PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • ijwbv rencana 51
  • Kisah 1:8—“Kamu Akan Menerima Kuasa”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Kisah 1:8—“Kamu Akan Menerima Kuasa”
  • Ayat Bible Dijelaskan
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • Maksud Kisah 1:8
  • Konteks Kisah 1:8
  • “Sampai ke Hujung Bumi”
    ‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
  • “Kamu Akan Menjadi Saksi-Saksiku”
    ‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
  • Ratusan Orang Nampak Yesus Sebelum Pentakosta
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
  • Dibimbing Daya Aktif pada Abad Pertama dan Sekarang
    Menara Pengawal—2011
Lihat Selanjutnya
Ayat Bible Dijelaskan
ijwbv rencana 51

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Kisah 1:8—“Kamu Akan Menerima Kuasa”

“Kamu akan mendapat kekuatan apabila kuasa suci Tuhan datang ke atas kamu, dan kamu akan menjadi saksi-saksiku di Yerusalem, di seluruh Yudea, di Samaria, dan sampai ke hujung bumi.”—Kisah 1:8, Terjemahan Dunia Baharu.

“Kamu akan menerima kuasa apabila Roh Kudus datang ke atasmu; dan kamu akan menjadi saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea dan Samaria, bahkan sampai ke hujung bumi.”—Kisah 1:8, Alkitab Versi Borneo.

Maksud Kisah 1:8

Yesus berjanji kepada para pengikutnya bahawa kuasa suci Tuhan akan menguatkan mereka untuk menginjil ke seluruh pelosok dunia.

“Kamu akan mendapat kekuatan apabila kuasa suci Tuhan datang ke atas kamu.” Yesus pernah berjanji bahawa selepas dia kembali ke syurga, kuasa suci Tuhana akan membantu para pengikutnya. (Yohanes 14:16, 26) Kini dia mengulangi janjinya itu. Sepuluh hari selepas Yesus naik ke syurga pada tahun 33 Masihi, para pengikutnya menerima kuasa suci Tuhan tepat seperti yang dijanjikannya. (Kisah 2:1-4) Kuasa suci Tuhan bukan sahaja membantu mereka untuk bertutur dalam pelbagai bahasa dan melakukan mukjizat, tetapi juga membantu mereka untuk menginjil dengan berani tentang Yesus.—Kisah 3:1-8; 4:33; 6:8-10; 14:3, 8-10.

“Kamu akan menjadi saksi-saksiku.” Perkataan yang diterjemahkan sebagai “saksi” bermaksud “seorang yang memberikan keterangan” atau “mengesahkan sesuatu” yang dilihat atau diketahuinya sendiri. Para rasul telah menyaksikan peristiwa yang berlaku semasa Yesus menginjil, dibunuh, dan dibangkitkan. Maka mereka dapat mengesahkan semua peristiwa itu. (Kisah 2:32; 3:15; 5:32; 10:39) Keterangan mereka disokong dengan bukti yang kukuh, maka banyak orang percaya bahawa Yesus ialah Kristus, iaitu Mesias yang dijanjikan. (Kisah 2:32-36, 41) Orang yang percaya juga menjadi saksi-saksi Yesus dan mengisytiharkan erti di sebalik kehidupan, kematian, dan pembangkitan Yesus.—Kisah 17:2, 3; 18:5.

“Sampai ke hujung bumi.” Ungkapan ini juga bermaksud menginjil “ke negara-negara lain.” Kata-kata Yesus menunjukkan sejauh mana para pengikutnya akan memberikan kesaksian tentangnya. Mereka bukan sahaja akan menginjil di seluruh Yudea dan Samaria, malah akan meliputi kawasan yang lebih luas dan mencapai lebih banyak orang berbanding Yesus. (Matius 28:19; Yohanes 14:12) Kurang daripada 30 tahun selepas Yesus mengucapkan kata-kata ini, Rasul Paulus menulis bahawa berita baik tentang Yesus “sudah disebarkan kepada semua ciptaan di bawah langit,” bahkan ke tempat-tempat yang jauh seperti Roma, Partia (tenggara Laut Kaspia), dan Afrika Utara.—Kolose 1:23; Kisah 2:5, 9-11.

Konteks Kisah 1:8

Buku Kisah ditulis oleh Lukas, dan merupakan sambungan kepada peristiwa yang dilaporkan dalam buku Lukas. (Lukas 24:44-49; Kisah 1:4, 5) Di permulaan buku Kisah, Lukas menceritakan bagaimana Yesus menampakkan diri kepada para pengikutnya selepas dia dibangkitkan. (Kisah 1:1-3) Kemudian dia mencatatkan bagaimana sidang Kristian diasaskan dan berkembang dari tahun 33 Masihi sehingga sekitar tahun 61 Masihi.—Kisah 11:26.

Konteks Kisah 1:8 menunjukkan bahawa para pengikut Yesus tertanya-tanya sama ada dia akan menjadi Raja Kerajaan Tuhan pada zaman mereka. (Kisah 1:6) Yesus memberitahu mereka bahawa mereka tidak perlu terlalu risau tentang bila Kerajaan Tuhan akan mula memerintah. (Kisah 1:7) Sebaliknya, mereka harus bertumpu kepada kerja menginjil “sampai ke hujung bumi.” (Kisah 1:8) Seperti mereka, orang Kristian hari ini menginjil tentang berita baik Kerajaan Tuhan dengan bersemangat.—Matius 24:14.

Baca Kisah bab 1 dalam Terjemahan Dunia Baharu. Bible yang mudah untuk dibaca ini mempunyai nota kaki, rujukan silang, dan lampiran yang mengandungi bahan tambahan seperti gambar rajah dan peta.

Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Kisah.

a Kuasa suci atau roh kudus Tuhan ialah daya aktif-Nya. (Kejadian 1:2) Untuk maklumat lanjut, lihat rencana “Apakah Itu Kuasa Suci atau Roh Kudus Tuhan?”

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi