PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • od bab 17 ms. 169-178
  • Teruslah Berpaut pada Organisasi Yehuwa

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Teruslah Berpaut pada Organisasi Yehuwa
  • Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • SEBABNYA CUBAAN SEMAKIN BERTAMBAH
  • MEMUPUK KETABAHAN
  • MENGHADAPI PELBAGAI CUBAAN DENGAN TABAH
  • BERTEKAD AGAR TETAP SETIA
  • “Biarlah Ketabahan Kamu Mencapai Tujuannya”
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2016
  • Tirulah Ketabahan Yehuwa
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
  • Ketabahan Diperlukan dalam Kerja Penyebaran
    Kerja Teokratik Kita—2008
  • Tetap Bersukacita semasa Menghadapi Cubaan
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
od bab 17 ms. 169-178

BAB 17

Teruslah Berpaut pada Organisasi Yehuwa

YAKOBUS menulis, “Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.” (Yak. 4:8) Meskipun kita tidak sempurna, Yehuwa mahu mendengar luahan hati kita. Dia tidak terlalu tinggi atau jauh daripada kita. (Kis. 17:27) Bagaimanakah kita dapat menghampiri Tuhan? Kita perlu menjalin hubungan yang akrab dengan Yehuwa, dan salah satu caranya adalah melalui doa yang sungguh-sungguh. (Mzm. 39:12) Kita juga perlu rajin mengkaji Firman Tuhan, iaitu Bible. Dengan itu, kita dapat mengenali-Nya dan mengetahui tujuan-Nya dan kehendak-Nya bagi kita. (2 Tim. 3:16, 17) Hasilnya, kita akan mengasihi Tuhan dan takut melakukan apa-apa yang tidak disukai-Nya.​—Mzm. 25:14.

2 Yesus, iaitu Anak Tuhan, merupakan satu-satunya jalan untuk menghampiri Yehuwa. (Yoh. 17:3; Rm. 5:10) Antara semua manusia, Yesuslah yang paling mengetahui fikiran Yehuwa. Hubungannya dengan Bapanya begitu akrab sehingga dia boleh berkata, “Tiada orang yang mengenal Anak kecuali Bapa, dan tiada orang yang mengenal Bapa kecuali Anak. Orang hanya dapat mengenal Bapa jika Anak rela mengajar mereka tentang Bapa.” (Luk. 10:22) Jadi, semasa kita belajar tentang fikiran dan perasaan Yesus melalui kisah Bible, kita sebenarnya sedang belajar tentang fikiran dan perasaan Yehuwa. Hal ini akan membantu kita lebih menghampiri Tuhan kita.

3 Di bawah pimpinan Yesus, kita berpaut pada bahagian organisasi Yehuwa di bumi, yang mengajar kita cara melakukan kehendak Tuhan. Dengan berbuat demikian, hubungan kita dengan Yehuwa akan bertambah erat. Seperti yang dinubuatkan di Matius 24:45-47, Yesus Kristus, Tuan kita, telah melantik “hamba yang setia dan bijaksana” untuk memberi semua pengikutnya “makanan pada masa yang sesuai.” Kini, hamba yang setia memberi kita makanan rohani yang melimpah. Menerusi hamba itu, Yehuwa menasihati kita agar membaca Bible setiap hari, menghadiri perjumpaan secara tetap, dan menyebarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan” dengan bersungguh-sungguh. (Mat. 24:14; 28:19, 20; Yos. 1:8; Mzm. 1:1-3) Hamba itu memang tidak sempurna, tetapi kita yakin bahawa hamba itu dibimbing oleh Tuhan. Kita harus berusaha untuk tetap berpaut pada bahagian organisasi Yehuwa di bumi dan mentaati arahannya. Dengan itu, kita akan lebih mendekat kepada Yehuwa, Tuhan kita, dan kita akan dilindungi serta dikuatkan meskipun dilanda cubaan.

SEBABNYA CUBAAN SEMAKIN BERTAMBAH

4 Jika anda sudah lama menjadi Saksi-Saksi Yehuwa, anda pasti pernah mengalami cubaan yang menguji kesetiaan anda. Biarpun anda baru sahaja mengenali Yehuwa dan bergaul dengan umat-Nya, anda juga tahu bahawa Syaitan Si Iblis akan menentang semua orang yang tunduk kepada kedaulatan Yehuwa. (2 Tim. 3:12) Tidak kira anda menghadapi cubaan yang besar ataupun kecil, janganlah takut dan janganlah tawar hati. Yehuwa berjanji bahawa Dia pasti membantu anda, dan Dia akan menyelamatkan anda dan mengurniai anda kehidupan kekal pada masa depan.​—Ibr. 13:5, 6; Why. 2:10.

5 Kita semua mungkin menghadapi lebih banyak cubaan pada penghujung sistem dunia Syaitan. Sejak Kerajaan Tuhan didirikan pada tahun 1914, Syaitan dan roh-roh jahat telah dihalau dari syurga dan dibuang ke bumi. Oleh itu, Syaitan sangat marah dan menimbulkan lebih banyak masalah di bumi, termasuk menganiaya hamba-hamba Yehuwa yang setia. Peristiwa sebegini membuktikan bahawa pemerintahan Syaitan atas manusia bakal berakhir.​—Why. 12:1-12.

6 Setelah diusir, Syaitan sangat marah kerana tahu bahawa masanya tinggal sedikit. Maka dia dan roh-roh jahat mencuba sedaya upaya untuk menghalang kerja penyebaran dan merosakkan perpaduan hamba-hamba Yehuwa. Itulah sebabnya kita terlibat dalam suatu perang rohani. Dalam perang ini, “kita tidak bergelut melawan manusia, tetapi melawan kerajaan, melawan pihak berkuasa, melawan pemerintah dunia yang gelap ini, dan melawan roh-roh jahat di syurga.” Untuk berpihak kepada Yehuwa dan meraih kemenangan, kita mesti terus berjuang, memakai seluruh perlengkapan perang rohani, dan “berdiri teguh untuk melawan muslihat Iblis yang licik.” (Ef. 6:10-17) Hal itu bermaksud kita mesti tetap tabah.

MEMUPUK KETABAHAN

7 Ketabahan ialah keupayaan untuk menanggung kesusahan atau cabaran. Dalam Bible, ketabahan bermaksud tetap melakukan apa yang benar meskipun menghadapi kesusahan, tentangan, penganiayaan, atau masalah lain yang dapat membuat kita tidak setia kepada Tuhan. Orang Kristian mesti memupuk sifat ketabahan, dan hal ini memerlukan masa. Apabila hubungan kita dengan Tuhan menjadi semakin rapat, ketabahan kita pun akan semakin bertambah. Jika kita menghadapi cubaan yang kecil dengan tabah semasa kita baru menjadi orang Kristian, kita akan dikuatkan untuk menghadapi cubaan besar yang pasti berlaku pada masa depan. (Luk. 16:10) Janganlah menunggu sehingga timbulnya cubaan yang besar, barulah kita hendak bertekad untuk berpegang teguh pada iman kita. Sebaliknya, bertekadlah untuk tetap setia dari sekarang. Sewaktu kita berusaha memupuk ketabahan, kita juga perlu memupuk sifat-sifat lain. Rasul Petrus menulis, “Kamu harus berusaha sedaya upaya untuk menambahkan kebaikan kepada iman kamu, dan kepada kebaikan kamu, tambahkanlah pengetahuan, dan kepada pengetahuan kamu, tambahkanlah kawalan diri, dan kepada kawalan diri kamu, tambahkanlah ketabahan, dan kepada ketabahan kamu, tambahkanlah pengabdian diri kepada Tuhan, dan kepada pengabdian diri kepada Tuhan, tambahkanlah kasih terhadap sesama saudara, dan kepada kasih terhadap sesama saudara, tambahkanlah kasih terhadap semua orang.”​—2 Ptr. 1:5-7; 1 Tim. 6:11.

Apabila kita menghadapi dan mengatasi cubaan setiap hari, ketabahan kita akan bertambah mantap

8 Yakobus telah menjelaskan pentingnya memupuk ketabahan semasa dia menulis, “Saudara-saudaraku, bersukacitalah apabila kamu ditimpa pelbagai cubaan, kerana kamu tahu bahawa mutu iman kamu yang telah diuji akan menghasilkan ketabahan. Biarlah ketabahan kamu mencapai tujuannya, supaya kamu menjadi serba lengkap, tidak bercela dalam segala hal, dan tidak kekurangan apa-apa pun.” (Yak. 1:2-4) Yakobus berkata bahawa orang Kristian harus rela menghadapi cubaan. Semasa dicubai, mereka juga harus bersukacita kerana cubaan dapat menghasilkan ketabahan. Adakah anda mempunyai pandangan yang sama? Kemudian, Yakobus menunjukkan bahawa ketabahan dapat melengkapkan sifat-sifat Kristian kita dan membolehkan kita mendapat perkenan Tuhan. Ya, apabila kita menghadapi dan mengatasi cubaan setiap hari, ketabahan kita akan bertambah mantap lalu menghasilkan sifat-sifat murni lain yang kita perlukan.

9 Yehuwa gembira semasa kita bertabah, dan Dia akan mengurniai kita kehidupan kekal. Yakobus menjelaskan, “Berbahagialah orang yang tetap tabah semasa menghadapi cubaan, kerana setelah dia mendapat perkenan Yehuwa, dia akan menerima mahkota kehidupan yang dijanjikan oleh-Nya kepada mereka yang sentiasa mengasihi-Nya.” (Yak. 1:12) Ya, kita bertabah sambil menantikan ganjaran berupa kehidupan. Tanpa ketabahan, kita tidak dapat terus berpegang pada kebenaran. Kita akan tunduk kepada tekanan dunia dan akhirnya kembali ke dunia Syaitan. Tanpa ketabahan, kita tidak akan terus diberi kuasa suci Yehuwa dan tidak dapat menghasilkan buahnya dalam kehidupan kita.

10 Untuk tetap bertabah pada zaman yang mencabar ini, kita perlu memiliki pandangan yang sewajarnya tentang kesusahan yang dihadapi orang Kristian. Ingatlah kata-kata Yakobus bahawa kita mesti bersukacita semasa ditimpa cubaan. Hal itu tidak mudah, kerana kita mungkin menderita secara fizikal atau mental. Namun, ingatlah bahawa ketabahan kita akan mempengaruhi kehidupan kita pada masa depan. Pengalaman para rasul dalam buku Kisah dapat membantu kita memahami cara untuk bersukacita semasa menderita. Para pemimpin telah “memanggil para rasul, mencambuk mereka, dan melarang mereka bercakap atas nama Yesus,” lalu membebaskan mereka. “Selepas para rasul meninggalkan Majlis Orang Yahudi, mereka bersukacita kerana Tuhan menganggap mereka layak dihina demi nama Yesus.” (Kis. 5:40, 41) Para rasul faham bahawa penderitaan yang dialami mereka merupakan bukti bahawa mereka mentaati perintah Yesus dan diperkenankan Yehuwa. Bertahun-tahun kemudian, semasa menulis suratnya yang pertama, Petrus telah menyebut tentang pentingnya menderita demi apa yang benar.​—1 Ptr. 4:12-16.

11 Pengalaman yang seterusnya melibatkan Paulus dan Silas. Semasa mereka menginjil di Filipi, mereka ditahan dan dituduh menimbulkan huru-hara dan mengajarkan adat istiadat yang salah. Akibatnya, mereka dipukul dengan teruk dan dipenjarakan. Namun, Bible menyatakan, “Lebih kurang pada waktu tengah malam, Paulus dan Silas berdoa dan menyanyikan lagu untuk memuji Tuhan. Tahanan-tahanan lain mendengar mereka.” (Kis. 16:16-25) Semasa menanggung penderitaan demi Kristus, Paulus dan Silas menganggapnya sebagai bukti di hadapan Tuhan dan manusia bahawa mereka tetap setia. Mereka juga memandangnya sebagai peluang untuk memberikan kesaksian, supaya orang lain mendengar berita baik lalu diselamatkan. Pada malam itu juga, penjaga penjara dan keluarganya telah mendengar berita baik lalu menjadi murid Yesus. (Kis. 16:26-34) Paulus dan Silas yakin bahawa Yehuwa ingin dan mampu membantu mereka menghadapi penderitaan dengan tabah, dan Tuhan memang telah berbuat demikian.

12 Hari ini, Yehuwa juga memberi kita bantuan yang diperlukan supaya kita dapat menghadapi kesusahan dengan tabah dan bertahan sehingga akhir. Dia telah memberi kita Bible supaya kita mendapat pengetahuan yang tepat tentang tujuan-Nya dan membina iman yang teguh. Kita diberi peluang untuk bergaul dengan rakan seiman dan berkhidmat kepada Yehuwa. Selain itu, kita dapat memelihara hubungan yang rapat dengan Yehuwa melalui doa. Apabila kita memberikan pujian kepada-Nya dan merayu agar Dia membantu kita tetap bersih di mata-Nya, Yehuwa akan mendengarkan kita. (Flp. 4:13) Kita juga akan dikuatkan untuk tetap tabah jika kita merenungkan harapan masa depan kita.​—Mat. 24:13; Ibr. 6:18; Why. 21:1-4.

MENGHADAPI PELBAGAI CUBAAN DENGAN TABAH

13 Cubaan yang kita hadapi hari ini hampir sama dengan cubaan yang dihadapi orang Kristian abad pertama. Pada zaman para rasul, pemimpin agama telah menghasut orang ramai untuk menentang orang Kristian, yang menggunakan Firman Tuhan untuk mendedahkan ajaran palsu dan amalan buruk mereka. (Kis. 17:5-9, 13) Hari ini, Saksi-Saksi Yehuwa juga dihina dan dianiaya atas sebab yang sama. Ada kalanya, umat Yehuwa berjaya mendapatkan perlindungan menerusi sistem perundangan negara. (Kis. 22:25; 25:11) Namun, sesetengah pemerintah mengharamkan kerja kita dan ingin menghentikan kerja penyebaran. (Mzm. 2:1-3) Dalam keadaan sebegini, kita akan mengikut teladan para rasul yang berkata dengan berani, “Kami mesti patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.”​—Kis. 5:29.

14 Apabila semangat kebangsaan di serata dunia kian membara, kita menghadapi tekanan yang semakin besar untuk berhenti menginjil. Semua hamba Tuhan tahu bahawa mereka harus mengingati amaran di Wahyu 14:9-12 agar tidak menyembah “binatang buas dan patungnya.” Kita juga menyedari betapa pentingnya kata-kata Yohanes: “Dalam hal ini, umat suci Tuhan, iaitu mereka yang mematuhi perintah Tuhan dan yang tetap beriman kepada Yesus, perlu bertabah.”

15 Peperangan, revolusi, penganiayaan, atau larangan daripada pihak berkuasa, mungkin menyebabkan anda tidak dapat melakukan kegiatan Kristian secara terbuka. Anda mungkin tidak dapat berkumpul dengan seluruh sidang atau menghubungi pejabat cawangan. Penyelia litar mungkin tidak dapat mengunjungi anda, dan anda mungkin tidak dapat menerima bahan bacaan. Jika hal sebegini berlaku, apakah yang harus anda lakukan?

16 Lakukanlah apa sahaja yang anda mampu, contohnya pembelajaran peribadi. Ahli-ahli sidang mungkin dapat mengadakan perjumpaan di rumah dalam kumpulan yang kecil dan membincangkan Bible atau bahan bacaan yang pernah digunakan. Janganlah terlalu risau atau takut. Badan Pimpinan biasanya dapat segera menghubungi saudara-saudara yang mengambil pimpinan.

17 Jika tiada seorang pun rakan seiman yang berada di sisi anda, ingatlah bahawa Yehuwa dan Anak-Nya Yesus Kristus sentiasa menyertai anda. Maka janganlah putus harapan. Yehuwa masih dapat mendengar doa anda, dan Dia dapat menguatkan anda menerusi kuasa suci-Nya. Jadi, mohonlah bimbingan-Nya. Ingatlah juga bahawa anda ialah hamba Yehuwa dan murid Yesus Kristus. Oleh itu, gunakanlah setiap peluang untuk memberikan kesaksian. Yehuwa akan memberkati usaha anda, dan orang lain mungkin akan menyembah Yehuwa bersama-sama anda.​—Kis. 4:13-31; 5:27-42; Flp. 1:27-30; 4:6, 7; 2 Tim. 4:16-18.

18 Jika anda menghadapi ancaman maut, seperti yang terjadi kepada para rasul dan hamba-hamba Tuhan yang lain, berimanlah kepada “Tuhan yang membangkitkan orang mati.” (2 Kor. 1:8-10) Jika anda beriman bahawa Tuhan pasti membangkitkan hamba-Nya yang setia, anda dapat tetap tabah, bahkan semasa menghadapi cubaan yang paling berat. (Luk. 21:19) Kristus Yesus ialah teladan baik kita. Dia tahu bahawa jika dia tetap setia semasa diuji, orang lain akan dikuatkan. Begitu juga, kesetiaan anda dapat menguatkan rakan seiman anda.​—Yoh. 16:33; Ibr. 12:2, 3; 1 Ptr. 2:21.

19 Selain penganiayaan dan tentangan, anda mungkin perlu menghadapi cabaran yang lain. Sebagai contoh, ada yang berasa tawar hati kerana sambutan dingin di kawasan penyebaran. Yang lain pula berdepan dengan penyakit, masalah emosi, atau keterbatasan lain yang disebabkan oleh ketidaksempurnaan manusia. Rasul Paulus juga menghadapi masalah yang ada kalanya mengganggu khidmatnya kepada Tuhan. (2 Kor. 12:7) Epafroditus, seorang saudara dari Filipi pada abad pertama, “menjadi murung kerana [kawan-kawannya] sudah mendengar bahawa dia jatuh sakit.” (Flp. 2:25-27) Sesetengah masalah yang sangat susah ditangani mungkin berpunca daripada ketidaksempurnaan kita sendiri dan orang lain. Perselisihan mungkin terjadi antara rakan Kristian atau ahli keluarga. Namun, kita dapat menghadapi masalah-masalah sebegini dengan tabah dan mengatasinya jika kita mengikut nasihat dalam Firman Yehuwa.​—Yeh. 2:3-5; 1 Kor. 9:27; 13:8; Kol. 3:12-14; 1 Ptr. 4:8.

BERTEKAD AGAR TETAP SETIA

20 Yehuwa telah melantik Yesus Kristus sebagai Kepala sidang, maka kita mesti terus mengikutnya. (Kol. 2:18, 19) Kita perlu bekerjasama dengan “hamba yang setia dan bijaksana” dan para penyelia. (Ibr. 13:7, 17) Jika kita mematuhi aturan Tuhan dengan teliti dan bekerjasama dengan mereka yang mengambil pimpinan, kita dapat melakukan kehendak Yehuwa dengan teratur. Kita juga perlu tekun berdoa. Ingatlah, biarpun kita dipenjarakan atau dikurung seorang diri, kita masih dapat berkomunikasi dengan Bapa kita di syurga yang penyayang, dan kita masih bersatu dengan rakan seiman yang lain.

21 Selepas dibangkitkan, Yesus menyuruh para pengikutnya, “Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka atas nama Bapa, Anak, dan kuasa suci Tuhan. Ajarlah mereka mentaati segala yang telah aku perintahkan kepada kamu.” (Mat. 28:19, 20) Semoga kita bertekad untuk melaksanakan tugas ini dengan sedaya upaya dan tabah. Semasa menghadapi kesusahan, marilah kita terus bertahan seperti yang dilakukan Yesus. Biarlah harapan untuk hidup kekal di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan tetap membara di hati kita. (Ibr. 12:2) Semasa menubuatkan hal-hal yang akan terjadi pada “penghujung sistem ini,” Yesus berkata, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang.” (Mat. 24:3, 14) Sebagai murid-murid Kristus yang terbaptis, kita diberi penghormatan yang besar untuk melakukan kerja yang dinubuatkan itu. Jika kita berbuat demikian dengan gigih dan sepenuh hati sekarang, kita akan menikmati kehidupan abadi dalam dunia baharu Yehuwa!

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi