PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • jy bab 18 ms. 46-ms. 47 per. 6
  • Murid Yesus Bertambah, Murid Yohanes Berkurang

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Murid Yesus Bertambah, Murid Yohanes Berkurang
  • Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
  • Bahan yang Berkaitan
  • Yohanes Meminta Kepastian daripada Yesus
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
  • Yohanes Pembaptis—Dia Tetap Bersukacita
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2019
  • Siapakah Yohanes Pembaptis?
    Jawapan kepada Soalan Bible
  • Yesus Menjadi Mesias
    Belajar daripada Cerita-Cerita Bible
Lihat Selanjutnya
Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
jy bab 18 ms. 46-ms. 47 per. 6
Yohanes Pembaptis bercakap dengan murid-muridnya

BAB 18

Murid Yesus Bertambah, Murid Yohanes Berkurang

MATIUS 4:12 MARKUS 6:17-20 LUKAS 3:19, 20 YOHANES 3:22–4:3

  • MURID-MURID YESUS MEMBAPTIS ORANG

  • YOHANES PEMBAPTIS DIPENJARAKAN

Selepas menyambut Paska pada musim bunga tahun 30 M, Yesus dan murid-muridnya meninggalkan Yerusalem. Tetapi mereka tidak terus pulang ke Galilea. Mereka pergi ke daerah Yudea dan membaptis banyak orang di situ. Barangkali Yohanes Pembaptis telah membaptis orang selama setahun di lembah Sungai Yordan, dan beberapa orang muridnya masih bersamanya.

Yesus tidak membaptis orang, tetapi dia menyuruh murid-muridnya untuk berbuat demikian. Pada waktu itu, murid-murid Yesus dan Yohanes mengajar dan membaptis orang Yahudi yang sudah bertaubat daripada dosa mereka.​—Kisah 19:4.

Tetapi murid-murid Yohanes cemburu dan berkata kepada Yohanes, “Rabbi, lihatlah lelaki yang pernah bersama Rabbi . . . sekarang dia membaptis orang dan semua orang pergi kepadanya.” (Yohanes 3:26) Yohanes tidak cemburu. Sebaliknya dia bersukacita atas kejayaan Yesus dan ingin murid-muridnya turut bergembira. Dia mengingatkan mereka, “Kamu sendiri menjadi saksiku bahawa aku berkata, ‘Aku bukanlah Kristus, tetapi aku telah diutus terlebih dahulu daripadanya.’” Dia menceritakan sebuah perumpamaan agar mereka semua memahaminya. Katanya, “Pengantin perempuan ialah milik pengantin lelaki. Namun begitu, sahabat pengantin lelaki sangat bersukacita apabila dia berdiri dan mendengar suara pengantin lelaki. Oleh itu, sukacitaku sudah sempurna.”​—Yohanes 3:28, 29.

Yohanes seperti sahabat pengantin lelaki itu. Beberapa bulan sebelum itu, dia bersukacita kerana dapat memperkenalkan Yesus kepada murid-muridnya. Sebilangan daripada mereka telah mengikut Yesus dan akan diurapi kuasa suci Tuhan pada masa depan. Yohanes juga ingin murid-murid yang masih bersamanya untuk mengikut Yesus. Sebenarnya tugas Yohanes adalah untuk membuka jalan bagi Kristus. Dia berkata, “Bilangan murid-murid Kristus akan terus meningkat, tetapi bilangan murid-muridku akan terus berkurang.”​—Yohanes 3:30.

Yohanes yang satu lagi, yang telah menjadi murid Yesus, menulis tentang asal usul Yesus dan peranannya sebagai penyelamat manusia: “Dia yang datang dari atas lebih besar daripada semua orang. . . . Bapa mengasihi Anak dan telah menyerahkan segala-galanya ke dalam tangannya. Sesiapa yang beriman kepada Anak akan meraih kehidupan kekal, tetapi sesiapa yang tidak patuh kepada Anak tidak akan meraih kehidupan. Sebaliknya, kemurkaan Tuhan akan tetap ada padanya.” (Yohanes 3:31, 35, 36) Kebenaran penting ini harus disebarkan kepada semua orang!

Yohanes Pembaptis dipenjarakan

Tidak lama selepas Yohanes Pembaptis mengatakan hal-hal ini, dia ditangkap oleh Raja Herodes. Herodes telah mengahwini Herodias, isteri kepada abangnya Filipus. Apabila Yohanes mendedahkan perbuatan buruknya, Herodes memenjarakannya. Setelah mendengar tentang hal ini, Yesus meninggalkan Yudea bersama murid-muridnya dan pergi ke Galilea.​—Matius 4:12; Markus 1:14.

  • Pada permulaan kerja penyebaran Yesus, murid-murid Yesus dan Yohanes membaptis siapa?

  • Bagaimanakah Yohanes mengajar para pengikutnya agar tidak cemburu terhadap kejayaan Yesus?

  • Mengapakah Yohanes dipenjarakan?

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi