Dibebaskan melalui Kebaikan Hati Tuhan yang Unggul
“Jangan izinkan dosa menjadi tuan yang berkuasa ke atas kamu, kerana kamu . . . berada di bawah kebaikan hati Tuhan yang unggul.”—RM. 6:14.
1, 2. Mengapakah Roma 5:12 penting bagi Saksi-Saksi Yehuwa?
JIKA anda menyenaraikan ayat Bible yang sering digunakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa, adakah ayat Roma 5:12 disenaraikan juga? Fikirkan seberapa kerap anda menggunakan ayat itu yang berkata, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa membawa kematian. Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang kerana mereka semua berdosa.”
2 Apabila anda mengadakan pembelajaran Bible bersama anak atau orang lain, anda mungkin membaca Roma 5:12 dalam bab 3, 5, dan 6 dalam buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? yang membincangkan tentang tujuan Tuhan bagi bumi, tebusan, dan keadaan orang mati. Tetapi adakah anda pernah memikirkan bagaimana Roma 5:12 mempengaruhi perbuatan, masa depan, dan hubungan anda dengan Yehuwa?
3. Bagaimanakah seharusnya pandangan kita terhadap dosa?
3 Kita semua harus menerima hakikat bahawa kita berdosa dan melakukan kesilapan setiap hari. Namun, kita yakin bahawa Tuhan berbelas kasihan dan ingat bahawa kita debu belaka. (Mzm. 103:13, 14) Dalam doa Yesus, dia memohon kepada Tuhan, “Ampunkanlah dosa kami.” (Luk. 11:2-4) Jadi, kita tidak perlu terus dibebani dosa yang telah diampunkan Yehuwa. Mari kita lihat cara Yehuwa dapat mengampuni kita.
DIAMPUNKAN MELALUI KEBAIKAN HATI TUHAN YANG UNGGUL
4, 5. (a) Apakah yang membantu kita untuk memahami Roma 5:12? (b) Apakah maksud ‘kebaikan hati Tuhan yang unggul’?
4 Untuk memahami Roma 5:12, kita boleh merujuk kepada bab-bab lain dalam buku Roma. Bab 6 membantu kita memahami cara Yehuwa dapat mengampuni kita. Dalam bab 3, kita tahu bahawa “semua orang sudah berdosa . . . Tuhan memperlihatkan kebaikan hati-Nya yang unggul dengan membebaskan mereka melalui tebusan yang dibayar oleh Kristus Yesus. Melalui kurniaan percuma itu, mereka dianggap sebagai orang yang diperkenankan-Nya.” (Rm. 3:23, 24) Apakah maksud ‘kebaikan hati Tuhan yang unggul’? Paulus menggunakan perkataan Yunani yang merujuk kepada bantuan yang diberikan secara percuma, tanpa bayaran atau meminta balasan. Bantuan itu tidak layak kita terima.
5 Seorang pakar menjelaskan bahawa apabila Bible menyatakan tentang kebaikan hati unggul yang ditunjukkan Tuhan atau Kristus, hal itu sering merujuk kepada apa yang telah dilakukan mereka untuk menyelamatkan manusia daripada dosa dan kematian. Bagaimanakah Tuhan menunjukkan kebaikan hati-Nya yang unggul? Bagaimanakah hal ini mempengaruhi kita sekarang dan memberi kita harapan?
6. Siapakah yang dapat meraih manfaat daripada kebaikan hati Tuhan yang unggul, dan bagaimana?
6 Dosa dan kematian “masuk ke dalam dunia” menerusi “satu orang,” iaitu Adam. Maka, “melalui dosa satu orang, maut mula memerintah sebagai raja.” Paulus mengatakan bahawa “kebaikan hati Tuhan yang melimpah” datang “melalui Yesus Kristus.” (Rm. 5:12, 15, 17) Kebaikan hati Tuhan yang unggul itu memberikan manfaat kepada umat manusia. “Disebabkan kepatuhan satu orang [Yesus], banyak orang mendapat perkenan Tuhan.” Kebaikan hati Tuhan yang unggul juga membimbing kita ke “kehidupan yang kekal melalui Yesus Kristus.”—Rm. 5:19, 21.
7. Mengapakah pemberian tebusan menunjukkan kebaikan hati Tuhan yang tidak layak kita peroleh?
7 Yehuwa tidak wajib memberikan Anak-Nya sebagai tebusan. Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita sememangnya tidak layak menerima pemberian ini daripada Tuhan dan Yesus. Tetapi disebabkan kebaikan hati Tuhan, Dia menyediakan tebusan untuk menyelamatkan kita daripada dosa dan kematian. Kita sangat bersyukur kerana dosa kita dapat diampunkan dan kita dapat hidup selama-lamanya. Marilah kita menunjukkan kesyukuran melalui cara hidup kita.
MENGHARGAI KEBAIKAN HATI TUHAN YANG UNGGUL
8. Apakah pandangan salah yang dimiliki beberapa orang mengenai dosa?
8 Memandangkan kita keturunan Adam yang tidak sempurna, kita cenderung berbuat salah dan berdosa. Tetapi kita tidak harus menjadikan kebaikan hati Tuhan yang unggul sebagai alasan untuk melakukan dosa. Ada yang berfikir, “Jika saya melakukan dosa serius, saya tidak perlu risau. Tuhan akan mengampuni saya.” Malangnya, terdapat orang Kristian pada abad pertama yang berasa begitu. (Baca Yudas 4.) Maka, kita harus berhati-hati agar tidak dipengaruhi oleh orang lain dan sedikit demi sedikit menerima pemikiran yang salah itu.
9, 10. Bagaimanakah Paulus dan orang lain dibebaskan daripada dosa dan kematian?
9 Paulus menekankan bahawa kita harus menolak alasan seperti: “Tuhan memahami saya. Dia akan mengampunkan dosa saya.” Mengapa? Menurut Paulus, orang Kristian “sudah mati sehubungan dengan dosa.” (Baca Roma 6:1, 11.) Memandangkan mereka masih hidup di bumi, bagaimanakah mereka “sudah mati sehubungan dengan dosa”?
10 Menerusi tebusan, Tuhan mengampunkan dosa Paulus dan orang Kristian lain pada abad pertama. Yehuwa telah mengurapi mereka dengan daya aktif dan mereka menjadi anak rohani Tuhan. Jika mereka setia, mereka berpeluang naik ke syurga dan memerintah bersama Kristus. Memandangkan pada masa itu mereka masih hidup di bumi, bagaimanakah mereka “sudah mati sehubungan dengan dosa”? Paulus menggunakan contoh Yesus yang mati sebagai manusia dan kemudiannya dibangkitkan ke syurga dengan nyawa yang tidak dapat mati. Kematian tidak lagi berkuasa ke atas Yesus. Begitu juga dengan kaum terurap yang “sudah mati sehubungan dengan dosa, tetapi hidup untuk melakukan kehendak Tuhan melalui Kristus Yesus.” (Rm. 6:9, 11) Mereka tidak lagi dikuasai oleh keinginan berdosa.
11. Bagaimanakah orang Kristian hari ini “sudah mati sehubungan dengan dosa”?
11 Bagaimana pula dengan kita? Sebelum menjadi orang Kristian, kita sering berdosa dan mungkin tidak sedar bahawa kita melakukan apa yang salah di mata Yehuwa. Kita seperti “hamba kepada kenajisan dan pelanggaran hukum” serta “menjadi hamba dosa.” (Rm. 6:19, 20) Kemudian, kita mengenali kebenaran Bible, membuat perubahan, membaktikan diri kepada Tuhan, dan dibaptis. Sejak itu, kita mematuhi ajaran dan standard Tuhan “dengan rela hati.” Oleh itu, kita “sudah dibebaskan daripada dosa” dan “menjadi hamba kepada Tuhan dan melakukan apa yang benar.” (Rm. 6:17, 18) Maka, kita “sudah mati sehubungan dengan dosa.”
12. Apakah pilihan yang harus kita buat?
12 Paulus berkata, “Janganlah biarkan dosa terus memerintah sebagai raja ke atas tubuh kamu yang boleh mati, supaya kamu tidak menurut keinginan tubuh kamu.” (Rm. 6:12) Kita boleh “biarkan dosa terus memerintah” jika kita melakukan apa sahaja yang diinginkan oleh tubuh kita. Namun, kita juga boleh menolak keinginan salah. Jadi apakah yang sebenarnya diinginkan dalam hati kita? Tanyalah diri, adakah tubuh dan minda saya yang tidak sempurna mendorong saya untuk melakukan perbuatan yang salah? Atau adakah saya sudah mati sehubungan dengan dosa dan hidup untuk melakukan kehendak Tuhan melalui Kristus Yesus? Jika kita benar-benar menghargai kebaikan hati Tuhan yang unggul, kita akan berusaha untuk menyenangkan hati-Nya.
PERGELUTAN YANG DAPAT ANDA MENANG
13. Apakah bukti yang meyakinkan kita bahawa kita boleh berhenti melakukan dosa?
13 Setelah umat Yehuwa mengenal, mengasihi, dan menyembah Tuhan, mereka tidak lagi melakukan ‘perbuatan mereka semasa mereka menjadi hamba dosa.’ Dahulunya, haluan hidup mereka mungkin merangkumi ‘perkara-perkara yang sekarang menyebabkan mereka berasa malu’ dan boleh mendatangkan hukuman mati. (Rm. 6:21) Namun, mereka telah membuat perubahan seperti orang Kristian di Korintus. Ada antara mereka yang menyembah berhala, berzina, mengadakan hubungan sejenis, mencuri, mabuk, dan sebagainya. Namun mereka telah “dibersihkan” dan “disucikan.” (1 Kor. 6:9-11) Hal itu juga berlaku di sidang Roma. Paulus diilhami untuk menulis kepada mereka, “Jangan terus menyerahkan tubuh kamu kepada dosa untuk melakukan apa yang salah. Sebaliknya, serahkanlah diri kamu kepada Tuhan sebagai orang yang dahulunya mati tetapi kini sudah hidup semula. Serahkanlah juga tubuh kamu kepada Tuhan untuk melakukan apa yang benar.” (Rm. 6:13) Paulus yakin bahawa mereka boleh tetap bersih secara rohani dan terus menikmati kebaikan hati Tuhan yang unggul.
14, 15. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita bertekad untuk ‘mematuhi Tuhan dengan rela hati’?
14 Hari ini, terdapat saudara saudari yang seperti orang di Korintus. Mereka juga telah membuat perubahan. Mereka meninggalkan haluan hidup berdosa dan telah “dibersihkan.” Tidak kira apa yang mungkin pernah anda lakukan, bagaimanakah hubungan anda dengan Yehuwa sekarang? Memandangkan anda telah meraih manfaat daripada kebaikan hati Tuhan yang unggul dan pengampunan dosa, adakah anda bertekad untuk tidak lagi ‘menyerahkan tubuh anda kepada dosa’? Adakah anda terus ‘menyerahkan diri anda kepada Tuhan sebagai orang yang dahulunya mati tetapi kini sudah hidup semula’?
15 Kita mesti mengelakkan dosa serius yang pernah dilakukan oleh beberapa orang di Korintus. Jika kita menerima kebaikan hati Tuhan yang unggul, kita tidak akan membiarkan dosa ‘menjadi tuan yang berkuasa ke atas diri kita.’ Namun, adakah kita juga bertekad untuk ‘mematuhi Tuhan dengan rela hati’ dengan berusaha mengelakkan dosa-dosa yang nampaknya tidak serius?—Rm. 6:14, 17.
16. Bagaimanakah kita mengetahui bahawa orang Kristian bukan sekadar mengelakkan dosa serius yang tercatat di 1 Korintus 6:9-11?
16 Fikirkan Rasul Paulus. Kita yakin bahawa dia tidak melakukan dosa-dosa serius yang tercatat di 1 Korintus 6:9-11. Walau bagaimanapun, dia mengakui bahawa dia masih berdosa. Dia menulis, “Aku tidak sempurna dan dijual sebagai hamba dosa. Sebenarnya, aku tidak memahami perbuatanku sendiri. Aku tidak mengamalkan perkara-perkara yang ingin aku lakukan. Sebaliknya, aku melakukan perkara-perkara yang aku benci.” (Rm. 7:14, 15) Hal ini menunjukkan bahawa terdapat dosa lain yang dilakukan oleh Paulus dan dia berusaha melawan dosa-dosa itu. (Baca Roma 7:21-23.) Marilah kita mengikut teladan Paulus dan bertekad untuk ‘mematuhi Tuhan dengan rela hati.’
17. Mengapakah anda ingin menunjukkan kejujuran?
17 Perhatikan contoh dalam hal kejujuran yang harus ditunjukkan oleh seorang Kristian. (Baca Amsal 14:5; Efesus 4:25.) Syaitan ialah “bapa segala dusta.” Selain itu, Ananias dan isterinya telah kehilangan nyawa kerana berbohong. Kita tidak ingin meniru mereka dan harus mengelak daripada berbohong. (Yoh. 8:44; Kis. 5:1-11) Namun kejujuran bukan sekadar bermaksud tidak berbohong. Jika kita bersyukur atas kebaikan hati Tuhan yang unggul, kita akan mengamalkan kejujuran dalam cara yang lain.
18, 19. Apakah yang dimaksudkan dengan berlaku jujur?
18 Berbohong bermaksud mengatakan sesuatu yang tidak benar. Yehuwa menggesa orang Israel kuno, ‘Kamu mesti suci kerana Aku suci. Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.’ Tuhan juga memberikan contoh tentang bagaimana kita boleh menjadi suci. Dia berkata, “Jangan mencuri, jangan menipu, dan jangan memperlakukan orang lain secara tidak jujur.” (Im. 19:2, 11, NW) Walaupun kita mungkin tidak berbohong, tetapi jika kita menyebabkan orang lain percaya sesuatu yang tidak benar, kita sebenarnya tidak jujur.
Adakah kita bertekad untuk mengelak daripada menipu atau memperdaya orang? (Lihat perenggan 19)
19 Contohnya, seorang lelaki memberitahu majikan atau rakan sekerjanya bahawa dia perlu balik awal kerana mempunyai “temu janji doktor.” Namun, itu bukan alasannya yang sebenar. Dia mahu balik awal kerana ingin membawa keluarganya ke pantai. “Temu janji doktor” itu sebenarnya adalah sekadar singgah di hospital untuk mengambil ubat. Jadi adakah dia menunjukkan kejujuran, atau sebaliknya? Lelaki itu telah menyebabkan orang lain percaya sesuatu yang tidak benar. Kadangkala, seseorang mungkin memperdaya orang lain untuk mendapatkan sesuatu atau mengelakkan hukuman. Tetapi, kita mahu mentaati Yehuwa yang berkata, “Jangan memperlakukan orang lain secara tidak jujur.” Kita mahu melakukan apa yang benar dan suci di mata Yehuwa.—Rm. 6:19.
20, 21. Kebaikan hati Tuhan yang unggul seharusnya mendorong kita untuk melakukan apa?
20 Jika kita menghargai kebaikan hati Tuhan yang unggul, kita bukan sekadar mengelakkan perzinaan, kemabukan, atau dosa-dosa lain yang pernah dilakukan oleh beberapa orang di Korintus. Contohnya, kita bukan sekadar mengelakkan perbuatan seks yang tidak bermoral tetapi juga melawan kecenderungan untuk menikmati hiburan yang tidak senonoh. Jika kita merupakan hamba kepada apa yang diperkenankan Tuhan, kita bukan sahaja akan menjauhi kemabukan, tetapi kita juga tidak akan minum sehingga hampir mabuk. Kita mungkin perlu berusaha untuk melawan perbuatan yang salah. Tetapi kita memang dapat memenangi pergelutan ini.
21 Matlamat kita bukan sekadar mengelakkan dosa-dosa yang serius, tetapi juga dosa yang tidak begitu ketara. Walaupun kita tidak dapat melakukannya secara sempurna, kita boleh berusaha untuk meneladani Paulus. Dia menggesa rakan seimannya, “Janganlah biarkan dosa terus memerintah sebagai raja ke atas tubuh kamu yang boleh mati, supaya kamu tidak menurut keinginan tubuh kamu.” (Rm. 6:12; 7:18-20) Apabila kita melawan segala jenis perbuatan dosa, kita menunjukkan bahawa kita benar-benar menghargai kebaikan hati Tuhan yang unggul yang ditunjukkan melalui Kristus.
22. Apakah ganjaran yang dinanti-nantikan oleh mereka yang menunjukkan penghargaan terhadap kebaikan hati Tuhan yang unggul?
22 Melalui kebaikan hati Tuhan yang unggul, dosa kita boleh diampunkan. Untuk menunjukkan sejauh mana kita menghargai hal itu, marilah kita terus berusaha mengatasi apa-apa sahaja kecenderungan yang menyebabkan kita melakukan dosa yang mungkin dianggap remeh oleh orang lain. Dengan demikian, kita akan melihat kebenaran kata-kata Paulus, “Sekarang kamu sudah dibebaskan daripada dosa dan menjadi hamba Tuhan. Hasilnya ialah kehidupan yang suci, yang membawa kehidupan kekal.”—Rm. 6:22.