PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • od bab 5 ms. 30-52
  • Penyelia yang Menggembala Kawanan

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Penyelia yang Menggembala Kawanan
  • Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
  • Tajuk Kecil
  • SYARAT UNTUK MENJADI PENYELIA
  • BUAH KUASA SUCI TUHAN
  • SAUDARA YANG MENGUKUHKAN PERPADUAN
  • BERUSAHA MEMENUHI SYARAT
  • SITUASI SESEORANG MUNGKIN BERUBAH
  • PELBAGAI TANGGUNGJAWAB PENATUA
  • PENYELIA KUMPULAN
  • JAWATANKUASA SIDANG
  • BERSIKAP TUNDUK
  • TANGGUNGJAWAB LAIN DALAM ORGANISASI
  • PENYELIA LITAR
  • JAWATANKUASA CAWANGAN
  • WAKIL IBU PEJABAT
  • PARA PENYELIA YANG PENGASIH
Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
od bab 5 ms. 30-52

BAB 5

Penyelia yang Menggembala Kawanan

SEMASA Yesus menginjil di bumi, dia membuktikan bahawa dia ialah “gembala yang baik.” (Yoh. 10:11) Ketika melihat orang ramai yang mengikutnya, “dia berasa kasihan terhadap mereka kerana mereka ditindas dan diabaikan seperti biri-biri tanpa gembala.” (Mat. 9:36) Petrus dan rasul-rasul lain telah memperhatikan keprihatinan dan kasih Yesus. Dia memang berbeza daripada para gembala palsu di Israel, yang langsung tidak menjaga kawanan sehingga biri-biri bertempiaran dan kelaparan secara rohani. (Yeh. 34:7, 8) Yesus pula mengajar dan memelihara bebirinya, dan bahkan sanggup mati demi mereka. Teladannya telah mengajar para rasul cara untuk membantu orang yang beriman untuk kembali kepada Yehuwa, “gembala dan penyelia jiwa [mereka].”​—1 Ptr. 2:25.

2 Pernah sekali semasa bercakap kepada Petrus, Yesus menekankan pentingnya menjaga dan memelihara kawanan bebiri. (Yoh. 21:15-17) Kata-kata itu telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada Petrus. Dia kemudiannya menggesa para penatua dalam sidang Kristian abad pertama, “Hendaklah kamu menggembala kawanan Tuhan yang ada di bawah jagaan kamu. Di hadapan Tuhan, berkhidmatlah sebagai penyelia dengan rela, dan bukannya secara terpaksa; lakukannya dengan bersemangat, dan bukannya kerana mencintai keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur; jadilah teladan bagi kawanan, dan janganlah menguasai mereka yang merupakan milik Tuhan.” (1 Ptr. 5:1-3) Hari ini, para penyelia dalam sidang menerapkan nasihat Petrus. Mereka meniru Yesus dan berkhidmat dengan bersungguh-sungguh dan rela hati. Mereka menjadi teladan kepada kawanan dan mengambil pimpinan dalam khidmat kepada Yehuwa.​—Ibr. 13:7.

Para penatua akan meniru teladan Yesus dan berkhidmat dengan bersungguh- sungguh dan rela hati. Mereka mengambil pimpinan dalam khidmat kepada Yehuwa dan menjadi teladan kepada kawanan

3 Kita harus bersyukur kerana kuasa suci Tuhan telah melantik para penyelia dalam sidang. Kita meraih banyak manfaat daripada jagaan mereka. Contohnya, para penyelia memberikan galakan kepada semua orang dalam sidang dan mengambil berat terhadap mereka secara peribadi. Setiap minggu, para penyelia berusaha mengendalikan perjumpaan supaya murid-murid Kristus dikuatkan. (Rm. 12:8) Mereka juga melindungi kawanan daripada bahaya, misalnya daripada ancaman orang jahat, supaya kita dapat berasa selamat. (Yes. 32:2; Tit. 1:9-11) Mereka mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran, dan contoh mereka menggalakkan kita untuk menginjil secara tetap setiap bulan. (Ibr. 13:15-17) Ya, merekalah “kurnia berupa manusia” yang diberikan oleh Yehuwa untuk menguatkan sidang.​—Ef. 4:8, 11, 12.

SYARAT UNTUK MENJADI PENYELIA

4 Untuk memastikan sidang dijaga dengan baik, saudara yang dilantik sebagai penyelia mesti memenuhi syarat yang ditetapkan dalam Firman Tuhan. Dengan itu, barulah mereka boleh dianggap sebagai penyelia yang dilantik oleh kuasa suci Tuhan. (Kis. 20:28) Memang benar, Bible menetapkan syarat yang tinggi bagi penyelia, kerana tugas itu merupakan tanggungjawab yang berat. Namun, syarat itu bukanlah terlalu tinggi sehingga tidak dapat dicapai oleh saudara-saudara Kristian yang benar-benar mengasihi Yehuwa dan yang rela digunakan oleh-Nya. Semua orang harus dapat melihat dengan jelas bahawa para penyelia mengamalkan nasihat Bible dalam kehidupan seharian mereka.

Untuk memastikan sidang dijaga dengan baik, saudara yang dilantik sebagai penyelia mesti memenuhi syarat yang ditetapkan dalam Firman Tuhan

5 Rasul Paulus menyenaraikan syarat asas bagi penyelia dalam suratnya yang pertama kepada Timotius dan dalam suratnya kepada Titus. Di 1 Timotius 3:1-7, Paulus menyatakan, “Jika seseorang sedang berusaha untuk menjadi seorang penyelia, dia menginginkan pekerjaan yang baik. Seorang penyelia haruslah tidak bercela, mempunyai seorang isteri sahaja, bersikap sederhana dalam segala hal, berfikiran sihat, bertatatertib, suka menyambut orang dengan ramah, layak untuk mengajar, bukan seorang pemabuk, tidak ganas, munasabah, tidak suka bertengkar, tidak mencintai wang, mengurus rumah tangganya dengan baik, mempunyai anak-anak yang taat dan berkelakuan baik (jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia dapat menjaga sidang Tuhan?), dan bukan orang yang baru percaya kepada Kristus, kerana dia mungkin menjadi angkuh lalu menerima penghakiman yang sama seperti yang sudah diterima oleh Iblis. Dia juga haruslah mempunyai nama baik dalam kalangan orang luar, supaya dia tidak dicela dan jatuh ke dalam perangkap Iblis.”

6 Paulus menulis kepada Titus, “Aku meninggalkanmu di Kreta supaya kamu membetulkan perkara-perkara yang perlu dibetulkan dan melantik para penatua di setiap kota, seperti yang telah aku pesan kepadamu: Seorang lelaki yang dilantik haruslah bebas daripada tuduhan dan hanya mempunyai seorang isteri. Anak-anaknya haruslah percaya kepada Kristus, dan tidak dituduh mengamalkan cara hidup yang tidak bermoral atau suka memberontak. Hal ini demikian kerana sebagai pengurus rumah tangga yang dilantik oleh Tuhan, seorang penyelia haruslah bebas daripada tuduhan, tidak keras kepala, tidak cepat marah, bukan seorang pemabuk, tidak ganas, dan tidak tamak akan keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur. Sebaliknya, dia haruslah suka menyambut orang dengan ramah, mencintai apa yang baik, berfikiran sihat, bersikap adil, setia, dan tahu mengawal diri. Dia harus berpegang teguh pada firman yang dapat dipercayai semasa menggunakan seni mengajar, supaya dia dapat menggunakan ajaran yang sihat untuk memberikan galakan dan menegur orang yang membantah ajaran itu.”​—Titus 1:5-9.

7 Meskipun syarat Bible bagi penyelia nampaknya susah dipenuhi, saudara-saudara Kristian tidak patut teragak-agak untuk berusaha memenuhinya. Apabila mereka menunjukkan sifat-sifat baik yang harus dimiliki penyelia, orang lain dalam sidang akan terdorong untuk memperlihatkan sifat yang sama. Paulus menulis bahawa “kurnia berupa manusia” ini diberikan “untuk membetulkan haluan umat suci Tuhan, untuk berkhidmat kepada orang lain, dan untuk menguatkan tubuh Kristus, sehingga kita semua mencapai kesatuan dari segi kepercayaan dan pengetahuan yang tepat tentang Anak Tuhan. Dengan ini, kita dapat menjadi orang yang matang dan mencapai tahap kematangan Kristus.”​—Ef. 4:8, 12, 13.

8 Penyelia bukanlah budak kecil atau orang yang baru percaya kepada Kristus. Sebaliknya, mereka sudah berpengalaman dalam soal kehidupan Kristian, memiliki pengetahuan dan pemahaman Bible yang mendalam, dan benar-benar mengasihi sidang. Mereka berani menegur dan membetulkan orang yang berbuat salah, supaya kawanan dilindungi daripada orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka. (Yes. 32:2) Semua ahli sidang harus dapat melihat bahawa para penyelia matang secara rohani dan mengambil berat tentang kawanan Tuhan secara ikhlas.

9 Orang yang memenuhi syarat sebagai penyelia harus bertindak dengan bijaksana dalam kehidupan seharian. Jika sudah berkahwin, seorang penyelia akan mematuhi piawaian Kristian mengenai perkahwinan, iaitu mempunyai seorang isteri sahaja dan mengurus rumah tangganya dengan baik. Jika anak-anaknya percaya kepada Kristus dan tidak dituduh mengamalkan cara hidup yang tidak bermoral atau suka memberontak, saudara saudari yang mempunyai soalan tentang kehidupan keluarga dan Kristian dapat meminta nasihatnya dengan yakin. Penyelia juga harus tidak bercela, bebas daripada tuduhan, dan mempunyai nama baik, bahkan dalam kalangan orang luar. Dia mesti menjaga kelakuannya supaya dia tidak dituduh lalu mencemari nama sidang. Dia juga bukan seorang yang baru sahaja ditegur kerana terlibat dalam salah laku yang serius. Teladan baik penyelia akan menggerakkan ahli sidang untuk mencontohinya dan percaya bahawa dia mampu menjaga mereka secara rohani.​—1 Kor. 11:1; 16:15, 16.

10 Saudara-saudara yang memenuhi syarat sebagai penyelia sidang adalah seperti para pemimpin Israel yang “bijaksana, cekap, dan berpengalaman.” (Ul. 1:13) Walaupun tidak sempurna, penatua dikenali sebagai orang yang bermoral dan takut akan Tuhan dalam sidang dan masyarakat, dan mereka telah menunjukkan untuk suatu jangka masa yang tertentu bahawa mereka hidup selaras dengan prinsip Tuhan. Oleh sebab mereka tidak bercela, mereka dapat bercakap dengan yakin dan berani di hadapan sidang.​—Rm. 3:23.

11 Mereka yang memenuhi syarat sebagai penyelia perlu bersikap sederhana dalam segala hal, termasuk tabiat mereka dan hubungan mereka dengan orang lain. Mereka tidak bersikap fanatik atau keterlaluan. Sebaliknya, kehidupan mereka sentiasa seimbang dan menunjukkan bahawa mereka tahu mengawal diri dalam soal makan, minum, rekreasi, hobi, dan hiburan. Mereka tidak akan minum berlebihan, supaya tidak dituduh sebagai pemabuk. Orang yang dipengaruhi minuman beralkohol mudah hilang kawalan diri dan tidak mampu mengurus hal rohani sidang dengan baik.

12 Penyelia sidang juga harus bertatatertib. Penampilan, kediaman, dan kegiatan sehariannya perlu menunjukkan bahawa dia seorang yang teratur dan mempunyai tabiat yang baik. Dia tidak berlambat-lambat menjalankan tugasnya. Sebaliknya dia akan memperhatikan hal-hal yang perlu diurus dan membuat rancangan yang sewajarnya. Dia berpegang pada prinsip Bible.

13 Penyelia mesti munasabah. Dia harus mampu bekerja bersama penatua lain sebagai satu badan. Dia patut memiliki pandangan yang seimbang terhadap dirinya dan tidak menuntut sesuatu yang keterlaluan daripada orang lain. Sebagai orang yang munasabah, dia tidak akan berkeras mengikut pendapat sendiri dan menganggap pandangannya lebih unggul daripada pandangan penatua lain, kerana mereka mungkin memiliki sifat atau kebolehan yang tidak dimilikinya. Seorang penatua bersikap munasabah apabila dia membuat kesimpulan berdasarkan Bible dan berusaha meniru teladan Yesus Kristus. (Flp. 2:2-8) Penatua haruslah tidak ganas dan tidak suka bertengkar. Sebaliknya dia menghormati orang lain dan menganggap mereka lebih unggul daripadanya. Dia tidak keras kepala dan tidak menuntut agar pendapat dan caranya mesti diterima. Dia tidak cepat marah, tetapi memperlakukan orang lain dengan lemah lembut.

14 Saudara yang memenuhi syarat sebagai penyelia sidang harus berfikiran sihat. Maksudnya, dia tenang dan tidak terburu-buru membuat keputusan. Dia memahami prinsip-prinsip Yehuwa dengan baik dan tahu cara menerapkannya. Seseorang yang berfikiran sihat sudi menerima nasihat dan arahan, dan dia tidak bermuka dua.

15 Paulus mengingatkan Titus bahawa seorang penyelia harus setia, adil, dan mencintai apa yang baik. Dia menunjukkan sifat-sifat ini menerusi cara dia memperlakukan orang lain dan menerusi pendiriannya yang teguh demi apa yang benar dan baik. Dia sangat setia kepada Yehuwa dan sentiasa menjunjung prinsip yang adil dan benar. Dia dapat merahsiakan perkara yang sulit. Dia juga suka menyambut orang dengan ramah dan rela mengorbankan masa, tenaga, dan hartanya demi manfaat orang lain.​—Kis. 20:33-35.

16 Untuk menjalankan tugas dengan cekap, seorang penyelia harus layak untuk mengajar. Paulus memberitahu Titus bahawa penyelia “harus berpegang teguh pada firman yang dapat dipercayai semasa menggunakan seni mengajar, supaya dia dapat menggunakan ajaran yang sihat untuk memberikan galakan dan menegur orang yang membantah ajaran itu.” (Tit. 1:9) Seorang penyelia dapat menaakul dan membuat penerangan, mengemukakan bukti, mengatasi bantahan, dan menjelaskan ayat Bible dengan cara yang meyakinkan, supaya iman pendengar dikuatkan. Dia akan menunjukkan kemahiran sebegini pada masa yang senang ataupun susah. (2 Tim. 4:2) Dia cukup sabar untuk memberikan teguran dengan lemah lembut kepada orang yang berbuat salah. Dia dapat meyakinkan orang yang ragu-ragu supaya iman mereka bertumbuh dan mendorong mereka untuk berbuat baik. Penyelia yang layak untuk mengajar di depan sekumpulan orang atau secara individu, menunjukkan bahawa dia memenuhi syarat yang penting ini.

17 Penatua harus menginjil dengan bersemangat. Orang lain harus dapat melihat bahawa mereka berusaha meniru Yesus, yang mengutamakan kerja penyebaran. Yesus prihatin terhadap para pengikutnya dan membantu mereka menjadi penginjil yang mahir. (Mrk. 1:38; Luk. 8:1) Apabila para penatua bertekad untuk menyokong kerja penyebaran meskipun sibuk, seluruh sidang akan didorong untuk menunjukkan semangat yang sama. Ketika penatua menginjil bersama ahli keluarga sendiri dan ahli sidang, mereka dapat menggalakkan satu sama lain.​—Rm. 1:11, 12.

18 Semua syarat yang perlu dipenuhi oleh penyelia mungkin nampaknya sangat banyak. Sudah pasti, tiada penyelia yang dapat memenuhinya dengan sempurna. Meskipun begitu, sesiapa yang menjadi penatua tidak boleh terlalu kekurangan mana-mana sifat yang dinyatakan itu sehingga kekurangannya menjadi kelemahan yang serius. Setiap penatua mempunyai kekuatan atau kelebihan masing-masing, yang akan membolehkan mereka membentuk satu badan penatua yang memiliki semua sifat murni yang diperlukan untuk menyelia sidang Tuhan dengan baik.

19 Semasa badan penatua mencadangkan saudara yang dapat dilantik sebagai penyelia, mereka harus ingat akan kata-kata Rasul Paulus: “Aku memberitahu kamu semua agar tidak menganggap diri kamu lebih daripada yang sepatutnya. Kamu haruslah berfikiran sihat, sesuai dengan iman yang diberikan oleh Tuhan kepada kamu masing-masing.” (Rm. 12:3) Setiap penatua harus menganggap dirinya sebagai orang yang berkedudukan rendah, dan tidak mengharapkan sesuatu yang keterlaluan semasa menilai kelayakan saudara lain. (Pkh. 7:16) Setelah memahami dengan jelas syarat Bible bagi penyelia, badan penatua harus menentukan sama ada saudara yang hendak dicadangkan memenuhi syarat-syarat itu sehingga tahap yang munasabah atau tidak. Mereka tidak patut mengharapkan kesempurnaan, dan harus bebas daripada sikap berat sebelah atau bermuka dua. Semasa mengesyorkan seseorang, mereka harus mencerminkan sikap hormat kepada piawaian Yehuwa dan memikirkan apa yang terbaik bagi sidang. Mereka juga perlu berdoa dan mengikut bimbingan kuasa suci Tuhan bagi setiap pengesyoran. Itulah salah satu tanggungjawab serius badan penatua yang harus dijalankan sesuai dengan nasihat Paulus ini: “Jangan sekali-kali meletakkan tangan kamu secara tergesa-gesa ke atas sesiapa pun.”​—1 Tim. 5:21, 22.

BUAH KUASA SUCI TUHAN

20 Saudara-saudara yang memenuhi syarat Bible menunjukkan bahawa mereka dibimbing oleh kuasa suci Tuhan. Mereka juga memperlihatkan sembilan aspek buah kuasa suci Tuhan yang disebut oleh Paulus, iaitu “kasih, sukacita, kedamaian, kesabaran, kebaikan hati, kebaikan, iman, kelemahlembutan, dan kawalan diri.” (Gal. 5:22, 23) Penyelia seperti itu menyegarkan rakan seiman dan membantu sidang untuk menjalankan khidmat suci dengan bersatu. Tingkah laku dan hasil kerja keras mereka menunjukkan bahawa mereka dilantik oleh kuasa suci Tuhan.​—Kis. 20:28.

SAUDARA YANG MENGUKUHKAN PERPADUAN

21 Para penatua perlu bekerjasama untuk mengukuhkan perpaduan sidang. Hal ini sangat penting. Meskipun keperibadian setiap penatua berbeza, badan penatua dapat tetap bersatu jika setiap penatua menghormati dan mendengar pendapat satu sama lain, biarpun mereka tidak mempunyai pandangan yang sama dalam semua perkara. Selagi tiada prinsip Bible yang dilanggar, setiap penatua harus rela mengalah dan menyokong keputusan terakhir badan penatua. Sikap sebegini menunjukkan bahawa seseorang itu dibimbing oleh “kebijaksanaan yang datang dari syurga,” yang ‘suka akan kedamaian dan munasabah.’ (Yak. 3:17, 18) Seorang penatua tidak patut berfikir bahawa dirinya lebih istimewa daripada penatua lain, atau mencuba mengawal penatua lain. Penatua yang bekerjasama sebagai satu badan demi kesejahteraan sidang, sebenarnya sedang bekerjasama dengan Yehuwa.​—1 Kor., bab 12; Kol. 2:19.

BERUSAHA MEMENUHI SYARAT

22 Saudara Kristian yang matang harus mempunyai keinginan untuk menjadi penyelia. (1 Tim. 3:1) Namun, untuk menjadi penatua, seseorang perlu bekerja keras dan rela membuat pengorbanan. Dia harus bersedia berkhidmat untuk saudara saudari dan menjaga keperluan rohani mereka. Dia juga perlu berusaha keras untuk memenuhi syarat Bible bagi penyelia.

SITUASI SESEORANG MUNGKIN BERUBAH

23 Seorang saudara yang telah lama berkhidmat mungkin jatuh sakit atau mengalami masalah kesihatan lain. Dia mungkin sudah berumur dan tidak mampu melakukan tugas-tugas yang biasanya dijalankan oleh penyelia. Walaupun begitu, selagi dia masih seorang penatua, dia harus dihormati dan dipandang sebagai penatua. Dia tidak perlu berhenti hanya kerana kebolehannya sudah terhad. Dia masih patut dihormati dengan mendalam seperti penatua lain yang menggembala kawanan dengan sedaya upaya.

24 Namun, jika seorang saudara berasa bahawa dia patut berhenti menjadi penatua kerana situasinya, dia boleh memilih untuk berbuat demikian. (1 Ptr. 5:2) Meskipun dia tidak lagi menjalankan tugas-tugas penatua, dia masih dapat melakukan banyak hal yang baik dalam sidang dan patut dihormati.

PELBAGAI TANGGUNGJAWAB PENATUA

25 Para penatua memikul pelbagai tanggungjawab dalam sidang. Terdapat koordinator badan penatua, setiausaha, penyelia aktiviti penyebaran, penatua yang mengendalikan pembelajaran Menara Pengawal, dan penyelia bagi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian. Ramai penatua juga merupakan penyelia kumpulan. Tiada tempoh masa yang ditetapkan untuk pelbagai tanggungjawab itu. Sudah pasti, jika seorang penatua berpindah, tidak dapat menjalankan tugasnya kerana masalah kesihatan, atau kehilangan kelayakannya kerana gagal memenuhi syarat Bible, seorang penatua yang lain akan dipilih untuk menggantikan tugasnya. Jika sidang tidak mempunyai penatua yang mencukupi, seorang penatua mungkin memikul lebih daripada satu tugas sehingga terdapat saudara lain yang dapat dilantik sebagai penatua.

26 Koordinator badan penatua akan menjadi pengerusi semasa mesyuarat badan penatua. Dengan rendah hati, dia bekerja bersama penatua lain untuk menjaga kawanan Tuhan. (Rm. 12:10; 1 Ptr. 5:2, 3) Dia perlu mahir mengatur dan harus memimpin dengan tekun.​—Rm. 12:8.

27 Setiausaha akan menjaga rekod-rekod sidang dan memaklumkan para penatua tentang surat-surat yang penting. Jika perlu, seorang penatua atau pembantu sidang yang cekap boleh ditugaskan untuk membantunya.

28 Penyelia aktiviti penyebaran akan mengaturkan perkara yang berkaitan dengan kerja penyebaran. Dia akan menjadualkan masa untuk melawat semua kumpulan penyebaran. Setiap bulan, dia akan meluangkan satu hujung minggu bersama sebuah kumpulan. Jika jumlah penyiar dan kumpulan dalam sidang tidak banyak, dia boleh mengunjungi setiap kumpulan dua kali setahun. Semasa lawatannya, dia akan mengendalikan perjumpaan sebelum kerja penyebaran, menginjil bersama kumpulan, dan membantu penyiar melakukan kunjungan kembali dan pembelajaran Bible.

PENYELIA KUMPULAN

29 Tugas sebagai penyelia kumpulan merupakan salah satu penghormatan istimewa dalam sidang. Tanggungjawab penyelia kumpulan termasuk (1) memperhatikan kerohanian setiap ahli kumpulan; (2) membantu setiap ahli kumpulan untuk menyertai kerja penyebaran dengan tetap, bersemangat, dan sukacita; dan (3) membantu dan melatih pembantu sidang dalam kumpulan supaya mereka berusaha memenuhi syarat untuk memikul tanggungjawab dalam sidang. Badan penatua akan memilih saudara-saudara yang paling sesuai untuk menjalankan semua tugas ini.

30 Untuk melakukan semua tugas ini, penyelia kumpulan seboleh-bolehnya haruslah merupakan penatua. Jika tidak, seorang pembantu sidang yang cekap dapat melakukan tugas itu sehingga ada penatua yang dapat menggantikannya. Pembantu sidang tersebut dipanggil pembantu kumpulan, kerana dia bukan penyelia dalam sidang. Dia akan mengikut arahan para penatua semasa menjalankan tugasnya.

31 Salah satu tanggungjawab penting sebagai penyelia kumpulan adalah untuk mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran. Apabila penyelia kumpulan menginjil secara tetap dan melakukannya dengan bersemangat, ahli kumpulan akan digalakkan. Jika jadual penyebaran kumpulan sesuai dengan masa kebanyakan penyiar, mereka dapat menginjil bersama-sama dan saling menggalakkan. (Luk. 10:1-16) Penyelia perlu memastikan agar kumpulannya sentiasa mempunyai kawasan penyebaran yang cukup. Biasanya, dia akan mengendalikan perjumpaan sebelum kerja penyebaran dan mengaturkan kegiatan bagi para penyiar. Jika dia tidak dapat hadir, dia patut meminta seorang penatua atau pembantu sidang untuk menggantikannya. Jika tiada penatua atau pembantu sidang yang dapat hadir, seorang penyiar yang layak boleh membantunya supaya para penyiar menerima arahan yang diperlukan.

32 Penyelia kumpulan harus memberitahu ahli kumpulannya tentang lawatan penyelia aktiviti penyebaran dan manfaatnya, supaya mereka menanti-nantikan lawatan itu. Apabila penyelia kumpulan membuat rancangan awal dan memaklumkan semua ahli kumpulan tentang lawatan itu, mereka dapat menyokongnya dengan bersemangat.

33 Saiz setiap kumpulan haruslah kecil, supaya penyelia kumpulan dapat mengenali semua ahli kumpulan dengan baik. Sebagai gembala yang pengasih, dia akan mengambil berat terhadap setiap orang. Dia akan memberi mereka bantuan dan galakan supaya mereka rajin menginjil dan menyokong perjumpaan sidang. Dia juga akan berusaha membantu setiap ahli kumpulan agar tetap kuat secara rohani. Apabila ahli kumpulan jatuh sakit atau murung, dia akan mengunjungi mereka. Galakan, cadangan, atau nasihat yang diberikannya mungkin menggerakkan sesetengah ahli kumpulan agar berusaha memikul lebih banyak tugas dan memberikan bantuan yang lebih besar kepada sidang. Penyelia kumpulan biasanya akan memberikan lebih banyak tumpuan kepada ahli kumpulannya. Namun, sebagai penatua dan gembala, dia mengambil berat terhadap semua ahli sidang dan bersedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan.​—Kis. 20:17, 28.

34 Penyelia kumpulan juga bertanggungjawab mengumpulkan laporan aktiviti penyebaran daripada ahli kumpulan dan menghantarkannya kepada setiausaha. Setiap penyiar dapat membantu penyelia kumpulan dengan menghantar laporan mereka secepat yang mungkin. Laporan mereka boleh diserahkan terus kepada penyelia kumpulan pada hujung bulan, atau dimasukkan ke dalam peti yang dikhaskan di Dewan Perjumpaan.

JAWATANKUASA SIDANG

35 Jawatankuasa Sidang terdiri daripada koordinator badan penatua, setiausaha, dan penyelia aktiviti penyebaran. Jawatankuasa Sidang mengurus pelbagai hal seperti menentukan kumpulan penyebaran bagi setiap penyiar, dan meluluskan permohonan untuk menggunakan Dewan Perjumpaan bagi majlis perkahwinan dan pengebumian. Selain itu, permohonan untuk menjadi perintis sokongan, perintis biasa, atau khidmat lain, dikendalikan oleh jawatankuasa ini. Jawatankuasa Sidang berfungsi di bawah arahan badan penatua.

36 Pejabat cawangan akan menjelaskan tugas para saudara dalam Jawatankuasa Sidang, saudara yang mengendalikan pembelajaran Menara Pengawal, penyelia Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian, dan saudara-saudara lain dalam badan penatua.

37 Badan penatua setiap sidang akan bermesyuarat dari masa ke masa untuk membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan kemajuan rohani sidang. Selain mesyuarat penatua yang diadakan semasa lawatan penyelia litar, badan penatua akan bermesyuarat sekitar tiga bulan selepas setiap lawatan penyelia litar. Sudah pasti, para penatua boleh bermesyuarat pada bila-bila masa jika timbulnya situasi tertentu.

BERSIKAP TUNDUK

38 Para penyelia tidak sempurna, tetapi semua ahli sidang dinasihati untuk tunduk kepada mereka, kerana inilah aturan Yehuwa. Semua penyelia bertanggungjawab kepada Tuhan atas perbuatan mereka. Mereka mewakili Dia dan pemerintahan teokratik-Nya. Ibrani 13:17 menyatakan, “Patuhilah mereka yang mengambil pimpinan dalam kalangan kamu dan tunduklah kepada mereka, kerana mereka sedang menjaga kamu dan akan bertanggungjawab kepada Tuhan. Dengan demikian, mereka dapat menjalankan tugas dengan sukacita dan bukannya dengan keluh-kesah, kerana hal itu akan merugikan kamu.” Ingatlah, Yehuwa dapat menggunakan kuasa suci-Nya untuk melantik seorang saudara sebagai penyelia, dan Dia juga dapat menggunakan kuasa suci yang sama untuk memberhentikannya jika dia gagal menunjukkan buah kuasa suci Tuhan dan tidak hidup menurut piawaian Bible.

39 Tidakkah kita menghargai kerja keras dan teladan baik para penyelia? Dalam suratnya kepada sidang di Tesalonika, Paulus berkata, “Kami memohon kepada kamu agar kamu menunjukkan hormat kepada mereka yang bekerja keras dalam kalangan kamu dan yang mengambil pimpinan dalam kerja Tuan kita serta yang menasihati kamu. Tunjukkanlah hormat dan kasih yang lebih mendalam kepada mereka kerana kerja yang dilakukan oleh mereka.” (1 Tes. 5:12, 13) Kerja keras para penyelia sidang membolehkan kita berkhidmat kepada Tuhan dengan lebih mudah dan lebih gembira. Selain itu, dalam suratnya yang pertama kepada Timotius, Paulus menyebut tentang sikap yang harus diperlihatkan oleh ahli sidang terhadap para penyelia, “Hendaklah para penatua yang mengambil pimpinan dengan cara yang baik dianggap layak untuk menerima lebih banyak penghormatan, terutamanya mereka yang bekerja keras untuk mengajar dan menyampaikan firman Tuhan.”​—1 Tim. 5:17.

TANGGUNGJAWAB LAIN DALAM ORGANISASI

40 Sebilangan penatua juga dilantik sebagai ahli Kumpulan Melawat Pesakit, dan ada yang berkhidmat dalam Jawatankuasa Perhubungan Hospital. Jawatankuasa ini melawat hospital dan doktor untuk menggalakkan doktor supaya menggunakan rawatan tanpa darah dengan lebih meluas dan terus merawat Saksi-Saksi Yehuwa. Sesetengah penyelia membantu memajukan kepentingan Kerajaan Tuhan dengan membantu membina dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan dan Dewan Perhimpunan, atau dengan berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Konvensyen. Semua dalam organisasi “sentiasa menghargai” saudara-saudara ini yang bekerja keras dan yang rela membuat pengorbanan.​—Flp. 2:29.

PENYELIA LITAR

41 Badan Pimpinan akan melantik penatua yang memenuhi syarat sebagai penyelia litar. Pejabat cawangan akan menugaskan penyelia litar untuk melawat sidang-sidang dalam litar mereka, biasanya dua kali setahun. Dari masa ke masa, mereka juga melawat perintis di kawasan terpencil. Penyelia litar akan merancang perjalanan sendiri dan memaklumkan setiap sidang tentang lawatannya seawal yang mungkin supaya lawatannya membawa manfaat yang sepenuhnya kepada sidang.

42 Koordinator badan penatua akan membuat aturan supaya lawatan penyelia litar dapat menguatkan iman semua ahli sidang. (Rm. 1:11, 12) Setelah dimaklumkan tentang lawatan dan keperluan penyelia litar dan isterinya (jika sudah berkahwin), koordinator badan penatua akan mendapatkan bantuan saudara-saudara lain untuk mengaturkan penginapan dan hal-hal lain yang penting. Dia akan memastikan bahawa semua orang, termasuk penyelia litar, mengetahui aturan-aturan tersebut.

43 Penyelia litar akan memberitahu koordinator badan penatua jadual masa perjumpaan, termasuk perjumpaan sebelum kerja penyebaran. Aturan itu akan dibuat berdasarkan cadangan penyelia litar dan arahan daripada pejabat cawangan. Dari awal lagi, semua ahli sidang harus dimaklumkan tentang masa dan tempat bagi perjumpaan sidang, perjumpaan sebelum kerja penyebaran, perjumpaan bersama perintis, dan mesyuarat bersama penatua dan pembantu sidang.

44 Pada petang hari Selasa, penyelia litar akan memeriksa Rekod Penyiar Sidang, rekod hadirin perjumpaan, rekod kawasan penyebaran, dan akaun sidang. Dengan itu, dia dapat mengetahui sedikit sebanyak tentang keperluan sidang dan cara untuk membantu saudara yang mengurus rekod-rekod itu. Koordinator badan penatua harus mengaturkan supaya rekod-rekod itu diserahkan kepada penyelia litar sebelum masa itu.

45 Semasa lawatannya, penyelia litar akan meluangkan seberapa banyak masa yang mungkin untuk bercakap kepada saudara saudari secara individu, sama ada di perjumpaan, semasa menginjil, semasa makan, atau pada waktu lain. Selain itu, dia akan berjumpa dengan para penatua dan pembantu sidang untuk mengongsi nasihat, cadangan, dan galakan daripada Bible, supaya mereka dapat menggembala kawanan dengan lebih baik. (Ams. 27:23; Kis. 20:26-32; 1 Tim. 4:11-16) Dia juga akan bertemu dengan para perintis untuk menggalakkan mereka dan memberikan bantuan peribadi kepada perintis yang menghadapi masalah dalam kerja penyebaran.

46 Sekiranya terdapat hal-hal lain yang perlu diberikan perhatian, penyelia litar akan mencuba menguruskannya pada minggu lawatannya. Jika hal itu tidak dapat diselesaikan dalam minggu itu, dia akan membantu para penatua atau individu yang terlibat untuk menyelidiki maklumat yang berkenaan daripada Bible. Sekiranya bantuan dari pejabat cawangan diperlukan, penyelia litar dan para penatua akan memberikan laporan yang terperinci kepada pejabat cawangan.

47 Semasa lawatannya, penyelia litar akan menghadiri perjumpaan sidang. Dari masa ke masa, jadual perjumpaan pada minggu lawatan mungkin diubah menurut arahan pejabat cawangan. Penyelia litar akan memberikan ceramah untuk menggalakkan, mendorong, mengajar, dan meneguhkan sidang. Dia akan berusaha membantu saudara saudari memupuk kasih kepada Yehuwa, Yesus Kristus, dan organisasi.

48 Salah satu tujuan lawatan penyelia litar adalah untuk menggalakkan saudara saudari agar rajin menginjil dan memberi mereka cadangan yang praktikal. Ahli sidang mungkin dapat mengaturkan jadual sendiri supaya dapat menyokong kerja penyebaran pada minggu lawatan atau menjadi perintis sokongan pada bulan itu. Penyiar yang ingin bekerja bersama penyelia litar atau isterinya boleh membuat janji temu terlebih dahulu. Penyiar yang membawa penyelia litar atau isterinya untuk membuat kunjungan kembali atau pembelajaran Bible dapat meraih manfaat yang besar. Usaha anda untuk menyokong kerja penyebaran pada minggu lawatan amat dihargai.​—Ams. 27:17.

49 Setiap tahun, dua perhimpunan litar akan diadakan untuk setiap litar. Penyelia litar bertanggungjawab mengaturkan dua perhimpunan ini. Dia akan melantik seorang penyelia perhimpunan dan seorang pembantu penyelia perhimpunan. Mereka akan bekerja bersamanya untuk mengaturkan perhimpunan. Dengan itu, dia dapat berfokus kepada program perhimpunan. Dia juga menugaskan saudara-saudara yang layak untuk menjaga pelbagai bahagian perhimpunan, dan mengaturkan audit bagi akaun litar selepas setiap perhimpunan. Salah satu perhimpunan litar akan mempunyai penceramah undangan yang merupakan wakil pejabat cawangan. Jika jarak antara sidang-sidang terlalu jauh atau jika dewan perhimpunan tidak cukup besar, ada kalanya litar akan dibahagikan kepada beberapa bahagian, dan setiap bahagian akan mengadakan perhimpunan litar sendiri.

50 Pada hujung bulan, penyelia litar akan menghantar laporan aktiviti penyebarannya terus kepada pejabat cawangan. Jika perbelanjaan asas penyelia litar seperti kos pengangkutan, makanan, penginapan, dan keperluan lain untuk menjalankan tugasnya tidak dapat dibiayai oleh sidang yang dilawatnya, penyelia litar boleh meminta pejabat cawangan untuk membiayai perbelanjaan itu. Para penyelia lawatan yakin bahawa jika mereka mengutamakan Kerajaan Yehuwa, keperluan kebendaan mereka akan dijaga, seperti yang dijanjikan Yesus. (Luk. 12:31) Para penatua ini telah berkhidmat kepada sidang dengan bersungguh-sungguh, maka sidang patut menghargai peluang untuk menunjukkan kemurahan hati kepada mereka.​—3 Yoh. 5-8.

JAWATANKUASA CAWANGAN

51 Di setiap pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia, sekurang-kurangnya tiga orang saudara yang layak dan matang secara rohani akan membentuk Jawatankuasa Cawangan untuk menyelia kerja penyebaran di kawasan-kawasan di bawah jagaan mereka. Salah seorang ahli jawatankuasa itu akan berkhidmat sebagai koordinator Jawatankuasa Cawangan.

52 Ahli Jawatankuasa Cawangan mengurus perkara-perkara yang berkaitan dengan semua sidang dalam kawasan pejabat cawangan. Jawatankuasa ini menyelia kerja penyebaran berita baik di seluruh kawasan pejabat cawangan dan menubuhkan sidang dan litar, supaya keperluan di kawasan penyebaran dapat dijaga. Jawatankuasa Cawangan juga memperhatikan kegiatan para mubaligh, perintis khas, perintis biasa, dan perintis sokongan. Semasa ada konvensyen dan perhimpunan, jawatankuasa ini akan mengatur dan membahagikan tugas, supaya semuanya “berlaku dengan baik dan teratur.”​—1 Kor. 14:40.

53 Di sesetengah kawasan, Jawatankuasa Tempatan akan ditubuhkan dan berfungsi di bawah jagaan sebuah Jawatankuasa Cawangan di negara lain. Tujuan Jawatankuasa Tempatan adalah untuk menyelia kerja di kawasan itu dengan lebih teliti. Jawatankuasa ini mengurus pejabat dan kediaman ahli Bethel, urusan surat-menyurat dan laporan, dan menjaga kegiatan di kawasan penyebaran. Jawatankuasa Tempatan bekerjasama dengan Jawatankuasa Cawangan untuk memajukan kepentingan Kerajaan Tuhan.

54 Semua ahli Jawatankuasa Cawangan dan Jawatankuasa Tempatan dilantik oleh Badan Pimpinan.

WAKIL IBU PEJABAT

55 Badan Pimpinan akan mengaturkan saudara-saudara yang layak untuk mengunjungi setiap pejabat cawangan di seluruh dunia secara tetap. Saudara yang melakukan tugas ini dipanggil wakil ibu pejabat. Tugas utamanya adalah untuk menggalakkan keluarga Bethel dan membantu Jawatankuasa Cawangan menangani masalah atau soalan yang mungkin timbul dalam kerja menginjil dan kerja menjadikan orang murid Yesus. Saudara itu juga akan berjumpa dengan penyelia litar yang dijemput, dan dari masa ke masa, dia akan berjumpa dengan para mubaligh. Dia akan membincangkan masalah dan keperluan mereka, dan memberi mereka galakan supaya mereka meneruskan kerja yang terpenting, iaitu menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan dan menjadikan orang murid Yesus.

56 Wakil ibu pejabat sangat prihatin terhadap perkembangan dalam kerja penyebaran dan sidang. Jika masa mengizinkan, dia mungkin melawat pejabat-pejabat penterjemahan. Semasa melawat sebuah cawangan, dia juga akan berusaha menyertai kerja penyebaran jika dia dapat berbuat demikian.

Apabila kita tunduk kepada para penyelia yang dilantik sebagai gembala kawanan, kita sedang hidup bersatu dengan Kepala sidang, Kristus Yesus

PARA PENYELIA YANG PENGASIH

57 Kita meraih banyak faedah daripada kerja keras, kasih, dan jagaan para saudara Kristian yang matang. Apabila kita tunduk kepada para penyelia yang dilantik untuk menggembala kawanan, kita sedang hidup bersatu dengan Kepala sidang, Kristus Yesus. (1 Kor. 16:15-18; Ef. 1:22, 23) Dengan itu, kuasa suci Tuhan akan terus membimbing semua sidang di serata dunia, dan kita dapat melaksanakan tugas kita menurut bimbingan Firman Tuhan.​—Mzm. 119:105.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi