PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • mwbr19 November ms. 1-6
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian (2019)
  • Tajuk Kecil
  • 4-10 NOVEMBER
  • Mencari Permata Rohani
  • 11-17 NOVEMBER
  • Mencari Permata Rohani
  • 18-24 NOVEMBER
  • Mencari Permata Rohani
  • 25 NOVEMBER–1 DISEMBER
  • Mencari Permata Rohani
Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian (2019)
mwbr19 November ms. 1-6

Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

4-10 NOVEMBER

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 1 YOHANES 1-5

“Jangan Mengasihi Dunia atau Perkara-Perkara di Dunia”

(1 Yohanes 2:15, 16) Janganlah mengasihi dunia ini atau perkara-perkara di dalam dunia ini. Jika seseorang mengasihi dunia, kasih terhadap Bapa tidak ada dalam dirinya. 16 Hal ini demikian kerana segala sesuatu di dalam dunia ini, iaitu keinginan tubuh yang berdosa, keinginan mata, dan sikap suka menunjuk-nunjukkan harta milik sendiri, tidak berasal daripada Bapa, tetapi berasal daripada dunia.

w05 1/1 10 per. 13

Berpautlah pada Teladan Yesus

13 Ada orang yang mungkin berfikir bahawa bukan semua perkara di dunia ini adalah salah. Meskipun demikian, dunia dan daya tarikannya dapat menyimpangkan perhatian kita daripada Yehuwa. Tidak ada satu pun yang ditawarkan oleh dunia ini direka dengan tujuan untuk merapatkan kita dengan Tuhan. Oleh itu, jika kita semakin mengasihi hal-hal duniawi, bahkan hal-hal yang mungkin tidak salah, kita berada dalam haluan yang berbahaya. (1 Timotius 6:9, 10) Selain itu, banyak hal dalam dunia ini benar-benar jahat dan dapat menajiskan kita. Jika kita menonton filem atau rancangan televisyen yang memaparkan keganasan, cinta akan kebendaan, dan perbuatan seks yang tidak bermoral, kita akan lebih senang menerimanya dan lebih mudah tergoda. Jika kita sering bergaul dengan orang yang mengutamakan keselesaan hidup dan kerjaya, kita pun boleh terpengaruh dan mula mengutamakan hal itu.​—Matius 6:24; 1 Korintus 15:33.

Mencari Permata Rohani

(1 Yohanes 5:16, 17) Jika seseorang melihat saudaranya melakukan dosa yang tidak mengakibatkan kematian, dia harus berdoa bagi saudaranya, dan Tuhan akan memberikan kehidupan kepada saudara itu. Ya, Tuhan akan memberikan kehidupan kepada orang yang dosanya tidak mengakibatkan kematian. Namun, ada dosa yang mengakibatkan kematian, dan aku tidak mengatakan bahawa dia patut berdoa bagi orang yang melakukan dosa sedemikian. 17 Semua kejahatan ialah dosa, tetapi ada dosa yang tidak mengakibatkan kematian.

it-1 116 per. 4

Ampun, Mengampuni

Memang sesuai untuk kita berdoa memohon pengampunan Tuhan bagi orang lain, bahkan bagi seluruh sidang. Musa berdoa bagi bangsa Israel, mengakui dosa bangsa itu dan memohonkan pengampunan, dan Yehuwa mendengarkannya. (Bil 14:19, 20) Selain itu, semasa pentahbisan Rumah Tuhan, Salomo berdoa agar Yehuwa mengampuni umat-Nya apabila mereka berbuat dosa dan kemudian bertaubat daripada haluan yang salah. (1Ra 8:30, 33-40, 46-52) Ezra berdoa di hadapan umum dan mengakui dosa bagi pihak orang Yahudi yang telah kembali ke tanah air mereka. Oleh kerana doa dan rayuannya yang sungguh-sungguh, orang Yahudi mengambil tindakan agar Yehuwa dapat mengampuni mereka. (Ez 9:13–10:4, 10-19, 44) Yakobus menggalakkan orang yang sakit secara rohani untuk memanggil para penatua sidang, supaya mereka berdoa baginya, dan “jika dia telah berbuat dosa, dia akan diampuni.” (Yak 5:14-16) Akan tetapi, ada “dosa yang mengakibatkan kematian,” iaitu dosa terhadap kuasa suci Tuhan. Dosa ini dibuat dengan sengaja dan menyebabkan orang itu tidak dapat diampuni. Orang Kristian tidak patut berdoa bagi mereka yang melakukan dosa sedemikian.​—1Yo 5:16; Mt 12:31; Ibr 10:26, 27.

JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR

w04 1/10 29

Pertanyaan Pembaca

Semasa Rasul Yohanes menulis bahawa “kasih yang sempurna dapat mengusir rasa takut,” apakah yang dimaksudkannya dengan “kasih yang sempurna,” dan “rasa takut” apakah yang diusir oleh kasih itu?

“Rasa takut akan mengongkong kita. Namun, orang yang mengasihi Tuhan tidak berasa takut,” tulis Rasul Yohanes, “kerana kasih yang sempurna dapat mengusir rasa takut. Jika seseorang berasa takut, kasihnya belum lagi sempurna.”​—1 Yohanes 4:18.

Berdasarkan konteks, Yohanes sedang membincangkan kaitan antara kasih kepada Tuhan dan keberanian yang dimiliki seseorang semasa menghampiri Tuhan dalam doa. Hal ini dapat dilihat daripada ayat 17: “Demikianlah caranya kasih disempurnakan dalam diri kita, supaya kita dapat bercakap dengan berani pada hari penghakiman nanti.” Seberapa dalam seorang Kristian mengasihi Tuhan dan merasakan kasih Tuhan kepadanya, sebesar itulah keberanian yang dimilikinya semasa menghampiri Tuhan dalam doa.

Ungkapan “kasih yang sempurna” meliputi makna yang luas. Dalam Bible, perkataan “sempurna” tidak selalu digunakan untuk memaksudkan kesempurnaan dalam erti mutlak, iaitu sehingga tahap tertinggi, tetapi sering kali dalam erti relatif. Misalnya, dalam Ceramah Di Atas Gunung, Yesus mengatakan, “Oleh itu, kamu harus sempurna sebagaimana Bapa kamu yang di syurga sempurna.” Yesus sedang memberitahu para pengikutnya bahawa jika mereka hanya mengasihi orang yang mengasihi mereka, kasih mereka tidak lengkap atau kekurangan sesuatu. Kasih mereka harus dipupuk dengan sepenuhnya atau disempurnakan dengan mengasihi musuh-musuh mereka. Begitu juga, semasa Yohanes menulis tentang “kasih yang sempurna,” dia sedang bercakap tentang kasih akan Tuhan yang sepenuh hati, yang dipupuk dengan sepenuhnya, dan yang merangkumi semua aspek kehidupan seseorang.​—Matius 5:46-48; 19:20, 21.

Semasa menghampiri Tuhan dalam doa, seorang Kristian sedar bahawa dia berdosa dan tidak sempurna. Namun, jika dia telah memupuk kasih yang sepenuhnya kepada Tuhan dan merasai kasih Tuhan dalam kehidupannya, dia tidak berasa takut bahawa Tuhan menolak atau mencelanya. Sebaliknya, dia berani untuk meluahkan isi hatinya dan memohon pengampunan atas dasar korban tebusan Yesus Kristus yang disediakan oleh Tuhan dengan pengasih. Dia yakin bahawa permohonannya didengari Tuhan.

Bagaimanakah seseorang dapat menjadikan ‘kasihnya sempurna’ dan “mengusir” rasa takut dicela atau ditolak? “Jika seseorang mematuhi kata-kata [Tuhan], dia menunjukkan bahawa dia benar-benar mengasihi Tuhan,” kata Rasul Yohanes. (1 Yohanes 2:5) Cuba fikir, jika Tuhan mengasihi kita semasa kita masih berdosa, tidakkah Dia akan lebih mengasihi kita jika kita benar-benar bertaubat dan ‘mematuhi kata-kata-Nya’ dengan bersungguh-sungguh? (Roma 5:8; 1 Yohanes 4:10) Sudah tentu, selagi kita tetap setia, kita dapat memiliki keyakinan yang juga dimiliki Rasul Paulus semasa dia berkata, “Tuhan tidak menghalang Anak-Nya daripada mengalami penderitaan, tetapi menyerahkannya untuk kita semua. Jika begitu, sudah pasti Tuhan dan Anak-Nya akan memberi kita segala sesuatu yang lain dengan senang hati, bukan?”​—Roma 8:32.

KEHIDUPAN KRISTIAN KITA

w06 15/10 25 per. 10

Buktikan Iman Anda melalui Cara Hidup Anda

10 Pasangan Kristian yang ingin bersikap realistik dan masuk akal boleh mendapatkan bantuan daripada Bible. Walaupun hari perkahwinan memang penting, mereka tahu bahawa itu hanyalah permulaan kehidupan perkahwinan dua orang Kristian yang memiliki harapan kehidupan kekal. Mereka tidak wajib untuk mengadakan jamuan secara besar-besaran. Jika mereka memilih untuk mengadakan jamuan, mereka akan mengira kosnya dan mempertimbangkan suasana jamuan itu. (Lukas 14:28) Dalam kehidupan mereka, suami akan menjadi kepala keluarga berdasarkan prinsip Bible. (1 Korintus 11:3; Efesus 5:22, 23) Jadi, pengantin lelaki terutamanya bertanggungjawab atas majlis perkahwinan. Sudah tentu, dia akan berbincang dengan bakal isterinya tentang perkara-perkara seperti siapa yang akan dijemput ke majlis perkahwinan mereka. Barangkali, tidak praktikal atau tidak mungkin mereka dapat mengundang semua sahabat dan saudara-mara mereka. Jadi, sesetengah keputusan harus dibuat mengikut kemampuan mereka. Pasangan itu perlu yakin bahawa sesetengah saudara saudari yang tidak dijemput akan memahami keadaan mereka dan tidak berasa tersinggung.​—Pengkhutbah 7:9.

11-17 NOVEMBER

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 YOHANES 1–YUDAS

“Berjuanglah untuk Tetap Berada dalam Kebenaran”

(Yudas 3) Saudara-saudara yang dikasihi, pada mulanya aku teringin sekali menulis tentang penyelamatan yang kita kongsi bersama. Namun sekarang, aku berasa bahawa aku perlu menulis kepada kamu untuk memberikan nasihat berikut: Kamu harus berjuang dengan bersungguh-sungguh demi kepercayaan yang diberikan sekali untuk selama-lamanya kepada umat suci Tuhan.

w04 15/9 11-12 per. 8-9

“Teruslah Memperoleh Kuasa daripada Tuan”

8 Kita memang mengetahui tipu muslihat Syaitan kerana Bible mendedahkan taktik yang selalu digunakannya. (2 Korintus 2:11) Iblis menggunakan masalah ekonomi, kematian orang tersayang, tentangan ahli keluarga, penyakit, dan tuduhan sahabat palsu untuk menentang Ayub, seorang hamba Tuhan yang benar. Ayub menjadi murung dan berasa bahawa Tuhan telah meninggalkannya. (Ayub 10:1, 2) Meskipun Syaitan bukan punca kepada semua masalah pada hari ini, kesusahan sedemikian mempengaruhi banyak orang Kristian, dan Iblis dapat menggunakannya untuk melemahkan mereka.

9 Pada hari-hari terakhir, banyak perkara yang dapat mengancam kerohanian kita. Dunia ini mengetepikan matlamat rohani demi mengejar kekayaan. Media massa pula sering kali memaparkan hubungan seks yang tidak bermoral sebagai sumber kebahagiaan, dan bukannya sumber kepedihan hati. Kebanyakan orang “mencintai kesenangan tetapi tidak mencintai Tuhan.” (2 Timotius 3:1-5) Seandainya kita tidak “berjuang dengan bersungguh-sungguh demi kepercayaan,” cara pemikiran sedemikian dapat mengancam kerohanian kita.​—Yudas 3.

Mencari Permata Rohani

(Yudas 4) Aku berbuat demikian kerana sesetengah orang sudah menyelinap ke dalam kalangan kamu. Sejak dahulu lagi, Ayat-Ayat Suci sudah menubuatkan bahawa orang sedemikian akan dihukum. Mereka tidak menghormati Tuhan kita dan menjadikan kebaikan hati-Nya yang unggul sebagai alasan untuk melakukan perbuatan yang buruk tanpa rasa malu. Mereka tidak setia kepada satu-satunya pemilik dan Tuan kita, Yesus Kristus.

(Yudas 12) Semasa mereka menikmati jamuan bersama kamu, mereka seperti batu yang tersembunyi di bawah permukaan air. Mereka seperti gembala yang hanya memikirkan perut sendiri tanpa rasa malu. Mereka seperti awan yang ditiup angin ke sana sini tetapi tidak membawa hujan. Mereka seperti pokok yang tidak berbuah pada musim luruh, yang mati sama sekali, dan yang dicabut dengan akarnya.

it-2 546

Jamuan Kasih Sayang

Bible tidak menjelaskan jamuan ini dan tidak memberitahu seberapa kerap jamuan ini diadakan. (Yud 12) Jamuan sebegini tidak diperintahkan oleh Tuan Yesus Kristus ataupun para rasulnya. Nampaknya jamuan ini tidak dianggap sebagai kemestian atau sesuatu yang kekal. Ada yang mengatakan bahawa jamuan sebegini diadakan oleh orang Kristian yang kaya dan mereka mengundang rakan-rakan seiman yang miskin. Anak yatim, balu, orang kaya, dan orang miskin bersama-sama menikmati makanan yang berlimpah yang disertai kasih persaudaraan.

it-1 830

Batu

Kata Yunani lain, spi·lasʹ, nampaknya merujuk kepada batu atau terumbu yang tersembunyi di bawah permukaan air. Perkataan ini digunakan oleh Yudas untuk menggambarkan sesetengah orang yang telah menyelinap ke dalam sidang Kristian dengan niat yang jahat. Seperti batu-batu tersembunyi yang merupakan ancaman bagi kapal-kapal, orang sedemikian dapat membahayakan orang lain di dalam sidang. Yudas mengatakan tentang orang sebegini, “Semasa mereka menikmati jamuan bersama kamu, mereka seperti batu yang tersembunyi di bawah permukaan air.”​—Yud 12.

18-24 NOVEMBER

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | WAHYU 1-3

“Aku Mengetahui Perbuatan Kamu”

(Wahyu 2:1, 2) “Tulislah kepada malaikat sidang Efesus: Inilah hal-hal yang dikatakan oleh dia yang memegang tujuh buah bintang di dalam tangan kanannya, dan yang berjalan di tengah-tengah tujuh buah kaki pelita emas itu: 2 ‘Aku mengetahui perbuatan kamu, kerja keras kamu, dan ketabahan kamu. Aku tahu bahawa kamu tidak mengizinkan orang jahat untuk tinggal dalam kalangan kamu. Aku juga tahu bahawa kamu telah menguji orang yang mengaku diri mereka rasul padahal mereka bukan, dan mendapati bahawa mereka ialah pendusta.

w01 15/1 20-21 per. 20

Berjalan Seiring dengan Organisasi Yehuwa

20 Kita perlu mengakui peranan Yesus Kristus yang ditugaskan oleh Tuhan sebagai “kepala sidang” agar dapat berjalan seiring dengan organisasi Yehuwa yang terus maju. (Efesus 5:22, 23) Perhatikan juga Yesaya 55:4, yang memberitahu kita, “Aku [Yehuwa] menjadikan dia seorang saksi kepada bangsa-bangsa, seorang pemimpin dan pemerintah kepada bangsa-bangsa.” Sudah tentu Yesus tahu caranya untuk memimpin. Dia juga mengenali biri-birinya dan mengetahui perbuatan mereka. Sebenarnya, semasa Yesus memeriksa tujuh buah sidang di Asia Kecil, lima kali dia berkata, “Aku mengetahui perbuatan kamu.” (Wahyu 2:2, 19; 3:1, 8, 15) Sama seperti Bapanya Yehuwa, Yesus juga mengetahui keperluan kita. Sebelum mengajarkan doa contoh, Yesus menyatakan, “Tuhan, Bapa kamu, sudah tahu apa yang kamu perlukan bahkan sebelum kamu meminta daripada-Nya.”​—Matius 6:8-13.

Mencari Permata Rohani

(Wahyu 2:7) Hendaklah orang yang bertelinga mendengar apa yang dikatakan oleh kuasa suci Tuhan kepada sidang-sidang: Aku akan mengizinkan orang yang menang dalam pertempuran untuk makan buah daripada pokok kehidupan yang ada di firdaus Tuhan.’

w09 15/1 31 per. 1

Sorotan daripada Buku Wahyu​—I

2:7—​Apakah maksud “firdaus Tuhan”? Memandangkan kata-kata ini ditujukan kepada orang Kristian terurap, firdaus Tuhan ini sudah tentu merujuk kepada keadaan di syurga yang makmur seperti firdaus, iaitu di hadirat Tuhan. Kaum terurap yang setia akan diberkati untuk makan buah “daripada pokok kehidupan.” Mereka akan dikurniai nyawa yang tidak dapat dimusnahkan.​—1 Kor. 15:53.

25 NOVEMBER–1 DISEMBER

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | WAHYU 4-6

Mencari Permata Rohani

(Wahyu 4:4) Di sekeliling takhta itu terdapat 24 buah takhta, dan aku melihat 24 orang penatua yang sedang duduk di atas takhta-takhta itu. Mereka memakai jubah putih dan terdapat mahkota emas di atas kepala mereka.

(Wahyu 4:6) Di depan takhta itu juga ada sesuatu yang kelihatan seperti lautan kaca yang jernih dan yang bersinar seperti kristal. Takhta itu terletak di tengah-tengah, dan di sekeliling takhta itu ada empat makhluk hidup yang penuh dengan mata pada bahagian depan dan pada bahagian belakang.

re 76-77 per. 8

Keagungan Takhta Yehuwa di Syurga

8 Yohanes tahu bahawa pada zaman dahulu, para imam dilantik untuk berkhidmat dalam khemah suci. Maka dia mungkin hairan melihat apa yang bakal digambarkannya: “Di sekeliling takhta itu terdapat 24 buah takhta, dan aku melihat 24 orang penatua yang sedang duduk di atas takhta-takhta itu. Mereka memakai jubah putih dan terdapat mahkota emas di atas kepala mereka.” (Wahyu 4:4) Ya, bukan para imam yang duduk di atas takhta dan diberikan mahkota seperti raja, tetapi 24 orang penatua. Siapakah penatua itu? Mereka ialah kaum terurap daripada sidang Kristian, yang dibangkitkan dan tinggal di syurga seperti yang dijanjikan oleh Yehuwa kepada mereka. Bagaimanakah kita tahu?

re 80 per. 19

Keagungan Takhta Yehuwa di Syurga

19 Apakah yang digambarkan oleh makhluk-makhluk ini? Suatu penglihatan oleh seorang nabi lain, iaitu Yehezkiel, membantu kita mencari jawapannya. Yehezkiel melihat Yehuwa duduk di takhta kenderaan-Nya di syurga. Bersama-Nya ialah makhluk-makhluk yang serupa dengan apa yang digambarkan oleh Yohanes. (Yehezkiel 1:5-11, 22-28) Kemudian, Yehezkiel sekali lagi melihat takhta kenderaan itu disertai makhluk-makhluk itu. Tetapi, kali ini dia merujuk kepada makhluk-makhluk itu sebagai kerub. (Yehezkiel 10:9-15) Empat makhluk hidup yang dilihat Yohanes pasti merujuk kepada kerub-kerub milik Tuhan, iaitu makhluk-makhluk yang mempunyai kedudukan tinggi dalam organisasi-Nya di syurga. Yohanes tidak rasa aneh semasa melihat kerub-kerub berada begitu dekat dengan Yehuwa, kerana dalam aturan khemah suci pada zaman dahulu, dua kerub emas berada di atas penutup tabut perjanjian, yang melambangkan takhta Yehuwa. Yehuwa mengeluarkan perintah-perintah kepada bangsa Israel dari antara kedua-dua kerub itu.​—Keluaran 25:22; Mazmur 80:1.

(Wahyu 5:5) Tetapi salah seorang penatua berkata kepadaku, “Jangan menangis lagi. Lihatlah! Singa daripada suku Yehuda, akar Daud, sudah menang dalam pertempuran, dan dia dapat memecahkan tujuh buah meterai itu dan membuka gulungan tersebut.”

cf 36 per. 5-6

“Lihatlah! Singa daripada Suku Yehuda”

5 Singa sering dikaitkan dengan keberanian. Pernahkah anda bersemuka dengan singa jantan dewasa? Jika ya, kemungkinan besar anda berdiri di tempat yang selamat pada masa itu, barangkali dipisahkan oleh pagar-pagar di dalam zoo. Biarpun demikian, peristiwa itu masih menakutkan. Sudah tentu anda tidak terbayangkan singa itu akan berlari ketakutan apabila melihat anda. Bible menyebut tentang “singa, iaitu binatang yang paling kuat, dan tidak berundur daripada sesiapa pun.” (Amsal 30:30) Seperti itulah keberanian Kristus.

6 Marilah kita bincang bagaimana Yesus memperlihatkan keberanian bagaikan singa dalam tiga cara: membela kebenaran, menegakkan keadilan, dan menghadapi tentangan. Tidak kira kita seorang yang pemalu ataupun berani, kita semua boleh meniru keberanian yang ditunjukkan Yesus.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi