PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • km 9/08 ms. 3-8
  • Berikan Apa Yang Dimiliki Oleh Kaisar Kepada Kaisar

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Berikan Apa Yang Dimiliki Oleh Kaisar Kepada Kaisar
  • Kerja Teokratik Kita—2008
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • ‘Apa yang Dimiliki oleh Tuhan’
  • “Apa yang Dimiliki oleh Kaisar”
  • Khidmat Tentera yang Diwajibkan
  • Khidmat Awam
  • Wajibkah Anda Membayar Cukai?
    Menara Pengawal—2011
Kerja Teokratik Kita—2008
km 9/08 ms. 3-8

Berikan Apa Yang Dimiliki Oleh Kaisar Kepada Kaisar

“Bayarlah apa yang harus kamu bayar.”​—ROMA 13:⁠7.

1 MENURUT Yesus, terdapat perkara yang perlu kita berikan kepada Tuhan dan perkara yang perlu kita berikan kepada Kaisar, atau Negara. Yesus berkata, “Berikan apa yang dimiliki oleh Kaisar kepada Kaisar, [tetapi] berikan apa yang dimiliki oleh [Tuhan] kepada [Tuhan].” Dengan beberapa perkataan ini, dia telah membingungkan musuh-musuhnya dan merumuskan secara padat sikap yang seimbang yang mesti kita ada terhadap hubungan kita dengan Tuhan dan penglibatan kita dalam hal-hal yang berkaitan dengan Negara. Maka, tidak hairanlah bahawa pendengar Yesus ‘kagum mendengar kata-katanya’!​—Markus 12:⁠17.

2 Sudah tentu, perkara yang diutamakan oleh hamba-hamba Yehuwa adalah untuk memberikan apa yang dimiliki oleh Tuhan kepada Tuhan. (Mazmur 116:​12-14) Namun, semasa berbuat demikian, mereka tidak lupa bahawa Yesus berkata mereka mesti memberikan perkara-perkara tertentu kepada Kaisar. Hati nurani mereka yang dilatih oleh Bible mengharuskan mereka agar berdoa dan berfikir panjang tentang sejauh mana mereka dapat memberikan apa yang dituntut oleh Kaisar. (Roma 13:⁠7) Pada zaman moden, ramai pakar perundangan telah mengakui bahawa kekuasaan kerajaan mempunyai batas dan bahawa manusia dan kerajaan di serata dunia dibatasi oleh hukum semula jadi.

3 Hawari Paulus menyebut tentang hukum semula jadi ini semasa dia menulis tentang orang di dunia ini, “Apa yang dapat diketahui orang tentang [Tuhan] sudah jelas, oleh sebab [Tuhan] sendiri sudah menyatakannya. Sejak [Tuhan] menciptakan dunia, sifat-sifat [Tuhan] yang tidak kelihatan, baik kuasa-Nya yang kekal mahupun keadaan-Nya sebagai [Tuhan], dapat difahami oleh manusia melalui segala yang sudah diciptakan-Nya. Oleh itu manusia sama sekali tidak mempunyai dalih untuk membela diri.” Biarpun bagi mereka yang bukan penyembah Yehuwa, asalkan mereka mematuhi hukum semula jadi, hati nurani mereka juga akan tergerak. Maka, Paulus menambah, “Orang bukan Yahudi tidak mempunyai Taurat, tetapi apabila mereka dengan kemahuan sendiri melakukan apa yang diperintahkan oleh Taurat, hal itu menunjukkan bahawa mereka mengetahui apa yang patut dan yang tidak patut dilakukan, walaupun mereka tidak mempunyai Taurat. Kelakuan mereka menunjukkan bahawa apa yang diperintahkan oleh Taurat tertulis di dalam hati mereka. Hati nurani mereka pun membuktikan hal itu.”​—Roma 1:​19, 20; 2:​14, 15.

4 Pada abad ke-18, pakar perundangan terkemuka berbangsa Inggeris yang bernama William Blackstone menulis, “Hukum semula jadi ini, yang sebaya [wujud sama lamanya] dengan umat manusia dan dititahkan oleh Tuhan sendiri, sudah tentu lebih unggul dan wajib dipatuhi daripada semua hukum yang lain. Hukum ini berkuat kuasa di seluruh bumi, di semua negara, dan pada setiap masa: tiada hukum manusia yang sah jika bertentangan dengan hukum ini.” Kemudian, Blackstone bercakap tentang “hukum yang telah disingkapkan,” seperti yang terdapat dalam Bible. Komennya berbunyi, “Semua hukum manusia bergantung pada dua asas ini, yakni hukum semula jadi dan hukum yang disingkapkan; maksudnya, tiada hukum manusia yang patut dibenarkan untuk bercanggah dengan dua hukum ini.” Hal ini selaras dengan apa yang dikatakan oleh Yesus dalam Markus 12:17 tentang Tuhan dan Kaisar. Jelaslah bahawa Tuhan mengenakan batas yang tertentu ke atas apa yang dituntut oleh Kaisar daripada seorang Kristian. Sanhedrin (Mahkamah Tinggi Yahudi) telah melampaui batas itu apabila mereka memerintahkan para hawari agar tidak lagi menyebarkan berita tentang Yesus. Oleh itu, para hawari telah memberi jawapan yang sewajarnya, “Kami harus taat kepada [Tuhan] dan bukan kepada manusia.”​—Kisah 5:​28, 29.

‘Apa yang Dimiliki oleh Tuhan’

5 Pada tahun 1914, Tuhan Yehuwa yang Maha Kuasa telah mula memerintah sebagai raja menerusi Kerajaan Mesias. Terutamanya sejak masa itu, orang Kristian perlu memastikan agar mereka tidak memberikan apa yang dimiliki oleh Tuhan kepada Kaisar. (Penyingkapan 11:​15, 17) Lebih-lebih lagi pada masa ini, hukum Tuhan telah menghendaki orang Kristian agar memastikan diri mereka “bukan milik dunia.” (Yohanes 17:16) Sebagai orang yang telah membaktikan diri kepada Tuhan, Pengurnia Nyawa mereka, mereka mesti menunjukkan dengan jelas bahawa mereka bukan lagi milik sendiri. (Mazmur 100:​2, 3) Sebagaimana Paulus menulis, ‘kita milik Yehuwa.’ (Roma 14:⁠8) Lagipun, semasa pembaptisan seorang Kristian, dia dilantik menjadi penyebar Tuhan. Dengan ini, dia boleh berkata seperti Paulus, ‘Tuhanlah yang menyebabkan kami sanggup mengabdikan diri’ sebagai penyebar.​—2 Korintus 3:​5, 6.

6 Hawari Paulus juga menulis, “Aku bangga dengan tugasku.” (Roma 11:13) Kita juga patut berbuat demikian. Sama ada kita menyertai aktiviti penyebaran dengan sepenuh masa atau separa masa, kita selalu ingat bahawa Yehuwa sendiri yang telah menugaskan kita untuk menjalankan aktiviti penyebaran. (2 Korintus 2:17) Memandangkan sesetengah orang mungkin mempersoalkan pelantikan kita, setiap orang Kristian yang telah membaktikan diri dan dibaptiskan mesti bersedia untuk memberikan bukti yang jelas dan kukuh bahawa dia memang seorang penyebar berita baik. (1 Petrus 3:15) Aktiviti penyebarannya juga harus dibuktikan menerusi tingkah lakunya. Sebagai penyebar Tuhan, seorang Kristian patut mengajarkan dan mengamalkan piawaian moral yang bersih, mendukung perpaduan keluarga, berlaku jujur, dan menunjukkan rasa hormat terhadap undang-undang serta ketertiban. (Roma 12:​17, 18; 1 Tesalonika 5:15) Bagi seorang Kristian, perkara yang terpenting dalam kehidupannya ialah hubungannya dengan Tuhan dan aktiviti penyebaran yang diamanahkan oleh-Nya. Dia tidak boleh mengetepikan perkara-perkara ini atas perintah Kaisar. Sememangnya, perkara-perkara ini perlu diambil kira sebagai “apa yang dimiliki oleh [Tuhan].”

“Apa yang Dimiliki oleh Kaisar”

7 Saksi-Saksi Yehuwa sedar bahawa mereka perlu tunduk dan “taat kepada pemerintah,” iaitu pihak kerajaan. (Roma 13:⁠1) Maka, apabila Kaisar, iaitu Negara, menuntut sesuatu yang merupakan haknya, hati nurani orang Kristian yang dilatih oleh Bible mengizinkan mereka untuk memenuhi tuntutan itu. Misalnya, dalam hal membayar cukai, orang Kristian sejati adalah antara pembayar-pembayar cukai yang merupakan teladan yang terbaik di dunia. Di Jerman, akhbar Münchner Merkur memberikan komen yang berikut tentang Saksi-Saksi Yehuwa, “Mereka ialah pembayar cukai di Republik Jerman yang paling jujur dan yang paling menepati masa.” Di Itali, akhbar La Stampa membuat pemerhatian ini, “Mereka [Saksi-Saksi Yehuwa] merupakan rakyat yang paling setia yang diingini ramai: mereka tidak mengelakkan cukai atau mencuba mengelakkan undang-undang yang menyusahkan demi kepentingan sendiri.” Hamba-hamba Yehuwa melakukan hal ini kerana ‘hati nurani mereka menyuruh mereka berbuat demikian.’​—Roma 13:​5, 6.

8 Adakah “apa yang dimiliki oleh Kaisar” terhad kepada pembayaran cukai sahaja? Tidak. Paulus menyenaraikan hal-hal lain, seperti menghormati, menghargai, dan menunjukkan rasa takut akan mereka. Dalam bukunya yang berjudul Critical and Exegetical Hand-Book to the Gospel of Matthew (Buku Panduan Pengupasan dan Pentafsiran Gospel Matius), seorang sarjana berbangsa Jerman yang bernama Heinrich Meyer menulis, “Mengenai [apa yang dimiliki oleh Kaisar] . . . kita tidak patut berfikir bahawa ini merujuk kepada cukai awam sahaja, tetapi segala yang patut diterima oleh Kaisar kerana kekuasaannya yang sah.” Sejarawan yang bernama E. W. Barnes membuat pemerhatian ini dalam karyanya The Rise of Christianity (Kebangkitan Agama Kristian) bahawa seorang Kristian akan melangsaikan hutang cukainya dan “juga menerima semua kewajipan yang lain terhadap Negara, dengan syarat dia tidak diperintah untuk memberi Kaisar apa yang dimiliki oleh Tuhan.”

9 Apakah perkara-perkara yang mungkin dituntut oleh Negara tanpa menceroboh hak Tuhan? Sesetengah orang berasa bahawa selain membayar cukai kepada Kaisar, mereka tidak boleh memberi apa-apa lagi. Mereka tentu tidak akan berasa senang hati untuk memberi Kaisar apa sahaja yang mungkin memakan masa yang boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti teokratik. Meskipun benar bahawa kita patut ‘mengasihi Yehuwa Tuhan kita dengan sepenuh hati, dengan segenap jiwa, dengan seluruh akal, dan dengan segala kekuatan kita,’ namun Yehuwa juga menghendaki kita meluangkan masa dalam hal-hal selain daripada khidmat suci kita. (Markus 12:30; Filipi 3:⁠3) Sebagai contoh, seorang Kristian yang sudah berkahwin dinasihati supaya memperuntukkan masa untuk menggembirakan hati pasangannya. Aktiviti-aktiviti sebegini tidaklah buruk, tetapi hawari Paulus menyatakan bahawa inilah “hal-hal dunia” dan bukan ‘hal-hal Tuan.’​—1 Korintus 7:​32-34; bandingkan 1 Timotius 5:⁠8.

10 Tambahan pula, Kristus menyuruh para pengikutnya untuk membayar cukai, dan hal ini pasti melibatkan masa yang dibaktikan kepada Yehuwa​—kerana seluruh kehidupan kita telah dibaktikan kepada Yehuwa. Jika secara purata, cukai di sesebuah negara adalah 33 peratus daripada pendapatan seseorang (kadar cukai sesetengah negara lebih tinggi), hal ini bermaksud setiap tahun, seorang pekerja memberi pendapatannya selama empat bulan kepada Tabung Negara. Dalam kata lain, semasa dia bersara, seorang pekerja telah menggunakan lebih kurang 15 tahun untuk mengumpul wang cukai yang dituntut oleh “Kaisar.” Fikirkan juga hal tentang persekolahan. Undang-undang di kebanyakan negara menetapkan bilangan tahun minimum yang mana ibu bapa harus menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Meskipun bilangan tahun persekolahan berbeza mengikut negara, jangka masa persekolahan adalah agak panjang di kebanyakan negara. Sesungguhnya persekolahan sebegini adalah bermanfaat, tetapi Kaisarlah yang menentukan bilangan tahun dalam kehidupan seorang anak yang mesti dihabiskan di sekolah, dan ibu bapa Kristian mematuhi keputusan Kaisar.

Khidmat Tentera yang Diwajibkan

11 Di sesetengah negara, Kaisar juga menuntut khidmat tentera yang diwajibkan. Pada abad ke-20, aturan ini telah diperkenalkan oleh kebanyakan negara semasa peperangan; ada yang melaksanakan aturan ini semasa keadaan yang damai juga. Di Perancis, untuk bertahun-tahun lamanya, kewajipan ini digelar cukai darah. Hal ini bermaksud, setiap pemuda perlu sudi mengorbankan nyawanya demi Negara. Adakah hati nurani mereka yang telah membaktikan diri kepada Yehuwa mengizinkan mereka berbuat demikian? Bagaimanakah orang Kristian pada abad pertama memandang hal ini?

12 Walaupun orang Kristian pada masa itu berusaha untuk menjadi rakyat yang baik, kepercayaan mereka mencegah mereka daripada mengambil nyawa orang lain atau daripada mengorbankan nyawa sendiri demi Negara. The Encyclopedia of Religion (Ensiklopedia Agama) menyatakan, “Para pemimpin gereja dahulu, termasuk Tertullian dan Origen, menyatakan dengan tegas bahawa orang Kristian dilarang daripada membunuh orang. Prinsip ini menghalang mereka daripada menyertai tentera Roma.” Dalam bukunya yang berjudul The Early Church and the World (Gereja Dahulu dan Dunia), Profesor C. J. Cadoux menulis, “Sekurang-kurangnya sehingga masa pemerintahan Marcus Aurelius [161-180 M], tiada orang Kristian yang akan menjadi askar selepas pembaptisannya.”

13 Mengapakah ahli-ahli gereja dewasa ini yang menggelar diri sebagai orang Kristian tidak mempunyai pandangan sebegini terhadap khidmat tentera? Oleh sebab satu perubahan yang mendadak dan menyeluruh yang berlaku pada abad keempat. Hasil penulisan Katolik yang bertajuk A History of the Christian Councils (Sejarah Majlis Kristian) menjelaskan, “Ramai orang Kristian, . . . di bawah pemerintahan maharaja kafir, berpegang pada prinsip atau etika agama yang menyebabkan mereka tidak senang hati terhadap khidmat tentera. Mereka sama ada secara tegas enggan berkhidmat sebagai askar, atau melarikan diri daripada tugas. Persidangan [Arles di Perancis yang diadakan pada tahun 314 M], telah membincangkan perubahan-perubahan yang diperkenalkan oleh [Maharaja] Constantine, dan mewajibkan orang Kristian untuk menjadi askar semasa perang, . . . kerana Gereja pada masa itu sedang berdamai dengan Negara di bawah pemerintah yang menerima orang Kristian.” Oleh sebab mereka telah meninggalkan ajaran-ajaran Yesus dalam hal ini, sejak masa itu, golongan pendeta Gereja Kristian telah menggalakkan para penganut mereka untuk berkhidmat dalam tentera negara masing-masing, meskipun sesetengah individu pernah mengambil pendirian untuk menolak perbuatan ini atas dasar hati nurani mereka.

14 Adakah orang Kristian kini wajib mengikut khalayak ramai dalam hal ini? Tidak. Jika seorang Kristian yang telah membaktikan diri dan dibaptiskan menetap di sebuah negara yang mengecualikan seorang penginjil atau utusan agama daripada khidmat tentera, dia boleh memanfaatkan peruntukan ini, kerana dia sememangnya seorang penginjil, yakni seorang penyebar berita baik. (2 Timotius 4:⁠5) Sebilangan negara, termasuk Amerika Syarikat dan Australia, telah memberikan pengecualian ini biarpun semasa peperangan. Di banyak negara yang masih mewajibkan khidmat tentera semasa keadaan yang damai, Saksi-Saksi Yehuwa diberikan pengecualian selaku penginjil. Dengan itu, mereka boleh terus membantu orang lain menerusi aktiviti penyebaran umum mereka.

15 Bagaimana pula jika orang Kristian tersebut menetap di negara yang tidak mengecualikan penginjil atau utusan agama daripada khidmat tentera? Jika demikian, dia harus membuat keputusan peribadi berdasarkan hati nuraninya yang dilatih oleh Bible. (Galatia 6:⁠5) Dia akan mempertimbangkan kekuasaan Kaisar, tetapi pada masa yang sama, dia juga akan mempertimbangkan dengan teliti kewajipannya kepada Yehuwa. (Mazmur 36:​9, 10; 116:​12-14; Kisah 17:28) Orang Kristian itu akan ingat bahawa tanda pengenal orang Kristian sejati ialah kasih terhadap semua saudara saudarinya, termasuk mereka yang berada di negara lain atau yang berasal daripada puak-puak yang lain. (Yohanes 13:​34, 35; 1 Petrus 2:17) Selain itu, dia juga perlu ingat akan prinsip-prinsip Bible yang terdapat di Yesaya 2:​2-4; Matius 26:52; Roma 12:18; 14:19; 2 Korintus 10:4; dan Ibrani 12:⁠14.

Khidmat Awam

16 Di sesetengah negara, meskipun pihak kerajaan tidak memberikan pengecualian kepada penginjil atau utusan agama, mereka masih sedar bahawa sesetengah individu mungkin enggan menyertai khidmat tentera. Kebanyakan negara tersebut membuat aturan yang lain supaya individu-individu yang enggan menyertai khidmat tentera atas dasar hati nurani mereka tidak dipaksa untuk berbuat demikian. Sesetengah kerajaan menghendaki mereka untuk menyertai khidmat awam, seperti melakukan kerja yang berguna untuk masyarakat, yang dianggap sebagai khidmat negara yang tidak bersifat ketenteraan. Bolehkah seorang Kristian yang telah membaktikan diri menyertai khidmat sebegini? Dalam keadaan sedemikian, sekali lagi, seorang Kristian yang telah membaktikan diri dan dibaptiskan perlu membuat keputusannya sendiri berdasarkan hati nuraninya yang dilatih oleh Bible.

17 Nampaknya, kerahan tenaga yang tidak bersifat ketenteraan diamalkan semasa zaman Bible. Sebuah buku sejarah menyatakan, “Selain daripada cukai dan tanggungjawab yang dituntut daripada penduduk Yudea, terdapat corvée [kerja tanpa upah yang dituntut oleh pihak berkuasa] juga. Corvée merupakan sistem kuno di Timur Tengah yang terus diamalkan oleh pihak berkuasa Yunani dan Roma. . . . Perjanjian Baru juga mengutip contoh-contoh pengamalan corvée di Yudea. Hal ini menunjukkan betapa meluasnya amalan ini. Berdasarkan amalan ini, askar-askar telah memaksa Simon dari Kirene untuk memikul salib [tiang seksaan] Yesus (Matius 5:41; 27:32; Markus 15:21; Lukas 23:26).”

18 Begitu juga, di sesetengah negara, kerajaan atau pihak berkuasa tempatan menghendaki rakyat untuk mengambil bahagian dalam pelbagai bentuk khidmat kepada masyarakat. Khidmat ini kadangkala melibatkan tugas tertentu, seperti menggali telaga atau membina jalan raya; kadangkala melibatkan tugas yang dilakukan secara tetap, seperti membersihkan jalan raya, sekolah, atau hospital pada setiap minggu. Sekiranya khidmat awam ini membawa manfaat kepada masyarakat, tidak berkaitan dengan agama palsu, atau tidak mengganggu hati nurani Saksi-Saksi Yehuwa dalam cara yang lain, mereka sering kali memenuhi tuntutan itu. (1 Petrus 2:​13-15) Dengan berbuat demikian, mereka sering memberikan kesaksian yang baik, dan kadangkala membungkam mereka yang memfitnah Saksi-Saksi Yehuwa sebagai antikerajaan.​—Bandingkan Matius 10:⁠18.

19 Bagaimana pula jika Negara menghendaki seorang Kristian untuk melakukan khidmat awam untuk suatu jangka masa tertentu, dan khidmat awam tersebut merupakan sebahagian daripada khidmat negara yang berada di bawah pentadbiran awam? Dalam keadaan ini, sekali lagi, orang Kristian perlu menggunakan maklumat yang diperoleh untuk membuat keputusan sendiri berdasarkan hati nurani mereka yang terlatih. “Kita semua akan menghadap [Tuhan] untuk diadili.” (Roma 14:10) Orang Kristian yang perlu membuat keputusan sehubungan dengan tuntutan Kaisar harus berdoa, mengkaji, dan merenungi perkara itu.a Membincangkan hal ini dengan orang Kristian yang matang dalam sidang mungkin merupakan satu tindakan yang bijak juga. Selepas itu, dia harus membuat keputusan peribadi.​—Amsal 2:​1-5; Filipi 4:⁠5.

20 Semasa membuat penyelidikan dalam hal ini, orang Kristian akan mempertimbangkan beberapa prinsip Bible. Paulus mengatakan bahawa kita mesti “taat kepada pemerintah dan penguasa, . . . bersedia melakukan segala perkara yang baik . . . bersikap ramah tamah [tolak ansur] dan lemah lembut kepada semua orang.” (Titus 3:​1, 2) Pada masa yang sama, adalah baik juga bagi orang Kristian untuk menilai kerja awam yang dicadangkan. Jika mereka menerima kerja itu, bolehkah mereka mengekalkan keneutralan sebagai orang Kristian? (Mikha 4:​3, 5; Yohanes 17:16) Adakah kerja itu akan menyebabkan mereka terlibat dalam apa-apa agama palsu? (Penyingkapan 18:​4, 20, 21) Adakah kerja itu akan menghalang atau secara keterlaluan membatasi mereka daripada menunaikan tanggungjawab Kristian mereka? (Matius 24:14; Ibrani 10:​24, 25) Selain itu, bolehkah mereka terus maju secara rohani, bahkan mungkin menyertai aktiviti penyebaran sepenuh masa semasa memberikan khidmat yang dikehendaki?​—Ibrani 6:​11, 12.

21 Bagaimana pula jika orang Kristian tersebut memikirkan soalan-soalan itu dengan jujur dan membuat kesimpulan bahawa khidmat awam negara adalah “perkara yang baik” dan dia boleh menyertai khidmat ini atas kepatuhan kepada perintah pihak berkuasa? Itulah keputusannya di hadapan Yehuwa. Para penatua yang dilantik dan orang lain patut menghormati hati nurani saudara tersebut dengan sepenuhnya dan terus menerimanya sebagai orang Kristian yang mempunyai nama yang baik dalam sidang. Namun, jika seorang Kristian berasa bahawa dia tidak dapat menyertai khidmat awam ini, pendiriannya juga harus dihormati. Dia juga masih mempunyai nama yang baik dalam sidang dan patut diberi sokongan dengan penuh kasih.​—1 Korintus 10:29; 2 Korintus 1:24; 1 Petrus 3:⁠16.

22 Sebagai orang Kristian, kita tidak akan berhenti ‘menghormati mereka yang harus dihormati.’ (Roma 13:⁠7) Kita akan menghormati ketertiban dan berusaha untuk menjadi rakyat yang suka damai dan mematuhi undang-undang. (Mazmur 34:​14, 15) Malah, kita mungkin boleh berdoa “untuk raja-raja dan semua penguasa” apabila mereka ditugaskan untuk membuat keputusan yang mempengaruhi kehidupan dan kerja Kristian kita. Oleh sebab kita memberikan apa yang dimiliki oleh Kaisar kepada Kaisar, kita berharap agar “kita boleh hidup dengan aman dan tenteram” dengan penuh pengabdian yang soleh dan dengan sungguh-sungguh. (1 Timotius 2:​1, 2) Yang penting sekali, kita akan terus menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan sebagai satu-satunya harapan bagi umat manusia, dan dengan sedaya upaya memberikan apa yang dimiliki oleh Tuhan kepada Tuhan.

[Nota kaki]

a Lihat majalah pembelajaran (E), 15 Mei 1964, muka surat 308, perenggan 21.

Dapatkah Anda Jelaskan?

◻ Apakah yang diutamakan oleh seorang Kristian semasa menyeimbangkan hubungannya dengan Kaisar dan dengan Yehuwa?

◻ Apakah yang mesti kita berikan kepada Yehuwa yang tidak boleh diberikan kepada Kaisar sama sekali?

◻ Apakah perkara-perkara yang sewajarnya kita berikan kepada Kaisar?

◻ Apakah ayat-ayat Bible yang membantu kita agar membuat keputusan yang betul sehubungan dengan khidmat tentera yang diwajibkan?

◻ Jika kita disuruh menyertai khidmat awam negara yang tidak bersifat ketenteraan, apakah beberapa perkara yang harus diingat?

◻ Sehubungan dengan Yehuwa dan Kaisar, apakah yang akan kita terus lakukan?

[Soalan Pembelajaran]

1, 2. (a) Menurut Yesus, bagaimanakah orang Kristian patut mengekalkan keseimbangan semasa menunaikan kewajipan mereka kepada Tuhan dan kepada Kaisar? (b) Apakah perkara yang diutamakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa?

3, 4. Apakah komen-komen yang menarik yang diberi tentang hukum semula jadi, hukum yang telah disingkapkan, dan hukum manusia?

5, 6. (a) Oleh sebab Kerajaan Tuhan telah didirikan pada tahun 1914, apakah perkara yang lebih-lebih lagi perlu diingat oleh orang Kristian? (b) Bagaimanakah seorang Kristian membuktikan bahawa dia ialah seorang penyebar?

7. Apakah reputasi Saksi-Saksi Yehuwa dari segi membayar cukai?

8. Adakah cukai kewangan sahaja yang perlu kita beri kepada Kaisar?

9, 10. Apakah keraguan yang mungkin dihadapi oleh seorang Kristian semasa memberikan apa yang dimiliki oleh Kaisar? Namun, apakah fakta-fakta yang perlu diingat?

11, 12. (a) Apakah yang dituntut oleh Kaisar di kebanyakan negara? (b) Bagaimanakah orang Kristian dahulu memandang khidmat tentera?

13. Mengapakah kebanyakan orang yang menggelar diri sebagai orang Kristian tidak memandang khidmat tentera seperti orang Kristian dahulu?

14, 15. (a) Apakah dasar-dasar yang membolehkan orang Kristian di sesetengah negara memohon pengecualian daripada khidmat tentera? (b) Sehubungan dengan khidmat tentera, jika pengecualian tidak diberikan, apakah prinsip-prinsip Bible yang dapat membantu seorang Kristian untuk membuat keputusan yang betul?

16. Di sesetengah negara, apakah khidmat yang tidak bersifat ketenteraan yang dituntut oleh Kaisar daripada mereka yang tidak menyertai khidmat tentera?

17. Adakah Bible mencatatkan mana-mana peristiwa tentang khidmat awam yang tidak bersifat ketenteraan?

18. Saksi-Saksi Yehuwa sering kali menyertai khidmat masyarakat jenis apa yang tidak bersifat ketenteraan atau keagamaan?

19. Jika Kaisar menghendaki seorang Kristian agar menyertai khidmat negara yang tidak bersifat ketenteraan untuk suatu jangka masa, bagaimanakah dia patut menguruskan hal ini?

20. Apakah soalan-soalan dan prinsip-prinsip Bible yang membantu seorang Kristian untuk mempertimbangkan sama ada khidmat awam negara yang tidak bersifat ketenteraan dapat diterima olehnya atau tidak?

21. Tidak kira apa keputusannya, bagaimanakah sidang patut memandang seorang saudara yang sedang menguruskan hal yang berkenaan dengan khidmat awam negara yang tidak bersifat ketenteraan?

22. Tidak kira apa situasi yang perlu kita hadapi, apakah yang akan kita terus lakukan?

Hawari-hawari memberitahu Sanhedrin, “Kami harus taat kepada [Tuhan] dan bukan kepada manusia”

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi