PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • bt bab 17 ms. 151-158
  • “Dia Menggunakan Ayat-Ayat Suci untuk Berbincang dengan Orang”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • “Dia Menggunakan Ayat-Ayat Suci untuk Berbincang dengan Orang”
  • ‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • “Dia Menggunakan Ayat-Ayat Suci untuk Berbincang” (Kis. 17:1-3)
  • ‘Sebilangan Percaya’ (Kis. 17:4-9)
  • “Fikiran Orang di Situ Lebih Terbuka” (Kis. 17:10-15)
  • Paulus dan Timotius
    Belajar daripada Cerita-Cerita Bible
  • “Datanglah ke Makedonia”
    ‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
bt bab 17 ms. 151-158

BAB 17

“Dia Menggunakan Ayat-Ayat Suci untuk Berbincang dengan Orang”

Asas untuk mengajar dengan mahir; teladan baik orang Berea

Berdasarkan Kisah 17:1-15

1, 2. Siapakah yang sedang mengembara dari Filipi ke Tesalonika, dan apakah yang mungkin difikirkan oleh mereka?

JALAN yang dibina oleh jurutera Roma yang mahir merentasi kawasan pergunungan. Kadangkala kedengaran bunyi keldai, roda-roda kereta kuda di atas batu ubin, dan juga suara pengembara, seperti askar, pedagang, dan tukang-tukang. Paulus, Silas, dan Timotius sedang melalui jalan ini sejauh 130 km dari Filipi ke Tesalonika. Perjalanan ini mencabar, terutamanya bagi Paulus dan Silas. Mereka masih mempunyai luka kerana dipukul dengan kayu di Filipi.​—Kis. 16:22, 23.

2 Perjalanan yang jauh ini pasti memenatkan dan dapat membuat mereka tawar hati. Namun, perbualan antara satu sama lain tentu membantu mereka. Pengalaman mereka di Filipi mengenai penjaga penjara dan keluarganya yang menerima kebenaran masih segar dalam ingatan mereka. Sudah tentu pengalaman ini menguatkan tekad mereka untuk mengisytiharkan firman Tuhan. Namun, seraya mereka menghampiri kota Tesalonika yang terletak di persisiran pantai, mereka mungkin terfikir tentang reaksi orang Yahudi di situ. Adakah mereka akan diserang, bahkan dipukul, seperti di Filipi?

3. Bagaimanakah teladan Paulus yang mengerahkan keberanian bermanfaat bagi kita hari ini?

3 Pada kemudian hari, Paulus meluahkan perasaannya melalui sepucuk surat kepada orang Kristian di Tesalonika: “Walaupun mula-mula kami telah menderita dan dihina di Filipi, seperti yang kamu tahu, Tuhan kita telah mengurniai kami keberanian untuk memberitahu kamu berita baik tentang-Nya, meskipun kami menghadapi banyak tentangan.” (1 Tes. 2:2) Nampaknya, Paulus ragu-ragu untuk masuk ke kota Tesalonika, terutamanya selepas apa yang berlaku di Filipi. Dapatkah anda memahami perasaan Paulus? Pernahkah anda rasa susah untuk menginjil? Paulus bergantung pada Yehuwa untuk menguatkannya dan memberinya keberanian yang diperlukan. Dengan mengkaji teladan Paulus, anda akan dibantu untuk melakukan hal yang sama.​—1 Kor. 4:16.

“Dia Menggunakan Ayat-Ayat Suci untuk Berbincang” (Kis. 17:1-3)

4. Mengapakah Paulus nampaknya tinggal lebih dari tiga minggu di Tesalonika?

4 Bible memberitahu kita bahawa semasa di Tesalonika, Paulus menginjil di rumah ibadat untuk tiga hari Sabat berturut-turut. Adakah hal ini bererti bahawa Paulus mengunjungi kota itu hanya untuk tiga minggu? Tidak semestinya. Kita tidak tahu bila Paulus dapat pergi ke rumah ibadat selepas dia tiba di kota itu. Tambahan lagi, surat-surat Paulus menunjukkan bahawa semasa di Tesalonika, dia dan rakan-rakannya bekerja untuk menyara diri. (1 Tes. 2:9; 2 Tes. 3:7, 8) Selain itu, semasa Paulus di sana, dua kali dia menerima bantuan daripada rakan seiman di Filipi untuk memenuhi keperluannya. (Flp. 4:16) Maka, Paulus mungkin tinggal di Tesalonika lebih dari tiga minggu.

5. Bagaimanakah Paulus berusaha mencapai hati pendengarnya?

5 Selepas mengerahkan keberanian untuk menginjil, Paulus bercakap kepada orang yang berkumpul di rumah ibadat. Seperti kebiasaannya, “dia menggunakan Ayat-Ayat Suci untuk berbincang dengan orang di situ. Dia menjelaskan dan mengutip ayat-ayat untuk membuktikan bahawa Kristus harus menderita dan dibangkitkan daripada kematian. Paulus berkata kepada mereka, ‘Yesus yang aku khabarkan kepada kamu ialah Kristus.’” (Kis. 17:2, 3) Ucapan Paulus bukanlah ucapan yang berbunga-bunga tanpa isi yang jelas. Sebaliknya, dia berusaha untuk membuat pendengarnya berfikir. Dia tahu bahawa orang yang pergi ke rumah ibadat mengenali dan menghormati Ayat-Ayat Suci. Namun, mereka tidak memahaminya dengan sepenuhnya. Maka, Paulus membincangkan, menjelaskan, dan membuktikan daripada Ayat-Ayat Suci bahawa Yesus dari Nasaret ialah Kristus, atau Mesias yang dijanjikan.

6. Bagaimanakah Yesus membantu orang mencapai kesimpulan yang betul daripada Ayat-Ayat Suci? Apakah hasilnya?

6 Paulus mengikut standard yang ditetapkan oleh Yesus yang menggunakan Ayat-Ayat Suci sebagai asas untuk mengajar. Contohnya, semasa Yesus menginjil di bumi, dia menjelaskan kepada murid-muridnya bahawa selaras dengan Ayat-Ayat Suci, Anak Manusia harus menderita, mati, dan dibangkitkan daripada kematian. (Mat. 16:21) Selepas pembangkitannya, Yesus menampakkan diri kepada murid-muridnya. Sudah tentu hal ini membuktikan bahawa apa yang dikatakannya adalah benar. Namun, Yesus lakukan satu lagi perkara. Bible berkata, “Yesus menjelaskan kepada mereka [beberapa orang muridnya] hal-hal yang berkaitan dengan dirinya dalam Ayat-Ayat Suci, bermula dari kitab-kitab Musa dan Ajaran Para Nabi.” Apakah hasilnya? Murid-murid itu berkata, “Tidakkah hati kita berkobar-kobar semasa dia bercakap dan menerangkan Ayat-Ayat Suci kepada kita semasa kita dalam perjalanan?”​—Luk. 24:13, 27, 32.

7. Mengapakah ajaran kita harus berasaskan Ayat-Ayat Suci?

7 Mesej Firman Tuhan mempunyai kuasa. (Ibr. 4:12) Maka, orang Kristian hari ini mengajar berasaskan Firman Tuhan, sama seperti Yesus, Paulus, dan para rasul yang lain. Kita juga akan menjelaskan Ayat-Ayat Suci, membuktikan ajaran kita dengan membuka Bible dan membacakan ayat kepada penghuni rumah, dan membantu mereka membuat kesimpulan yang betul. Lagipun, mesej yang kita kongsikan bukanlah milik kita. Apabila kita kerap menggunakan Bible, kita membantu orang untuk faham bahawa mesej yang kita sebarkan bukanlah idea sendiri, tetapi ajaran daripada Tuhan. Selain itu, kita sendiri akan diyakinkan bahawa mesej yang kita sampaikan memang berdasarkan Firman Tuhan dan dapat dipercayai sepenuhnya. Bukankah hal ini memberi anda keyakinan untuk menginjil dengan berani seperti Paulus?

‘Sebilangan Percaya’ (Kis. 17:4-9)

8-10. (a) Apakah reaksi orang di Tesalonika terhadap berita baik? (b) Mengapakah beberapa orang Yahudi cemburu terhadap Paulus? (c) Apakah yang dilakukan oleh para penentang berbangsa Yahudi?

8 Paulus sudah merasai kebenaran kata-kata Yesus: “Tidak ada hamba yang lebih besar daripada tuannya. Jika mereka telah mematuhi ajaranku, mereka akan mematuhi ajaran kamu juga. Jika mereka telah menganiaya aku, mereka akan menganiaya kamu juga.” (Yoh. 15:20) Di Tesalonika, Paulus menerima reaksi yang berbeza terhadap mesej yang disampaikannya. Ada yang teruja untuk menerima firman Tuhan, namun ada juga yang menentangnya. Mengenai orang yang menerima firman Tuhan, Lukas menulis, “Sebilangan daripada mereka [orang Yahudi] percaya [menjadi orang Kristian] lalu bergaul dengan Paulus dan Silas, begitu juga dengan ramai orang Yunani yang menyembah Tuhan dan ramai wanita yang terkemuka.” (Kis. 17:4) Sudah pasti, murid-murid baharu itu bersukacita kerana mereka dapat memahami Ayat-Ayat Suci dengan tepat.

9 Walaupun sebilangan orang menghargai kata-kata Paulus, ada yang marah terhadapnya. Beberapa orang Yahudi di Tesalonika cemburu kerana Paulus berjaya meyakinkan “ramai orang Yunani.” Orang Yahudi itu mahu orang Yunani memeluk agama mereka. Maka, mereka mengajarkan Kitab Ibrani dan menganggap orang Yunani sebagai milik mereka. Tetapi, Paulus seolah-olah sedang merampas orang Yunani ini, dan bahkan di rumah ibadat mereka! Maka, orang Yahudi itu menjadi berang.

Paulus dan Silas melarikan diri daripada perusuh yang marah dengan memasuki halaman yang mempunyai pintu gerbang. Seorang lelaki sedang bercakap dengan perusuh itu.

‘Mereka ingin membawa Paulus dan Silas kepada kumpulan perusuh itu.’​—Kisah 17:5

10 Lukas memberitahu kita apa yang berlaku seterusnya: “Orang Yahudi berasa cemburu. Maka mereka mengumpulkan para penjahat yang merayau-rayau di tempat awam dan membentuk sekumpulan perusuh. Mereka menimbulkan kekacauan di kota dan menyerbu rumah Yason, kerana ingin membawa Paulus dan Silas kepada kumpulan perusuh itu. Apabila mereka tidak menjumpai Paulus dan Silas, mereka mengheret Yason dan beberapa orang saudara kepada para pemerintah kota lalu berseru, ‘Dua orang lelaki yang menimbulkan masalah di serata tempat sudah datang ke sini, dan Yason telah menyambut mereka sebagai tetamu. Semua orang ini menentang perintah Kaisar. Mereka mengatakan bahawa ada seorang raja yang lain, iaitu Yesus.’” (Kis. 17:5-7) Bagaimanakah serangan kumpulan perusuh itu mempengaruhi Paulus dan rakan-rakannya?

11. Apakah tuduhan yang dilontarkan terhadap Paulus dan rakan menginjilnya? Apakah perintah yang mungkin difikirkan oleh para penentang? (Lihat nota kaki.)

11 Para perusuh bertindak sangat teruk. Mereka dikuasai perasaan berang sehingga bertindak dalam cara yang ganas dan tidak terkawal. Inilah senjata yang digunakan oleh orang Yahudi untuk menyingkirkan Paulus dan Silas. Selepas orang Yahudi “menimbulkan kekacauan” di kota itu, mereka cuba meyakinkan para pemerintah bahawa tuduhan terhadap Paulus dan rakan menginjilnya memang berat. Tuduhan pertama ialah Paulus dan rakan-rakannya telah “menimbulkan masalah di serata tempat,” padahal mereka tidak menyebabkan kekacauan di Tesalonika! Tuduhan kedua jauh lebih serius. Orang Yahudi mendakwa bahawa para mubaligh mengisytiharkan seorang lagi Raja, iaitu Yesus. Maka, mereka telah melanggar perintah maharaja.a

12. Apakah yang menunjukkan bahawa tuduhan terhadap orang Kristian di Tesalonika boleh membawa akibat yang serius?

12 Ingatlah bahawa para pemimpin agama juga telah melontarkan tuduhan yang sama terhadap Yesus. Mereka berkata kepada Pilatus, “Kami mendapati bahawa lelaki ini menyesatkan bangsa kami . . . dan mengatakan bahawa dia ialah Kristus, seorang raja.” (Luk. 23:2) Pilatus mungkin takut bahawa maharaja akan berfikir dia sedang mengabaikan pengkhianatan yang serius ini. Maka, dia telah menjatuhkan hukuman mati terhadap Yesus. Begitu juga, tuduhan terhadap orang Kristian di Tesalonika boleh membawa akibat yang serius. Satu bahan rujukan menyatakan, “Tuduhan ini membahayakan mereka dan tidak boleh dipandang remeh, kerana ‘sekadar disyaki mengkhianati Maharaja pun boleh menyebabkan seseorang berdepan hukuman mati.’” Adakah serangan ini akan berjaya?

13, 14. (a) Mengapakah serangan kumpulan perusuh itu gagal? (b) Bagaimanakah Paulus berwaspada seperti Yesus, dan bagaimanakah kita dapat meniru teladannya?

13 Kumpulan perusuh itu gagal menghentikan kerja penyebaran di Tesalonika. Mengapa? Satu sebab adalah kerana Paulus dan Silas tidak dapat ditemui. Tambahan lagi, para pemerintah kota nampaknya tidak yakin dengan tuduhan yang dilontarkan itu. Jadi selepas ‘diikat jamin,’ mereka telah membebaskan Yason dan saudara-saudara lain. (Kis. 17:8, 9) Selaras dengan nasihat Yesus untuk “waspada seperti ular dan tulus hati seperti burung merpati,” Paulus dengan bijak menghindari bahaya. Dengan itu, dia dapat terus menginjil di kawasan lain. (Mat. 10:16) Jelaslah, keberanian yang dikerahkan oleh Paulus tidak bermaksud dia bertindak secara melulu. Hari ini, bagaimanakah orang Kristian dapat mengikut teladannya?

14 Pada zaman moden, pemimpin agama Kristian palsu juga sering menimbulkan rusuhan terhadap Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka mahu mempengaruhi pemerintah untuk menghukum para Saksi. Jadi, mereka melontarkan tuduhan bahawa Saksi menghasut orang dan mengkhianati negara. Seperti pada abad pertama, penentang zaman moden juga dikuasai perasaan cemburu. Namun tidak kira apa yang berlaku, orang Kristian sejati tidak akan membahayakan diri. Kita akan berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan konfrontasi dengan orang yang marah dan tidak munasabah. Kita akan berusaha untuk meneruskan kerja kita dengan damai. Contohnya, kita mungkin kembali apabila keadaan lebih tenang.

PARA KAISAR DALAM BUKU KISAH

Semua peristiwa dalam buku Kisah, bahkan peristiwa dalam seluruh Kitab Yunani Kristian, berlaku di kawasan Empayar Roma. Maka, maharaja Roma ialah penguasa tertinggi ketika itu. Dialah yang dimaksudkan oleh orang Yahudi di Tesalonika semasa mereka berkata tentang “perintah Kaisar.” (Kis. 17:7) Empat maharaja yang memerintah selama tempoh yang diliputi dalam buku Kisah ialah Tiberius, Gaius, Klaudius I, dan Nero.

  • Tiberius (14-37 M) ialah maharaja selama Yesus menginjil dan beberapa tahun selepas sidang Kristian ditubuhkan. Semasa Yesus dibicarakan, orang Yahudi berseru, “Jika tuan [Pilatus] membebaskan lelaki ini, tuan bukanlah sahabat Kaisar. . . . Kami tidak mempunyai raja lain kecuali Kaisar.” (Yoh. 19:12, 15) Kaisar yang dimaksudkan mereka ialah Tiberius.

  • Gaius, yang juga dipanggil Caligula (37-41 M), tidak disebutkan dalam Kitab Yunani Kristian.

  • Klaudius I (41-54 M) disebutkan dua kali dalam buku Kisah. Seorang nabi Kristian bernama Agabus menubuatkan “kebuluran yang teruk.” Sekitar 46 M, kebuluran itu ‘melanda seluruh bumi pada zaman Klaudius.’ Selain itu, pada 49 atau awal 50 M, Klaudius “memerintahkan semua orang Yahudi untuk meninggalkan Roma.” Maka, Akwila dan Priskila berpindah ke Korintus. Di sanalah, mereka jumpa Paulus.​—Kis. 11:28; 18:1, 2.

  • Nero (54-68 M) ialah Kaisar yang dimaksudkan Paulus semasa dia minta untuk diadili. (Kis. 25:11) Belakangan, Nero dikatakan telah menuduh orang Kristian atas kebakaran yang memusnahkan sebahagian besar Roma sekitar 64 M. Tidak lama kemudian, sekitar 65 M, Paulus dipenjarakan untuk kali kedua di Roma dan dihukum mati.

“Fikiran Orang di Situ Lebih Terbuka” (Kis. 17:10-15)

15. Apakah reaksi orang Berea terhadap berita baik?

15 Demi keselamatan Paulus dan Silas, mereka dihantar ke Berea kira-kira 65 km jauhnya. Apabila tiba di sana, Paulus pergi ke rumah ibadat dan bercakap dengan orang yang berkumpul di sana. Betapa gembiranya dia kerana orang di situ sudi mendengar! Mengenai orang Yahudi di Berea, Lukas menulis, “Fikiran orang di situ lebih terbuka daripada fikiran orang di Tesalonika, kerana mereka sangat sudi menerima firman Tuhan. Setiap hari, mereka mengkaji Ayat-Ayat Suci dengan teliti untuk memastikan sama ada apa yang didengar oleh mereka itu benar atau tidak.” (Kis. 17:10, 11) Adakah ini bermaksud sikap orang di Tesalonika yang telah menerima kebenaran kurang baik? Sama sekali tidak. Paulus kemudiannya menulis kepada mereka, “Kami juga tidak henti-henti mengucapkan syukur kepada Tuhan, kerana semasa kami menyampaikan perkhabaran Tuhan kepada kamu, kamu telah mendengar lalu menerimanya, bukan sebagai perkhabaran daripada manusia, tetapi sebagai perkhabaran daripada Tuhan. Perkhabaran itu benar-benar daripada Tuhan, dan sedang bekerja dalam diri kamu yang percaya kepada Kristus.” (1 Tes. 2:13) Jadi, mengapakah orang Yahudi di Berea dikatakan mempunyai fikiran yang lebih terbuka?

16. Mengapakah orang Berea dikatakan mempunyai ‘fikiran terbuka’?

16 Walaupun orang Berea mendengar sesuatu yang baharu, mereka tidak bersikap terlalu curiga atau mengkritik. Pada masa yang sama, mereka bukanlah orang yang senang terpedaya. Sebaliknya, mereka mula-mula mendengar dengan teliti apa yang disampaikan oleh Paulus. Selepas mendengar penjelasan Paulus, mereka membuka Ayat-Ayat Suci untuk memastikan apa yang mereka pelajari itu benar atau tidak. Tambahan lagi, mereka mengkaji firman Tuhan “dengan teliti” bukan sahaja pada hari Sabat, tetapi setiap hari. Mereka melakukannya supaya dapat mengetahui lebih lanjut apa yang disingkapkan oleh Ayat-Ayat Suci mengenai ajaran baharu ini. Kemudian, “ramai antara mereka percaya kepada Yesus.” (Kis. 17:12) Hal ini menunjukkan bahawa mereka dengan rendah hati membuat perubahan. Tidak hairanlah Lukas mengatakan bahawa mereka ‘berfikiran terbuka’!

17. Mengapakah sikap orang Berea patut dipuji, dan bagaimanakah kita dapat meniru mereka walaupun sudah lama berada dalam kebenaran?

17 Orang Berea langsung tidak tahu bahawa reaksi mereka terhadap berita baik akan dicatatkan dalam Firman Tuhan untuk menjadi teladan bagi kita hari ini. Ya, mereka melakukan tepat seperti apa yang Paulus harapkan dan apa yang Tuhan Yehuwa inginkan. Hari ini, kita juga menggalakkan orang untuk melakukan hal yang sama, iaitu mengkaji Bible dengan teliti supaya iman mereka dibina berdasarkan bukti yang kukuh dalam Firman Tuhan. Namun selepas kita menerima kebenaran, adakah kita tidak perlu belajar atau ‘berfikiran terbuka’ lagi? Tidak. Sebaliknya, adalah sangat penting untuk kita terus bersemangat belajar daripada Yehuwa dan segera menerapkan ajaran-Nya. Dengan itu, kita mengizinkan Yehuwa untuk membentuk kita dan melatih kita menurut kehendak-Nya. (Yes. 64:8) Hasilnya, kita dapat terus digunakan oleh Bapa kita yang di syurga dan menyenangkan hati-Nya.

18, 19. (a) Mengapakah Paulus meninggalkan Berea? Namun, apakah yang terus dilakukannya dengan tabah, dan bagaimanakah kita dapat menirunya? (b) Selepas itu, Paulus menginjil kepada siapa, dan di mana?

18 Paulus tidak tinggal lama di Berea. Bible berkata, “Apabila orang Yahudi dari Tesalonika mendapat tahu bahawa Paulus juga mengisytiharkan firman Tuhan di Berea, mereka pergi ke situ untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan rusuhan. Maka saudara-saudara di situ segera menghantar Paulus ke kawasan persisiran pantai, tetapi Silas dan Timotius tetap tinggal di Berea. Apabila orang yang menemani Paulus membawanya sampai ke Atena, Paulus menyuruh mereka memberitahu Silas dan Timotius agar datang kepadanya secepat mungkin. Selepas itu, mereka pun beredar.” (Kis. 17:13-15) Bayangkanlah betapa kuatnya tekad musuh untuk menentang berita baik! Mereka masih tidak puas selepas menghalau Paulus dari Tesalonika. Maka, mereka pergi ke Berea dan cuba menimbulkan kekacauan yang sama di sana. Namun, usaha mereka gagal. Paulus pula tahu bahawa kawasan penyebarannya sangat luas, jadi dia pindah ke kawasan lain. Hari ini, semoga kita juga terus bertekad untuk menggagalkan usaha orang yang mahu menghentikan kerja penyebaran!

19 Paulus telah memberikan kesaksian yang menyeluruh kepada orang Yahudi di Tesalonika dan Berea. Maka, Paulus tahu betapa pentingnya untuk menginjil dengan berani dan berbincang berdasarkan Ayat-Ayat Suci. Kita juga harus lakukan hal yang sama. Namun, sekarang Paulus perlu berdepan dengan pendengar yang berbeza, iaitu orang bukan Yahudi di Atena. Apakah yang akan berlaku kepadanya di kota itu? Kita akan lihat jawapannya dalam bab seterusnya.

a Menurut seorang cendekiawan, pada masa itu, Kaisar telah mengeluarkan perintah yang melarang orang meramalkan “kedatangan seorang raja atau kerajaan baharu, terutamanya yang akan menggantikan atau menghakimi maharaja yang sedang memerintah.” Maka, para musuh mungkin telah memutarbelitkan mesej Rasul Paulus supaya kelihatan melanggar perintah Kaisar itu. Lihat kotak “Para Kaisar dalam Buku Kisah.”

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi