Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
Sudah pasti anda suka mendapat berita baik. Buku ini mengandungi berita baik bagi anda dan orang yang anda kasihi.
Berita baik ini berasal daripada Bible. Pengarang Bible ialah Pencipta alam semesta, iaitu Tuhan Yehuwa. Dalam buku ini, kita akan mengupas empat buah buku Bible yang dikarang bertahun-tahun dahulu. Buku yang dimaksudkan ialah buku yang ditulis oleh Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes.
Ada yang memanggil keempat-empat buah buku ini sebagai berita baik, atau buku Injil tentang Yesus. Tuhan akan menggunakan Yesus untuk membawa penyelamatan kepada manusia. Selepas Yesus dilantik sebagai Raja Kerajaan Tuhan, dia akan membawa berkat yang berkekalan kepada orang yang beriman kepadanya.—Markus 10:17, 30; 13:13.
MENGAPA EMPAT BUKU DIPERLUKAN
Anda mungkin tertanya-tanya mengapa Tuhan mengilhami empat orang hamba-Nya untuk menulis tentang ajaran dan kehidupan Yesus.
Bayangkanlah bahawa terdapat empat orang lelaki berdiri mengelilingi seorang guru yang terkenal. Lelaki yang pertama ialah seorang pemungut cukai, lelaki yang kedua ialah seorang doktor, lelaki yang ketiga ialah seorang nelayan dan merupakan sahabat karibnya, dan lelaki yang keempat ialah seorang pemuda. Jika mereka menulis tentang kata-kata dan perbuatan guru itu, catatan mereka pasti akan berbeza-beza, bergantung pada pengalaman dan sudut pandangan mereka sendiri. Maka kita boleh meraih manfaat daripada empat penulis yang berbeza ini kerana hal ini akan memberi kita gambaran yang lengkap tentang kisah hidup Yesus.
Selain itu, bayangkan bahawa pemungut cukai itu mahu menulis catatannya bagi orang Yahudi. Maka dia akan menyusun ajaran guru itu dan turutan peristiwa yang berlaku dalam cara yang mudah difahami oleh orang Yahudi. Doktor itu pula tidak akan mencatatkan semua peristiwa yang sama. Sebaliknya dia akan menonjolkan kisah penyembuhan yang dilakukan oleh guru itu mengikut turutan yang berbeza. Sahabat karib guru itu pula menulis tentang perasaan dan sifat-sifat guru itu, manakala catatan pemuda itu ringkas dan padat. Yang terpenting, catatan mereka semua tepat dan jujur. Dengan mempunyai empat orang penulis yang berbeza, kita dapat memahami ajaran, perbuatan, dan keperibadian Yesus, dengan lebih mendalam.
Kadangkala ada orang menggunakan ungkapan “Injil Matius” atau “Injil Yohanes.” Ungkapan-ungkapan ini memang tidak salah, tetapi sebenarnya kita hanya mempunyai satu Injil atau “berita baik tentang Yesus Kristus,” yang dicatatkan oleh empat orang muridnya.—Markus 1:1.
Sesetengah orang telah membandingkan peristiwa dan fakta dalam buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes, dan mendapati bahawa semuanya tidak bercanggahan. Sekitar tahun 170 M, seorang penulis berbangsa Siria yang bernama Tatian juga telah berbuat demikian. Dia mendapati bahawa keempat-empat buah buku itu tepat dan diilhami Tuhan. Maka dia menggabungkan catatan kisah hidup Yesus ke dalam sebuah buku yang dipanggil Diatessaron.
Buku Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan menggabungkan catatan kisah hidup Yesus dalam cara yang lebih menyeluruh. Kini kita lebih memahami nubuat dan perumpamaan Yesus. Kita juga memahami kata-kata dan perbuatan Yesus mengikut turutan peristiwa yang betul. Selain itu, penemuan ahli kaji purba membantu kita untuk memahami sudut pandangan penulis-penulis Injil. Meskipun kita tidak boleh berkeras mengikut pandangan sendiri tentang turutan setiap peristiwa dalam Bible, buku ini menceritakan kisah hidup Yesus dalam cara yang masuk akal.
JALAN, KEBENARAN, DAN KEHIDUPAN
Semasa membaca buku ini, jangan lupa kata-kata Yesus kepada Rasul Tomas, “Akulah jalan dan kebenaran dan kehidupan. Tiada seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku.” (Yohanes 14:6) Kata-kata ini ialah tema utama buku ini.
Buku Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan akan membantu anda memahami apa yang dimaksudkan oleh Yesus semasa dia mengatakan, “Akulah jalan.” Kita hanya dapat berdoa kepada Tuhan melalui Yesus. Selain itu, kita hanya dapat berbaik semula dengan Tuhan melalui Yesus. (Yohanes 16:23; Roma 5:8) Maka hanya melalui Yesus, manusia dapat menikmati hubungan yang akrab dengan Tuhan.
Yesus ialah “kebenaran.” Setiap kata dan perbuatannya mencerminkan kebenaran. Banyak nubuat “menjadi ‘ya’ melalui Yesus.” (2 Korintus 1:20; Yohanes 1:14) Hal itu membantu kita untuk mengetahui bahawa Yesus memainkan peranan utama dalam pelaksanaan kehendak Tuhan.—Wahyu 19:10.
Yesus ialah “kehidupan.” Oleh sebab dia mengorbankan nyawanya yang sempurna, kita berpeluang menikmati “kehidupan kekal,” iaitu “kehidupan yang sejati.” (1 Timotius 6:12, 19; Efesus 1:7; 1 Yohanes 1:7) Dia juga akan memberikan kehidupan kepada jutaan orang yang telah meninggal dengan membangkitkan mereka di bumi Firdaus.—Yohanes 5:28, 29.
Kita semua harus mempelajari dan menghargai peranan Yesus dalam pelaksanaan kehendak Tuhan. Semoga anda menikmati pembacaan buku Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan.