Adakah Anda Menjadikan Fikiran Yehuwa Fikiran Anda?
“Ubahlah fikiran kamu.”—RM. 12:2.
1, 2. Apabila hubungan kita dengan Tuhan menjadi semakin akrab, apakah yang akan kita lakukan? Berikan contoh.
SEORANG budak kecil diberi sebuah hadiah. Ibu bapanya berkata, “Cakap terima kasih.” Budak itu mengikut sahaja apa yang disuruh. Namun, apabila dia semakin besar, dia lebih memahami sebab di sebalik arahan ibu bapanya dan pentingnya menghargai kebaikan hati orang lain. Kini dia mengucapkan terima kasih dengan ikhlas kerana penghargaan sudah sebati dengan fikirannya.
2 Begitu juga, semasa kita baru mempelajari kebenaran, kita diajar pentingnya mentaati perintah Yehuwa yang asas. Tetapi apabila kita semakin akrab dengan Tuhan, kita semakin mengenali fikiran-Nya, iaitu pandangan-Nya terhadap pelbagai perkara, dan hal yang disukai atau yang tidak disukai-Nya. Apabila kita meniru fikiran Yehuwa dan membiarkan fikiran itu membimbing tindakan dan pilihan kita, kita sedang menjadikan fikiran Yehuwa fikiran kita.
3. Mengapakah tidak mudah untuk menjadikan fikiran Yehuwa fikiran kita?
3 Kita suka meniru fikiran Yehuwa, tetapi hal itu tidak mudah kerana fikiran kita tidak sempurna. Contohnya, kita mungkin sukar memahami pandangan Yehuwa tentang perbuatan yang tidak bermoral, sifat cinta akan kebendaan, kerja penyebaran, penyalahgunaan darah, dan sebagainya. Jadi, apakah yang dapat kita lakukan supaya fikiran kita semakin mirip dengan fikiran Yehuwa? Bagaimanakah usaha itu akan membantu kita membuat keputusan yang baik sekarang dan pada masa depan?
CARA MENJADIKAN FIKIRAN TUHAN FIKIRAN KITA
4. Bagaimanakah kita dapat mengubah fikiran sendiri?
4 Baca Roma 12:2. Dalam ayat ini, Rasul Paulus menjelaskan langkah yang perlu diambil untuk berfikir seperti Yehuwa. Dalam rencana sebelum ini, kita belajar bahawa kita mesti menolak sikap dan pandangan duniawi agar tidak lagi “dibentuk mengikut sistem dunia ini.” Namun, Paulus juga menyebut tentang perlunya ‘mengubah fikiran kita.’ Untuk berbuat demikian, kita harus mengkaji Firman Tuhan, memahami dan merenungkan fikiran-Nya, dan menyelaraskan fikiran kita dengan fikiran-Nya.
5. Pembelajaran merangkumi apa?
5 Pembelajaran bukan sekadar membaca sepintas lalu atau menggariskan jawapan. Semasa membuat pembelajaran, kita perlu berfikir tentang keperibadian, fikiran, dan haluan Yehuwa. Kita juga perlu mengetahui sebabnya Tuhan menyuruh kita melakukan atau menjauhi sesuatu. Selain itu, kita akan mempertimbangkan hal yang perlu kita ubah dalam kehidupan dan fikiran sendiri. Meskipun kita tidak dapat memikirkan semua aspek itu dalam setiap sesi pembelajaran, adalah baik untuk meluangkan masa, mungkin separuh daripada sesi pembelajaran, bagi tujuan perenungan.—Mzm. 119:97; 1 Tim. 4:15.
6. Apakah yang akan berlaku apabila kita merenungkan fikiran Yehuwa?
6 Apabila kita merenungkan Firman Tuhan secara tetap, sesuatu yang menakjubkan berlaku: Kita “membuktikan kepada diri sendiri,” atau meyakinkan diri, bahawa fikiran Yehuwa itu sempurna. Kita mula memupuk pandangan-Nya dan bersetuju dengan pandangan-Nya. Corak fikiran kita berubah secara beransur-ansur dan semakin menyerupai fikiran Yehuwa.
FIKIRAN MEMPENGARUHI TINDAKAN
7, 8. (a) Apakah pandangan Yehuwa terhadap kekayaan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Jika kita memupuk pandangan Tuhan, apakah yang akan kita utamakan?
7 Fikiran kita bukan sahaja mempengaruhi perasaan, tetapi juga tindakan kita. (Mrk. 7:21-23; Yak. 2:17) Perhatikan beberapa contoh yang membuktikan hal ini. Catatan tentang kelahiran Yesus menunjukkan dengan jelas fikiran Yehuwa tentang harta benda. Tuhan telah memilih Yusuf dan Maria untuk membesarkan Anak-Nya walaupun mereka bukan orang kaya. (Im. 12:8; Luk. 2:24) Semasa Yesus dilahirkan, Maria “meletakkannya di dalam palung kerana mereka tidak mendapat tempat untuk menginap.” (Luk. 2:7) Sekiranya Yehuwa ingin Yesus dilahirkan di tempat yang lebih selesa, Dia pasti dapat mengaturkannya. Namun, Tuhan mahu Yesus dijaga dan dibesarkan dalam keluarga yang mengutamakan hal rohani. Bagi-Nya, itulah hal yang terpenting.
8 Melalui catatan ini, kita belajar tentang pandangan Yehuwa terhadap harta benda. Sesetengah ibu bapa ingin anak mereka memiliki barang yang terbaik, walaupun hal itu mungkin menggugat kerohanian anak. Namun, Yehuwa memandang kerohanian sebagai hal terpenting. Sudahkah anda memupuk pandangan-Nya? Apakah yang ditunjukkan melalui tindakan anda?—Baca Ibrani 13:5.
9, 10. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita memiliki pandangan Yehuwa terhadap perbuatan yang mungkin menyebabkan orang lain tersandung?
9 Contoh seterusnya menunjukkan pandangan Tuhan terhadap mereka yang membuat orang lain tersandung. Yesus berkata, “Sesiapa yang menyebabkan salah seorang muridku yang bagaikan anak kecil tersandung, lebih baik jika batu kisar besar yang ditarik oleh keldai digantungkan pada lehernya lalu dia dibuang ke dalam laut.” (Mrk. 9:42) Jelaslah, membuat orang lain tersandung ialah hal yang sangat serius bagi Yesus. Memandangkan Yesus mencerminkan keperibadian Bapanya dengan sempurna, Yehuwa juga pasti murka terhadap sesiapa yang tidak peduli jika perbuatannya mungkin membuat orang lain tersandung.—Yoh. 14:9.
10 Adakah kita memiliki pandangan Yehuwa dan Yesus? Apakah yang dinyatakan melalui tindakan kita? Contohnya, jika kita suka akan pakaian atau dandanan yang mungkin menyinggung sesetengah ahli sidang atau membangkitkan nafsu orang lain, adakah kasih kita terhadap rakan seiman akan mendorong kita untuk mengetepikan cita rasa sendiri?—1 Tim. 2:9, 10.
11, 12. Apakah hasilnya jika kita memupuk pandangan Tuhan terhadap kejahatan dan memupuk kawalan diri?
11 Fikirkan satu lagi contoh: Yehuwa membenci kejahatan. (Yes. 61:8) Meskipun Dia tahu bahawa kita tidak sempurna dan cenderung berbuat salah, Dia ingin kita meniru-Nya dan membenci kejahatan. (Baca Mazmur 97:10.) Dengan merenungkan sebabnya Yehuwa membenci kejahatan, kita akan dibantu untuk menjadikan pandangan Tuhan pandangan kita, dan hal itu akan menambahkan kekuatan kita untuk menolak salah laku.
12 Jika kita memupuk pandangan Yehuwa terhadap kejahatan, kita dapat tahu bahawa sesetengah perbuatan itu salah, walaupun perbuatan itu tidak tertera dalam Firman Tuhan. Contohnya, tarian riba merupakan tarian lucah yang semakin popular. Sesetengah orang mungkin berkata bahawa tarian ini tidak salah kerana berbeza daripada melakukan hubungan seks.a Namun, adakah kegiatan ini selaras dengan fikiran Tuhan, yang membenci segala bentuk kejahatan? Semoga kita memupuk kawalan diri dan membenci apa yang dibenci Yehuwa. Dengan itu, kita dapat menjauhi apa-apa sahaja yang salah.—Rm. 12:9.
SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN
13. Mengapakah kita patut merenungkan bagaimana pandangan Yehuwa dapat membantu kita membuat keputusan yang bijak pada masa depan?
13 Semasa membuat pembelajaran, pertimbangkan juga bagaimana fikiran Yehuwa dapat membantu kita membuat keputusan yang bijak pada masa depan. Dengan itu, apabila kita menghadapi situasi yang mengharuskan kita membuat keputusan dengan segera, kita sudah menyediakan payung sebelum hujan. (Ams. 22:3) Perhatikan beberapa contoh Bible.
14. Apakah yang kita pelajari daripada reaksi Yusuf terhadap godaan isteri Potifar?
14 Yusuf segera menolak godaan isteri Potifar. Hal itu menunjukkan bahawa dia sudah merenungkan pandangan Yehuwa tentang kesetiaan kepada pasangan hidup. (Baca Kejadian 39:8, 9.) Kata-kata Yusuf, “Bagaimana mungkin aku melakukan perbuatan sejahat ini dan berdosa terhadap Tuhan?” juga membuktikan bahawa Yusuf telah memupuk pandangan Tuhan. Bagaimana pula dengan kita? Katakan seorang rakan kerja mula mengurat anda, atau anda menerima mesej atau gambar lucah di telefon bimbit.b Jika kita sudah mengkaji dan memupuk pandangan Yehuwa terhadap hal sebegini, serta memutuskan apa yang akan kita lakukan awal-awal lagi, kita dapat berpendirian teguh dengan lebih mudah.
15. Bagaimanakah kita dapat tetap setia kepada Yehuwa seperti tiga orang Ibrani itu?
15 Sekarang, fikirkan contoh tiga orang Ibrani yang dipanggil Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Semasa Raja Nebukadnezar menyuruh mereka menyembah patung emas yang dibuatnya, mereka menolak dengan tegas. Jawapan mereka yang jelas kepada raja menunjukkan bahawa mereka sudah merenungkan maksudnya tetap setia kepada Yehuwa. (Kel. 20:4, 5; Dan. 3:4-6, 12, 16-18) Seandainya majikan anda menyuruh anda menderma untuk suatu perayaan yang berkaitan dengan agama palsu, apakah yang akan anda lakukan? Daripada menunggu sehingga keadaan ini timbul, renungkanlah sekarang fikiran Yehuwa tentang hal sebegini. Dengan demikian, apabila situasi itu timbul, anda dapat mengatakan dan melakukan apa yang benar dengan lebih mudah, seperti yang dilakukan tiga orang Ibrani itu.
Sudahkah anda membuat penyelidikan, mengisi dokumen perubatan, dan bercakap dengan doktor anda? (Lihat perenggan 16)
16. Jika kita memahami fikiran Yehuwa dengan jelas, bagaimanakah hal itu akan membantu kita semasa menghadapi kecemasan perubatan?
16 Jika kita merenungkan terlebih dahulu pentingnya tetap setia kepada Yehuwa, hal itu akan membantu kita semasa menghadapi kecemasan perubatan. Sudah tentu, kita menolak transfusi darah utuh atau mana-mana daripada empat bahagian utama darah. (Kis. 15:28, 29) Namun, sesetengah rawatan yang melibatkan darah merupakan keputusan peribadi yang berdasarkan prinsip Bible. Masa yang terbaik untuk mempertimbangkan isu sebegini bukanlah semasa kita kesakitan di hospital dan didesak untuk membuat keputusan dengan cepat. Sekaranglah masanya untuk membuat penyelidikan, mengisi dokumen perubatan tentang keputusan anda, dan memaklumkan doktor anda tentangnya.c
17-19. Mengapakah penting untuk mengenali fikiran Yehuwa sekarang? Sebutkan contoh.
17 Akhirnya, fikirkan bagaimana Yesus menjawab dengan segera semasa Petrus berkata kepadanya, “Tuan, kasihanilah dirimu sendiri.” Sebelum itu, Yesus pasti telah banyak membuat perenungan tentang kehendak Tuhan baginya dan Ayat-Ayat Suci mengenai kehidupan dan kematiannya di bumi. Pengetahuan itu telah meneguhkan azamnya agar tetap setia dan rela berkorban.—Baca Matius 16:21-23, nota kaki.
18 Dewasa ini, Tuhan menghendaki umat-Nya menjalin persahabatan dengan-Nya dan melakukan kerja-Nya dengan sedaya upaya. (Mat. 6:33; 28:19, 20; Yak. 4:8) Seperti yang dilakukan Petrus, sesetengah orang yang berniat baik mungkin memujuk kita agar tidak berbuat demikian. Contohnya, anda mungkin ditawarkan kenaikan pangkat dan gaji, tetapi jawatan itu akan mengganggu jadual rohani anda, atau anda bersekolah dan ditawarkan pendidikan lanjut di tempat lain. Dalam situasi sebegini, anda tentu ingin berdoa, membuat penyelidikan, dan berbincang dengan keluarga atau penatua sebelum membuat keputusan. Namun, bukankah lebih baik jika anda melakukan hal-hal itu sekarang, supaya anda mengetahui fikiran Yehuwa dan menyebatikan fikiran-Nya dengan fikiran anda? Dengan demikian, apabila tawaran sedemikian diberikan kelak, hati anda tidak akan tergoda untuk menerimanya. Matlamat rohani anda sudah ditetapkan, dan azam anda sudah teguh. Kini, anda hanya perlu melaksanakan keputusan yang sudah dibuat dahulu.
19 Anda mungkin dapat memikirkan situasi lain yang boleh timbul secara tiba-tiba. Sudah tentu kita tidak dapat bersiap sedia untuk semua kemungkinan. Tetapi jika kita merenungkan fikiran Yehuwa semasa membuat pembelajaran peribadi, kemungkinan besar kita dapat mengingat kembali apa yang dipelajari dan menerapkannya dalam situasi yang dihadapi. Maka semasa membuat pembelajaran, berusahalah untuk mengenali fikiran Yehuwa dan menjadikannya fikiran kita. Selain itu, fikirkan bagaimana pandangan Tuhan akan mempengaruhi keputusan kita, baik sekarang mahupun pada masa depan.
FIKIRAN YEHUWA DAN MASA DEPAN ANDA
20, 21. (a) Mengapakah kita akan menikmati kebebasan di dunia baharu? (b) Bagaimanakah kita dapat bersukacita sekarang?
20 Kita menanti-nantikan kehidupan kekal di bumi Firdaus. Di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan, manusia akan dibebaskan daripada segala penderitaan dunia lama. Di dunia baharu, kita masih bebas untuk memilih hal yang kita gemari.
21 Sudah tentu, kebebasan itu ada batasnya. Orang yang rendah hati akan terus dibimbing oleh hukum dan fikiran Yehuwa semasa memilih antara yang betul dengan yang salah. Usaha itu akan membawa sukacita dan kedamaian yang melimpah. (Mzm. 37:11) Sebelum masa itu tiba, kita juga dapat bersukacita jika kita menjadikan fikiran Yehuwa fikiran kita.
a Dalam tarian riba (lap dancing), seorang penari yang biasanya separuh bogel akan duduk dan bergerak-gerak di riba pelanggan. Bergantung pada situasi yang terjadi, hal itu mungkin tergolong sebagai perbuatan seks yang tidak bermoral dan boleh melibatkan tindakan jawatankuasa pengadilan. Orang Kristian yang telah mengambil bahagian dalam kegiatan sebegini harus mendapatkan bantuan penatua.—Yak. 5:14, 15.
b Perbuatan menghantar mesej, gambar, atau video lucah melalui telefon bimbit dipanggil sexting. Bergantung pada situasi, perbuatan sexting boleh mengakibatkan tindakan jawatankuasa pengadilan. Dalam sesetengah kes, individu di bawah umur yang terlibat dalam sexting telah didakwa oleh pihak berkuasa sebagai pesalah seks. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.jw.org/ms dan bacalah rencana “Kaum Muda Bertanya—Apakah yang Perlu Saya Tahu tentang Sexting?” (Lihat AJARAN BIBLE > REMAJA.) Lihat juga rencana “Mengajar Anak tentang Bahaya Sexting” dalam Sedarlah! terbitan November 2013, muka surat 4-5, dalam bahasa Indonesia.
c Prinsip-prinsip Bible yang berkenaan pernah dibincangkan dalam bahan bacaan kita, seperti buku Bernaunglah Di Bawah Kasih Tuhan, penjelasan 21.