PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • kr bab 9 ms. 98-109
  • Hasil Kerja Penyebaran—Ladang Sudah Menguning dan Siap untuk Dituai

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Hasil Kerja Penyebaran—Ladang Sudah Menguning dan Siap untuk Dituai
  • Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • Dua Pengajaran yang Penting tentang Tuaian Rohani
  • Raja Kita Mengetuai Kerja Menuai yang Terbesar
  • Hasil Kerja Menuai​—Digambarkan dengan Jelas
  • Umat Yehuwa Ada Sebab untuk Bersukacita
  • “Di Seluruh Dunia”
  • Ladang Sudah Menguning, Siap untuk Dituai
    Kerja Teokratik Kita—2010
  • Menyertai Kerja Menuai dengan Riang
    Nyanyilah kepada Yehuwa
Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
kr bab 9 ms. 98-109

BAB 9

Hasil Kerja Penyebaran​—Ladang Sudah Menguning dan Siap untuk Dituai

FOKUS BAB INI

Yehuwa membuat benih-benih kebenaran bertumbuh

1, 2. (a) Mengapakah murid-murid Yesus tidak memahami kata-katanya? (b) Tuaian apakah yang dimaksudkan oleh Yesus?

“LIHATLAH, ladang-ladang sudah menguning dan siap untuk dituai,” kata Yesus kepada murid-muridnya. Namun, mereka tidak memahami apa yang dikatakan oleh Yesus. Mereka memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Yesus, tetapi apa yang terbentang di depan mata mereka ialah ladang barli yang menghijau. Memandangkan biji-biji barli itu baru bercambah, mereka mungkin tertanya-tanya, “Masih ada beberapa bulan lagi sebelum musim menuai tiba. Tuaian apakah yang dimaksudkannya?”​—Yoh. 4:35.

2 Namun, Yesus bukannya bercakap tentang tuaian yang sebenar. Dia sedang mengajar murid-muridnya dua hal penting tentang tuaian rohani, atau kerja “menuai” orang. Apakah dua hal itu? Mari kita bincangkan catatan itu dengan lebih terperinci.

Dua Pengajaran yang Penting tentang Tuaian Rohani

3. (a) Apakah yang mungkin mendorong Yesus untuk berkata, “Ladang-ladang sudah menguning dan siap untuk dituai”? (b) Bagaimanakah Yesus menjelaskan kata-katanya?

3 Yesus telah mengucapkan kata-kata itu kepada murid-muridnya pada hujung tahun 30 M. Ketika itu, mereka berada dekat Sikhar, sebuah pekan di Samaria. Semasa murid-murid Yesus masuk ke pekan itu, Yesus duduk berhampiran sebuah perigi. Di perigi itu Yesus berkongsi kebenaran rohani dengan seorang wanita. Wanita itu segera memahami pentingnya ajaran Yesus. Ketika murid-murid Yesus kembali, wanita itu bergegas ke Sikhar untuk memberitahu jiran-jirannya tentang apa yang dipelajarinya. Ramai orang berminat setelah mendengar laporannya, dan mereka segera ke perigi itu untuk mencari Yesus. Semasa Yesus nampak ramai orang Samaria datang dari jauh ke arahnya, mungkin pada masa itulah dia berkata, “Lihatlah, ladang-ladang sudah menguning dan siap untuk dituai.” Kemudian, Yesus menjelaskan bahawa tuaian itu ialah tuaian rohani dengan berkata, “Penuai . . . sedang mengumpulkan hasil tuaian, iaitu orang yang akan menerima kehidupan kekal.”​—Yoh. 4:5-30, 36.

4. (a) Apakah dua pengajaran tentang tuaian rohani yang diajarkan oleh Yesus? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

4 Apakah dua pengajaran penting yang ditegaskan oleh Yesus tentang tuaian rohani? Pertama, kerja itu harus dilakukan dengan segera. Dengan mengatakan bahawa “ladang-ladang sudah menguning dan siap untuk dituai,” Yesus sedang menyeru para pengikutnya untuk mengambil tindakan. Dia juga menambah, “Penuai sudah pun menerima upah.” Ya, masa menuai sudah bermula dan tuaian harus dikumpulkan dengan segera! Kedua, para pekerja bersukacita. Yesus mengatakan bahawa penabur benih dan penuai akan “bersukacita bersama-sama.” (Yoh. 4:35b, 36) Yesus pasti bersukacita apabila ‘banyak orang Samaria beriman kepadanya.’ Begitu juga, murid-muridnya pasti menikmati sukacita yang besar semasa mereka menyertai kerja menuai dengan sepenuh jiwa. (Yoh. 4:39-42) Catatan itu sangat penting bagi kita, kerana kata-kata Yesus menggambarkan apa yang berlaku sekarang, iaitu ketika tuaian rohani yang paling besar sedang berlangsung. Bilakah masa untuk menuai bermula? Siapakah yang menyertainya? Apakah hasilnya?

Raja Kita Mengetuai Kerja Menuai yang Terbesar

5. Siapakah yang mengetuai kerja menuai orang di serata dunia, dan bagaimanakah penglihatan Yohanes menunjukkan bahawa kerja itu harus dijalankan dengan segera?

5 Dalam penglihatan yang diberikan kepada rasul Yohanes, Yehuwa menyingkapkan bahawa Dia telah melantik Yesus untuk memimpin kerja menuai orang di serata dunia. (Baca Wahyu 14:14-16.) Dalam penglihatan ini, Yesus memakai mahkota dan memegang sebilah sabit. “Mahkota emas” di atas kepalanya menunjukkan bahawa dia sedang memerintah sebagai Raja. “Sabit yang tajam” dalam tangannya menunjukkan bahawa dia ialah Penuai. Melalui malaikat, Yehuwa berfirman, “Tuaian di bumi sudah masak.” Dengan itu, Yehuwa menegaskan bahawa kerja itu harus dijalankan dengan segera. Sesungguhnya, “masa menuai sudah tiba,” dan kerja itu tidak boleh ditangguhkan! Semasa Tuhan berfirman, “Gunakanlah sabitmu,” Yesus mengayunkan sabitnya ke bumi, lalu tuaian, iaitu orang di bumi, dikumpulkan. Penglihatan itu mengingatkan kita sekali lagi bahawa “ladang-ladang sudah menguning dan siap untuk dituai.” Adakah penglihatan itu membantu kita mengenal pasti bila kerja menuai orang di serata dunia bermula? Sudah pasti!

6. (a) Bilakah “musim menuai” bermula? (b) Bilakah kerja mengumpulkan “tuaian di bumi” bermula? Jelaskan.

6 Penglihatan Yohanes dalam Wahyu bab 14 menggambarkan Yesus sebagai Penuai yang memakai mahkota. (Ayat 14) Daripada hal itu, kita tahu bahawa pelantikannya sebagai Raja pada tahun 1914 sudah pun berlalu. (Dan. 7:13, 14) Tidak lama selepas itu, Yesus disuruh memulakan kerja menuai. (Ayat 15) Turutan peristiwa yang sama juga ditunjukkan dalam perumpamaan Yesus tentang kerja menuai gandum. Yesus berkata, “Musim menuai ialah penghujung sistem dunia ini.” Maka, musim menuai dan penghujung sistem dunia ini bermula pada masa yang sama​—tahun 1914. Tetapi kerja menuai tidak bermula pada tahun itu. Yesus menyatakan bahawa pemilik tuaian akan menyuruh penuai untuk memulakan kerja menuai “pada musim menuai.” (Mat. 13:30, 39) Apabila kita menoleh ke belakang dan meninjau apa yang berlaku, kita dapat melihat bahawa kerja menuai tidak bermula sebaik sahaja Yesus mula memerintah sebagai Raja pada tahun 1914. Sebaliknya, kerja itu bermula beberapa tahun kemudian. Dari tahun 1914 hingga awal tahun 1919, Yesus telah memurnikan para pengikutnya yang terurap. (Mal. 3:1-3; 1 Ptr. 4:17) Kemudian pada tahun 1919, barulah kerja mengumpulkan “tuaian di bumi” bermula. Tanpa berlengah-lengah, Yesus menggunakan hamba yang setia yang baru dilantik untuk membantu saudara saudari kita sedar bahawa kerja penyebaran mesti segera dilaksanakan. Perhatikan apa yang berlaku.

7. (a) Apakah yang membantu saudara saudari kita untuk memahami pentingnya kerja penyebaran? (b) Saudara saudari kita digalakkan untuk melakukan apa?

7 Pada bulan Julai 1920, majalah The Watch Tower menyatakan, “Setelah mengkaji Bible, jelaslah bahawa [sidang] diberikan penghormatan yang besar untuk menyampaikan berita mengenai Kerajaan Tuhan.” Misalnya, nubuat Yesaya menyedarkan saudara saudari kita bahawa berita tentang Kerajaan Tuhan harus dikhabarkan ke seluas dunia. (Yes. 49:6; 52:7; 61:1-3) Mereka tidak tahu bagaimana tugas itu akan dilaksanakan, tetapi mereka yakin bahawa Yehuwa akan membuka jalan untuk mereka. (Baca Yesaya 59:1.) Setelah mempunyai pemahaman yang lebih jelas tentang pentingnya kerja penyebaran, saudara saudari kita digalakkan untuk menggandakan usaha mereka dalam kerja ini. Apakah reaksi mereka?

8. Pada tahun 1921, apakah dua fakta tentang kerja penyebaran yang difahami oleh saudara saudari kita?

8 Pada bulan Disember 1921, majalah The Watch Tower membuat pengumuman berikut: “Tahun ini paling berhasil; berbanding tahun-tahun yang lalu, paling ramai orang telah mendengar berita tentang kebenaran pada tahun 1921.” Majalah itu menyambung, “Masih ada banyak kerja untuk dilakukan. . . . Mari kita melakukannya dengan sukacita.” Kata-kata itu menunjukkan bahawa saudara saudari kita memahami dua fakta penting tentang kerja penyebaran yang diajarkan oleh Yesus kepada para rasulnya: Kerja itu harus dilakukan dengan segera, dan para pekerja melakukannya dengan sukacita.

9. (a) Apakah hasil yang diraih daripada usaha saudara saudari kita dalam kerja penyebaran? Pada tahun 1954, apakah yang dinyatakan dalam majalah The Watchtower tentang kerja menuai? (b) Huraikan peningkatan bilangan penyiar sepanjang 50 tahun yang lalu. (Lihat carta “Peningkatan Sedunia.”)

9 Pada tahun 1930-an, saudara saudari kita telah memahami bahawa kumpulan besar yang terdiri daripada biri-biri lain akan mendengar berita tentang Kerajaan Tuhan. Selepas itu, usaha untuk menjalankan kerja penyebaran telah digandakan lagi. (Yes. 55:5; Yoh. 10:16; Why. 7:9) Apakah hasilnya? Jumlah orang yang menyebarkan berita Kerajaan Tuhan bertambah dari 41,000 orang pada tahun 1934 kepada 500,000 orang pada tahun 1953! The Watchtower terbitan 1 Disember 1954 membuat kesimpulan ini: “Kerja menuai di seluas dunia dapat dilaksanakan dengan adanya daya aktif Yehuwa dan kuasa Firman-Nya.”a​—Za. 4:6.

PENINGKATAN SEDUNIA

Negara

1962

1987

2013

Australia

15,927

46,170

66,023

Brazil

26,390

216,216

756,455

Perancis

18,452

96,954

124,029

Itali

6,929

149,870

247,251

Jepun

2,491

120,722

217,154

Mexico

27,054

222,168

772,628

Nigeria

33,956

133,899

344,342

Filipina

36,829

101,735

181,236

Amerika Syarikat

289,135

780,676

1,203,642

Zambia

30,129

67,144

162,370

BILANGAN PELAJAR BIBLE YANG SEMAKIN BANYAK

1950

234,952

1960

646,108

1970

1,146,378

1980

1,371,584

1990

3,624,091

2000

4,766,631

2010

8,058,359

Hasil Kerja Menuai​—Digambarkan dengan Jelas

10, 11. Apakah aspek-aspek pertumbuhan benih yang ditonjolkan dalam perumpamaan tentang biji sawi?

10 Beberapa perumpamaan Yesus tentang Kerajaan Tuhan telah menggambarkan hasil yang akan diraih daripada kerja menuai. Mari kita bincangkan perumpamaan tentang biji sawi dan ragi. Kita akan mengkaji bagaimana kata-kata Yesus dalam dua perumpamaan ini menjadi kenyataan pada hari-hari terakhir.

11 Perumpamaan tentang biji sawi. Seorang lelaki menanam biji sawi. Biji itu kemudiannya bertumbuh menjadi sebatang pokok yang menjadi tempat naungan burung. (Baca Matius 13:31, 32.) Apakah aspek-aspek pertumbuhan benih yang ditonjolkan dalam perumpamaan ini? (1) Kadar pertumbuhan yang menakjubkan. Biji sawi, yang merupakan “benih yang terkecil,” menjadi sebatang pokok yang mempunyai ‘dahan yang besar.’ (Mrk. 4:31, 32) (2) Pertumbuhan pasti berlaku. Yesus tidak berkata, “Biji sawi itu mungkin tumbuh.” Sebaliknya dia mengatakan bahawa ‘biji sawi yang ditanam itu bertumbuh.’ Tiada apa-apa yang dapat menghalang pertumbuhannya. (3) Pokok yang bertumbuh itu menarik pelawat dan menyediakan tempat tinggal. “Dahannya yang besar menjadi naungan dan tempat tinggal bagi burung-burung di langit.” Bagaimanakah ketiga-tiga aspek ini menggambarkan tuaian rohani yang berlangsung pada zaman moden?

12. Apakah kaitan antara perumpamaan biji sawi dengan kerja menuai hari ini? (Lihat juga carta “Bilangan Pelajar Bible yang Semakin Banyak.”)

12 (1) Kadar pertumbuhan: Perumpamaan itu menggambarkan bagaimana berita baik disebarkan dengan semakin luas, dan bagaimana sidang Kristian bertumbuh dengan pesat. Sejak tahun 1919, para penuai yang bersemangat dikumpulkan ke dalam sidang yang telah dipulihkan secara rohani. Bilangan penuai pada masa itu sedikit, tetapi angkanya meningkat dengan laju. Pertumbuhan sidang dari awal abad ke-20 sehingga hari ini cukup luar biasa. (Yes. 60:22) (2) Pertumbuhan pasti berlaku: Pertumbuhan sidang Kristian tidak dapat dihalang. Biarpun tentangan musuh seperti batu yang bertimbun-timbun di atas benih kecil itu, benih tersebut terus bertumbuh dan menolak semua halangan ke tepi. (Yes. 54:17) (3) Tempat tinggal: “Burung-burung di langit” yang mencari tempat tinggal di pokok itu melambangkan jutaan orang yang berhati jujur dari kira-kira 240 negara. Mereka telah menyambut berita Kerajaan Tuhan dan menyertai sidang Kristian. (Yeh. 17:23) Di situ mereka diberi makanan rohani. Mereka juga disegarkan dan dilindungi secara rohani.​—Yes. 32:1, 2; 54:13.

Biji sawi yang bertumbuh menjadi pokok dan pelbagai jenis burung sedang berteduh di pokok itu

Perumpamaan tentang biji sawi menunjukkan bahawa sidang menjadi tempat berteduh dan tempat perlindungan bagi ahli-ahlinya (Lihat perenggan 11, 12)

13. Apakah aspek-aspek pertumbuhan yang ditonjolkan dalam perumpamaan tentang ragi?

13 Perumpamaan tentang ragi. Setelah seorang wanita mencampurkan sedikit ragi dengan tepung, seluruh adunan itu naik. (Baca Matius 13:33.) Apakah aspek-aspek pertumbuhan yang ditonjolkan dalam perumpamaan tersebut? (1) Pertumbuhan menyebabkan perubahan. Ragi itu bertindak “sehingga seluruh adunan itu naik.” (2) Pertumbuhan itu sangat meluas. Ragi itu membuat kesemua “10 kilogram tepung” itu naik. Bagaimanakah dua aspek ini menggambarkan tuaian rohani yang berlangsung pada zaman moden?

14. Apakah kaitan perumpamaan tentang ragi dengan kerja menuai dewasa ini?

14 (1) Pertumbuhan menyebabkan perubahan: Ragi itu melambangkan berita tentang Kerajaan Tuhan, dan adunan tepung itu melambangkan umat manusia. Adunan tepung yang dicampurkan dengan ragi akan berubah. Begitu juga, apabila seseorang menyambut berita tentang Kerajaan Tuhan, hatinya akan terdorong untuk membuat perubahan. (Rm. 12:2) (2) Pertumbuhan itu sangat meluas: Ragi yang tersebar dalam adunan tepung melambangkan berita tentang Kerajaan Tuhan yang tersebar dalam kalangan manusia. Ragi akan bertindak balas dengan tepung sehingga tersebar ke seluruh adunan itu. Begitu juga, berita tentang Kerajaan Tuhan telah tersebar “ke hujung bumi.” (Kis. 1:8) Aspek ini juga menunjukkan bahawa walaupun kita tidak dapat menginjil secara terbuka di sesetengah negara kerana kerja kita diharamkan, berita baik masih akan tersebar.

15. Bagaimanakah kata-kata di Yesaya 60:5, 22 menjadi kenyataan? (Lihat juga kotak “Tiada Apa-apa yang Mustahil bagi Yehuwa” pada muka surat 105, dan “Bagaimana ‘yang Terkecil Menjadi Bangsa yang Kuat’” pada muka surat 108-109.)

15 Sekitar 800 tahun sebelum Yesus menceritakan dua perumpamaan itu, Yehuwa telah menggambarkan betapa luasnya tuaian rohani yang akan dijalankan pada zaman moden dan betapa gembiranya para penuai.b Tuhan telah menggunakan kata-kata yang indah untuk menunjukkan bagaimana orang dari “negeri jauh” akan berduyun-duyun ke organisasi-Nya. Kepada baki kaum terurap di bumi, Yehuwa berfirman, “Engkau akan melihat hal itu lalu wajahmu berseri-seri, engkau akan terharu dan berbesar hati. Harta bangsa-bangsa akan dibawa kepadamu; kekayaan dari seberang laut akan mengalir kepadamu.” (Yes. 60:1, 4, 5, 9) Kata-kata itu memang telah menjadi kenyataan! Apabila hamba-hamba Yehuwa yang telah lama berkhidmat melihat bagaimana bilangan penyiar di kawasan mereka bertambah dari bilangan yang kecil sehingga menjadi beribu-ribu orang, mereka sesungguhnya merasai kegembiraan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Umat Yehuwa Ada Sebab untuk Bersukacita

16, 17. Apakah salah satu sebab “penabur benih dan penuai dapat bersukacita bersama-sama”? (Lihat juga kotak “Dua Risalah yang Menyentuh Hati Dua Insan di Amazon.”)

16 Sebelum ini, kita telah memperhatikan kata-kata Yesus yang berikut: “Penuai . . . sedang mengumpulkan hasil tuaian, iaitu orang yang akan menerima kehidupan kekal. Dengan itu, penabur benih dan penuai dapat bersukacita bersama-sama.” (Yoh. 4:36) Mengapakah kita dapat “bersukacita bersama-sama” dalam kerja menuai yang dijalankan di serata dunia? Perhatikan tiga hal yang berikut.

17 Pertama, kita bersukacita apabila kita melihat Yehuwa memberkati kerja menuai. Semasa kita menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan, kita menanam benih. (Mat. 13:18, 19) Semasa kita membantu orang menjadi murid Kristus, kita menuai hasilnya. Semasa kita melihat bagaimana Yehuwa menyebabkan benih Kerajaan Tuhan “bercambah dan bertumbuh tinggi,” kita semua berasa kagum dan sangat bersukacita. (Mrk. 4:27, 28) Sesetengah benih yang kita tabur bercambah pada kemudian hari dan dituai oleh orang lain. Anda mungkin mempunyai pengalaman yang serupa dengan Joan, seorang saudari di Britain yang dibaptis 60 tahun yang lalu. Dia berkata, “Saya pernah berjumpa dengan beberapa orang yang memberitahu saya bahawa saya telah menanam benih dalam hati mereka semasa saya menginjil kepada mereka bertahun-tahun yang lalu. Tanpa pengetahuan saya, Saksi-Saksi lain telah membantu mereka mempelajari Bible dan menjadi hamba Yehuwa. Saya bersukacita kerana benih yang saya tanam telah bertumbuh dan dituai.”​—Baca 1 Korintus 3:6, 7.

TIADA APA-APA YANG MUSTAHIL BAGI YEHUWA

YESUS menyatakan, “Apa yang mustahil bagi manusia tidak mustahil bagi Tuhan.” (Luk. 18:27) Ramai antara kita telah mengalami kebenaran kata-kata itu. Usaha penentang kita untuk menghentikan kerja penyebaran pasti gagal kerana Yehuwa telah membantu kita untuk melakukan kerja-Nya.

Zacharie

Zacharie Elegbe (umur 66, baptis pada tahun 1963) masih ingat bagaimana sekatan ke atas aktiviti Saksi-Saksi Yehuwa di Benin telah “membantu” saudara saudari kita. Dia berkata, “Pada tahun 1976, semasa kita ada 2,300 orang penyiar, kerja kita dilarang dan pihak kerajaan mengarahkan supaya larangan itu disiarkan dalam semua bahasa tempatan. Hal seperti itu tidak pernah berlaku. Meskipun lebih daripada 60 bahasa dituturkan di Benin, program radio pada masa itu hanya disiarkan dalam lima bahasa. Oleh itu, semasa sekatan ke atas kerja kita disiarkan dalam semua bahasa tempatan, beribu-ribu orang di kawasan terpencil mendengar tentang kita buat julung kali. Mereka tertanya-tanya, ‘Siapakah Saksi-Saksi Yehuwa dan mengapakah kerja mereka dilarang?’ Pada kemudian hari, semasa kami menginjil di tempat-tempat itu, banyak orang menerima kebenaran dalam masa yang singkat.” Hari ini, terdapat lebih daripada 11,500 orang Saksi-Saksi di Benin.

Mariya

Mariya Zinich (umur 74, baptis pada tahun 1957) berkata, “Semasa saya berumur kira-kira 12 tahun, semua anggota keluarga saya dibuang negeri dari Ukraine ke Siberia, di Rusia. Meskipun kerajaan mencuba untuk melarang kerja penyebaran di Kesatuan Soviet, bilangan kami terus meningkat. Walaupun kami ditentang dengan kuat, pertumbuhan sebegini meyakinkan saya bahawa semua ini sememangnya kerja Yehuwa! Tiada sesiapa yang mampu menghalangnya!” Seorang lagi saudari yang bernama Mariya (umur 73, baptis pada tahun 1960) berkata, “Tindakan kerajaan untuk membuang saudara saudari kita ke Siberia telah ‘membolehkan’ orang di banyak kawasan yang terpencil di situ untuk mendengar tentang kebenaran.”

Jesús

Jesús Martín (umur 77, baptis pada tahun 1955) berkata, “Semasa saya mempelajari kebenaran, terdapat 300 orang Saksi di Sepanyol. Pada tahun 1960, kami ditindas dengan teruk. Kerajaan mengarahkan pihak polis untuk melenyapkan Saksi-Saksi Yehuwa. Pada masa itu, susah bagi kami untuk membayangkan bagaimana berita baik dapat disebarkan ke seluruh negara. Nampaknya kami berdepan dengan banyak halangan. Tetapi hari ini, terdapat hampir 111,000 orang Saksi-Saksi di Sepanyol. Meskipun kami ditentang, peningkatan yang telah saya saksikan menguatkan kepercayaan saya bahawa jika Yehuwa ada di sisi kita, tidak ada apa-apa yang mustahil!”

18. Bagaimanakah ayat di 1 Korintus 3:8 membantu kita untuk bersukacita?

18 Kedua, kita akan terus bekerja dengan sukacita jika kita mengingat kata-kata Paulus yang berikut: “Setiap orang akan menerima ganjaran menurut kerja masing-masing.” (1 Kor. 3:8) Yehuwa memberikan ganjaran kepada seseorang kerana orang itu bekerja dengan keras dan bukannya kerana hasil yang diraihnya lumayan. Bagi saudara saudari yang menginjil di kawasan yang penduduknya kurang berminat, jaminan ini pasti meneguhkan hati mereka! Dalam mata Tuhan, setiap Saksi yang menyertai kerja menanam dengan sepenuh hati sedang “menghasilkan banyak buah,” dan itulah sebabnya mereka harus bersukacita.​—Yoh. 15:8; Mat. 13:23.

19. (a) Apakah kaitan nubuat Yesus di Matius 24:14 dengan sukacita kita? (b) Apakah yang harus kita ingat meskipun kita tidak berjaya membantu orang lain untuk menjadi murid Yesus?

19 Ketiga, kita bersukacita kerana apabila kita menginjil, nubuat Yesus menjadi kenyataan. Semasa rasul-rasul bertanya kepada Yesus, “Apakah tanda bagi kehadiranmu dan penghujung sistem ini?” Yesus memberitahu mereka bahawa salah satu ciri bagi tanda kehadirannya ialah kerja penyebaran yang dijalankan di serata dunia. Adakah dia memaksudkan kerja menjadikan orang muridnya? Tidak. Dia berkata, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa.” (Mat. 24:3, 14) Ya, kerja penyebaran, iaitu kerja menanam benih, ialah satu ciri daripada tanda kehadiran Kristus. Oleh itu, semasa kita menyebarkan berita baik, ingatlah bahawa biarpun kita tidak berjaya membantu orang menjadi murid Yesus, kita sudah berjaya memberikan kesaksian.c Tidak kira apa pun reaksi orang, kita mempunyai sebab yang baik untuk bersukacita, kerana kita sedang melakukan kerja yang dinubuatkan oleh Yesus, dan kita diberi penghormatan untuk menjadi “rakan sekerja Tuhan.”​—1 Kor. 3:9.

“Di Seluruh Dunia”

20, 21. (a) Bagaimanakah kata-kata di Maleakhi 1:11 menjadi kenyataan pada hari ini? (b) Berkenaan kerja menuai, apakah tekad anda, dan mengapa?

20 Pada abad pertama, Yesus membantu rasul-rasulnya sedar bahawa kerja menuai harus dijalankan dengan segera. Sejak tahun 1919, Yesus telah membantu para pengikutnya pada zaman moden untuk menyedari kebenaran yang sama. Hasilnya, umat Tuhan telah menggandakan usaha mereka dalam kerja menuai. Kerja itu tidak dapat dihalang. Seperti yang dinubuatkan oleh nabi Maleakhi, kerja penyebaran kini dijalankan “di seluruh dunia.” (Mal. 1:11) Tidak kira di mana pun, penabur dan penuai di seluruh dunia bekerja dan bersukacita bersama-sama. Dari masa matahari terbit hingga masa matahari terbenam, penabur dan penuai di seluruh dunia bekerja keras tanpa berlengah-lengah.

21 Apabila kita menoleh kira-kira 100 tahun ke belakang dan melihat bagaimana hamba-hamba Tuhan telah bertambah daripada sekumpulan kecil orang sehingga menjadi “bangsa yang kuat,” kita sememangnya “terharu dan berbesar hati.” (Yes. 60:5, 22) Semoga rasa sukacita itu dan kasih kita kepada Yehuwa, iaitu “Pemilik tuaian,” menggerakkan kita semua agar berusaha untuk menyempurnakan kerja menuai yang terbesar dalam sejarah!​—Luk. 10:2.

a Untuk maklumat lanjut tentang hasil kerja menuai dari tahun 1919 hingga tahun 1992, kami menggalakkan anda untuk membaca buku Jehovah’s Witnesses​—Proclaimers of God’s Kingdom, muka surat 425-520.

b Untuk maklumat lanjut tentang nubuat ini, lihat Isaiah’s Prophecy​—Light for All Mankind II, muka surat 303-320.

c Kebenaran yang penting itu telah difahami oleh Pelajar Bible masa awal. Zion’s Watch Tower terbitan 15 November 1895, menyatakan, “Biarpun hanya sedikit gandum dapat dikumpulkan, sekurang-kurangnya kesaksian yang besar demi kebenaran dapat diberikan. . . . Semua orang dapat memberitakan injil.”

Seberapa Nyatakah Kerajaan Tuhan bagi Anda?

  • Apakah pencapaian Kerajaan Tuhan dalam tuaian rohani?

  • Bagaimanakah perumpamaan tentang biji sawi dan ragi menggalakkan anda untuk menjalankan aktiviti penyebaran?

  • Apakah sebab-sebab anda bersukacita dalam kerja penyebaran?

DUA RISALAH YANG MENYENTUH HATI DUA INSAN DI AMAZON

Antônio Simões

Antônio Simões

SEORANG penatua yang berusia 91 tahun yang bernama Antônio Simões masih ingat bagaimana bapa dan pak ciknya mendapat kebenaran menerusi dua helai risalah yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. “Inginkah kamu mendengar kisahnya?” tanya Antônio kepada pelawat-pelawatnya. “Sudah pasti,” jawab mereka. Dengan senyuman manis, dia duduk lalu menceritakan kisahnya.

“Bapa saya bernama Zeno, dan dia seorang pastor gereja Baptis. Pada tahun 1931, dia mengunjungi sebuah kawasan terpencil di hutan Amazon untuk melawat seorang ahli gereja. Di rumah wanita itu, dia ternampak dua helai risalah. Wanita itu menemui risalah-risalah itu di gereja, tetapi dia tidak tahu siapa yang meninggalkannya. Satu risalah menyentuh tentang topik neraka, dan satu lagi tentang pembangkitan. Hati Ayah tersentuh setelah membacanya. Dia teringatkan abang iparnya Guilherme yang sering berkata, ‘Saya tidak percaya bahawa api neraka wujud. Tuhan yang pengasih tidak mungkin menciptakan tempat sebegitu.’ Ayah mahu memberikan risalah-risalah itu kepada Guilherme dengan secepat mungkin, maka dia menaiki perahunya dan mengayuhnya selama lapan jam ke Manaquiri, sebuah perkampungan berhampiran Manaus, iaitu tempat tinggal Guilherme.”

Antônio Simões memegang dua gambar sidang pertama di Manaquiri, negeri Amazonas, Brazil

Sidang yang pertama di negeri Amazonas di Brazil

“Selepas Ayah dan Pak Cik Guilherme mengkaji kedua-dua risalah itu, mereka berkata, ‘Inilah kebenaran!’ Mereka segera menulis kepada pejabat cawangan di Brazil untuk meminta bahan bacaan lain. Ayah meletakkan jawatan sebagai pastor, dan dia serta pak cik saya mula menyebarkan berita Bible di kawasan terpencil itu. Sambutan di Manaquiri sangat baik. Dalam masa satu tahun sahaja, sebuah sidang telah ditubuhkan di situ. Tidak lama kemudian, 70 orang penduduk kampung menghadiri perjumpaan, dan pada masa itu, sidang tersebut ialah sidang yang terbesar di Brazil.” Antônio berhenti sejenak. Kemudian dia bertanya, “Cara berita tentang Kerajaan sampai ke Amazon sangat menakjubkan, bukan?” Memang benar. Dua benih kebenaran yang kecil, iaitu dua risalah Bible yang kecil, telah bercambah di kawasan hutan Amazon yang luas dan bertumbuh menjadi sebuah sidang yang kian berkembang. Kini, Sidang Manaquiri yang dibentuk sejak 83 tahun yang lalu bukanlah satu-satunya sidang di negeri Amazonas di Brazil, tetapi merupakan salah satu daripada 143 sidang di situ!

BAGAIMANA ‘YANG TERKECIL MENJADI BANGSA YANG KUAT’

‘KELUARGA yang terkecil akan menjadi bangsa yang kuat. Pada masa yang tepat kelak, Aku, Yehuwa, akan melakukannya dengan segera.’ (Yes. 60:22) Bagaimanakah nubuat itu menjadi kenyataan? Apakah perasaan Saksi-Saksi di serata dunia yang telah lama berkhidmat setelah melihat nubuat itu menjadi kenyataan?

Börje Nilsson

Börje Nilsson (berusia 84 tahun, dibaptis pada tahun 1943) berkata, “Saya ingat akan seorang saudara terurap yang berkhidmat sebagai peneraju pada tahun 1920-an. Semasa diberitahu bahawa hampir separuh daripada kawasan Sweden telah ditugaskan kepadanya, dia patuh kepada arahan yang diberikan dan mula menginjil. Usahanya dan usaha saudara saudari lain yang setia telah diberkati! Kini kita mempunyai lebih daripada 22,000 orang penyiar. Meskipun saya sudah lanjut usia, saya ingin terus berkhidmat kepada Yehuwa. Mungkin Yehuwa masih ada kejutan istimewa untuk kita!”

Etienne Esterhuyse

Etienne Esterhuyse (berusia 83 tahun, dibaptis pada tahun 1942) berkata, “Semasa melihat bagaimana umat Yehuwa di Afrika Selatan telah bertambah daripada kira-kira 1,500 orang pada tahun 1942 kepada lebih daripada 94,000 orang hari ini, saya berasa cukup kagum. Menjadi sebahagian daripada organisasi yang besar ini telah menguatkan iman saya!”

Keith Gaydon

Keith Gaydon (berusia 82 tahun, dibaptis pada tahun 1948) berkata, “Saya menyaksikan bagaimana bilangan penyiar di Britain telah bertambah daripada kira-kira 13,700 orang pada tahun 1948 kepada hampir 137,000 orang hari ini. Saya yakin bahawa inilah perbuatan Yehuwa. Hal itu nampaknya mustahil, tetapi Yehuwalah Tuhan yang melakukan ‘perbuatan yang menakjubkan.’”​—Kel. 15:11.

Ulrike Krolop

Ulrike Krolop (berusia 77 tahun, dibaptis pada tahun 1952) berkata, “Selepas Perang Dunia Kedua, semangat Saksi-Saksi yang telah bertahan di bawah penganiayaan Nazi banyak menggalakkan sidang-sidang di Jerman. Orang ramai memerlukan kelegaan hati, dan kami dapat melegakan hati mereka tanpa teragak-agak kerana Saksi-Saksi tidak mengambil bahagian dalam perang yang dahsyat itu. Sepanjang 60 tahun yang lalu, saya telah melihat bagaimana daya aktif Tuhan membimbing umat-Nya. Hari ini kita mempunyai lebih daripada 164,000 orang Saksi, hasil yang sangat mengagumkan!”

Mariya Brinetskaya

Mariya Brinetskaya (berusia 77 tahun, dibaptis pada tahun 1955) berkata, “Agar tidak ditangkap, saya dibaptis pada waktu malam semasa hari sudah gelap. Beberapa lama kemudian, suami saya dihantar ke kem buruh yang jauh kerana dia seorang Saksi. Saya terus menginjil di kampung saya di Rusia dengan berhati-hati, dan beberapa orang jiran saya telah menerima kebenaran. Ketika itu, hanya ada sedikit Saksi di Rusia, tetapi sekarang saya bersukacita kerana ada lebih daripada 168,000 orang Saksi di Rusia!”

Kimiko Yamano

Kimiko Yamano (berusia 79 tahun, dibaptis pada tahun 1954) berkata, “Semasa saya mengetahui bahawa ada sebanyak 10,000 orang penyiar di Jepun pada tahun 1970, saya tidak dapat menahan air mata sendiri kerana terlalu gembira. Saya tergerak untuk berjanji kepada Yehuwa, ‘Selagi saya hidup, saya akan terus setia kepada-Mu.’ Bayangkan betapa gembiranya saya sekarang kerana jumlah penyiar kini sudah melebihi 216,000 orang!”

Daniel Odogun

Daniel Odogun (berusia 83 tahun) berkata, “Semasa saya dibaptis pada tahun 1950, jumlah penyiar di Nigeria ialah 8,000 orang. Hari ini, jumlahnya sudah kira-kira 351,000 orang! Saya berasa sangat digalakkan apabila melihat begitu ramai orang menghadiri perhimpunan. Hal itu mengingatkan saya tentang Hagai 2:7. Yehuwa benar-benar menggoncangkan bangsa-bangsa, dan barang-barang yang berharga sedang dibawa masuk. Saya masih berusaha sedaya upaya untuk menginjil kerana itulah cara saya dapat mengatakan, ‘Terima kasih, Yehuwa!’”

Carlos Silva

Carlos Silva (berusia 79 tahun) berkata, “Saya dibaptis pada tahun 1952. Terdapat 5,000 Saksi di Brazil pada masa itu. Kami mengadakan perhimpunan di sebuah gimnasium di São Paulo pada tahun itu. Saya hanya dapat melihat dua buah kereta di tempat letak kereta. Seorang saudara menuding jari ke arah Stadium Pacaembu dan bertanya, ‘Kamu rasa mungkinkah kita memenuhi stadium itu suatu hari nanti?’ Hal itu nampak mustahil, tetapi pada tahun 1973, stadium itu dipenuhi dengan 94,586 hadirin! Hari ini, kita ada lebih daripada 767,000 Saksi di Brazil. Pertambahan itu sungguh hebat!”

Carlos Cázares

Carlos Cázares (berusia 73 tahun) berkata, “Pada tahun 1954, ada 10,500 penyiar di Mexico. Saya dibaptis pada tahun itu. Keperluan pada masa itu begitu besar sehingga saya dilantik sebagai penyelia litar pada usia 21 tahun. Menyaksikan kata-kata Yesaya 60:22 menjadi kenyataan dengan mata sendiri merupakan satu berkat. Kini kita mempunyai lebih daripada 806,000 penyiar di Mexico yang mengadakan lebih daripada sejuta pembelajaran Bible! Sungguh menakjubkan!”

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi