PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • mwbr19 Januari ms. 1-11
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian (2019)
  • Tajuk Kecil
  • 7-13 JANUARI
  • 14-20 JANUARI
  • Mencari Permata Rohani
  • 21-27 JANUARI
  • Mencari Permata Rohani
  • 28 JANUARI–3 FEBRUARI
  • Mencari Permata Rohani
Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian (2019)
mwbr19 Januari ms. 1-11

Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

7-13 JANUARI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KISAH 21-22

“Biarlah Kehendak Yehuwa Terjadi”

(Kisah 21:8-12) Keesokan harinya kami bertolak dan tiba di Kaisarea. Di situ, kami masuk ke dalam rumah Filipus dan tinggal bersamanya. Dia seorang penginjil dan merupakan salah seorang daripada tujuh orang lelaki yang dipilih oleh para rasul di Yerusalem. 9 Dia mempunyai empat orang anak perempuan yang belum berkahwin, dan mereka dapat bernubuat. 10 Setelah berada di situ untuk suatu jangka masa, seorang nabi yang bernama Agabus datang dari Yudea. 11 Dia datang kepada kami dan mengambil tali pinggang Paulus. Kemudian dia mengikat kaki dan tangannya sendiri dengan tali pinggang itu lalu berkata, “Kuasa suci Tuhan berkata, ‘Orang yang memiliki tali pinggang ini akan diikat seperti ini oleh orang Yahudi di Yerusalem, dan mereka akan menyerahkannya ke dalam tangan orang bangsa asing.’” 12 Apabila kami mendengar kata-katanya, kami dan semua orang di situ merayu Paulus supaya tidak pergi ke Yerusalem.

bt 177-178 per. 15-16

“Biarlah Kehendak Yehuwa Terjadi”

15 Semasa Paulus tinggal bersama Filipus, seorang lagi tetamu yang terhormat tiba. Namanya Agabus. Orang yang berkumpul di rumah Filipus tahu bahawa Agabus ialah seorang nabi. Dia pernah bernubuat tentang kebuluran yang teruk yang berlaku semasa pemerintahan Klaudius. (Kis. 11:27, 28) Mereka mungkin tertanya-tanya, “Mengapakah Agabus datang? Apakah mesej yang dibawanya?” Mereka memerhatikan Agabus mengambil tali pinggang Paulus, iaitu jalur kain panjang pada pinggang yang boleh menyimpan wang dan barang lain. Agabus mengikat kaki dan tangannya dengan tali pinggang itu. Kemudian, dia menyampaikan mesej yang suram, “Kuasa suci Tuhan berkata, ‘Orang yang memiliki tali pinggang ini akan diikat seperti ini oleh orang Yahudi di Yerusalem, dan mereka akan menyerahkannya ke dalam tangan orang bangsa asing.’”​—Kis. 21:11.

16 Nubuat itu mengesahkan bahawa Paulus akan pergi ke Yerusalem. Nubuat itu juga menunjukkan bahawa orang Yahudi di sana akan menyerahkannya “ke dalam tangan orang bangsa asing.” Hal itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap mereka yang ada di situ. Lukas menulis, “Apabila kami mendengar kata-katanya, kami dan semua orang di situ merayu Paulus supaya tidak pergi ke Yerusalem. Tetapi Paulus berkata, ‘Mengapakah kamu semua menangis dan mencuba melemahkan azamku? Percayalah, aku sudah bersedia bukan sahaja untuk diikat, tetapi juga untuk mati di Yerusalem demi nama Tuan Yesus.’”​—Kis. 21:12, 13.

(Kisah 21:13) Tetapi Paulus berkata, “Mengapakah kamu semua menangis dan mencuba melemahkan azamku? Percayalah, aku sudah bersedia bukan sahaja untuk diikat, tetapi juga untuk mati di Yerusalem demi nama Tuan Yesus.”

bt 178 per. 17

“Biarlah Kehendak Yehuwa Terjadi”

17 Bayangkan situasi ini. Para saudara, termasuk Lukas, merayu Paulus supaya tidak meneruskan perjalanannya. Ada antara mereka yang menangis. Paulus tersentuh atas kasih dan keprihatinan mereka, lalu dia berkata dengan lembut bahawa mereka membuatnya berasa lemah hati, atau, menurut beberapa terjemahan, mereka “menghancurkan hati[nya].” Namun, tekadnya tidak berubah, dan sama seperti waktu dia menemui saudara-saudara di Tirus, dia tidak akan membiarkan rayuan atau tangisan melemahkan tekadnya. Sebaliknya, dia menjelaskan kepada mereka mengapa dia harus pergi. Betapa kukuhnya keberanian dan azamnya! Seperti Yesus, Paulus menguatkan azam untuk pergi ke Yerusalem. (Ibr. 12:2) Paulus bukannya mahu mati, tetapi seandainya hal itu terjadi, dia akan menganggapnya sebagai penghormatan untuk mati sebagai seorang pengikut Kristus Yesus.

(Kisah 21:14) Oleh sebab Paulus enggan mendengarkan kami, kami tidak memaksanya lagi lalu berkata, “Biarlah kehendak Yehuwa terjadi.”

bt 178 per. 18

“Biarlah Kehendak Yehuwa Terjadi”

18 Apakah reaksi para saudara itu? Mereka menghormati keputusan Paulus. Bible berkata, “Oleh sebab Paulus enggan mendengarkan kami, kami tidak memaksanya lagi lalu berkata, ‘Biarlah kehendak Yehuwa terjadi.’” (Kis. 21:14) Mereka yang mencuba meyakinkan Paulus agar tidak pergi ke Yerusalem tidak berkeras dengan pendapat mereka. Mereka mendengarkan Paulus dan mengalah. Meskipun berat hati, mereka tetap mengakui dan menerima kehendak Yehuwa. Paulus telah menempuh haluan yang akan menyebabkannya kehilangan nyawa. Maka lebih mudah baginya jika mereka yang mengasihinya tidak mencuba melemahkan azamnya.

Mencari Permata Rohani

(Kisah 21:23, 24) Oleh itu, lakukanlah apa yang kami katakan ini: Ada empat orang lelaki di sini yang sudah berikrar kepada Tuhan. 24 Bawalah mereka bersamamu dan jalankanlah upacara penyucian bersama mereka. Hendaklah kamu membayar perbelanjaan mereka juga, supaya mereka boleh mencukur rambut. Dengan demikian, semua orang akan tahu bahawa khabar angin tentang kamu itu tidak berasas, kerana kamu mematuhi dan hidup selaras dengan Hukum.

bt 184-185 per. 10-12

“Dengarlah Apa yang Akan Aku Katakan”

10 Meskipun demikian, Paulus bertimbang rasa terhadap mereka yang ingin mengikut adat Yahudi tertentu, misalnya tidak bekerja pada hari Sabat atau berpantang makanan tertentu. (Rm. 14:1-6) Dia juga tidak menetapkan peraturan tentang sunat. Sesungguhnya, Paulus memastikan Timotius disunat agar orang Yahudi tidak mencurigai Timotius kerana bapanya ialah orang Yunani. (Kis. 16:3) Sunat merupakan keputusan peribadi. Paulus memberitahu orang Galatia, “Bersunat atau tidak bersunat tidak ada nilainya. Sebaliknya, yang bernilai ialah iman yang membuahkan hasil melalui kasih.” (Gal. 5:6) Namun, bersunat semata-mata untuk mematuhi Hukum, atau mengajar orang lain bahawa seseorang mesti disunat untuk mendapat perkenan Yehuwa, merupakan perbuatan yang menunjukkan kurangnya iman.

11 Oleh itu, meskipun khabar angin itu tidak benar sama sekali, orang Kristian Yahudi masih berasa terganggu apabila mendengarnya. Atas sebab itulah para penatua memberikan arahan ini kepada Paulus: “Ada empat orang lelaki di sini yang sudah berikrar kepada Tuhan. Bawalah mereka bersamamu dan jalankanlah upacara penyucian bersama mereka. Hendaklah kamu membayar perbelanjaan mereka juga, supaya mereka boleh mencukur rambut. Dengan demikian, semua orang akan tahu bahawa khabar angin tentang kamu itu tidak berasas, kerana kamu mematuhi dan hidup selaras dengan Hukum.”​—Kis. 21:23, 24.

12 Paulus boleh membantah dan mengatakan bahawa masalah sebenar bukanlah khabar angin tentang dirinya, tetapi sikap fanatik orang Kristian Yahudi terhadap Hukum Musa. Namun, dia sudi menurut arahan itu kerana hal itu tidak melanggar prinsip Tuhan. Sebelum itu dia pernah menulis, “Walaupun aku tidak berada di bawah hukum, aku menjadi seperti orang yang berada di bawah hukum semasa aku bersama dengan orang yang berada di bawah hukum, supaya aku dapat memimpin mereka ke haluan Kristus.” (1 Kor. 9:20) Dalam situasi ini, Paulus bekerjasama dengan para penatua di Yerusalem dan menjadi “seperti orang yang berada di bawah hukum.” Perbuatannya menjadi contoh bagi kita dewasa ini. Kita juga patut bekerjasama dengan para penatua dan tidak berkeras untuk melakukan sesuatu mengikut cara kita sendiri.​—Ibr. 13:17.

(Kisah 22:16) Sekarang, janganlah berlengah lagi. Bangunlah, dan hendaklah kamu dibaptis. Bersihkanlah dosamu dengan menyeru namanya.’

nwtsty nota pembelajaran untuk Kis 22:16

Bersihkanlah dosamu dengan menyeru namanya: Atau “Bersihkanlah dosamu dan serulah namanya.” Seseorang dibersihkan daripada dosa, bukan dengan air pembaptisan, tetapi dengan menyeru nama Yesus. Hal ini bermaksud dia harus beriman kepada Yesus dan menunjukkan iman itu melalui perbuatan Kristian.​—Kis 10:43; Yak 2:14, 18.

JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR

w10 1/2 13 per. 2–14 per. 2

Haruskah Anda Merayakan Sabat Mingguan? Syarat untuk Orang Kristian?

Memandangkan Kristus telah melaksanakan Hukum, adakah orang Kristian wajib merayakan Sabat mingguan? Rasul Paulus diilhami untuk menulis, “Oleh itu, janganlah biarkan sesiapa pun memberitahu kamu apa yang mesti kamu makan atau minum, atau memberitahu kamu bahawa kamu mesti menyambut suatu perayaan, bulan baharu, atau hari Sabat. Semua itu cumalah bayangan kepada hal-hal yang akan datang, tetapi perkara yang sebenar ialah Kristus.”​—Kolose 2:16, 17.

Kata-kata terilham itu menunjukkan bahawa terdapat perubahan sehubungan dengan apa yang dikehendaki oleh Tuhan daripada hamba-hamba-Nya. Hal ini demikian kerana orang Kristian berada di bawah hukum yang baharu, iaitu “hukum Kristus.” (Galatia 6:2) Perjanjian Hukum yang diberikan kepada Israel melalui Musa telah berakhir setelah Yesus mengorbankan nyawanya. (Roma 10:4; Efesus 2:15) Adakah perintah tentang Sabat juga berakhir? Ya. Setelah mengatakan bahawa “kita tidak lagi terikat kepada Hukum,” Paulus menyebut tentang salah satu daripada Sepuluh Hukum. (Roma 7:6, 7) Jadi, Sepuluh Hukum​—termasuk hukum Sabat—adalah sebahagian daripada Hukum yang sudah berakhir itu. Maka, para penyembah Tuhan tidak lagi diwajibkan untuk menjalankan Sabat mingguan.

Perubahan daripada aturan ibadat Israel kepada aturan ibadat Kristian boleh digambarkan seperti berikut: Sebuah negara mungkin menggubal perlembagaan, atau undang-undang, yang baharu. Setelah perlembagaan baharu itu disahkan, rakyat tidak lagi wajib mematuhi perlembagaan sebelumnya. Meskipun beberapa undang-undang dalam perlembagaan baharu mungkin sama dengan undang-undang dalam perlembagaan sebelumnya, undang-undang lain mungkin berbeza. Maka, seseorang perlu mempelajari perlembagaan baharu itu dengan cermat untuk mengetahui undang-undang mana yang berkuat kuasa sekarang. Selain itu, warganegara yang setia tentu ingin tahu bila perlembagaan baharu tersebut mula berkuat kuasa.

Dalam cara yang sama, Tuhan Yehuwa menyediakan lebih daripada 600 hukum, termasuk 10 hukum yang utama bagi bangsa Israel. Hukum-hukum ini merangkumi hukum tentang hal moral, korban, hal kesihatan, dan Sabat. Namun, Yesus berkata bahawa para pengikutnya yang terurap akan membentuk “bangsa” yang baharu. (Matius 21:43) Sejak tahun 33 M, bangsa ini telah memiliki “perlembagaan” baharu yang berlandaskan dua hukum asas, iaitu kasih kepada Tuhan dan kasih kepada orang lain. (Matius 22:36-40) Meskipun “hukum Kristus” mencakup arahan yang mirip dengan arahan dalam Hukum yang diberikan kepada orang Israel, kita tidak patut berasa hairan bahawa terdapat beberapa hukum yang sangat berbeza dan bahawa ada hukum yang tidak lagi berkuat kuasa. Hukum yang mewajibkan orang untuk menyambut hari Sabat setiap minggu adalah salah satu hukum yang tidak lagi berkuat kuasa.

14-20 JANUARI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KISAH 23-24

“Dituduh sebagai Pembawa Masalah dan Penghasut”

(Kisah 23:12) Apabila hari sudah siang, orang Yahudi berkomplot dan bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus.

(Kisah 23:16) Tetapi, anak saudara Paulus mendapat tahu tentang serangan hendap yang dirancang oleh mereka. Maka dia pergi ke tempat tinggal askar dan memberitahu Paulus tentang hal itu.

bt 191 per. 5-6

“Tabahkanlah Hatimu!”

5 Galakan yang diberikan kepada Paulus itu tepat pada waktunya. Keesokan harinya, lebih daripada 40 orang lelaki Yahudi “berkomplot dan bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus.” Komplot dan sumpah ini menunjukkan betapa kuatnya tekad orang Yahudi untuk membunuh Paulus. Mereka percaya bahawa mereka akan ditimpa kutukan, atau malapetaka, kalau rancangan mereka gagal. (Kis. 23:12-15) Rancangan mereka, yang disetujui oleh para ketua imam dan para penatua, adalah untuk membawa Paulus menghadap Majlis Orang Yahudi sekali lagi, kononnya untuk disoal siasat dengan lebih terperinci. Tetapi dalam perjalanan, mereka ingin melancarkan serangan hendap dan membunuh Paulus.

6 Namun, anak saudara Paulus mendengar tentang rancangan itu dan melaporkannya kepada Paulus. Selanjutnya, Paulus menyuruh pemuda itu melaporkannya kepada ketua pasukan tentera Roma yang bernama Klaudius Lisias. (Kis. 23:16-22) Yehuwa pasti mengasihi kaum muda yang meniru sikap anak saudara Paulus yang tidak disebutkan namanya itu. Mereka dengan berani mendahulukan kesejahteraan umat Yehuwa dan bukannya kesejahteraan diri sendiri, serta setia melakukan apa yang terdaya untuk memajukan kepentingan Kerajaan Tuhan.

(Kisah 24:2) Ketika Tertulus dipanggil, dia mula menuduh Paulus. Dia berkata, “Tuan Feliks Yang Terutama! Di bawah pimpinan tuan, kami menikmati kesejahteraan yang melimpah kerana tuan selalu berpandangan jauh dan membawa banyak perubahan kepada bangsa ini.

(Kisah 24:5, 6) Kami mendapati bahawa lelaki ini membawa masalah dan menghasut orang Yahudi di seluruh bumi agar memberontak. Selain itu, dia merupakan pemimpin kumpulan agama orang Nasaret. 6 Dia juga mencuba untuk menajiskan Rumah Tuhan, maka kami menangkapnya.

bt 192 per. 10

“Tabahkanlah Hatimu!”

10 Di Kaisarea, Paulus “ditahan di istana Herodes” sambil menunggu kedatangan para penuduh dari Yerusalem. (Kis. 23:35) Lima hari kemudian, mereka tiba—Imam Agung Ananias, seorang peguam yang bernama Tertulus, dan sekumpulan penatua. Mula-mula, Tertulus menyanjung Feliks atas apa yang dilakukannya bagi orang Yahudi, nampaknya dengan tujuan mengampu dan mendapat perkenannya. Kemudian, dia menyebut tentang perkara yang ingin disampaikannya. Mengenai Paulus, Tertulus berkata bahawa dia “membawa masalah dan menghasut orang Yahudi di seluruh bumi agar memberontak. Selain itu, dia merupakan pemimpin kumpulan agama orang Nasaret. Dia juga mencuba untuk menajiskan Rumah Tuhan, maka [mereka] menangkapnya.” Orang Yahudi lain “turut melontarkan tuduhan terhadap Paulus dan menegaskan bahawa perkara-perkara itu memang benar.” (Kis. 24:5, 6, 9) Menghasut orang, memimpin kumpulan agama yang berbahaya, dan menajiskan Rumah Tuhan—tuduhan-tuduhan ini amat berat dan boleh membawa hukuman mati.

(Kisah 24:10-21) Apabila gabenor itu mengangguk untuk menunjukkan bahawa Paulus boleh bercakap, Paulus berkata, “Aku tahu bahawa tuan sudah menjadi hakim bagi bangsa ini selama bertahun-tahun. Oleh itu, aku senang hati untuk membela diri. 11 Seperti yang dapat tuan pastikan sendiri, aku pergi ke Yerusalem untuk beribadat tidak lebih daripada 12 hari yang lalu. 12 Mereka tidak mendapati aku bertengkar dengan sesiapa pun di Rumah Tuhan ataupun memulakan rusuhan, baik di rumah ibadat mahupun di seluruh kota. 13 Malah mereka tidak dapat membuktikan tuduhan yang dilontarkan oleh mereka terhadapku sekarang. 14 Namun, mengenai ‘kumpulan agama’ yang disebut oleh mereka, aku mengakui bahawa aku memang mengikut ajaran ‘kumpulan agama’ itu semasa memberikan khidmat suci kepada Tuhan nenek moyangku, kerana aku percaya akan semua yang tertulis dalam Hukum dan Ajaran Para Nabi. 15 Seperti mereka, aku memiliki harapan bahawa Tuhan akan membangkitkan orang yang baik dan orang yang tidak baik. 16 Oleh itu, aku sentiasa berusaha untuk memiliki hati nurani yang bersih di hadapan Tuhan dan di hadapan manusia. 17 Bertahun-tahun kemudian, aku kembali ke Yerusalem untuk membawa sumbangan bagi bangsaku dan untuk mempersembahkan korban kepada Tuhan. 18 Semasa aku menguruskan perkara-perkara itu, mereka nampak aku di Rumah Tuhan setelah aku menjalankan upacara penyucian diri. Pada masa itu, tidak ada orang ramai yang menyertai aku dan tidak ada kekacauan yang berlaku di situ. Namun beberapa orang Yahudi dari daerah Asia 19 telah menuduh aku. Sebenarnya, jika mereka mempunyai tuduhan terhadap aku, mereka sepatutnya menghadap tuan untuk mengemukakan tuduhan mereka. 20 Atau, suruhlah mereka yang berada di sini untuk memberitahu tuan kesalahanku yang dilihat oleh mereka semasa aku dihadapkan kepada Majlis Orang Yahudi. 21 Andai kata aku bersalah, mereka boleh menuduh aku atas satu alasan sahaja: Semasa aku diadili oleh Majlis Orang Yahudi, aku telah berseru, ‘Hari ini aku diadili di hadapan kamu semua kerana aku percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan!’”

bt 193-194 per. 13-14

“Tabahkanlah Hatimu!”

13 Seandainya kita dihadapkan kepada pihak berkuasa kerana ibadat kita dan dituduh mencetuskan pemberontakan, menganggotai “kumpulan agama yang berbahaya,” atau menghasut orang ramai untuk merusuh, kita boleh meniru teladan Paulus. Paulus tidak mengampu gabenor dengan kata-kata sanjungan seperti Tertulus. Dia tetap tenang dan menunjukkan hormat. Dengan bijaksana, dia menyampaikan pernyataan yang jelas dan benar. Paulus menyebut bahawa “beberapa orang Yahudi dari daerah Asia” yang telah menuduhnya menajiskan Rumah Tuhan tidak hadir untuk mengemukakan tuduhan mereka. Paulus juga berkata bahawa menurut undang-undang, dia sepatutnya menghadap mereka dan mendengar tuduhan mereka.​—Kis. 24:18, 19.

14 Yang menarik sekali, Paulus tidak menahan diri daripada memberikan kesaksian tentang kepercayaannya. Dengan berani, dia menegaskan semula kepercayaannya tentang pembangkitan, yang merupakan isu yang menimbulkan huru-hara ketika dia menghadap Majlis Orang Yahudi. (Kis. 23:6-10) Semasa dia membela diri, Paulus menekankan harapan pembangkitan. Mengapa? Kerana Paulus memberikan kesaksian tentang Yesus dan tentang pembangkitan Yesus daripada kematian—perkara yang tidak boleh diterima oleh para penentangnya. (Kis. 26:6-8, 22, 23) Ya, pertikaian itu berpusat pada isu pembangkitan, iaitu kepercayaan kepada Yesus dan pembangkitannya.

Mencari Permata Rohani

(Kisah 23:6) Paulus mengetahui bahawa sebahagian daripada Majlis Orang Yahudi terdiri daripada orang Saduki dan sebahagian lagi orang Farisi. Oleh itu dia berseru kepada mereka, “Saudara-saudara, aku orang Farisi, dan nenek moyang aku juga orang Farisi. Aku dihakimi kerana aku percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan.”

nwtsty nota pembelajaran untuk Kis 23:6

aku orang Farisi: Sesetengah orang dalam kalangan para hadirin mengenali Paulus. (Kis 22:5) Apabila Paulus berkata bahawa nenek moyangnya juga orang Farisi, mereka sedar bahawa dia sedang mengakui persamaannya dengan mereka. Mereka faham bahawa Paulus bukannya berbohong tentang identitinya kerana orang Farisi dalam Majlis Orang Yahudi tahu bahawa dia telah menjadi orang Kristian yang bersemangat. Namun dalam konteks ini, kenyataan Paulus bahawa dia ialah orang Farisi boleh difahami secara relatif; Paulus menggolongkan dirinya sebagai orang Farisi dan bukannya orang Saduki kerana seperti orang Farisi, dia percaya akan pembangkitan. Dengan berbuat demikian, dia mencapai titik persamaan dengan orang Farisi yang hadir di situ. Nampaknya dia berharap dengan menimbulkan pertikaian ini, sesetengah ahli Majlis Orang Yahudi akan bersetuju dengan hujahnya, dan strategi itu berhasil. (Kis 23:7-9) Kenyataan Paulus di Kis 23:6 juga selaras dengan cara dia menggambarkan dirinya semasa dia membela diri di hadapan Raja Agripa pada kemudian hari. (Kis 26:5) Semasa dia menulis dari Roma kepada orang Kristian di Filipi, Paulus sekali lagi merujuk kepada latar belakangnya sebagai orang Farisi. (Flp 3:5) Perhatikan juga bagaimana orang Kristian lain yang dahulunya orang Farisi digambarkan di Kis 15:5.

(Kisah 24:24) Beberapa waktu kemudian, Feliks datang bersama isterinya, Drusila, yang berbangsa Yahudi. Feliks menyuruh orang memanggil Paulus, kemudian Feliks mendengarkan Paulus berkata-kata tentang kepercayaan kepada Kristus Yesus.

(Kisah 24:27) Setelah dua tahun berlalu, Perkius Festus menggantikan Feliks sebagai gabenor. Pada masa itu, Paulus masih dipenjarakan kerana Feliks ingin mengambil hati orang Yahudi.

nwtsty nota pembelajaran untuk Kis 24:24

Drusila: Anak perempuan Herodes yang ketiga dan yang paling bongsu, yang disebut di Kis 12:1, iaitu, Herodes Agripa I. Dia dilahirkan kira-kira pada 38 M dan merupakan adik kepada Agripa II dan Berniki. (Lihat Kamus bagi Istilah Bible, “Herodes.”) Gabenor Feliks ialah suaminya yang kedua. Mula-mula dia berkahwin dengan raja Siria yang bernama Azizus dari Emesa tetapi bercerai dengannya lalu berkahwin dengan Feliks kira-kira pada tahun 54 M, atau semasa dia berusia kira-kira 16 tahun. Dia mungkin hadir semasa Paulus menghadap Feliks dan bercakap tentang “tingkah laku yang benar, sikap mengawal diri, dan penghakiman yang bakal tiba.” (Kis 24:25) Apabila Feliks menyerahkan pangkat gabenor kepada Festus, dia membiarkan Paulus ditahan untuk “mengambil hati orang Yahudi.” Pada pendapat sesetengah orang, dia melakukannya untuk menyenangkan hati isterinya yang muda, yang berbangsa Yahudi.​—Kis 24:27.

21-27 JANUARI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KISAH 25-26

“Paulus Minta Diadili Kaisar dan Menginjil kepada Raja Agripa”

(Kisah 25:11) Jika aku benar-benar berbuat salah dan melakukan sesuatu yang menyebabkan aku harus dihukum mati, aku tidak akan merayu supaya dibebaskan daripada hukuman mati. Namun, jika tuduhan mereka tidak berasas, tidak ada sesiapa pun yang berhak untuk menyerahkan aku kepada mereka. Aku minta diadili oleh Kaisar!”

bt 198 per. 6

“Aku Minta Diadili oleh Kaisar!”

6 Niat Festus untuk memuaskan hati orang Yahudi mungkin mengakibatkan kematian Paulus. Oleh itu, Paulus menggunakan haknya sebagai warganegara Roma. Dia memberitahu Festus, “Aku sedang berdiri di hadapan tempat pengadilan Kaisar, dan di sinilah aku seharusnya dihakimi. Tuan sendiri tahu bahawa aku tidak bersalah terhadap orang Yahudi. . . . Aku minta diadili oleh Kaisar!” Permintaan sebegitu biasanya tidak dapat ditarik kembali setelah diucapkan. Festus menekankan hal ini dengan berkata, “Kamu minta diadili oleh Kaisar, maka kamu akan pergi kepada Kaisar.” (Kis. 25:10-12) Paulus telah meminta diadili oleh pihak perundangan yang lebih tinggi. Hari ini, orang Kristian boleh mengikut cara yang digunakan Paulus. Sewaktu para penentang mencuba “menimbulkan masalah dengan menggunakan undang-undang,” Saksi-Saksi Yehuwa memanfaatkan peruntukan perundangan yang ada untuk mempertahankan berita baik.​—Mzm. 94:20.

(Kisah 26:1-3) Raja Agripa berkata kepada Paulus, “Kamu dibenarkan bercakap untuk membela diri.” Maka Paulus mengangkat tangannya dan mula menyampaikan pembelaannya dengan berkata, 2 “Tuanku Raja Agripa, hamba bersyukur kerana dapat membela diri di hadapan tuanku hari ini mengenai segala tuduhan yang dilemparkan oleh orang Yahudi terhadap hamba, 3 lebih-lebih lagi kerana tuanku sangat arif dalam segala adat dan pertikaian orang Yahudi. Oleh itu hamba memohon agar tuanku mendengarkan hamba dengan sabar.

bt 198-201 per. 10-16

“Aku Minta Diadili oleh Kaisar!”

10 Paulus dengan hormat mengucapkan terima kasih kepada Raja Agripa atas peluang untuk membela diri di hadapannya. Dia mengakui bahawa raja itu sangat arif dalam semua adat dan pertikaian yang berlaku dalam kalangan orang Yahudi. Paulus kemudian menceritakan kehidupannya pada masa lalu, “Hamba pernah hidup sebagai orang Farisi, iaitu golongan yang paling kuat berpegang pada agama kita.” (Kis. 26:5) Sebagai orang Farisi, Paulus mengharapkan kedatangan Mesias. Kini, sebagai orang Kristian, dia dengan berani menyatakan bahawa Yesus Kristus ialah Mesias yang sudah lama dinanti-nantikan. Dia dan para penuduhnya memiliki kepercayaan yang sama, iaitu harapan tentang pelaksanaan janji Tuhan kepada nenek moyang mereka, dan atas sebab itulah Paulus diadili pada hari tersebut. Penjelasan ini menyebabkan Agripa lebih berminat untuk mendengar apa yang hendak dikatakan oleh Paulus.

11 Paulus menyebut tentang perbuatan kejamnya dahulu terhadap orang Kristian. Dia berkata, “Dahulu hamba pun percaya bahawa hamba harus melakukan semua yang terdaya untuk menentang nama Yesus, orang Nasaret itu. . . . Hamba begitu berang terhadap mereka [pengikut Kristus] sehingga sanggup pergi ke kota-kota lain untuk menganiaya mereka.” (Kis. 26:9-11) Paulus tidak menokok tambah semasa menceritakan perbuatan lampaunya itu. Banyak orang tahu tentang perbuatannya yang kejam terhadap orang Kristian. (Gal. 1:13, 23) Agripa mungkin tertanya-tanya, “Apakah yang membuat orang seperti itu berubah?”

12 Jawapannya terkandung dalam kata-kata Paulus yang berikutnya: “Pernah sekali, setelah hamba menerima kuasa dan perintah daripada ketua-ketua imam untuk melakukan hal-hal yang sama di Damsyik, hamba membuat perjalanan ke situ. Tuanku, pada waktu tengah hari, ada cahaya dari langit yang memancar di sekeliling hamba dan di sekeliling mereka yang berjalan bersama hamba. Cahaya itu lebih terang daripada sinaran matahari, lalu kami semua rebah ke tanah. Kemudian ada suara yang bercakap kepada hamba dalam bahasa Ibrani, ‘Saulus, Saulus, mengapakah kamu menganiaya aku? Jika kamu terus melawan, kamu hanya menyakiti dirimu sendiri. Kamu seperti seekor lembu yang menendang kayu tajam yang digunakan untuk menggiringnya.’ Lalu hamba bertanya, ‘Tuan, siapakah kamu?’ Maka Tuan Yesus berkata, ‘Akulah Yesus, yang kamu aniaya.’”​—Kis. 26:12-15.

13 Sebelum peristiwa luar biasa tersebut, Paulus “seperti seekor lembu yang menendang kayu tajam yang digunakan untuk menggiringnya.” Seekor lembu yang berbuat demikian pasti akan terluka. Demikian juga, dengan melawan kehendak Tuhan, Paulus telah melukai dirinya secara rohani. Dengan menampakkan diri kepada Paulus di jalan yang menuju Damsyik, Yesus yang telah dibangkitkan mengubah fikiran Paulus kerana dia tulus hati tetapi tersimpang.​—Yoh. 16:1, 2.

14 Paulus memang membuat perubahan drastik dalam kehidupannya. Dia berkata kepada Agripa, “Hamba tidak mengingkari perintah yang hamba terima menerusi penglihatan dari syurga. Bermula di Damsyik, kemudian di Yerusalem, dan di seluruh negeri Yudea, serta kepada bangsa-bangsa lain, hamba menyampaikan berita kepada orang bahawa mereka harus bertaubat dan berpaling kepada Tuhan, serta menunjukkan melalui perbuatan bahawa mereka sudah bertaubat.” (Kis. 26:19, 20) Selama bertahun-tahun, Paulus telah menjalankan tugas yang diberikan Yesus Kristus kepadanya semasa penglihatan pada tengah hari itu. Hasilnya, orang yang menyambut berita baik yang disampaikan oleh Paulus bertaubat daripada perbuatan mereka yang tidak bermoral dan tidak jujur, lalu berpaling kepada Tuhan. Mereka menjadi warganegara yang baik, menyumbang kepada ketertiban masyarakat, dan menghormati undang-undang.

15 Namun, manfaat-manfaat yang disebutkan itu tidak penting bagi para penentang Paulus. Paulus berkata, “Disebabkan hal ini, orang Yahudi menangkap hamba semasa hamba berada di Rumah Tuhan, dan mereka mencuba untuk membunuh hamba. Namun, dengan adanya bantuan daripada Tuhan, sampai hari ini hamba terus memberikan kesaksian kepada semua orang, baik yang berkedudukan tinggi mahupun yang berkedudukan rendah.”​—Kis. 26:21, 22.

16 Sebagai orang Kristian sejati, kita harus “sentiasa bersedia untuk membela” iman kita. (1 Ptr. 3:15) Semasa menjelaskan kepercayaan kita kepada para hakim dan pemerintah, kita boleh meniru cara yang digunakan oleh Paulus ketika dia berbicara dengan Agripa dan Festus. Jika kita dengan hormat menceritakan bahawa kebenaran Bible telah mengubah hidup orang secara positif—iaitu hidup kita sendiri mahupun mereka yang menyambut berita kita—hati para pegawai tinggi mungkin tersentuh.

(Kisah 26:28) Tetapi Raja Agripa berkata kepada Paulus, “Dalam masa yang singkat, kamu akan meyakinkan beta untuk menjadi orang Kristian.”

bt 202 per. 18

“Aku Minta Diadili oleh Kaisar!”

18 Tetapi Paulus menjawab, “Tuan Festus Yang Terutama, aku tidak gila. Kata-kata yang aku ucapkan itu benar dan berasal daripada fikiran yang waras. Sebenarnya, aku dapat bercakap dengan terus terang mengenai hal-hal ini kepada Raja Agripa, kerana baginda sudah mengetahui perkara ini. . . . Tuanku Raja Agripa, adakah tuanku percaya akan apa yang tercatat dalam Ajaran Para Nabi? Hamba tahu tuanku memang percaya.” Agripa menjawab, “Dalam masa yang singkat, kamu akan meyakinkan beta untuk menjadi orang Kristian.” (Kis. 26:25-28) Sama ada tulus atau tidak, kata-kata itu menunjukkan bahawa kesaksian Paulus mempunyai kesan yang mendalam atas raja.

Mencari Permata Rohani

(Kisah 26:14) lalu kami semua rebah ke tanah. Kemudian ada suara yang bercakap kepada hamba dalam bahasa Ibrani, ‘Saulus, Saulus, mengapakah kamu menganiaya aku? Jika kamu terus melawan, kamu hanya menyakiti dirimu sendiri. Kamu seperti seekor lembu yang menendang kayu tajam yang digunakan untuk menggiringnya.’

nwtsty nota pembelajaran untuk Kis 26:14

seekor lembu yang menendang kayu tajam yang digunakan untuk menggiringnya: Atau, sebatang tongkat tajam yang digunakan untuk menghalakan binatang ke suatu tempat. (Hak 3:31, nota kaki) Ungkapan “menendang kayu tajam” merupakan pepatah yang terdapat dalam kesusasteraan Yunani, dan menggambarkan seekor lembu jantan degil yang tercedera akibat menendang kayu tajam yang digunakan untuk menggiringnya. Saulus juga berkelakuan sebegitu sebelum menjadi seorang Kristian. Dengan melawan pengikut Yesus yang disokong oleh Tuhan Yehuwa, Paulus sedang menyakiti dirinya sendiri. (Bandingkan Kis 5:38, 39; 1Ti 1:13, 14.) Di Pkh 12:11, “tongkat yang digunakan untuk menggiring binatang” digunakan dalam erti kiasan, dan merujuk kepada kata-kata orang bijaksana yang mendorong pendengarnya untuk mengikut nasihat.

(Kisah 26:27) Tuanku Raja Agripa, adakah tuanku percaya akan apa yang tercatat dalam Ajaran Para Nabi? Hamba tahu tuanku memang percaya.”

w03 15/11 16-17 per. 14

Membantu Orang Lain Menerima Berita Kerajaan Tuhan

14 Paulus tahu bahawa Agripa menggelar diri sendiri sebagai penganut agama Yahudi, meskipun pada asalnya Agripa bukanlah seorang Yahudi. Memandangkan Agripa mempunyai pengetahuan tentang agama ini, Paulus menunjukkan bahawa apa yang diberitakan olehnya “hanyalah perkara-perkara yang akan berlaku, seperti yang dinyatakan dalam Ajaran Para Nabi dan kitab-kitab Musa” mengenai kematian dan pembangkitan Mesias. (Kisah 26:22, 23) Paulus menanya Agripa, “Tuanku Raja Agripa, adakah tuanku percaya akan apa yang tercatat dalam Ajaran Para Nabi?” Agripa menghadapi suatu dilema. Jika dia berkata bahawa dia menolak para nabi, reputasinya sebagai penganut agama Yahudi akan hancur. Tetapi, jika dia bersetuju dengan kata-kata Paulus, dia nampaknya menyokong pendapat Paulus di hadapan umum dan mungkin digelar sebagai orang Kristian. Paulus dengan bijak menjawab pertanyaannya sendiri dengan berkata, “Hamba tahu tuanku memang percaya.” Apakah yang dikatakan oleh Agripa setelah mendengar kata-kata Paulus? Dia menyahut, “Dalam masa yang singkat, kamu akan meyakinkan beta untuk menjadi orang Kristian.” (Kisah 26:27, 28) Meskipun Agripa tidak menjadi orang Kristian, berita Paulus nampaknya meninggalkan kesan atas Agripa.​—Ibrani 4:12.

28 JANUARI–3 FEBRUARI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KISAH 27-28

“Paulus Belayar ke Roma”

(Kisah 27:23, 24) Malam tadi, malaikat daripada Tuhan, iaitu Tuhan yang memiliki aku dan yang aku sembah, berdiri di sisiku 24 dan berkata, ‘Janganlah takut, Paulus. Kamu mesti berdiri di hadapan Kaisar. Lihatlah! Oleh sebab kebaikan hati Tuhan, semua orang yang belayar dengan kamu akan diselamatkan.’

bt 208-209 per. 15

‘Tiada Seorang Akan Kehilangan Nyawa’

15 Kemungkinan besar, Paulus sudah memberikan kesaksian kepada banyak orang di kapal bahawa dia “berharap kepada janji yang diberikan oleh Tuhan.” (Kis. 26:6; Kol. 1:5) Kini, Paulus mempunyai sebab yang kukuh untuk berharap bahawa mereka akan diselamatkan sekiranya kapal itu karam. Dia berkata, “Malam tadi, malaikat daripada Tuhan . . . berdiri di sisiku dan berkata, ‘Janganlah takut, Paulus. Kamu mesti berdiri di hadapan Kaisar. Lihatlah! Oleh sebab kebaikan hati Tuhan, semua orang yang belayar dengan kamu akan diselamatkan.’” Paulus menggalakkan mereka, “Oleh itu, wahai sahabat-sahabatku, tabahkanlah hati kamu! Aku percaya bahawa Tuhan akan melakukan perkara-perkara itu tepat seperti yang dikatakan oleh malaikat itu kepadaku. Tetapi, kita akan terkandas di sebuah pulau.”​—Kis. 27:23-26.

(Kisah 28:1, 2) Setelah kami tiba di darat dengan selamat, kami mendapat tahu bahawa pulau itu dipanggil Malta. 2 Penduduk pulau itu sangat baik hati terhadap kami. Mereka menyambut kami dengan ramah dan menyalakan api untuk kami sebab hujan mula turun dan cuaca pun sejuk.

bt 210 per. 18

‘Tiada Seorang Akan Kehilangan Nyawa’

18 Rupa-rupanya mereka terdampar di Pulau Malta, di selatan Sisilia. (Lihat kotak “Malta​—Di Mana?”) Penduduk pulau yang berbahasa asing itu “sangat baik hati terhadap [mereka].” (Kis. 28:2) Mereka membuat unggun api untuk orang yang tidak dikenali yang terdampar di pantai dalam keadaan basah kuyup dan menggigil. Unggun api itu menghangatkan tubuh mereka kerana cuaca pada masa itu sejuk dan hujan mula turun. Disebabkan unggun api itu juga, suatu mukjizat terjadi.

bt 210 per. 21

‘Tiada Seorang Akan Kehilangan Nyawa’

21 Pemilik tanah yang kaya yang bernama Publius tinggal di kawasan itu. Dia mungkin merupakan pegawai Roma yang utama di Malta. Lukas menggambarkannya sebagai “pemimpin pulau tersebut,” iaitu gelaran yang sama dengan gelaran pada dua catatan kuno di Malta. Dia dengan ramah menerima Paulus dan rakan-rakannya sebagai tetamu selama tiga hari. Namun, bapa Publius sedang sakit. Sekali lagi, Lukas menggambarkan keadaan penyakitnya dengan tepat. Dia menulis bahawa lelaki itu “berbaring di katil kerana dia demam dan menderita penyakit perut yang parah.” Paulus berdoa dan meletakkan tangannya ke atas lelaki itu, maka dia pun sembuh. Penduduk tempatan sangat kagum dengan mukjizat itu, lalu mereka membawa orang sakit yang lain untuk disembuhkan, dan mereka membawa banyak hadiah untuk memenuhi keperluan Paulus serta rakan-rakannya.​—Kis. 28:7-10.

(Kisah 28:16, 17) Akhirnya kami tiba di Roma. Di situ, Paulus dibenarkan tinggal seorang diri di bawah kawalan seorang askar. 17 Tiga hari kemudian dia memanggil para pemimpin orang Yahudi. Setelah mereka berkumpul, dia berkata kepada mereka, “Saudara-saudara, walaupun aku tidak bersalah terhadap bangsa kita dan tidak melakukan apa-apa yang bertentangan dengan adat istiadat nenek moyang kita, aku telah ditahan di Yerusalem dan diserahkan ke dalam tangan orang Roma.

bt 213 per. 10

“Memberikan Kesaksian yang Menyeluruh”

10 Sewaktu kumpulan itu akhirnya masuk ke Roma, “Paulus dibenarkan tinggal seorang diri di bawah kawalan seorang askar.” (Kis. 28:16) Seorang tahanan di rumah biasanya diikat dengan rantai yang disambungkan kepada seorang pengawal supaya dia tidak dapat melarikan diri. Meskipun begitu, Paulus merupakan seorang pemberita Kerajaan Tuhan, dan rantai pasti tidak dapat membungkamnya. Maka, selepas hanya tiga hari berehat setelah membuat perjalanan jauh, dia memanggil para pemimpin orang Yahudi di Roma untuk berkumpul, dan dia memperkenalkan diri serta memberikan kesaksian.

Mencari Permata Rohani

(Kisah 27:9) Suatu jangka masa telah berlalu dan pada masa itu keadaannya berbahaya untuk belayar. Bahkan puasa untuk Hari Pengampunan Dosa sudah berlalu. Jadi, Paulus memberikan nasihat

nwtsty nota pembelajaran untuk Kis 27:9

puasa untuk Hari Pengampunan Dosa: Atau “puasa musim luruh.” Harfiah, “puasa.” Istilah Yunani untuk “puasa” merujuk kepada satu-satunya puasa yang diperintahkan di bawah Hukum Musa, iaitu puasa yang dilakukan sempena Hari Pengampunan Dosa tahunan, yang juga dipanggil Yom Kippur (Ibrani, yohm hak·kip·pu·rimʹ, “hari penutupan”). (Im 16:29-31; 23:26-32; Bil 29:7; Lihat Kamus bagi Istilah Bible, “Hari Pengampunan Dosa.”) Ungkapan “berdukacita,” yang digunakan sehubungan dengan Hari Pengampunan Dosa, secara amnya merujuk kepada berpuasa dan mengikut pelbagai larangan. (Im 16:29, nota kaki) Penggunaan istilah “puasa” di Kis 27:9 menyokong idea bahawa salah satu cara utama orang berdukacita pada Hari Pengampunan Dosa adalah dengan berpuasa. Puasa Hari Pengampunan Dosa jatuh pada hujung bulan September atau awal bulan Oktober.

(Kisah 28:11) Tiga bulan kemudian, kami belayar dengan menaiki sebuah kapal yang datang dari Aleksandria. Kapal itu mempunyai lambang “Anak Kembar Zeus” dan telah berlabuh di Pulau Malta sepanjang musim sejuk.

nwtsty nota pembelajaran untuk Kis 28:11

Anak Kembar Zeus: Menurut mitos Yunani dan Roma, “Anak Kembar Zeus” (Yunani, Di·oʹskou·roi) ialah Castor dan Pollux, iaitu adik-beradik kembar kepada Dewa Zeus (Jupiter) dan permaisuri Spartan yang bernama Leda. Mereka dianggap sebagai pelindung para pelaut dan berupaya menyelamatkan anak kapal yang terancam di laut. Butiran tentang lambang pada kapal ini merupakan satu lagi bukti bahawa kisah ini ditulis oleh seseorang yang menyaksikannya dengan mata sendiri.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi