PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • bt bab 3 ms. 22-30
  • “Dipenuhi dengan Kuasa Suci Tuhan”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • “Dipenuhi dengan Kuasa Suci Tuhan”
  • ‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • ‘Semua Berkumpul di Tempat yang Sama’ (Kis. 2:1-4)
  • ‘Mereka Mendengar dalam Bahasa Ibunda Mereka Masing-Masing’ (Kis. 2:5-13)
  • “Petrus Berdiri” (Kis. 2:14-37)
  • “Hendaklah Kamu Masing-Masing Dibaptis” (Kis. 2:38-47)
  • ‘Sekarang Kamu Umat Tuhan’
    Menara Pengawal—2014
  • Para Rasul Menerima Kuasa Suci Tuhan
    Belajar daripada Cerita-Cerita Bible
‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
bt bab 3 ms. 22-30

BAB 3

“Dipenuhi dengan Kuasa Suci Tuhan”

Kesan kuasa suci Tuhan yang dicurahkan semasa Pentakosta

Berdasarkan Kisah 2:1-47

1. Gambarkan suasana semasa Perayaan Pentakosta.

JALAN-JALAN di Yerusalem dipenuhi dengan kemeriahan.a Asap naik berkepul-kepul dari mazbah dan orang Lewi sedang bernyanyi lagu Hallel (Mazmur 113 hingga 118), kemungkinan mereka menyanyikannya secara bersahutan. Para pengunjung memenuhi jalan itu. Mereka datang dari tempat-tempat yang sangat jauh seperti Elam, Mesopotamia, Kapadokia, Pontus, Mesir, dan Roma.b Apakah peristiwa yang sedang berlangsung? Perayaan Pentakosta, iaitu semasa orang mempersembahkan “hasil pertama tanaman” sebagai korban. (Bil. 28:26) Perayaan tahunan ini menandakan berakhirnya musim menuai barli dan bermulanya musim menuai gandum. Sememangnya, itu merupakan hari yang menggembirakan.

Sebuah peta yang menunjukkan tempat asal orang yang mendengar berita baik semasa Pentakosta 33 M. 1. Kawasan: Libia, Mesir, Etiopia, Bitinia, Pontus, Kapadokia, Yudea, Mesopotamia, Babilonia, Elam, Media, dan Partia. 2. Kota-kota: Roma, Aleksandria, Memfis, Antiokhia (di Siria), Yerusalem, dan Babilon. 3. Laut: Laut Mediterranean, Laut Hitam, Laut Merah, Laut Kaspia, dan Teluk Persia.

YERUSALEM​—PUSAT AGAMA YAHUDI

Kebanyakan peristiwa yang tercatat dalam beberapa bab pertama buku Kisah berlaku di Yerusalem. Kota ini terletak di kawasan pergunungan di bahagian tengah Yudea. Kedudukan kota itu kira-kira 55 km di bahagian timur Laut Mediterranean. Pada tahun 1070 SM, Raja Daud telah menakluki kubu di puncak Gunung Sion, yang terletak di Yerusalem. Pada kemudian hari, kota yang berkembang maju di sekeliling kubu itu menjadi ibu negara bangsa Israel kuno.

Berdekatan dengan Gunung Sion, terletaknya Gunung Moria. Menurut kisah orang Yahudi kuno, di situlah Abraham telah bersedia untuk mempersembahkan Ishak sebagai korban, kira-kira 1,900 tahun sebelum peristiwa yang dicatatkan dalam buku Kisah. Gunung Moria menjadi sebahagian daripada kota Yerusalem apabila Salomo membina Rumah Tuhan yang pertama di situ. Rumah Tuhan ini menjadi pusat aktiviti dan ibadat orang Yahudi.

Semua orang Yahudi dari serata tempat datang ke Rumah Tuhan secara tetap untuk memberikan korban, beribadat, dan merayakan perayaan tahunan. Ini selaras dengan perintah Tuhan: ‘Tiga kali setahun, semua lelaki dalam kalangan kamu harus datang menghadap Yehuwa, Tuhan kamu, di tempat yang dipilih-Nya.’ (Ul. 16:16) Di Yerusalem juga terdapat Majlis Orang Yahudi. Majlis ini merupakan mahkamah tinggi orang Yahudi dan mempunyai kuasa atas komuniti, kerajaan, dan agama.

2. Apakah peristiwa menakjubkan yang berlaku pada Pentakosta 33 M?

2 Pada tahun 33 M, sekitar jam 9:00 pagi, suatu peristiwa bersejarah yang istimewa telah berlaku. Pada masa itu, tiba-tiba “kedengaran bunyi dari langit seperti tiupan angin kencang.” (Kis. 2:2) Bunyi itu memenuhi seluruh rumah semasa sekitar 120 orang murid Yesus berkumpul. Kemudian, sesuatu yang menakjubkan berlaku. Mereka melihat sesuatu seperti lidah-lidah api yang tersebar dan hinggap di atas kepala setiap seorang daripada mereka. Lalu murid-murid Yesus “dipenuhi dengan kuasa suci Tuhan” dan mula bercakap dalam pelbagai bahasa! Semasa murid-murid Yesus meninggalkan rumah itu, para pengunjung yang berjumpa dengan mereka berasa terkejut kerana mendengar murid-murid Yesus ‘bertutur kepada mereka dalam bahasa ibunda mereka masing-masing.’​—Kis. 2:1-6.

3. (a) Mengapakah Pentakosta 33 M merupakan titik bersejarah bagi ibadat sejati? (b) Semasa berucap kepada orang ramai pada hari itu, bagaimanakah Petrus menggunakan salah satu daripada ‘kunci Kerajaan’?

3 Kisah itu menggambarkan peristiwa penting dalam ibadat sejati, iaitu terbentuknya bangsa Israel rohani, yang terdiri daripada sidang Kristian yang terurap. (Gal. 6:16) Tetapi bukan itu sahaja. Semasa Petrus bercakap dengan orang ramai, dia menggunakan kunci pertama antara tiga ‘kunci Kerajaan.’ Setiap kunci itu membuka jalan agar pelbagai kumpulan manusia berpeluang menerima berkat istimewa. (Mat. 16:18, 19) Kunci pertama membolehkan orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi menerima berita baik dan diurapi dengan kuasa suci Tuhan.c Dengan demikian, mereka dapat menjadi sebahagian daripada Israel rohani dan mempunyai harapan untuk memerintah sebagai raja dan imam dalam Kerajaan Mesias. (Why. 5:9, 10) Belakangan, peluang ini diberikan kepada orang Samaria dan orang bukan Yahudi. Apakah yang dapat dipelajari oleh orang Kristian hari ini daripada peristiwa penting yang berlaku pada Pentakosta 33 M?

‘Semua Berkumpul di Tempat yang Sama’ (Kis. 2:1-4)

4. Bagaimanakah sidang Kristian hari ini meneruskan kerja yang dilakukan oleh sidang yang ditubuhkan pada 33 M?

4 Mula-mula, sidang Kristian terdiri daripada 120 orang murid Yesus yang “berkumpul di tempat yang sama” dan diurapi dengan kuasa suci Tuhan. (Kis. 2:1) Pada penghujung hari itu, ribuan orang telah dibaptis dan menjadi sebahagian daripada sidang Kristian itu. Namun, itu hanyalah permulaan. Sehingga hari ini, organisasi Tuhan terus berkembang maju! Hal ini kerana menerusi sidang Kristian zaman moden, ‘berita baik tentang Kerajaan Tuhan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa’ sebelum akhir sistem dunia ini tiba.​—Mat. 24:14.

5. Apakah berkat yang diraih dengan menyertai sidang Kristian, sama ada pada abad pertama atau hari ini?

5 Sidang Kristian juga dapat menguatkan kerohanian umat Tuhan, tidak kira mereka ialah kaum terurap ataupun “biri-biri lain.” (Yoh. 10:16) Paulus sangat menghargai usaha ahli sidang yang saling membantu. Dia menulis kepada sidang Roma, “Aku ingin sekali berjumpa dengan kamu supaya aku dapat memberi kamu kurniaan rohani agar kamu diteguhkan; atau, dalam kata lain, supaya kamu dapat menggalakkan aku melalui iman kamu, dan aku dapat menggalakkan kamu melalui iman aku.”​—Rm. 1:11, 12.

ROMA​—IBU KOTA SEBUAH EMPAYAR

Sepanjang masa yang diliputi dalam buku Kisah, Roma merupakan kota yang terbesar dan paling penting dari segi politik pada masa itu. Kota itu merupakan ibu kota sebuah empayar yang pernah menguasai kawasan dari Britain hingga ke Afrika Utara, dan dari Lautan Atlantik hingga ke Teluk Persia.

Di Roma, terdapat orang daripada pelbagai budaya, bahasa, bangsa, dan kepercayaan. Jalan-jalan yang dijaga dengan baik menghubungkan pengembara dan pedagang dari setiap pelosok empayar. Di pelabuhan Ostia yang berdekatan, banyak kapal membawa makanan dan barang-barang mewah ke kota itu.

Pada abad pertama M, lebih daripada satu juta orang tinggal di Roma. Barangkali, separuh daripada populasinya ialah hamba, yang merangkumi penjenayah yang dihukum, anak-anak yang dijual atau ditinggalkan oleh ibu bapa mereka, dan banduan yang ditangkap semasa kempen yang dijalankan oleh tentera Roma. Pada tahun 63 SM, Panglima Pompey dari Roma telah menawan kota Yerusalem. Jadi, ada juga orang Yahudi yang dibawa ke Roma sebagai hamba.

Kebanyakan orang bebas yang tinggal di Roma ialah orang yang sangat miskin. Mereka tinggal di perumahan yang bertingkat-tingkat dan sangat sesak serta bergantung pada bantuan kerajaan. Namun, maharaja mengindahkan kota dengan membina bangunan-bangunan yang sangat indah. Contohnya, terdapat teater dan stadium yang besar yang menayangkan persembahan pentas, pertarungan gladiator, dan perlumbaan kereta kuda. Semuanya percuma untuk hiburan penduduk kota.

6, 7. Bagaimanakah sidang Kristian hari ini melaksanakan tugas yang diberikan oleh Yesus untuk menginjil kepada semua bangsa?

6 Hari ini, sidang Kristian mempunyai matlamat yang sama dengan sidang pada abad pertama. Meskipun ada cabaran, tugas yang diberikan Yesus membawa sukacita. Dia berkata, “Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka atas nama Bapa, Anak, dan kuasa suci Tuhan. Ajarlah mereka mentaati segala yang telah aku perintahkan kepada kamu.”​—Mat. 28:19, 20.

7 Hari ini, Yehuwa menggunakan sidang Kristian Saksi-Saksi Yehuwa untuk melaksanakan kerja ini. Sudah tentu, tidak senang untuk mencapai orang yang menuturkan pelbagai bahasa. Namun, Saksi-Saksi Yehuwa telah menghasilkan bahan-bahan berdasarkan Bible dalam lebih daripada 1,000 bahasa. Jika anda menghadiri perjumpaan Kristian secara tetap serta menyertai kerja penyebaran dan menjadikan orang murid Yesus, anda ada sebab untuk bersukacita. Sememangnya, anda mempunyai penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada orang yang memberikan kesaksian tentang nama Yehuwa!

8. Apakah bantuan yang kita terima melalui sidang?

8 Untuk membantu anda tabah semasa berdepan dengan masa genting yang sukar dihadapi, Yehuwa telah memberi anda rakan seiman di serata dunia. Paulus menulis kepada orang Kristian Ibrani, “Marilah kita memperhatikan satu sama lain supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik. Janganlah abaikan perjumpaan kita seperti yang biasa dilakukan oleh sesetengah orang. Sebaliknya hendaklah kita menggalakkan satu sama lain, lebih-lebih lagi seraya kamu nampak hari itu semakin mendekat.” (Ibr. 10:24, 25) Sidang Kristian ialah kurniaan daripada Yehuwa supaya anda dapat digalakkan dan menggalakkan orang lain. Jadi, kekalkanlah hubungan akrab dengan saudara dan saudari. Jangan abaikan perjumpaan Kristian!

‘Mereka Mendengar dalam Bahasa Ibunda Mereka Masing-Masing’ (Kis. 2:5-13)

Murid-murid Yesus menginjil kepada orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi di sebuah jalan yang sibuk.

“Kita mendengar mereka bercakap dalam bahasa kita tentang perkara-perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Tuhan.”​—Kisah 2:11

9, 10. Bagaimanakah sesetengah orang berusaha menginjil kepada mereka yang berbahasa asing?

9 Bayangkan betapa riuh suasana dalam kalangan orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi semasa Pentakosta 33 M. Mereka mungkin boleh bercakap dalam bahasa yang umum, seperti bahasa Yunani atau Ibrani. Tetapi sekarang mereka “mendengar murid-murid Yesus bertutur dalam bahasa ibunda mereka masing-masing.” (Kis. 2:6) Sudah pasti, mereka tersentuh kerana dapat mendengar berita baik dalam bahasa ibunda mereka. Orang Kristian hari ini tidak dikurniai kebolehan untuk bertutur dalam pelbagai bahasa secara mukjizat. Namun, banyak antara mereka merelakan diri untuk menginjil kepada orang yang berbahasa asing. Bagaimana? Ada yang belajar bahasa baharu supaya mereka dapat berkhidmat di sidang bahasa asing yang berdekatan atau bahkan berpindah ke kawasan lain. Sering kali, pendengar mereka berasa kagum dengan usaha mereka.

10 Perhatikan pengalaman Christine yang menyertai kursus bahasa Gujarat bersama dengan tujuh lagi Saksi lain. Semasa dia berjumpa dengan seorang rakan sekerja yang bertutur bahasa Gujarat, dia menyapanya dalam bahasa ibunda wanita itu. Wanita itu kagum dan ingin tahu mengapa Christine berusaha untuk belajar bahasa yang begitu susah seperti Gujarat. Christine dapat memberikan kesaksian yang baik. Wanita itu memberitahu Christine, “Kamu pasti ada sesuatu yang penting mahu beritahu.”

11. Bagaimanakah kita dapat bersedia menginjil kepada orang yang menuturkan bahasa asing?

11 Sudah tentu, bukan semua antara kita dapat belajar bahasa lain. Namun, kita dapat membuat persiapan untuk menginjil kepada orang yang berbahasa asing. Bagaimana? Satu cara adalah dengan menggunakan aplikasi JW Language® untuk belajar memberikan salam ringkas dalam bahasa yang biasa dituturkan di kawasan anda. Anda juga boleh belajar beberapa frasa dalam bahasa itu yang mungkin menarik minat orang. Halakan perhatian mereka ke jw.org. Anda boleh menunjukkan pelbagai video dan bahan bacaan yang tersedia dalam bahasa mereka di laman web kita. Dengan menggunakan alat-alat sebegini, kita dapat merasai sukacita yang sama seperti rakan seiman abad pertama apabila orang dari pelbagai tempat berasa kagum semasa mendengar berita baik “dalam bahasa ibunda mereka masing-masing.”

ORANG YAHUDI DI MESOPOTAMIA DAN MESIR

Buku The History of the Jewish People in the Age of Jesus Christ (175 SM–135 M) menyatakan, “Di Mesopotamia, Media, dan Babilonia, terdapat orang daripada keturunan kerajaan 10 suku [Israel] dan kerajaan Yehuda yang telah dibawa ke sana oleh orang Assyria dan Babilon.” Menurut Ezra 2:64, hanya 42,360 orang Israel kembali ke Yerusalem daripada pembuangan di Babilon. Hal ini berlaku pada 537 SM. Menurut Flavius Josephus, pada abad pertama M, orang Yahudi yang “tinggal di sekitar Babilonia” telah mencapai sehingga puluhan ribu. Pada abad ketiga hingga kelima M, mereka telah menghasilkan sebuah karya yang dikenali sebagai Kitab Talmud Babilon.

Terdapat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa orang Yahudi tinggal di Mesir sekurang-kurangnya sejak abad keenam SM. Pada masa itu, Yeremia telah menujukan mesejnya kepada orang Yahudi yang tinggal di pelbagai kawasan di Mesir, termasuk Memfis. (Yer. 44:1, nota kaki) Kemungkinan besar, kebanyakan orang berpindah ke Mesir pada zaman apabila budaya Yunani mempengaruhi bangsa-bangsa lain. Josephus menyatakan bahawa orang Yahudi merupakan antara penduduk awal di Aleksandria. Pada kemudian hari, terdapat satu bahagian kota itu yang dikhaskan untuk mereka. Pada abad pertama M, Philo, seorang penulis Yahudi, menyatakan bahawa terdapat sekitar sejuta rakan sebangsanya tinggal di Mesir, iaitu dari kawasan di Libia hingga ke sempadan Etiopia.

“Petrus Berdiri” (Kis. 2:14-37)

12. (a) Bagaimanakah peristiwa menakjubkan yang berlaku pada Pentakosta 33 M selaras dengan nubuat Nabi Yoel? (b) Mengapakah murid-murid Yesus menantikan nubuat Yoel menjadi kenyataan pada abad pertama?

12 “Petrus berdiri” untuk bercakap dengan orang daripada pelbagai bangsa. (Kis. 2:14) Dia menjelaskan bahawa kebolehan untuk bertutur dalam pelbagai bahasa secara mukjizat telah dikurniakan oleh Tuhan dan selaras dengan nubuat Yoel: “Aku akan mencurahkan kuasa suci-Ku ke atas segala macam orang.” (Yl. 2:28) Sebelum naik ke syurga, Yesus memberitahu murid-muridnya, “Aku akan memohon kepada Bapa dan Dia akan memberi kamu penolong lain,” iaitu “kuasa suci Tuhan.”​—Yoh. 14:16, 17.

13, 14. Bagaimanakah Petrus berusaha mencapai hati pendengarnya, dan bagaimanakah kita dapat menirunya?

13 Kata-kata penutup Petrus kepada orang ramai sangat terus terang. Dia berkata, “Hendaklah semua orang Israel tahu dan yakin bahawa Yesus yang kamu hukum bunuh pada tiang itu telah dilantik oleh Tuhan sebagai Tuan dan Kristus.” (Kis. 2:36) Memang, bukan semua pendengar Petrus hadir semasa Yesus dihukum mati pada tiang seksaan. Namun sebagai satu bangsa, mereka bertanggungjawab atas perbuatan itu. Meskipun demikian, Petrus bercakap dengan orang Yahudi dengan penuh hormat dan berusaha mencapai hati mereka. Matlamat Petrus bukanlah untuk mengutuk mereka, tetapi membantu mereka untuk bertaubat. Adakah orang ramai menjadi marah selepas mendengar kata-kata Petrus? Tidak. Bible berkata “hati orang ramai terhiris,” yang bermaksud hati mereka tersentuh, lalu mereka bertanya, “Apakah yang harus kami lakukan?” Kemungkinan besar, cara Petrus yang penuh hormat membantunya mencapai hati banyak orang sehingga mereka terdorong untuk bertaubat.​—Kis. 2:37.

14 Kita juga boleh meniru Petrus dengan berusaha untuk mencapai hati orang. Semasa memberikan kesaksian, kita tidak perlu membincangkan setiap pandangan penghuni rumah yang tidak selaras dengan Bible. Sebaliknya, kita boleh mencari titik persamaan dengan pendengar kita dan menggunakan Firman Tuhan untuk membantu mereka membuat kesimpulan yang betul. Biasanya, apabila kebenaran Bible disampaikan dalam cara yang positif, orang yang berhati jujur akan lebih sudi mendengar.

ORANG KRISTIAN DI PONTUS

Antara orang yang mendengar ucapan Petrus pada Pentakosta 33 M ialah orang Yahudi dari Pontus, sebuah daerah di utara Asia Kecil. (Kis. 2:9) Dalam suratnya yang pertama, Petrus menulis kepada rakan seiman yang “tercerai-berai” ke merata tempat, seperti di Pontus.f (1 Ptr. 1:1) Jadi, nampaknya sesetengah daripada mereka telah membawa berita baik ke kampung halaman mereka. Surat Petrus menunjukkan bahawa orang Kristian ini “berdukacita kerana menanggung berbagai-bagai cubaan” demi iman. (1 Ptr. 1:6) Mereka mungkin menghadapi tentangan dan penganiayaan.

Bukti bahawa orang Kristian di Pontus menghadapi penganiayaan dapat dilihat daripada surat antara Pliny yang Muda dan Maharaja Trajan (Traianus). Pliny ialah gabenor Roma yang menjaga wilayah Bitinia dan Pontus. Dalam suratnya yang ditulis sekitar tahun 112 M, Pliny melaporkan bahawa “wabak” orang Kristian membahayakan semua orang, tidak kira jantina, umur, atau kedudukan. Pliny memberikan peluang kepada orang yang didakwa sebagai Kristian untuk menyangkal iman mereka, dan orang yang tidak berbuat demikian akan dibunuh. Sesiapa yang mengutuk Kristus atau mengucapkan doa kepada dewa dewi lain atau patung Trajan akan dibebaskan. Pliny mengakui bahawa tindakan ini merupakan “perkara yang mustahil dilakukan oleh orang Kristian sejati.”

f Ungkapan “tercerai-berai” berasal daripada ungkapan yang merujuk kepada komuniti Yahudi di luar Palestin. Ini menunjukkan bahawa banyak orang yang mula-mula memeluk agama Kristian berasal daripada komuniti Yahudi.

“Hendaklah Kamu Masing-Masing Dibaptis” (Kis. 2:38-47)

15. (a) Apakah penyataan yang dibuat oleh Petrus, dan apakah reaksi orang? (b) Mengapakah ribuan orang yang mendengar berita baik semasa Pentakosta layak untuk dibaptis pada hari yang sama?

15 Semasa Pentakosta 33 M, Petrus memberitahu orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi, “Bertaubatlah, dan hendaklah kamu masing-masing dibaptis.” (Kis. 2:38) Hasilnya, sekitar 3,000 orang dibaptis, kemungkinan di dalam kolam di Yerusalem atau berdekatan dengannya.d Adakah tindakan mereka terburu-buru? Adakah kisah ini menunjukkan bahawa pelajar Bible dan anak-anak Saksi boleh terburu-buru untuk dibaptis walaupun mereka belum bersedia? Sudah tentu tidak. Ingatlah, orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi yang dibaptis pada Pentakosta 33 M ialah orang yang mengkaji Firman Tuhan dengan teliti dan merupakan sebahagian daripada bangsa yang sudah dibaktikan kepada Yehuwa. Selain itu, mereka telah menunjukkan semangat mereka. Misalnya, ada antara mereka sanggup mengadakan perjalanan jauh untuk menghadiri perayaan tahunan tersebut. Selepas menerima kebenaran penting mengenai peranan Yesus Kristus dalam pelaksanaan tujuan Tuhan, mereka bersedia untuk terus berkhidmat kepada Yehuwa, tetapi sekarang sebagai pengikut Kristus yang dibaptis.

SIAPAKAH ITU PEMELUK AGAMA YAHUDI?

‘Orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi’ mendengar ucapan Petrus pada Pentakosta 33 M.​—Kis. 2:10.

Antara lelaki yang dilantik untuk “mengendalikan tugas penting” bagi pembahagian makanan seharian ialah Nikolaus “dari Antiokhia, seorang pemeluk agama Yahudi.” (Kis. 6:3-5) Pemeluk agama Yahudi ialah orang daripada bangsa lain. Namun, mereka dianggap sebagai orang Yahudi dalam semua aspek kerana mereka menerima Tuhan dan Hukum orang Israel, menolak dewa dewi lain, disunat (jika lelaki), dan menyertai bangsa Israel.

Selepas orang Yahudi dibebaskan dari Babilon pada tahun 537 SM, banyak antara mereka tinggal jauh dari tanah Israel tetapi terus menganuti agama Yahudi. Maka, orang di serata Timur Tengah kuno dan kawasan-kawasan lain dapat mengetahui agama Yahudi. Penulis pada zaman kuno, seperti Horace dan Seneca, mengatakan bahawa banyak orang dari pelbagai kawasan tertarik kepada orang Yahudi dan kepercayaan Yahudi. Jadi, mereka menyertai komuniti Yahudi dan menjadi pemeluk agama Yahudi.

16. Bagaimanakah orang Kristian pada abad pertama menunjukkan sikap rela berkorban?

16 Sememangnya, Yehuwa memberkati mereka. Bible berkata, “Semua murid baharu berkumpul dan mengongsi segala milik mereka. Mereka menjual harta milik mereka dan membahagi-bahagikan wang yang diperoleh kepada semua orang menurut keperluan masing-masing.”e (Kis. 2:44, 45) Sebagai orang Kristian sejati, kita pasti ingin meniru kasih mereka dan semangat mereka yang rela berkorban.

17. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh seseorang agar layak dibaptis?

17 Pembaktian dan pembaptisan orang Kristian merangkumi beberapa langkah penting. Seseorang mesti mempunyai pengetahuan tentang Firman Tuhan. (Yoh. 17:3) Dia perlu menunjukkan iman serta bertaubat dan benar-benar menyesali perbuatannya yang dahulu. (Kis. 3:19) Kemudian, dia harus mengubah haluan hidup dan mula menjalani hidup yang selaras dengan kehendak Tuhan. (Rm. 12:2; Ef. 4:23, 24) Selepas itu, dia akan membaktikan diri kepada Tuhan melalui doa dan dibaptis.​—Mat. 16:24; 1 Ptr. 3:21.

18. Apakah peluang yang terbuka kepada pengikut Kristus yang terbaptis?

18 Adakah anda seorang murid Yesus yang sudah membaktikan diri dan dibaptis? Jika ya, seperti murid-murid Yesus pada abad pertama yang dipenuhi dengan kuasa suci Tuhan, anda dapat digunakan oleh Yehuwa dalam cara yang istimewa untuk memberikan kesaksian dan melakukan kehendak-Nya. Jadi, hargailah peluang yang dikurniakan kepada anda!

a Lihat kotak “Yerusalem​—Pusat Agama Yahudi.”

b Lihat kotak “Roma​—Ibu Kota Sebuah Empayar,” “Orang Yahudi di Mesopotamia dan Mesir,” dan “Orang Kristian di Pontus.”

c Lihat kotak “Siapakah Itu Pemeluk Agama Yahudi?”

d Sebagai gambaran, pada 7 Ogos 1993, sebuah konvensyen antarabangsa Saksi-Saksi Yehuwa diadakan di Kiev, Ukraine. Semasa konvensyen itu, sebanyak 7,402 orang dibaptis di dalam enam buah kolam. Acara pembaptisan itu mengambil masa selama dua jam dan lima belas minit.

e Aturan sementara ini dibuat untuk memenuhi keperluan para pengunjung supaya mereka dapat tinggal lebih lama di Yerusalem dan memahami ajaran Kristian. Aturan ini berdasarkan sumbangan sukarela dan bukan suatu fahaman politik seperti komunisme.​—Kis. 5:1-4.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi