Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
3-9 JUN
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | GALATIA 4-6
“Kisah yang Mempunyai ‘Erti Kiasan’”
(Galatia 4:24, 25) Perkara-perkara itu mempunyai erti kiasan. Wanita-wanita itu melambangkan dua perjanjian. Perjanjian daripada Gunung Sinai ialah Hagar, dan anak-anaknya dilahirkan sebagai hamba. 25 Hagar melambangkan Gunung Sinai, iaitu sebuah gunung di negeri Arab, dan dia melambangkan Yerusalem sekarang ini, kerana dia sudah diperhamba bersama anak-anaknya.
it-1 849 per. 2
Hagar
Menurut Rasul Paulus, Hagar melambangkan bangsa Israel jasmani dalam sebuah drama simbolik. Bangsa ini terikat kepada Yehuwa melalui perjanjian Hukum Musa yang diasaskan di Gunung Sinai. Tetapi, oleh sebab orang Israel tidak sempurna dan tidak dapat memenuhi syarat perjanjian itu, mereka bagaikan ‘anak-anak yang dilahirkan sebagai hamba.’ Perjanjian itu mengingatkan orang Israel bahawa mereka tidak bebas; mereka ialah hamba dosa yang layak mati. (Yoh 8:34; Rm 8:1-3) Pada zaman Paulus, Israel dan ibu kotanya Yerusalem ialah Hagar yang diperhamba bersama anak-anaknya. Namun, orang Kristian yang diurapi kuasa suci Tuhan merupakan anak-anak “Yerusalem di syurga,” iaitu isteri kiasan Tuhan. Seperti Sara, Yerusalem ini bebas dan tidak pernah diperhamba. Tetapi sebagaimana Ishak dianiaya oleh Ismael, demikian juga anak-anak “Yerusalem di syurga” yang telah dibebaskan oleh Anak Tuhan, dianiaya oleh anak-anak Yerusalem yang diperhamba. Namun, sepertimana Hagar dan anaknya diusir, Yehuwa juga telah menolak bangsa Israel jasmani.—Ga 4:21-31; lihat juga Yoh 8:31-40.
Mencari Permata Rohani
(Galatia 4:6) Memandangkan kamu anak-anak Tuhan, Dia telah mengutus kuasa suci-Nya yang diberikan kepada Anak-Nya ke dalam hati kita. Kuasa suci itu berseru, “Abba, Bapa!”
w09 1/4 13
Tahukah Anda?
Dalam doa Yesus, mengapakah dia memanggil Yehuwa dengan ungkapan “Abba, Bapa”?
Perkataan Aram ʼab·baʼʹ boleh bererti “bapa” atau “Ya, Bapa.” Ungkapan ini muncul tiga kali dalam Bible, dan setiap kali digunakan dalam doa serta ditujukan kepada Yehuwa, Bapa yang di syurga. Apakah erti perkataan itu?
The International Standard Bible Encyclopedia menyatakan, “Dalam bahasa sehari-hari pada zaman Yesus, ʼabbāʼ digunakan khususnya untuk menunjukkan hubungan akrab dan rasa hormat anak-anak kepada bapa mereka.” Cara panggilan ini menggambarkan hubungan yang rapat dan merupakan kata-kata pertama yang diajar kepada anak. Semasa di Taman Getsemani beberapa jam sebelum kematiannya, Yesus berdoa dengan bersungguh-sungguh dengan menggunakan ungkapan “Abba, Bapa.”—Markus 14:36.
Rujukan itu juga menyatakan, “Penggunaan kata ʼabbāʼ semasa merujuk kepada Tuhan jarang digunakan dalam sastera Yahudi pada zaman Yunani-Roma. Hal ini demikian kerana cara panggilan ini dianggap tidak hormat apabila ditujukan kepada Tuhan.” Namun begitu, “Apabila Yesus . . . menggunakan ungkapan ini dalam doanya, ini secara tidak langsung membuktikan bahawa dia sangat akrab dengan Tuhan.” Kata “Abba” yang muncul dalam dua ayat Bible yang lain (kedua-duanya dalam tulisan Rasul Paulus) menunjukkan bahawa orang Kristian abad pertama juga menggunakan ungkapan ini dalam doa mereka.—Roma 8:15; Galatia 4:6.
(Galatia 6:17) Mulai sekarang, janganlah sesiapa pun menyusahkan aku, kerana pada tubuhku ada tanda-tanda selar yang menunjukkan bahawa aku hamba Yesus.
w10 1/11 15
Tahukah Anda?
Apakah yang dimaksudkan Rasul Paulus sewaktu dia berkata, “Pada tubuhku ada tanda-tanda selar yang menunjukkan bahawa aku hamba Yesus”?—Galatia 6:17.
▪ Apabila orang pada zaman Paulus mendengar kata-katanya itu, terdapat beberapa hal yang mungkin terlintas dalam fikiran mereka. Misalnya, pada zaman dahulu, besi panas dicap pada kulit seseorang sebagai tanda bahawa dia ialah tahanan perang, perompak kuil, atau hamba yang melarikan diri. Tanda selar sebegini dipandang hina oleh orang.
Namun, tanda selar tidak selalu dipandang negatif. Banyak orang pada zaman dahulu menggunakannya untuk menunjukkan bahawa mereka ialah anggota suatu agama atau suku. Misalnya, menurut Theological Dictionary of the New Testament, “orang Siria menunjukkan pengabdian mereka kepada Dewa Hadad dan Dewi Atargatis dengan mengenakan tanda selar pada pergelangan tangan atau leher . . . Tanda berbentuk daun diselarkan pada penyembah Dionisus.”
Banyak pengulas zaman moden beranggapan bahawa Paulus sedang merujuk kepada parut-parut pada tubuhnya akibat tentangan yang dialami semasa kerja penyebarannya. (2 Korintus 11:23-27) Namun, Paulus mungkin sedang merujuk kepada haluan hidupnya sebagai seorang Kristian dan bukannya apa-apa tanda harfiah pada tubuhnya.
10-16 JUN
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | EFESUS 1-3
“Pentadbiran Yehuwa dan Tujuannya”
(Efesus 1:8, 9) Tuhan telah mencurahkan kebaikan hati yang unggul ke atas kita dengan memberi kita segala kebijaksanaan dan pengertian. 9 Dia telah menyingkapkan rahsia suci tentang kehendak-Nya kepada kita. Rahsia suci ini selaras dengan apa yang diperkenankan-Nya, dan selaras dengan tujuan-Nya
it-2 610 per. 3
Rahsia Suci
Kerajaan Mesias. Dalam tulisan Paulus, dia menyingkapkan rahsia suci tentang Kristus. Di Efesus 1:9-11 dia menyebut bahawa Tuhan menyingkapkan “rahsia suci” tentang kehendak-Nya, dan berkata, “Rahsia suci ini selaras dengan apa yang diperkenankan-Nya, dan selaras dengan tujuan-Nya untuk melaksanakan sebuah pentadbiran apabila jangka masa yang ditetapkan-Nya tamat. Dengan ini, segala sesuatu, baik perkara di syurga mahupun perkara di bumi, dikumpulkan dan ditundukkan kepada Kristus. Ya, segala sesuatu akan dikumpulkan dan ditundukkan kepadanya. Tuhan melaksanakan segala sesuatu mengikut kehendak-Nya. Awal-awal lagi, Dia telah memilih kami untuk bersatu dengan Kristus dan melantik kami sebagai pewaris menurut tujuan-Nya.” “Rahsia suci” itu berkaitan dengan pemerintahan Kerajaan Mesias. “Perkara di syurga” yang disebutkan oleh Paulus, merujuk kepada bakal pewaris Kerajaan di syurga bersama Kristus. “Perkara di bumi” merujuk kepada orang yang hidup di bumi semasa pemerintahan Kerajaan Tuhan. Yesus memberitahu murid-muridnya bahawa rahsia suci itu berkaitan dengan Kerajaan Tuhan ketika dia berkata, “Tuhan sudah mengizinkan kamu untuk memahami rahsia suci tentang Kerajaan Tuhan.”—Mr 4:11.
Mencari Permata Rohani
(Efesus 3:19) serta dapat mengenal kasih Kristus yang lebih unggul daripada pengetahuan. Dengan demikian, kamu dapat dipenuhi dengan segala sifat Tuhan yang dianugerahkan oleh-Nya.
“Mengenal Kasih Kristus”
21 Dalam bahasa Yunani, perkataan “mengenal” membawa maksud mengetahui sesuatu “melalui pengalaman.” Kita sedang menyelami perasaan Yesus semasa kita menunjukkan sikap rela berkorban, sedia memaafkan, berbelas kasihan terhadap orang dan berusaha untuk membantu mereka, serta tidak bersikap mementingkan diri. Jika kita berbuat demikian, kita akan “mengenal kasih Kristus yang lebih unggul daripada pengetahuan.” Ingatlah bahawa jika kita menghampiri Yesus, kita juga akan menghampiri Yehuwa, Tuhan kita yang pengasih.
17-23 JUN
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | EFESUS 4-6
Mencari Permata Rohani
(Efesus 4:30) Selain itu, janganlah menyedihkan kuasa suci Tuhan. Kamu telah dimeterai melalui kuasa suci itu supaya kamu ditebus dan dibebaskan pada hari pembebasan.
it-1 1353 per. 5
Suci, Kesucian
Kuasa suci Tuhan. Daya aktif atau kuasa Yehuwa dikawal oleh-Nya dan selalu melaksanakan tujuan-Nya. Kuasa ini bersih, murni, suci, dan digunakan oleh Tuhan demi kebaikan. Itulah sebabnya kuasa ini disebut “kuasa suci Tuhan.” (Mz 51:11; Lu 11:13; Rm 1:4; Ef 1:13) Kuasa suci Tuhan dapat menggerakkan seseorang untuk tetap suci dan murni. Seseorang yang melakukan perbuatan yang najis atau salah sedang melawan atau “menyedihkan” kuasa suci Tuhan. (Ef 4:30) Sememangnya, kuasa suci Tuhan tidak mempunyai perasaan atau fikiran. Tetapi, oleh sebab Tuhan menggunakan kuasa suci-Nya untuk melakukan kehendak-Nya yang suci, perbuatan berdosa dapat “menyedihkan” atau ‘memadamkan api kuasa suci Tuhan.’ (1Te 5:19) Jika seseorang terus mengamalkan perbuatan seperti itu, hal ini boleh menyebabkan Tuhan menjadi musuh orang itu. (Yes 63:10) Orang yang menyedihkan kuasa suci Tuhan mungkin akan menghina kuasa suci itu juga, dan menurut Yesus Kristus, dosa seperti itu tidak akan diampunkan baik pada sistem dunia ini mahupun pada sistem dunia yang akan datang.—Mt 12:31, 32; Mr 3:28-30.
(Efesus 5:5) Kamu sendiri tahu dan sedar bahawa orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, orang yang melakukan perkara-perkara yang najis, atau orang yang tamak, iaitu orang yang menyembah berhala, tidak akan mewarisi apa-apa dalam Kerajaan Kristus dan Tuhan.
it-2 961 per. 5
Tamak, Ketamakan
Ditunjukkan dalam Perbuatan. Sikap tamak dapat dilihat melalui perbuatan yang didorong oleh keinginan yang salah atau yang tidak dapat dipuaskan. Penulis Bible, Yakobus, mengatakan bahawa keinginan salah yang menjadi subur akan mengakibatkan dosa. (Yak 1:14, 15) Oleh itu, orang yang tamak boleh dikenal pasti menerusi tindakannya. Rasul Paulus menyatakan bahawa orang yang tamak merupakan penyembah berhala. (Ef 5:5) Orang yang tamak menjadikan keinginannya sebagai tuhan dan lebih mementingkannya berbanding khidmat dan ibadat kepada Pencipta.—Rm 1:24, 25.
24-30 JUN
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | FILIPI 1-4
“Janganlah Khuatir akan Apa-Apa Pun”
Mencari Permata Rohani
(Filipi 2:17) Biarpun aku menjadi seperti korban wain yang dicurahkan ke atas korban yang kamu berikan, iaitu khidmat suci kamu yang didorong oleh iman, aku berasa gembira dan bersukacita bersama kamu semua.
it-2 504 per. 8
Korban
Korban wain. Korban wain dipersembahkan bersama korban-korban lain, terutamanya setelah orang Israel menetap di Tanah Perjanjian. (Bil 15:2, 5, 8-10) Korban ini dicurahkan di atas mazbah. (Bil 28:7, 14; bandingkan Kel 30:9; Bil 15:10.) Rasul Paulus menulis kepada orang Kristian di Filipi, “Biarpun aku menjadi seperti korban wain yang dicurahkan ke atas korban yang kamu berikan, iaitu khidmat suci kamu yang didorong oleh iman, aku berasa gembira.” Di ayat itu, dia menggunakan korban wain dalam erti kiasan untuk menggambarkan kerelaannya untuk berusaha keras demi rakan Kristiannya. (Flp 2:17) Tidak lama sebelum kematiannya, dia menulis kepada Timotius, “Aku sudah menjadi seperti korban wain yang dicurahkan, dan masa pembebasanku sudah sangat dekat.”—2Ti 4:6.
(Filipi 3:11) Aku berbuat demikian dengan bersungguh-sungguh agar aku berpeluang untuk menerima pembangkitan yang lebih awal.
w07 1/1 26-27 per. 5
“Pembangkitan yang Pertama”—Kini Sedang Berlangsung!
5 Seterusnya, anggota terurap “Israel milik Tuhan” harus menyertai Tuan Yesus Kristus dan menikmati kemuliaan di syurga, dan di sana mereka “akan sentiasa bersama-sama Tuan.” (Galatia 6:16; 1 Tesalonika 4:17) Peristiwa itu disebut “pembangkitan yang lebih awal” atau “pembangkitan yang pertama.” (Filipi 3:10, 11; Wahyu 20:6) Setelah pembangkitan itu selesai, tibalah waktunya bagi jutaan orang untuk dibangkitkan di bumi dengan harapan untuk memperoleh kehidupan abadi di Firdaus. Jadi, tidak kira harapan kita di syurga atau di bumi, kita sangat berminat untuk mengetahui tentang “pembangkitan yang pertama.” Apakah pembangkitan itu? Bilakah hal itu akan berlaku?