Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
5-11 NOVEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOHANES 20-21
“Adakah Kamu Mengasihi Aku Lebih daripada Semua Ini?”
(Yohanes 21:15-19) Selepas mereka bersarapan, Yesus bertanya kepada Simon Petrus, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi aku lebih daripada semua ini?” Petrus berkata kepadanya, “Ya Tuan. Tuan tahu bahawa aku mengasihi Tuan.” Maka Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah anak bebiriku.” 16 Untuk kali kedua Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi aku?” Petrus menjawab, “Ya Tuan. Tuan tahu bahawa aku mengasihi Tuan.” Yesus berkata kepadanya, “Hendaklah kamu menggembala anak bebiriku.” 17 Untuk kali ketiga Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi aku?” Petrus sedih kerana Yesus bertanya buat kali ketiga, “Adakah kamu mengasihi aku?” Oleh itu Petrus menjawab, “Tuan mengetahui segala sesuatu. Tuan tahu bahawa aku mengasihi Tuan.” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah anak bebiriku. 18 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Semasa kamu lebih muda, kamu mengenakan pakaianmu sendiri dan berjalan ke mana sahaja kamu mahu. Tetapi apabila kamu menjadi tua, kamu akan menghulurkan tangan dan orang lain akan mengenakan pakaian untukmu dan membawa kamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.” 19 Dia berkata demikian untuk menunjukkan bagaimana Petrus akan mati kelak untuk memuliakan Tuhan. Selepas itu, dia berkata kepada Petrus, “Teruslah mengikut aku.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 21:15, 17
Yesus bertanya kepada Simon Petrus: Perbualan ini telah berlaku tidak lama selepas Petrus menyangkal Yesus sebanyak tiga kali. Yesus menanyakan tiga soalan tentang perasaan Petrus terhadapnya, sehingga Petrus berasa sedih. (Yoh 21:17) Catatan Yohanes di Yoh 21:15-17 menggunakan dua kata kerja Yunani yang berlainan: a·ga·paʹo dan phi·leʹo. Dalam bahasa Melayu, kedua-dua perkataan ini diterjemahkan sebagai “mengasihi.” Sebanyak tiga kali Yesus bertanya kepada Petrus, “Adakah kamu mengasihi aku?” Setiap kali Petrus menyatakan bahawa dia mengasihi Yesus, Yesus menekankan bahawa kasih itu harus mendorong Petrus untuk memelihara dan “menggembala” murid-murid (anak bebiri) Yesus secara rohani. (Yoh 21:16, 17; 1Pt 5:1-3) Selepas Petrus menyatakan sebanyak tiga kali bahawa dia mengasihi Yesus, Yesus mengamanahkan Petrus tanggungjawab untuk memelihara bebirinya. Dengan demikian, Yesus meyakinkan Petrus bahawa dia telah mengampuninya meskipun Petrus menyangkalnya tiga kali.
adakah kamu mengasihi aku lebih daripada semua ini?: Dari segi tatabahasa, terdapat beberapa cara untuk mentafsirkan frasa “lebih daripada semua ini.” Sesetengah cendekiawan berpendapat bahawa frasa ini bermaksud “adakah kasihmu terhadapku lebih daripada kasihmu terhadap murid-murid lain?” atau “adakah kasihmu terhadapku lebih dalam berbanding kasih murid-murid lain terhadapku?” Walau bagaimanapun, nampaknya erti yang sebenar ialah “adakah kamu mengasihi aku lebih daripada semua perkara ini?” iaitu ikan yang ditangkap atau perkara yang berkaitan dengan kerja sebagai nelayan. Maka maksud keseluruhan ayat ini nampaknya ialah, “Adakah kamu mengasihi aku lebih daripada harta benda atau kekayaan? Jika ya, peliharalah anak bebiriku.” Soalan ini sesuai dengan latar belakang Petrus. Meskipun Petrus ialah salah seorang murid Yesus yang awal (Yoh 1:35-42), dia tidak serta-merta mengikut Yesus sepenuh masa. Sebaliknya, dia kembali kepada kerja menangkap ikan. Beberapa bulan kemudian, Yesus memanggil Petrus untuk meninggalkan kerja itu dan menjadi “penjala manusia.” (Mt 4:18-20; Lu 5:1-11) Tidak lama selepas kematian Yesus, Petrus pergi menangkap ikan lagi, dan murid lain mengikutnya. (Yoh 21:2, 3) Jadi Yesus nampaknya sedang membantu Petrus memahami bahawa dia perlu membuat pilihan: Adakah dia akan mengutamakan kerjaya sebagai nelayan, yang dilambangkan oleh timbunan ikan di hadapan mereka, atau adakah dia akan mengutamakan kerja memelihara anak bebiri, atau pengikut Yesus?—Yoh 21:4-8.
Untuk kali ketiga: Petrus telah menyangkal Tuannya tiga kali; kini Yesus memberi Petrus peluang sebanyak tiga kali untuk menunjukkan bahawa dia benar-benar mengasihi Yesus. Semasa Petrus berbuat demikian, Yesus menyuruhnya menunjukkan kasih itu dengan mengutamakan khidmat suci dalam hidupnya. Petrus bersama dengan saudara lain yang bertanggungjawab akan memelihara, menguatkan, dan menggembala kawanan Kristus yang terdiri daripada pengikutnya yang setia. Meskipun mereka ialah orang yang terurap, mereka masih memerlukan makanan rohani.—Lu 22:32.
Mencari Permata Rohani
(Yohanes 20:17) Yesus berkata kepadanya, “Jangan berpaut padaku, kerana aku belum lagi pergi kepada Bapa. Pergilah kepada saudara-saudaraku dan beritahulah mereka, ‘Aku akan pergi kepada Bapaku yang juga Bapa kamu, kepada Tuhanku yang juga Tuhan kamu.’”
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 20:17
Jangan berpaut padaku: Kata kerja Yunani haʹpto·mai boleh bermaksud “menyentuh” atau “berpaut pada; bergantung pada.” Sesetengah penterjemah menterjemahkan kata-kata Yesus sebagai, “Jangan menyentuh aku.” Namun, Yesus bukannya menghalang Maria Magdalena daripada menyentuhnya, memandangkan dia juga tidak menghalang wanita lain daripada memegang kakinya selepas dia dibangkitkan. (Mt 28:9) Nampaknya Maria Magdalena bimbang bahawa Yesus akan naik ke syurga. Oleh sebab dia ingin sekali bersama dengan Tuannya, dia berpaut pada Yesus dan tidak mahu dia pergi. Bagi meyakinkan Maria bahawa dia belum lagi pergi, Yesus menyuruh Maria supaya jangan lagi berpaut padanya. Sebaliknya, Maria disuruh untuk pergi kepada murid-murid Yesus dan menyebarkan berita tentang pembangkitannya.
(Yohanes 20:28) Tomas berkata kepadanya, “Tuanku dan Tuhanku!”
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 20:28
Tuanku dan Tuhanku!: Sesetengah cendekiawan menganggap bahawa pernyataan ini mengungkapkan rasa takjub yang diucapkan kepada Yesus tetapi sebenarnya ditujukan kepada Tuhan, Bapanya. Yang lain mendakwa bahawa dalam bahasa Yunani asal, kata-kata itu ditujukan kepada Yesus. Biarpun hal itu benar, kita harus mengambil kira konteks keseluruhan Ayat-Ayat Suci yang diilhami Tuhan untuk mengetahui maksud sebenar pernyataan “Tuanku dan Tuhanku.” Catatan menunjukkan bahawa sebelum itu, Yesus menyampaikan mesej berikut kepada murid-muridnya: “Aku akan pergi kepada Bapaku yang juga Bapa kamu, kepada Tuhanku yang juga Tuhan kamu.” Maka tiada sebab untuk kita percaya bahawa Tomas berfikir Yesus ialah Tuhan yang maha kuasa. Tomas telah mendengar Yesus berdoa kepada Bapanya, dan memanggil-Nya “satu-satunya Tuhan yang benar.” (Yoh 17:1-3) Jadi Tomas mungkin memanggil Yesus “Tuhanku” atas sebab-sebab yang berikut: Dia menganggap Yesus sebagai “tuhan” tetapi bukannya Tuhan yang maha kuasa. (Lihat nota pembelajaran untuk Yoh 1:1.) Atau dia mungkin memanggil Yesus sepertimana hamba Tuhan memanggil malaikat yang mewakili Yehuwa, seperti yang tercatat dalam Kitab Ibrani. Tomas tentu mengetahui kisah tentang individu, atau ada kalanya penulis Bible, yang bercakap dengan malaikat seolah-olah malaikat itu ialah Tuhan Yehuwa. (Bandingkan Kej 16:7-11, 13; 18:1-5, 22-33; 32:24-30; Hak 6:11-15; 13:20-22.) Oleh itu, Tomas mungkin memanggil Yesus “Tuhanku” dalam erti ini, iaitu dengan mengakui Yesus sebagai wakil dan jurucakap Tuhan yang benar.
12-18 NOVEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KISAH 1-3
“Kuasa Suci Tuhan Dicurahkan Ke Atas Sidang Kristian”
(Kisah 2:42-47) Mereka terus menumpukan sepenuh perhatian kepada ajaran para rasul, bergaul dengan satu sama lain, dan makan serta berdoa bersama-sama. 43 Banyak keajaiban dan mukjizat dilakukan oleh para rasul. Semua orang yang menyaksikan hal-hal itu dipenuhi rasa takut akan Tuhan. 44 Semua murid baharu berkumpul dan mengongsi segala milik mereka. 45 Mereka menjual harta milik mereka dan membahagi-bahagikan wang yang diperoleh kepada semua orang menurut keperluan masing-masing. 46 Dengan sehati, mereka berkumpul di Rumah Tuhan setiap hari. Mereka makan di rumah satu sama lain dengan sukacita yang besar, dan melakukan segala sesuatu dengan tulus hati. 47 Mereka memuji Tuhan dan mereka disenangi oleh semua orang. Pada masa yang sama, tiap-tiap hari Yehuwa terus membawa lebih banyak orang yang diselamatkan oleh-Nya untuk menyertai mereka.
w86 1/12 29 per. 4-5, 7
Sumbangan yang Menggembirakan Hati
Pada hari pertama sidang Kristian ditubuhkan pada tahun 33 M, semua 3,000 orang yang baru dibaptis ‘bergaul dengan satu sama lain, makan, serta berdoa bersama-sama.’ Mengapakah mereka berbuat demikian? Supaya mereka dapat “terus menumpukan sepenuh perhatian kepada ajaran para rasul” agar iman mereka dikuatkan.—Kisah 2:41, 42.
Orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi yang datang ke Yerusalem merancang untuk tinggal di situ sepanjang tempoh Perayaan Pentakosta sahaja. Tetapi mereka yang menjadi orang Kristian ingin tinggal lebih lama dan belajar lebih banyak supaya dapat menguatkan lagi iman mereka. Jadi mereka memerlukan makanan dan tempat tinggal. Sesetengah pelawat tidak mempunyai wang yang cukup, sedangkan yang lain mempunyai lebihan wang. Maka semua orang mengumpulkan harta milik dan membahagi-bahagikannya kepada mereka yang berkeperluan.—Kisah 2:43-47.
Mereka yang menjual hartanah dan berkongsi harta milik melakukannya dengan sukarela. Tiada sesiapa dipaksa untuk menjual atau menderma, dan mereka bukannya digalakkan untuk hidup miskin. Orang yang lebih kaya tidak menjual semua harta mereka sehingga menjadi miskin. Sebaliknya, mereka menjual harta milik dan menyumbangkan semua hasil jualan kerana mereka berbelas kasihan terhadap rakan seiman dan ingin memajukan kepentingan Kerajaan Tuhan.—Bandingkan 2 Korintus 8:12-15.
Mencari Permata Rohani
(Kisah 3:15) Kamu membunuh Pemimpin Utama yang dilantik untuk memberikan kehidupan, tetapi Tuhan telah membangkitkannya daripada kematian, dan kami menjadi saksi kepada hal itu.
it-2
Yesus Kristus
“Pemimpin Utama yang dilantik untuk memberikan kehidupan.” Bagi mengungkapkan kebaikan hati Bapanya yang unggul, Kristus Yesus mengorbankan nyawanya sebagai manusia yang sempurna. Hal ini membolehkan para pengikut Kristus yang terpilih untuk memerintah bersamanya di syurga dan juga membolehkan rakyat Kerajaannya hidup di bumi. (Mt 6:10; Yoh 3:16; Ef 1:7; Ibr 2:5; lihat TEBUSAN.) Dengan demikian, Yesus menjadi “Pemimpin Utama yang dilantik untuk memberikan kehidupan” kepada seluruh umat manusia. (Kis 3:15) Istilah Yunani yang digunakan di sini (“pemimpin utama”), juga digunakan semasa merujuk kepada Musa (Kis 7:27, 35) yang digelar “pemerintah” di Israel.
(Kisah 3:19) “Maka, bertaubatlah, dan berpalinglah kepada Tuhan supaya dosa kamu dihapuskan. Dengan itu, Yehuwa sendiri akan menyegarkan kamu
cl 265 per. 14
Tuhan yang “Suka Mengampuni”
14 Pengampunan Yehuwa digambarkan dengan lebih lanjut di Kisah 3:19: “Maka, bertaubatlah, dan berpalinglah kepada Tuhan supaya dosa kamu dihapuskan.” Frasa terakhir dalam ayat itu merupakan terjemahan kata kerja Yunani yang boleh bererti “memadamkan, . . . membatalkan atau memusnahkan.” Menurut sesetengah cendekiawan, hal ini seperti memadamkan tulisan seseorang. Dakwat yang biasa digunakan pada zaman dahulu dibuat daripada campuran bahan seperti karbon, gam, dan air. Setelah menggunakan dakwat seperti itu, seseorang boleh segera mengambil span yang basah dan memadamkan tulisannya. Ungkapan ini mengandungi gambaran yang indah tentang belas kasihan Yehuwa. Sewaktu Dia mengampunkan dosa kita, Dia seolah-olah mengambil span dan memadamkannya.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
it-2
Rasul
Siapakah yang menggantikan Yudas Iskariot sebagai rasul ke-12?
Yudas Iskariot telah membelot dan berlaku tidak setia. Selepas dia mati, hanya 11 orang rasul yang tinggal. Selama 40 hari sejak Yesus dibangkitkan hingga dia naik ke syurga, Yesus tidak melantik sesiapa sebagai pengganti Yudas. Dalam jangka masa 10 hari yang berikutnya, iaitu selepas Yesus kembali ke syurga dan sebelum hari Pentakosta, murid-murid Yesus memutuskan untuk memilih seseorang bagi menggantikan tempat Yudas. Alasannya bukan hanya kerana dia sudah meninggal, tetapi kerana dia telah berbuat jahat dan membelot, sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat yang dipetik oleh Petrus. (Kis 1:15-22; Mz 69:25; 109:8; bandingkan Why 3:11.) Sebagai perbandingan, sewaktu Rasul Yakobus yang setia dibunuh, tiada catatan yang menunjukkan bahawa seseorang perlu dilantik untuk menggantikannya sebagai rasul.—Kis 12:2.
Pernyataan Petrus jelas menunjukkan bahawa pada waktu itu, sesiapa yang dilantik menjadi rasul haruslah memenuhi syarat sebagai orang yang pernah bergaul dengan Yesus Kristus, serta telah menyaksikan perbuatannya, mukjizatnya, dan khususnya pembangkitannya. Jika pelantikan rasul yang baharu ditangguhkan, mereka pasti sukar mencari seseorang yang dapat memenuhi syarat-syarat itu, kecuali Tuhan menyatakan syarat-syarat yang diperlukan bagi setiap pelantikan. Namun, sebelum Pentakosta itu, masih ada lelaki yang memenuhi syarat-syarat tersebut, dan dua orang telah dicadangkan untuk menggantikan Yudas yang tidak setia. Selaras dengan apa yang dinyatakan di Amsal 16:33, mereka membuang undi dan Matias telah dipilih. Setelah itu “dia menyertai 11 orang rasul yang lain.” (Kis 1:23-26) Jadi, dia tergolong dalam “12 orang rasul” yang menyelesaikan masalah tentang murid-murid yang berbahasa Yunani (Kis 6:1, 2), dan nampaknya di 1 Korintus 15:4-8, Paulus menggolongkan Matias sebagai salah seorang daripada “12 orang rasul” semasa dia menyebut tentang Yesus yang menampakkan diri selepas pembangkitannya. Dengan demikian, apabila Israel rohani terbentuk semasa Pentakosta, terdapat 12 orang rasul yang menjadi asasnya.
KEHIDUPAN KRISTIAN KITA
od 93-94 per. 37
Cara untuk Menyebarkan Berita Baik
37 Kadangkala, sidang bahasa lain tidak dapat meliputi kawasan yang jauh secara tetap dan mereka mungkin meminta sidang-sidang lain untuk mengunjungi setiap rumah di kawasan itu. Maka para penyiar perlu berusaha sedaya upaya untuk memberikan kesaksian kepada orang yang bercakap dalam bahasa lain. Jika ada yang berminat, adalah lebih baik jika penyiar daripada sidang yang menuturkan bahasanya mengunjunginya. Oleh sebab terdapat keadaan yang berbeza-beza, penyelia aktiviti penyebaran dari sidang-sidang yang terlibat harus berbincang dengan satu sama lain, dan mengaturkan cara yang sesuai bagi semua sidang untuk meliputi kawasan penyebaran. Dengan itu, setiap orang berpeluang mendengarkan berita Kerajaan Tuhan, dan para penyiar dari sidang yang berlainan tidak akan mengunjungi kawasan penyebaran tertentu pada masa yang sama, kerana hal ini mungkin membuat penghuni rumah marah.—Ams. 15:22.
19-25 NOVEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KISAH 4-5
“Mereka Terus Memberitakan Firman Tuhan dengan Penuh Keberanian”
(Kisah 4:5-13) Pada hari berikutnya, para pemimpin orang Yahudi dan jurutulis hukum berkumpul di Yerusalem. 6 Hanas, iaitu ketua imam, Kayafas, Yohanes, Aleksander, dan saudara-mara ketua imam, juga berada di situ. 7 Mereka menyuruh Petrus dan Yohanes berdiri di hadapan mereka lalu bertanya, “Dengan kuasa apa atau atas nama siapa kamu melakukan hal ini?” 8 Maka Petrus, yang dipenuhi kuasa suci Tuhan, berkata kepada mereka, “Para pemimpin, 9 jika hari ini tuan-tuan menyoal kami tentang perbuatan baik yang kami lakukan terhadap lelaki lumpuh ini dan bagaimana dia disembuhkan, 10 hendaklah tuan-tuan dan seluruh umat Israel tahu bahawa lelaki ini disembuhkan dengan nama Yesus Kristus, orang Nasaret itu. Tuan-tuan menghukum bunuhnya pada tiang, tetapi Tuhan sudah membangkitkannya daripada kematian. Melalui Yesuslah lelaki ini berdiri di hadapan tuan dalam keadaan yang sihat. 11 Yesuslah yang dimaksudkan oleh ayat ini: ‘Hai para pembina bangunan, batu yang tidak dipedulikan oleh kamu telah menjadi batu penjuru yang utama.’ 12 Selain itu, hanya melalui Yesus orang dapat diselamatkan, kerana tiada nama lain di bawah langit dan dalam kalangan manusia yang telah dipilih oleh Tuhan untuk menyelamatkan kita.” 13 Mereka berasa hairan apabila melihat keberanian Petrus dan Yohanes, kerana mereka tahu bahawa kedua-dua rasul itu orang biasa yang tidak berpendidikan, lalu mereka sedar bahawa kedua-dua rasul itu dahulunya bersama Yesus.
w08 1/9 15, kotak
Daripada Kata-Kata Lisan kepada Naskhah Suci—Penggunaan Tulisan Dalam Kalangan Orang Kristian Masa Awal
Adakah Para Rasul Buta Huruf?
Para pemimpin di Yerusalem “berasa hairan apabila melihat keberanian Petrus dan Yohanes, kerana mereka tahu bahawa kedua-dua rasul itu orang biasa yang tidak berpendidikan.” (Kisah 4:13) Adakah para rasul tidak terpelajar, atau buta huruf? Mengenai pernyataan ini, The New Interpreter’s Bible menyatakan, “Nampaknya, kata-kata ini tidak membawa erti harfiah, seolah-olah Petrus [dan Yohanes] tidak berpendidikan dan tidak dapat membaca atau menulis. Pernyataan itu hanya menunjukkan perbezaan taraf sosial yang ketara antara para rasul dengan orang yang menghakimi mereka.”
w08 15/5 30 per. 6
Sorotan daripada Buku Kisah
4:13—Adakah Petrus dan Yohanes buta huruf atau tidak berpendidikan? Tidak. Mereka disebut “orang biasa yang tidak berpendidikan” kerana mereka tidak dididik di sekolah agama Yahudi.
(Kisah 4:23-31) Selepas Petrus dan Yohanes dibebaskan, mereka pergi kepada murid-murid yang lain dan menceritakan segala yang dikatakan oleh ketua-ketua imam dan para pemimpin orang Yahudi. 24 Apabila mereka yang berada di situ mendengar hal itu, mereka berseru kepada Tuhan. Dengan sehati mereka berkata, “Tuhan Yang Berdaulat, Engkaulah yang menjadikan langit, bumi, laut, dan segala yang ada di dalamnya. 25 Dengan kuasa suci-Mu, Engkau pernah berfirman melalui mulut nenek moyang kami, iaitu Daud, hamba-Mu, ‘Mengapakah bangsa-bangsa menjadi resah? Mengapakah penduduk di tempat lain merenungkan perkara yang sia-sia? 26 Raja-raja di bumi bersiap sedia untuk berperang, dan para penguasa bersatu untuk melawan Yehuwa dan orang yang diurapi-Nya.’ 27 Demikianlah, Herodes dan Pontius Pilatus berkumpul di kota ini bersama dengan orang daripada bangsa lain dan orang Israel untuk melawan Yesus, hamba suci-Mu yang telah Engkau urapi. 28 Mereka semua berkumpul untuk melakukan apa yang telah Engkau tentukan terlebih dahulu. Perkara ini berlaku kerana Engkau mempunyai kuasa dan kerana hal itu selaras dengan kehendak-Mu. 29 Tetapi sekarang, ya Yehuwa, dengarlah ancaman mereka, dan bantulah hamba-Mu supaya terus memberitakan firman-Mu dengan penuh keberanian. 30 Teruslah menghulurkan tangan-Mu untuk menyembuhkan pelbagai penyakit, dan lakukanlah mukjizat dan keajaiban melalui nama Yesus, hamba-Mu yang suci.” 31 Setelah mereka berdoa dengan bersungguh-sungguh, tempat mereka berkumpul itu bergoncang. Mereka semua dipenuhi kuasa suci Tuhan dan mula memberitakan firman Tuhan dengan berani.
it-2
Rasul
Kegiatan dalam Sidang Kristian. Kuasa suci Tuhan yang dicurahkan ke atas mereka pada hari Pentakosta sangat menguatkan para rasul. Lima bab pertama dalam buku Kisah Para Rasul menonjolkan keberanian para rasul. Mereka terus menyebarkan berita baik serta berita tentang pembangkitan Yesus meskipun mereka dipenjarakan, dipukul, dan diancam oleh para penguasa. Dengan bantuan kuasa suci Tuhan, para rasul dapat mengambil pimpinan dengan berwibawa. Hasilnya, sidang Kristian pada masa itu berkembang dengan pesat. (Kis 2:41; 4:4) Kerja penyebaran mereka pada mulanya dijalankan di Yerusalem, kemudian di Samaria, dan akhirnya secara meluas di seluruh dunia.—Kis 5:42; 6:7; 8:5-17, 25; 1:8.
Mencari Permata Rohani
(Kisah 4:11) Yesuslah yang dimaksudkan oleh ayat ini: ‘Hai para pembina bangunan, batu yang tidak dipedulikan oleh kamu telah menjadi batu penjuru yang utama.’
it-1
Batu Penjuru
Mazmur 118:22 menyingkapkan bahawa batu yang ditolak oleh para pembina bangunan akan menjadi “batu penjuru yang utama” (Ibr., roʼs pin·nahʹ). Yesus memetik kata-kata dalam nubuat ini dan mengatakan bahawa dialah “batu penjuru yang utama” (Yn., ke·fa·leʹ go·niʹas, kepala penjuru). (Mt 21:42; Mr 12:10, 11; Lu 20:17) Sebagaimana batu di puncak sebuah bangunan jelas dilihat, Yesus Kristus ialah batu yang tertinggi dalam sidang Kristian terurap, yang diibaratkan seperti Rumah Rohani Tuhan. Semasa memetik Mazmur 118:22, Petrus sedang merujuk kepada Yesus dengan menjelaskan bahawa Yesus ialah “batu” yang dibuang oleh orang, tetapi dipilih oleh Tuhan untuk menjadi “batu penjuru yang utama.”—Kis 4:8-12; lihat juga 1Pt 2:4-7.
(Kisah 5:1) Ada seorang lelaki yang bernama Ananias. Dia dan isterinya Safira telah menjual tanah mereka.
Petrus dan Ananias Berbohong—Apakah Pengajarannya?
Ananias dan isterinya menjual sebidang tanah untuk mendapatkan wang bagi membantu mereka yang baru dibaptis. Ketika Ananias memberikan wang itu kepada para rasul, dia berkata bahawa wang itu ialah seluruh hasil yang diperoleh daripada penjualan tanahnya. Sebenarnya, dia telah menyimpan sebahagian daripada wang itu. Tuhan menyingkapkan hal itu kepada Petrus. Jadi, Petrus berkata kepada Ananias, “Kamu tidak berdusta kepada manusia, tetapi kepada Tuhan.” Pada saat itu juga, Ananias mati! Sekitar tiga jam kemudian, isterinya datang. Dia tidak tahu apa yang terjadi kepada suaminya, maka dia juga berbohong dan akibatnya dia pun mati.
26 NOVEMBER–2 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KISAH 6-8
“Sidang Kristian yang Baharu Telah Diuji”
(Kisah 6:1) Pada masa itu, bilangan murid Yesus semakin bertambah. Orang Yahudi yang bertutur dalam bahasa Yunani mula bersungut-sungut tentang orang Yahudi yang bertutur dalam bahasa Ibrani. Hal ini demikian kerana balu-balu yang bertutur dalam bahasa Yunani diabaikan semasa pembahagian makanan seharian.
bt 41-42 per. 17
“Kami Mesti Patuh kepada Tuhan sebagai Pemerintah”
17 Terdapat suatu ancaman yang timbul dalam sidang baharu itu. Banyak murid yang dibaptis sebenarnya merupakan pelawat di Yerusalem dan mereka ingin belajar lebih banyak sebelum pulang ke negeri mereka. Murid-murid yang tinggal di Yerusalem menyumbangkan wang dengan sukarela untuk memenuhi keperluan makanan dan keperluan yang lain. (Kis. 2:44-46; 4:34-37) Pada masa itu, timbullah suatu masalah. Para balu yang berbahasa Yunani “diabaikan semasa pembahagian makanan seharian.” (Kis. 6:1) Namun, para balu yang berbahasa Ibrani tidak diabaikan. Maka, masalah ini nampaknya melibatkan isu perkauman, dan hal ini boleh menyebabkan perpecahan.
(Kisah 6:2-7) Jadi 12 orang rasul itu mengumpulkan murid-murid Yesus dan berkata, “Kami tidak patut berhenti mengajarkan firman Tuhan semata-mata untuk mengedarkan makanan. 3 Oleh itu, saudara sekalian, pilihlah tujuh orang lelaki dalam kalangan kamu yang mempunyai nama baik, dan yang penuh dengan kuasa suci Tuhan dan kebijaksanaan. Dengan ini, kami dapat melantik mereka untuk mengendalikan tugas penting tersebut. 4 Tetapi kami akan menggunakan masa dan tenaga kami untuk berdoa dan mengajarkan firman Tuhan.” 5 Semua murid berasa senang hati dengan apa yang dikatakan oleh para rasul. Maka, mereka memilih Stefanus, seorang lelaki yang sangat beriman dan penuh dengan kuasa suci Tuhan, Filipus, Prokhorus, Nikanor, Timon, Parmenas, dan Nikolaus dari Antiokhia, seorang pemeluk agama Yahudi. 6 Mereka membawa semua lelaki tersebut kepada para rasul. Selepas berdoa, para rasul meletakkan tangan ke atas mereka yang telah dipilih. 7 Hasilnya, firman Tuhan terus tersebar, dan bilangan murid Yesus di Yerusalem bertambah secara mendadak. Ramai imam juga mula percaya.
bt 42 per. 18
“Kami Mesti Patuh kepada Tuhan sebagai Pemerintah”
18 Para rasul, yang bertindak sebagai badan pimpinan untuk sidang yang sedang bertumbuh itu, sedar bahawa mereka tidak patut “berhenti mengajarkan firman Tuhan semata-mata untuk mengedarkan makanan.” (Kis. 6:2) Untuk menyelesaikan isu tersebut, mereka mengarahkan para murid untuk mencari tujuh orang lelaki yang “penuh dengan kuasa suci Tuhan dan kebijaksanaan” supaya para rasul boleh melantik mereka untuk “mengendalikan tugas penting tersebut.” (Kis. 6:3) Lelaki-lelaki yang berkelayakan diperlukan kerana mereka tidak hanya mengedarkan makanan, tetapi nampaknya mereka juga perlu menguruskan wang, membeli barang, dan menyimpan rekod dengan teliti. Lelaki-lelaki yang dipilih semuanya mempunyai nama Yunani, yang mungkin membuat mereka lebih mudah diterima oleh para balu yang tersinggung itu. Setelah berdoa dan mempertimbangkan pengesyoran itu, para rasul melantik tujuh orang lelaki itu untuk mengendalikan “tugas penting tersebut.”
Mencari Permata Rohani
(Kisah 6:15) Semasa semua orang yang duduk di Majlis Orang Yahudi menatap Stefanus, mereka nampak wajahnya kelihatan seperti wajah malaikat.
bt 45 per. 2
Stefanus—“Penuh dengan Kuasa Tuhan dan Sangat Diperkenankan-Nya”
2 Wajah Stefanus pada saat itu sungguh luar biasa. Para hakim memandangnya dan nampak bahawa wajahnya “seperti wajah malaikat.” (Kis. 6:15) Malaikat membawa mesej daripada Tuhan Yehuwa, maka mereka sama sekali tidak gentar. Sebaliknya, mereka tenang dan tenteram. Begitu juga dengan Stefanus—bahkan para hakim yang penuh kebencian dapat melihat hal itu. Mengapakah dia dapat menjadi begitu tenang?
(Kisah 8:26-30) Malaikat Yehuwa berkata kepada Filipus, “Bangunlah dan pergilah ke arah selatan, ke jalan yang menghubungkan Yerusalem dengan Gaza.” (Jalan ini terletak di padang gurun.) 27 Maka Filipus pun bangun dan bertolak. Di situ, ada seorang sida-sida dari Etiopia. Dia pegawai tinggi yang berkhidmat kepada Kandake, iaitu ratu negeri Etiopia, dan dia bertanggungjawab mengurus semua harta ratu. Lelaki ini telah pergi ke Yerusalem untuk beribadat, 28 dan dia dalam perjalanan pulang. Dia duduk di dalam kereta kudanya sambil membaca kitab Nabi Yesaya dengan suara yang lantang. 29 Kuasa suci Tuhan berkata kepada Filipus, “Pergi hampiri kereta kuda itu.” 30 Jadi Filipus berlari di sebelah kereta kuda lalu mendengar sida-sida itu membaca kitab Nabi Yesaya. Maka dia bertanya, “Adakah tuan memahami apa yang tuan baca?”
bt 58-59 per. 16
Menyebarkan “Berita Baik tentang Yesus”
16 Orang Kristian dewasa ini memiliki penghormatan untuk menyertai kerja seperti kerja yang dilakukan oleh Filipus. Mereka juga menyebarkan berita Kerajaan Tuhan secara tidak formal, misalnya semasa membuat perjalanan. Sering kali, apabila mereka dapat berjumpa dengan orang yang berhati jujur, itu tidak terjadi secara kebetulan. Hal ini kerana Bible menunjukkan bahawa para malaikat membimbing kerja penyebaran agar berita baik disebarkan kepada “setiap bangsa, suku, bahasa, dan kaum.” (Why. 14:6) Bimbingan malaikat dalam kerja penyebaran sudah dinubuatkan oleh Yesus. Dalam perumpamaannya tentang gandum dan lalang, Yesus berkata bahawa semasa musim menuai, iaitu penghujung sistem dunia ini, “penuai ialah para malaikat.” Dia menambah bahawa makhluk-makhluk roh itu akan “mengumpulkan mereka yang menyebabkan orang lain tersandung dan mereka yang mengamalkan perbuatan jahat. Semua orang ini akan dikeluarkan daripada Kerajaan Tuhan.” (Mat. 13:37-41) Pada masa yang sama, para malaikat juga akan mengumpulkan kaum terurap yang bakal mewarisi Kerajaan Tuhan—dan kemudian “kumpulan besar manusia” yang terdiri daripada “biri-biri lain”—yang ingin dipimpin oleh Yehuwa ke organisasi-Nya.—Why. 7:9; Yoh. 6:44, 65; 10:16.