tuhan berfirman, “Apabila Aku nampak hal ini, Aku mengusir Israel yang tidak setia itu dan memberikan surat cerai kepadanya kerana dia telah berzina.”​—Yer. 3:6-8.

SATU-SATUNYA SEBAB UNTUK BERCERAI

9. Apakah maksud kata-kata Yesus di Markus 10:11, 12?

9 Seseorang mungkin bertanya, “Adakah apa-apa sebab yang membolehkan orang Kristian untuk bercerai dan berkahwin lagi?” Yesus berkata, “Sesiapa yang menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, dia berzina dan berlaku curang terhadap isterinya, dan jika seorang wanita menceraikan suaminya lalu berkahwin dengan lelaki lain, dia pun berzina.” (Mrk. 10:11, 12; Luk. 16:18) Jelaslah, Yesus menghormati perkahwinan dan ingin orang lain berbuat demikian juga. Suami atau isteri yang menceraikan pasangan yang setia lalu mengahwini orang lain, sudah berzina. Hal ini kerana perceraian itu tidak mengakhiri perkahwinan mereka dalam mata Tuhan. Bagi-Nya, mereka masih “satu.” Tambahan lagi, Yesus berkata bahawa jika seorang lelaki menceraikan isterinya yang tidak bersalah, isteri itu mungkin akan berzina. Bagaimana? Pada zaman lampau, wanita yang diceraikan mungkin terdesak untuk berkahwin lagi supaya kehidupannya dinafkahi. Perkahwinannya itu merupakan perzinaan.

Satu-satunya sebab yang Dibenarkan Bible

Yesus pernah menyatakan sebanyak dua kali bahawa satu-satunya sebab yang mengizinkan seorang pasangan yang tidak bersalah untuk bercerai dan berkahwin lagi ialah por·neiʹa. Apakah maksud perkataan Yunani itu? Por·neiʹa merupakan hubungan seks di luar nikah, yang merangkumi perzinaan, pelacuran, hubungan seks antara orang yang bukan suami isteri, seks oral, seks dubur, atau perbuatan merangsang alat kelamin seseorang yang bukan pasangan hidup sendiri.​—Lihat Menara Pengawal dalam bahasa Indonesia, 15 Julai 2006, “Pertanyaan Pembaca.”

10. Apakah satu-satunya sebab yang membenarkan orang Kristian untuk bercerai dan berkahwin semula?

10 Yesus menyatakan satu sebab untuk mengakhiri perkahwinan: “Sesiapa yang menceraikan isterinya padahal isterinya tidak melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral [Yunani, por·neiʹa], dia berzina jika dia berkahwin dengan wanita lain.” (Mat. 19:9) Dia juga berkata demikian dalam Ceramah Di Atas Gunung. (Mat. 5:31, 32) Ungkapan “perbuatan seks yang tidak bermoral” merangkumi salah laku seks di luar nikah, seperti perzinaan, pelacuran, hubungan seks antara individu yang bukan suami isteri, hubungan sejenis, dan hubungan seks dengan binatang. Contohnya, jika seorang suami terlibat dalam perbuatan sebegini, isterinya boleh memutuskan sama ada untuk bercerai atau tidak. Jika isteri itu menceraikannya, perkahwinan mereka sudah berakhir dalam mata Tuhan.

11. Mengapakah seorang Kristian mungkin tidak bercerai walaupun pasangannya telah melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral?

11 Namun, Yesus tidak berkata bahawa pihak yang tidak bersalah mesti menceraikan pasangannya yang berdosa terhadapnya. Contohnya, seorang isteri mungkin sudi memaafkan suaminya yang bersalah. Dia mungkin masih mencintai suaminya dan ingin bekerjasama dengannya untuk membaiki perkahwinan mereka. Selain itu, jika dia memilih untuk bercerai tetapi tidak berkahwin lagi, dia akan menghadapi cabaran seperti: Siapakah yang akan menjaga keperluan kebendaan dan seksualnya? Adakah dia akan kesunyian? Apakah kesannya kepada anak-anaknya? Selepas bercerai, adakah lebih susah untuk membesarkan mereka dalam kebenaran? (1 Kor. 7:14) Jelaslah, pihak yang tidak bersalah, yang memilih untuk bercerai, akan berdepan dengan isu yang serius.

12, 13. (a) Apakah yang terjadi kepada perkahwinan Hosea? (b) Mengapakah Hosea membawa Gomer pulang? Apakah yang dapat kita pelajari daripada hal itu?

12 Kita juga dapat belajar daripada pengalaman Nabi Hosea. Tuhan menyuruh Hosea mengahwini Gomer, “seorang wanita yang akan menjadi pelacur, dan yang akan melahirkan anak-anak daripada pelacurannya.” Gomer dan Hosea mendapat seorang anak lelaki. (Hos. 1:2, 3) Selepas itu, Gomer mendapat seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki, barangkali kerana berzina. Meskipun Gomer berulang kali berzina, Hosea tidak menceraikannya. Akhirnya, dia meninggalkan Hosea dan menjadi seorang hamba, namun Hosea menebusnya. (Hos. 3:1, 2) Melalui Hosea, Yehuwa menunjukkan bagaimana Dia berulang kali memaafkan orang Israel yang tidak setia kepada-Nya. Apakah pengajarannya?

13 Jika pasangan seorang Kristian melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, orang Kristian yang tidak bersalah itu mempunyai sebab untuk bercerai dan berkahwin semula, seperti yang dinyatakan Yesus. Namun, jika dia memilih untuk memaafkan pasangannya, hal itu tidak salah. Selepas Hosea membawa Gomer pulang, Gomer tidak boleh mengadakan hubungan dengan lelaki lain lagi. Buat suatu ketika, Hosea ‘tidak melakukan hubungan seks’ dengan Gomer. (Hos. 3:3) Namun, Hosea kemudiannya telah bersetubuh dengannya, dan perbuatan itu mencerminkan bagaimana Tuhan sudi menerima umat-Nya semula dan meneruskan hubungan-Nya dengan mereka. (Hos. 1:11; 3:3-5) Apakah kaitannya dengan perkahwinan hari ini? Jika pihak yang tidak bersalah mula melakukan hubungan seks dengan pasangannya, hal itu menunjukkan bahawa dia sudah memaafkannya, dan perbuatan curang yang berlaku sebelumnya tidak boleh menjadi alasan untuk bercerai lagi. (1 Kor. 7:3, 5) Selepas itu, pasangan itu harus berusaha untuk memupuk pandangan Tuhan tentang perkahwinan.

MENGHORMATI PERKAHWINAN BIARPUN SEMASA TIMBULNYA MASALAH

14. Menurut 1 Korintus 7:10, 11, apakah yang mungkin terjadi dalam perkahwinan?

14 Seperti Yehuwa dan Yesus, semua orang Kristian harus menghormati perkahwinan. Namun, kerana kita tidak sempurna, ada yang gagal berbuat demikian. (Rm. 7:18-23) Maka, kita tidak terkejut semasa membaca bahawa sesetengah orang Kristian pada abad pertama mempunyai masalah perkahwinan. Paulus menulis, “Seorang isteri tidak patut berpisah dengan suaminya.” Namun, hal itu pernah terjadi.​—Baca 1 Korintus 7:10, 11.

Dua orang penatua memberikan nasihat Bible kepada sepasang suami isteri

Apakah yang dapat dilakukan untuk menyelamatkan perkahwinan yang dilanda masalah? (Lihat perenggan 15)

15, 16. (a) Semasa timbulnya masalah perkahwinan, suami isteri harus berusaha untuk melakukan apa? (b) Bagaimanakah hal ini dapat dilakukan sekiranya suami atau isteri bukan penyembah Yehuwa?

15 Paulus tidak menjelaskan punca perpisahan itu, tetapi masalahnya bukan kerana si suami telah melakukan perbuatan tidak bermoral, kerana hal itu akan menjadi dasar bagi isterinya untuk bercerai dan berkahwin semula. Paulus menulis bahawa isteri yang berpisah dengan suaminya “harus tetap tidak berkahwin. Jika tidak, dia harus berbaik semula dengan suaminya.” Maksudnya, mereka masih suami isteri dalam mata Tuhan. Paulus menjelaskan bahawa tidak kira apa masalahnya, selagi isu itu tidak membabitkan perbuatan seks yang tidak bermoral, suami isteri harus berusaha untuk berbaik semula. Mereka boleh meminta bantuan para penatua. Penatua tidak akan memihak kepada sesiapa pun, tetapi akan memberikan nasihat daripada Bible.

16 Situasinya lebih rumit jika pasangan seseorang Kristian bukan penyembah Tuhan. Jadi, bolehkah mereka berpisah jika berlakunya masalah? Menurut Bible, perbuatan seks yang tidak bermoral boleh dijadikan dasar untuk bercerai, tetapi Bible tidak menyatakan hal-hal yang boleh dijadikan dasar untuk berpisah. Paulus menulis, “Jika seorang wanita mempunyai suami yang tidak seiman, dan suaminya itu bersetuju untuk tinggal bersamanya, dia tidak patut meninggalkan suaminya.” (1 Kor. 7:12, 13) Prinsip itu juga dapat diterapkan pada zaman sekarang.

17, 18. Mengapakah sesetengah orang Kristian tetap bersama pasangan mereka semasa menghadapi masalah perkahwinan yang serius?

17 Memang, sesetengah “suami yang tidak seiman” telah menunjukkan bahawa mereka tidak ‘bersetuju untuk tinggal bersama’ isteri. Mereka mungkin mendera isteri dengan kejam sehingga isteri itu berasa bahawa kesihatan atau nyawanya terancam. Barangkali mereka enggan menyara isteri dan keluarga, atau langsung tidak membolehkan isteri beribadat kepada Tuhan. Dalam keadaan sebegini, sesetengah saudari Kristian telah membuat keputusan peribadi untuk berpisah, kerana tidak kira apa alasan yang diberi si suami, kelakuannya membuktikan bahawa dia tidak ‘bersetuju untuk tinggal bersama’ mereka. Namun, ada saudari yang tidak berpisah walaupun menghadapi situasi sebegitu. Mereka tetap tabah dan mencuba membaiki keadaan itu. Mengapa?

18 Jika mereka berpisah, mereka masih suami isteri dan akan menghadapi cabaran yang disebut tadi. Paulus menyebut satu lagi sebab untuk tetap tinggal bersama: “Suami yang tidak seiman itu sudah disucikan kerana hubungannya dengan isterinya. Demikian juga, isteri yang tidak seiman itu sudah disucikan kerana hubungannya dengan suaminya yang percaya. Jika tidak, anak-anak kamu akan menjadi najis di mata Tuhan, tetapi sekarang mereka menjadi suci.” (1 Kor. 7:14) Ramai orang Kristian tetap tinggal bersama pasangan yang tidak seiman meskipun situasinya amat susah. Mereka setuju bahawa usaha itu berbaloi, terutamanya apabila pasangan mereka memeluk ibadat sejati.​—Baca 1 Korintus 7:16; 1 Ptr. 3:1, 2.

19. Mengapakah sidang Kristian mempunyai banyak perkahwinan yang bahagia?

19 Nasihat Yesus tentang perceraian dan nasihat Paulus tentang perpisahan menunjukkan bahawa mereka ingin hamba Tuhan menghormati perkahwinan. Kini, terdapat banyak perkahwinan bahagia dalam sidang di serata dunia. Sidang anda mungkin ada ramai pasangan yang setia dan saling mengasihi. Kita berasa gembira kerana mereka dan jutaan orang lain membuktikan bahawa perkahwinan memang dapat dihormati, dan bahawa firman Tuhan memang benar: “Seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama isterinya, lalu mereka berdua akan menjadi satu.”​—Ef. 5:31, 33.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi